June 12th, 2013

Taat setia kepada raja, negara

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada rencana Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah yang disiar dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Jun 2013 yang ditulis oleh Zaini Hassan dalam kolum Cuit.

KPM berterima kasih di atas kepekaan penulis mengenai pentingnya pengetahuan berkaitan Perlembagaan Malaysia dalam usaha membina kerukunan hidup dan kebijaksanaan tindakan dalam kalangan masyarakat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

Untuk pengetahuan ramai, KPM telah memasukkan asas Perlembagaan Malaysia secara khusus atau diterapkan dalam kurikulum persekolahan melalui mata pelajaran Sejarah serta mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kedua-dua mata pelajaran ini adalah mata pelajaran teras dan wajib dipelajari oleh semua murid. Mulai tahun 2013, mata pelajaran Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi mata pelajaran Sejarah peringkat menengah rendah (Tingkatan Tiga), tajuk tersebut diletakkan di bawah tema lima (5) iaitu Pembentukan Malaysia. Contohnya di bawah tajuk Perjuangan Rakyat Ke Arah Kemerdekaan Tanah Air, setiap murid perlu mengetahui, memahami dan menghayati tentang Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Tajuk tersebut merangkumi konsep Raja Berperlembagaan dan Majlis Raja-Raja Melayu yang mana murid diajar menghormati dan mempertahankan institusi raja sebagai satu warisan negara.

Di samping itu, murid juga diajar tentang Perlembagaan Merdeka 1957 yang menyentuh konsep Raja Berperlembagaan. Tajuk tersebut merangkumi Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Manakala bagi kurikulum Sejarah menengah atas (Tingkatan 5), di bawah tema sebelas (11) iaitu Pembinaan Negara dan Bangsa ke arah Kemunculan Negara Malaysia yang Berdaulat turut menyentuh tentang perlembagaan. Di bawah tema ini terdapat dua tajuk besar yang perlu dipelajari oleh murid tentang perlembagaan iaitu (i) Malayan Union 1946 dan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan (ii) Sistem Pemerintahan dan Pentadbiran Selepas Merdeka.

Di bawah tajuk Malayan Union 1946 dan Persekutuan Tanah Melayu 1948, murid diajar secara khusus tentang kandungan Perlembagaan Malayan Union dan kandungan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menyentuh tentang raja-raja Melayu, Majlis Raja-Raja Melayu dan Raja Perlembagaan. Dengan mempelajari tajuk tersebut, murid dapat memahami kepentingan perlembagaan dan keistimewaan kedudukan raja-raja Melayu.

Di bawah tajuk Sistem Pemerintahan dan Pentadbiran Selepas Merdeka pula, murid diajar dan diberi pemahaman tentang ciri-ciri Demokrasi Berparlimen yang membincangkan tentang beberapa tajuk, antaranya Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan.

Melalui tajuk tersebut, murid dapat mempelajari tentang sejarah penggubalan perlembagaan, keluhuran perlembagaan, kepentingan perlembagaan, pindaan perlembagaan dan bidang kuasa serta peranan Yang di-Pertuan Agong. Dengan mempelajari tajuk tersebut, murid dapat memahami, menghayati dan menjunjung kedaulatan sistem pemerintahan negara.

Selain daripada mata pelajaran Sejarah, tajuk perlembagaan ini turut diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah rendah tahap dua dan sekolah menengah di bawah tema Malaysia Negaraku dan Malaysia Negara Berdaulat.

Di bawah tema Malaysia Negaraku Tahun 5, murid diajar mengenali dan menghormati pemimpin negara dan tempatan, dan didahului dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Murid dididik menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Murid seharusnya menunjukkan perasaan bangga dan taat setia kepada Raja dan Negara.

Di bawah tema Malaysia Negara Berdaulat pula dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan Dua terdapat tajuk Raja Berperlembagaan yang menyentuh tentang sistem Raja Berperlembagaan dan peranan Majlis Raja-Raja Melayu. Melalui tajuk tersebut, murid dididik untuk menunjukkan taat setia kepada Raja dan Negara.

Manakala bagi Tingkatan Empat pula, di bawah tajuk Kepentingan Perlembagaan Malaysia, murid belajar tentang sejarah pembentukan Perlembagaan Malaysia, kepentingan Perlembagaan Malaysia, Proses Penggubalan Perlembagaan Malaysia, menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara dan menyanjungi keluhuran Perlembagaan Malaysia.

Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa tajuk Perlembagaan Malaysia diajar dalam mata pelajaran Sejarah dan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. KPM amat yakin bahawa setiap murid yang mengikuti tahun-tahun persekolahan di sekolah kebangsaan, dari peringkat rendah hingga menengah, diajar dan dididik dengan Perlembagaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.



UNIT KOMUNIKASI KORPORAT Kementerian Pendidikan Malaysia Putrajaya Utusan Malaysia Online Forum 12/06/2013

Telco sudah lama tidak adil kepada pelanggan!

GUNALAH telefon pintar yang canggih tahap mana sekali pun, tetapi sekiranya perkhidmatan telco yang dilanggani tidak sebagus dan sepintar telefon anda, memang seperti tiada maknanya memiliki telefon yang mahal itu.

Apatah lagi syarikat telco ada yang dikesan mengenakan caj-caj tersembunyi yang ‘mencekik darah’ pengguna, tidak kira yang menggunakan perkhidmatan talian pasca bayar atau pra-bayar.

Kita sudah biasa mendengar banyak aduan mengenai caj-caj tersembunyi ini yang tidak dimasukkan dalam kontrak ketika mula-mula dilanggan.

Ada pengguna yang mengadu kredit bagi prabayar mereka tiba-tiba habis kerana mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak dilanggan. Dan macam-macam perkhidmatan yang tiba-tiba muncul, dan pengguna terpaksa membayarnya.

Bukan setakat itu, ada aduan caj turut dikenakan kerana perkhidmatan pesanan suara (voice mail) bagi panggilan yang tidak berjawab. Bayangkan 10 kali anda tidak mengangkat telefon, masuk voice mail dan anda pula dikehendaki membayarnya! Bukankah caj hanya dikenakan pada perkhidmatan yang digunakan sahaja?

Begitu juga dengan perkhidmatan yang telah ditamatkan oleh pengguna sendiri melalui panggilan ataupun SMS kepada syarikat telco terbabit, namun ada banyak aduan caj terus dikenakan walaupun tidak melanggannya lagi.

Kita juga selalu menghadapi dan mendengar rungutan liputan internet yang perlahan lebih mengalahkan kura-kura ataupun siput, baru dilanggan tidak sampai beberapa hari, liputan sudah menurun walaupun duduk di tengah-tengah bandar. Bila ditanya syarikat terbabit - ‘‘Kami sedang menaik taraf kawasan liputan." Walhal sudah makan bulan pun, liputan masih lembab tahap itu juga.

Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) memberitahu, pihak mereka menerima secara purata kira-kira 30 aduan bertulis berhubung masalah seperti itu bagi tempoh Februari lepas sehingga awal Jun ini, di samping aduan menerusi panggilan telefon. Itu aduan yang rajin dikemukakan pengguna kepada mereka, belum masuk aduan-aduan pada persatuan pengguna lain dan yang tidak dilaporkan.

Dan ini membuatkan kita selalu terfikir, syarikat-syarikat telco di negara ini tidak cukup untung lagikah?

Sedangkan di negara ini boleh dikatakan kebanyakan kita menggunakan telefon bimbit, tidak kira peringkat umur termasuk budak-budak sekolah. Telefon bimbit bukan milik golongan mewah saja. Ia satu keperluan. Semua orang menggunakannya. Begitu juga dengan perkhidmatan internet.

Sudah tentu, syarikat-syarikat telekomunikasi ini sudah mendapat berjuta-juta ringgit daripada pelanggan-pelanggannya yang bukan sahaja tinggal di kawasan bandar tetapi di luar bandar, di ceruk-ceruk kampung dan pedalaman.

Maka, sudah sepatutnya syarikat telekomunikasi ini sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka dari semasa ke semasa. Bukan membiarkan mutu perkhidmatan bertambah teruk dan ‘menaikkan darah’ orang ramai.

Aduan-aduan orang ramai sewajarnya diambil kira dalam meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. Kajian seharusnya dilakukan sekiranya pelanggan-pelanggan mereka menutup akaun dan lari ke syarikat telekomunikasi lain.

Siapa pun berniaga mesti mahu untung, tetapi jangan mengaut untung dengan cara ‘putar alam' sebegini. Pengguna yang sudah melanggan perkhidmatan bukan mendapatkannya secara percuma.

Selain itu, perkhidmatan kaunter operator yang menjawab segala pertanyaan dan aduan mesti efisien. Operator bahagian pertanyaan ini juga jangan cari jalan selamat beri jawapan pelanggan kena pergi berurusan sendiri dengan ibu pejabat atau pusat operasi utama perkhidmatan itu untuk menyelesaikan masalah mereka.

Bukan semua pelanggan duduk berdekatan ibu pejabat dan pusat operasi utama syarikat berkenaan dan senang-senang boleh pergi ke sana pada bila-bila masa. Kebanyakan sibuk bekerja siang dan malam.

Saya turut mempunyai pengalaman apabila menukar pakej broadband kepada yang baharu. Saya diminta pergi ke pusat utama operasi mereka yang terletak di sebuah kompleks beli-belah. Itu tidak mengapa. Yang saya pelik, apabila pakej broadband lama tersebut sudah ditamatkan, dua bulan selepas itu pihak syarikat telekomunikasi tersebut menelefon mengingatkan saya membuat bayaran untuk pakej lama berkenaan. Tunggakan dua bulan.

Bila saya katakan saya telah pun menamatkan pakej lama itu sudah dua bulan, pekerja tersebut menjawab pakej lama itu masih aktif. Maka, saya diminta pergi semula ke pusat operasi itu. Penat menunggu giliran, tanpa rasa bersalah pekerja di situ memberitahu pekerja sebelum itu tidak membatalkan pakej lama saya walaupun modem broadband lama saya sudah diambil. Maknanya kalau didiamkan, tidak pasal-pasal saya menanggung hutang!

Melihat kepada aduan dan kelemahan-kelemahan ini, maka sudah sewajarnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak berkaitan memantau perkembangan ini. Jangan setakat pantau sahaja, ambil tindakan tegas kepada syarikat telekomunikasi tempatan yang terbukti mengenakan caj yang tersembunyi ini. Jika tidak macam-macam lagi caj tidak masuk akal yang akan timbul.



Fauziah Arof Utusan Malaysia Online Rencana 12/06/2013

Korporat galak amalan sikap anarkis

PENGARAH Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak telah memuji Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani kerana pandangannya yang terus terang terhadap Utusan Malaysia dan Perkasa.

Katanya, sikap terus terang inilah yang menjadikan dia pemimpin besar dengan keupayaannya menunaikan tanggungjawabnya sebagai CEO AirAsia.

Menurut sebuah akhbar, Nazir ketika melancarkan prospektus AirAsia X kelmarin berkata, "sesetengah orang mungkin memikirkan Azran melampau dalam kata-katanya tetapi apakah yang dapat kita harapkan apabila kita mempunyai seorang pengerusi seperti Rafidah Aziz".

Saya tidak tahu dalam soal apakah yang dimaksudkan oleh Nazir sebagai sikap terus terang Azran. Adakah tanggapannya Utusan sebagai akhbar rasis kerana menyiarkan berita 'Apa Lagi Orang Cina Mahu' atau ugutannya untuk menarik iklan AirAsia daripada Utusan Malaysia.

Bagi saya, tanggapan Utusan sebagai rasis adalah subjektif. Ia bergantung kepada aliran pemikiran atau kecenderungan seseorang dan juga latar belakang pendidikannya, dan itu adalah hak masing-masing.

Tetapi yang saya rasa tidak wajar ialah sikap tidak toleransi Azran yang kerana tidak bersetuju dengan pendirian Utusan telah mengugut untuk menarik balik iklan AirAsia daripada Utusan kerana pendirian Utusan bertentangan dengan pemikirannya.

Sentimen dan prajudis telah mempengaruhi tindakannya.

Apakah ini sikap seorang yang terpelajar yang percaya pada kebebasan dan demokrasi, keterbukaan dan globalisasi? Apakah ini bukan merupakan penyalahgunaan kuasa atau tindakan yang tidak rasional?

Pada pandangan saya, oleh kerana Nazir menganggap Azran sebagai seorang pemimpin besar kerana tindakannya itu, maka bererti beliau merestukan amalan sikap anarkis CEO atau Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dalam badan-badan korporat atau syarikat besar.

Dalam perkembangan kapitalisme Barat, korporat gergasi dan syarikat-syarikat perniagaan besar semakin berkuasa, malah melebihi kuasa kerajaan dan mengancam kebebasan media atau memperalatkan media dengan kuasa wang mereka.

Inilah kuasa yang tidak kelihatan kepada orang ramai, sebaliknya rakyat hanya nampak kuasa kerajaan yang menekan kebebasan media khususnya akhbar.

Berhubung dengan perkara ini, saya suka memetik sedikit daripada tulisan seorang penulis terkenal British, Anthony Sampson dalam bukunya The Essential Anatomy Of Britian-Democracy in Crisis.

Kata Sampson; "The link between newspapers and big business had a longer- term effect: for journalist have constrained from reporting or criticising the excesses of financial boom, by pressures from owners, advertisers and public relations men, who helped set the agenda of the business pages. Enterpreneurial owners naturally dislike the critical and investigative function of reporters".

Pandangan Sampson ini menepati pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam suatu jamuan makan malam Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) pada tahun 1990 yang mana beliau berkata, bukan sahaja kerajaan yang memberi kesan kepada kebebasan akhbar tetapi juga kepentingan perniagaan, pemilik, pengarah-pengarah dan juga kepentingan populariti.

Utusan sendiri tahu banyak hal yang negatif mengenai AirAsia telah disembunyikan bersama-sama dengan akhbar-akhbar lain demi kepentingan iklan atau wang daripadanya, tetapi nampaknya ini sahaja tidak cukup kepada Azran.

Beliau merasakan bahawa untuk Utusan mendapat iklan daripada AirAsia maka perlulah Utusan mengikuti kecenderungan sosial dan politiknya. Maka tekanan kewangan perlu dikenakan ke atas Utusan.

Tentulah semangat Azran bertambah tinggi dengan sokongan Nazir, adik kepada Perdana Menteri Malaysia yang tidak memahami krisis keyakinan yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga UMNO.

Nazir tidak memahami bahawa tanpa sokongan daripada Utusan Malaysia memerangi anasir-anasir yang menghakiskan keyakinan kepada kerajaan, maka tidak mungkin UMNO akan dapat mengekalkan sokongan orang Melayu kepadanya yang menambahkan kerusi UMNO di Parlimen, menawan kembali negeri Kedah dan Perak dan menambah kerusi di Kelantan.

Barangkali Nazir memikikan tanpa Utusan Malaysia menyerang balas terhadap sikap melampau orang Cina, maka Barisan Nasional akan mendapat sokongan orang Cina.

Sebenarnya Nazir menambah masalah yang dihadapi oleh Najib dan UMNO.



TAN SRI ZAINUDIN MAIDIN ialah Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 12/06/2013

UMNO, BN dan masa depan politik negara

ADA sesuatu yang boleh dipelajari daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu. Ada dua kaedah yang Allahyarham Tun Razak dan Tun Dr. Ismail gunakan selepas BN hilang undi popular dan hampir hilang 2/3 pada pilihan raya 1969. Pertama, menggunakan strategi undang-undang untuk menyahpolitikkan (purposive depoliticisation) unsur dan perkara-perkara tertentu termasuk cauvinisme dan ekstremisme kaum daripada terus menghancurkan kestabilan politik negara. Tun Dr. Ismail telah diamanahkan untuk tugas ini sebagai Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan berani, tanpa apologetik dan tegas.

Keduanya ialah, strategi politik dan dasar awam. Allahyarham Tun Razak pula menumpukan kepada dimensi ini dengan mengukuhkan struktur politik dan dasar kerajaan. Dari sinilah kemudiannya lahir BN dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu, Tan Sri Ghazali Shafie sebagai Menteri tugas-tugas Khas dan kemudiannya Menteri Penerangan telah ditugaskan menggubal Rukunegara, Dasar Perpaduan Nasional dan Program Muhibbah bagi memupuk perpaduan rakyat selepas ketegangan kaum akibat keputusan pilihan raya yang memecahbelahkan rakyat dan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei.

Tentunya tidak semua yang dilakukan dahulu sesuai untuk dilakukan sekarang oleh kerajaan BN hari ini. Namun, tentu ada sesuatu yang boleh diambil iktibar daripada apa yang dilakukan dahulu untuk dimanfaatkan dalam situasi hari ini.

Bagi memulihkan kekuatan BN, kekuatan MCA dan Gerakan perlu dipulihkan segera. Kedudukan MIC semakin bertambah baik dan dengan penyertaan tokoh Hindraf dalam kerajaan, sokongan masyarakat India kepada BN masih boleh dipertahankan.

Namun Gerakan mungkin perlu memikirkan untuk terlebih dahulu bergabung dengan PPP daripada meminta BN menjadi sebuah parti tunggal berbilang kaum. Berdasarkan lanskap politik dan percaturan politik semasa, adalah amat sukar untuk melihat UMNO dibubarkan bagi membolehkan BN menjadi sebuah parti tunggal.

Ahli UMNO dan majoriti orang Melayu yang menyokong UMNO masih belum bersedia ke arah itu.

Bagi MCA dan Gerakan mereka perlu sedar bahawa sememangnya dalam kerangka politik consociationalism atau demokrasi permuafakatan seperti mana yang dibahaskan oleh sarjana politik seperti Arend Lipjhart, van den Berghe dan juga Donald Horowitz, mereka akan terus menghadapi kesukaran jika sekiranya mereka gagal menghadapi politik cauvinisme dan ekstrimisme DAP yang terus-terusan memainkan sentimen perkauman bagi menarik masyarakat Cina kepada DAP.

Sebagai parti politik yang membawa perjuangan berasaskan kesederhanaan, toleransi dan akomodasi elit pelbagai kaum dalam satu kerangka grand coalition seperti mana konsep BN, MCA dan Gerakan harus menghadapi DAP secara lebih berani lagi.

Lee San Choon, Tan Koon Swan, Ling Liong Sik, Lee Kim Sai dan Lim Ah Lek termasuk Tan Siew Sin, Lim Chong Eu dan Lim Kheng Yaik sebagai pemimpin-pemimpin penting MCA dan Gerakan di masa lalu sanggup berhadapan dengan Lim Kit Siang, Chen Man Hing dan Karpal Singh secara bersemuka. Malah Samy Vellu tidak pernah gentar terhadap Karpal Singh dan P.Patto dari DAP di dalam dan di luar Parlimen.

Presiden MCA Lee San Choon sanggup berhadapan dengan Chen Man Hing mantan Pengerusi DAP di Parlimen Seremban dalam PRU 1982 dan menang semata-mata bagi membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa MCA lebih berwibawa bagi mewakili masyarakat Cina dalam politik.

Lim Chong Eu sanggup menghadapi Kit Siang di Pulau Pinang demi menyekat Kit Siang dan DAP menjayakan Projek Tanjungnya merampas Pulau Pinang daripada Gerakan. Namun dalam PRU-13 lalu seorang Menteri Besar UMNO harus berkorban bagi menyekat DAP daripada menawan kubu MCA dan BN di Johor.

Nama Abdul Ghani Othman akan terus terpahat sebagai wira UMNO yang rela berkorban demi mempertahankan kubu MCA dan BN daripada diporak-perandakan oleh cauvinisme dan ekstremisme kaum yng dibawa oleh DAP.

Namun, Presiden MCA dan Gerakan pula nampaknya hanya berani memilih untuk tidak bertanding dalam PRU-13 bagi menghadapi Kit Siang dan anaknya Guan Eng. Salahkah kalau ada pihak yang mentafsirkan tindakan mereka berdua ini sebagai menandakan bahawa, Presiden MCA dan Presiden Gerakan sebetulnya telah memberikan kemenangan secara walk-over kepada DAP dalam PRU-13 yang lalu apabila memilih untuk tidak bertanding?

Hakikatnya - MCA, Gerakan dan MIC semakin ketandusan pemimpin-pemimpin berkaliber bagi menyekat kemaraan tokoh-tokoh muda berwibawa dari DAP. Inilah perkara yang harus diperbetulkan segera oleh MCA dan Gerakan. Masalah sebenar kedua-dua parti itu ialah masalah kepimpinannya yang amat lemah. Masyarakat Cina hari ini langsung tidak menghormati kepimpinan politik dalam MCA dan Gerakan.

Justeru, kalau kepimpinan MCA dan Gerakan sudah tidak dihormati lagi oleh sebahagian besar komuniti yang cuba diwakili mereka, bagaimanakah parti mereka akan disokong oleh komuniti tersebut.

Apatah lagi bila berdepan dengan DAP dalam isu-isu yang menyentuh kaum Cina, MCA dan Gerakan langsung tidak berdaya menghadapi hujah-hujah DAP dengan meyakinkan.

MCA dan Gerakan juga gagal mempertahankan dasar-dasar kerajaan BN yang seimbang dan adil untuk semua kaum di Malaysia. Sebaliknya semacam terpaksa akur pula dengan tohmahan-tohmahan DAP bahawa BN tidak berlaku adil terhadap masyarakat Cina di Malaysia.

Selagi MCA dan Gerakan terus gagal menyekat DAP dan berani menghadapi DAP secara tegas dan yakin khususnya dalam mempertahankan dasar-dasar BN serta tampil dengan agenda dan program-program menarik untuk masyarakat Cina, selagi itulah mereka sukar mendapatkan kembali keyakinan dan sokongan masyarakat Cina kepada BN.

Justeru, apakah masa depan politik Malaysia seterusnya? Perkauman sebagai perkara paling asas dalam politik Malaysia nampaknya masih kekal relevan walaupun setelah lebih lima dekad negara merdeka dan 50 tahun Malaysia dibentuk pada tahun ini.

Demikianlah ciri dan legasi politik Malaysia yang telah ditinggalkan oleh British untuk diurus-tadbir oleh generasi pasca merdeka hari ini. Mengurus-tadbir politik perkauman di Malaysia menjadi semakin mencabar apabila sistem pendidikan negara yang sepatutnya bertindak menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia, menjadi salah satu punca yang semakin memecahbelahkan mereka.

PROF. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak adalah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM). Utusan Malaysia Online Rencana 10/06/2013