July 7th, 2013

Pendidikan akar penyatuan nasional

GUNAKANLAH apa sahaja terminologi, ‘penyatuan nasional’, ‘konsensus nasional’, ‘kesepakatan nasional’ - pokok pangkalnya rakyat sedang mengharapkan amalan dan tingkah politik yang lebih positif, pasca PRU-13 yang lalu. Kepada penulis, Perdana Menteri punya jiwa besar untuk menawarkan idea penyatuan nasional ini.

Menyusur sejarah, penulis terjumpa ucapan lama Almarhum Tun Razak sewaktu merasmikan Majlis Perpaduan Negara sekitar tahun 1971. Ucapan Tun Razak ini punya aura luar biasa. Terkesan dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969, negara amat-amat memerlukan sifir politik yang baru.

“Kejayaan Majlis ini bergantung kepada keikhlasan hati dan kesediaan saudara-saudara menyatakan pendapat secara jujur dan berterus terang dengan memandang semata-mata untuk kepentingan dan faedah negara keseluruhannya. Hanya dengan kita dapat mengadakan perbincangan dengan jujur dan memberi pandangan-pandangan yang objektif, kita boleh memberikan makna penuh kepada Majlis Perpaduan Negara ini."

Ada beberapa kata kunci dalam bait ucapan Tun Razak ini. Keikhlasan, kesediaan, jujur, berterus terang, kepentingan dan faedah negara - adalah antara yang dapat jelas dicerna. Soalnya, rentak penyatuan nasional mesti ada sauh dan asasnya. Kepada penulis, pendidikan adalah asas yang paling wajar dijadikan prioriti.

Kepentingan pendidikan di dalam arus pembangunan negara ini jelas, apabila titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen awal minggu lalu menyentuh perkara sama. Titah Tuanku, menggaris harapan agar agenda transformasi pendidikan dapat dijayakan dengan sepenuhnya oleh kerajaan, sejajar dengan niat dan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Mungkin di atas semangat yang sama, antara soalan-soalan awal yang ditanya pada Sidang Parlimen 2013 adalah berkenaan isu pendidikan. Soalan daripada Ahli Parlimen Lenggong (rujuk Hansard Parlimen, 26 Jun 2013), Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (rujuk hansard Parlimen, 27 Jun 2013) dan banyak lagi soalan berkait isu pendidikan.

Di Parlimen juga, idea dan matlamat ‘Sekolah Wawasan’ dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen Langkawi. Garis masa transformasi Tingkatan 6, dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas. Isu pendidikan dalam kalangan kumpulan miskin bandar diangkat juga oleh Ahli Parlimen Setiawangsa. Untuk berlaku adil, wakil rakyat Bukit Katil dan Pandan juga ada menyentuh isu pendidikan.

Ternampak jelas, isu pendidikan ini sudah meruntuh sempadan ideologi dan ego politik. Kebanyakan wakil rakyat mahu ia ditangani dengan baik, sekali gus meletakkan mutu pendidikan Malaysia di tahapnya yang terbaik.

Penulis melihat ini suatu ruang yang sangat ‘strategik’ untuk dijadikan asas kepada penyatuan nasional. Mungkin, kalangan pihak berkepentingan, seperti Majlis Profesor Negara, NGO berteraskan pendidikan seperti Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) untuk menjemput kalangan Ahli Parlimen mengadakan diskusi meja bulat yang ikhlas.

NGO Melayu yang berorientasi dan berteraskan pendidikan tidak boleh bergerak dengan model lama. Konvensyen dengan resolusi panjang berjela, akhirnya tinggal menjadi hebat di atas kertas dan tidak diterjemah dalam bentuk pragmatisme dasar dan polisi.

Kalangan Ahli Parlimen wajar dirapati, bagi mencambahkan idea mereka yang kadangkalanya punya asas dan wajar dijayakan oleh kerajaan. Sebagai misal, Ahli Parlimen Limbang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat (4 Julai 2013), mempunyai idea yang sangat bernas dalam memastikan bidang sains dan teknologi serta kejuruteraan diberikan tumpuan yang lebih bersungguh.

Cadangan ini ada akar kajian akademiknya. Kajian yang dilakukan Direktorat Sains, Teknologi dan Industri OECD, menggariskan beberapa kelemahan Malaysia dalam membangun ekonomi berteraskan inovasi. Antara kelemahan ketara - kualiti sistem pendidikan, kekurangan tenaga pakar dan kurangnya linkage antara penyelidikan awam dan industri.

Isu ini perlu teliti secara jujur dan strategik. Yang pasti, ia tidak lagi boleh berlegar di atas kertas resolusi yang panjang berjela. Strateginya apa? Garis masa? Apa bidang tumpuan? Usaha yang sedemikian besar, sudah memerlukan usaha ‘rentas kementerian’ dan bukan lagi di atas bahu Kementerian Pendidikan semata-mata.

Dalam kajian OECD yang sama, antara ancaman terbesar kepada Malaysia adalah kemajuan berganda negara Asia lain dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan industri kreatif.

Penubuhan Singapore University of Technology and Design (SUTD), dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan Zhejiang University diangkat oleh kajian OECD sebagai model masa hadapan yang perlu dihambat oleh negara lain.

MIT institusi pendidikan ulung di dunia. Zhejiang University berada dalam Liga C9 (C9 League - sembilan universiti terhebat di China) dan berada kedudukan ketiga dalam Sina Ranking tahun 2009. Kerjasama ini amat dipuji oleh kajian OECD.

Debat pendidikan kita, baik di dalam media perdana mahupun alternatif, masih menjurus kepada soal keperluan sekolah vernakular, pengwujudan semula sekolah aliran Inggeris dan sebagainya. Negara lain, sudah mula jauh melangkah ke hadapan dengan model pendidikan ‘nasional’ yang tidak boleh diperdebatkan.

Ada juga soalan di Parlimen yang menjurus kepada usaha meliberalisasi bidang pendidikan secara total. Wakil Rakyat Ayer Hitam ada bertanya tentang status pengiktirafan ijazah di 820 buah universiti di Republik Rakyat China dan 157 buah universiti di Taiwan.

Itu belum lagi diambil kira pendirian NGO pendidikan Cina, Jiao Zong, yang sama sekali menentang cadangan penambahan masa mengajar Bahasa Malaysia daripada 180 kepada 270 minit seminggu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Penentangan seperti ini merencatkan semangat ‘pelan strategik’ pendidikan yang dicadangkan oleh kerajaan.

Bila agaknya NGO Melayu berteraskan pendidikan, mampu duduk semeja dengan Dong Zong, Jiao Zong, Hindu Sangam dan sebagainya - dan mula berdialog sebagai ‘bangsa Malaysia sebenar’ dalam merencana isu pendidikan.

Pendidikan tidak boleh menjadi permainan bersifat ‘zero-sum’. Menang semua. Kalah semua. Jalan hadapan mestilah bersifat sederhana dan mendahulukan fikrah dan ideal negara. Kerajaan, kementerian tidak wajar ditekan-tekan dengan isu dan permasalahan sama.

Dialog dan pandang balas sememangnya boleh dan dibenarkan. Namun, ia juga mesti ada had dan limitasinya. Jika semua yang dicadang oleh kerajaan, walaupun setelah mendapat pandangan umum, kemudiannya ditolak semula oleh swadaya pendidikan, kita tidak akan bergerak ke mana.

Negara memerlukan kalangan NGO berteras pendidikan yang mempunyai fokus, program yang baik, keterbukaan dalam berdialog, akar hujah yang tuntas dan bersederhana dalam mempertahan pendirian dan prinsip. Mengemukakan pandangan politik mungkin dibolehkan, namun perlulah selektif.

NGO berteraskan pendidikan perlu lari daripada imej membuat ‘laporan polis’ dan lebih fokus dalam usaha ‘mempengaruhi polisi’.

Hijrah ini rasanya tidak mudah, ketika mana aktif atau tidaknya NGO diukur dengan berapa laporan polis yang telah dibuat untuk tahun itu. Selagi ‘polis’ mendahului ‘polisi, mungkin perjalanan kita jauh.

Khairuddin Mohd. Zain ialah penganalisis politik dan sosial. Utusan Malaysia Online Rencana 06/07/2013

KSSR lahir generasi intelektual, kreatif

Kuala Lumpur: Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan dilaksanakan di semua sekolah mulai 2016 selepas melalui semakan semula tahun lalu sejajar dengan aspirasi negara melahirkan generasi yang mempunyai daya pemikiran tinggi, kreatif dan inovatif.

Pelaksanaannya nanti turut menambah baik kurikulum KSSR yang diperkenalkan pada 2011 dan digunakan pada masa ini dengan memastikan murid dibekal kemahiran serta nilai yang sesuai dan mengikut keperluan semasa.

Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Dr Azian T S Abdullah, berkata semakan semula KSSR pada tahun lalu itu dilakukan bagi membolehkan ia selari dengan kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Katanya, ia mengandungi enam aspirasi atau tonggak murid yang akan dilaksana pada dua tahap. Bagi tahap satu, akan membabitkan pelajar di Tahun Satu hingga Tiga, manakala Tahun Empat hingga Enam pada tahap dua.

“Tahap satu akan bertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.

“Sementara, bagi tahap dua pula akan memberi tumpuan kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai,” katanya.

Aplikasi teknologi maklumat

Azian berkata, KSSR bukan saja menitikberatkan aspek kemahiran dan kreativiti, tetapi juga menggalakkan pelajar untuk mengaplikasi teknologi maklumat (IT) bagi mencari bahan akademik bersesuaian, disamping latihan keusahawanan.

KSSR akan mengubah konsep pembelajaran yang bersandarkan kepada peperiksaan kepada penilaian terhadap kemahiran, bakat serta kebolehan.

KSSR mengetengahkan kemahiran penyampaian pembelajaran yang lebih kompleks, seperti merangka rancangan pengajaran dan bahan untuk disesuaikan dengan keperluan murid pelbagai tahap dan prestasi, walaupun di dalam satu kelas yang sama.

Pemansuhan PMR

Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid Tahun Enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.

Mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid Tahun Enam tidak lagi ditentukan melalui peperiksaan awam saja tetapi digabung dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.

Tiga kurikulum iaitu pendidikan khas, kurikulum Orang Asli dan Penan serta Kadazan Dusun juga akan dilaksana di bawah KSSR khusus bagi komuniti itu.

“Tiga kurikulum itu lebih menjurus kepada usaha menarik minat pelajar untuk belajar dan mengikuti sesi persekolahan seperti biasa. Tumpuannya pula adalah di sekolah yang merekodkan band 6 dan 7,” katanya.

Pelaksanaan KSSR juga katanya mengandungi pengajaran dalam bahasa elektif termasuk Cina, Tamil, Iban, Kadazan Dusun, Semai dan bahasa Arab.

Mohd Nasaruddin Parzi Berita Harian Online Nasional 27/06/2013

Alternatif terbaik sekolah satu aliran

MENYEBUT tentang perdamaian nasional, perkara paling utama untuk jangka panjang sebenarnya bukan dalam dunia politik tetapi dalam dunia pendidikan generasi muda.

Walaupun ada yang menyalahkan pelbagai aliran sekolah sebagai punca perpecahan seawal sekolah rendah, adalah lebih penting untuk mencari penyelesaian agar generasi berikutnya tidak hidup dalam kepompong bangsa sendiri sahaja.

Contoh mudah hidup dalam 'dunia berasingan' sejak zaman sekolah itu jelas boleh dilihat di kalangan muda mudi dan remaja yang tidak tahu bahasa kebangsaan malahan ada tidak tahu bahasa ibunda bangsa masing-masing.

Dalam media dan sektor pekerjaan juga nyata perkara asas seperti bahasa kebangsaan juga gagal diangkat martabatnya apabila bahasa Melayu dijadikan pilihan akhir pengiklan sehinggakan ejaan juga caca-merba.

Antara punca utama masalah ini adalah kelonggaran melampau yang diberikan kepada sekolah-sekolah sehinggakan bahasa kebangsaan malahan jati diri sebagai rakyat Malaysia gagal diterap kepada anak-anak kecil yang tidak tahu sejarah asal-usul mereka.

Oleh itu, semakin ramai yang mahu kerajaan lebih berani mengambil pendekatan agresif dalam pendidikan khususnya memperkasakan kembali konsep Sekolah Wawasan agar anak muda pewaris negara tidak berbalah sesama sendiri dan belajar berkongsi hidup di bumi bertuah ini kelak.

Ini bagi membolehkan murid berbilang bangsa belajar serta bermain bersama-sama, seterusnya memahami perbezaan antara mereka, dididik menghormati dan menjaga sensitiviti orang lain, dan lebih penting menerapkan nilai-nilai murni termasuk cintakan negara tanpa menggadaikan ciri-ciri bangsa atau agama masing-masing.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menjelaskan konsep Sekolah Wawasan cuma mengumpulkan beberapa aliran sekolah dalam satu kawasan bagi membolehkan murid-murid berkongsi kemudahan dan bergaul sesama mereka.

"Ada masanya murid akan berkongsi padang, dewan ataupun kantin, ini memberi peluang kepada mereka berada dalam satu tempat dan bercampur gaul walaupun sistem pelajaran berbeza-beza.

Beliau menegaskan aspek pergaulan di sekolah rendah amat penting dalam pendidikan anak muda negara ini mengikut pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya'.

Tambahnya, proses sosialisasi juga paling berkesan di usia muda selepas umur 3 ke 4 tahun kerana anak kecil tidak tahu beza kaum atau agama dan cuma menganggap semua orang sebagai kawan.

"Melalui konsep Sekolah Wawasan, sekurang-kurangnya murid-murid dapat bergaul, berhimpun ataupun melakukan bermacam aktiviti bersama-sama, dengan itu matlamat perpaduan akan lebih berjaya.

"Buat masa ini hanya lima Sekolah Wawasan sudah diwujudkan. Ia mengambil masa memandangkan terdapat beribu-ribu sekolah dan kesukaran mendapatkan kawasan sesuai," jelasnya.

Menurutnya lagi, sekolah sedia ada menghadapi kesukaran memandangkan aliran berbeza tidak dibina dalam satu kawasan khususnya di Kuala Lumpur yang sukar untuk mencari kawasan tanah dan kekangan tertentu yang melambatkan pelaksanaannya.

Beliau memuji kecantikan kawasan Sekolah Wawasan di Subang Jaya seluas 10 ekar dan merasakan masalah tanah dapat diatasi kelak dalam perancangan sekolah-sekolah baharu yang dibina mengikut konsep Sekolah Wawasan.

"Walaupun masih sukar diterima orang ramai yang tidak selesa dengan konsep 'pergaulan' itu, tetapi dari sudut pendidikan ia penting demi kesatuan dan perpaduan anak-anak kecil yang akan mewarisi negara kelak.

"Ini bukannya idea baharu, sudah 10, 15 tahun difikirkan pemimpin negara dan saya berharap lebih banyak Sekolah Wawasan dapat dibina selepas ini," ujarnya.

Alimuddin menegaskan Sekolah Wawasan perlu diteruskan kerana ia idea baik yang akan memainkan peranan besar dalam usaha perpaduan yang menjadi matlamat utama penyatuan rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Apa yang tidak baiknya kalau murid-murid boleh bergaul mesra? Bukannya mengganggu sekolah mereka, semuanya berjalan seperti biasa di dalam darjah, cuma di luar mereka diberi peluang bergaul bersama.

"Jika murid-murid kecil ini tidak diberi peluang bercampur gaul, bila lagi? Selepas sekolah rendah ia semakin sukar diterap. Saya tidak nampak sebarang isu tidak baik dengan Sekolah Wawasan, mungkin orang tertentu yang mempunyai agenda lain sahaja nampak sebaliknya," tegasnya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong juga bersetuju Sekolah Wawasan alternatif terbaik untuk perpaduan jika sekolah satu aliran tidak dapat dilaksanakan.

"Idea ini sejak tahun 1990-an lagi, tetapi nampak kurang berjaya kerana kurang sokongan terutamanya masyarakat bukan Melayu, khususnya orang Cina yang mempunyai prasangka buruk terhadap inisiatif tersebut.

"Mereka fikir dan andaikan Sekolah Wawasan satu usaha menghakis jati diri dan melenyapkan identiti anak Cina, satu usaha memelayukan dan akhirnya mengislamkan anak-anak mereka," jelasnya.

Beliau menegaskan prasangka itu adalah tidak berasas kerana konsep tersebut cuma memberi ruang untuk murid-murid bergaul dengan berkongsi kemudahan tanpa mengganggu aliran pendidikan di sekolah kebangsaan (SK) mahupun sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang dibina berasingan.

Tambahnya, tujuannya cuma untuk interaksi antara murid berlainan bangsa agar saling mengenali serta faham-memahami cara hidup dan budaya antara mereka, akhirnya memupuk persahabatan dan perpaduan antara rakyat.

"Lihat sahaja polarisasi kaum di sekolah, SK dengan majoriti murid Melayu, SJK(C) dengan majoriti murid Cina dan SJK(T) dengan majoriti murid India. Tiada pergaulan antara anak bangsa-bangsa ini, bagaimana mahu pupuk perpaduan bila dewasa kelak?

"Kerana tiada pergaulan itu, kini wujud curiga dan prasangka buruk antara satu sama lain. Sekolah Wawasan tiada agenda terselindung dan identiti setiap sekolah akan kekal, ia cuma beri anak-anak kecil peluang bergaul dan berkawan," katanya.

Beliau menjelaskan, anak kecil sekitar 3 ke 4 tahun boleh bergaul walaupun berlainan bahasa, hanya biarkan mereka bermain di padang permainan dan dengan sendirinya akan berkawan tanpa mengira kaum, walaupun menggunakan bahasa isyarat.

Menurutnya lagi, menjelang usia 7 tahun di sekolah rendah, anak-anak kecil itu sudah boleh membentuk persahabatan antara mereka tetapi jika tidak dapat bergaul, maka tiada peluang untuk anak-anak Melayu, Cina dan India itu bersahabat.

"Lihatlah orang dewasa, orang tua kini, mana ada bergaul. Jika urusan jual beli itu sekejap sahaja, tiada persahabatan tulen dibentuk. Lihat sahaja rumah terbuka semasa perayaan, semuanya duduk dengan bangsa masing-masing tanpa interaksi, pergi untuk makan sahaja.

"Jika tidak mahu terus begitu, tidak mahu anak-anak kita teruskan sikap tidak bergaul, perlu berfikiran terbuka dan mulakan dari usia muda, bermula di sekolah mereka. Kembangkan Sekolah Wawasan kerana ia alternatif terbaik jika tidak mahu sekolah satu aliran dilaksanakan," tegasnya.



NURUL ANUAR KARI anuar.kari@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 05/07/2013

Strategi politik kaum Cina

DI Malaysia, peranan yang dimainkan oleh akhbar dan majalah berbahasa Cina untuk menyebar pengaruh seperti bahasa, budaya dan kepentingan-kepentingan kaum mereka, ekonomi dan khususnya politik tidak boleh dinafikan sama sekali.

Selaras dengan kaum mereka yang bilangannya sedang meningkat, di samping kepentingan ekonomi dan suara politik mereka yang semakin nyaring, kaum Cina terus merancang dan mengeksploit ‘saluran-saluran kuasa’ dan instrumen demokrasi untuk memantap dan memperkukuhkan apa yang telah mereka kumpulkan untuk kaum mereka selama ini.

Bermula dengan kerakyatan pada 1948 dan 1957 yang hakikatnya dipermudahkan oleh UMNO dan Raja-Raja Melayu sendiri, orang Cina terus mengorak selangkah demi selangkah untuk menapak pada mulanya dalam ekonomi Tanah Melayu/Malaysia sehingga bilangan penduduk mereka telah menjana 29 peratus. Kini sasaran agenda baru mereka tertumpu besar dalam politik.

Sebenarnya cerdik pandai Cina pada 1940-an dan 1950-an sedar sistem demokrasi yang diasaskan oleh pemimpin-pemimpin Melayu di negara ini pada tahun-tahun tersebut akhirnya menjadi satu platform yang ideal untuk kaum mereka berkembang secara penyertaan aktif dalam politik.

Pada hakikatnya pertubuhan-pertubuhan politik Cina sudah lama berakar-umbi di Tanah Melayu. Kongsi-kongsi gelap memain peranan penting dalam melahirkan pemimpin-pemimpin Cina yang pada mulanya ‘sober’ dan konservatif dan bekerjasama rapat dengan British.

MCA yang ditubuhkan pada 1949 kemudian menumpu sasaran kepada isu kerakyatan. Mereka sedar bahawa parti mereka bukan hanya satu-satunya pelobi, malah pemimpin Cina seperti Tun Tan Cheng Lock disokong kuat oleh pentadbir-pentadbir British tertentu.

Walaupun telah ada Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kuomintang (KMT) sebelum ini, namun parti-parti politik ini meninggalkan kesan legasi atau warisan China dan Taiwan yang akhirnya ditolak oleh orang Cina konservatif sendiri yang berikrar untuk mengkiblatkan Malaya sebagai tanah tumpah darah mereka, sementelah PKM merupakan sebuah parti berteraskan ideologi komunis yang berpaksikan kekerasan dan kezaliman.

Untuk berfungsi secara demokratik dalam sebuah negeri Melayu yang konservatif yang berasaskan pentadbiran British, pada mulanya orang Cina berpuas hati menggunakan saluran MCA untuk mencapai matlamat mereka yang lebih besar.

Namun, selepas mendapat kerakyatan dan kemudian kuasa ekonomi yang dominan, orang Cina menganggap apa yang diberi oleh orang Melayu tidak mencukupi. Seperti orang Cina di negara-negara lain yang bilangannya dominan seperti di Singapura, hakikatnya mereka ingin menentukan destini mereka sendiri.

Pokoknya mereka menolak orang Melayu menguasai mereka, menentang DEB, Perlembagaan Persekutuan, agama Islam dan Raja-raja Melayu. Penguasaan mereka terhadap ekonomi secara amat dominan di Malaysia, adalah pendorong utama yang menggerakkan gerabak politik orang Cina untuk menguasai negara ini.

Walaupun bilangan mereka kurang daripada 30 peratus, namun sokongan padu daripada PKR dan Pas menawarkan peluang keemasan kepada kaum mereka dalam PRU-13.

Mereka pernah memulakan percubaan nekad untuk merebut kuasa daripada orang Melayu pada tahun 1969. Di zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri yang beberapa kali sebelum itu didesak memberi konsesi dan kelonggaran, termasuk memberi kerusi pilihan raya yang lebih kepada kaum mereka.

Mereka sedar menerusi kerusi-kerusi pilihan raya inilah perjuangan politik kaum mereka dapat direalisasikan. Masalah yang serupa dialami oleh tiga orang Perdana Menteri selepas Tunku yang didesak supaya kaum Cina diberi universiti dan memerdekakan bahasa Cina.

Dalam 1960-an, akibat taktik politik yang disemai dan dimainkan Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura, sekumpulan orang Cina di Malaysia keluar dari arus perdana politik orang Cina MCA untuk menubuhkan Democratic Action Party (DAP) yang serta-merta mewarisi perjuangan ideologi politik sama rata Kuan Yew.

Mereka juga sedar kekuatan mereka bergantung di bandar-bandar. Oleh itu menggunakan propaganda ‘Malaysian Malaysia’ untuk mengadu-dombakan doktrin kesamarataan equality dalam masyarakat walaupun Malaysia dibina atas asas sejarah pribumi dan sistem politik serta komposisi kaum yang berbeza dengan Singapura.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan panjang lebar hujah-hujah Kuan Yew dalam buku beliau yang masyhur, Dilema Melayu dan baru-baru ini dalam buku terbarunya The Doctor in the House.

Slogan kaum Cina ini berjaya memenangi dan menarik minat dan sentimen orang Cina. Pada pilihan raya 2008, atas propaganda yang sama dan dengan kerjasama PKR dan DAP, mereka berjaya menawan Pulau Pinang dan buat sementara waktu, negeri Perak.

Dengan modus operandi yang sama, mereka bergabung dengan PKR dan Pas untuk memerintah Selangor. DAP juga memenangi kawasan-kawasan pilihan raya Wilayah Persekutuan. Kecuali Perak, dalam PRU-13 mereka mengulangi kemenangan di Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu di mana bilangan orang Cina dominan.

Pada umumnya undi orang Melayu daripada Pas berpindah kepada BN. Sungguhpun parti itu kembali menguasai Kelantan dan hampir merampas Terengganu, pengaruhnya di Kelantan semakin merosot. Pada PRU-13 Pas mengorbankan Kedah kepada BN yang dimenanginya sejak PRU-12.

Orang Cina sedar mereka tidak akan berjaya menguasai negara ini dalam jangka masa yang singkat, khususnya tanpa sokongan parti-parti pembangkang Melayu lain, seperti Pas dan PKR.

Malah, mengikut pengakuan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, sebelum PRU-13, partinya berpuas hati sekiranya memperoleh 100 buah kerusi daripada jumlah 222 kerusi Parlimen. Dengan kedudukan ini, beliau berharap akan berlaku kucar-kacir dalam UMNO dan Barisan Nasional yang menjurus ke arah perubahan dalam komposisi kerusi di Parlimen. (The Star, Mac, 2012)

Dalam konteks ini, DAP membuat perhitungan bahawa mereka akan meraih kuasa melalui dua cara: Pertama, dalam jangka pendek parti itu berharap kuasa akan jatuh ke tangan mereka setelah berlaku huru-hara atau kucar-kacir di Parlimen yang menyebabkan Ahli-ahli Parlimen BN ataupun parti-parti lain melompat ke rakit DAP.

Kedua, dalam jangka panjang mereka berharap akan berlaku perubahan besar dalam demografi penduduk akibat kealpaan pemimpin-pemimpin Melayu dalam parti pemerintah yang terus memperhebatkan pembangunan bandar dan luar bandar yang sekali gus menggalakkan penjanaan dan peningkatan serta perpindahan penduduk Cina ke kawasan-kawasan berkenaan.

Orang Cina tidak ada cara lain untuk merebut kuasa daripada orang Melayu kecuali menerusi sistem demokrasi berparlimen yang disedia dan di susun-atur sendiri oleh pemimpin-pemimpin Melayu sejak Perang Dunia Kedua.

Mereka berharap akan terbuka peluang untuk memerintah setelah pintu demokrasi dibuka kepada mereka untuk merebut peluang tersebut, sama ada menerusi perubahan demografi, peluang yang dibuka melalui kelemahan dalam sistem demokrasi ataupun menerusi pakatan dengan parti-parti pembangkang Melayu dan bukan Melayu.

Strategi licik orang Cina inilah yang dibimbangi ramai pemimpin Melayu kerana pada suatu masa kelak kealpaan dan tolak ansur mereka akhirnya mempercepatkan kehilangan kuasa Melayu.

Dr.Alia sMohamed ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia. Artikel Penuh: Utusan Malaysia Online Rencana 06/07/2013

Siapa sebenarnya lebih terbuka?

Parti DAP dan PKR mendakwa mereka merupakan sebuah parti politik pelbagai kaum hanya kerana membuka keahlian kepada pelbagai bangsa. Mereka menyembunyikan realiti bahawa tiada bezanya antara Pas dengan UMNO, MCA atau MIC di mana keahlian Pas hanya kepada mereka yang beragama Islam dan 99 peratus ahli mereka adalah orang Melayu.

Sehubungan itu, DAP pula lebih daripada 99 peratus ahlinya terdiri daripada kaum Cina. Sekiranya kita hendak mengambil teori undi popular Datuk Seri Anwar Ibrahim maka DAP adalah sesebuah parti berasaskan kepada kaum Cina. Isu yang paling penting bukan keahlian sesebuah parti politik itu yang membuktikan sesebuah parti pelbagai kaum atau tidak. Sebaliknya, indikator yang menentukan sesebuah parti politik itu pelbagai kaum adalah corak perjuangannya.

Perjuangan Barisan Nasional (BN) walaupun UMNO untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India tetapi dalam setiap pilihan raya banyak kawasan majoriti Melayu ditandingi oleh MCA dan MIC. Jika mengikut sistem merit UMNO yang sepatutnya bertanding di setiap kawasan majoriti Melayu. Namun sistem perkongsian kuasa dan perpaduan dalam BN begitu unik sehingga ia memberi ruang kepada parti bukan kaum Melayu bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Berbanding pakatan pembangkang, kawasan majoriti Melayu ditandingi oleh Pas dan kawasan majoriti Cina pula ditandingi oleh DAP. Ia membuktikan keahlian tidak menandakan perjuangan pelbagai kaum pakatan tersebut. Keahlian mereka adalah pelbagai kaum tetapi perjuangan mereka berasaskan rasisme.

Sistem keahlian pelbagai kaum, pembangkang juga wujud dalam BN

Sekiranya benar keahlian sepatutnya menjadi indikator kepada perlambangan pelbagai kaum maka dalam BN, parti seperti Gerakan, PPP dan IPF juga membuka keahlian mereka kepada semua kaum. Dalam isu ini, apakah perbezaan antara Gerakan, PPP dan IPF berbanding dengan DAP dan PKR? Oleh itu , kebebasan demokrasi dalam BN jauh lebih luas untuk memberi pilihan kepada rakyat memilih sama ada mereka mahu menyertai parti politik satu bangsa atau pelbagai bangsa dalam BN. Sebaliknya dalam pakatan pembangkang tiada pilihan melainkan hanya dapat memilih parti yang hanya memiliki satu sistem keahlian yang sama. Sistem perpaduan BN dapat disimpulkan dengan tujuh warna pelangi yang berbeza digabungkan menjadi sebuah pelangi (BN) yang Indah berbanding dengan sistem perpaduan pakatan pembangkang yang berlandaskan kepada tujuh warna pelangi yang berbeza kesemuanya diserapkan menjadi satu warna iaitu Blackout.

Etnik dan kaum minoriti akan ketinggalan dalam sistem pembangkang

Kita harus menyedari hakikat bahawa kaum Melayu merupakan kaum majoriti dengan menguasai lebih daripada 60 peratus komposisi kaum di negara ini. Kaum Cina pula kedua tertinggi dengan komposisi 26 peratus.

Kita perlu ingat sekiranya kita hendak berbicara tentang pelbagai kaum maka kesemua suku kaum etnik di Malaysia juga perlu kita pertahankan. Dalam sistem politik pakatan pembangkang suku etnik minoriti tidak mempunyai suara. Oleh itu , hanya seorang atau orang India yang berjaya menembusi organisasi pusat dan negeri DAP dan PKR serta tiada seorang wakil daripada suku etnik Sabah dan Sarawak yang berjaya mendapat sebarang tempat sama ada di dalam PKR , Pas mahupun DAP.

Adakah mungkin disebabkan faktor ini pakatan pembangkang tidak berani menampilkan Kabinet bayangan mereka? Oleh itu , hanya menerusi sistem politik dan sistem parti pelbagai kaum dalam BN yang dapat menjamin setiap kaum dan etnik ada wakil dalam kerajaan. Walaupun kali ini lebih daripada 90 peratus masyarakat Cina yang terpengaruh dengan politik jijik , licik dan zalim Anwar, DAP dan Red Bean Army untuk mengundi pembangkang tetapi BN masih memilih dua wakil masyarakat Cina dalam Kabinet. Keadaan ini agak berbeza dengan DAP apabila Selangor menang dengan lebih daripada 50 peratus pengundi India tetapi pada awalnya Teresa Kok meminta kuota kerusi Exco DAP yang 100 peratus perlu diberikan kepada wakil Cina DAP.

UMNO lebih sudi berkongsi kuasa dengan bukan Melayu

Statistik dan kajian menunjukkan pengundi Melayu sudah beralih kembali kepada BN apabila Lim Guan Eng cuba membangkitkan isu Kalimah Allah demi mendapat undi dan sokongan Kristian tetapi BN juga akhirnya atas semangat perkongsian kuasa meletakan 14 calon bukan Melayu berbanding dengan pakatan pembangkang. Bagaimana pula dengan pembangkang? DAP meletakkan dua calon mereka untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu. Sebagai contohnya Parlimen Raub dan Pas pula meletakkan calon Kelab Penyokong PAS mereka untuk menentang calon Cina MCA iaitu Datuk Wee Ka Siong di Johor. Oleh itu, perjuangan pelbagai kaum DAP, Pas dan PKR hanya sandiwara semata-mata.

Kaum bukan Melayu ditipu (terutamanya Cina)

Dalam BN semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak setiap sekolah vernakular mendapat RM100 juta setiap tahun berbanding dengan manifesto pakatan pembangkang yang menjanjikan RM220 juta kepada empat jenis sekolah dan keadaan ini bermakna setiap sekolah hanya akan mendapat RM55 juta setahun.

Selepas pakatan pembangkang memerintah di Kedah kuota perumahan bumiputera meningkat daripada 30 peratus kepada 70 peratus. Dahulu bila BN memerintah hanya 30 peratus, mereka kata UMNO membuli orang Cina tetapi kini apabila pakatan pembangkang memerintah dan menetapkan kadar kadar 70 peratus mereka pula beranggapan pembangkang adalah parti pelbagai kaum?

Tiada juga sebarang geran tanah (land title) diberikan kepada tanah perkuburan Cina , India dan juga kuil Hindu mahupun Tokong Buddha di keempat-empat buah negeri yang pakatan pembangkang menang pada PRU-12 (Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan ) berbanding pula dengan rakyat bukan Melayu boleh memperolehinya daripada kerajaan BN. Oleh sebab itu fakta dan persepsi politik rasisme adalah dua perkara yang amat berbeza sekali.

Kita bandingkan sahaja antara manifesto BN dan pembangkang. Dalam manifesto BN ada peruntukan untuk sebuah rumah ibadat tetapi dalam manifesto pembangkang hanya untuk satu agama sahaja.

Masa depan masyarakat Cina gelap angkara DAP

Pada pendapat peribadi saya, DAP bukanlah pejuang Cina seperti yang dipercayai umum. Bagi saya, DAP sebenarnya pengkhianat Cina yang sebenar. Mereka menipu dan memperdaya masyarakat Cina seolah-olah mereka boleh menang. Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar masyarakat Cina memperjudikan masa depan mereka untuk mengundi DAP secara beramai - ramai sehingga pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, masyarakat Cina hilang pengaruh dalam kerajaan. Dalam sejarah politik Malaysia masyarakat Cina merupakan suara kedua terbesar dalam kerajaan selepas kaum Melayu. Permainan zalim dan licik Red Bean Army akhirnya menyebabkan pertama kalinya komposisi Cina dalam kerajaan adalah paling kurang sekali dalam sejarah negara selepas wakil daripada Sabah dan Sarawak dan juga kaum India. Mungkin ada dalam kalangan masyarakat Cina yang menyesal terperangkap dengan politik kotor Anwar, DAP , pembangkang dan Red Bean Army. Lanjutan itu pada perhimpunan 505 yang terbaharu kurang daripada 10 peratus masyarakat Cina menyertainya.

Diharapkan 80 peratus Melayu yang menyertai perhimpunan tersebut juga seharusnya membuka mata dan kembali ke pangkal jalan. Pemimpin yang baik dan sayangkan anda tidak akan sesekali menyuruh kalian untuk berani mati di jalanan hanya demi membantu mereka mencapai hasrat politik mereka. Jika pada PRU-12 lebih daripada 80 peratus masyarakat India menghukum BN dan kurang daripada lima tahun kini 60 peratus kembali menyokong BN maka baik orang Melayu, Cina dan pelbagai lagi suku kaum rakyat Malaysia yang lain tidak seharusnya terperangkap dengan propaganda dan persepsi palsu yang dicipta oleh pembangkang.

Demi perpaduan dan semangat kepelbagaian kaum yang sebenar, maka BN masih lagi harus menjadi pilihan. Ia berdasarkan kepada fakta dan statistik bagaimana golongan minoriti lain mempunyai wakil dalam BN berbanding pembangkang yang akan melesapkan suara-suara tersebut.



Utusan Malaysia Online Rencana 07/07/2013

Sup malam Jumaat, 'balimau' dan sambutan Ramadan

TANAH Abang sememangnya sudah tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia yang berkunjung ke Jakarta. Ia menjadi salah satu destinasi popular untuk beli belah.

Namun bagi penduduk Jakarta, salah satu tarikan utama di Tanah Abang ialah sup kaki kambing. Ia dikatakan menjadi hidangan paling digemari oleh penduduk-penduduk Jakarta terutama pada malam Jumaat.

Di Jalan KH Mas Mansyur-Karet Vivak, Tanah Abang, seorang peniaga, Karim bersama anak-anaknya sibuk membuat persiapan bagi memulakan perniagaan sup kaki kambing tersebut.

Walaupun belum dibuka tetapi orang ramai sudah beratur panjang di warung yang tertulis 'Sop Kaki Kambing Tanah Abang Bang Karim' itu.

''Setiap malam Jumaat, pelanggan meningkat mendadak. Saya mula berniaga pukul 6 petang, pukul 9 malam sudah habis. Maklumlah banyak pasangan suami isteri mahu 'melakukan aktiviti' pada malam yang baik,'' kata Abu, salah seorang anak Karim penuh makna.

Menurut peniaga-peniaga seperti Karim, sup kaki kambing dikatakan mampu meningkatkan kekuatan tenaga batin khususnya kepada lelaki. Walaupun ada juga yang menjual sup kaki lembu namun ia tidak sepopular sup kaki kambing.

Mungkin kerana mitos yang berkembang inilah ia memungkinkan ramai kaum lelaki tercari-cari sup kaki kambing di Jakarta pada malam Jumaat, khususnya di Tanah Abang.

Sebenarnya, kawasan Tanah Abang telah lama menjadi pusat sup kaki kambing di Jakarta. Sejak awal 1990-an lagi, pedagang makanan ini bertaburan di kawasan-kawasan perumahan kecil.


Selain hidangan sup kaki kambing, masyarakat Jakarta juga menggemari sup kaki lembu.

Menurut Karim yang mula berniaga sup tersebut bersama bapanya sejak awal tahun 1960-an, peniaga sup kaki kambing pada asalnya bermula di kawasan perumahan Mess di Tanah Abang.

Sejak itu sup kaki kambing menjadi salah satu hidangan paling popular di Tanah Abang. Mengikut catatan sejarah kawasan itu sememangnya terkenal dengan kawasan menjual kambing sehingga ia digelar 'pasar kambing' .

Rudi, seorang lagi peniaga sup kaki kambing memberitahu, hampir semua peniaga sup di Tanah Abang secara turun-temurun pernah menjadi penjual kambing.

''Kami pakar menyembelih kambing. Di sini juga lahir ramai yang pandai memasak sup kambing dan akhirnya menjadi ia sumber pendapatan,'' kata Rudi.

Sup kaki kambing Tanah Abang dicampur dengan susu lembu kerana ia mengikut pengaruh orang Arab.

''Bapa saya juga pada awalnya menjual sup kaki kambing biasa tetapi dia kemudiannya memasukkan susu lembu sebagai penambah perisa. Hasilnya, rasanya cukup mantap,'' kata Karim.

Susu lembu yang digunakan diambil daripada peniaga susu di kawasan Kuningan Jakarta, bagaimanapun Karim tidak lagi menggunakan susu segar untuk dimasukkan dalam hidang sup kaki kambing.

Dia menggunakan susu tepung memandangkan susu lembu sekarang dianggap kurang kualiti berbanding dahulu.

Tidak kisah apa pun kaedahnya, yang pasti susu kaki kambing yang dipelopori oleh masyarakat Betawi ini menjadi hidangan pilihan di Jakarta.

Ia juga dikatakan akan turut menjadi salah satu hidangan utama kepada masyarakat Jakarta apabila umat Islam mula berpuasa pada Rabu ini.

Khasiat sup kaki kambing dikatakan akan mampu memulihkan tenaga dan cara itu menurut seorang teman di Jakarta ia akan memberi kekuatan kepada mereka untuk beribadah pada malam hari khususnya menunaikan solat tarawih.

Menyentuh soal Ramadan, salah satu tradisi sebahagian rakyat Indonesia ialah membersihkan badan atau dalam istilah di wilayah Padang ia dipanggil 'balimau'.

Mandi

'Balimau' adalah tradisi mandi menggunakan limau nipis yang berkembang dalam kalangan masyarakat Minangkabau dan biasanya dilakukan pada kawasan tertentu yang memiliki aliran sungai dan tempat perkelahan. Ia dikatakan diwarisi secara turun temurun, tradisi ini dipercayai telah berlangsung selama berabad-abad.

Khabarnya, maksud 'balimau' adalah membersihkan diri secara lahir dan batin sebelum memasuki bulan Ramadan, sesuai dengan ajaran agama Islam, iaitu mensucikan diri sebelum menjalankan ibadah puasa.

Dalam tradisi ini sebenarnya perempuan tidak seharusnya mandi di sungai agar tidak bercampur dengan lelaki. Namun malangnya, ia sudah tidak diikuti lagi sehingga dilihat tidak lagi menepati ajaran Islam kerana mencetuskan pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Berikutan itulah, Majlis Ulama Indonesia (MUI) Sumatera Barat pada Khamis lalu menyatakan kegiatan 'balimau', perlu untuk diperbetulkan kerana tujuan sebenarnya adalah mensucikan diri dan bukan untuk berseronok.

Ketua MUI Kota Padang, Duski Samad berkata, 'balimau' adalah budaya untuk mensucikan diri menjelang masuknya bulan Ramadan.

"Namun, sekarang ia bercampur dengan kegiatan untuk berseronok yang harus tinggalkan," kata Duski.

Duski menegaskan, 'balimau' sebenarnya mempunyai tiga tujuan sebelum memasuki bulan Ramadan iaitu meningkatkan keimanan, memperoleh manfaat dan menuju ketenteraman dengan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Jika masih mahu melaksanakan budaya "balimau", lakukanlah dengan sewajarnya seperti di rumah masing-masing dengan niat menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadan,'' katanya.

Di Bandung pula, sempena Ramadan, badan bukan kerajaan (NGO) Islam menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap mana-mana wanita yang sengaja berkeliaran di bandar itu dengan berpakaian seksi.

Ketika mengemukakan desakan tersebut, Pengasas Suara Perempuan Jawa Barat, Euis S. Rifki berkata, perbuatan mereka itu boleh mengganggu ibadah berpuasa.

Menurut Euis, berpakaian sopan boleh menghindari perempuan di bandar Bandung dari kejahatan seperti pencabulan dan perkosaan. "Mereka sengaja berpakaian kurang sopan sampai terlihat pakaian dalam, tetapi ketika diperlakukan tidak sopan, mereka akan marah," katanya.

Bagaimanapun ketika mengulas desakan tersebut, Ketua Polis Bandung Sutarno berkata, adalah sukar untuk pihaknya bertindak ke atas perempuan yang berpakaian seksi di bulan Ramadan.

''Tidak ada undang-undang untuk kita berbuat demikian tetapi kalau sekadar membuat seruan boleh sahaja,'' katanya.

Bagaimanapun beliau menyokong usaha untuk menyeru kaum perempuan di Bandung berpakaian sopan sepanjang Ramadan kerana ia demi kebaikan golongan itu juga.


ZULKIFLEE BAKAR Utusan Malaysia Online Rencana 07/07/2013

Apa itu filem?

SITI sekadar nak melontarkan pertanyaan klise, basi dan sangat boleh dianggap soalan bodoh oleh sesetengah pihak yang berasakan diri mereka cerdik. Siti nak tanya apa itu filem? Kenapa kita bersusah payah mewujudkan dan membangunkan (dengan cara kita) industri filem? Kenapa pula kerajaan harus memberi banyak peruntukkan kepada bidang pembuatan filem?

Filem yang pertama ditayangkan kepada umum ialah pada 28 Disember 1895 di Paris oleh Lumiere. Di negara kita filem tempatan pertama dipercayai diterbitkan pada 1939. Sehingga kini kita telah menerbitkan mungkin beribu-ribu judul dan yang terbaru kalau tak silap Siti berjudul Bro, Lu Gua. Siti tak tahu siapa yang mengarahnya kerana Siti sengaja tak nak ambil tahu tentang filem begini.

Dalam rombakan Kabinet yang dibuat baru-baru ini, bidang perfileman diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Sebelum ini filem berada di bawah Kementerian Penerangan Kebudayaan dan Komunikasi. Sekarang bidang komunikasi dan kebudayaan sudah dipisahkan tapi persoalannya kenapa filem diletakkan di bawah portfolio komunikasi dan multimedia, bukan kebudayaan di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan?

Siti fikir bidang perfileman di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperlihatkan kefahaman kita terhadap definisi dan peranan serta sejarah kewujudan filem terlalu di permukaan. Tapi sebenarnya tak menghairankan kerana yang diperlihatkan sejak dulu hingga kini walaupun penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sudah lebih 30 tahun, kita tak kita masih keliru kenapa hendak membangunkan bidang perfileman.

Memang benar dalam filem ada elemen komunikasi dan juga multimedia. Tapi ini hanya elemen bukan asas atau tunggak berdirinya satu karya bernama filem. Kalau diperhatikan dengan mendalam, filem bukanlah berkomunikasi dengan masyarakat. Malah di segi multimedia pula, itu hanya untuk mencantikkan dan memudahkan serta meningkatkan kualiti visual, bukan kualiti pemikiran. Setinggi mana teknologi multimedia disumbatkan pun kalau sebuah filem itu tidak dibangunkan dengan teras pemikiran, ia tetap tidak ada nilai.

Masyarakat

Filem adalah tentang tamadun, kebudayaan dan menjadi ejen perubahan kepada masyarakat. Filem yang hebat dan terbukti tidak ditelan zaman adalah tentang kebudayaan dan tamadun manusia. Belum ada lagi filem yang hebat kerana tahap komunikasi atau penggunaan multimedianya terkini dan tinggi. Tapi apa yang berlaku dalam bidang perfileman tempatan adalah sebaliknya.

Kalau kita lihat sejak Perang Dunia Kedua di mana Yahudi menjadi mangsa kekejaman tentera Nazi di Jerman, dunia filem Hollywood yang dikuasai oleh Yahudi, menerbitkan tidak kurang 160 filem bertemakan Yahudi atau lebih tepat lagi peristiwa Holocoust. Ini bermakna filem bukanlah alat hiburan seperti yang berlaku dalam industri filem kita.

Pembangunan filem pula selalu ditekankan sebagai bahan untuk menggerakkan sebuah industri. Keperluan industri adalah sesuatu yang diterima secara popular oleh masyarakat dan memberi keuntungan material kepada pelabur dalam industri berkenaan. Kita terlalu tergesa gesa mahu menjadikan filem sebagai industri sebelum peranannya sebagai agen perubahan dan tamadun manusia dimantapkan.

Maka segala manusia asalkan ada duit boleh menjadi penerbit filem malah boleh menentukan dasar dasar pembangunan filem di negara ini. Semua dasar itu tidak lebih dasar kapitalis yang hanya mahu mengaut untung dengan mengemukakan falsafah bahawa filem adalah alat hiburan.

Maka Siti melihat meletakkan bidang perfileman di bawah portfolio komunikasi dan multimedia adalah membuktikan pembangunan filem bukan dari sudut tamadun dan kebudayaan manusia. Kita hanya mahu menjadi negara penerbit filem yang terbesar, setidak-tidaknya di rantau ini tapi tidak pernah memikirkan tentang isi kandungan yang berpaksikan tamadun dan kebudayaan manusia.

Banyak negara maju membuat filem untuk membangunkan masyarakat dengan menyuntikkan pemikiran tinggi. Kita membuat filem kerana untuk memajukan sebuah industri yang telah diselewengkan peranan dan tujuannya. Selepas ini kita pasti berbangga dengan filem yang berteknologi tinggi, apa lagi selepas filem disingkirkan asas kebudayaan dan tamadun manusia. Apa itu filem? Filem ialah alat untuk merendahkan pemikiran masyarakat dan mengkayakan kapitalis filem.

SITI JARUM: Kita dah ada kilang membuat filem. Tahniah.



Siti Jarum hUtusan Malaysia Online Rencana 07/07/2013

Tukar istilah kesamarataan jantina

PERNAH bermain Scrabble? Kalau anda rajin menjengah sudut alat permainan yang dijual di pasar raya utama, permainan papan (board game) ini ada di situ. Berwarna hijau. Perkataan SCRABBLE besar terpampang. Tak pernah dengar? Tak apa.

Permainan Scrabble secara ringkasnya adalah permainan membina perkataan berdasarkan tujuh huruf yang disediakan kepada pemain (antara dua hingga empat orang). Markah bergantung pada mata pada huruf, di samping gandaan mata pada papan.

Permainan Scrabble ini asalnya berbahasa Inggeris tetapi terdapat juga versi bahasa Melayu. Kemahiran yang perlu pada pemain ialah memiliki perbendaharaan perkataan Inggeris dan strategi bagi mendapatkan gandaan markah pada papan.

Memang permainan ini tidak dramatik seperti Monopoly yang membolehkan anda memegang duit, membeli, menjual dan mendenda pemain lain. Tetapi sekiranya anda sudah arif dan bertemu pula regu yang sama-sama sukakan Scrabble, permainan ini akan menjadi sama ‘asyiknya’.

Ini kerana pemain boleh mempertikaikan sesuatu perkataan dan ‘mempertaruhkan’ mata jika tidak ada di dalam kamus. Malah terdapat pertandingan Scrabble dianjurkan di peringkat kebangsaan. Saya pernah memasuki kejohanan seumpamanya. Sekali sahaja. Untuk pengalaman. Sama seperti permainan catur, pemain Scrabble diberi tempoh beberapa saat untuk membina perkataan dan jika terlajak, mata dipotong.

Secara ringkasnya, Scrabble juga menjadi medium yang bagus untuk mempelajari dan menghafal perkataan-perkataan Inggeris, selain dapat meluangkan masa dengan ahli keluarga atau sahabat rapat.

Mungkin ada yang beranggapan Scrabble ini adalah permainan untuk golongan ulat buku atau nerd. Tidak benar. Memiliki perbendaharaan kata Inggeris memberi kelebihan bukan sahaja kepada ‘budak aliran sastera’ tetapi juga ‘budak aliran sains’. Pemain Scrabble bukan nerd tapi artful dodger.

Kecintaan kepada bahasa ini jugalah yang menyebabkan satu berita dari Amerika Syarikat menjadi perhatian. Minggu ini negeri Washington menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang menukar perkataan yang berbaur jantina dalam ayat-ayat perundangannya.

Menurut laporan, perkataan seperti fisherman dan freshman misalnya, masing-masing ditukar menjadi fisher dan first-year-student. Man’ yang bererti ‘lelaki’ dianggap perkataan yang tidak menepati kehendak kesamarataan jantina dan suatu bentuk diskriminasi terhadap wanita.

Mengikut sejarahnya, penggubal undang-undang di negeri itu telah meluluskannya pada tahun 2007 bertujuan menghapuskan elemen berat sebelah jantina dalam semua butiran ayat atau perkataan dalam undang-undang Washington, meskipun mandat negeri pada 1983 menggariskan bahawa semua perundangan hendaklah ditulis dalam terma neutral jantina melainkan pengkhususan jantina dimaksudkan.

Malahan, undang-undang baharu ini akan menukar banyak perkataan yang sudah diguna pada zaman di mana wanita belum berkecimpung lagi dalam pasukan polis atau ketika era wanita akan dianggap sangat luar biasa bekerja sebagai nelayan.

Langkah-langkah tersebut yang diluluskan pada April lalu, memberi mandat untuk menukar rujukan his menjadi his or her. Kata nama lain seperti clergyman hendaklah ditukar menjadi clergy, penmanship kepada handwriting dan signalman menjadi signal operator.

‘‘Tiada alasan bagus untuk mengekalkan terma perundangan kita yang bersifat anarki dan perkataan yang tidak menghormati situasi kontemporari kita. Mankind bermaksud lelaki dan wanita," kata Senator dari Seattle, Jeanne Kohl-Welles (Demokrat) yang menaja rang undang-undang setebal 475 muka itu.

Bantahan

Kerajaan negeri berkemungkinan besar tidak akan menukar perkataan airmen dan seaman, sebagai contoh, berikutan bantahan daripada Jabatan Ketenteraan Washington.

Istilah kejuruteraan awam seperti man hole dan man lock juga tidak akan ditukar kerana tiada istilah ganti yang secocok boleh dihasilkan. Meskipun begitu, istilah tersebut tidak terkecuali daripada cadangan gantian istilah iaitu utility hole dan air lock. Namun, penggubal undang-undang memahami penukaran kepada istilah teknikal hanya mengundang kekeliruan dalam masyarakat.

Hampir 3,500 kod seksyen kerajaan Washington, daripada sejumlah 40,000 telah diteliti bagi mengesan istilah yang mengandungi elemen berat sebelah jantina, walaupun kebanyakannya membabitkan penambahan kata ganti nama she dan her kepada perkataan sedia ada he dan his.

Rang undang-undang diluluskan dengan undi 70 menyokong mengatasi 22 membantah dalam dewan yang dikuasai Demokrat pada 9 April setelah disahkan oleh Gabenor Jay Inslee, berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

Memetik laporan Fox News yang mewawancara pakar bahasa dan komunikasi, Prof. Crispin Thurlow dari University of Washington-Bothell, beliau memuji langkah kerajaan negeri tersebut.

‘‘Menukar istilah boleh merubah cara kita berfikir mengenai dunia di sekeliling kita. Detik kecil ini terakru dan menjadi pergerakan besar," ujarnya.

Kerajaan Washington bukan yang pertama menukar istilah yang dianggap berat sebelah jantina, sebaliknya merupakan yang keempat selepas Florida, North Carolina dan Illinois.

Negeri-negeri lain yang sudah meluluskan perundangan seumpamanya ialah California, Hawaii, Maryland, New York, Rhode Island, Vermont dan Utah. Sekurang-kurangnya sembilan lagi negeri di Amerika Syarikat yang sedang mempertimbangkan langkah serupa.

Perancis baru-baru ini, secara rasmi menghapuskan istilah mademoiselle daripada dokumen-dokumen rasmi kerajaan. Istilah Gallic bermakna ‘cik’ tersebut dianggap oleh kerajaan Perancis sebagai tindakan memaksa wanita mengisytiharkan status perkahwinan mereka. Maklumat ini dianggap melanggar hak asasi manusia untuk berahsia.

Mujurlah bahasa Melayu tidak bersifat pasangan (he or she). Maka persoalan untuk mengikuti langkah Amerika Syarikat dalam soal kesamarataan jantina, rasanya tidak mencengkam. Dalam kebanyakan hal, bila berlaku pertikaian pemahaman undang-undang, kedua-dua teks bahasa Melayu dan Inggeris dirujuk. Ini uniknya Malaysia.

Dan dalam mengutarakan isu kesamarataan jantina, tidak menjadikan saya seorang berfahaman liberal. Gagasan yang dimajukan oleh Barat ini adalah supaya martabat dan peranan wanita diperakui seterusnya dihormati. Tentulah dalam konteks Islam, kesamarataan jantina haruslah seiring dengan adap kesusilaan syariah yang digariskan kepada kaum wanita.

Sesungguhnya saya tidak berkenan kaum wanita ditugaskan di barisan depan medan perang tetapi mengagumi wanita yang berani berlumba kereta atau sampai ke puncak Gunung Everest.

Ketiadaan elemen pasangan juga menyebabkan bahasa Melayu sangat mudah dipelajari oleh bangsa lain. Tidak percaya? Tanya pekerja Bangladesh di stesen minyak.

Keburukan daripada sifat bahasa Melayu ini pula menyebabkan tugas kita sedikit berat semasa mempelajari bahasa utama dunia lain yang memiliki pasangan seperti Inggeris dan Arab.

Tetapi tidak mengapa. Banyak medium dan platform untuk kita belajar bahasa Inggeris sama ada secara formal seperti mengikuti tuisyen khusus bahasa Inggeris atau tidak formal, seperti memulakan di peringkat awal dengan memperkenalkan permainan Scrabble kepada anak-anak.



Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Online Rencana 07/07/2013

Janganlah menyekat ‘hak demokrasi’ suami

Terima kasihlah Bro ucapkan kepada Chemong yang menulis di ruangan ini minggu lepas. Memang betul Bro sibuk dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, maklumlah orang kata pilihan raya ni macam ‘pesta demokrasi’.

Bro tidak berhasrat tulis politik kat sini cuma Bro harap golongan perempuan tidak membataskan soal demokrasi untuk pilihan raya sahaja. Dalam kehidupan biasa khususnya rumah tangga, perempuan juga perlu ada sikap mengamalkan demokrasi terhadap kaum lelaki.

Jangan ingat demokrasi hanya hak kepada perempuan sahaja untuk berleter, merajuk atau membuat pilihan, kaum lelaki juga perlu diberi hak yang sama.

Begitulah juga apabila si suami hendak berkahwin lain, itu pun demokrasi kerana ia kebebasan bersuara, memilih dan membuat keputusan, cuma yang Bro harapkan ‘pelaksanaan demokrasi’ ini dilakukan secara berhemah supaya ia boleh mewujudkan keadilan kepada semua isteri-isteri. Tetapi masalah perempuan ini, kalau menyentuh soal hak mereka, tiga hari tiga malam mereka boleh berhujah termasuklah menegaskan bagaimana si suami harus memahami hati dan perasaan serta kehendak mereka.

Bro bukannya tidak bersetuju kalau perempuan hendak mempertahankan hak mereka tetapi biarlah berpada-pada. Kalau perempuan mahu kaum lelaki memahami kehendak mereka maka mereka juga harus bersedia memahami kehendak lelaki, mana boleh bersikap berat sebelah.

Bro sentuh soal demokrasi dalam rumahtangga ini kerana Bro bersimpati dengan kawan-kawan Bro yang berpoligami. Mereka ini bukannya tidak ada kemampuan dari segi kewangan atau batin tetapi sering sahaja dihantui dengan sikap perempuan yang merasakan kalau suami mereka berpoligami maka kiamatlah dunia ini.

Macam-macam cerita Bro dengar, ada antara mereka terpaksa menyembunyikan perkahwinan bertaraf poligami ini sehingga bertahun-tahun, paling sedih tidak boleh berlaku adil kepada isteri-isteri lain kerana isteri pertama macam singa betina.

Bro percaya, ramai lelaki yang budiman dan mampu menjadi suami yang baik apabila berpoligami, yang penting berilah peluang, janganlah menyekat ‘hak demokrasi’ suami.

Perempuan sepatutnya reda sahaja dengan ketentuan Ilahi. Kalau mereka sememangnya ditakdirkan untuk dimadukan terima sahajalah, tak payahlah nak mengamuk tak tentu fasal.

Daripada mengamuk, lebih baik cuba mencari pahala melalui tindakan suami berpoligami. Antaranya berbaik-baik dengan madu dan memastikan si suami berlaku adil.

Bro yakin ramai lelaki yang berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab apabila berpoligami, Bro tidak nafikan ada yang berperangai tidak senonoh tetapi itu semua kes-kes terpencil sahaja. Dalam hidup ini, kalau kita awal-awal lagi melihat sesuatu perkara itu dari sudut negatif, maka negatiflah jadinya.

Oleh itu adalah penting perempuan memahami juga erti demokrasi dalam rumah tangga. Jangan ingat demokrasi itu hak si isteri semata-mata manakala si suami perlu mematuhi dan mengikut sahaja.

Menyembunyikan

Bro sudah saksikan bagaimana ada isteri pertama sampai ke sudah tidak tahu si suami telah memadukan dia. Si suami bukannya hendak menyembunyikan perkahwinan tetapi masalahnya bila minta izin secara terbuka mahu tercetus ‘Perang Dunia Ketiga’. Masa itu si isteri yang bertaraf ‘ustazah’ pun boleh jadi singa betina yang menakutkan.

Tetapi bagi Bro, tindakan itu tidak akan mendatangkan apa-apa faedah, kalau si suami dah nekad, dia sudah tidak mempedulikan apa lagi, akhirnya yang rugi ialah si isteri yang tidak mengizinkan si suami berpoligami.

Bro tahu lepas ni pasti ada perempuan-perempuan yang akan bentangkan fakta mengenai bagaimana si suami tidak mampu bertindak adil dan berhujah mengenai ketidakmampuan si suami dari segi kewangan.

Namun Bro hendak tegaskan, orang lelaki juga bijak menilai sejauh mana kemampuan mereka, kalau tahu tidak mampu mereka pun tidak akan terhengeh-hengeh hendak kahwin lain. Apa yang Bro katakan di sini ialah berhubung kelompok lelaki yang berkemampuan berkahwin lain tetapi dihalang oleh si isteri.

Justeru dalam usaha mengenali dan melaksanakan demokrasi dalam rumah tangga adalah lebih baik kaum perempuan kena belajar bermuhasabah. Fikirkan apa kelemahan kita dan berusaha memperbaikinya.

Malangnya perempuan ni, mereka bijak berhujah, kononnya dah beri segala-galanya kepada si suami termasuk melahirkan anak namun kenapa si suami hendak kahwin lain juga?

Dalam soal ini, satu sahaja nasihat Bro kepada perempuan-perempuan, belajarlah untuk berinteraksi dengan si suami dan janganlah menganggap kesilapan yang kita lakukan sehingga menyinggung perasaan suami adalah perkara biasa.

Bro percaya, apabila si isteri melayani dengan sebaik-baiknya si suami maka sudah pasti si suami tidak akan tergamak berpoligami. Bro sudah saksikan ramai kawan Bro yang berubah fikiran apabila mereka merasakan apa yang ada kepada perempuan lain boleh ada juga kepada isteri mereka khususnya dari segi layanan zahir dan batin.

Namun kalau berlaku juga maka terimalah hakikat bahawa itulah takdir kehidupan. - JUMPA LAGI!



Kucing Jantan - Bro Tompok Utusan Malaysia Online Rencana 07/07/2013

Pop quiz puts Parliament reps on the hot seat

KUALA LUMPUR: No one expects our elected representatives to be grocery experts but one would think they would at least know the price of one or two basic sundry items.

However, only about a tenth of the Members of Parliament thatThe Star team “ambushed” with a pop quiz recently knew how much 1kg of sugar and a box of 10 Grade A eggs cost.

The quiz also showed that only 61% of the 74 MPs interviewed could tell what the official minimum wage is. This raised questions on whether they are really aware of how the other half – the ordinary people who voted for them – lives.

The Star decided to play20 Questionswith our newly sworn-in MPs to gauge not only their general knowledge but also their friendliness.

Our team approached some 140 MPs over three days but only 74 were game to take the “hot seat” for our questions.

Thirty-one firmly declined to take part in the survey or answered just one or two questions. The other 35 who were approached, mumbled some excuse or other to “escape”.

Most were friendly about it, though, with their fashionable evasions of “SMS me tomorrow” or “Call me later”.

Communication and Multimedia Minister Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Barisan Nasional-Kemaman) came up with his classic line, “One day I will give you an exclusive”, as he moved away.

Some of the younger, new MPs were more approachable: Batu Kawan DAP MP Kasthuri Patto held our reporter’s clipboard while smi­ling and taking the questionnaire, while Pasir Mas PAS MP Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz spurred his fellow party members to take the pop quiz during lunch.

Several older MPs were predictably standoffish, with one trying to turn the tables on our team with his own pop quiz. “Do you know how much 1kg of flour costs?” he asked back.

But others were quite sporting, such as Tourism and Culture Mini­ster and Padang Rengas MP Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

However, one MP whom the team had expected to participate – Youth and Sports Minister Khairy Jama­luddin (Barisan-Rembau) – surprised everyone when he politely declined.

Several other MPs were appa­rently suspicious, one being Alor Setar PKR MP Gooi Hsiao Loong who asked: “You want to catch us out by testing our general knowledge?”

The questions covered a wide range of topics, from current affairs and local culture to the environment and entertainment.

And some of the responses were a revelation.

Several MPs answered that Qing Ming was the Chinese emperor who built the Great Wall. Actually, it is an annual Chinese cultural event to revere one’s ancestors.

Others said that Hari Raya Aidilfitri was the Muslim New Year. The answer should have been Awal Muharram or Maal Hijrah.

If questions on the cultures of Malaysian communities had boggled many MPs, food was an easy topic for many, with 80% of them correctly naming the states of origin for nasi dagang and nasi kerabu.

And when it came to celebrity news, some of our MPs rattled on about Hollywood star Angelina Jolie and local music darling Yuna.

On average, the MPs correctly answered 11 questions out of the 20.


ANDREW SIA, HARIATI AZIZAN AND NATALIE HENG STAR2@THESTAR.COM.MY News Nation July 7, 2013