February 12th, 2013

Kualiti IPTS sepatutnya diaudit lebih kerap

Universiti swasta lebih utamakan untung

Kerajaan mulai bulan ini membekukan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana jumlah IPT sedia ada dikira sudah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi, baik pelajar tempatan mahu pun pelajar asing.

Kini ada sejumlah 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan sehingga 414 kolej swasta yang menawarkan sijil dan diploma.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah IPT sedia ada, termasuk IPTA kini sudah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi baik daripada pelajar tempatan mahu pun pelajar asing. Malah, ada dakwaan pengeluaran lulusan daripada IPT sekarang sudah pun melebihi kehendak pasaran menyebabkan ramai graduan menganggur.

Pembekuan selama dua tahun itu juga membolehkan kementerian melakukan pemantauan terhadap IPTS sedia ada bagi menentukan keupayaan serta mutu mereka. Inilah yang sepatutnya dilakukan kerana hingga sekarang, tidak diketahui apakah audit menyeluruh pernah dilakukan terhadap operasi, perjalanan dan mutu kursus ditawarkan semua IPTS itu.

Berdaya saing, setanding negara maju

Pemantauan itu juga dalam rangka menentukan sektor pengajian tinggi negara ini akan lebih berdaya saing dan setanding di negara maju.

Sekarang ini pun sudah kedengaran wujudnya IPTS yang lebih mementingkan yuran yang mereka terima daripada pelajar berbanding menentukan mutu pelajaran disediakan.

Malah, kolum ini pernah menimbulkan wujudnya sebuah universiti swasta yang sering memaparkan dirinya sebagai universiti bermutu dan terbaik, membuat ketetapan seorangpun pelajarnya tidak boleh digagalkan walau jelek sekali keputusan peperiksaan mereka.

Malah, dikatakan ada beberapa pensyarah diminta menambahkan markah rendah yang diberikan kepada pelajar supaya pelajar itu lulus.

Alasan mereka ialah telah membayar yuran dan yuran dikenakan universiti ini sememangnya tinggi.

Ada pensyarah yang tidak senang dengan peraturan itu telah berhenti daripada mengajar di situ.

Persoalan yang timbul ialah apakah pihak berwajib di Kementerian Pengajian Tinggi tidak mengetahui apa yang berlaku itu? Apakah pemantauan dan audit tidak pernah dilakukan ke atas universiti itu bagi menentukan bahawa ia benar-benar beroperasi sebagai sebuah universiti yang mengeluarkan graduan bermutu?

Pengalaman penulis dengan seorang graduan bidang kewartawanan tidak memberikan keyakinan pelajaran yang disediakan memenuhi kehendak pemberitaan. Inilah yang sedang berlaku di universiti swasta kerana kepintarannya memasarkan dan ‘mengangkat bakul sendiri’ dapat mengaburi mata ibu bapa dan pelajar memasukinya dengan berpendapat ia adalah sebuah IPTS bermutu.

Pantau kelestarian universiti

Oleh itu, pengumuman Khaled awal bulan ini bahawa kementerian telah mengenal pasti sembilan universiti dan universiti kolej swasta akan dipantau untuk menentukan kelestarian mereka menyediakan mutu perkhidmatan dan pentadbiran terbaik berikutan aduan orang ramai amat dialu-alukan.

Malah pemantauan itu tidak harus dilakukan ke atas institusi yang ia menerima aduan saja kerana ada universiti swasta menyembunyikan kelemahan.
Sepatutnya, semua IPTS perlu diaudit dari semasa ke semasa bagi menentukan mutu kursus disediakan seperti diharapkan.

Apa pun, hingga sekarang ramai majikan swasta masih menganggap lulusan daripada IPTS lebih bermutu dan mudah diterima bekerja daripada lulusan IPTA hanya berdasarkan penguasaan bahasa Inggeris mereka yang lebih baik.

Diakui penguasaan bahasa Inggeris penting kerana kedudukannya sekarang sebagai bahasa antarabangsa tetapi persoalannya, kenapakah kefasihan dalam bahasa Inggeris menjadi ukuran penting mutu seseorang graduan? Apa yang perlu dilakukan IPTA ialah mengadakan kursus bahasa Inggeris kepada pelajar mereka untuk meningkatkan kefasihan mereka dalam bahasa itu.

Jika dibandingkan secara objektif antara graduan IPTA dengan IPTS, pada puratanya lulusan IPTA tentunya harus lebih bermutu daripada graduan IPTS. Ini adalah perbandingan secara keseluruhan dan tipis saja. Tidak dinafikan ramai juga graduan IPTS bermutu tinggi.

Harus diakui bahawa pelajar universiti awam semuanya terpilih. Yang tidak mendapat tempat di universiti awam akan memohon universiti atau kolej swasta.

Tenaga pengajar dan peralatan yang ada di universiti awam juga jauh lebih baik daripada kebanyakan IPTS. Kini ketetapan sudah dibuat bahawa hanya mereka yang mempunyai ijazah sarjana saja akan diterima menjadi pensyarah universiti awam. Kehendak ini tidak menjadi syarat bagi universiti swasta. Jelaslah daripada perbandingan singkat ini pun terdapat kelebihan pada universiti awam berbanding universiti swasta. Oleh itu, prejudis majikan terhadap graduan IPTA tentunya menimbulkan pelbagai persoalan.



Rejal Arbee ialah Felo Kanan di UKM Berita Harian Online Rencana 08/02/2013

Pembinaan watak bermula di sekolah

Pendidikan 6 tahun di sekolah rendah penting bina minda kelas pertama

Selepas lebih 50 tahun meninggalkan Sekolah Kebangsaan Jementah, Sagamat, baru-baru ini saya telah diundang untuk mewakili alumni menyampaikan ucapan sempena Majlis Menyambut Maulidur Rasul. Bangunan kayu tempat pertama kali saya menjejakkan kaki ke sekolah telah dirobohkan dan diganti dengan dua blok bangunan konkrit bertingkat. Suasananya banyak berubah, tetapi Sungai Jementah yang mengalir di belakang sekolah masih kelihatan seperti dahulu, cuma ia semakin menyempit dan airnya berkurangan.

Jemputan ini sangat bermakna bagi saya. Terima kasih kepada Mohmad Jaafar Maskor insan prihatin yang menjemput saya, serta pengetua sekolah Sharuddin Adanan dan guru yang telah menerima saya dengan tangan terbuka. Kehadiran saya di Sekolah Kebangsaan Jementah ini sangat nostalgik sehingga mencetus perasaan untuk berkongsi dengan anda apa yang telah saya sampaikan ketika berucap di hadapan pelajar, guru dan ibu bapa sekolah itu.

Saya telah berkongsi tiga peristiwa manis yang masih segar dalam ingatan ketika belajar di sekolah berkenaan dari 1958 hingga 1964. Pertama, ketika Darjah (sekarang disebut Tahun) Satu belajar Ilmu Hisab (Matematik), seluruh kelas telah dimarahi dan diminta berdiri di atas bangku oleh seorang guru yang sangat tegas, kerana kami tidak menyelesaikan kerja rumah. Guru itu ialah Cikgu Abdul Majid Madisan, kebetulan ayah saudara saya. Peristiwa itu telah menyentuh hati kecil saya sehingga berazam tidak akan mengabaikan tanggungjawab menyelesaikan semua kerja rumah. Sejak itu, saya telah mendapat markah penuh untuk mata pelajaran Ilmu Hisab sejak Tahun Satu hingga Enam.

Titik pemula kejayaan

Apabila masuk ke sekolah menengah rendah dan seterusnya ke sekolah menengah atas, Matematik sentiasa menjadi kegemaran saya. Saya telah mendapat keputusan cemerlang dalam subjek Matematik dan Matematik Tam-bahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan penuh Matematik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah faktor utama membolehkan saya diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bagi saya, peristiwa berdiri di atas bangku ketika tahun pertama di sekolah rendah adalah titik pemula kejayaan saya untuk meneruskan pengajian pada peringkat universiti.

Peristiwa kedua ialah apabila saya dipilih oleh sekolah untuk menyertai sukan lompat jauh antara sekolah rendah seluruh daerah Segamat ketika berada di Darjah Empat. Saya sememangnya telah menjuarai beberapa acara sukan olahraga di Sekolah Kebangsaan Jementah sejak dari Darjah Satu lagi. Tetapi ketika itu saya mengetahui ia adalah juara kampung yang hanya membabitkan rakan sekolah yang semuanya saya kenali.

Apabila sampai ke Segamat dan berjumpa dengan pelajar dari beberapa sekolah rendah di seluruh Segamat, hati saya mulai berdebar dan seolah-olah seluruh anggota badan saya tidak bermaya. Lebih-lebih lagi, pada ketika itu, hanya saya seorang yang melakukan lompat jauh berkaki ayam. Pelajar lain semuanya lengkap dengan pakaian olahraga dan kasut berpaku (spike). Beberapa lompatan awal saya jauh tertinggal di belakang berbanding jarak lompatan pelajar lain.

Atasi perasaan rendah diri

Bagaimanapun, pada lompatan keempat, saya berjaya mengatasi perasaan rendah diri, dan membuat lompatan yang jauh sehingga berjaya menjuarai kejohanan itu. Peristiwa ini telah membuka minda saya mengenai bakat sukan yang ada pada saya yang turut mencetus kepada kejayaan dalam pelbagai bidang sukan ketika berada di sekolah menengah dan universiti.

Peristiwa ketiga berlaku ketika di Darjah Enam iaitu apabila saya dipilih untuk mewakili sekolah dalam Majlis Syarahan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Saya berjaya menjadi juara daerah Segamat, dan seterusnya mewakili daerah untuk pertandingan seluruh negeri Johor. Oleh kerana masa yang diberikan sangat terhad dan saya tidak mampu menghafal semua kandungan utama syarahan, Cikgu Roslan, guru Darjah Enam yang ditugaskan membawa saya pulang ke rumah dan melatih saya menghafal fakta dan memberikan saya kopi pekat supaya boleh bertahan tidak mengantuk hingga jam 2 pagi.

Keesokan paginya, kami perlu bertolak ke Johor Bahru untuk menyertai pertandingan. Walaupun saya tidak berjaya menjadi johan, peristiwa ini agaknya yang mencetus keinginan untuk menjadi seorang pensyarah.

Tiga peristiwa ini memainkan peranan penting dalam pencetus hala tuju kehidupan saya. Minat yang berterusan dalam bidang Matematik telah membina gaya pemikiran logik sehingga membawa saya menjejakkan kaki ke universiti.

Apa yang ingin diperkatakan, pendidikan selama enam tahun di sekolah rendah adalah sangat penting untuk membina asas dan perwatakan seorang pelajar. Jika kita inginkan warga negara yang menunjukkan sikap positif, kecemerlangan serta kewibawaan yang tinggi, didikan asasnya adalah di sekolah rendah.

Pengetua dan guru di sekolah rendah adalah warga pendidik yang penting dan perlu diberikan keutamaan. Kementerian Pelajaran perlu melihat kembali perancangan mereka untuk membina warga minda kelas pertama pada peringkat sekolah.


Dr Ibrahim Komoo ialah Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu Berita Harian Online Rencana 09/02/2013