May 27th, 2013

Kementerian Pendidikan rancang hapus jaminan jawatan guru pelatih

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata langkah itu yang mungkin dilaksana secara berperingkat, bertujuan memastikan hanya pelatih berkualiti ditawar jawatan sebagai guru di sekolah.
"Amalan pada masa ini, guru pelatih IPG dan IPTA dijamin sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka tetapi kali ini kita nak guru jadi profesion yang mulia.

"Jadi kita perlu pilih yang terbaik, mempunyai keperibadian mulia, baru boleh melahirkan masyarakat hebat pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kali ketiga, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata langkah itu juga bagi memastikan hanya benar-benar berminat dengan kerjaya guru dilantik, bukan mereka yang berbuat demikian kerana tiada pilihan lain.

"Di Finland misalnya hanya hanya calon terbaik sahaja akan dipilih menjadi guru kerana itu taraf pendidikan di negara itu tinggi," katanya.

Bagaimanapun kata Idris, rancangan itu masih pada peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian mendalam sebelum boleh dilaksana.

Pada konvokesyen tiga hari bermula hari ini, sebanyak 3,988 graduan menerima ijazah masing-masing. - BERNAMA

Nota: Lihat juga MOE plans to drop job guarantee for trainee teachers 27 May 2013


Berita Harian Online Mutakhir 27/05/2013

Jangan bawa politik dalam pendidikan: Mary Yap

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan yang baru dilantik, Datuk Mary Yap Kain Ching hari ini berkata beliau komited dalam memastikan Kementerian Pendidikan bebas daripada pengaruh politik.

Beliau berkata komitmen sedemikian penting kerana beliau melihat pengaruh negatif secara meluas terhadap generasi muda agar mereka tidak menghargai usaha yang telah dijalankan kerajaan, adalah benar-benar membimbangkan.

"Sebagai pendidik dan timbalan menteri, saya tidak suka membawa masuk politik ke dalam pendidikan kerana kami di sini untuk mendidik generasi muda.

"Ia membimbangkan saya, apabila mendapati budaya mempengaruhi generasi muda untuk tidak menghargai apa yang kerajaan lakukan, ia benar-benar membimbangkan dan saya tidak mahu mengulas tentang itu," jawab beliau ketika ditanya sama ada beliau menganggap dirinya sebagai pemimpin kaum Cina untuk Barisan Nasional (BN) dan pandangan beliau mengenai laporan Malay Mail baru-baru ini yang bertanya "What More The Chinese Want".

Yap ditemui selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Pendidikan Digital Education Show Asia 2013, di sini hari ini.

Menjawab kepada satu soalan, sama ada beliau menganggapnya dirinya sebagai mewakili masyarakat Cina di dalam Kabinet, Yap berkata soalan sedemikian telah beberapa kali diajukan kepada beliau, sejak dilantik sebagai timbalan menteri.

"Saya telah bekerja di Kementerian Pendidikan sejak 36 tahun lalu, berinteraksi dengan semua kaum. Saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai Cina tetapi saya seorang rakyat Malaysia.

"Saya rasa ia tanggapan konsep 1Malaysia. Apabila anda bercakap tentang mewakili kaum Cina, apa-apa isu berkaitan pendidikan Cina, anda bawakan kepada saya, ia adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab saya untuk mendalaminya," katanya.

Mengenai beliau tidak boleh berbahasa Mandarin, Yap berpendapat ia bukanlah satu isu.

"Kalau saya tidak fasih (Bahasa Mandarin), ini tidak bermakna saya tidak faham tentang pendidikan Cina atau latar belakangnya. Maklumat berkaitan sistem pendidikan Cina juga ada dalam Bahasa Inggeris atau dalam Bahasa Malaysia.

"Dan saya boleh baca mengenainya. Saya pandai Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan saya ada pegawai-pegawai yang berpengalaman untuk membantu saya," katanya.

Yap berkata, pegawainya akan berperanan memberi nasihat dan membaca akhbar Cina serta menyampaikan segala maklumat mengenai apa yang dilaporkan.

"Ramai pemimpin di dunia yang tidak fasih Bahasa Inggeris tapi kerana mereka ada satu pasukan yang kuat dan penterjemah mereka boleh memimpin negara mereka dengan begitu berkesan dengan pembangunan dan kemajuan yang amat membanggakan.

"Jadi isu saya tidak boleh berbahasa Cina tidak sepatutnya menjadi satu isu dan kalau masih dijadikan isu, ini sangat tidak adil," katanya. - BERNAMA


Lihat juga Don't bring politics into education, says Mary Yap 27 May 2013


Berita Harian Online Mutakhir 27/05/2013