September 14th, 2012

Transformasi profesion keguruan

PELAKSANAAN Pakej Kerjaya Guru baru yang dicadangkan Kementerian Pelajaran bakal melalui tiga gelombang dalam mentransformasi keguruan menjadi profesion pilihan.

Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, gelombang pertama (2013-2015) memberi fokus kepada meningkatkan standard profesionalisme serta penambahbaikan sistem sokongan dan persekitaran kerja sedia ada.

Katanya, empat langkah yang akan diambil adalah meningkatkan standard kemasukan, mengukur pretasi berdasarkan kecekapan, meningkatkan jumlah peruntukan dalam pembangunan profesionalisme berterusan dan mengurangkan bebas tugas pentadbiran guru.

"Secara keseluruhan, langkah ini dilaksanakan bertujuan menyediakan peluang dan sokongan yang diperlukan oleh guru bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan kecemerlangan mereka dalam pekerjaan," kata laporan awal itu.

Selain itu, tambah laporan awal tersebut, bagi gelombang kedua (2016-2020) pula, Pakej Kerjaya Guru baru akan dibina atas kejayaan gelombang pertama dan akan menyediakan pelaksanaan laluan kerjaya yang dimantapkan dengan tawaran pelbagai pengkhususan bergantung kepada minat guru.

Kemajuan kerjaya yang lebih pantas disediakan untuk guru berprestasi tinggi manakala guru yang konsisten pada prestasi rendah diberi pilihan bagi penempatan semula.

Semua kerja awal perubahan ini perlu bermula semasa pelaksanaan gelombang pertama bagi membolehkan inisiatif yang dirancang dilaksanakan segera pada tahun 2016.

Bagi gelombang ketiga, laporan awal itu memaklumkan, menjelang tahun 2021, semua elemen Pakej Kerjaya Guru baru diharap akan dapat dilaksanakan. Profesion itu akan berubah apabila guru dapat menikmati pelbagai laluan kerjaya berbeza selain menerima kesan daripada pelan induk pembangunan profesionalisme yang dirangka khusus serta pemberian ganjaran berdasarkan prestasi, bukannya tempoh perkhidmatan.

Jelas laporan awal itu, sepanjang tempoh itu, kementerian akan menumpukan kepada usaha memastikan semua guru memanfaatkan keadaan fleksibel dalam hal-hal profesionalisme berkaitan jadual waktu kurikulum dan susunan pengajaran, pendekatan kaedah dan prinsip pengajaran serta pentaksiran berasaskan sekolah.

''Kementerian berhasrat untuk mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme teladan rakan setugas, iaitu guru membimbing satu sama lain, dan saling memberi inspirasi, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan rakan setugas mengamalkan nilai kebertanggungjawaban untuk memenuhi standard profesional.

"Kementerian juga mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan skim pensijilan berdasarkan penguasaan kecekapan keguruan seperti ditetapkan dalam gelombang pertama selain mewujudkan jalinan bekerjasama dengan wakil kesatuan guru untuk mencapai semua matlamat ini," katanya.


ASSIM HASSAN Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Pakej, ganjaran untuk guru

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan satu Pakej Kerjaya Guru baru dalam usaha memartabatkan keguruan sebagai profesion pilihan termasuk kaedah memberi ganjaran sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru.

Menurut laporan awal pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sistem kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan 8:8:6:3 yang baru merupakan suatu penambahbaikan yang jelas lebih baik daripada sistem sebelumnya.

Katanya, sistem itu membolehkan guru dalam tempoh 25 tahun dinaikkan gred daripada DG41 kepada Gred DG54.

''Bagaimanapun, terdapat kemungkinan guru kurang berusaha untuk memperbaiki profesionalisme mereka secara berterusan kerana sistem ini masih terikat dengan tempoh perkhidmatan dan jangka waktu kenaikan pangkat selama 25 tahun juga terlalu lama.

''Oleh itu, sistem ini tidak akan dapat menyelesaikan isu dan cabaran semasa seperti kekurangan guru yang berpengalaman untuk membimbing guru baru," kata laporan awal itu.

Tambah laporan awal tersebut, cabaran lain kepada kemajuan kerjaya secara berkesan adalah instrumen utama yang digunakan dalam penilaian guru, iaitu Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

Katanya, sebagai contoh, daripada hampir 48,000 orang sampel guru yang diambil pada tahun 2010, lebih daripada 60 peratus responden telah digredkan dengan markah melebihi 90 peratus; 38 peratus (markah antara 70 hingga 90%) manakala dua peratus daripada responden mendapat markah bawah daripada 70 peratus.

''Ini menyebabkan kementerian menghadapi kesukaran menyediakan sokongan profesionalisme mengikut kumpulan sasaran yang tepat berdasarkan prestasi mereka.

''Namun, bagi mengatasi kesukaran ini, kementerian telah menyediakan beberapa instrumen lain seperti Standard Kualiti Pendidikan Malaysia: Standard 4 dan instrumen penilaian guru cemerlang, untuk membantu proses penilaian," ujar laporan awal itu.

Selain itu, tambah laporan awal berkenaan, bagi kaedah pemilihan calon dan syarat kelayakan minimum membuktikan sistem ambilan itu telah menghasilkan suatu anjakan penting dalam profil guru pelatih manakala bagi bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ia memperlihatkan peningkatan dari segi tahap kemasukan.

Laporan awal itu menambah, bagi latihan pra perkhidmatan dan pembangunan profesionalisme berterusan, kementerian menyedari masih terdapat kekurangan seperti latihan amali yang terhad.

''Bagi pembangunan profesionalisme berterusan pula berada di tahap sangat baik apabila lebih daripada 90 peratus guru mengikuti program ini 10 hari setahun berbanding tujuh hari setahun seperti yang ditetapkan kerajaan," ujar laporan awal itu.

Kementerian juga telah meningkatkan saiz tenaga kerja keguruan bagi mengecilkan nisbah murid-guru pada kadar 13:1 iaitu lebih rendah secara signifikan daripada sistem yang berprestasi tinggi seperti Singapura (16:1), Korea Selatan (20:1) malah lebih rendah daripada purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) (16:1).

Kata laporan itu, bagi kualiti pengajaran, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), telah menjalankan kajian kualitatif mengenai pengajaran guru melalui pemerhatian terhadap 125 pengajaran di 41 buah sekolah mendapati hanya 12 peratus daripada pengajaran disampaikan pada standard yang tinggi, 38 peratus pada tahap memuaskan manakala 50 peratus pada tahap tidak memuaskan.

''Pengajaran yang membosankan murid apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan yang pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran," menurut laporan tersebut.



 ASSIM HASSAN Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Pendidikan bertaraf dunia

LAPORAN awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah bukan sekadar menyediakan penilaian terhadap sistem pendidikan masa kini dan kejayaan serta kegagalan sistem tetapi juga mengemukakan pelan yang komprehensif ke arah pendidikan bertaraf dunia.

Antara perubahan besar yang akan dilaksanakan ialah memperkenalkan kurikulum baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pula pada tahun 2017.

Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa yang merangkumi dimensi intelek, emosi, fizikal setiap murid dan menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.

Turut diberi keutamaan di dalam pelan tersebut ialah kurikulum dan pentaksiran, pengukuhankemahiran berbahasa, intervensi ke arah peningkatan prestasi sekolah, pendidikan khas dan pendidikan untuk murid pintar cerdas.

Bukan itu sahaja, pelan itu juga menggariskan keseluruhan program transformasi, termasuk menyusun inisiatif mengikut tahun pelaksanaan antara tahun 2013 hingga 2025.

Pelan itu juga turut menggariskan aspirasi baru untuk keseluruhan sistem pendidikan negara dan juga mengandungi analisis terperinci tentang keberhasilan murid serta menetapkan prestasi semasa sistem pendidikan negara.

Selain itu juga, pelan tersebut turut mengkaji peranan guru dan pemimpin sekolah yang merupakan barisan hadapan sistem pendidikan negara, dengan memberi tumpuan tentang cara meningkatkan kualiti serta sokongan untuk guru dan pemimpin sekolah.

Jelas di sini bahawa pelan tersebut telah dirangka bagi menghadapi cabaran abad ke-21 berasaskan dasar dan laporan terdahulu yang sangat besar pengaruhnya.

Kementerian Pelajaran menyedari pentingnya pendidikan di dalam menyediakan asas pembentukan negara bangsa dan pertumbuhan ekonomi mapan selaras dengan matlamat transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

''Pembaharuan pendidikan merupakan agenda penting setiap negara dan Malaysia juga perlu memastikan pembangunan berterusan sistem pendidikan supaya dapat bersaing pada peringkat global.

''Justeru, sistem pendidikan negara perlu melalui transformasi menyeluruh dan sistematik sekiranya berhasrat melahirkan individu yang mampu bersaing pada peringkat global," menurut laporan tersebut.

Kajian juga mendapati Malaysia telah mencapai kejayaan dalam tempoh 50 tahun melalui peluasan akses kepada pendidikan dan peningkatan dari segi celik huruf dalam kalangan kumpulan dewasa dan penglibatan murid di sekolah.

Bagaimanapun, laporan tersebut menegaskan, apabila dilihat dengan lebih mendalam, gambarannya lebih kompleks.

''Contohnya, perbezaan prestasi dan keupayaan di seluruh negeri, daerah dan sekolahwujud pada hari ini.

''Walaupun terdapat kelompok-kelompok sekolah dan daerah yang cemerlang di seluruh negara, namun masih wujud jurang prestasi yang perlu ditangani," menurut laporan itu.


 TERMIZI CHE ANUAR   Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Prestasi tidak seiring perbelanjaan

PERBELANJAAN tinggi kerajaan dalam sektor pendidikan belum mencapai prestasi diharapkan di kalangan pelajar apabila Malaysia ketinggalan di belakang negara lain yang melaksanakan tahap perbelanjaan serupa atau lebih rendah.

Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, sistem pendidikan yang melakukan pelaburan per murid lebih rendah berbanding Malaysia seperti Thailand dan Chile berupaya mencapai keberhasilan murid setanding atau lebih baik daripada negara ini.

Kata laporan itu, Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) 2009 menunjukkan dalam hubungan antara kekayaan dan prestasi murid, Malaysia tergolong di antara negara yang mencapai prestasi pendidikan pelajar lebih rendah daripada jangkaan berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam indeks yang ditunjukkan, Malaysia menduduki tangga kedua terbawah iaitu di atas Indonesia dan di bawah negara seperti Thailand, Mexico, Chile, Repulik Czech dan Turki.

"Sebagai negara membangun, Malaysia telah melaburkan sumber yang signifikan bagi pembangunan infrastruktur khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak dan meningkatkan saiz tenaga pengajar bagi membolehkan peningkatan akses kepada pendidikan.

"Bagaimanapun, Malaysia dilihat kurang berprestasi apabila dibandingkan dengan negara lain dengan KDNK per kapita yang serupa," kata laporan itu.


 RAJA SYAHRIR ABU BAKAR 

Sebagai contoh, laporan itu menyebut, kajian Bank Dunia mendapati perbelanjaan Malaysia pada pendidikan asas seperti prasekolah hingga menengah berbanding KDNK adalah melebihi dua kali ganda daripada negara ASEAN iaitu 3.8 peratus berbanding 1.8 peratus.

Nilai itu juga kata laporan tersebut adalah 1.6 peratus lebih tinggi daripada negara ekonomi Harimau Asia iaitu Korea, Hong Kong, Jepun dan Singapura dan purata.

Perbelanjaan negara itu juga adalah lebih tinggi berbanding purata perbelanjaan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada tahap 3.4 peratus.

Namun begitu, menurut laporan tersebut, perbelanjaan tinggi kerajaan telah diterjemahkan dalam bentuk perluasan akses kepada hampir sejagat bagi pendidikan rendah dan peningkatan signifikan akses di pendidikan menengah.

Tahap perbelanjaan lebih tinggi, jelas laporan itu, tidak semestinya dikaitkan dengan keberhasilan lebih baik apabila menyaksikan Amerika Syarikat membelanjakan RM31,035 per murid tetapi mencapai prestasi hampir dua band lebih rendah daripada sistem seperti Shanghai yang membelanjakan RM12,414 ke RM15,517 per murid.

"Melihat ke hadapan, amat penting bagi kita memahami faktor yang memacu keberhasilan ini supaya sistem pendidikan Malaysia dapat meningkatkan kejayaan dan mengurangkan, jika pun tidak menghapuskan kekurangan yang ada," kata laporan itu.

 
RAJA SYAHRIR ABU BAKAR Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Kurikulum baru mulai 2016

KEMENTERIAN Pelajaran akan melaksanakan kurikulum persekolahan baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017 dalam usaha melonjak sistem pendidikan negara.

Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan murid dan pelajar yang dilahirkan oleh sistem persekolahan di negara ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.

Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.

Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid tahun enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.

Ini kerana mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam tidak akan lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi digabung sekali dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.

Pelaksanaan kurikulum baru ini pula akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu (2012-2015) iaitu fasa persediaan, gelombang kedua (2016-2020) iaitu fasa pelaksanaan dan gelombang ketiga (2021-2025) iaitu fasa pentaksiran.

Menurut Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebagai persiapan sebelum memperkenalkan kurikulum baru itu kementerian akan memurnikan kurikulum sedia ada dan mempergiatkan sokongan kepada guru bagi meningkatkan sistem penyampaian.

"Kementerian sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan kedua-dua aspek kurikulum baru ini, untuk itu gelombang pertama transformasi pendidikan akan memberi tumpuan kepada inisiatif jangka pendek.

"Ia bagi memastikan kurikulum bertulis, kurikulum yang diajar dan kurikulum pentaksiran dapat ditambah baik selain meletakkan asas kepada perubahan fundamental sebelum gelombang kedua dan ketiga dilaksana dan dikaji semula untuk melihat tahap pencapaian," jelas laporan itu.

MOHD. ASRON MUSTAPHA mohdasron.mustapha@utusan.com.my  Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Bersaing di pentas dunia

PRESTASI murid dan pelajar dalam tiga peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan hasil yang hampir malar tetapi tetap menunjukkan peningkatan.

Bagaimanapun, laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 menegaskan, di sebalik keberhasilan itu adalah penting Malaysia membandingkan sistem pendidikannya dengan tanda aras global bagi memastikannya bergerak seiring dengan pembangunan pendidikan antarabangsa.

Ini kerana jelas laporan itu, prestasi negara dalam Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) menurun antara 1999 dan 2007 manakala keputusan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) 2009 pula menunjukkan Malaysia berada di kelompok sepertiga di bawah berbanding 74 negara peserta.

Ia juga lebih rendah daripada purata antarabangsa dan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

"Adalah penting penilaian lanjut tentang keberhasilan pentaksiran itu dilakukan bagi memahami sebarang kekurangan dalam standard pendidikan. Prestasi murid dan pelajar dalam peperiksaan awam menunjukkan peningkatan kekal setiap tahun. Namun, dalam keadaan semasa, perbandingan dalaman tidak lagi memadai bagi memastikan daya saing di pentas dunia.

"Dalam tempoh dua dekad lepas, pentaksiran antarabangsa muncul sebagai satu kaedah perbandingan langsung tentang kualiti hasil pendidikan merentas negara dan sistem. Pentaksiran ini tertumpu kepada Matematik, Sains dan Bacaan. Bagi memahami prestasi murid dan pelajar kita, keputusan penyertaan negara dalam TIMSS dan PISA telah dikaji," jelas laporan itu.

Laporan itu menyatakan, ketika Malaysia menyertai TIMSS pada 1999, skor Matematik mengatasi purata antarabangsa dengan 519 mata dan terletak di tangga ke-16 daripada 38 negara.

Sains pula mencatat 492 mata dan mengatasi purata antarabangsa walaupun kedudukannya lebih rendah iaitu di tangga ke-22.

"Prestasi Malaysia dalam pusingan pada 2003 menunjukkan beberapa penambahbaikan dalam pencapaian pentaksiran tersebut. Namun keputusan pada 2007 menunjukkan penurunan ketara bagi skor Matematik dan Sains di bawah purata antarabangsa.

"Keputusan itu menunjukkan pelajar memahami konsep asas Matematik dan Sains tetapi pada amnya tidak dapat mengaplikasi pengetahuan itu," jelas laporan itu.

Bagi PISA pula, dalam pentaksiran terkini, prestasi Malaysia berada sekurang-kurangnya 100 mata di bawah negara serantau seperti Singapura, Jepun, Korea dan Hong Kong dalam ketiga-tiga dimensi iaitu Bacaan, Matematik dan Sains.

Namun, laporan tersebut menegaskan, ada beberapa bukti menunjukkan kurang padanan antara peperiksaan awam dan pentaksiran antarabangsa tentang kaedah mendefinisi standard.

"Satu sebab yang mungkin bagi tidak jajaran standard itu ialah perbezaan dalam fokus pengujian bagi peperiksaan awam dan pentaksiran antarabangsa. Contohnya PISA memberi tumpuan kepada soalan yang menguji kemahiran berfikir aras tinggi sebaliknya peperiksaan awam negara memberi lebih tumpuan kepada soalan yang menguji kandungan pengetahuan," jelas laporan itu.


METRA SYAHRIL MOHAMED Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Tiga gelombang pembaharuan

TIGA gelombang pembaharuan yang bertujuan meningkatkan prestasi sistem pendidikan negara ditetapkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun bermula tahun depan hingga 2025.

Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menjelaskan, menerusi Gelombang Pertama membabitkan tahun pelaksanaan 2013 hingga 2015, sasaran diletakkan bagi menambah baik kualiti pendidikan negara supaya setanding dengan pencapaian purata global.

Menurut laporan itu, sepanjang pelaksanaan gelombang itu, Kementerian Pelajaran menentukan tiga bidang tumpuan iaitu menambah baik pengajaran di bilik darjah, meningkatkan kepimpinan kementerian dan sekolah serta meningkatkan kecekapan guru bahasa Inggeris.

"Hal ini tidak bermakna inisiatif perubahan akan menumpukan perhatian kepada tiga bidang berkenaan sahaja malah terdapat inisiatif yang memberikan tumpuan kepada isu lain seperti penambahbaikan kurikulum dan peningkatan infrastruktur.


Prestasi sistem pendidikan negara ditetapkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun bermula tahun depan hingga 2025. - Gambar hiasan

"Bagaimanapun, tiga bidang itu dipilih sama ada ketiga-tiganya merupakan pemacu utama bagi menambah baik kualiti guru dan pengetua atau kerana keperluan bagi keseluruhan aspirasi ekonomi negara (bahasa Inggeris)," jelas laporan tersebut.

Bagi Gelombang Kedua (2016-2020), laporan berkenaan memberitahu, kementerian akan melaksanakan perubahan dari segi struktur untuk mempercepat langkah perubahan dengan perancangan bagi semua inisiatif akan bermula semasa gelombang pertama.

Perancangan itu termasuk menggerakkan semua 410,000 orang guru dan 10,000 pengetua atau guru besar kepada pakej kerjaya baru selain menstruktur dan menjajarkan pejabat Persekutuan, negeri serta daerah terhadap fungsi baru.

Ini bagi membolehkan pejabat berkenaan membantu sekolah dan memperkenalkan kurikulum sekolah menengah yang baru dan kurikulum sekolah rendah yang disemak dalam menangani isu mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk berkembang maju di persekitaran ekonomi global masa kini.

Sementara itu laporan itu menyebut, semasa awal Gelombang Ketiga (2021-2025) pula, semua sekolah, guru dan pengetua seharusnya menunjukkan prestasi yang lebih tinggi daripada standard minimum.

"Oleh itu, kementerian akan menumpukan perhatian kepada peningkatan keluwesan operasi untuk menyemai budaya pemimpin rakan sebaya ke arah kecemerlangan profesional. Kementerian juga akan menggerakkan kebanyakan sekolah, jika tidak semuanya, ke arah model pengurusan berasaskan sekolah dan menambah model inovasi pengajaran yang berjaya.

"Matlamatnya adalah untuk membentuk suatu sistem tadbir urus kendiri yang mampu membuat pembaharuan dan membawa pencapaian ke tahap lebih tinggi," tambah laporan itu.

Jelas laporan itu, kementerian menyedari kepentingan serta kesegeraan dalam melaksanakan tugasan yang sedang dijalankan dan untuk itu, kementerian akan mula mengambil tindakan awal dalam beberapa bidang kritikal.

"Sebahagian besar daripada tindakan awal itu akan menjadi asas perubahan dramatik pada masa depan. Bagaimanapun kementerian juga menyedari keperluan menghasilkan pencapaian dengan kadar segera dan konsisten bagi membina dan mengekalkan momentum transformasi.

"Dalam 12 bulan yang akan datang, kementerian mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan perubahan dan mendapatkan hasil seperti semua 70,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa dan syarat pengambilan guru diperketat selain semua 10,000 sekolah rendah dan menengah kebangsaan akan mendapat liputan internet 4G melalui pelaksanaan 1BestariNet," jelas laporan berkenaan.


METRA SYAHRIL MOHAMED Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Tiga fasa pembangunan

PENYEDIAAN Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025 melibatkan tiga fasa yang diambil Kementerian Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara adalah konsisten, berkesan, dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Menurut laporan awal pelan tersebut, fasa pertama yang diambil dalam penyediaan pelan itu adalah melibatkan kajian semula dan ujian menyeluruh tentang sistem pendidikan dengan membuat penilaian terperinci prestasi pendidikan selain memberi tumpuan terhadap keberhasilan murid.

Selain itu, tambah laporan berkenaan, fasa pertama turut mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini selain mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk dicontohi.

''Keberhasilan murid, penggerak utama, contoh kecemerlangan, kerja lapangan dan temu bual bersemuka, perbincangan berkumpulan dan bengkel merupakan antara kaedah yang digunakan pada fasa pertama penyediaan pelan tersebut.

''Hasil daripada kajian ini akan disahkan melalui proses penyemakan data (triangulasi) dengan beberapa sumber bebas seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia selain semua hasil tersebut dinilai secara kritikal oleh satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada kumpulan pemimpin kanan kementerian," kata laporan itu.

Tambah laporan tersebut, bagi fasa kedua penyediaannya, pelan itu memberi tumpuan kepada penyediaan laporan awal dengan menggunakan input yang diperolehi dalam fasa pertama bagi mengenal pasti bidang keutamaan.

Katanya, fasa kedua turut memperincikan program transformasi yang komprehensif mengenai dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh 13 tahun akan datang iaitu antara tahun 2013 hingga 2025.

''Fasa ini merangkumi Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang dijalankan pada April hingga Julai tahun ini dalam mendapatkan maklum balas dari orang awam. Selain itu penyediaan Makmal Pendidikan GTP 2.0 yang bakal dilaksanakan dari tahun 2013 hingga 2015 akan menjadi sebahagian daripada pembaharuan Gelombang 1 pelan tersebut meliputi seluruh tempoh 2013 hingga 2025.

''Kementerian Pelajaran kemudian akan mengkaji semua cadangan daripada DNPN dan Makmal Pendidikan GTP 2.0 itu dengan teliti," menurut laporan itu lagi.

Laporan awal itu menambah bahawa fasa ketiga penyediaan pelan tersebut akan memberi tumpuan untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan dengan melibatkan rundingan serta penglibatan dengan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum balas mengenai laporan awal pelan berkenaan.

Katanya, rundingan awam secara meluas dan segala maklum balas itu akan disatukan pada penyerahan laporan akhir pelan berkenaan pertengahan Disember tahun ini.


Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Fokus dua bidang utama

DUA bidang utama akan difokuskan dalam proses transformasi Kementerian Pelajaran bagi merealisasi aspirasi untuk meningkatkan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan serta keberkesanan sistem pendidikan negara.

Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menyebut, kementerian akan memperkukuh sistem penyampaian untuk memastikan pelaksanaan dasar yang lebih baik.

Ia menuntut penetapan semula peranan dan fungsi Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan memberikan lebih kuasa membuat keputusan serta keluwesan dan sikap tanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Menerusi bidang kedua pula, kementerian akan menambah baik produktiviti sumber dengan memberi tumpuan utama kepada keberhasilan murid dan memperuntukkan sumber kepada inisiatif yang mempunyai pulangan atas pelaburan (ROI) yang tinggi.

Usaha itu bukan sahaja memerlukan kemampuan mengagih semula peruntukan sedia ada kepada perkara yang perlu diutamakan tetapi pada dasarnya mengubah cara kementerian memperuntukkan sumber serta memantau projek dan perkhidmatan yang diberikan.

"Melalui Gelombang Pertama yang meliputi pelaksanaan 2013 hingga 2015, kementerian akan memberi tumpuan mengkaji semula program-program dan perbelanjaan mengurus dalam usaha meningkatkan keberkesanan berbelanja dan mengagihkan semula sumber kepada penggerak yang mempunyai impak besar ke atas keberhasilan murid.

"Semasa Gelombang Kedua pula (2016-2020), kementerian akan mengalih tumpuan dalam usaha pewajaran daripada melaksanakan kejayaan segera kepada pelaksanaan sistem secara meluas termasuk menghapuskan pertindihan bajet antara bahagian apabila proses penstrukturan semula berlaku," jelas laporan itu.

Bagi Gelombang Ketiga (2021 - 2025) pula, kementerian menjangkakan keseluruhan penstrukturan semula termasuk pelaksanaan rombakan dalam sistem dan proses pengurusan kewangan akan selesai.

Hasilnya, produktiviti sumber akan selari dengan standard antarabangsa. Sebagai contoh, tahap perbelanjaan awam seharusnya selari dengan sistem pendidikan negara lain yang mempunyai tahap prestasi yang hampir serupa dalam pentaksiran antarabangsa.


METRA SYAHRIL MOHAMED Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012


Beri perhatian proses transformasi

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Terdahulu, laporan awal itu dibentang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran, memaparkan visi menyediakan sebuah sistem pendidikan dan menghasilkan pelajar yang diperlukan negara di samping langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil untuk mencapai sasaran tersebut.

Mengikut laporan itu, Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) tersebut.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar mahupun orang ramai terlibat dalam pelbagai sesi perbincangan sementara pihak kementerian sendiri telah melantik panel 12 pakar tempatan dan panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan yang diterima.

Menerusi siri jelajah dialog pendidikan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu.

Lima aspek utama yang disasarkan dalam PPP adalah akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Pelan itu turut menyasarkan sifat-sifat pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan dalam pembangunan para pelajar bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

Kementerian Pelajaran juga berharap masyarakat memahami dengan jelas usaha kerajaan mengubah sistem pendidikan negara seterusnya memberi maklum balas mengenai laporan awal itu sebelum ia dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan itu akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang Pertama bermula dari 2013 hingga 2015 dengan tumpuan kepada peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.

Gelombang Kedua antara 2016 dan 2020 pula akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 guru besar menikmati pakej perkara baharu sementara bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah serta menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga yang bermula pada 2021 hingga 2025 akan bergerak ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel di mana semua sekolah, guru dan guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Bagi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan, PPP itu secara keseluruhannya satu transformasi yang besar dan hebat serta satu langkah bijak kerana semua aspek dalam kehidupan bermula dengan satu sistem pendidikan terbaik.

Menurut beliau, dari sekolah rendah, menengah sehingga ke universiti akan menentukan kualiti terbaik seseorang pelajar yang akhirnya akan menjamin kesejahteraan negara.

"Kalau sistem pendidikan tidak baik, maka hasil akhir kepada negara juga tentu tidak baik. Seperti mana guru yang baik menghasilkan murid yang baik, guru tidak baik pula tidak mungkin hasilkan murid yang baik.

"Kerajaan nampaknya cukup memandang berat. Ini bermula dari guru sendiri, tetapi organisasi di sekolah serta pengurusan peringkat daerah dan negeri juga perlu selari untuk menghasilkan guru dan murid yang baik kerana ia satu pakej," katanya.

Beliau merasakan kerajaan sedia memberikan yang terbaik kepada semua termasuk para guru sendiri berdasarkan apa yang dirancang dan dinyatakan dalam laporan awal tersebut.

Oleh itu, beliau menggesa guru-guru kini perlu sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjamin kualiti pelajar terbaik dicapai kerana nasib para guru juga sudah dibela.

"Berdasarkan apa yang dirancang, tidak boleh ada lagi pihak yang mempersoalkan beban guru, mahu balik cepat atau memikirkan kerja lain.

"Jiwa seorang guru perlu dipupuk dari terbit matahari sehingga tamat mengajar kerana ganjaran sewajarnya sudah disediakan," ujarnya.

Beliau juga tidak berasa bimbang akan kemampuan guru bersama menggerakkan transformasi pendidikan demi anak didik mereka selagi semua kebajikan mereka terjaga dan tidak timbul rasa tidak puas hati.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan turut memandang kebajikan anak-anak para guru yang berkelayakan dalam melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi seperti mana yang dinikmati anak-anak pasukan beruniform.

Hashim menyuarakan keyakinan warga pendidik akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin apabila adanya kepuasan kerjaya dan jaminan pekerjaan dalam hidup mereka.

"Jika ada aspek dalam program transformasi ini yang guru kurang mampu sekalipun, kerajaan dan pihak kementerian boleh menyediakan kursus-kursus khas.

"Saya harap para murid, ibu bapa dan kerajaan juga perlu ada keyakinan terhadap dedikasi dan kemampuan warga pendidik di negara ini," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan beberapa kekurangan dalam sistem pendidikan turut diambil kira seperti pembangunan vokasional dan sukan, khususnya di kalangan pelajar yang lemah secara akademik.

"Kita boleh mencontohi Brazil yang mempunyai kemampuan sukan yang tinggi, semuanya hasil sistem pendidikan yang dilaksanakan.

"Pembangunan pendidikan sukan juga perlu dipelbagaikan dan bukan fokus kepada satu jenis sukan seperti badminton sahaja," katanya.

Beliau turut menyambut baik penyertaan aktif ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta dalam pembangunan pelajar kerana sistem berasaskan peperiksaan semata-mata sudah tidak sesuai.

"Sistem pendidikan perlu meningkat. Lihat berapa ramai saintis kita ada, berapa ramai pula yang boleh dipasarkan ke seluruh dunia?

"Kalau sumber manusia kita berkualiti antarabangsa, baru nampak satu sistem pendidikan yang betul-betul berjaya," tegasnya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim turut menyambut baik apa yang dibentangkan dalam laporan awal PPP itu tetapi menggesa aspek pelaksanaan diberi perhatian teliti.

"Kami berpuas hati serta teruja dengan apa yang telah dibentang dan akan dilaksanakan itu tetapi berharap satu sistem pemantauan yang baik dapat menyelia pelaksanaannya kelak bagi memastikan objektif dicapai.

"GPMS yakin dan percaya program ini dapat membawa Malaysia setanding dengan negara maju lain," katanya.

Beliau turut berharap warga sekolah dapat menerima transformasi yang dirancang itu demi masa depan para pelajar dan negara.

"Saya yakin para pelajar bersedia untuk terima apa yang dirancang dan tidak menganggapnya sebagai bebanan kerana pelajar kita juga ada kemampuan berfikir setaraf pelajar negara lain.

"Kita cadangkan mungkin satu taklimat persediaan khusus boleh diaturkan sebagai pengenalan awal kepada pelajar," ujarnya.

Beliau juga mahu semua pihak terlibat sama dalam mencapai objektif PPP khususnya ibu bapa, anggota masyarakat dan sektor swasta yang masing-masing dilihat masih menantikan apakah peranan yang boleh mereka mainkan.


NURUL ANUAR KARI anuar.kari@utusan.com.my  Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 14/09/2012

Getting the right teachers

THE Malaysian Education Blueprint is the step in the right direction to revamp the education landscape by re-looking holistically on the teaching profession and education system as a whole.

It is a bold and brave restructuring plan which must be properly executed.

This includes ironing out all outstanding flip flop directives, with well meaning policies with clear directions.

At the heart of the education system are the teachers. There is the urgent need to raise the quality of teachers and not just focus on the quantity to fill each task.

Let’s face it. Good teacher produces good students who are thinkers and innovators instead of robots or parrots.

The teachers’ role of teaching and multi-tasking educational responsibilities and curriculum are most demanding.

Let’s put this in perspective. If a parent finds it difficult to manage a few children for a few hours, then imagine the task of a teacher in a class of a few dozen students of different races, backgrounds, characters, religious beliefs and at the same time keeping a harmonious equilibrium in the classroom.

The job expectations of a teacher are high and overwhelming when it comes to giving each and every student personal attention.

Not anyone can become a teacher and sometimes the smartest and most intelligent people does not automatically mean that they can become good teachers.

As such, the blueprint has to be executed to ensure that the teaching profession is a well rewarding career choice with a clear career path as teachers carry the heavy responsibility of grooming the next generation that will inherit society from us.

That is achievable by continuing to improve the remuneration scheme to ensure it is a proper, fair and transparent system which may include year-end bonuses and benefits, subject to achieving a certain performance level based on a justified assessment criteria.

The career path of teachers must be clearly spelled out and attractive enough to get naturally talented teachers.

It is a sad that many seldom make teaching their first career choice.

The meaning of a natural talented teacher is a person who can impart knowledge to the slowest uninterested student with the right guidance and without loss of interest and frustration.

Another true test of a teacher is turning a student who are less gifted or less talented in studies to thrive to become a better student and a better person with proper character and attitude upon finishing his or her schooling days.

No point being a teacher with adequate knowledge but little patience with weak students who are unable to comprehend what is being taught.

There is more to just drilling facts, passing examinations and producing as many “robotic” students with a string of distinctions.

The blueprint must ensure that teaching profession becomes the preferred choice as a profession as we must never gamble with the future generation, failing which there will be dire consequences in achieving our dreamed vision 2020 developed status.

The movie “The Miracle Worker” is truly an inspiring story where the dedicated teacher, Anne Sullivan taught a deaf and blind child, Helen Keller to communicate. Keller grew up to earn a Degree in Arts and achieve many great things in life despite the disabilities.

Behind every successful person is a teacher. Personally, I thank every teacher who has taught me because what I am today is due to them.

NG SHU TSUNG Kuala Lumpur Source: The STAR Home News Opinion Friday September 14, 2012

Faktor azam dalam pendidikan

Apa pun benda yang baik Kunta Kinte sokong. Siapa yang buat tak penting sangat. Bukan apa, tapi sebab kita semua disuruh buat kebaikan. Lagi-lagilah kalau ada yang buat kebaikan secara sukarela dengan tak ada upah dan hadiah.

Tapi bila kerajaan atau parti politik buat benda yang baik, itu adalah kewajipan. Kita tak pilih kerajaan dan sokong parti politik untuk buat keburukan. Kita pilih dan sokong mereka untuk buat kebaikan. Jadi Kunta Kinte sokonglah pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 oleh Perd

Tapi Kunta Kinte taklah nak puji melangit dan sokong dengan tak ada had dan batasan. Maaf cakaplah, apabila kita dah hidup lama dan dah banyak makan asam garam, kita dah jadi mangli.

Nak mudah cakap, biar Kunta Kinte kata macam ni. Dalam hal buat dasar dan atur rancangan, tak banyak negara boleh teng kita. Dalam loghat utara, teng ertinya tak boleh lawan.

Punca pelaksanaan dasar pendidikan kurang berjaya

Tapi yang jadi masalah dan punca dasar dan rancangan tak berjaya atau kurang berjaya ialah pelaksanaan dan azam politik. Sebab itulah banyak dasar dan rancangan kita yang ‘world class’ bila dilaksanakan jadi ‘third class’ – daripada kelas dunia jadi kelas ketiga atau tak ada kelas langsung.

Kalau kita masih serius nak jadikan bahasa dan pendidikan sebagai pemangkin perpaduan, integrasi dan sekali gus nak hapuskan polarisasi kaum dan diskriminasi ekonomi, kita kenalah buat yang betul dan dengan cara yang betul juga.

Benda yang Kunta Kinte nak cakap ni bukanlah baru atau luar biasa. Dasar dan rancangan pendidikan masa depan yang futuristik wajib dilaksanakan secara futuristik juga kalau nak berjaya.

Nombor satu, benih kenalah elok. Kalau kita nak jadi negara dwibahasa, wajiblah semua calon guru lulus busuk-busuk pun ‘kepujian’ bahasa Melayu dan Inggeris. Kurikulum perguruan pun wajib dalam dua bahasa juga.

Nombor dua, semua pelatih apabila keluar maktab wajib boleh mengajar bahasa Melayu dan Inggeris, busuk-busuk pun pada peringkat sekolah rendah. Kalau ada keperluan, mereka boleh ajar semua mata pelajaran dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Nombor tiga, latihan guru wajib ada mata pelajaran berkenaan perpaduan, kepelbagaian budaya dan toleransi. Guru kena tahu dan sensitif hal-hal berkenaan agama, bangsa dan adab resam.

Nombor empat, wajib atasi masalah ketidaksamaan infrastruktur dan kecekapan di kalangan pelbagai sistem persekolahan dan antara sekolah bandar yang lebih baik dengan sekolah luar bandar yang daif.

Nombor lima, laksanakan rancangan pertukaran murid dan pelajar yang babitkan semua sekolah, sistem sekolah dan tempat. Kita wajibkan rancangan ini.

Nombor enam, mudah dan wajibkan pembelajaran pelbagai bahasa selain Melayu dan Inggeris, bermula dengan bahasa rakyat tempatan dan seterusnya bahasa-bahasa global.

Nombor tujuh, wajib jadikan akhlak sebagai komponen penting dalam semua bidang kegiatan di sekolah.

Nombor lapan, patriotisme dan cinta negara hanya boleh dicanai kalau semua guru dan murid berpeluang berasa bangga dengan kejayaan negara dalam segala bidang dan usaha.

Hormat orang tua

Nombor sembilan, berhati-hati apabila jalankan kegiatan yang berkaitan agama dan bangsa di sekolah, dan pupuk sifat hormat kepada orang tua, peraturan dan undang-undang. Semua benda ni dah ada dalam Rukun Negara dan adat resam kita.

Dan nombor sepuluh, jadikan penyertaan ibu bapa dan penjaga sebagai komponen penting dalam Kad Laporan murid supaya ibu bapa dan penjaga tidak lepas tangan.

Masalah kita tak berjaya atau kurang berjaya bukan pasal dasar dan rancangan kita tak baik, tapi kerana pelaksanaan kita compang-camping dan kita kurang keazaman. Jadi, macam kata P Ramlee, walhasil balik asal, itu pasal tak hasil. Wallahualam.


Kunta Kinte original Sumber: Berita Harian Online Rencana Jumaat , 14 September 2012, 27 Syawal 1433 H