February 15th, 2013

Tiga SAR didaftarkan sebagai SABK

PUTRAJAYA: Tiga Sekolah Agama Rakyat (SAR) hari ini didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dalam usaha untuk meningkatkan lagi akses dan kualiti pendidikan Islam.

Sekolah berkenaan ialah Madrasah Tarbiah Islamiah Mentakab, Temerloh dan Sekolah Agama Maahad Tahfiz Wa Ta'limil Al-Quran, Jerantut di Pahang serta Sekolah Menengah Agama Al-Maahadul Islami, Tasek Junjung Pulau Pinang.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed usaha itu akan melahirkan lebih ramai ulama, mufti dan guru agama yang mempunyai latar belakang akademik yang hebat.

"Guru SABK juga akan diberi latihan bersesuaian, mendapat gaji yang lebih kompetitif serta berpeluang menjawat jawatan tetap dan berpencen," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman pendaftaran tiga sekolah itu di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, murid SABK juga akan mendapat pendidikan lebih berkualiti di samping pelbagai kemudahan seperti bantuan per kapita, bantuan makan asrama serta bantuan buku teks seperti mana dinikmati pelajar sekolah arus perdana.

Rosli berkata, pendaftaran ketiga-tiga sekolah itu tidak akan menjejaskan operasi dan kurikulum sedia ada, malah ia akan terus dimantapkan lagi. - BERNAMA


Berita Harian Online Mutakhir 14/02/2013

Kurikulum tetap dipertahankan

Putrajaya: Kemasukan Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) tidak akan menjejaskan operasi dan pelaksanaan kurikulum sedia ada, malah Kementerian Pelajaran memberi jaminan mempertahankan kurikulum agama di sekolah berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed berkata, kemasukan SAR sebagai SABK akan memantapkan kualiti guru, pengurusan dan kepimpinan sekolah, kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar seperti yang dituntut Falsafah Pendidikan Negara. “Selain itu, guru SABK akan diberi latihan bersesuaian, mendapat gaji lebih kompetetif, layak menerima pelbagai kemudahan seperti kenaikan pangkat, pencen dan pinjaman perumahan. “Dengan kemasukan tiga sekolah SAR dari Pahang dan Pulau Pinang sebagai SABK (semalam), guru serta kakitangan sokongan akan diberi peluang menjawat jawatan tetap dan berpencen di bawah kementerian,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pendaftaran tiga SAR sebagai SABK, di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Abdullah Md Din.


Tiga sekolah berkenaan ialah Madrasah Tarbiah Islamiah Mentakab, Temerloh, Pahang; Sekolah Agama Maahad Tahfiz Wa Ta’limil Al-Quran, Jerantut, Pahang dan Sekolah Menengah Agama Al-Maahadul Islami, Tasek Junjung, Pulau Pinang. Rosli berkata, pelajar di SABK akan mendapat pendidikan lebih berkualiti serta menikmati kemudahan seperti Bantuan Perkapita, Bantuan Makan Asrama serta Bantuan Buku Teks seperti sekolah arus perdana. “Pelajar juga mempunyai akses bagi mengikuti pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang lebih meluas sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan, malah antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, sebanyak 198 SAR dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara sudah berdaftar sebagai SABK. “Jumlah berkenaan adalah hampir dua pertiga daripada sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 393 sekolah berdaftar sebagai SABK,” katanya.


Siti A’isyah Sukaimi Harian Metro Online Setempat 15/02/2013

Malaysia jatuh ranking lagi

Kuala Lumpur: Berikutan kekalahan 0-2 kepada Qatar pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Asia 2015, Rabu lalu menyebabkan pasukan Malaysia jatuh satu anak tangga dalam ranking bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam, skuad kebangsaan bimbingan Datuk K Rajagobal itu turun ke kedudukan ke-159 dunia berbanding 158 pada bulan lalu.

Senarai kedudukan terkini itu menunjukkan skuad Harimau Malaya setanding beberapa pasukan yang diketahui umum mempunyai kekurangan infrastruktur dalam sukan bola sepak seperti Palestin yang berada pada ranking ke-153, Hong Kong (156), Bermuda (157) dan Maldives yang berkongsi kedudukan dengan skuad negara.

Di peringkat Asia, Malaysia kekal pada kedudukan ke-26 daripada 46 negara.


ranking_bola

Berita Harian Online Sukan 15/02/2013

Harga minyak di Malaysia kelapan paling murah di dunia

Harga minyak di Malaysia, iaitu pada RM7.29 segelen atau RM1.90 seliter yang kelapan paling murah di dunia, demikian mengikut kajian dibuat oleh agensi berita kewangan antarabangsa, Bloomberg.

Mengikut kajian bertajuk ‘Highest & Cheapest Gas Prices by Country’ itu, harga petrol di negara ini dalam dolar Amerika Syarikat (AS) adalah pada AS$2.36 segelen, juga paling murah di Asia Tenggara.

Kajian dibuat berdasarkan himpunan profil data daripada Associates for International Research Inc (AIRINC); portal pemantau tenaga Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF); dan Energy Information Administration dari Amerika Syarikat (AS).

Bloomberg dalam kajiannya membabitkan 60 negara itu menyenaraikan Venezuela sebagai negara dengan harga petrol paling murah di dunia, diikuti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Nigeria, Malaysia, Mexico dan AS.

Turki disenaraikan sebagai negara dengan harga petrol paling mahal di dunia, diikuti Norway, Belanda, Itali, Portugal, Greece, Sweden, Belgium, Perancis dan Denmark.

Dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia berada di tempat ke-11, Thailand (13), Filipina (17) dan Singapura ke-22).

Harga petrol di Singapura dijual pada AS$6.26 atau RM19.43 segelen; Indonesia (AS$3.66 atau RM11.31 segelen); Thailand (AS$4.42 atau RM13.65 segelen); dan Filipina (AS$4.87 atau RM15.05 segelen).

Purata 1.17 liter sehari

Bagi Malaysia, kajian Bloomberg itu menyatakan, seorang rakyat di negara ini perlu membelanjakan 7.5 peratus daripada purata gaji harian mereka, iaitu AS$32 (RM98.90) sehari untuk membeli segelen petrol.

Mengikut kajian itu, secara purata seorang penduduk negara ini menggunakan 0.31 gelen (1.17 liter) petrol sehari.

Sebagai perbandingan di rantau ini, seorang penduduk di Indonesia dengan purata pendapatan harian AS$11 (RM33.99) perlu membelanjakan 33 peratus, manakala di Thailand yang penduduknya memiliki purata gaji harian AS$17 (RM52.53) pula 25 peratus.

Rakyat Filipina dengan pendapatan harian AS$7.11 (RM21.96) perlu membelanjakan purata 69 peratus, sementara penduduk Singapura yang memperoleh purata pendapatan harian AS$139 (RM429.5) sehari sebanyak 4.5 peratus.

Berbanding sembilan negara dengan harga petrol paling murah pula, yang mana kecuali Mexico adalah dalam kalangan 20 negara yang memiliki rizab minyak terbesar, penduduk Venezuela dengan purata pendapatan harian AS$31 (RM95.79) hanya perlu membelanjakan 0.2 peratus, manakala penduduk Arab Saudi dengan purata pendapatan harian AS$64 (RM197.76), sebanyak 0.7 peratus.

Penduduk Kuwait pula dengan purata pendapatan harian AS$123 (RM380.07) perlu membelanjakan 0.7 peratus; sementara penduduk Mesir dengan purata pendapatan harian AS$9.04 (RM27.93) pula sebanyak 13 peratus.

Di UAE, penduduknya dengan purata pendapatan harian AS$180 (RM556.20) perlu membelanjakan satu peratus dan penduduk di Iran dengan purata pendapatan harian AS$18 (RM55.62), sebanyak 12 peratus.

Penduduk di Nigeria yang memiliki purata pendapatan harian AS$4.74 (RM14.64) perlu membelanjakan 49 peratus, manakala penduduk Mexico dengan purata pendapatan harian AS$29 (RM89.61) sebanyak 11 peratus. Penduduk di AS dengan purata pendapatan harian AS$140 (RM432.60) pula perlu membelanjakan sebanyak 2.4 peratus.

Berbanding Turki, rakyatnya yang berpendapatan purata AS$30 (RM92.70) sehari pula perlu membelanjakan purata 33 peratus daripada gaji mereka untuk membeli segelen bahan api itu.

Kerja sehari setengah

Sementara itu, rakyat Pakistan dengan purata pendapatan harian sekitar AS$3.55 (RM10.96) sehari, iaitu paras paling rendah dalam kalangan 60 negara dikaji, terpaksa bekerja kira-kira sehari setengah hanya untuk membeli segelen petrol.

Negara yang dipilih dalam kajian Bloomberg itu adalah negara yang memiliki purata pendapatan individu minimum AS$3.50 (RM10.81) sehari, manakala harga petrol yang dinyatakan pula berasaskan pada harga segelen petrol biasa tanpa plumbum dalam nilai dolar AS.

Harga yang diambil kira pula ialah yang paling murah bagi setiap negara berikutan gred petrol berbeza mengikut negara.

Maklumat data negara yang terbabit dalam kajian itu diperoleh agensi berita itu daripada CIA World Factbook dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).


Berita Harian Online Ekonomi 15/02/2013