February 11th, 2013

Suka duka Kampung Malaysia Raya

PEMBANGUNAN pesat yang dicapai oleh sesebuah negara pasti membawa banyak implikasi dalam mengubah struktur kehidupan masyarakatnya.

Selain kesan pembangunan komersial yang tumbuh rancak di tengah kota, kawasan kampung dan penempatan tradisional di pinggiran juga antara yang tidak terlepas daripada tempiasnya.

Seperti yang berlaku di Kampung Geylang Serai di Singapura, kampung-kampung tradisional di negara ini kini terus diancam arus pembangunan dan bakal menerima nasib sama.

Di dalam laporan ini, wartawan S2 ABD. HALIM HADI dan jurugambar ABDUL NAZIR MOHAMED menjenguk ke Kampung Malaysia Raya yang merupakan antara beberapa buah kampung Melayu tradisi yang masih kekal di Kuala Lumpur.

Pengalaman melawat penempatan yang dibangunkan di atas sebidang tanah lombong itu baru-baru ini memperlihatkan cara hidup dan warisan yang masih dikekalkan dengan baik meskipun diapit pembangunan yang pesat di sekelilingnya.




Utusan Malaysia Online Rencana 09/02/2103 

Bina rumah dengan modal RM500

MESKIPUN berita pemberian lot-lot tanah oleh kerajaan diterima dengan penuh kesyukuran, keperitan memulakan kehidupan di tempat baharu menjadi antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh penduduk Kampung Malaysia Raya.

Antara susah payah yang terpaksa dilalui penduduk terawal kampung berkenaan adalah untuk mengumpul modal bagi membina sebuah rumah.

Salah seorang penduduk generasi pertama, Abdul Samad Ibrahim berkata, kesempitan hidup sebagai pekerja buruh ketika itu memaksa beliau membina rumah dengan wang simpanan sebanyak RM500.

"Sebenarnya bukan 'rumah' tapi sekadar sebuah pondok dua bilik dengan keluasannya lebih kurang 10 kali lima meter. Sempit untuk kami lima beranak.

"Rumah itu saya bina sendiri dengan sedikit pertolongan kawan-kawan yang sama-sama berpindah ke sini. Harga membeli kayu dan atap masa itu lebih kurang RM500," katanya kepada S2, baru-baru ini.

Beliau yang kini berusia 78 tahun berkata, selain kesempitan wang untuk mendirikan rumah, kerisauan penduduk ketika itu ditambah dengan keadaan tanah berpaya yang sentiasa becak dan berair.

Ujarnya, masalah itu turut menyebabkan sebahagian daripada bakal penduduk keberatan untuk berpindah walaupun sudah menerima pemberian tanah daripada kerajaan ketika itu.

Bagaimanapun Abdul Samad berkata, satu pertemuan diadakan bagi menyelesaikan masalah tersebut dan akhirnya penduduk bersetuju mengumpul modal untuk meratakan tanah bagi membolehkan kawasan itu didiami.

"Hasil daripada perbincangan di antara penduduk, setiap seorang bersetuju membayar RM100 untuk mengupah kontraktor menyodok dan meratakan tanah.

"Selepas ditimbus bolehlah kami memacak tiang tetapi tanah masih lembek terutama ketika musim hujan," katanya yang berpindah dari Kampung Ampera yang dahulu terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bekas pekerja syarikat rokok Malayan Tobacco Company itu merupakan salah seorang daripada 15 keluarga pertama yang menyahut saranan perpindahan oleh Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor ketika itu.

Seorang lagi penduduk generasi pertama, Mohd. @ Razali Hassan, 81, turut berkongsi kesusahan mendapatkan modal bagi mendirikan rumah ketika pembukaan kampung itu pada 1970.

Beliau yang sebelum itu tinggal di kuaters Lombong Sungai Besi terpaksa mendapatkan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menampung kos pembinaan rumahnya kerana kesempitan wang.

Mohd. berkata, berbekalkan modal sebanyak RM2,600 dan sedikit duit simpanan beliau membina sebuah rumah tanpa bilik sebagai kediaman bersama isteri dan lima orang anaknya.

"Duit ketika itu sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga. Bayaran pinjaman RM30 setiap bulan dibayar selama enam tahun.

"Ketika itu gaji saya sebagai pemandu jentolak hanya RM25.70 sehari," ujar beliau yang berasal dari Sungai Choh, Rawang.

Sebahagian daripada kediaman asal Mohd. yang didirikan di atas tanah seluas 4,500 kaki persegi di Kampung Malaysia Raya masih kekal sehingga hari ini.


RUMAH kayu yang dibina pada awal tahun 70-an masih terdapat di kampung Malaysia Raya,
manakala di sebelahnya rumah moden zaman sekarang.



Utusan Malaysia Online Rencana 09/02/2013 

Tiga tahun tanpa air, elektrik

SELEPAS berhempas-pulas membina sebuah penempatan daripada sekeping tanah lombong, penantian penduduk Kampung Malaysia Raya pada awal pembukaan kampung itu adalah untuk mendapatkan kemudahan asas.

Bagaimanapun penduduk ketika itu sedar bahawa impian dan harapan mereka untuk menikmati kemudahan tersebut tidak mungkin disempurnakan dalam masa yang singkat.

Dan apabila diimbas kembali, tempoh tiga tahun tanpa bekalan air bersih dan elektrik menjadi antara kenangan suka-duka yang masih kekal di ingatan penduduk-penduduk terawal kampung berkenaan.

Penduduk generasi pertama, Mohd. @ Razali Hassan, 81, berkata, disebabkan ketiadaan bekalan elektrik, kehidupan penduduk ketika itu amat bergantung kepada dua perkara paling penting iaitu lampu minyak tanah dan perigi.

"Saya masih ingat bagaimana susah anak-anak berhimpun mengelilingi lampu setiap malam untuk mengulang kaji pelajaran.

"Untuk mendapatkan bekalan minyak tanah dan barang keperluan harian saya terpaksa mengayuh basikal ke pekan Sungai Besi, kira-kira 10 kilometer dari sini," katanya ketika ditemui S2.

Seorang lagi penduduk generasi pertama, Abdul Samad Ibrahim berkata, ketiadaan bekalan air bersih menyebabkan penduduk terpaksa menggali perigi untuk kegunaan seharian.

Bagaimanapun katanya, tanah kampung yang berpaya memudahkan penduduk mencari punca mata air untuk menggali sebuah perigi berhampiran dengan pintu masuk kampung.

"Saya masih ingat bagaimana penduduk kampung bergilir-gilir setiap pagi dan petang untuk menimba air perigi. Air ketika itu keruh dan payau,'' katanya.

Selain kesusahan hidup tanpa kemudahan asas tersebut, Abdul Samad turut berkongsi penderitaan anak-anaknya ke sekolah yang terpaksa meredah laluan becak dan berselut setiap hari.

Katanya, kedudukan rumah yang terletak di tengah kampung memaksa beliau dan tiga orang anaknya mengusung beg dan kasut sebelum menaiki bas di tepi jalan.

"Jalan semua becak dan berselut, kasut hanya dibimbit sahaja. Bila sampai di tepi jalan, baru basuh kaki dan tunggu bas.

"Semua itu kini tinggal kenangan, saya rasa ia satu pengajaran dan pengalaman yang baik bagi anak-anak," katanya.

Abdul Samad berkata, selepas tiga tahun hidup 'bergelap', penderitaan penduduk akhirnya mendapat pembelaan kerajaan yang menyalurkan bekalan elektrik dan air kepada semua 70 keluarga di kampung tersebut.

Katanya, berita tersebut disambut dengan penuh kegembiraan sehingga ramai yang keluar ke Kuala Lumpur untuk membeli perkakas elektrik seperti radio dan televisyen.


TASIK tinggalan daripada aktiviti perlombongan bijih timah yang masih dapat dilihat di Kampung Malaysia Raya.



Utusan Malaysia Online Rencana  09/02/2013

Rahsia nama Malaysia Raya

SEBUAH pintu gerbang yang bertulis Kampung Malaysia Raya pasti mencuri tumpuan pengguna yang melalui kilometer empat Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya).

Perkataan 'Malaysia' pada gerbang yang dihias penuh dengan Jalur Gemilang itu bukan sahaja mencetuskan perasaan ingin tahu mengenai keunikan nama yang digunakan bahkan mampu membuatkan ramai teruja untuk memandu masuk ke kampung berkenaan.

Kampung Malaysia Raya merupakan penempatan Melayu terakhir yang mendapat kelulusan berstatus kampung melalui pentadbiran Pejabat Tanah Mukim Petaling pada 1969 yang ketika itu berada di bawah Kerajaan Negeri Selangor.




KAPAL Malaysia Raya yang namanya diambil menjadi nama Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi Kuala Lumpur.


Pembukaan kampung di kawasan yang dahulunya lombong bijih itu merupakan sebahagian daripada proses penempatan semula ekoran rancangan pembangunan kerajaan di beberapa kawasan di sekitar Sungai Besi.

Penghuni terawal kampung seluas kira-kira 10 hektar itu terdiri daripada penduduk asal dari empat penempatan iaitu pekan Sungai Besi, Kampung Ampera (berhampiran Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Sungai Besi), kuaters Lombong Sungai Besi dan flat Razak Mansion, Sungai Besi.

Kira-kira setahun selepas penghijrahan 70 buah keluarga pertama ke kawasan itu, tanah paya yang terletak bersebelahan dengan pusat perlombongan bijih itu kemudian mendapat nama.

Meskipun terdapat pelbagai andaian mengenai keunikan namanya, rahsia nama Malaysia Raya sebenarnya diangkat sempena nama kapal milik syarikat Great Malaysia Line yang digunakan untuk mengangkut jemaah haji sekitar awal 70-an.

Pengabadian nama itu dibuat sebagai mengenang nama kapal yang banyak berjasa kepada umat Islam di negara ini sebelum ia musnah dalam kebakaran di Pelabuhan Klang pada 23 Ogos 1976.

Diceritakan juga, insiden kemusnahan kapal Malaysia Raya itu menjadi permulaan kepada perkhidmatan kapal terbang oleh kerajaan bagi menghantar jemaah haji dari negara ini ke Mekah.

Penulis sebagai salah seorang pengguna harian Besraya tidak terkecuali daripada keinginan untuk mengetahui rahsia dan keistimewaan yang ada pada kampung berkenaan.

Pengalaman menyusuri jalan-jalan sempit dengan susunan rumah yang berhalaman kemas di kampung itu baru-baru ini mengembalikan nostalgia berada di dalam suasana kampung yang jauh dari kota. Suasana seumpama itu sememangnya sesuatu yang sudah lama lenyap ditelan pembangunan.

Walaupun bukan 100 peratus tradisional, imbasan sepintas lalu ketika menjenguk kampung yang terletak bersebelahan dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) itu memperlihatkan banyak ciri-ciri yang tidak lagi dipelihara di kampung-kampung di Kuala Lumpur.

Pada hari ini Kampung Malaysia Raya masih bertahan sebagai salah satu daripada beberapa kampung tradisional di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur walaupun semakin dihimpit kemodenan.



Utusan Malaysia Online Rencana 09/02/2013 

Buktikan budi bahasa budaya kita

LAPAN tahun lalu, pada 11 Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Tetapi banyak yang tidak perasan bahawa kempen ini satu tamparan yang paling hebat; orang Malaysia hilang budi bahasa.

Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena. Pertentangan fahaman antara pemimpin politik mengikis budaya budi bahasa. Mereka seolah-olah bebas dari lingkungan adab sopan dan pengikut pun melihat contoh di depan mata mereka.

Sepatutnya kita meraikan pertentangan dengan hujah bukannya cercaan. Sebenarnya tidak ada kelonggaran kepada orang politik untuk tidak beradab dan berbudi bahasa. Golongan muda juga sudah pandai mencerca, padahal semasa kecil mereka disenandungkan dengan seloka dan gurindam supaya bersopan santun dan berbudi bahasa.

Semasa perhimpunan haram di Kuala Lumpur, tanda aras budi bahasa dan kesantunan golongan muda begitu rendah sekali. Tidakkah ini suatu membimbangkan apabila mencerca polis dan pemimpin tertentu dihalalkan atas nama perjuangan politik?

Tentulah suatu yang amat memalukan apabila negara yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam yang terkenal dengan kesantunan terpaksa diajar berbudi bahasa. Orang Melayu sebenarnya sangat prihatin perihal kesantunan dan budi bahasa. Seawal usia bayi lagi, orang Melayu menyanyikan lagu yang menyingkap peribadi mulia Nabi Muhammad. Selepas petah berbicara, dididik pula berkata-kata dengan bahasa yang mulia.

Di manakah silapnya apabila orang Melayu juga kini menjadi penyumbang kepada tanda aras masyarakat yang biadab di negara ini? Padahal dalam kerangka budaya Melayu dan agama Islam sudah menekankan kesantunan serta seni berkomunikasi dengan bahasa yang baik.

Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita berbudi bahasa selayaknya. Kempen ini menandakan keruntuhan tunggak peradaban orang Malaysia termasuk Melayu.

Sasterawan Negara Usman Awang menerusi puisi Melayu telah menggariskan sikap orang Melayu terhadap adab dan kesantunan biarpun untuk melepaskan kemarahan. Kata Usman Awang;

“Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan."

Ini adalah kesantunan Melayu yang menunjukkan budi bahasanya cukup tinggi hinggakan kalau hendak bersikap kurang ajar pun mesti bersopan santun. Tetapi warisan ini semakin hilang apabila orang Melayu cepat lekang dek panas dan lapuk dek hujan. Orang politik pula tidak banyak memberikan teladan yang baik.

Banyak pemimpin politik tidak lagi bersilat kata dengan santun. Mereka lupa bahawa warga melihat sisi peribadi ini dengan nyata. Baiknya kalau yang menolak untuk diteladani. Tetapi tidak kurang juga yang mewajarkan atas kebebasan bersuara dan mengejar kuasa.

Enam tahun lalu majalah Readers Digest menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya Kuala Lumpur berada di tangga ketiga terakhir. Pada tahun lalu pula turun setakah menjadi bandar raya kedua paling biadab.

Kita boleh sahaja mempertikaikan kajian itu di atas beberapa sebab, antaranya dicurigai kaedah yang digunakan untuk menilai takah kesantunan dan kebiadaban.

Tetapi mempertikai sahaja tidak mampu membersihkan kita daripada kedudukan kedua paling biadab. Kurang kesantunan menyumbang kepada rendahnya kesedaran sivik dan ini boleh disaksikan sendiri di Kuala Lumpur ini. Adakah kita mahu menafikan?

Sebenarnya tanpa kajian oleh Readers Digest pun secara jujur diakui peradaban masyarakat telah jauh menurun. Kesantunan yang tinggi menyumbang kepada peradaban yang juga tinggi.

Dalam masyarakat Melayu di kampung, keutuhan ditunjangi oleh sikap kekitaan, tetapi nilai di bandar menonjolkan keakuan, keasingan yang akhir sekali hilang seni berkomunikasi yang beradab.

Pemikir dan wartawan, Allahyarham Pak Sako pada tahun 1984 pernah menulis dalam kolumnya Di Simpang-Simpang Jalan dalam Utusan Malaysia mengenai pengalaman diherdik oleh kerani di kaunter sebuah pejabat pos. Pak Sako menulis, di kaunter berkenaan ada dua pelanggan dan Pak Sako pelanggan kedua. Kerani yang sebaya cucu Pak Sako dengan kasar menyuruh Pak Sako beratur.

Ini satu contoh hilangnya seni berkomunikasi yang beradab. Padahal dalam budaya Melayu semua ini telah ditekankan termasuk menghormati orang yang lebih tua.

Di sebalik kempen berbudi bahasa, orang kita mudah leka dengan pujian. Dalam akhbar kerap dilaporkan pelancong asing memuji orang Malaysia “ramah dan berbudi bahasa". Sebahagian besar daripada kita pun berbangga dengan “pengiktirafan" yang diberikan oleh pelancong berkenaan. Tidak terfikirkah kita bahawa kenyataan itu mungkin untuk menyedapkan hati tuan rumah? Tetapi ada dalam kalangan kita tidak bijak memahami antara pujian dan diplomasi.

Warga Malaysia mesti menghentikan serta merta kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Mesti. Mereka mesti menganggap bahawa kempen ini sangat memalukan. Pemimpin politik mesti menyumbang kepada pembinaan kesantunan yang tinggi. Seperti kata Usman Awang, “Kurang ajarnya tetap santun." Caranya ialah kembali kepada budaya hidup yang berpaksikan adab dan kesantunan.



Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Online Rencana 10/02/2013 

Utamakan rezeki halal daripada rezeki yang banyak

Setiap umat Islam haruslah mengetahui bahawa Allah Taala telah mengarahkan kita semua untuk menjaga segala bentuk amanah yang diberikan kepada kita.

Allah berfirman (Surah al-Nisa' ayat 58) yang bermaksud "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat."

Menjaga amanah dan menyampaikannya kepada mereka yang berhak menerimanya adalah satu ciri utama mukmin sejati. Allah berfirman (Surah al-Mukminun ayat 8) yang bermaksud, "Dan orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya."

Seterusnya, kita dapati Rasulullah SAW telah mensifatkan pengkhianatan terhadap amanah sebagai salah satu daripada sifat-sifat orang munafik.

Sabda Rasulullah SAW. "Terdapat empat sifat, jika semuanya terkumpul pada seseorang, dia menjadi munafik penuh. Jika terdapat salah satu sifat itu, maka dia mempunyai secebis sifat munafik hinggalah dia meninggalkannya. Bila diberi amanah dia khianat, bila bercakap dia menipu, bila dia berjanji dia memungkiri dan bila dia bergaduh dia melampau." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari, no. 34).

Berdasarkan kepada dalil-dalil seperti ini, umat Islam haruslah mendidik jiwa agar sentiasa beramanah dan sentiasa menjauhi khianat. Janganlah dilihat habuan dunia sahaja. Hendaklah habuan akhirat dijadikan sebagai keutamaan umat Islam.

Seterusnya, kita dapati Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa segala pekerjaan hendaklah diberikan kepada orang yang berkelayakan. Inilah erti amanah. Ini adalah untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan tamadun insan di muka bumi ini. Sabda Rasulullah SAW, "Sekiranya amanah diabaikan maka tunggulah Hari Kiamat." Apabila ditanya, "Bagaimanakah berlaku pengabaian amanah?" Rasulullah menjawab, "Apabila diberikan sesuatu urusan kepada yang tidak berkelayakan, maka tunggulah Hari Kiamat." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari no. 59).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa bibit-bibit kehancuran adalah apabila urusan-urusan itu mula diberikan kepada orang yang tidak mahir dan tidak berkelayakan. Pastinya orang yang tidak mahir dan tidak berkelayakan ini akan menjalankan tugasnya tidak mengikut peraturan dan undang-undang. Inilah kerosakan yang dikhuatiri dalam hadis di atas.

Al-Shaikh Ibn Baz rahimahullah, mantan Mufti Arab Saudi telah mengatakan bahawa wang yang diterima secara tidak sah adalah haram diambil. Jika telah diambil, maka hendaklah orang yang mengambil itu segera bertaubat. Dia juga perlu mengembalikan semula duit itu kepada organisasi atau pihak berwajib. Jika tidak dapat dikembalikan, maka hendaklah dia nafkahkan duit itu kepada orang fakir miskin atau menafkahkannya untuk projek kebajikan.

Seterusnya, berkenaan dengan pegawai yang meluluskan sesuatu yang bukan di dalam bidang kuasanya, maka dia telah melakukan suatu dosa besar yang menuntutnya agar bertaubat.

Hendaklah pegawai ini berhenti daripada melakukan perbuatan mungkar tersebut kerana dia akan menanggung dosanya dan juga dosa orang lain yang mendapat manfaat itu.

Salah laku ini merupakan satu bentuk kezaliman. Apabila diberikan wang atau manfaat kepada orang yang tidak layak, ertinya dia telah mengambil hak orang lain dan diberikan kepada orang yang tidak berhak.

Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang telah menzalimi saudaranya pada maruah atau apa sahaja, maka hendaklah dia minta dihalalkan sekarang. Sebelum tibanya satu hari yang tiada urusan dinar mahupun dirham. Sebaliknya jika dia mempunyai pahala maka akan digantikan kezaliman itu dengannya. Jika dia tidak mempunyai pahala maka akan diambil dosa orang yang dizalimi dan diletak padanya." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari no 2449).

Kakitangan yang mengetahui tentang berlakunya salah laku ini pula, haruslah menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa. Jika tidak mampu, setidak-tidaknya mesti membenci kemungkaran ini dengan hatinya.

Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka hendaklah dia ubah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka hendaklah dia ubah dengan hatinya dan ini adalah peringkat iman yang paling lemah." (Hadis sahih riwayat Al-Imam Al-Tirmizi no. 2172).

Akhir kata, hendaklah kita semua yakin bahawa keutamaan hendaklah diberikan kepada rezeki yang halal dan bukannya rezeki yang banyak.

Tiada gunanya rezeki yang banyak jika tidak halal. Kita seringkali berdoa meminta agar Allah Taala memberkati rezeki kita, namun adakah kita telah berusaha mencari rezeki yang halal?

Justeru, kita perlu memastikan usaha kita dalam mencari rezeki itu benar-benar diredai oleh Allah Taala.

Jangan terpedaya dengan kemewahan dunia yang sementara. Carilah kemewahan akhirat yang kekal abadi. Ingatlah, biar sedikit, asal halal dan barakah.



Utusan Malaysia Online Rencana 10/02/2013 

Lagi pasal perangai meroyan bos perempuan

MINGGU ini, Bro paparkan satu e-mel yang dihantar oleh seorang pembaca. Bro tidak boleh dedahkan identiti penulis ini, cukup kalau Bro beritahu dia ialah seorang perempuan.

Ikuti pandangannya mengenai bos perempuan dan baca juga komen Bro kat bawah:

Assalamualaikum Bro,

Saya baru berkesempatan membaca artikel tuan berkaitan isu ini. Sebenarnya saya menyokong penuh artikel tu tetapi tetap berpegang kepada prinsip artikel itu tidak tepat secara keseluruhan kerana masih terdapat golongan wanita yang berhemah bila diberikan peluang kenaikan pangkat atau sikit kuasa tetapi majoritinya memang macam 'kaduk naik junjung'.

Saya sebagai seorang perempuan pun, selalu saya berdoa agar bos saya orang lelaki sebab mereka lebih sporting, prihatin dan lebih profesional berbanding emosional dan kurang 'bossy' berbanding kaum wanita.

Orang perempuan ni selalu lupa pada kitaran hidup sebab sewaktu mereka muda, ramai termasuk saya sendiri bergelut dengan masalah anak sakit, tak ada pembantu, cuti sakit, cuti bersalin dan macam-macam lagi.

Sampai ke tahap usia pertengahan 40-an biasanya masalah tersebut semakin berkurangan sebab anak-anak dah mula membesar dan sudah pandai berdikari, jadi ibu-ibu dah boleh relaks sikit, boleh bekerja dengan tenang dan punyai masa untuk diri sendiri dan punyai privasi dengan suami tetapi dalam hal ini biasanya mereka dah meningkat kerjaya hingga berjaya menjadi pemimpin dalam organisasi.

Malangnya, mereka tidak bersikap prihatin dan bertoleransi dengan subordinat yang muda-muda, mungkin baru kerja, baru berumahtangga dan baru memulakan hidup berkeluarga yang dulunya mereka sendiri mengharunginya...sudah tentu golongan muda ini juga menghadapi masalah serupa walaupun kadang-kadang sikit berbeza.

'Bos-bos' atau makcik-makcik ni lupa...mereka mula bertanya pelbagai soalan yang berbentuk 'bossy' antaranya kenapa staf asyik cuti, asyik cuti sakit (bagi mereka yang benar-benar sakitlah!), kenapa mengantuk bila matahari meninggi dan lain-lain.

Sepatutnya mereka bertanya secara berhemah, kalau staf tersebut perlu keluar sekejap untuk urus anak ke klinik berilah kelonggaran tapi tak boleh selalu dan kalau boleh minta mereka ganti masa tersebut dengan stay back bila berkesempatan untuk cover balik masa tersebut.

Selain itu berikan sokongan moral dalam bentuk motivasi supaya golongan muda ni tabah mengharungi cabaran membesarkan anak-anak agar mereka boleh menjadi ibu yang baik bagi melahirkan generasi yang baik. Ini tidak...asyik nak meroyan dan nak tunjuk power je...meluat tau!

Saya sebagai seorang wanita selalu berdoa agar tidak sekejam itu dan selalu rewind masa muda saya dulu diherdik, diumpat dan dianaktirikan bos-bos wanita seperti itu dan saya sangat berharap agar saya menjadi ketua yang disenangi oleh anak buah, bukankah bila mereka senang dengan kita, kerja team work akan menjadi lebih mudah! Di pejabat kita bos tapi di luar kita ialah kawan yang senang diajak bicara atau teman bershopping...

Saya bersyukur setiap kali bertukar jabatan, anak buah saya akan berasa kehilangan dan sering mengajak keluar bersama kerana mereka rindu saat-saat bersama saya. Doa saya agar saya akan sentiasa menjadi bos yang baik...mudah-mudahan...

KOMEN BRO,

Alhamdulillah, akhirnya ada juga perempuan yang bersikap terbuka untuk mengakui kelemahan perempuan bila sudah jadi bos.

Bro sebenarnya dah lama cakap yang selalu kejam kat perempuan ni bukannya lelaki tetapi kebanyakan perempuan tidak percaya.

Dan sekarang sudah terbukti, apa yang Bro katakan adalah satu kebenaran dan bukannya sekadar mengumpat semata-mata.

Bro yakin ada lagi perempuan yang bertaraf bos baik macam pengirim e-mel ini tetapi masalahnya jumlah tak ramai.

Baru-baru ini, seorang kawan Bro menceritakan bagaimana berlagaknya bos perempuan di tempat dia kerja. Semuanya, dia saja yang betul, lepas tu siap pilih kasih lagi kalau melibatkan jabatan di bawah seliaannya.

Jabatan-jabatan lain seolah-olah dianaktirikan. Apa-apa mesti dahulukan jabatan dia, kalau tidak siaplah dia membebel macam mak nenek kunyah sirih.

Paling kawan Bro tidak tahan, bos dia tu tak suka terima kritikan sama ada oleh orang dalam mahupun orang luar.

''Gua bosan Bro tengok perangai dia, nasib baiklah gua bukan di bawah seliaan dia, kalau tak masak gua dikerjakan.

''Baru-baru ini bila orang luar komen produk jabatan dia, satu badan dia berangin tak mahu terima secara positif walaupun apa yang orang cakap tu betul, susah betul perempuan macam ni,'' cerita kawan Bro itu penuh perasaan.

Tapi Bro tak nak ulas panjang, cuma Bro nak nasihatkan kepada bos-bos perempuan tak kisahlah di mana pun mereka bekerja, jadilah bos yang baik.

Bos ni adalah pemimpin, pemimpin yang baik sentiasa berusaha memperbaiki diri dan bersedia untuk terima pandangan, bukan anggap dia sahaja betul. Percayalah bos macam ni, kalau dia tak insaf, hidup dia tak aman, sebab asyik kena sumpah-seranah sahaja.

Sebab itu bersihkanlah hati apabila kita sudah menjadi bos, jangan main ikut sedap aje macam orang bawahan kita tak ada perasaan. - JUMPA LAGI.



Utusan Malaysia Online Rencana 10/02/2013