October 30th, 2012

Pelaksanaan PBS tidak bebankan guru

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran menjelaskan guru tidak akan berasa terbeban sekiranya memahami konsep perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Kenyataan Lembaga Peperiksaan menyebut, daripada kajian soal selidik yang dijalankan mengenai kesediaan guru melaksanakan PBS secara dalam talian (online) pada September lalu mendapati 84.2 peratus daripada 46,929 guru Tingkatan 1 sekolah menengah seluruh negara memahami konsep PBS.

Kira-kira 90.7 peratus daripada 89,618 guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah rendah juga didapati memahami konsep dan cara melaksanakan PBS.

''Kira-kira 9,006 atau 10 peratus guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah rendah dan 7,979 atau 17 peratus guru Tingkatan 1 di sekolah menengah jelas tentang konsep Pentaksiran Sekolah iaitu komponen akademik PBS," menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, guru juga kurang memahami mengenai cara melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (pentaksiran formatif).

Hal ini demikian kerana, kesukaran guru membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan kebiasaan menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel.

"Pengurusan evidens murid dalam PBS yang dikatakan memakan masa yang banyak dan ruang yang besar adalah perlu bagi memastikan penguasaan murid dalam pembelajaran direkod untuk melihat pertumbuhan dan perkembangan murid sepanjang tempoh persekolahan'', kata kenyataan itu.

Bagi mengatasi permasalahan itu, Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Fail Showcase (FS) diperkenalkan.

Pendekatan itu membolehkan seorang murid memiliki sebuah FPM sahaja untuk menyimpan evidens bagi semua mata pelajaran yang dipelajarinya.

FS merupakan fail menyimpan evidens terbaik bagi semua deskriptor untuk setiap mata pelajaran dan digunakan sebagai rujukan piawai evidens serta disediakan mengikut tahun atau tingkatan bergantung kepada keputusan Jawatankuasa PBS sekolah.

Pada masa yang sama, kesukaran guru mengakses Sistem Pengurusan PBS telah dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada masalah yang dihadapi guru.

Langkah interim (bersifat sementara) yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah tersebut adalah dengan menyediakan hosting khas yang berasingan bagi Sistem Pengurusan PBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

"Proses migrasi hosting bagi sistem tersebut telah selesai dilaksanakan pada akhir September lalu dan didapati sistem tersebut setakat ini stabil serta boleh diakses," jelasnya.

Sementara itu, bagi memastikan guru Tahun 1, 2 dan 3 dan Tingkatan 1 dan 2 memahami dan boleh melaksanakan PBS sebelum 31 Disember ini, Lembaga Peperiksaan telah merangka pelan tindakan penambahbaikan pelaksanaan PBS.

Antara perancangan tersebut termasuklah menyediakan Latihan Hands-on PBS secara in-situ kepada pejabat pendidikan daerah dan guru contoh PBS di seluruh negara.

Latihan ini dijalankan mulai pertengahan Oktober hingga pertengahan Disember ini.

Lembaga Peperiksaan juga akan menyediakan bahan sokongan dan khidmat pementoran PBS dalam talian bertujuan membantu guru memahami dan boleh melaksanakan PBS seperti yang dihasratkan sekali gus mengurus perubahan yang berlaku dengan baik setelah memahami konsep agar mudah melaksanakan PBS nanti.



NORIZAN ABDUL MUHID pendidikan@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Pendidikan 29/10/2012

Bahasa SMS tidak ancam bahasa Melayu asli

SAYA merujuk Utusan Malaysia, bertarikh 21 Oktober 2012 muka surat 2, bertajuk 'Trend bahasa ringkas SMS pengaruhi pelajar membimbangkan'.

Sering kali kedengaran keresahan di pihak-pihak tertentu terutamanya kepada ibu bapa, pendidik, pejuang-pejuang bahasa Melayu mengenai kerosakan bahasa dalam sistem pesanan ringkas yang dikenali sebagai SMS.

Apakah keresahan ini perlu dibimbangkan secara keterlaluan? Saya mengajak pembaca melihat kepada dua perkara penting. Pertama, teladan dan kedua ialah loghat. Apabila dua ramuan ini digabungkan maka lengkaplah ungkapan sistem pesanan ringkas atau SMS.

Teladan yang dimaksudkan ialah mengenai 'ejaan' yang diambil daripada 26 susunan abjad A hingga Z.

Dari sudut ejaan, kanak-kanak mula berlatih mengeja dan menulis dari sekolah. Apabila berlaku kesukaran untuk mengeja atau mencari makna, mereka merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi tonggak rujukan.

Tanpa disedari Kamus Dewan Edisi Ketiga, muka surat xiii bertajuk 'Kependekan', secara langsung menjadi teladan kepada murid-murid, seolah-olah mengajar atau membenar penggunaan ejaan pendek dalam SMS.

Selain itu, masyarakat keseluruhan juga didedahkan oleh cara tindakan kerajaan tempatan menulis di papan penunjuk arah yang juga menjadi teladan kepada kanak-kanak menulis dalam bentuk SMS iaitu Jln. (Jalan), Sg. (Sungai), Kg. (Kampung) Bkt. (Bukit), Sek. (Sekolah) Tmn. (Taman) yang boleh dilihat di persekitaran kita pada setiap hari.

Jika pihak berkuasa boleh mengisytiharkan penggunaan ejaan pendek untuk sesuatu perkara, maka tidaklah menjadi satu beban kerisauan sama ada kepada pendidik, ibu bapa atau pegawai kementerian yang sedang membaca isu ini, kerana mereka juga mempunyai telefon bimbit yang menggunakan SMS dan sudah tentu semuanya merestuinya tanpa suara.

Soalannya, salahkah pengguna telefon bimbit menuruti kaedah yang diguna pakai oleh pihak berkuasa.

Dalam pertuturan seharian kanak-kanak, ia bermula dari rumah kemudian dipengaruhi oleh masyarakat sekeliling.

Lain daerah lain pula bahasa loghatnya. Jadi pertuturan atau pembacaan dari tulisan SMS bolehlah dianggap sebagai loghat bahasa.

Cuba lihat, orang Kedah sukar memahami loghat orang Kampung Gaung, Hulu Terengganu. Begitu juga orang Terengganu sukar memahami bahasa orang Kedah.

Saya ambil contoh loghat Terengganu 'Mu gi maner' (kamu hendak pergi ke mana). Jika kita lihat 'mu gi maner' di dalam SMS, ia adalah bahasa harian Trengganu dan bukannya bahasa SMS. Begitu juga dengan jawapannya 'gi keda' (pergi ke kedai).

Orang Terengganu lazimnya tidak menyebut 'pergi' sebaliknya menyebut 'gi' dan meninggalkan 'ke' dalam perbualan harian.

Sama ada pertuturan mahupun ejaan, bagi orang Terengganu ia telah mendahului bahasa SMS beratus tahun sebelum wujudnya telefon bimbit.

Yang menariknya ialah pada setiap kali keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, sekolah-sekolah di Trengganu mengatasi sekolah-sekolah lain dalam pencapaian keputusan cemerlang seratus peratus.

Seterusnya penggunaan 'OTW' (on the way atau dalam perjalanan). Walau pun SMS begini ditulis oleh orang Melayu dan dibaca oleh orang Melayu, tidak bermakna bahasa Melayu disebut bahasa rojak atau mereka merosakkan bahasa Melayu, kerana perkara yang sama juga berlaku di Parlimen.

Sebagai contoh, Belanjawan 2012 telah ditukar kepada Bajet 2012.

Kini orang tua di kampung sudah tidak tahu menyebut belanjawan kerana teladan yang menyebabkan mereka menjadi begitu.

Begitu juga di peringkat kementerian, jika Polis Diraja Malaysia menggunakan kependekan PDRM tetapi jabatan pertanian menggunakan kependekan Inggeris iaitu MOA (Ministry of Agriculture) serta mendaulatkannya dan didagangkan pada pakaian seragam jabatan.

Sudah sampai waktunya, pihak Kementerian Pelajaran disaran membuat kajian ke atas pelajar SPM dan STPM termasuk mahasiswa yang memperolehi keputusan cemerlang khususnya dalam Bahasa Melayu, untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai telefon bimbit termasuk cara penggunaan dan kekerapan mereka menggunakan SMS.

Hasil kajian tersebut boleh dijadikan asas kerisauan kerana selama ini masyarakat termasuk pejuang-pejuang bahasa cepat melatah serta bersikap dwinilaian (double standard).

Kesimpulannya ialah bahasa SMS selalunya difahami oleh rakan seangkatan, orang lain yang tidak faham akan meminta mereka menjelaskan maksud.

Begitu juga apabila orang Kedah sukar memahami loghat bahasa orang Terengganu, bantuan penjelasan akan diminta daripada orang yang memahami loghat bahasa tersebut.

Ini bermakna jika tidak faham bahasa SMS, tidaklah perlu dirisaukan kerana bahasa SMS adalah bahasa tersendiri dan dipercayai ia tidak menjejaskan bahasa Melayu di persada dunia.

Bagi saya dalam kesibukan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, saya dapati pihak tertentu tidak berani menegur apabila kerajaan menjadi teladan 'menceduk bahasa Inggeris' untuk dijadikan bahasa Malaysia.



ZAMANI OTHMAN Kota Tinggi, Johor Utusan Malaysia Online Forum 30/10/2012

Martabatkah bahasa Melayu?

MARTABATKANLAH bahasa kita. Bahasa adalah perpaduan. Bahasa adalah penyatuan. Di negara yang mempunyai masyarakat majmuk, bahasa memainkan peranan yang amat penting.

Dengan menggunakan bahasa yang sama barulah dapat kita memahami hati budi, saling kenal mengenali antara satu sama lain dan seterusnya akan timbul perasaan saling hormat menghormati.

Dengan itu juga akan terputik rasa kasih sayang yang dari sini akan terjalinlah hubungan baik lagi akrab.

Justeru penyatuan yang padu di kalangan masyarakat akan wujud. Masyarakat akan bersatu dalam apa-apa jua yang melibatkan kepentingan bersama apatah lagi kepentingan negara. Ini satu nilai murni yang amat penting.

Nilai murni yang harus dipupuk dan terus dibaja agar sentiasa segar kerana jika tidak ia akan perlahan-lahan hilang. Oleh itu hal yang kelihatannya begitu kecil mempunyai erti yang sangat besar dan mendalam. Jangan kita pandang sebelah mata kerana impaknya adalah besar.

Masyarakat bersatu padu dan mempunyai sifat kenegaraan yang tinggi, itulah masyarakat yang negara kita amat perlukan. Inilah yang dikatakan 1Negara, 1Bangsa. Bangsa Malaysia. Bangsa yang mempunyai sifat kenegaraan yang sangat kuat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Oleh itu penggunaan bahasa Melayu haruslah meluas dan meliputi segala aspek kehidupan. Walaupun bukan mudah tetapi mesti dilakukan.

Penggunaan bahasa Melayu ini di semua jabatan kerajaan misalnya memang harus diteruskan dan ditingkatkan. Apa yang penting di sini jangan dibiarkan bahasa Melayu itu dianaktirikan.

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah kita harus menghormati bahasa itu sendiri dengan penggunaan perkataan dan tatabahasa yang tepat dan betul walau di mana jua.

Sebagai contoh, papan-papan tanda yang ada di serata kawasan, haruslah dipantau.

Penguatkuasaan daripada pihak kerajaan tempatan adalah amat penting dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga atau mengambil sikap acuh tak acuh. Penggunaan bahasanya haruslah betul dan ejaannya mestilah tepat.




DR. DAHLIA DAHNIL Bandar Baru Selayang Utusan Malaysia Online Forum 30/10/2012 

Ucapan 'sekular' tidak mengikat

BIDANG saya bukanlah undang-undang, tetapi politik dan kerajaan. Namun, saya naik muak apabila pakar undang-undang bercakap, tetapi tidak mencerminkan keintelektualan mereka. Mereka hanya mahu menonjolkan diri seolah-olah pakar segalanya. Sejauh mana kepakarannya, masih menjadi tanda tanya.

Saya bersetuju dengan kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa Malaysia bukanlah negara sekular kerana tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan perkataan itu. Yang ada hanya ucapan pemimpin dan interpretasi mereka. Ultra kiasu mengatakan Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara sekular. Kata-kata pemimpin tidak mengikat (binding), berbanding undang-undang dalam Perlembagaan.

Saya boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pendapat dan kata-kata sesiapa pun. Sama seperti ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Kita boleh menerima dan tidak menerima pengisytiharan itu kerana ia tidak mengikat. Maka, kenapa kita perlu terlibat dengan polemik ultra kiasu yang menangguk di air keruh?

Saya ada hak untuk akur atau ingkar kepada pendapat seseorang pemimpin. Ultra kiasu boleh memetik daripada pelbagai sumber untuk menunjukkan negara ini negara sekular, tetapi saya tetap beranggapan negara ini negara Islam, berasaskan sejarah, majoriti umat Islam dan Perlembagaan yang jelas meletakkan keistimewaan agama Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu, berbanding perkara lain dalam banyak hal. Rujuk perkara 3, 11, 12, 32-42, 152, 153, 160 dan lain-lain.

Ini termasuk menggunakan peruntukan negara untuk mendirikan institusi Islam dan menyebarkan syiar Islam. Di sinilah terletaknya makna keadilan, memberikan hak kepada yang berhak, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika umat Islam membina masjid di tanah kerajaan, ia dibenarkan, mengambil kira kedudukan Islam dalam Perlembagaan manakala jika orang bukan Islam sewenang-wenangnya memacakkan rumah ibadat mereka, maka boleh diambil tindakan, sebab ia tidak ada dalam peruntukan Perlembagaan. Itupun kita begitu takut melakukannya. Yang selalu menjadi korban adalah masjid dan surau.

Saya begitu teruja dengan pendapat dua orang pakar perundangan Melayu, mengenai kebimbangan Perlembagaan diganti dengan undang-undang Islam. Saya tidak tahu sejauh mana pakarnya mereka ini. Tetapi perlu diingat, kepakaran mesti disertai dengan asas hidup beragama. Menjadi pakar adalah satu hal, memahami kepakaran daripada perspektif sejarah dan Islam, satu hal lain yang perlu diketahui, supaya kepakaran kita selari dengan cara hidup Islam.

Keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kes transeksual Muslim di Negeri Sembilan baru-baru ini, menimbulkan kebimbangan dua orang 'pakar' undang-undang yang ditemubual oleh laman web Malaysian Insider. Katanya, undang-undang Islam bakal menggantikan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini. Jika pun benar, apa masalahnya? Hakim menjatuhkan keputusan berasaskan kepakarannya.

Secara peribadi, saya suka keputusan itu. Hakim Mahkamah Tinggi, menolak cabaran oleh sekumpulan Muslim transeksual terhadap peruntukan undang-undang Islam yang menyekat lelaki daripada memakai pakaian wanita atau berpakaian seperti wanita dengan hujah, seorang Muslim tidak dikecualikan daripada undang-undang Syariah.

Dua pakar tersebut melahirkan kebimbangan mereka, dengan memberi contoh kes itu sebagai bukti Perlembagaan Persekutuan bukan lagi menjadi rujukan. Hal ini akan menyebabkan penghakiman mengutamakan undang-undang Islam daripada undang-undang lain, dalam sistem dua mahkamah di negara ini. Penghakiman tersebut katanya, meletakkan enakmen Islam lebih tinggi daripada Perlembagaan.

Persoalan saya, bukankah perkara ini melibatkan hal ehwal Islam, di manakah salahnya? Hakim menjatuhkan keputusan berasaskan budi bicara setelah mendengar semua hujah daripada peguam cara dan peguam bela.

Mereka mendakwa bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tersebut adalah sama dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini, yang mana ia menetapkan bahawa Islam mesti dilindungi dengan "apa cara sekalipun". Pada saya, ini adalah keputusan tepat dalam melindungi umat Islam, yang berhak ke atas sistemnya sendiri.

Wartawan ultra kiasu turut menemu bual peguam veteran bukan Islam, bekas Setiausaha Agung Majlis Peguam, bagi menjustifikasikan Malaysia adalah negara sekular, agar undang-undang syariah tidak terpakai. Maka peguam ultra kiasu pun menjawab bahawa Malaysia adalah negara sekular dengan merujuk kepada pendapat Hakim Abdul Hamid, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan Pakistan yang menjadi salah seorang panel yang menganggotai Suruhanjaya Reid (1956), dalam membantu merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, mengatakan negara ini sekular.

Kedangkalannya semakin terserlah apabila beliau mengkritik Dr. Mahathir secara unilateral mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam ucapan politik di Persidangan Kebangsaan Perwakilan Parti Gerakan pada 2001. Dr. Mahathir, katanya, menidakkan pengumuman sekular yang dibuat oleh Perdana Menteri sebelum itu, seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.

Hujah beliau turut dipersetujui oleh dua peguam Melayu itu. Kata mereka, hanya kerana Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai perkataan 'sekular', tidak bermakna bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Sama juga seperti perkataan 'demokrasi' tidak disebut dalam Perlembagaan, tetapi negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen.

Sebuah negara Islam akan meletakkan al-Quran sebagai pihak berkuasa tertinggi, tetapi Perlembagaan kita menyatakan dalam Perkara 4 menetapkan Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara ini. Ternyata, mereka tidak faham sejarah negara dan konsep separation of power yang dibawa British.

Ultra kiasu selalu berhujah, Tun Salleh Abas semasa menjadi Ketua Hakim Negara, pernah berkata undang-undang negara ini sekular dengan merujuk kepada kes Che Omar Che Soh (1988). Hukuman mati ke atasnya adalah tidak sah kerana ia mengikut hudud, atau undang-undang Islam.

"Bagaimanapun, kita perlu mengetepikan perasaan peribadi kita kerana undang-undang di negara ini adalah masih apa yang ia ada hari ini, undang-undang sekular, di mana moral tidak diterima oleh undang-undang dan tidak menikmati status undang-undang". Sama ada dakwaan ultra kiasu ini benar atau tidak, hanya Tun Salleh boleh memberikan jawapannya, kerana hanya ultra kiasu sahaja yang berminat dengan kata-kata ini.

Dakwanya mereka lagi, Malaysia adalah sebuah negara sekular kerana semua undang-undang mesti selaras dengan Perlembagaan dan Perlembagaan adalah satu dokumen sekular. Undang-undang syariah wujud kerana Perlembagaan membenarkannya.

Agensi-agensi Islam tertakluk kepada undang-undang Perlembagaan sekular itu. Lebih ekstrem lagi kata mereka, satu-satunya cara untuk menghilang status sekular Malaysia adalah melalui pindaan Perlembagaan, yang memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja serta Sabah dan Sarawak, yang mana perkara ini tidak mungkin berlaku.

Persoalannya, kenapa kita terlalu obses dengan label sekular, sedangkan perkataan ini langsung tidak disebut dalam Perlembagaan? Apa agenda dan tujuan di sebalik membangkitkan perkataan sekular itu? Tanpa melabel perkataan sekular itu, perlembagaan tetap Perlembagaan, satu set dokumen undang-undang tertinggi negara dan berdaulat.

Sekular atau tidak, kita yang menginterpretasinya. Ia tetap akan menjadi sumber rujukan pengamal undang-undang. Bagi umat Islam, mereka ada keistimewaannya, kerana kedudukan Islam begitu jelas terpelihara. Apa yang sekularnya?

Saya tertarik dengan pendapat Uthman El-Muhammady, sekularisme dalam mengikut pengertian Barat tidak wujud sama sekali di Malaysia. Umat Islam mesti segera menghentikan pertikaian berkenaan dan kembali kepada fahaman konsep sayang kepada bangsa dan agama mengikut Islam. Inilah yang Islam ajar.

Jangan sesekali melanggar kerangka asal ini dan sewajarnya perlu diperkemaskan lagi untuk dijadikan contoh kepada kaum minoriti lain. Mereka yang melanggar kerangka asal ini dipanggil "Intellectual And Spiritual Barbarian" (kebiadapan intelektual rohani) yang tidak boleh dimaafkan, termasuk peguam Melayu tersebut. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku atas dasar kebebasan mengeluarkan pendapat.

Kata beliau lagi, pendapat yang menyebut sekular mula wujud di negara ini sejak kedatangan penjajah adalah tidak benar sama sekali. Pemisahan agama, adat dan raja pada waktu itu adalah pengasingan pentadbiran bukannya pengasingan agama secara total dalam pentadbiran. Pokok pangkal sekular ialah pengecualian agama daripada semua ruang awam.

Agama dipisahkan dalam pendidikan, pentadbiran, sektor keselamatan, bank dan lain-lain. Kita tengok dalam pentadbiran negara hari ini, agama tidak dipisahkan sama sekali. Malah dalam apa jua aspek, agama ditekankan. Cuma mungkin secara tidak menyeluruh kerana kita sedang mengalami perubahan.

Kesimpulan, meneliti kepada semua hujah, saya dapat katakan, negara kita (perlembagaan), sekular pun tidak, terlalu Islamik pun tidak. Tetapi kedudukan Islam tetap terjamin dan ada keistimewaannya dan tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapa pun. Maka, janganlah terperangkap permainan ultra kiasu licik ini.




PROF. MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH Ketua Program, Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 29/10/2012

Malaysia bukan negara sekular

JIKA diteliti kandungan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa undang-undang tertinggi negara kita tidak berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.

Islam diiktiraf sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja Melayu dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, wang negara boleh dibelanjakan untuk tujuan pendidikan Islam dan penyelenggaraan institusi-institusi Islam, malah wang pungutan zakat dikira sebagai hasil negara.

Selain itu, pendidikan Islam diajar sebagai mata pelajaran wajib untuk pelajar-pelajar beragama Islam di sekolah-sekolah kerajaan, latihan untuk guru-guru pendidikan Islam disediakan oleh kerajaan, undang-undang syariah dilaksanakan oleh mahkamah syariah yang merupakan sebahagian daripada institusi kehakiman negara, hakim-hakim mahkamah syariah adalah penjawat awam yang dibayar gaji oleh kerajaan, dan banyak lagi perkara lain yang mengaitkan agama Islam dengan dasar kerajaan dan institusi negara. Kesemua ini dilaksanakan di bawah lembayung Perlembagaan.

Dalam sebuah negara sekular, tidak mungkin dana negara digunakan secara langsung untuk kebajikan umat Islam. Tidak mungkin juga sistem kehakiman Islam dan pendidikan Islam menjadi sebahagian daripada sistem negara, dan undang-undang syariah dilaksanakan oleh penjawat-penjawat awam.

Di bawah Perlembagaan negara kita, kesemua ini dibenarkan. Pelaksanaannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah selari dengan hasrat Perlembagaan.

Di Malaysia, tidak berlaku pemisahan antara agama dan negara secara total. Ciri penting negara sekular ini tidak wujud di Malaysia. Maka sah Malaysia bukan negara sekular seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen baru-baru ini.

Tetapi mengapa masih ada pihak yang beria-ia ingin mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular?

Bagi saya ini bukan cerita baru, tetapi cerita lama. Jika kita singkap sejarah pembikinan perlembagaan negara di ambang kemerdekaan dahulu pun, cerita ini telah hangat diperdebatkan.

Suruhanjaya Reid yang dilantik untuk menyediakan deraf perlembagaan Malaysia misalnya tidak memperakukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Maka dengan itu, menurut perakuan Suruhanjaya Reid, Malaysia tidak akan mempunyai Agama Negara seperti juga negara-negara sekular yang lain.

Perakuan ini ditentang oleh satu-satunya ahli Suruhanjaya Reid yang beragama Islam iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Beliau berhujah, pada masa itu terdapat sekurang-kurangnya 15 negara yang mempunyai agama negara. Jadi mengapa pula Malaysia harus terkecuali.

Tambahan pula, hujah Hakim Abdul Hamid, saranan Islam sebagai Agama Persekutuan merupakan hasil pemuafakatan politik yang dicapai oleh Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC, yang mewakili kaum-kaum utama di Tanah Melayu pada ketika itu.

Saranan ini terkandung dalam dokumen yang dinamakan 'Political Testament of the Alliance', iaitu memorandum mengenai Perlembagaan yang dikemukakan oleh Perikatan kepada Suruhanjaya Reid. Hakim Abdul Hamid berpandangan adalah tidak wajar bagi Suruhanjaya Reid menolak persetujuan yang telah dicapai oleh pemimpin-pemimpin politik pelbagai kaum setelah mereka melalui proses rundingan yang panjang.

Hampir semua saranan yang terkandung dalam 'Political Testament of the Alliance', yang pada peringkat awalnya ditolak oleh Suruhanjaya Reid, dimasukkan dalam Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen British pada Jun 1957, yang kemudiannya diterima sebagai Perlembagaan negara.

Ini termasuk saranan supaya Islam dijadikan Agama Persekutuan. Dalam konteks ini, dokumen perjanjian politik Parti Perikatan, yang juga disebut sebagai Kontrak Perlembagaan, adalah jauh lebih penting dan signifikan daripada Laporan Suruhanjaya Reid.

Maka dengan itu, termaktublah dalam Perlembagaan negara kita Islam sebagai Agama Persekutuan, dan agama-agama lain boleh diamalkan dalam suasana yang aman dan harmoni di mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Secara tidak langsung, cubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular telah berjaya ditangkis.

Namun hari ini, cerita lama kedengaran lagi. DAP sebagai sebuah parti sosialis totok sekular, menyambung cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Cuma caranya agak berbeza.

Jika dahulu cubaan untuk menjadikan Malaysia negara sekular dibuat dengan menolak Islam sebagai Agama Persekutuan, hari ini ia dilakukan secara lebih halus.

DAP tahu bahawa sikap parti itu yang menolak hukum hudud tidak boleh diburukkan lagi dengan menolak Islam sebagai Agama Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Ini akan menimbulkan kemarahan pengundi majoriti beragama Islam, dan memburukkan lagi hubungannya dengan Pas.

Maka, DAP tidak secara langsung menolak Islam sebagai Agama Persekutuan, malah bersetuju ia diterima sebagai sebahagian daripada Dasar Bersama pakatan pembangkang.

Tetapi di sebalik paparan wajah manis DAP, parti itu sama ada secara langsung atau menerusi proksi menolak pelaksanaan undang-undang Islam yang didakwa kononnya mencabuli kebebasan asasi manusia.

Ini termasuk undang-undang yang menghalang perlakuan murtad, mendedahkan aurat, meminum arak, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan muhrim, amalan ajaran sesat dan juga orientasi seks songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual. Kesemua perlakuan dan amalan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

DAP tidak menolak simbol Islam sebagai Agama Persekutuan, tetapi membantah setiap intipati ajaran Islam dalam sistem kerajaan dan undang-undang negara.

Tindakan DAP ini umpama pepatah Melayu - pepat di luar, rencong di dalam. Ini adalah dimensi baru cubaan menegakkan negara sekular di Malaysia. Tidak mengapa Islam dikekalkan sebagai Agama Persekutuan, yang ditafsirkan sebagai agama rasmi semata-mata, tetapi tidak boleh dibiarkan menjadi tonggak dalam sistem kerajaan dan undang-undang negara. Inilah perjuangan DAP.




DR. MARZUKI MOHAMAD ialah Penolong Profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 30/10/2012