September 7th, 2012

Meneutralkan agenda pendidikan

PERBUALAN penulis dengan seorang rakan lama berbangsa Tiong Hua baru-baru ini banyak berbincang mengenai masa depan pendidikan anak perempuannya yang masih kecil. Dia ada beberapa pilihan. Membiarkan anaknya yang berumur 7 tahun bersekolah di sebuah pekan kecil di Muar, dan terus tinggal bersama datuk dan neneknya. Ataupun membawa anaknya datang ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, dia juga mempunyai pilihan. Menghantar anaknya ke sebuah sekolah kebangsaan di pinggir bandar - ataupun menghantarnya ke sebuah sekolah jenis kebangsaan berhampiran tempat kerja.

Setakat kelmarin, dia masih belum membuat keputusan. Namun dia bertanyakan penulis mengenai kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan. Secara kebetulan, anak penulis berada di salah sebuah sekolah kebangsaan yang juga punya sedikit reputasi dan nama sebagai sebuah sekolah yang baik dan cemerlang.

Syukur, dengan komitmen pentadbiran yang baik, para pendidik yang bersemangat tinggi, kelompok ibu bapa yang sanggup membantu; secara keseluruhannya prestasi sekolah tersebut berada pada tahap yang boleh dianggap baik.

Namun, rakan tersebut menzahirkan kerisauan bahawa wujudnya trend yang sangat nyata di dalam media cetak (berbahasa Cina) yang membicarakan isu dan agenda pendidikan melalui kaca mata politik. Trend ini tidak begitu disenangi oleh rakan penulis. Dia khuatir, dengan agenda pendidikan yang terlalu direncahkan dengan ‘matlamat dan keinginan politik’, banyak isu yang fundamental dan asas akan menjadi cacamarba.

Kewujudan kumpulan-kumpulan pendesak yang mentafsirkan masa hadapan pendidikan melalui perspektif yang ada kalanya kedengaran sangat politikal ini boleh menjemput masalah jangka panjang.

Trend ini menjadi semakin hebat menjelang musim dan tempoh pilihan raya. Kumpulan-kumpulan tertentu mengambil peluang menyatakan pandangan dengan semangat yang tidak lagi neutral, sebaliknya dipenuhi dengan niat politik.

Kecenderungan untuk menyampaikan hasrat, kemahuan dan kehendak dengan cara yang terlalu mendesak, tanpa memikirkan gambaran besar kepada sesuatu isu mungkin sahaja menyebabkan situasi yang emosional.

Sememangnya, masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang untuk menilai, mengkaji dan menyatakan pandangan mengenai isu pendidikan melalui perspektif yang sangat neutral dan tidak memihak. Benar, kita mungkin mewakili wajah dan aspirasi persatuan dan kumpulan masing-masing, namun ia perlu dimurnikan dengan visi dan cita-cita besar kita sebagai bangsa Malaysia. Mungkin mudah untuk kita menggunakan asas emosi dan sentimen - namun apakah kita sebenarnya sudah menjadi seorang dan kalangan warga yang rasional dan berpandangan jauh?

Apa yang sering bermain di minda dan pemikiran ibu bapa adalah keperluan anak mereka mendapat ruang dan peluang menikmati pendidikan berkualiti di mana sahaja di Malaysia. Seharusnya, tiada jurang yang terlalu menjarak antara sebuah sekolah di pedalaman Sarawak, dengan sebuah sekolah lain yang berada di pinggir kawasan Gombak, misalannya.

Peluang dan kemudahan seharusnya tidak terlalu jauh berbeza. Ini satu perkara yang paling asas. Usaha bersungguh-sungguh mestilah dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat pendemokrasi pendidikan berkualiti menjelang tahun 2020 nanti.

Sewajarnyalah, dalam hal berkaitan penambahbaikan sistem pendidikan, ia memerlukan satu mekanisme penilaian yang neutral dan berpandangan jauh. Isu pendidikan ini melibatkan pembangunan generasi. Justeru, kita tidak punya banyak pilihan kecuali memikirkannya dengan sebaik-baik dan selengkap mungkin.

Masyarakat Malaysia, secara umumnya, perlu menzahirkan rasa bertuah kerana isu pendidikan ini tidak lagi menjadi dasar yang ‘tertutup dan menjadi hak mutlak’ sebilangan kecil mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan semata-mata.

Langkah yang dilakukan Kementerian Pelajaran (KPM) membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk memberikan pandangan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN 2012) adalah satu contoh yang sangat relevan. Isu pendidikan tidak lagi terkongkong di kalangan penjawat awam semata-mata, malahan melibatkan kelompok yang lebih besar.

Dialog ini diadakan secara terbuka dan tanpa sekatan. Ibu bapa, guru mahupun siapa sahaja boleh mengemukakan pandangan, yang akhirnya akan dinilai secara objektif dan komprehensif. Kali ini, agenda pendidikan benar-benar mengalami proses pendemokrasian maklum balas hampir di seluruh negara. Sudah barang tentu, ia membuka ruang secukupnya, untuk semua pemegang taruh (cagaran) mengemukakan apa sahaja pandangan yang dirasakan perlu untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Masyarakat perlu realistik, bahawa tidak mungkin semua pandangan akan diterima dan diangkat sebagai asas penambahbaikan pendidikan negara. Ia perlu disesuaikan dengan gambaran besar visi nasional menjelang tarikh penting 2020 nanti. Pejam celik, perjalanannya hanya tinggal lapan tahun yang akan datang. Apa yang diperlukan pada ketika ini adalah perubahan yang lebih holistik dan menyeluruh.

Menurut sumber umum KPM, melalui apa yang dipanggil sebagai Pelan Strategik Interim KPM 2010-2020, banyak perkara yang akan diberikan fokus dan perhatian. Ini termasuklah perkara seperti pengukuhan struktur persekolahan, transformasi kurikulum dan kokurikulum, peneguhan inovasi dan kreativiti, pendidikan vokasional, pendidikan pra-sekolah dan banyak lagi. Demikianlah luasnya perimeter pertanggungjawaban agenda pendidikan di negara bertuah kita ini.

Segala komitmen dan kesungguhan KPM dan kerajaan untuk membuka ruang maklum balas mengenai isu pendidikan ini wajar dihargai. Mungkin seiring dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa zaman kerajaan tahu semua sudah berlalu, segalanya kini diletakkan dalam arena diskusi yang lebih terbuka.

Kesediaan kerajaan membuka ruang sedemikian luas, diharapkan dapat menzahirkan cadangan-cadangan tuntas untuk masa hadapan pendidikan yang lebih baik.

Kesemua pemegang taruh yang terkait dengan isu pendidikan perlu membuka minda, meneutralkan hala pandangan agar tidak menilai dapatan Dialog Nasional Pendidikan Negara dan cadangan pembaharuan pendidikan dengan seobjektif mungkin. Ini bukan masanya untuk kita bersikap sinikal dengan segala cadangan yang bakal dikemukakan. Mungkin soalan yang lebih layak ditanya - bagaimana kita sebagai masyarakat boleh membantu usaha penambahbaikan yang bakal dicadangkan nanti?

Tidak ada satu sistem pendidikan yang sempurna secara keseluruhannya. Di kalangan negara maju juga, sentiasa mencari rentak untuk memperbaiki sistem sedia ada. Sesuai dengan status dan kedudukan ‘pendidikan’ sebagai sesuatu yang dinamik dan sentiasa berubah, kesediaan kerajaan untuk melihat semula jajaran pendidikan sedia ada perlu disokong dengan sebaik-baiknya.

Kita juga mengharapkan, buat kali ini, tidak ada perspektif politik yang boleh memberatkan pandangan kepada apa sahaja cadangan yang bakal dikemukakan. Elemen neutraliti, keterbukaan minda, kesediaan menerima perubahan akan menjadikan agenda pendidikan lebih mudah dihadam dan dihayati oleh keseluruhan rakyat. Masa depan negara akan banyak bergantung kepada kesediaan kita menerima keperluan perubahan yang dirasakan wajar.

Suara kita, suara rakyat, sudah diberikan ruang secukupnya oleh kerajaan dalam merencana agenda pendidikan. Memang mudah untuk kita menggunakan sentimen, mempamerkan lesen besar untuk membangkang dan membantah - namun ia menjadi sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab sekiranya tidak dituruti dengan idea dan pandangan bernas.

Pandangan yang neutral, tidak terbias dengan kepentingan politik dan undi pilihan raya, akan memberikan ruang yang lebih baik untuk agenda pendidikan dibicarakan secara holistik dan sepadu. Barang diingat, kita bakal merencana jalan hadapan untuk anak-anak dan generasi baru Malaysia. Molek agaknya, kita tinggalkan sentimen politik, perjuangan ras yang terlalu ekstrim dalam perencanaan agenda pendidikan sepenting ini.

PENULIS ialah penganalisis sosial. Oleh Khairuddin Mohd Zain Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 07/09/2012


Lalui hidup tenang dengan 'memerdekakan diri' daripada hutang-piutang

HUTANG adalah perkataan yang paling digeruni apabila kita tidak mampu membayarnya. Bila menerima gaji, waktu itulah yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan keluar seperti air untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak sempat untuk dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti aliran air sungai yang deras.

Hal ini membuatkan kita merasa hidup ini seperti menjadi hamba untuk membayar rumah dan kereta . Itu semua adalah senario yang dihadapi semua orang terutama yang bekerja makan gaji.

Hutang rumah, kereta, pembiayaan peribadi dan setiap orang ada alasan masing-masing untuk berhutang. Apabila diminta untuk menjadi penjamin saudara mara atau kawan, maka kita akan cuba mengelak. Bukan sebab tidak mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya membuatkan kita secara tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah penjamin selalu menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin tidak mampu membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan penjamin yang merana.

Rekod Jabatan Insolvensi (Jun 2012) menunjukkan sebanyak 116,379 kes muflis di negara ini dilaporkan di antara 2005 hingga April 2012. Sebanyak 20 peratus melibatkan individu berusia kurang 35 tahun. 32 peratus melibatkan golongan umur 35 hingga 44 tahun. Sebanyak 18 peratus melibatkan usia 45 hingga 54 tahun. Sebanyak 25 peratus kes muflis disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman peribadi (13 peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11 peratus) dan hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu dilakukan secara bijak dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan gunakan kad kredit.

Mengikut perkiraan awal, memang kita mampu membayar ansuran pinjaman tetapi apabila berlakunya perkara yang tidak dijangka seperti dibuang kerja, hubungan rumah tangga dan lain-lain, masalah akan mula timbul. Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi huru-hara, ada yang bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti dengan jenayah yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak dapat membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi pinjaman akan menelefon tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank yang mengambil pendekatan memahami dan memberi masa serta peluang untuk pelanggan membuat cara pembayaran yang efisien.

Bersembang tentang hutang ini, perbelanjaan yang berlebihan dengan adanyashopping online yang sangat popular kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat membeli belah di hujung jari sahaja. Saya tidak begitu mahir dengan shopping online tetapi rakan-rakan sekerja hanya melayari Internet dan dapat membeli apa sahaja yang diinginkan dengan mudah, cepat dengan harga berpatutan. Barangan yang dihantar pula berkualiti maka itulah punca perasaan untuk membeli membuak-buak.

Itu juga punca masalah apabila kad kredit yang digunakan untuk membeli-belah akan menyebabkan kita lupa bajet bulanan. Jadi hilang ingatan sekejap apabila melihat tawaran-tawaran hebat yang boleh didapati dengan harga yang murah dari luar negara. Hutang kad kredit sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit ataucharge card lebih selamat jika dibandingkan dengan kad kredit.

Insiden yang ingin saya kongsikan bersama adalah wujudnya andaian bahawa sikap ketagihan menggunakan kad kredit dan berbelanja khususnya kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan tekanan. Membeli-belah menjadi terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi penghargaan kepada diri sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan masalah lain pula.

Statistik Harvard Business Review (HBR) menunjukkan mungkin tidak tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila anda adalah seorang yang menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat belanjawan. Kuantiti dalam realiti kes ini, percaya atau tidak majoriti daripada orang (62%) berbelanja atau membeli sesuatu ialah untuk memulihkan mood.

Kawan saya, Adi memberitahu bahawa isterinya terlalu gila membeli-belah sehingga perbelanjaan sebulan mencecah RM5,000. Akhirnya, Adi terpaksa mematahkan kad kredit di depan isterinya demi menyelamatkan masalah hutang yang semakin tinggi dan rumah tangga, dengan memilih memerdekakan diri daripada hutang. Ini berbeza dengan seorang kakitangan awam yang bersara, Sarjan Rohani pernah memberitahu saya bahawa tidak ada istilah hutang dalam hidupnya. Dia tidak suka berhutang kerana katanya malam-malam dia tidak boleh tidur jika berhutang. Semua keperluan akan dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan membelinya. Katanya, apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan tidak suka jika bank menelefon setiap bulan.

Bercakap tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 2009, seramai 78,000 peminjam disekat keluar negara kerana tidak membayar hutang PTPTN. Soalnya, bukan berapa banyak hutang kepada PTPTN tetapi soal prinsip dan moral; tentunya apabila kita meminjam maka hutang perlu dibayar.

Menurut Datuk Ismail Mohamad Salleh, Pengerusi PTPTN kepada Kosmo! baru-baru ini, seramai 70% peminjam tabung melunaskan hutang. Namun begitu, sebanyak satu peratus caj perkhidmatan pentadbiran atau ujrah akan dicajkan kepada yang belum membayar dan amat relevan jika dibandingkan dengan 4% dari bank-bank lain. Sebanyak RM44 bilion peruntukan telah dipinjamkan kepada 1.94 juta penuntut dalam dan luar negara.

Peraturan asas pengurusan kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya sukar. Senang cerita, " besar periuk besarlah keraknya". Tidak kira berapa gaji kita, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan besar pada tabungan. Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang kad kredit, mencarum dalam pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja dan kita semak liputan insurans.

Merdeka dari hutang membawa erti tersendiri untuk kita hidup dengan lebih tenang. Kita baharu menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dengan tema 'Janji Ditepati'. Janji kita tepati dengan ukur baju di badan sendiri dan ingatkan diri sendiri dengan mengawal diri dan fikir apa yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam berbelanja.

Belanja mengikut kemampuan dan kita tidak perlu rasa rendah diri jika tiada kemampuan. Kita sebenarnya patut bangga kerana walaupun tidak mampu memiliki barangan mewah namun kita tidak berhutang. Bukankah itu lebih bermakna dan lena dibuai mimpi setiap malam?

Berhutang ada banyak buruk daripada baiknya. Jika kita berhutang untuk membeli aset seperti rumah dan kereta sebagai jaminan untuk masa depan, itu ada baiknya. apa yang penting adalah menguruskan hutang dengan bijak dan mengawal segalanya dengan baik sebab kitalah penentunya. Beli mengikut kemampuan bukan dengan nafsu. Merdeka! Salam 1Hati.


Rujuk: http://www.akpk.org.my/my/

DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 06/09/2012

Formula kekalkan kemerdekaan negara

KEMERIAHAN Syawal masih lagi terasa. Namun begitu seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat kemerdekaan yang di kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan segala-galanya termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana muhibah semangat 1Malaysia.

Sementara itu, amalan rumah terbuka yang meriah dilakukan di merata tempat turut dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang berkongsi budaya sungguhpun berlatarbelakangkan kepercayaan yang berbeza.

Nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini hendaklah dipelihara agar ia berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Sehubungan itu juga beberapa formula untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan negara perlu dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama.

Era penjajahan di Tanah Melayu sudah lama berkubur, namun begitu puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi satu nilai jati diri Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati segelintir masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu pula terdapat di kalangan generasi muda lebih gemar memperagakan fesyen terkini berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai Nusantara. Malah ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang menjolok mata dan keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.

Corak pemikiran yang tidak berteraskan nilai-nilai ketimuran juga mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks songsang seperti gay dan lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang daripada ajaran agama suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks songsang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh dunia menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun merdeka. Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih terjajah tanpa disedari.

Nikmat kebebasan beragama yang sebati dengan masyarakat Malaysia juga hendaklah terus dipelihara. Malah nilai yang dikongsi bersama ini merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu, sebarang anasir jahat yang cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan ajaran menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam kesempitan hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak tertentu sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan huru-hara dengan gerakan memurtadkan orang Islam secara terancang eloklah dihentikan bagi mengelak perbalahan agama yang merugikan semua.

Ini kerana berteraskan kepada Perlembagaan Negara, Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang dipersetujui oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada sekatan untuk membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama masing-masing. Bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

Malah uniknya lagi perayaan kaum yang berlatar belakangkan agama berbeza juga turut diraikan bersama oleh seluruh masyarakat Malaysia. Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu, fahaman menyimpang seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau eloklah dijauhi dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak negatif perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.

Sebagai makhluk yang dicipta tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah pasti setiap insan punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Justeru jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk memperbaiki diri dan kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan dapat dirasai oleh semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan memburuk-burukkan orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki dan sering berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.

Sebaliknya nikmat kemerdekaan hendaklah dikongsi bersama dengan semua pihak berusaha mengamalkan nilai-nilai positif seperti toleransi dan saling menghormati antara satu dan lain. Perselisihan dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara hendaklah disalurkan kepada pihak bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat diusahakan.

Umum mengetahui betapa susah payah tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan hidup generasi hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina negara bangsa yang berjaya dan disegani di mata dunia.

Untuk itu, semua individu yang cinta kepada negara haruslah berjuang meningkatkan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga akhirnya manfaat dan kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda diseru memanfaatkan masa muda dengan berjuang untuk mendalami ilmu dan pengetahuan, supaya akan lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia yang boleh dibanggakan satu hari nanti.

Kalangan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta selayaknya bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan kerenah birokrasi melampau yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.

Akhirnya perpaduan dan kesatuan masyarakat untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai slogan dan pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak bersatu hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman hingga marak menyala dan sukar untuk dipadamkan.

Umum mengetahui perselisihan dan pandangan berbeza dalam sesuatu perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun begitu biarlah ia berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan atas kepentingan kendiri.


Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON 
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru Sumber:
Utusan Malaysia Rencana 06/09/2012

Gaji guru siswazah tidak naik?

KERAJAAN menggalakkan para guru yang tidak berijazah menyambung pengajian mereka di peringkat ijazah dan ini merupakan satu dasar yang sangat baik diperkenalkan.


Kaedah penggajian terbahagi kepada dua iaitu secara sepenuh masa dengan separuh gaji dan secara separuh masa dengan bergaji penuh.

Hati guru bersemangat menyambut seruan ini kerana ini kaedah untuk meningkat taraf akademik dan menambahkan gaji kepada skim gaji bersiswazah.

Sayangnya, kaedah penggajian ini juga memberi satu tekanan yang hebat kepada jiwa dan perasan para guru terutamanya pergorbanan guru yang menyambung pengajian melalui kaedah sepenuh masa dengan separuh gaji ini.

Cuba bayangkan jihad mereka ini yang terpaksa meninggalkan anak-anak dan isteri serta ada juga di kalangan guru yang terpaksa menjual kereta dan menanggung beban hutang sehingga kini. Adakah ini keistimewaan yang guru dapat selepas dia menyambung pengajian? Apa istimewanya insan yang bergelar guru apabila hutang PTPTN tidak dapat dibayar. Terpapar di akhbar kisah guru banyak berhutang tetapi mereka tidak mengkaji mengapa guru banyak berhutang.

Yang ingin saya paparkan kepada pihak yang bertanggungjawab terutamanya yang terlibat dengan kenaikan pangkat para guru ini seperti Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Adakah ini keistimewaan yang guru dapat atau sengaja menafikan tugas seorang guru. Ada dua situasi yang berlaku kepada dua orang guru ini.

Guru 1:

Tarikh lantikan DG 29 : 1.1.1994

Tarikh lantikan DG 41 : 1.9.2003

Tarikh lantikan DG 44 Skim Tingkatan 6 : 1.9.2008

Layak lantikan ke DG 48 : 2013

Guru 2 (Siswazah):

Tarikh lantikan DG 29 : 1.1.1994

Tarikh lantikan DG 41 : 1.9.2002

Tarikh lantikan DG 44 Skim Tingkatan 6 : 1.1.2008

Layak lantikan ke DG 48 : 2014

Jika dilihat kepada situasi dua orang guru ini, Guru 2 lebih dahulu mendapat taraf siswazah dan terlebih dahulu dinaikkan ke DG 44. Tetapi adakah ini betul, adil atau sengaja berlaku apabila kelayakan ke DG 48, Guru 1 terlebih dahulu layaknya daripada Guru 2. Adakah saya yang tersilap perkiraan atau memang jawatan guru ini satu jawatan pinggiran sahaja.

Sedih dan pilu apabila insan guru yang bersama berjuang melahirkan anak merdeka ini selalu dipandang sepi dan hina. Saya sentiasa berdoa agar 240,000 lebih kaum guru ini bersabar dan jangan jadi seperti gunung berapi. Itu saja yang kita mampu, berdoa dan bersabar.



ALKISAH GURU Bagan Serai Sumber: Utusan Malaysia Online Forum 30/08/2012

Penjajahan bahasa rosakkan bangsa

Bahasa adalah medium perhubungan. Kebolehan berbahasa adalah kebolehan yang dikurniakan bagi manusia. Daripada bahasa lahirlah pelbagai karya yang memberikan manfaat kepada manusia secara keseluruhan.


Demikianlah juga penurunan al-Quran, yang melakukan satu pemaknaan semula dengan segala kaedah nahu dan susunan kalimahnya terhadap bahasa Arab itu sendiri. Perkara ini turut disentuh Prof Syed Naquib al-Attas yang mengemukakan pandangan bahawa pendakwah Islam yang datang ke Nusantara juga sudah secara cermat dan teliti memilih bahasa Melayu untuk mengembangkan agama Islam bukan bahasa Jawa kerana bahasa Jawa telah diwarnai dengan konsep dan falsafah Hindu-Buddha yang pekat.


Faktor ini boleh menyebabkan kekeliruan terhadap ajaran Islam itu sendiri jika bahasa Jawa digunakan dalam usaha dakwah Islamiah di Nusantara. Justeru, kita mendapati pengaruh Islam yang amat tebal dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu menerima pakai banyak perkataan Arab yang pada masa itu begitu sebati dengan nilai keislamannya. Begitulah nilai dan fungsi bahasa dalam sesebuah peradaban. Ia adalah wahana pembinaan akal dan budi, adab dan kepercayaan serta sistem nilai sesebuah masyarakat.

Namun bagi satu kuasa penjajah sudah tentu penguasaan bahasa sesuatu bangsa adalah bagi tujuan menakluki dan menguasai. Penjajah tahu menerusi bahasa mereka mampu menguasai akal pemikiran dan seterusnya mampu untuk menakluki hati dan jiwa bangsa yang dijajahnya.

Menerusi bahasa juga nilai dan prinsip satu bangsa boleh diubah. Fungsi bahasa yang memainkan peranan dalam memberi makna kepada satu perkataan. Apabila makna berubah, maka nilai juga turut berubah. Sesuatu yang baik boleh menjadi buruk apabila makna berubah, baik dari sudut pengertian lateral mahupun konteks penggunaannya.

Maka pemeliharaan makna perlu diusahakan sebaik mungkin. Ia amat kritikal apabila berkaitan dengan aqidah dan prinsip asas agama. Perkataan seperti iblis, syaitan, Allah dan seumpamanya mempunyai konotasi dengan pemahaman dan nilai yang didukung sesebuah masyarakat.

Usaha audit bahasa yang dilakukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mendapat dokongan semua pihak. Ia satu usaha pemeliharaan bahasa dari sudut kegunaan, makna dan peraturannya, sekali gus adalah satu perjuangan bagi mempertahankan kemerdekaan negara.


Walaupun baru dimulakan, iaitu hanya di sebuah jabatan iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam, ia satu usaha yang mampu memberikan impak besar terhadap perjuangan memartabatkan bangsa dan agenda pengisian kemerdekaan.

Rasa kesal terbit apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksana satu ketika dulu. Bukan saja bahasa Inggeris digunakan dalam P&P tetapi melarat ke mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Daerah (JKKD) turut dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Rakan guru tanpa rasa segan memberikan pandangan dan mengemukakan buah fikiran dalam bahasa Inggeris. Perbuatan ini jelas menunjukkan rasa hilang hormat terhadap bahasa Melayu.

Mungkin perkara ini (PPSMI) sudah berlalu tetapi hati tertanya-tanya adakah kemungkinan mesyuarat rasmi kerajaan juga turut berlaku perkara sama. Jika perkara sama wujud, ia menguatkan lagi keperluan audit bahasa yang diusahakan DBP di jabatan kerajaan. Malah, ia sepatutnya diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya IPT awam. Di sinilah terkumpulnya cerdik pandai Melayu yang boleh dijadikan contoh bukan saja dalam kepakaran masing-masing tetapi turut juga menjadi teladan dalam kemahiran berbahasa. Cerdik pandai inilah yang memberikan makna dan seterusnya membina nilai dalam masyarakat.

Jangan disalahertikan usaha sebegini dengan melabelkannya dengan label anti-bahasa Inggeris dan yang lebih teruk lagi antikemajuan. Walaupun sudah panjang perdebatan mengenai kemajuan dan kaitannya dengan bahasa Inggeris (tidak semestinya berbahasa Inggeris itu maju, dan maju tidak semestinya dengan berbahasa Inggeris), masih ada pihak yang sinis dengan langkah audit bahasa seperti ini.

Seharusnya langkah penguasaan bahasa asing tidak terhad kepada bahasa Inggeris saja. Ia sepatutnya diperluaskan lagi dengan niat untuk menguasai ilmu dari segala bahasa yang wujud di dunia ini. Menerusi niat itu kita mampu menjadi bangsa penyumbang dan keluar daripada kelompok bangsa pengguna kerana kemuliaan itu berada pada tangan yang memberi berbanding tangan menerima.

Sekali lagi ditegaskan, bahawa penjajahan bahasa akan menyebabkan penjajahan akal dan jiwa. Pemeliharaan makna yang selari dengan agama, budaya dan nilai hidup adalah usaha pemeliharaan kemerdekaan akal dan jiwa. Ia adalah satu jihad ilmu yang memerlukan sokongan segenap warga. Usah kita mencari cela pelaksana kerana adat di dunia tiada yang sempurna. Hendaknya kita berikhtiar menjayakannya agar kata ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ menjadi nyata.


Amidi Abdul Manan Sumber: Berita Harian Online Rencana Jumaat , 07 September 2012, 20 Syawal 1433 H

Subjek Sejarah dirombak

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang merangka kurikulum baru subjek Sejarah sekolah menengah untuk melahirkan warganegara bersemangat patriotisme yang tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia berpandukan perakuan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

Tumpu pada kurikulum

Beliau berkata, ia juga selaras dengan perhatian khusus kerajaan terhadap kandungan kurikulum subjek Sejarah di sekolah.

Jawatankuasa khas dipengerusikan Tan Sri Omar Mohd Hashim (Pengerusi Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)) mempunyai tugas besar dan berat.

Laporan sudah diserahkan dan Insya-Allah akan dilaksanakan, katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis PSM ke-57, di Wisma Sejarah di sini, semalam.

Jawatankuasa khas yang ditubuh pada Mei 2011 dianggotai 10 pakar sejarah bertujuan membantu mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah.

Ia bagi memastikan subjek itu mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cintakan tanah air, sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Malaysia.

Penubuhannya juga selaras dasar kerajaan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus peringkat SPM mulai 2013.

Zaman yang menganggap Sejarah boleh diajar oleh sesiapa saja dan menganggap ia sebagai satu mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

Kita mahu Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dengan perhatian yang serius dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam mengenai ilmu itu, katanya.


Oleh Nazura Ngah Sumber: Berita Harian Online Nasional Jumaat , 07 September 2012, 20 Syawal 1433 H

Belalang Jalan Riong: Negara dan undang-undang

Profesor Diraja Ungku Aziz membuat takrifan mudah mengenai patriotisme. Baginya, orang yang membuang sampah di merata tempat adalah orang yang tidak patriotik. Apakah pula bukti seseorang itu kasih kepada negaranya? Banyak jawapan yang Belalang dah dengar. Bagi Belalang, ia ada kaitan dengan undang-undang. Jika tidak patuh kepada undang-undang negara, mereka tergolong dalam kumpulan rakyat yang tidak sayangkan negaranya. Mereka yang sanggup melakukan apa saja tanpa memikirkan kesannya kepada negara dan bangsa, tidak layak menjadi warga negara Malaysia. Adalah tidak salah mempunyai pemikiran politik berbeza kerana ia juga adalah ciri kebebasan, tetapi jangan menghina undang-undang.

Bila orang Melayu lupa diri

Ada sekumpulan manusia entah dari mana datangnya, berhimpun sesama mereka di Dataran Merdeka, kononnya bersama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 kelmarin. Anehnya mereka membawa bendera baru, kononnya mahu menggantikan Jalur Gemilang yang sudah sebati dengan negara ini. Belalang tidak ada simpati dengan mereka sekiranya mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap. Pada Belalang, mereka melakukan tindakan kurang ajar terhadap negara dan rakyat Malaysia, apatah lagi mereka adalah orang Melayu. Inilah akibatnya bila ada orang Melayu lupa diri. Jika inilah sikap mereka, sewajarnyalah mereka ini dibenci. Mereka fikir menukar bendera sama seperti menukar baju. Ia membabitkan kelulusan pelbagai peringkat dan paling penting pengiktirafan dunia. Siapakah mereka yang mahu menukar bendera Malaysia sedangkan mereka tidak pernah berjasa pun kepada negara ini, sebaliknya hanya buat angkara.


Bila Hadi terlepas cakap

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang kata UMNO sudah tiada ulama dan terpaksa menerima ulama PAS. Inilah akibatnya seseorang perasan bijak tetapi sebetulnya percakapannya menjadi bahan kelakar. Hadi mengulas tindakan yang akan diambil terhadap bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa yang menegur hubungan PAS dan DAP yang menolak hudud dan penubuhan negara Islam. Kenyataan Hadi itu memberi isyarat kepada Majlis Syura yang akan bermesyuarat 9 September ini supaya memecat Nasharudin. Jika Nasharudin terus diterima dalam PAS ia memalukan Hadi yang sudah terlepas cakap mengenai bekas timbalannya itu. Takkan Majlis Syura mahu melihat Hadi menjilat ludahnya sendiri selepas mengatakan hubungan UMNO dan Nasharudin. Inikah ciri-ciri ulama Hadi? Ulama PAS lebih sibuk berpolitik. Mereka secara terang-terang menggunakan surau dan masjid untuk mencerca umat sebangsa dan seagama. Tetapi, kepada pihak yang jelas menyatakan pendirian tidak menyokong hudud dan penubuhan negara Islam, mereka pertahankan dengan alasan mereka tidak memahami Islam. Apakah pendapat ulama PAS ini boleh dipakai. Kalau begitu, sesiapa saja boleh bercakap mengenai agama orang lain tanpa memikirkan apa juga kesannya.


Sumber: Berita Harian Rencana Jumaat , 07 September 2012, 20 Syawal 1433 H

Analog: Kekangan minda sekat karya hebat

Kita masih terhalang menikmati karya di luar pemikiran perdana. Walaupun ada yang mendakwa 55 tahun merdeka bermakna kita bebas menafsir dan membuat keputusan, tidak banyak karya yang menduga minda untuk ditonton atau dibaca. Justeru, kita kekal membaca buku atau novel popular, cinta kecundang atau jodoh tak sampai. Kita sekadar menonton filem gred B yang sekadar aksi lasak dan cinta tiga segi. Kita jarang diberi peluang membaca buku yang mencabar minda atau menonton filem yang di luar pemikiran sendiri.


Setiap tahun Hollywood menghasilkan hampir 1,000 filem dan Bollywood pula 1,500 judul. Hanya dua peratus karya mereka dianggap bermutu, berbanding yang berlambak di pawagam kita sekadar adegan ganas, cinta dan hantu. Tiga filem yang paling mendapat sambutan dunia tahun ini bukan karya terbaik. Mission Impossible: Ghost Protocol (kutipan RM87 juta), Sherlock Holmes: A Game of Shadows (RM59.7 juta) dan Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked (RM49.4 juta). Filem berkenaan sekadar hebat dengan teknologi dan kesan bunyi, bukan mutu dan mesej yang membentuk minda.


Malang bagi peminat seni di Malaysia kerana kita dibekalkan dengan karya sampah-sarap, termasuk karya tempatan yang memaparkan cerita seram atau lawak murahan. Jika ada pun karya yang boleh dimanfaat, skrip lama masih berulang – sensitiviti agama, kaum, budaya dan klise Melayu. Karya yang baik diharamkan atau ditunda penayangan dan penerbitan.

Unsur perkauman, ganas

Keadaan berlarutan hingga menyebabkan filem Tanda Putera hanya ditayang pada 15 November. Polemik yang timbul bukan kerana seni analisis tapi hal di luar kesenian itu sendiri. Kononnya filem ini ada unsur perkauman dan keganasan. Ada yang mendakwa kepentingan politik kepartian. Kita sukar merumus tanpa menilai dan mengkaji sesebuah karya.

Sebelum ini beberapa karya besar dunia dinafikan tayangan di Malaysia. Filem Schindler’s List (1993) karya Steven Spielberg diharamkan Lembaga Penapis Filem kerana dikaitkan unsur Yahudi. Begitu juga Saving Private Ryan dan The English Patient kerana pengarahnya Yahudi. Kita menjadi tabu dengan Yahudi walaupun pada masa sama kita menerima idea mereka untuk sistem kewangan, teknologi, pengurusan dan politik.

Begitu juga buku yang mencabar pemikiran dan tradisi turut menjadi mangsa keadaan. The Malay Dilemma oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihasilkan pada 1970 hanya berada di pasaran pada 1981 selepas beliau dilantik Perdana Menteri. Ada yang menuduh Dr Mahathir anti-Islam dan rasis. Selepas buku itu diteliti, dakwaan sebelumnya ternyata meleset.

Tradisi kesusasteraan tidak pernah sunyi dengan polemik. The Satanic Verses karya Salman Rushdie diharamkan di banyak negara kerana menghina Islam serta memburukkan Nabi Muhammad dan Siti Aishah. Cerpen Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin tidak kurang mengundang kontroversi. Karya yang diterbitkan Majalah Sastra, edisi Ogos 1968 dianggap menghina peristiwa israk mikraj.

Menghina Islam

Sasterawan dan cendekiawan, Dr Kassim Ahmad juga tidak terkecuali menerima tempias apabila sajak Sidang Roh dianggap menghina Islam. Dia terpaksa menerima ganjaran mahal apabila ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata dituduh komunis.

Bagi pengkaji yang jujur menilai, Sidang Roh tidak lebih sebagai karya seni yang mengungkapkan jiwa kacau apabila dunia menguasai minda manusia. Mungkin ‘dosa’ bagi sajak ini kerana ungkapan ‘perlu satu-satu diperhitungkan kembali, hari ini kita dewasa tanpa Tuhan tanpa impian/kerana besok mungkin terlalu lewat/bagi kiamat yang telah ditangguhkan.’

Karya yang dihasilkan di Petaling Jaya pada Ogos 1960 adalah pengalaman peribadi penulis yang menghadapi cabaran pemikiran dan persekitaran urban.

Dua buku yang diperdebatkan tahun ini adalah karya Irshad Manji dan Faisal Tehrani. Buku Allah, Liberty and Love diharamkan pengedaran kerana dikaitkan tafsiran bebas terhadap agama. Irshad yang didakwa lesbian pernah mengalami nasib sama di Indonesia apabila majlisnya terpaksa dibatalkan kerana bantahan gerakan Islam. Faisal yang menghasilkan Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang dituduh menyelitkan unsur Syiah dalam karya.

Dari segi sejarah, novel Putera Gunung Tahan karya Pak Sako diharamkan British sebelum kemerdekaan negara. Mungkinkah selepas 55 tahun merdeka ada novel lain yang diharamkan?


Imlan Adabi Sumber: Berita Harian Online Jumaat , 07 September 2012, 20 Syawal 1433 H

Patriotisme penting demi kekalkan kedaulatan negara

Hormati bendera bukti kesetiaan

Sempena hari kemerdekaan yang ke-55 kita banyak mendengar dan meluahkan hal-hal berkaitan sejarah dan kenegaraan. Antara perkara yang tidak pernah lupa disebut ialah 'patriotisme' dan kita tidak mengambil mudah mengenainya, terutama dalam semangat menyambut kemerdekaan.

Perkataan patriotisme yang disandarkan kepada perkataan dasar ‘patriot’ biasanya dimaksudkan sebagai ‘perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.’ Maksud ini didapati dalam Kamus Dewan. Perkataan ‘patriot’ pula merujuk kepada ‘orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negaranya, pembela negara.’ Patriotik, satu lagi perkataan yang berkaitan, merujuk kepada sifat patriot.


Patriotisme adalah nilai universal menuntut perasaan cinta dan rela mati demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negaranya”


Justeru, secara literal apa yang dapat difahami ialah patriotisme adalah perasaan cinta kepada tanah air yang didiami dan didirikan. Perasaan ‘cinta’ kepada ibu pertiwi, tanah tumpah darah itu bukanlah cinta yang biasa-biasa saja. Ia adalah cinta yang disertai dengan kesediaan untuk mempertahan dan menjadi pembela. Dalam erti kata lain, seseorang yang mempunyai semangat patriotik rela mati demi mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dalam arus sejarah, kita lihat ramai mahu dilihat sebagai seorang patriot. Oleh itu istilah pariotisme yang diuar-uarkan di Barat sudah diberikan pengertian berbeza berdasarkan masa dan keadaan berbeza. Agak menarik dalam era Revolusi Perancis, revolutioner atau penyokong revolusi digelar patriot.

Walau kepada siapa gelaran patriot diberikan, sifat dan sikap patriotik ini sangat penting. Kita dapati patriotisme adalah nilai universal yang menuntut perasaan cinta dan rela mati demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negaranya. Walaupun begitu, tidak semua cara menampilkan patriotisme itu universal. Seperti juga dalam sejarah Eropah itu sendiri. Hatta, secara akademik, masih ada mereka yang mempersoalkan kedudukan dan kepentingan nilai patriotisme.

Bendera lambang kedaulatan

Walaupun begitu, apa yang pasti, sifat dan sikap patriotisme begitu penting dalam mengekalkan kedaulatan negara. Patriotisme juga perlu dipupuk. Antara cara menampilkan cinta terhadap negara ialah dengan menghormati bendera negara. Bendera adalah lambang kedaulatan negara. Kita mempunyai protokol tertentu berkaitan bendera. Bendera digunakan dalam keadaan negara berkabung. Bendera menjadi tanda menghormati perajurit yang terkorban demi negaranya. Ini adalah kefahaman dan budaya kita.

Walaupun mahkamah di Amerika pernah membuat keputusan bahawa perbuatan membakar bendera adalah sebahagian daripada hak kebebasan, kebebasan sebegitu tidak perlu dan tidak boleh diteladani. Kebebasan sebegini bukan penyelesai, bahkan ia mungkin menjadi pencetus kepada masalah.

Secara umum, sejarah memperlihatkan kepentingan bendera dalam peperangan, sama ada bagi orang Islam atau penganut agama lain. Ada yang menceritakan bahawa sejarah dinasti China mengumpamakan bendera itu seperti rajanya dan sesiapa yang menyentuhnya dianggap sebagai menyentuh rajanya sendiri. Begitu sekali kepentingan bendera untuk sesebuah kerajaan.

Tak boleh bercanggah ajaran Islam

Berbalik kepada patriotisme, Jean-Jacques Rousseau, dalam tulisannya yang terkenal, Social Contract, memberi perhatian mendalam kepada semangat patriotisme. Kita mengambil perhatian bahawa idea Rousseau ini berkaitan juga dengan revolusi di Perancis itu. Antara lain, Rousseau menyatakan peranan sistem pendidikan, sambutan umum, permainan kanak-kanak dan civil religion (beliau tidak merujuk kepada agama sebenar) dalam pemupukan semangat patriotisme.

Walaupun begitu pandangan Rousseau, Islam tidak menegah umatnya mempunyai semangat patriotisme. Islam menggariskan panduan khusus dalam hal ini. Umpamanya, patriotisme tidak boleh bercanggah dengan ajaran dan perintah agama Islam.

Disebabkan penampilan semangat patriotisme bergantung kepada individu negara, pastinya cara memupuk semangat patriotisme berbeza mengikut tempat dan keadaan. Walaupun begitu sistem pendidikan yang efektif sudah pasti menjadi mekanisme terpenting. Ramai yang mencadangkan pemahaman sejarah negara boleh mencetus patriotisme.

Perasaan dan semangat patriotisme mendambakan kesedaran warga negara secara peribadi, perasaan sukarela, sentimen dan emosi yang tersendiri. Warga negara perlu menyentuh hatinya sendiri untuk berasa cinta dan rela berkorban untuk negara.

Akhir kalam, dua soalan untuk kita menilai diri kita sendiri. Sejauh manakah cinta kita kepada negara ini? Adakah cinta kita itu boleh membuatkan kita rela mati demi mempertahan kedaulatannya?



Penulis ialah Pensyarah Undang-undang, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM Sumber: Berita Harian Online Rencana Jumaat , 07 September 2012, 20 Syawal 1433 H