February 25th, 2013

Hala tuju undang-undang media

KEBEBASAN bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10. Kita sedar dan kita faham bahawa kebebasan itu bukan mutlak. Ia tertakluk kepada sekatan yang difikirkan perlu oleh Parlimen bagi beberapa tujuan, antara lain kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam atau kemoralan, fitnah dan beberapa perkara lagi. Ini disebut dalam fasal (2)(a) Perkara 10.

Bersandarkan kepada perkara ini, kebebasan bersuara itu perlu dikawal atau dibendung bagi manfaat tertentu seperti yang telah disebut. Sebagai contoh, kebebasan bersuara atau dalam konteks media, kebebasan dalam penerbitan tidak boleh memfitnah.

Dalam pada prinsip kebebasan bersuara yang terkawal itu, khalayak juga mempunyai hak untuk mendapat informasi tertentu bagi manfaat mereka. Hakikatnya, kita tidak boleh menafikan kepentingan maklumat tertentu dalam sistem demokrasi.

Jelasnya dalam melaksanakan kebebasan, kita hendaklah sentiasa menjaga hak seorang individu dan juga hak masyarakat.

Di sini timbulnya konflik - dalam satu lipatan kita mempunyai kebebasan bersuara yang boleh dikawal atau bahkan disekat atas alasan antara lain, menjaga hak persendirian atau privasi individu. Dalam satu lipatan lain, kita juga perlu melunaskan hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat.

Keseimbangan antara perkara-perkara ini sangat diperlukan dalam merealisasikan prinsip demokrasi dalam pentadbiran dan juga sistem kemasyarakatan kita.

Dengan wujudnya konflik ini, pengamal media menggalas tanggungjawab berat terhadap individu dan juga masyarakat ketika melaksana tugas mereka. Pengamal media harus bijak mengimbangi hak kebebasan bersuara, hak masyarakat dan juga hak individu. Yang pasti tanggungjawab ini mudah disebut, tetapi hakikatnya payah untuk dilaksana.

Bagi membantu pengamal media mengimbangi hak dan tanggungjawab mereka berkaitan penerbitan, undang-undang yang berkesan dan berupaya mengimbangi kesemua itu perlu diwujudkan. Dengan kata lain, undang-undang juga amat diperlukan bagi melindungi pengamal media dalam melaksanakan tanggungjawab mereka menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Pada ketika ini, undang-undang berkaitan yang sedang diterima pakai ialah Akta Fitnah 1957 - Akta 286 - iaitu kodifikasi atau pengumpulan dan pembaharuan kepada prinsip Common Law. Akta ini merupakan tinggalan British yang disandarkan kepada Akta Fitnah 1952 United Kingdom (UK).

Ringkasnya Akta 286 ini tidak membenarkan cetakan yang menjejaskan reputasi seseorang atas alasan-alasan tertentu. Akta ini juga meletakkan sedikit keistimewaan kepada pengamal media dalam menyalurkan maklumat. Sekiranya media dibawa ke mahkamah dalam kes-kes saman, akta ini menggariskan beberapa pembelaan bagi membenarkan tugas mereka dan ini memberi sedikit perlindungan kepada pengamal media.

Adil

Antara pembelaan yang disebut dalam Akta Fitnah 1957 termasuklah tanpa niat (S.7), justifikasi (S.8) , komen yang adil atau berpatutan (fair comment) (S.9) dan keistimewaan tertentu (S.12).

Dalam ruang terhad ini, cukup sekadar disebut pembelaan yang biasa digunakan dalam saman fitnah iaitu komen yang adil - walaupun justifikasi juga banyak digunakan.

Sekiranya media menggunakan pembelaan komen yang adil, seksyen 9 Akta Fitnah tidak menggugurkan pembelaan sekiranya pihak media tidak dapat membuktikan kebenaran fakta, sekiranya komen yang adil itu dapat dibuktikan. Secara perinciannya antara lain, pihak media perlu membuktikan bahawa tiada niat jahat dalam komen itu dan mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada komen tersebut adalah komen yang adil. Mahkamah meletakkan kriteria objektif mengenai perkara ini namun begitu, dalam beberapa perkembangan mutakhir, didapati mahkamah di Malaysia banyak menolak pembelaan komen yang adil atau berpatutan atas dasar kegagalan pihak media membuktikan fakta sebenar.

Dalam keadaan semasa, alasan pembelaan yang disediakan oleh undang-undang kepada pengamal media ini tidak dapat menjaga hak masyarakat untuk mendapat maklumat bagi tujuan kepentingan awam. Maka kita perlu meminda atau membuat undang-undang yang baharu. Kita percaya, undang-undang baharu mampu memberi keseimbangan dalam konflik yang saya sebut di atas.

Kita tidak menolak kewajipan pihak media untuk membuat laporan yang tepat dan benar. Ini kerana kredibiliti media sesungguhnya bergantung kepada kualiti maklumat yang disampaikan kepada khalayak. Kita sedar bahawa kewartawanan bertanggungjawab adalah kunci penyelesaian kepada konflik yang disebut itu. Setakat undang-undang yang ada sekarang, istilah kewartawanan bertanggungjawab ini begitu asing. Ia tidak diberi kedudukan, apatah lagi kedudukan selesa dalam peruntukan perundangan berkaitan undang-undang fitnah di negara kita.

Saya menyebut di atas bahawa undang-undang diterima pakai di negara kita sekarang telah dibuat semasa kemerdekaan lagi dan ia disandarkan kepada prinsip common law. Suka juga saya menyebut kedudukan mutakhir di UK mengenai undang-undang ini. Common law yang kita rujuk dalam kodifikasi Akta Fitnah itu dicadang supaya dihapuskan. Satu Rang Undang-Undang Fitnah baharu telah diperkenalkan di Parlimen British. Rang Undang-Undang tersebut telah melalui fasa Grand Committee di Parlimen. Setelah pindaan dilakukan dalam fasa ini Rang Undang-Undang tersebut telah diterbitkan pada 17 Januari 2013, tetapi masih belum beroperasi.

Dalam Rang Undang-Undang di UK ini, beberapa penambahbaikan dalam menjaga dan menyokong fungsi pengamal media. Pembaharuan yang jelas dalam hal pembelaan kepada pengamal media. Antara lain, ia mengiktiraf pembelaan 'Honest Opinion' (pendapat yang jujur). Sedikit sebanyak Akta Fitnah 1957 juga mempunyai pengisian yang lebih kurang serupa di bawah komen yang adil itu.

Perkara yang tidak terdapat dalam Akta Fitnah kita tetapi dicadangkan dalam Rang Undang-Undang di UK itu ialah berkaitan penerbitan mengenai kepentingan awam (Publication on Matter of Public Interest). Dalam seksyen 4 sebagaimana Rang Undang-Undang Fitnah yang diterbitkan oleh Authority of the House of Lords, London (boleh didapati menerusi laman sesawang The National Archives UK - www. nationalarchives.gov.uk) telah diperuntukkan antara lain, pembelaan kes fitnah boleh diterima sekiranya dapat dibuktikan kenyataan yang dibuat adalah berkaitan kepentingan awam dan pada masa sama, pihak penerbitan mempunyai kepercayaan munasabah terbitan itu dibuat bagi kepentingan awam. Dalam menentukan kepercayaan munasabah pihak defendan, mahkamah mesti memberi ruang membuat keputusan kepada pihak editor. Pembelaan atas dasar kepentingan awam ini boleh digunakan dalam komplen berkaitan fakta atau pendapat.

Saya petik seksyen 4 itu di bawah untuk dikongsi:

(1) It is a defence to an action for defamation for the defendant to show that:

a. The statement complained of was, or formed part of, a statement on matter of public interest.

b. The defendant reasonable believed that publishing the statement complained of was in the public interest

(2) If the statement complained of was, or formed part of, an accurate and impartial account of a dispute to which the claimant was a party, the court must in determining whether it was reasonable for the defendant to believe that publishing the statement was in the public interest disregard any omission of the defendant to take steps to verify the truth of the imputation conveyed by it

(3) In determining whether it was reasonable for the defendant to believe that publishing the statement complained of was in the public interest, the court must make such allowance for editorial judgment as it considers appropriate

(4) For the avoidance of doubt, the defence under this section may be relied upon irrespective of whether the statement complained is a statement of fact or a statement of opinion

(5) The common law defence known as the Reynolds defence is abolished

Yang menarik di sini, undang-undang kita memerlukan pembaharuan dengan meletakkan kriteria kewartawanan bertanggungjawab dan kepentingan awam. Sekiranya undang-undang di UK itu telah melalui beberapa fasa perubahan, kita juga perlu bergerak kerana banyak perubahan telah berlaku dalam ruang media. Tanpa pembaharuan, sudah pasti kelompangan dalam undang-undang akan diambil kesempatan dan lebih parah, undang-undang tidak lagi dapat menjaga kepentingan awam tetapi menjaga kepentingan individu sahaja.

Oleh yang demikian dalam keadaan semasa, kita memerlukan wajah baharu dalam perundangan berkaitan media dan fitnah bagi kepentingan khalayak.



Dr.Shamrahayu Utusan Malaysia Online Rencana 24/02/2013

Masyarakat kian alami polarisasi

SEBELUM ini kita sering membicarakan tentang polarisasi kaum, seperti yang berlaku di institusi pengajian tinggi umpamanya, iaitu ketika kaum masing-masing hanya bergaul, berinteraksi dan berkumpul sesama kaum mereka semata-mata. Hal ini dilihat sebagai satu fenomena yang tidak sihat dalam masyarakat seperti negara kita yang penduduknya terdiri daripada kepelbagaian kaum, agama dan keturunan.


Polarisasi sebegitu seharusnya tidak wujud, tetapi sebaliknya apabila berlaku polarisasi kaum, maka dengan sendiri, masyarakat kita menjadi masyarakat yang berpecah belah mengikut agama, keturunan, bahasa dan budaya.

Kalau dulu kita membicarakan hal ini secara umum sahaja, tetapi nampaknya kerana perkembangan yang tidak sihat sedang berlaku dalam politik yang berbentuk polarisasi juga, iaitu politik partisan yang membawa kepada taksub. Orang Melayu dan umat Islam di negara kita nampaknya mulai memupuk dasar polarisasi politik ini dalam kalangan umat Islam, iaitu berdasarkan ideologi politik kepartian dalam keluarga, daerah, kampung dan negeri.

Dalam famili orang Melayu yang mengambil ideologi parti Pas sebagai fahaman keturunannya, maka besar kemungkinan anak cucu dalam keluarga itu, termasuk yang masih kecil, akan turut berpegang kepada ideologi politik kepartian ini sebagai satu cara hidup dan budaya keluarganya, maka membesarlah dia dalam ideologi ini.

Demikianlah pula sekiranya ibu bapa atau abang dan adik dalam satu keluarga itu menonjolkan fahaman politik UMNO sebagai anutannya, maka UMNOlah yang menjadi ideologi dan kefahaman keturunan keluarga ini, mungkin buat selama-lamanya.

Dengan itu budaya berpolitik mengikut parti politik yang tertentu seolah-olah telah menjadi satu warisan dalam sesuatu keluarga, yang mungkin sama dengan amalan agama keluarga tersebut, atau warisan pemikiran yang tipikal mengikut acuan yang menjadi tradisi keluarga itu.

Hal ini turut berjangkit menjadi pola pembangunan masyarakat umat Melayu berdasarkan lokasi dan penempatan mereka, di beberapa negeri umpamanya, Pas amat bertunjang di sana, yang mungkin tidak wujud di beberapa buah daerah dan negeri lain. Maka tindakan penghuni daerah atau kawasan yang tertentu itu untuk mengikuti parti ini menjadi warisan penduduk di sana dan menjadi ideologi politik yang sering dihubungkan dengan daerah atau negeri yang tertentu.

Polarisasi kepartian ini, kemudiannya merebak dengan pesatnya ke dalam perkembangan terbaru politik negara kita umumnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, dan perebutan undi dalam kalangan tiga kaum terbesar di negara kita, terutamanya ketika parti-parti politik Melayu yang amat memerlukan kepada sokongan kaum lain yang bakal menjadi penentu kepada menang kalahnya parti Melayu itu dalam pilihan raya. Oleh itu umat Melayu yang berpecah kepada beberapa parti politik yang tertentu akan mewujudkan polarisasi dalam masyarakat umat Melayu sendiri.

Mengikut kajian sosial yang dilakukan, polarisasi atau polarization mengikut istilah Inggeris, apabila dikaitkan dengan polarisasi politik, maka takrifannya ialah the process by which the public opinion divides and goes to the extremes. Bermakna bahawa polarisasi politik ialah satu proses yang berlaku ketika terdapat perselisihan pandangan umum, dan pandangan ini sering memihak kepada golongan yang ekstrem.

Pendeknya polarisasi adalah satu proses yang sering berlaku dalam ekonomi, politik, sosial yang lebih banyak meninggalkan kesan negatif dalam sebuah negara dan bangsa yang terlibat.

Proses ini yang berlaku dengan hebatnya dalam masyarakat Melayu sebenarnya akan membantut malah menghalang pembangunan tamadun dan kesejahteraan rakyat umum, dan berkemungkinan besar proses ini akan menjejaskan pembangunan pendidikan, sosial, ekonomi dan moral umat kita juga.

Malah cita-cita kita untuk mencipta satu bangsa yang moderat dalam konsep wasatiyyah seperti yang diajarkan oleh agama kita berkemungkinan juga akan terbengkalai, kerana polarisasi dalam apa-apa saja bentuknya iaitu sosial, ekonomi dan politik akhirnya akan mempengaruhi pandangan umum agar mengambil jalan yang radikal dan ekstrem.

Di Malaysia polarisasi agama telah mengambil ruang tengah di atas pentas kehidupan umat Islam seluruhnya. Umat Islam yang mengalami kebangkitan semula untuk kembali kepada Islam dalam tahun-tahun 1970-an telah menghidupkan semangat ini dengan berbagai-bagai pentafsiran dan penghayatan. Oleh itu agama memainkan peranan yang penting dalam perkembangan pemikiran dan sikap umat Islam, bukan hanya di negara-negara tertentu, malah dalam dunia Islam keseluruhannya.

Pada masa itulah timbul berbagai-bagai pentafsiran tentang apakah ajaran Islam yang seharusnya menjadi satu sistem lengkap bagi kehidupan manusia Muslim seluruhnya di dunia dan akhirat, dan apakah pentafsiran dan agenda lengkap bagi Islam sebagai Al-Deen yang ditakrifkan sebagai satu cara hidup dan sistemnya yang lengkap itu.

Ketika inilah umat Islam pula yang akan terseret ke dalam proses polarisasi agama, terutamanya apabila umat Islam berpecah kepada beberapa parti politik yang dilahirkan atas nama agama, dan parti ini berjuang atas nama politik untuk merebut pemerintahan negara.

Polarisasi agama inilah yang menimbulkan konflik dalam masyarakat Islam, dengan pentafsiran yang kadang-kadang amat subjektif, golongan yang satu itu sahaja yang berada di atas landasan yang benar, dan golongan lain adalah salah, kadang-kadang sehingga menyentuh akidah Islamiah itu sendiri, lalu timbullah tuduhan sesama Islam sebagai kafir, murtad, taghut dan sebagainya, termasuk terhadap kerajaan yang memerintah, yang dihubungkan dengan kerajaan taghut dan kafir.

Ajaran Islam tentang adab berkonflik, berselisih pandangan dan berkhilaf, sering menjadi slogan politik, dan ungkapan retorika semata-mata, kerana sikap ekstrem dan radikal yang didorong oleh proses polarisasi agama itu telah menguasai pandangan umum bagi sebuah parti politik, dan taksub kepada kepimpinan yang dianggap lebih Islamik, menjadikan para pengikutnya mempunyai persepsi yang salah dalam menjatuhkan hukum terhadap golongan umat Islam yang menjadi lawan politik mereka.

Maksudnya, unsur polarisasi agama yang amat berkesan memecah belahkan umat Islam di seluruh dunia pada umumnya berpunca daripada kelahiran ketua-ketua politik tertentu dalam perjuangan politik atas nama Islam, sedangkan pentafsiran Islam yang dibawanya lebih kepada unsur radikal dan ekstrem, namun kelihatan lebih Islamik daripada kumpulan yang lain.

Tragedi inilah yang melanda negara dan umat Islam pada hari ini, termasuk dalam perkembangan terbaru di Asia Barat yang amat berkonflik dalam politik. Ini kesan daripada polarisasi keagamaan yang diketuai oleh beberapa orang pemimpin politik, sedangkan para pemimpin ini pula lahir dalam imej mufti dan hakim, bukan atas nama pendakwah dan ilmuwan yang berhikmah.

Trend ini sebenarnya lebih banyak menjadi ikutan para belia dan orang muda yang berdarah panas, dan yang sering melihat kepada ketua-ketua politik keagamaan itu sebagai teladan mereka, terutamanya dalam arus kebangkitan Islam semasa yang seharusnya disokong, tanpa lagi melihat kepada realiti masyarakat dunia sekarang dan percaturan politik global yang dikuasai oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan pengaruh negara Eropah dan Barat umumnya yang sering mengintai-intai peluang supaya mereka dapat melakukan sesuatu untuk memerangkap dunia dan umat Islam supaya menjadi umat yang radikal dan ekstrem.

Sayangnya umat Islam dan dunia Islam umumnya telah banyak mengambil jalan yang salah dalam mentafsirkan Islam sebagai wadah politik dalam arus perdana perjuangan umatnya mulai dari zaman kebangkitan Islam sehingga ke zaman moden dan dunia semasa pada hari ini.

Sentimen dan emosi lebih banyak mewarnai perjuangan politik umat Islam kerana dunia Islam amat kekurangan ilmu dan hikmah dalam menghadapi zaman sains dan teknologi yang berwadahkan penyelidikan dan kajian untuk menyusun sesuatu agenda hidup dalam berbagai-bagai, termasuk bidang politik dan agama.

Krisis kepemimpinan nampaknya amat ketara berlaku dalam dunia Islam, dan pemimpin yang mempunyai visi serta berpandangan futuristik amat kurang dalam dunia Islam.

Namun atas nama apa-apa saja agenda perjuangan politik Islam, maka para pemimpin politik Islam haruslah mengambil tanggungjawab di atas kepemimpinannya, kerana rakyat adalah sentiasa mengikut wadah perjuangan pemimpinnya.

Sekiranya pemimpin, sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja memimpin pengikutnya ke jalan yang salah, pemimpin itulah yang bertanggungjawab di hadapan Allah SWT, apa lagi sekiranya pemimpin itu muncul sebagai hakim dan mufti yang sering mengeluarkan fatwa dan hukuman seperti yang dijatuhkan oleh mahkamah.



DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Utusan Malaysia Online Rencana 25/02/2013

Kemelut kalimah Allah

TINDAKAN Lim Guan Eng membuat desakan pada 25 Disember 2012 sempena sambutan Krismas supaya Kerajaan Persekutuan memberikan kebenaran rasmi kepada penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam hal berkaitan agama Kristian adalah jelas satu penghinaan terhadap Rukun Negara, mencabul Perlembagaan Persekutuan dan melanggar peruntukan undang-undang negara!

Dan tindakan Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang membuat kenyataan bersama pada 8 Januari 2013 bahawa penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dengan alasan antara lain kononnya Islam membenarkannya, membuktikan pakatan DAP-PKR-Pas adalah satu pakatan yang tidak menghormati agama Islam, Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang negara.

Malahan Majlis Syura Pas pada 13 Januari 2013 telah menyanggah pendirian Presiden Pas sendiri dan ketetapan pembangkang DAP-PKR-Pas dengan membuat pendirian yang sama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan para ulama muktabirin serta NGO-NGO Islam dengan memutuskan bahawa kalimah Allah hanya boleh diguna oleh umat Islam dan melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam termasuk Kristian.

Namun pembangkang, terutamanya Karpal Singh, serta beberapa pimpinan DAP-PKR telah terus menerus mempertikaikan keputusan Majlis Syura Pas, malah ada yang mendesak supaya majlis itu menarik balik keputusan larangan tersebut dan akur dengan ketetapan pakatan DAP-PKR-Pas yang membenarkan Kristian mengguna pakai kalimah Allah!

Sebenarnya, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 telah memperuntukan melalui Seksyen 91 bahawa kalimah Allah (termasuk beberapa perkataan dan kalimah lain seperti Baitullah, solat dan lain-lain) adalah dilarang penggunaannya oleh bukan Islam.

Enakmen tersebut digubal oleh Dewan Undangan Negeri Selangor yang bersidang pada April 1988 (semasa di bawah pemerintahan Kerajaan BN Selangor) dan digazetkan pada Julai 1988. Enakmen yang sama juga telah digubal oleh hampir kesemua Dewan Undangan Negeri yang lain.

Bermakna hampir semua negeri telah menggubal undang-undang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Dan untuk memperkuatkan kedudukan, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah menetapkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam (sila rujuk www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan- penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-Allah).

Fatwa pelarangan Majlis Fatwa Kebangsaan ini telah diikuti oleh hampir kesemua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri termasuk Selangor yang membuat gazet bagi fatwa tersebut pada 18.02.2010 melalui Sel. P.U. 6.

Apa yang jelas ialah sudah ada peruntukan undang-undang yang sah dan sahih digubal melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Peruntukan ini dinamakan 'Undang- Undang Anti-Dakyah Agama' yang dengan jelas memperuntukkan "bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus untuk umat Islam dan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah dilarang sama sekali dalam apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka".

Peruntukan undang-undang ini pula sebenarnya dibuat berdasarkan peruntukan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain terhadap orang Islam.

Dan ini semua adalah bersesuaian dengan semangat dan peruntukan Rukun Negara di mana seluruh rakyat dan warganegara telah berikrar menyatakan antara lain akan menghormati, mentaati dan mempertahankan "Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang".

Dan pelanggaran peruntukan Undang- Undang Anti Dakyah ini boleh membawa kepada pertuduhan di Mahkamah Jenayah Sivil dan boleh dihukum termasuk penjara.

Dan jangan lupa Seksyen 298A Kanun Kesiksaan juga menjadikan ia satu kesalahan jenayah jika seseorang itu "menyebabkan di atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan dan sebagainya, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan".

Dan hukuman bagi pesalah di bawah Seksyen ini ialah "hendaklah disiksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari dua (2) tahun dan tidak lebih dari lima (5) tahun".

Tidak cukup dengan itu, Tuanku Sultan Selangor secara jelas dan sarih bertitah melarang penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut agama selain Islam termasuk Kristian. Dan titah Tuanku Sultan Selangor diikuti dengan titah Tuanku Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dan beberapa Sultan yang lain.

Ringkasnya, pelarangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam dalam apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka adalah bersesuaian dengan ikrar dan peruntukan Rukun Negara, sah dan sahih dibuat menurut Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri serta telah digazetkan, dan ia adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum minimum 2 tahun penjara dan maksimum 5 tahun penjara!.

APA MAKNA SEMUA INI?

Maknanya sesiapa yang membenarkan, menyokong, mempromosi, mencadangkan, bersetuju, bersekongkol, menghasut dan dalam apa juga bentuk dan tindakan mahu kalimah Allah digunakan oleh penganut agama selain Islam termasuk Kristian adalah mengkhianati Rukun Negara, mencabul Perlembagaan Persekutuan, menderhaka kepada titah Tuanku Sultan dan melanggar undang-undang yang sah dan sahih!

Cukup jelas kemelut dan isu penggunaan kalimah Allah yang dicetuskan oleh Guan Eng pada 25 Disember 2012 dan kemudiannya disokong oleh kepimpinan DAP-PKR-Pas melalui kenyataan bersama Lim Kit Siang, Anwar dan Hadi Awang pada 8 Januari 2013 telah menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan (termasuk dalam Pas sendiri), dan menyebabkan atau boleh menyebabkan permusuhan, benci membenci dan akan memudaratkan.

Ini terbukti dengan berlakunya begitu banyak laporan polis yang dibuat, demonstrasi dan bantahan besar-besaran di seluruh negara termasuk dalam kalangan ahli Pas sendiri terhadap kepimpinan pembangkang sehingga membawa kepada memijak dan membakar gambar kepimpinan mereka sendiri. Malah Majlis Syura Pas dengan jelas memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh selain umat Islam adalah ditegah sama sekali atas dasar akidah!

Akibat daripada itu, kita melihat pertelagahan terbuka sesama mereka. Datuk Harun Taib, disokong oleh Datuk Haron Din, Datuk Nik Amar dan lain-lain kepimpinan ulama Pas secara terbuka mencabar dan mengkritik Karpal Singh yang berkeras mahu Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Sebaliknya Karpal Singh, disokong oleh beberapa pimpinan pembangkang secara terbuka mencabar kepimpinan Pas supaya menarik balik dan membatalkan keputusan Majlis Syura yang dibuat pada 13 Januari 2013.

Atas dasar itu, tindakan tegas dan tanpa kompromi perlu diambil seperti berikut iaitu pertuduhan di bawah Seksyen 298A Kanun Kesiksaan dan Seksyen 91 Enakmen Anti-Dakyah dan/ atau mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada perlu dikenakan terhadap:

1. Lim Guan Eng yang pada 25 Disember 2012 membuat desakan melalui mesej Hari Krismas supaya Kerajaan Persekutuan membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam perkara berkaitan agama Kristian;

2. Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang yang pada 8 Januari 2013 membuat kenyataan bersama mendesak Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam perkara berkaitan dengan agama Kristian; dengan menggunakan dan/ atau memberi gambaran seolah-olah Islam membenarkannya!

3. Karpal Singh yang terus menerus membuat kenyataan mendesak supaya Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam perkara berkaitan dengan agama Kristian walaupun rakan sekongkolnya Majlis Syura Pas dengan jelas mengharamkannya!

Dan kepada rakyat Malaysia pelbagai agama dan kaum, cubalah ambil kemelut isu penggunaan kalimah Allah ini sebagai "pembuka jiwa dan minda" dan gunakanlah akal untuk berfikir; adakah kita mahu golongan jenis ini, yang sanggup mempolitik dan memainkan agama dan Tuhan mereka sendiri sebagai pemimpin dan kerajaan memerintah kita?

Kalau Tuhan pun mereka boleh politikkan, kalau Tuhan pun mereka boleh permainkan, apakah jaminan kita rakyat Malaysia manusia biasa ini tidak akan dipolitikkan, tidak akan dipermainkan?

Kepada ahli Pas, bukalah minda dan jiwa anda! Anwar, manusia rosak akhlak yang anda beriya-iya sangat mahu tabalkan sebagai Perdana Menteri dengan jelas dan terang menolak keputusan Majlis Syura Pas. Malah bertegas mengheret Pas dengan berpegang kepada ketetapan 8 Januari membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah!

Bukankah ini satu penghinaan kepada Pas, sedangkan slogan Pas ialah kepimpinan melalui ulama? Ulama anda telah buat keputusan, jelas Anwar dan DAP menolak! Anda mahu mengikut Anwar atau ulama anda? Sudah hilangkah maruah dan harga diri anda yang mengaku kepimpinan ulama tetapi gagal mempertahankan, membela dan memartabatkan ulama sendiri dalam isu akidah yang begitu fundamental?

Anda tidak pelikkah melihat Guan Eng tiba-tiba menjadi Dajjal bisu seribu bahasa? Dia yang mencetuskan kemelut isu kalimah Allah ini, tiba-tiba Pas pula yang menerima bahananya akibat tindakan kurang cerdik Presiden Pas mendahului ulama!

Yang menjadi mangsa sekarang ialah ulama Pas. Timbalan Mursyidul Pas sahibul fadhilah Dr. Haron Din yang tegas mempertahankan akidah dan mahu menyelamatkan iman pengikut Pas pula kini dimaki hamun oleh penyokong pembangkang, termasuk para parasit.

Hinggakan ada yang menuduh Haron Din sebagai 'barua' UMNO! Dan Guan Eng pencetus kemelut ini, Anwar sebagai pembakar kemelut ini boleh terlepas! Dan sangat menghairankan ahli-ahli Pas boleh menjadi syaitan bisu; langsung tidak membela dan mempertahankan ulama sendiri.

Dan yang paling memalukan, Pengerusi Majlis Syura Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sepatutnya mempertahankan keputusan Syura Pas, sanggup ke rumah Karpal Singh membawa pisau bukan untuk berjihad membela keputusan syura, tetapi untuk memotong kek hari jadi ke-82 di hari Taipusam di rumah kafir yang terang-terang menghina keputusan syura!

Adakah mendapat undi, memenangi kerusi dan pergi ke Putrajaya itu terlalu penting untuk anda sehingga anda menjadi kaum pekak, bisu dan buta kepada hak dan kebenaran?

Gunakanlah akal waras yang Allah telah anugerahkan kepada kita. Janganlah kita terus-terusan mengambil sikap dan melakukan kesilapan dan kesalahan umat terdahulu - menjadi kaum pekak, bisu dan buta kepada kemungkaran dan kejahatan yang berlaku depan mata kita.

Sebab itu kita rakyat Malaysia, dan kita rakyat adalah hakim, gunakanlah medan di Mahkamah Rakyat, dalam PRU-13 nanti untuk menghukum mereka ini, iaitu pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas, dengan menolak mereka sepenuhnya, dengan tidak memberikan walau satu undi pun kepada mereka sebagai tanda kita tidak setuju dan tidak reda, dan tidak mahu bersekongkol dengan mereka yang mengamalkan politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara, sehinggakan agama dan Tuhan pun turut dipolitikkan!



PENULIS ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu. Utusan Malaysia Onlline Rencana 25/02/2013