September 25th, 2012

Survival Melayu mesti dipelihara

PRU-13 penting untuk maruah bangsa

Judul buku The End Of Barisan Nasional? Diterbitkan oleh SUARAM Komunikasi (2012). Penulisnya 'Dr Kua Kia Soong is a director of SUARAM', pertubuhan yang beliau tubuhkan pada 1989. Kia Soong juga adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Suara Inisiatif Sdn Bhd. Jadi beliau memegang jawatan penting dalam SUARAM dan juga Suara Inisiatif Sdn Bhd. Justeru, dalam buku ini (halaman 198) penderma diminta menyalurkan sumbangan kepada ‘Suara Inisiatif Sdn Bhd...’

"Orang Melayu, kecuali penyokong pakatan pembangkang, menentang SUARAM dan DAP, bukan kerana pertubuhan orang Cina atau India. Perjuangan mereka hendak menukar kerajaan dan menegakkan kebebasan dan keadilan, tidak salah. Tetapi sikap mereka terhadap kedaulatan negara, bangsa Melayu dan agama Islam 'highly suspicious'"


Dalam senarai kejayaannya (halaman 198) dicatatkan: “SUARAM has facilitated several crucial coalitions of Malaysian civil society that have contributed to the political tsunami of 2008.” (Jelaslah sekarang, ‘tsunami politik 2008’ turut disokong dengan dana dan gerakan subversif dari luar negara. SUARAM adalah organisasi politik yang berselindung di sebalik pertubuhan sosial yang tak berdaftar). Pemimpin dan penyokong kuatnya pun orang politik, termasuk tokoh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam ‘Foreword’ buku ini, oleh Dr Ronald McCoy, ayat pertama menyebut: “Malaysia has been governed continously for almost fifty-five years by a Malay-dominated coalition, the Alliance, and later by a multiparty coalition the Barisan Nasional.” Dan ayat penutupnya: “We have to replace the Barisan Nasional with another government.” Siapa Dr Ronald McCoy? Bangsa apa dan di mana kesetiaannya?

Barang siapa membaca buku ini dengan matanya tidak mahu melihat realiti kehidupan masyarakat Malaysia, pastilah tergambar betapa zalimnya pemerintahan BN selama 54 tahun. Dikatakan ramai warga Malaysia tidak sedar bahawa masyarakat kita hidup lebih bebas sebelum merdeka dibandingkan dengan zaman sekarang kerana banyaknya ‘democratic institutions’ yang wujud pada 1957 telah dihancurkan oleh BN.

Buku ini merangsang rakyat agar memilih parti baru menggantikan BN yang didominasi orang Melayu. Maka penulisnya mengapi-apikan ungkapan ‘ketuanan Melayu’. Inilah matlamat SUARAM dan Kia Soong menerbitkan buku ini menjelang PRU Ke-13.


SUARAM sedang bekerja untuk sekali lagi mewujudkan apa yang disebut ‘political tsunami 2008’ dengan sokongan gerakan subversif dari luar negeri, yang memang tidak senang hati melihat ada sedikit lagi kuasa di tangan pribumi.

Kalau zaman perang dingin Amerika-Russia, benua Asia dikucar-kacirkan oleh CIA dan KGB, sekarang ada dana dan gerakan subversif daripada bermacam-macam organisasi, termasuk dari Amerika Syarikat, Finland, Kanada dan Kedutaan Jerman.

Maka tepat benarlah apabila Datuk Seri Najib Razak mengingatkan orang Melayu: “Pilihan Raya Umum Ke-13 ini bukan sekadar soal menang atau kalah tetapi soal survival orang Melayu, tanah air kita.”

Dalam ucapan penangguhan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pekan (15 September), beliau menegaskan: “Barisan Nasional, terasnya UMNO. Pembangkang siapa terasnya? PAS, DAP atau PKR? PKR lemah, kalau sekiranya mereka bergabung, DAP dapat banyak kerusi, adakah orang Melayu dapat bergantung kepada DAP? DAP tidak ada rasa senang hati terhadap kedudukan orang Melayu dan orang Islam.”

Maka sekiranya pembangkang menang ‘orang Melayu tidak lagi mempunyai tempat bergantung kerana pakatan itu tidak mempunyai parti Melayu untuk menjadi teras pemerintahan seperti UMNO dalam Barisan Nasional...DAP mungkin menjadi ‘king maker’ dalam pakatan berkenaan, bukan PAS, apatah lagi PKR.’

Orang Melayu , kecuali penyokong pakatan pembangkang, menentang SUARAM dan DAP, bukan kerana pertubuhan orang Cina atau India. Perjuangan mereka hendak menukar kerajaan dan menegakkan kebebasan dan keadilan, tidak salah. Tetapi sikap mereka terhadap kedaulatan negara, bangsa Melayu dan agama Islam amat diragui.

Di negara ini – sejarah jadi bukti – hanya Melayu yang bersedia berkongsi memerintah dan meladeni kehendak semua kaum dan agama. Orang Melayu memang suka bersenang-senang dan hendak menyenangkan hati siapa saja, walaupun terpaksa jadi emak Si Rendang: ‘Dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusui, anak sendiri mati kelaparan.’ Akhirnya, bangsa dan agama dihina, negara pun jadi milik orang. Sejarah akan berulang!

Sebaik saja menang PRU 2008, Lim Guan Eng dan Datuk Nik Aziz Nik Mat menyambut Lee Kuan Yew di Pulau Pinang dan Kota Bharu! Pesan nenek moyang kita: ‘Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah.’



E-mel ke Anda boleh berkongsi pendapat di rencanabh@bharian.com.my  Noor Azam Sumber: Berita Harian Online Rencana Selasa , 25 September 2012, 9 Zulkaedah 1433 H

Tak patut salahkan kerajaan jika gagal

Daripada perbincangan politik di semua peringkat, rata-rata yakin Barisan Nasional (BN) akan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa saja. Ada yang mengatakan Kedah dan Selangor yang kini dikuasai pembangkang akan dirampas semula, manakala Kelantan dan Pulau Pinang yang juga di bawah pembangkang akan menghadapi saingan sengit daripada. BN. Di negeri lain juga, cakap-cakap politik tidak pernah berhenti dengan pelbagai spekulasi.

Kebelakangan ini perbincangan mengenai calon agak ketara. Bagi BN, jika syarat calon yang boleh menang dipatuhi, ia lebih memudahkan BN memasuki medan pilihan raya. Dari segi isu, BN berada di depan. Slogan ‘Janji Ditepati’ menakutkan pembangkang. BN sudah menunaikan hampir semua janjinya kepada rakyat sedangkan pembangkang masih berhelah. Jika disenaraikan kebaikan yang dilaksanakan kerajaan berbanding pembangkang, tidak ada sebab rakyat memilih pembangkang. BN tidak begitu gusar dengan kedudukan di luar bandar yang kebanyakannya dianggap kawasan putih. Di kawasan bandar tertentu ialah kawasan hitam bagi BN, khasnya di kawasan majoriti pengundi Cina.

BN menghadapi masalah berpunca daripada tindakan pembangkang menanam politik kebencian terhadap kerajaan. Apa juga yang dilakukan oleh kerajaan cuba dinafikan kebaikannya. Pembangkang melakukan politik kebencian ini dengan mempengaruhi pemikiran rakyat pelbagai latar belakang dan stratafikasi sosial.

Bagi mereka dalam lingkungan berpendapatan rendah, pembangkang berjanji bulan dan bintang. Sebenarnya kumpulan ini tidak menuntut sesuatu yang di luar kemampuan mereka pun. Mereka hanya mengharapkan gaji yang lebih tinggi sedikit daripada sekarang, memiliki sebuah rumah yang sesuai dan dapat menjamin kebahagiaan keluarga. Kalau inilah tuntutan mereka, kerajaan sentiasa memenuhi permintaan mereka. Setiap kali Bajet dibentangkan, ada saja habuan untuk golongan ini. Di Malaysia, siapa yang rajin, boleh hidup mewah. Ramai penduduk bandar yang hidup mewah tetapi untuk lebih adil, mereka bekerja siang dan malam mengumpul harta dengan menjaja di gerai tepi jalan hinggalah membuka rangkaian restoran. Orang asing juga mengumpul banyak wang kerana mereka bekerja tanpa pengira penat lelah dan halangan masa.

Tidak ada siapa pun juga sepatutnya menyalahkan kerajaan jika tidak berjaya. Setiap orang, bukan saja dibenarkan, tetapi digalakkan berniaga. Kerajaan sudah banyak menyedia dan menyalurkan bantuan kepada golongan ini dan terbukti ramai antara mereka sudah pun berjaya.

Ada juga antara kumpulan rakyat yang tidak menyokong kerajaan kerana kecewa. Mereka mungkin berasakan dianaktirikan oleh majikan, tidak berpeluang naik pangkat dan sebagainya. Mereka tidak melihat kelemahan diri sendiri tetapi menyalahkan kerajaan. Jika pelajar universiti pula, mereka mungkin kecewa kerana tidak mendapat biasiswa, pinjaman dan sebagainya. Bila ada pihak yang cuba memberi harapan kepada golongan ini, mereka mudah terpengaruh dan sanggup melakukan apa saja. Mereka ditanam dengan sikap supaya membenci kerajaan. Pada mereka tidak ada satu kebaikan dilakukan kerajaan. Persepsi salah ini perlu diperbetulkan.

Dana diguna peralat rakyat

Pendedahan mengenai kegiatan Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) serta ‘tangan hitam’ di belakang mereka, sebagaimana didedahkan media, menjawab banyak persoalan berkaitan pergolakan politik di negara ini. Dengan menerima dana berjuta ringgit termasuk daripada badan yang dikuasai penyangak mata wang, George Soros, menunjukkan pembabitan kuasa asing dalam mencorakkan suasana politik Malaysia. Gerakan halus mereka sudah pun berjaya mencetuskan huru-hara di beberapa negara, malah menukar kerajaan yang mereka tidak berkenan. Di Malaysia, tidak mustahil dana itu mereka gunakan untuk membiayai siri demonstrasi jalanan kononnya untuk memperjuangkan keadilan, hak asasi manusia dan sebagainya, sedangkan ia adalah percaturan Yahudi untuk menguasai minda masyarakat, seterusnya menyerahkan negara ini kepada orang yang mereka pilih untuk mereka jadikan ‘patung bernyawa.’ Belalang kesian pada rakyat, khasnya golongan muda yang diperkudakan oleh pemimpin NGO yang kebanyakannya ahli politik pembangkang ini.

Mereka mendapat wang yang banyak sedangkan rakyat yang menyokong mereka diperalatkan dengan cara paling murah. Dengan sehelai baju-T percuma dan sedikit wang saku, rakyat dan mereka yang sehaluan dengan pemikiran tuntutan semasa kononnya memperjuangkan keadilan dan demokrasi, diajak menganjurkan reformasi dan demonstrasi. Mereka yang ditangkap terpaksa menghadapi masalah dan tekanan. Belalang nasihatkan kepada penyokong pembangkang supaya insaflah kerana tindakan mereka itu sebenarnya mempertaruhkan sebuah negara.

Antara Tanda Putera dan Innocence of Muslims

Bila filem sejarah Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba hendak ditayangkan di pawagam di negara ini, ada segelintir manusia termasuk pemimpin pembangkang, membantahnya walaupun ceritanya berkisar kepada fakta sejarah. Tanda Putera dihasilkan setelah kajian mendalam dilakukan oleh Shuhaimi dan pasukannya termasuk mendapatkan dokumen rasmi dan menemu bual keluarga dan mereka yang berkenaan. Apa yang diceritakan dalam Tanda Putera sebahagian besarnya sudah diketahui umum. Ada antara mereka yang terbabit masih hidup dan boleh mengesahkan sesuatu peristiwa itu.


Tentunya, bantahan terhadap filem Innocence of Muslims yang diterbitkan Nakoula Basseley Nakoula mempunyai impak berbeza. Filem itu dibantah umat Islam seluruh dunia kerana jelas cubaan pengarahnya menghina Nabi Muhammad SAW. Filem dengan maklumat palsu itu menghina dan menyerang Islam secara terbuka. Ramai bukan Islam juga mengutuk filem itu kecuali segelintir manusia termasuk seorang yang bernama Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem itu.

Apa pun, bantahan terhadap Tanda Putera dan Innocence of Muslims adalah berbeza. Tanda Putera yang mula diusahakan Shuhaimi sejak 2009 adalah lanjutan daripada usahanya mengarah filem sejarah bertajuk 1957: Hati Malaya. Belalang sudah menonton previu filem Tanda Putera dan mendapati ia amat sesuai ditayangkan. Filem itu menceritakan pengorbanan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalannya, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang terpaksa menghadapi tekanan sewaktu dan selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Dalam keadaan kedua-dua mereka menderita kesakitan, mereka tetap tabah untuk mententeramkan keadaan negara. Tun Razak menerima kematian Tun Dr Ismail dengan begitu terharu, sedangkan beliau menjangkakan, beliau akan pergi dulu.


Mior Kamarul Shahid Sumber: Berita Harian Online Rencana Selasa , 25 September 2012, 9 Zulkaedah 1433 H