February 28th, 2013

Integriti parti mendakwa bersih, telus, adil

Kesilapan pengiraan undi ketika pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada pertengahan Disember tahun lalu belum lenyap daripada ingatan. Kes itu tidak harus dianggap kecil, apatah lagi ia melibatkan integriti sebuah parti yang mendakwa bersih, telus dan adil.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang telah menerima Penyata Tahunan dan keputusan pemilihan CEC daripada DAP pada 8 Februari lalu perlu segera lakukan siasatan.

Sebelum peristiwa memalukan DAP itu berlaku, betapa bangganya Lim Guan Eng mendabik dada konon partinya punya integriti, berwibawa dan telus. DAP sering melaungkan parti itu bersih tapi dalam pemilihan CEC itu, di mana bersihnya?

DAP juga yang lantang mempertikaikan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan menuduh badan bebas itu sebagai tidak telus. Kini terkena batang hidung pemimpin DAP sendiri.

Sekarang kita boleh fikir dan menilai ketelusan DAP dalam memperjuangkan integriti. Bayangkan kalau perkara ini berlaku kepada UMNO, habis dicanang oleh DAP ke seluruh negara.

DAP mengaku berlaku 'kesilapan' dalam pengiraan undi semasa pemilihan CEC dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, melompat jauh ke kedudukan 20.

Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.

Alasan DAP kononnya berlaku kesilapan dalam pengiraan undi itu adalah bagi membolehkan mereka meletakkan Zairil sebagai wakil Melayu dalam CEC.

Banyak pihak menganggap DAP menyusun strategi yang kononnya kiraan undi itu salah tetapi kenapa selepas tiga minggu pemilihan baru diumumkan. Ini memperlihatkan mereka tidak telus.

DAP dikatakan terpaksa memperbetulkan keputusan rasmi pemilihan kerana kesemua lapan calon Melayu mengalami kekalahan teruk dalam pemilihan itu.

Walaupun ramai ahli DAP bangun menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu 'silap' kira undi CEC, tetapi kepimpinan tertinggi parti itu mengambil sikap sambil lewa.

Rintihan ahlinya supaya mengadakan pemilihan semula sehingga sekarang tak dipedulikan. Sikap angkuh dan besar kepala ini terpancar selepas DAP menang besar dalam pilihan raya umum 2008.

Banyak ahli DAP berpendapat sepatutnya parti mereka mengadakan semula pemilihan CEC kerana itu sahaja jalan menterjermahkan integriti parti yang menjadi tulang belakang pakatan pembangkang.

ROS yang menerima beberapa aduan yang dibuat sendiri oleh ahli DAP terhadap isu pemilihan CEC wajar disiapkan secepat mungkin.

Ini kerana terdapat unsur manipulasi termasuk dalam kes Zairil itu. Atau kemungkinan besar berlaku manipulasi atau penipuan dalam pengiraan keputusan itu.

Malah ada juga pihak mendakwa tidak berpuas hati kerana sewaktu pemilihan CEC, mereka curiga dengan senarai daftar pemilih.

Jika ROS dapati wujud ketelusan atau tidak pada pemilihan CEC DAP, umumkan sahaja hasil siasatan itu segera supaya tidak dikaitkan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Pun begitu persepsi yang bukan-bukan pasti menyusul. Terpulanglah kepada keputusan ROS sama ada perlu jatuhkan hukuman ataupun tidak.

Apa pun, peristiwa memalukan DAP itu mengajar pemimpin DAP supaya tidak bersikap angkuh.

Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP pula perlu bertanggungjawab dalam isu ini. Beliau perlu cermin diri, jangan asyik hendak menyalahkan orang lain.

Rakyat menunggu keputusan laporan siasatan ROS. Maknanya DAP dan Guan Eng belum tentu selamat lagi!


Azman Anuar Utusan malaysia Online Rencana 28/02/2013

Buat kerja hakiki, jauhi jadi penghasut politik

WAKTU ini barangkali, ada yang sudah bermasam-masam muka dan ramai yang jenuh bertegang urat leher dengan kawan-kawan sekerja kerana bercakap pasal isu-isu politik yang tak habis-habis.

Kata seorang teman, cepatlah diumumkan tarikh pilihan raya dan cepatlah habis semua ini. Ini kerana sudah bosan dengan bermacam-macam pertikaian dan perkara-perkara yang entah apa-apa dibangkitkan yang boleh saja dijadikan isu politik ketika ini, yang bertujuan mengangkat mana-mana parti politik.

Tapi percayalah, sembang-sembang dan perang politik terutamanya di laman-laman sosial ini tidak tentu berakhir selepas pilihan raya ini. Isu-isu politik memang menjadi topik kegemaran sepanjang zaman.

Sudah menjadi satu kebiasaan rakyat di negara ini memang gemar bercakap pasal politik dan amat minat dengan politik menghentam tanpa minat mengambil tahu mengenai fakta-fakta sebenar.

Selepas keputusan pilihan raya nanti, ada pula cakap-cakap kenapa parti yang disokong boleh kalah. Maka timbul isu tidak telus, hal-hal sabotaj dan sebagainya. Memang tidak akan habis.

Yang peliknya, penjawat-penjawat awam pun sama naik juga. Ada dalam kalangan mereka sepanjang waktu lapan jam bekerja di pejabat, menghentam majikan mereka itu dan ini. Mereka ini tidak segan-segan mengaku diri mereka penyokong tegar parti pembangkang.

Maka semua dasar dan apa saja yang dilakukan kerajaan untuk rakyat dipertikaikan, tapi bab-bab gaji, elaun, bonus serta kemudahan-kemudahan lain yang kerajaan beri kepada mereka, tidak pula dipersoalkan.

Dan apabila parti pembangkang yang mereka puja-puja itu mencadangkan bilangan penjawat awam ini dikurangkan kononnya sudah terlalu ramai dan tidak menyumbang apa-apa kepada pembangunan ekonomi negara, hanya pembaziran semata-mata, mereka tidak pula bangkit lantang menghentam. Semuanya pakat diam membisu.

Jadi, apabila baru-baru ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman menyarankan supaya lebih baik untuk penjawat awam menumpukan perhatian terhadap tugas mereka, itu sewajarnya dilihat sebagai satu saranan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

"Kita sudah tandatangan akujanji, jadi lebih baik tumpu agenda penjawat awam, kalau nak berpolitik juga, minta kebenaran, jangan berpolitik pada waktu kerja," tegas beliau.

Jabatan Perkhidmatan Awam juga sudah lama mengeluarkan pekeliling mengenai syarat-syarat sekiranya mahu berpolitik. Antaranya, tidak menganggu tugas-tugas rasmi dan dilakukan di luar pejabat.

Memang ada ramai penjawat awam yang terlibat dalam politik, tetapi mereka ini bukan terlibat secara langsung. Sekadar cakap berapi-api yang boleh diumpamakan sebagai ejen propaganda parti politik tertentu yang berperanan menghasut.

Memang betullah, masa bekerja tidak sepatutnya dihabiskan dengan bercerita pasal politik. Masa bekerja juga tidak sepatutnya ditumpukan kepada memberi komen-komen di laman-laman sosial facebook, twitter atau youtube untuk menghentam mana-mana parti.

Lebih-lebih lagi yang membayar gaji ketika bekerja itu adalah kerajaan juga. Tidak cukupkah bersembang pasal politik di luar pejabat, ketika 'mengeteh' di kedai-kedai kopi, hingga perlu di bawa ke tempat kerja. Akibatnya dek terlalu suka bercakap pasal politik ini, wujud suasana tidak harmoni di tempat kerja.

Bukan sahaja sektor awam, sektor swasta pun begitu. Apabila terlebih fokus kepada perkara lain, mengumpat sana sini pasal parti politik atau pasal siapa-siapa dan apa-apa saja, ia sekali gus menjejaskan kualiti dan produktiviti kerja kerana kelekaan itu.

Nanti timbullah kerja yang tidak disiapkan tepat pada waktunya, menjawab telefon dengan marah-marah, tergesa-gesa atau paling teruk tidak berjawab-jawab kerana tumpuan lebih kepada hal yang tiada kaitan dengan kerja. Itu belum masuk, membuat 'muka ketat' dan payah sangat untuk tersenyum ketika melayani orang awam yang beratur panjang untuk mendapatkan perkhidmatan.

Bagi saya, buat sajalah kerja hakiki kita itu. Kita diberi gaji untuk membuat kerja. Apabila tiba waktu untuk memangkah memilih kerajaan nanti, kita pilih mana yang layak, mana yang banyak memberi manfaat kepada kita, anak-anak kita dan juga negara bertuah ini.

Tidak perlu gaduh-gaduh, tidak perlu bising-bising dan tidak perlu bermasam-masam muka. Habis cerita.



Utusan Malaysia Online Rencana 27/02/2013

Perpaduan Melayu semakin lemah

SAYA terpanggil untuk menulis kerana melihatkan orang Melayu semakin menunjukkan perpecahan secara terbuka.

Tidakkah kita sedar bahawa ada mata-mata yang memerhatikan perpecahan kita? Tidakkah kita malu menunjukkan kelemahan kita? Di manakah perpaduan kita yang dituntut oleh Islam?

Tidakkah kita sedar bahawa dengan perpecahan bangsa kita akan memberikan kekuatan kepada bangsa lain?

Pernahkah kita lihat bangsa Cina menghina dan mengeji bangsa mereka sendiri? Tidak ada satu pun artikel di Malaysia menunjukkan bangsa Cina menghina bangsa mereka walaupun mereka berlainan fahaman politik.

Kita tanpa sedar telah terpengaruh dengan dakyah-dakyah Yahudi untuk melihat perpecahan di kalangan umat Islam. Kita lupa sejarah. Kita lupa bahawa Yahudi telah lama mengawal umat Islam di dunia ini. Tidakkah kita sedar umat Islam hanya bertuhankan Allah SWT, berasulkan Rasulullah SAW, berkiblatkan Kaabah dan berkitabkan al-Quran yang satu.

Kenapa boleh wujudnya pelbagai fahaman di dalam Islam itu sendiri seperti syiah, wahabi dan yang terkini pluralisme. Siapakah dalang di sebalik wujudnya fahaman-fahaman ini?

Pembunuhan berlaku dalam kalangan umat Islam sejak zaman berzaman demi untuk menegakkan fahaman masing-masing dan membuatkan kita lupa bahawa Israel sedang menjajah dan membunuh rakyat Palestin namun kita tidak berkemampuan untuk melakukan apa-apa.

Lihat sahaja di Mesir dan Iraq. Apa yang terjadi di negara itu disebabkan mereka terpengaruh kononnya untuk memartabatkan negara demokrasi. Peperangan masih berlaku, kemakmuran dan kekayaan negara mereka dibolot oleh orang lain sementara rakyat terus berbalah sesama sendiri.

Di Asia Tenggara, hanya di Malaysia dan Brunei sahaja umat Islam boleh beribadat tanpa sebarang halangan.

Kerajaan Malaysia memperuntukkan jumlah wang yang besar untuk meningkatkan syiar Islam dalam kalangan rakyat. Pembangunan infrastruktur seperti pembinaan sekolah agama, masjid, universiti dilakukan demi memartabatkan Islam di negara ini.

Kerajaan juga menghantar anak-anak muda untuk belajar agama ke luar negara demi memastikan pembangunan dan ketamadunan Islam ini agar tidak terhenti dan terus dikembangkan.

Agensi-agensi seperti Tabung Haji, Pusat Zakat, Bank Islam dan pelbagai lagi kemudahan ditubuhkan agar rakyat mendapat manfaat.

Lihat sahaja Singapura, Thailand, Filipina dan Myanmar yang mana penduduk Islam tidak mempunyai kuasa. Adakah mereka mempunyai kemudahan seperti kita?

Penduduk Rohingya di Myanmar ditindas dengan kejam. Penyebaran Islam dikawal ketat di Singapura manakala di Indonesia, penyebaran agama Kristian begitu berleluasa.

Penduduk Islam di Thailand serta Filipina terpaksa mengangkat senjata semata-mata untuk menegakkan hak. Jadi, tidakkah kita penduduk Islam di Malaysia ini patut bersyukur?

Melayu mudah lupa tentang sejarah sejak zaman Melayu Melaka, penjajahan British, Belanda dan Jepun, ancaman komunis serta tragedi 13 Mei. Semuanya berpunca daripada orang Melayu yang bersifat tamakkan kuasa, maka dengan mudah berlakunya peristiwa-peristiwa tersebut dan jangan lupa siapa dalang di sebalik semua itu.

Kita jangan lupa bahawa pusat strategi Yahudi amat dekat dengan negara kita.

Pelbagai strategi dijalankan untuk melemahkan Islam untuk melihat umat Islam berpecah-belah.



MOHAMAD AZLAN JAAFAR Taman Melati Utusan Malaysia Online Forum 28/02/2013