October 19th, 2012

Sistem dan organisasi IPGM perlu disemak semula

BANGI 18 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem dan organisasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu disemak semula agar matlamat untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti dan terbaik mampu dicapai.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara perkara yang wajar diberi perhatian adalah penambahbaikan berterusan sistem pengurusan, pentadbiran, modul latihan serta kemudahan prasarana.

"Saya telah meminta pihak atasan IPGM bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran meneliti semula perkara-perkara ini.

"Kita perlu mewujudkan satu persekitaran kerja yang kondusif dan terbaik terutama bagi warga kerja IPGM dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada siswa pendidik," katanya pada majlis perjumpaan bersama siswa pendidikan IPGM serta penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (Kads1m) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pada masa yang sama beliau berharap IPGM akan terus relevan dalam melatih dan melahirkan guru-guru berwibawa dan cemerlang. - BERNAMA




Utusan Malaysia Online Dalam Negeri 18/10/2012

Suami mithali

Buang budaya lelaki cuma cari nafkah semata-mata

IBARAT satu dalam seribu. Begitulah tanggapan masyarakat apabila menggambarkan kewujudan suami mithali yang sanggup berkorban menjaga isteri sakit dan anak tanpa alasan. Kisah pengorbanan bekas perunding kewangan swasta, Abil Fikir, 43, menjaga isterinya yang terlantar sakit akibat kerosakan otak. Meskipun tugas menjaga isterinya agak sukar, beliau tetap meneruskannya kerana menganggap penyakit dialami isterinya bukan satu bebanan, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan sebagai suami.

Tabah dengan dugaan dan cabaran, Abil tidak terlintas mahu menjaja cerita mengenai pengorbanannya. Namun, ramai memujinya, memberi maklum balas positif dan menganggap beliau suami mithali.

Mana tidaknya, persepsi ini wujud kerana dalam budaya masyarakat kita, tumpuan suami lebih kepada kerjaya dan apabila pulang ke rumah, kebanyakannya membiarkan beban rumah tangga diuruskan isteri.

Alasan mereka ialah letih dan tidak mampu buat kerja selepas berhempas-pulas di pejabat, walhal wanita juga memikul tanggungjawab sama dalam membantu mencari nafkah keluarga.

Pandangan negatif itu terus merebak dalam pemikiran masyarakat yang sering disajikan dengan kisah suami curang, tidak bertanggungjawab dan penderaan seksual.
Ubah budaya

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) misalnya, menunjukkan seramai 137,570 atau 21 peratus daripada 651,851 pasangan Melayu Islam berkahwin bagi tempoh 2005 hingga 2010 bercerai selepas lima tahun berkahwin.

Malah, statistik JAKIM pada 2009, menyatakan kadar perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit.

Apabila berlaku perceraian, masyarakat mula memandang serong kepada golongan Adam kerana mereka mempunyai kuasa menjatuhkan talak.

Hakikatnya, lelaki adalah insan hebat dipilih Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini yang mana mereka menjadi tonggak keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat.

Justeru, tidak salah jika suami turun padang membantu isteri. Jika setiap hari isteri bertungkus- lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah, suami yang tidak mahir memasak makanan berat seperti lauk-pauk, cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri sedang menikmati makanan dimasak itu, tentu berasa gembira.

Dilihat luar biasa

Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Membantu isteri melakukan kerja rumah bukan saja dapat meringankan beban, tetapi turut mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan. Persoalannya, sejauh manakah kebenaran suami mithali semakin pupus.

Bagi Pakar Motivasi Kekeluargaan, Dr Robiah K Hamzah, kewujudan suami mithali dalam institusi kekeluargaan tidak boleh dinafikan, sebaliknya disokong supaya menjadi budaya dalam masyarakat.

Katanya, budaya dalam rumah tangga dan perbezaan pemikiran suami isteri menyebabkan masyarakat menganggap kewujudan suami mithali yang memikul tanggungjawab isteri sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Budaya masyarakat kita, suami bertanggungjawab mencari nafkah, manakala isteri bertanggungjawab menguruskan rumah tangga walaupun hakikatnya wanita masa kini turut memikul tugas mencari nafkah bersama suami.

“Jadi, apabila timbulnya kisah suami membantu isteri menguruskan hal rumah tangga kerana isteri sedang sakit, ia menjadi sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Tambahnya lagi, budaya itu harus diubah memandangkan kebanyakan isteri turut memikul tanggungjawab suami dengan bekerja di luar.

Robiah berkata, sebagai ketua keluarga, tidak salah sekiranya suami membantu isteri menguruskan rumah tangga, apatah pula apabila isteri sedang sakit dan memerlukan tempat bergantung.

“Namun, menjadi isu besar ialah cara pemikiran berbeza yang mana bagi wanita, jika dia menyayangi suami, hati dan mindanya akan tertutup pada lelaki lain.

“Berlainan lelaki, walaupun mereka sayang kepada isteri, tetapi fikiran mereka tetap boleh dibuka kepada perempuan lain. Inilah perlu dikawal kerana jika tidak, ia akan membawa masalah kepada rumah tangga,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan supaya suami isteri mendalami dan memahami peranan masing-masing dalam usaha menjadi pasangan mithali.

Suami ditinggal isteri

Pakar Perunding, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata masyarakat sering meletakkan kesalahan di bahu suami apabila berlaku perceraian kerana masih terperangkap dengan kisah fantasi dalam novel dan media massa.

Katanya, berdasarkan pengalamannya menguruskan kaunseling perkahwinan dan keluarga, masih ramai suami mithali yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, namun masih ditinggalkan si isteri.

“Cuma sebahagian daripada mereka lebih senang menyimpan keaiban isteri kerana bimbang dengan pandangan masyarakat, lalu memilih untuk berpisah cara baik.

“Wanita lebih beremosi dalam hal seperti ini lalu kisah mereka lebih gemar dipaparkan dalam akhbar dan televisyen berbanding lelaki,” katanya.

Ditanya mengenai sebilangan lelaki meninggalkan pasangan selepas isteri menghidap sakit kronik, Dr Haslee berkata, ia adalah normal.

“Ia bukan saja berlaku kepada wanita, malah ada juga kes suaminya menghidap sakit kronik lalu ditinggalkan isteri kerana tidak sanggup menanggung beban.

“Semuanya bergantung kepada individu sama ada hendak kekal menjadi suami isteri mithali kerana kebahagiaan keluarga terletak kepada kedua-duanyanya,” katanya.

Tip suami mithali

Keperluan psikologi
Meningkatkan keyakinan pasangan dengan memberi rasa dimiliki dan kemesraan kepada mereka.

Keperluan kuasa
Menjaga harga diri pasangan dengan mengambil kira pandangan isteri dalam apa juga tindakan.

Kebebasan
Memberi ruang kepada pasangan membuat keputusan bersama dalam rumah tangga.

Keseronokan
Memberi kebahagiaan kepada pasangan dengan mengamalkan kemesraan dalam rumah tangga.

Tip rumah tangga bahagia

Berbicara lemah lembut, memanggil dan memandang dengan kasih sayang antara suami dengan isteri.

Membersihkan diri, penampilan rapi dan bersih. berhias dan memakai wangi-wangian.

Jujur dan amanah, jangan memandang rendah pasangan, saling mengalah dan memaafkan dan paling penting perhatikan kelebihan pasangan, malah sekiranya ada kekurangan, segera tutup daripada pengetahuan orang.

Jangan mencela masakan isteri, berusaha meringankan beban kerja pasangan.

Tidak membandingkannya dengan orang lain

Jauhi hal menimbulkan rasa cemburu.

Selalu berpegangan tangan, bergurau senda, saling membelai kerana dengan cara ini pasangan akan merasai dirinya sentiasa diperlukan.

Jadikan kamar tidur tempat peribadi, bersih, harum dan masa menyenangkan pasangan.

Saling menasihati dan cuba meringankan beban ditanggung pasangan.

Peruntukkan waktu khusus bersama pasangan seperti makan bersama, solat berjemaah pada waktu tertentu seperti Maghrib dan Isyak, bersiar-siar dengan anak di taman.

Saling mendoakan dan merindui apabila berjauhan.



Rashiqah Ilmi Abd Rahim Berita Harian Online Famili Jumaat , 19 Oktober 2012

Poligami: Ikut syariat atau nafsu

PANDANGAN seorang lelaki terhadap wanita lanjut umur - 35 tahun ke atas - rugi kerana tidak berpeluang hidup berumahtangga dan kupasan Fauziah Arof tidak salah dengan fenomena tersebut kerana setiap wanita memikirkan kebahagiaan daripada segala-galanya. (Syed Abdulllah Syed Othman Jamalullail, Longgarkan syarat berpoligami dan Fauziah Arof, Hanya Memudahkan Poligami, bukan misi penyelamat, Utusan Malaysia, 16 dan 17 Oktober, 2012).


Bagi Fauziah, tidak salah seorang wanita yang bekerjaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangannya kerana tidak mahu kecundang akibat tersalah pilih. Atas sikap hati-hati dan berwaspada itulah ada menyebabkan wanita sukar memperoleh pasangan lelaki yang baik kerana calon-calon semakin berkurangan ataupun tidak mahu terjerat dalam putaran berkongsi suami.

Sementara itu, bagi Syed Abdullah, seperti kebanyakan lelaki normal bercakap tentang keinginan dengan harapan dapat melihat fenomena andartu dikurangkan walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya secara mutlak.

Islam memberikan kebenaran untuk berpoligami dengan syaratnya dan bukanlah sebagai terjahan naluri 'ego' kerana wujud perspektif seseorang yang berkahwin lebih dari seorang pada suatu masa 'hebat' kerana berjaya menakluki dan mencairkan hati lebih seorang wanita.

Persoalan yang ditetapkan oleh agama tidak menjadi pertimbangan utama kerana konsep keadilan itu juga telah dipersimpangkan sebagai 'sama rata, sama rasa'. Contoh yang jelas ialah bagaimana Fauziah melihat keadilan itu antaranya, "pembahagian giliran, pembahagian nafkah dan sebagainya."

Bagaimanapun Fauziah melihat perspektif selanjutnya iaitu perasaan perempuan bekerjaya takutkan lelaki mengambil kesempatan atas kedudukan itu kerana pada masa sekarang memang sukar untuk mencari lelaki jujur dan ikhlas dalam perkahwinan. Wanita menjadi sedikit gusar apabila kadar penceraian kian bertambah dan ini memeritkan ramai orang kerana perkahwinan itu mudah tetapi hidup bersama hingga ke akhir hayat teramat payah.

Sebelum Islam, konsep berpoligami banyak berkisar atas keinginan seseorang lelaki. Dunia seolah-olah diterajui sepenuhnya oleh lelaki dan dikenali sebagai patriarki. Apabila Islam diturunkan, poligami tidak diharamkan tetapi diletakkan syarat ketat, iaitu berlaku adil.

Islam mengadakan peraturan perkahwinan dan menggariskan batas tertentu untuk poligami dan menjadikan bilangan paling banyak (maksimum) wanita yang boleh dikahwini dalam satu-satu masa ialah empat orang dengan syarat individu itu mempunyai kemampuan yang cukup serta boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya.

Islam telah menentukan keperluan individu dan masyarakat dan menentukan ukuran kepentingan kemaslahatan manusia seluruhnya. Hak lelaki berpoligami dalam lslam bukan persoalan hak lelaki ke atas wanita. Tetapi, ia adalah hak Allah SWT terhadap makhluk-Nya. Hak ini bukan dipaksakan Allah. Ia peruntukan yang diharuskan dengan bersyarat ke atas lelaki yang ingin berpoligami.

Ini bermakna, ada sebab yang munasabah Islam memberikan kelonggaran untuk lelaki berkahwin lebih seorang dan tidak boleh berlandaskan naluri seks semata-mata sebagaimana menjadi faktor lelaki masa kini menambah bilangan isteri.

Apakah cadangan Syed Abdullah itu dibuat dengan alasan untuk "menyempurnakan kehidupan berumah tangga kepada setiap wanita" manakala Fauziah tidak bersetuju kelonggaran syarat kerana ramai lelaki suka mengambil kesempatan. Wanita semakin sedar, dirinya bukanlah objek yang mudah dipergunakan kerana kesedaran muncul dalam diri, tidak bererti hidup membujang itu sesuatu yang salah dan tidak bahagia.

Menurut Maulana Wahidudin Khan, "Perintah poligami, meskipun nampaknya lazim dipraktikkan, hanya diberikan sebagai solusi bagi mengatasi masalah sosial yang serius. Poligami memberi jalur bagi jumlah perempuan yang berlebih untuk dapat menyelamatkan diri daripada anarki seksual, dan untuk dapat mempunyai kehidupan keluarga yang stabil dan layak. Ertinya, di sini bukan masalah menerima poligami ketimbang monogami, melainkan memilih antara poligami dan anarki sosial."( Antara Islam dan Barat: Perempuan di Tengah Pergumulan, 2001:240-241)

Nyatalah bahawa perspektif poligami yang dibenarkan oleh Islam secara teorinya seolah-olah memberikan kelebihan kepada lelaki, tetapi jika dianalisis dalam perspektif struktur masyarakat, poligami lebih menguntungkan wanita, merupakan jalan keluar terbaik bagi menghindari masalah perempuan dan memenuhi keperluan sosial.

Poligami menimbulkan pelbagai prasangka apabila kelonggaran itu dilihat sebagai 'kontra budaya' oleh gerakan feminisme yang secara lantangnya diwujudkan oleh wanita profesional dan terlibat dalam gerakan buruh pada 1960-an. Mereka memperjuangkan persamaan gender sehingga merosakkan persekitaran moral dan kehidupan bermasyarakat kerana menilai institusi keluarga sebagai "bagasi kehidupan yang semakin berat dan sarat."

Gerakan feminisme sentiasa berjuang secara bertentangan dengan kelaziman sehingga menganggap hidup keseorangan tanpa berkeluarga itu adalah perubahan yang mesti dihormati oleh semua orang. Ia adalah pilihan yang wajib dihormati. Bagi membangunkan keluarga memerlukan kesiapan mental, fizikal dan ilmu. Itulah sebabnya ada ketetapan bahawa sebelum berkahwin perlu menjalani kursus praperkahwinan, tetapi setelah berkeluarga tidak disyaratkan pula menjalani kursus keibubapaan.

Itulah sebabnya, banyak keluarga berantakan manakala perkahwinan semakin bermasalah sehingga dari segi statistiknya amat mencemaskan. Rasa takut sebenarnya punca mengapa ramai mengambil keputusan untuk melewatkan perkahwinan dan kecenderungan ini semakin membesar dalam masyarakat.

Contohnya, hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010, 2.5 juta jumlah penduduk berusia lebih 25 tahun masih belum berkahwin, yakni 60.4 peratus adalah lelaki berbanding 39.6 peratus adalah wanita. Masyarakat masih melihat, fenomena lelaki lambat kahwin bukanlah masalah besar berbanding dengan wanita.

Dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 (2004), hampir separuh lelaki memberikan jawapan faktor yang melambatkan mereka berkahwin ialah masalah kewangan (44.7%), kemudian diikuti tiada calon yang sesuai (19.3%), kerjaya (12.8%), komitmen keluarga (6.3%) dan sebab-sebab lain.

Wanita belum berkahwin kerana tiada calon yang sesuai (40%), masalah kewangan (14%), kerjaya (8.4%), selesa hidup membujang (8.4%), komitmen keluarga (7.4%) dan sebagainya.

Dapatan ini memberikan pemahaman faktor calon merupakan masalah yang kritikal bagi wanita manakala bagi lelaki ialah kewangan.

Lelaki mula merasakan agak perit untuk berkahwin kerana belanja kahwin semakin meningkat hingga ada ketikanya keluarga perempuan meletakkan mas kahwin melebih RM10,000 atas alasan, perlu dinaikkan kerana nilai wang semakin kecil dan kos sara hidup semakin tinggi.

Perkahwinan yang mahal dan besar, penuh gemilang bukanlah jaminan memperoleh bahagia. Oleh itu, perlu realistik dalam membuat pilihan pasangan, meletakkan mas kahwin dan hantaran, majlis kenduri dan resepsi. Idealisme tidak dapat dipenuhi sepenuhnya bahkan idealisme tidak pernah menghasilkan kejayaan secara total.

Perkongsian dalam keluarga mestilah bermula dengan keazaman kuat membina keluarga bahagia dengan menepis ego dan merapatkan jurang perbezaan psikologi. Tidak perlu terikut-ikut dengan gaya perkahwinan selebriti dan nilai budaya feminisme, kerana pengaruh itulah banyak menjadikan pasangan rapuh dan rawan penceraian.

Apa pun, sepatutnya kita perlu menyatakan pendirian yang sederhana dalam menanggapi masalah poligami ini. Kita tidak perlu melenting kuat dan menolak serta-merta sekiranya poligami menjadi pilihan terakhir bagi menyelesaikan masalah keluarga mahupun masalah sosial. Pasti ada hikmah yang terkandung di dalamnya.

Kita juga tidak boleh menerima secara total implementasi poligami yang mempunyai peluang besar untuk disalah guna oleh kaum lelaki dan disalah erti maksud sebenar tujuan poligami. Perlu ada sebab musabab kuat yang tidak boleh dicari jalan keluarnya bagi membolehkan poligami dilaksanakan.

Kalaulah persekitaran itu dapat dicemerlangkan, maka fenomena berkahwin di lewat tempoh kesuburan berjaya dikurangkan. Persoalan poligami bukanlah masalah besar kerana seorang suami akan merasakan dosa yang besar apabila gagal berlaku adil ke atas isteri-isterinya. Poligami mempunyai kemanisannya jika berjalan secara bijaksana, tetapi kebanyakannya menjadi 'neraka' jika ia diasaskan atas keinginan seksual dan berlangsung tanpa restu isteri pertama.

Kemampuan kewangan haruslah menjadi ukuran kerana sebagai seorang lelaki, adalah dayus jika mengharapkan isteri menyara kehidupan berkeluarga, kecualilah dalam keadaan suami berhadapan dengan penyakit dan kecacatan fizikal (atau mental). Lelaki mestilah kembali menjadi kelompok yang kuat, sihat dan perkasa (fizikal dan mental) bukan hanya bermain sandiwara memikat wanita cantik dan berkerjaya.

Maka setiap orang yang berhasrat berpoligami, sama ada atas alasan lewat usia dan keinginan berkeluarga serta cabaran budaya atau masyarakat hendaklah menghormati apa sebenarnya institusi keluarga. Ia bukanlah perhitungan berdasarkan idealisme semata-mata, ia amalan yang amat memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan hakisan sempadan ego diri.




DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Malaysia Online Rencana 19 Oktober 2012 / 3 Zulhijjah 1433

Salah bukan Melayu jika tidak minat khidmat awam

Diskriminasi firma swasta tak pernah diungkit

Dakwaan kononnya perkhidmatan awam tidak mencerminkan jumlah komposisi rakyat negara ini dan dimonopoli orang Melayu tidak habis-habis diungkit. Selain itu, jumlah 1.4 juta penjawat awam, dikatakan jumlah yang begitu besar sehingga melebihi nisbah negara lain di dunia. Sememangnya apabila melihat jumlah begini tanpa mengetahui keadaan sebenar, semua orang akan bersetuju perkhidmatan awam negara ini sememangnya besar.


Tetapi apakah dakwaan ini benar? Kenapakah mereka tidak mahu memperincikan kedudukan sebenar jumlah yang dikatakan terlalu besar itu? Sebenarnya angka 1.4 juta itu juga merangkumi perkhid-matan lain termasuk guru, kakitangan polis dan tentera, kakitangan institusi pengajian tinggi awam mahu pun kakitangan kesihatan.


Jika dilihat ia merangkumi 500,000 guru, hampir 100,000 pensyarah dan kakitangan lain di institusi pengajian tinggi awam, lebih 200,000 polis dan anggota tentera, lebih 100,000 kakitangan hospital, klinik dan pertubuhan kesihatan awam. Jumlah penjawat awam yang sebenar hanya 400,000 orang.

Apakah jumlah ini terlalu besar berbanding jumlah keseluruhan penduduk. Apakah nisbahnya masih terbesar di dunia seperti didakwa mereka yang sengaja mahu memperlekehkan negara sendiri?

Kemudian dinyatakan juga perkhidmatan awam hanya memberi peluang kepada orang Melayu. Gambaran yang hendak diberikan kononnya bukan Melayu tidak mendapat tempat, malah terus ditindas.

Jika bukan Melayu jarang mahu memohon jawatan dalam kerajaan kerana lebih suka berkhidmat dengan swasta yang dikatakan memberi pendapatan lebih baik, apakah ini pun salah orang Melayu?
Dalam pada itu, timbul juga kononnya beberapa kerat bukan Melayu yang ada dalam perkhidmatan awam dan semuanya menghadapi diskriminasi apabila hendak naik pangkat. Kononnya sukar sekali bukan Melayu mendapat pengiktirafan walaupun menunjukkan prestasi baik.

Jelaslah, mereka sengaja membutakan mata antara 25 kementerian yang wujud sudah terdapat lima bukan Melayu memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha, merupakan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan. Adakah ini menunjukkan bukan Melayu masih didiskriminasi?

Oleh kerana ketika ini terlalu kerap perkara ini ditimbulkan, perkhidmatan awam sendiri melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai bukan Melayu memohon untuk bekerja dengan kerajaan. Pelbagai kempen diadakan untuk menambah jumlah bukan Melayu memasuki perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, kenapa tidak pernah ditimbulkan soal berapa kerat Melayu yang diberi peluang bekerja dalam syarikat swasta? Kenapa kedudukan orang Melayu yang amat kecil dalam syarikat swasta dikuasai bukan Melayu tidak dibangkitkan sama atau mungkin tidak siapa mahu mengambil kisah? Kenapa tidak pula mahu diadakan kempen dan usaha syarikat bukan Melayu mengambil lebih ramai kakitangan Melayu dan adakah orang Melayu tidak menghadapi diskriminasi?

Berapa banyak antara syarikat itu yang melantik Melayu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka? Jangankan CEO, Melayu yang berjawatan peringkat pengurusan menengah pun susah hendak dicari.

Ini juga sepatutnya difikirkan oleh mereka yang membuat tuduhan melulu kononnya bukan Melayu dipinggirkan dalam perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, laporan akhir oleh Ketua Audit Negara mengenai kedudukan perbelanjaan dalam perkhidmatan awam untuk tahun lalu yang membabitkan perlakuan penjawat awam masih membingungkan.

Kenapakah perlakuan yang tidak boleh diterima masih berlaku dalam sesetengah agensi dan jabatan awam? Apakah pelaku yang mengabaikan peraturan kewangan sehingga ada yang tidak masuk akal dilaporkan bertahun-tahun sebelum ini tidak dikenakan tindakan hingga perlakuan seumpama itu berterusan berlaku? Apakah Jabatan Perkhidmatan Awam, kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan sudah bertindak ke atas pegawainya yang menyeleweng peraturan kewangan?

Apakah kontraktor yang membuat kerja tidak memuaskan sehingga kerajaan terpaksa menanggung bebanan kos yang berlebihan untuk membaiki kerja selekeh mereka sudah disenaraihitamkan? Malangnya gambaran yang boleh disimpulkan seolah-olah pegawai bertanggungjawab terhadap sesuatu projek atau pembelian tidak mengambil kisah terhadap hal sedemikian.

Maka itu setiap tahun laporan tahunan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen selalunya sarat dengan wujudnya kelemahan pengurusan kewangan demikian.

Yang lebih memusykilkan ialah perbelanjaan ke atas pelbagai jenis barangan yang kemudian dibiarkan saja tanpa digunakan atau melantik kontraktor yang tidak dapat menyelesaikan projek dengan memuaskan atau dapat menyiapkannya tetapi sarat dengan pelbagai kecacatan.



Rejal Arbee Penulis ialah Felo Kanan di UKM Berita Harian Online Rencana Jumaat , 19 Oktober 2012