September 3rd, 2012

Erti kemerdekaan

Kelmarin tanggal 31 Ogos 2012, negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55. Ulang tahun kemerdekaan negara diadakan setiap tahun sejak negara bebas daripada pemerintahan penjajah pada 31 Ogos 1957. Hanya mereka yang pernah hidup dijajah saja benar-benar dapat menghayati erti kebebasan atau dalam bahasa akademik dan politik disebut kemerdekaan. Sebagaimana perasaan hamba abdi yang dibebaskan daripada tuannya, begitulah perasaan rakyat yang bebas daripada cengkaman penjajah.

Hari kemerdekaan negara adalah hari istimewa untuk setiap rakyat, tanpa mengira status, jantina, warna kulit dan agama. Tidak ada seseorang pun boleh mengatakan mereka dilarang merayakan ulang tahun kemerdekaan. Jika ada sesiapa mengatakan ulang tahun kemerdekaan ini bukan untuk mereka, sewajarnya mereka melihat sejarah keturunan dan asal-usul mereka. Sekali pun berbeza ideologi, mungkin datuk nenek mereka adalah antara pejuang kemerdekaan negara akibat tuntutan semasa ketika itu.

Bagi golongan yang tidak mengendahkan erti kebebasan, hari kemerdekaan tidak bermakna bagi mereka. Mereka mungkin belajar sejarah di sekolah, tetapi sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan. Mereka gagal menghayati erti pengorbanan nenek moyang mereka selepas menikmati kesenangan hidup. Kemerdekaan negara hanya bermakna kepada rakyat yang tahu erti berhutang budi dan bersyukur atas kemakmuran hidup serta kesejahteraan. Jasa kerajaan paling nyata ialah kejayaan mewujudkan keamanan negara dan kestabilan politik. Walaupun pelbagai gerakan dan cubaan dilakukan untuk menimbulkan huru-hara dan menggugat kestabilan politik, kerajaan berjaya mematahkan segala percubaan mereka.

Jika ada sesiapa mengatakan ulang tahun kemerdekaan ini bukan untuk mereka, sewajarnya mereka melihat sejarah keturunan dan asal-usul mereka. Sekali pun berbeza ideologi, mungkin datuk nenek mereka adalah antara pejuang kemerdekaan negara akibat tuntutan semasa ketika itu.

Kerajaan bukan saja sebelum ini berjaya mematahkan percubaan komunis yang menyerap ke dalam masyarakat dan menghadapi huru-hara sewaktu rusuhan 13 Mei 1969, malah kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membangunkan negara dan kini dalam proses menempa nama sebagai negara maju pada 2020. Beberapa percubaan juga dilakukan menerusi perhimpunan dan demonstrasi yang seterusnya mencetuskan rusuhan bagi menguji ketahanan kerajaan. Pemikiran rakyat cuba dirasuk dengan idea songsang semata-mata untuk mengurangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Atas nama demokrasi dan disemai dengan idea Barat, rakyat diajak untuk menimbulkan kucar-kacir seterusnya memberi ruang kepada anasir asing untuk menunjukkan, siapa yang mereka mahu untuk mentadbir negara ini. Keadaan ini sudah berlaku di beberapa negara lain yang mana pemikiran rakyatnya dikawal kuasa asing sering menghadapi masalah dalaman. Apabila berlaku huru-hara, mereka muncul untuk mengawal keadaan dengan syarat berunsur penjajahan.

Rakyat yang tidak menghargai kemerdekaan biasanya dipengaruhi oleh pihak tertentu khasnya mereka yang bercita-cita tinggi mahu mengambil alih pemerintahan negara. Di dunia ini ada ratusan, malah ribuan idea yang mengubah dunia ini untuk kebaikan. Pada masa sama, banyak idea yang boleh menghancurkan dunia. Di Malaysia keadaannya juga sama. Begitu banyak idea diperkenal dan dilaksanakan di negara ini untuk kemakmuran rakyat, ada juga yang ingin menghancurkan negara ini. Mereka tidak peduli apa akan berlaku kepada rakyat dan negara, malah generasi akan datang asalkan mereka dapat mentadbir negara ini. Mereka gunakan pelbagai cara, termasuk memperalatkan Islam.

Atas nama ulama, mereka mencipta fatwa untuk mengkafirkan orang lain dan pelbagai idea karut-marut. Ketaksuban mereka kepada pemimpin menyebabkan mereka percaya apa saja dikatakan oleh pemimpin. Jika pemimpin mereka mempertahan tingkah laku seseorang walaupun lengkap dengan bukti keruntuhan moralnya, mereka tetap akur keputusan ketua mereka. Jika ketua mereka kata ia fitnah, maka semua pengikut mereka akan mengatakan itu fitnah. Jika ketua mereka mengatakan kerajaan hari ini adalah kerajaan assabiah, maka mereka juga menganggukkan kepala.

Mereka tahu Malaysia adalah negara yang pernah dijajah Inggeris, sebelum itu Belanda dan pernah berada dalam zaman pendudukan Jepun dan asalnya Melaka ditawan Portugis. Selepas menempuh pelbagai ranjau dan duri, akhirnya pada 31 Ogos 1957, negara ini mencapai kemerdekaan. Setiap tahun rakyat memperingati hari ini kerana ia adalah lambang kebebasan. Di negara ini rakyat bebas melakukan apa juga selagi mereka tidak melanggar undang-undang. Mereka bebas pergi ke mana saja tanpa perlu bimbang keselamatan diri melainkan jika mereka mendampingi kegiatan jenayah, mereka boleh menjalankan perniagaan yang dibenarkan, kebebasan beragama dan beribadat, kebebasan mengumpul harta dan kebebasan berpolitik. Bagaimanapun, kebebasan ini disalahertikan oleh mereka yang ingin berkuasa atas nama demokrasi.


Mior Kamarul Shahid Sumber: Berita Harian Online Rencana Isnin , 03 September 2012, 16 Syawal 1433 H

Fahami, hayati maksud sebenar kemerdekaan

Penghayatan terhadap erti kemerdekaan menuntut kita mengenali sejarah negara. Ia penting supaya kita dapat memperkukuh jati diri serta mengetahui cabaran yang boleh merentap dan memusnahkan kemerdekaan dan kedaulatan negara tercinta ini.

Sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pernah menyebut bahawa generasi muda hanya akan benar-benar dapat menghayati erti kemerdekaan apabila mereka faham mengenai sejarah negara, kedudukan diri sendiri, kedudukan negara, masyarakat, rantau dan dunia. Menurutnya, generasi muda tidak harus terlalu terikut arus pemodenan secara membuta tuli. Sebaliknya mereka perlu menyedari dan memahami bagaimana kita sampai kepada kedudukan sekarang. Jika ini dapat difahami secara jelas oleh generasi muda maka akan terbina semangat patriotisme yang membara di dalam sanubari mereka.

Pada hemat penulis, kealpaan dalam memahami sejarah negara boleh mengundang ‘malapetaka’ kerana generasi yang membesar tanpa pengetahuan dan pemahaman terhadap sejarah tanah airnya akan kehilangan jati diri dan semangat patriotisme.

Ini sekali gus boleh meletakkan pembinaan negara bangsa umpama ‘sarang labah-labah’ yang rapuh serta senang dimusnahkan oleh musuh.

Justeru, kita bimbang sekiranya kefahaman terhadap sejarah tanah air tidak dititikberatkan maka tidak mungkin semangat sayang dan cintakan negara itu dapat dibina dalam kalangan generasi muda hari ini.

Oleh itu, mata pelajaran sejarah harus diajar dan dihayati sejak peringkat sekolah rendah lagi.

Subjek sejarah harus dirangka dengan berkesan di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi supaya setiap warga negara mengenali dan memahami sejarah tanah airnya secara mendalam.

Bayangkan apa akan terjadi kepada bangsa dan tanah air kita pada masa depan sekiranya generasi hari ini yang bakal memimpin negara suatu hari nanti tidak mengenali sejarah serta tidak memiliki jati diri yang teguh dan kukuh dalam mengemudi negara ini.

Justeru, sempena menyambut bulan kemerdekaan yang ke-55 ini, janganlah generasi muda hanya tahu berkumpul dan melaung kemerdekaan tanpa menghayati maknanya kerana ia tidak memberikan kesan kepada mereka.

Sambutan kemerdekaan itu hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka. Oleh itu, kita tidak boleh menerima sikap sesetengah kumpulan anak muda yang menyambut hari merdeka dengan menjadikan hiburan dan pesta yang di luar batas moral hingga mencemarkan identiti diri serta tidak melambangkan jiwa yang merdeka. Sambutan yang sedemikian rupa adalah sambutan yang kontang daripada penghayatan kemerdekaan yang sebenarnya. Ia tidak termasuk dalam watak umat atau bangsa yang merdeka.

Apatah lagi remaja dan belia Islam yang sepatutnya menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai lambang kecintaan yang jujur kepada negara, agama dan maruah bangsa.

Sebagai umat Islam, kita harus menghayati pesan Rasulullah SAW yang bermaksud, kasihkan watan itu sebahagian daripada iman. Daripada maksud hadis nabi itu, jelas kepada kita bahawa semangat patriotisme adalah elemen penting dalam mempertahankan kemerdekaan negara.

Demikian juga ulama besar alam Melayu dari Patani, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani pernah mengingatkan kita bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing adalah fardu ain hukumnya. Justeru, usaha menanamkan kefahaman kepada generasi muda bahawa hakikat kemerdekaan yang sepatutnya ada dalam sanubari mereka ialah ‘kemerdekaan jiwa’.

Maksud ‘kemerdekaan jiwa’ ialah kita bebas daripada belenggu serta anasir yang mengongkong pemikiran dan budaya hidup yang merosakkan sendi-sendi kehidupan dan peradaban bangsa. Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang bebas daripada segala bentuk penjajahan budaya songsang yang boleh memusnahkan jati diri dan maruah bangsa.

Orang yang merdeka jiwanya adalah orang yang dapat mempergunakan akal fikiran atau minda secara positif, melaksanakan sesuatu tindakan mengikut tatasusila yang berlandaskan nilai budaya bangsa dan ajaran agama yang baik.


Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan. Mohd Ayob Abd Razid Sumber: Berita Harian Online Rencana Isnin , 03 September 2012, 16 Syawal 1433 H

Siapa, apa tentukan sikap pengundi

Fatwa agama jadi mainan politik parti

Siapakah yang akan menentukan pengundi pilih parti mana dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)? Karpal Singh, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Lim Guan Eng, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Najib Razak? Atau bekas pemimpin PKR yang tak henti-henti lantang menyerang Anwar? Apakah gelagat politik Datuk Dr Hasan Ali, Datuk Ibrahim Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa serta bekas tokoh PKR akan menarik pengundi Melayu kepada UMNO (BN)? Orang seperti Senator Nallakaruppan eloklah berhenti menonjolkan diri. Pada awal Ogos lalu, umat Islam diperingatkan mengundi DAP ‘haram dan berdosa’ kerana parti itu terang-terang menentang penubuhan negara Islam dan hudud. Tidak boleh juga menyokong PAS dan PKR kerana bekerjasama dengan DAP yang pemimpinnya kafir harbi.

Karpal tahu PAS yang teringin sangat hendak jadi pemerintah, tak boleh tinggalkan DAP. PKR dan Anwar Ibrahim pun begitu. Justeru, strategi politik jangka panjang DAP sudah mulai capai matlamatnya”

Begitulah ‘fatwa’ beberapa tokoh agama sebagai reaksi kepada ketabahan Karpal Singh menentang perjuangan asal PAS. Baru seorang yang bernama Karpal Singh bercakap, orang Melayu termasuk tokoh agama, gelabah bagai cacing kepanasan. Karpal makin seronok. Beliau berjaya memesongkan perhatian orang Melayu daripada perkara yang perlu dikerjakan untuk memperkukuhkan bangsa dan agama. Sudah berpuluh-puluh tahun kita berdebat mengenai hukum hudud tetapi tak juga selesai. Sebabnya ia bukan isu hukum tetapi isu politik dan kuasa. Akhirnya Karpal dan DAP yang ketawa.

Pemimpin dan pejuang Melayu-Islam perlu mencontohi Karpal. Tabah dan konsisten dalam perjuangan meskipun menentang rakannya yang sangat penting dalam pakatan politik. PAS lebih penting daripada PKR. Tetapi Karpal tak peduli kerana dalam percaturan politik pembangkang menjelang PRU-13 ini, Karpal dan DAP lebih kuat daripada Datuk Hadi Awang dan PAS, lebih kuat daripada Anwar dan PKR. Karpal tahu PAS yang teringin sangat hendak jadi pemerintah, tak boleh tinggalkan DAP. PKR dan Anwar Ibrahim pun begitu juga. Hati-hatilah bermain politik, orang Pulau Pinang dah menangis tak berlagu!

Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, baru sekali cuba buka mulut bercakap perkara benar – dalam mesyuarat sulit yang bocor – sudah angkat kedua-dua tangan. Ketika ketuanya, Guan Eng berada di sisi memerhati dengan mata sinis pada satu sidang media, Timbalan Ketua Menteri itu gelabah lantas dengan sungguh-sungguh ‘mengangkat’ Guan Eng.

Apabila pensyarah USM ini masuk politik dan jadi orang nombor dua dalam kerajaan negeri, orang Melayu Pulau Pinang berasa ada seorang pembela Melayu dalam kerajaan. Pensyarah universiti selalunya dihormati dan dipandang tinggi, ilmuan dan guru kelas tinggi pastilah ada integriti dan harga diri macam Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. Tetapi harapan itu nampaknya tak akan tercapai.

Dalam mesyuarat sulit PKR yang heboh bocor itu, apa dibincang pun bukan masalah rakyat tetapi masalah pembahagian kerusi. Catatan mesyuarat yang bocor itu juga menyebut ‘how PKR members should rally as there would be plenty of jobs to go around if Pakatan managed to wrest Putrajaya in the coming general election’. (NST 25 Ogos 2012)

Nyatalah apa sebenarnya matlamat perjuangan pakatan pembangkang. Maka itulah sebabnya pemimpin PAS pun sanggup tunduk kepada DAP demi banyaknya ‘peluang menanti’ selepas menawan Putrajaya. Tidaklah pelik apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pun sanggup mempergunakan Tun Ghafar Baba yang sudah lama kembali ke alam baqa. Apakah rakyat masih nak undi pakatan pembangkang?

Kata Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan pula: “PAS Kelantan tidak menafikan adalah haram mengundi golongan menentang Islam pada dasarnya, namun ia dibolehkan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO.” Ulama ini menegaskan, ‘hukum boleh berubah mengikut keadaan dan waktu tertentu’. Betulkah hukum dalam Islam begitu? Boleh diubah-ubah ikut suka hati?

Apabila ditanya wartawan mengenai fatwa ‘haram dan berdosa’ ini, jawapan Tun Dr Mahathir Mohamad: “Jika itu pendapat mereka, terpulang kepada umat Islam menerimanya atau tidak tetapi saya fikir orang ramai tidak akan mengikut orang agama ini. Ini masalah kita, semua dikatakan Islam tapi tidak diamal.”

Pendapat Dr Mahathir ini berdasar realiti dan sikap pengundi pada pilihan raya sebelum ini. Namun keputusan pilihan raya menunjukkan pengundi tidaklah begitu terpengaruh dengan fatwa, meskipun heboh jadi bahan kempen dan berita besar dalam akhbar. Pengundi terutama ahli dan penyokong parti lebih dipengaruhi oleh ketokohan pemimpin yang menjadi pujaan mereka.

Kira-kira 40 tahun lalu, ulama PAS menegah umat Islam mengundi BN kerana UMNO berpakat memerintah dengan orang kafir. Waktu itu PAS kata UMNO itu asabiyyah dan kafir. Namun majoriti Melayu tetap mengundi UMNO (BN) kecuali pada PRU 2008. Sekarang dah terbalik pula, ada ulama yang kata ‘haram dan berdosa’ mengundi DAP dan pakatan pembangkang.

Mengeluarkan fatwa agama untuk kepentingan politik parti sangatlah tidak wajar dan memperbodohkan pemikiran politik Melayu-Islam. Ulama bijaksana tidak seharusnya menjadikan hukum agama sebagai permainan politik, apa lagi untuk menonjolkan diri atau untuk menentang orang tertentu atau musuh peribadi.


Noor Azam Sumber: Berita Harian Online Rencana Isnin , 03 September 2012, 16 Syawal 1433 H