June 21st, 2013

Bakal guru masih menanti tawaran penempatan tugas

SAYA terpanggil untuk memberikan reaksi terhadap laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia Rabu 5 Jun, 2013 yang mendedahkan bahawa siswazah Melayu didiskriminasi.

Umum memang amat maklum terhadap fenomena tersebut di mana syarikat yang dimiliki oleh kaum Cina dan pihak asing lebih mengutamakan siswazah kaum Cina untuk bekerja dengan mereka.

Saya juga amat bersyukur kerana pihak kerajaan memandang serius akan hal tersebut. Harapan seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu agar perkara tersebut dapat ditangani dengan penuh hemah dan kebijaksanaan yang tinggi di bawah kepimpinan kerajaan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.

Namun pihak kerajaan, khasnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) wajar mengambil iktibar terhadap nasib yang dialami oleh siswazah Melayu mutakhir ini. Sememangnya siswazah Melayu berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan. Malah siswazah pendidikan keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sendiri pun mengalami nasib yang sama.

Realitinya, siswazah Melayu pemegang Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk sekolah kebangsaan (SK) juga telah 'didiskriminasikan' kerana sehingga kini belum lagi mendapat tawaran penempatan di mana-mana sekolah.

Rakan-rakan mereka yang seangkatan dalam kalangan siswazah Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) telah bertugas di sekolah-sekolah berkenaan seawal Januari lalu. Mengapakah perkara sebegini berlaku?

Lebih malang lagi, para siswazah cemerlang yang telah ditemu duga pun masih menganggur. Apakah maknanya Guru Interim yang diwar-warkan dahulu?

Lebih malang lagi, kumpulan siswazah tersebut seperti telah digantung tidak bertali. Pihak SPA telah mengeluarkan surat pelantikan jawatan kepada mereka sebaik selesai ditemu duga pada April 2013 tetapi anehnya dalam surat tersebut tidak dinyatakan sekolah tempat bertugas dan tarikh melapor diri.

Ini bermakna siswazah tersebut masih menjadi penganggur terhormat dan dalam keadaan serba salah mengenai nasib masa depan masing-masing.

Sehubungan itu, saya merayu kerajaan memberi perhatian dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan permasalahan yang membelenggu siswazah tersebut.



Warga Pendidik Tanjung Malim, Perak. Utusan Malaysia Online Forum 19/06/2013

Pasar Selayang tumpuan rakyat Myanmar, India berniaga

UTUSAN Malaysia melalui ruangan Utusan Kota melaporkan keadaan pasar Selayang seolah-olah penempatan Myanmar. Namun bukan sahaja Myanmar, terdapat juga rakyat India dari India.

Bagi rakyat Myanmar, majoriti adalah beragama Islam. Mengikut laporan, mereka dinafikan hak di tanah air mereka. Akibat ditindas dan diseksa mereka melarikan diri dari negara itu.

Ke mana mereka nak pergi? Yang dekat ialah Malaysia. Orang Melayu Malaysia pula terlalu bertimbang rasa dan sentiasa bersedia menghulur tangan memberi bantuan dan peluang. Itulah Melayu dulu kini dan selama-lamanya. Apa yang penting ialah keamanan.

Bercakap fasal pelarian Myanmar, mengikut laporan, mereka diberi kad Pelarian Perlindungan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR).

Apa kesudahan mereka ini? Jawapan tepat, menetaplah mereka di Malaysia dengan beranak pinak malah menjadi taukeh di Pasar Selayang dengan bantuan peniaga Cina.

Cara kehidupan di negara mereka dibawa ke Pasar Borong.

Bersempit-sempit berkongsi tempat tidur, tidak menjadi hal. Perkara ini lebih selesa dari negara mereka.

Yang paling menjijikkan ialah bersepahnya ludahan air sirih di sekitar pasar dan tempat kediaman mereka. Tak kira lelaki atau wanita, tua atau muda, kanak-kanak mahu pun dewasa, makan sirih seperti orang Malaysia hisap rokok.

Bezanya walaupun puntung rokok disepahkan, tetapi taklah sekotor air ludah merah.

Seperkara lagi, adakah benar sebenarnya mereka ini pelarian?

Jika ditinjau dari segi keaadan negara, hanya orang Islam sahaja yang sepatutnya lari menyelamatkan diri dianggap pelarian.

Tetapi mungkin terdapat juga yang bukan beragama Islam mengambil kesempatan memandangkan peluang mencari mata pencarian begitu mudah di Malaysia.

Nak tahu samada Islam atau bukan senang sahaja. Badan mereka penuh tatu. Minta mereka sebut perkataan nama Allahpun tak tahu. Apalagi suruh mereka baca kalimah Bismillah. Apakah mereka ini juga pelarian?

Kalau kita ke "penempatan" mereka di Pasar Borong, berbagai rupa bentuk yang kita akan temui. Bersubang, berantai berseluar pendek bagi lelaki bertebaran. Maka tidak di ketahui apa agama mereka ini.

DBKL dan MPS mesti berganding bahu menjalankan operasi memantau penjaja haram di Pasar Selayang.

Ini disebabkan kawasan DBKL dan MPS berjiran. Sesuatu yang menyakitkan mata, apabila MPS beroperasi, penjaja Myanmar lari ke sebelah dan terus bentang barang jualan. Apabila DBKL buat operasi, penjaja lari ke kawasan MPS. Kenapa, tak bolehkah DBKL dan MPS berpakat buat operasi bersama?

Akhirnya, pihak berkuasa khasnya PDRM (Bukit Aman), Imigresen, selalulah turun ke kawasan Pasar Borong. Pastikan tidak ada kebocoran maklumat sebelum operasi. Dengan ini saya rasa kebersihan dari segala sudut dapat dipelihara.



TETAMU HARI-HARI, Pasar Borong Selayang Utusan Malaysia Online Forum 20/06/2013