July 28th, 2013

Belalang Jalan Riong: Seram disoal siasat...

Tiga tahun lalu saya dipanggil ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya berhubung satu berita yang dianggap sensitif oleh pihak berkuasa keselamatan awam. Sebaik saja mendapat panggilan daripada KDN yang menyatakan saya dikehendaki hadir untuk disoal siasat berikutan satu berita dan gambar yang disiarkan di Berita Harian beberapa hari sebelum itu, saya tidak berasa apa-apa tekanan. Selepas mendapat maklumat daripada wartawan yang menulis berita itu dan pengarang berita yang menyemak berita itu, saya menganggap tidak ada perkara yang perlu dirisaukan.

Saya dipanggil kerana bagi pihak berkuasa mereka menganggap berita itu sebagai berisiko tinggi dan boleh mencetuskan perbalahan kaum. Pihak berkuasa juga mahu siapakah sumber pihak polis yang memberi maklumat kepada wartawan mengenai peristiwa membabitkan satu pergaduhan yang dikatakan berunsur perkauman. Pada mulanya saya yakin dapat memberi penjelasan kerana saya percaya sudah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan untuk membolehkan mereka membuat laporan.

Dalam hati terfikir juga, tentulah ada sebab munasabah pihak KDN mengadakan sesi soal-siasat itu. Mereka tentunya tidak ada masa untuk memanggil sesiapa juga sekadar untuk berbual kosong.

Saya dipanggil kerana walaupun saya bukan penulis berita itu, namun atas dasar jawatan Pengarang Kumpulan, saya bertanggungjawab terhadap semua berita disiarkan di dalam akhbar itu. Selain saya, seorang lagi pengarang menyunting berita yang disiarkan turut dipanggil secara berasingan, mungkin untuk mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai bagaimana berita itu disiarkan.


Diasak soalan maut


Selepas semuanya sudah sedia, saya diminta menunggu di sebuah bilik khas. Tidak ada apa-apa dalam bilik itu melainkan kerusi dan meja, selain beberapa kemudahan pejabat.

Setelah 10 minit menunggu berseorangan, seorang pegawai KDN masuk dan kami bersalaman dan bertanya khabar. Beliau memulakan perbualan dengan bertanyakan keadaan jalan raya sewaktu datang ke Putrajaya, mungkin untuk mengendurkan ketegangan. Walaupun soalan itu agak biasa, tetapi raut muka dan suaranya menunjukkan beliau serius. Mungkin beliau mempunyai cara menyoal siasat sesiapa juga untuk mendapatkan maklumat.

Berikutnya, selama dua jam saya diaju dengan pelbagai soalan dan terpaksa menepis satu demi satu. Walaupun bersahaja dan tidak meninggikan suara, setiap soalan diajukan menampakkan ketegasannya. Ini menyebabkan saya berasa seram sejuk. Sambil bertanya soalan, sambil itu jugalah beliau memberitahu kesan berita itu kepada masyarakat dan negara.

Mengapa awak siarkan berita seperti itu? Mengapa awak tidak menyemaknya terlebih dulu? Saya menjawab, berita seperti itu adalah berita yang ingin diketahui oleh ramai pembaca. Sepantas kilat beliau menyampuk dengan tegas, “Siapa kata?” Saya jawab saya wartawan dan faham kehendak pembaca. “Awak tahu apa kesan berita seperti itu?” tanyanya lagi. Saya jawab saya tidak pasti walaupun pada saya berita itu hanyalah berita pergaduhan biasa.

Soalan berikutnya agak agresif bila beliau bertanya; “Awak kenal mangsa dan keluarga mereka?” Saya jawab tidak kenal tetapi dengan pantas juga beliau meneruskan soalan.

“Bagaimana kalau adik beradik dan keluarga atau mereka yang ada kena mengena dengan awak adalah mangsa pergaduhan? Adalah awak suka berita dan gambar seperti itu disiarkan?” Saya terdiam selepas terus diasak dengan soalan maut.

Setelah puas menepis pelbagai soalan, akhirnya beliau bertanya siapakah sumber polis yang disebut dalam berita itu. Saya mengatakan itu adalah rahsia. Saya tidak boleh memberi nama sumber itu kerana itu adalah prinsip dan etika kewartawanan. Beliau terus mendesak dengan memberi pelbagai sebab mengapa mereka perlukan nama sumber berita itu.

Saya juga memberi keyakinan kepadanya bahawa sekiranya beliau adalah orang yang memberitahu wartawan mengenai sesuatu peristiwa, akhbar kami juga tidak akan memberitahu kepada sesiapa juga maklumat berkaitan dirinya. Saya memberitahunya, apa yang dilakukan adalah sama seperti pihak berkuasa melindung pemberi maklumat. Jika pemberi maklumat menyampaikan sesuatu kepada pihak berkuasa keselamatan, mereka mengharapkan agar diri mereka dilindungi. Media juga terpaksa melindungi sumber kami.

Apabila media sosial disalah guna


Akhirnya, kami setuju bahawa soal sumber seperti dikehendakinya, tidak perlu dipanjangkan. Sehingga ke akhir perbualan, saya dapat rasakan beliau tidak puas hati dengan banyak daripada jawapan saya. Saya menceritakan peristiwa ini kerana kebelakangan ini ada beberapa kes orang awam dipanggil pihak berkuasa keselamatan atau pihak lain untuk disoal siasat atas tuduhan melakukan kesalahan yang boleh memburukkan suasana negara ini. Mereka dipanggil untuk memberi penjelasan kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan mengikut pelbagai undang-undang.

Dengan adanya media sosial hari ini, ramai memuatkan pelbagai berita dan objek yang melanggar akta tertentu seperti Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan selain Kanun Keseksaan. Sukar dibayangkan soalan yang ditanya kepada mereka terbabit dalam tempoh yang panjang hingga berjam-jam, tambahan pula jika ia membabitkan soal perkauman dan agama. Mereka tidak boleh mengatakan mereka tidak tahu atau naif kerana setiap rakyat perlu menghormati sesama rakyat pelbagai kaum.

Sebagai orang yang pernah disoal-siasat, tidak dapat dibayangkan bentuk soalan yang dikemukakan kepada mereka khasnya jika membabitkan soal sensitiviti agama. Kemungkinan besar akan ditanya adakah mereka akan marah jika gambar yang menghina agama mereka dimuat turun di dalam media sosial dan menjadi tatapan jutaan manusia? Apakah mereka rela agama mereka dihina? Mereka juga mungkin ditanya mengapa mereka marahkan sangat kepada Islam? Bagaimana pula kalau orang Islam juga marah kepada penganut agama lain? Apa akan jadi?

PAS tidak perlu DAP, PKR

Rabu ini, pengundi di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu akan membuat perhitungan sama ada memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus mewakili mereka memajukan kawasan mereka atau PAS. Ini bermakna, mereka perlu memilih sama ada Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman daripada UMNO yang mewakili BN atau Azlan @ Endut Yusoh daripada PAS. Belalang perhatikan walaupun PRK ini sangat penting kepada BN atau PAS tetapi umumnya kempen diadakan sejak hari penamaan calon pada 9 Julai lalu, mengikut semangat Ramadan. Walaupun ramai berkempen tetapi masing-masing mengawal diri.

Inilah semangat diharapkan. Ini menunjukkan bahawa antara pengikut UMNO atau PAS, masing-masing menghormati bulan yang mulia itu. Mereka sedar, jika mereka melakukan kempen melampau, pengundi sukar menerima mereka. Jadi, kedua-dua penyokong parti terpaksa tertib bagi menghadapi PRK ini. Belalang percaya keadaan yang boleh dikatakan tenang ini adalah disebabkan DAP dan PKR tidak terbabit secara langsung dalam kempen. Sebenarnya, PAS tidak perlukan kedua-dua parti. PAS tidak mahu kedua-dua parti itu ‘kacau daun’ di Kuala Besut. Itulah sebabnya tidak ketara pemimpin DAP dan PKR berkempen di situ.

Giliran Akta Hasutan dihapus

Sejak beberapa hari ini, heboh diperkatakan soal Akta Keharmonian Nasional akan diperkenalkan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948. Ada yang kata Akta Hasutan perlu dikekal bagi memastikan sesiapa menghasut dan mencetuskan masalah hingga menggugat ketenteraman awam, dikenakan hukuman setimpal. Ada pula yang berbeza pendapat mengatakan bahawa Akta Hasutan tidak lagi sesuai dan perlu ditukar kepada akta lebih bertamadun selaras dengan arus pemodenan negara. Belalang lihat isu dan alasan dibangkitkan lebih kurang sama sewaktu perbincangan mengenai penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lalu. Rakyat bimbang pihak melakukan kesalahan, terus bebas tanpa dikenakan hukuman.

Belalang percaya ISA dimansuhkan kerana ia dilabel sebagai akta yang zalim. Imej Malaysia cacat di mata dunia akibat ISA. Lagi pun, sebahagian besar mereka yang pernah ditahan mengikut akta itu bukannya mendapat penghinaan. Lihatlah ramai antara bekas tahan ISA kini dipilih sebagai wakil rakyat. Mereka menjadi popular kerana ditahan mengikut ISA. Belalang harap walaupun Akta Keharmonian Nasional akan mengambil alih, elemen teras dalam Akta Hasutan dipertahankan.

Mior Kamal Shahid Berita Harian Online Rencana 21/07/2013

Belalang Jalan Riong: Penguasaan China

'Made in China' atau 'Buatan China' sering dilihat pada pelbagai produk di mana-mana saja di dunia ini. Perkataan itu boleh dilihat pada barang yang dijual di kedai kecil di sebuah pekan terpencil di Sudan atau gedung perniagaan mewah di London, Paris atau New York.

Sebut apa saja – daripada barang besar yang dicipta menggunakan teknologi tinggi atau barang paling kecil dan murah, barangan kegunaan industri atau barang permainan kanak-kanak, jam tangan dan pakaian, semua jenis produk itu ada dikeluarkan di China. Ini menunjukkan produk China sudah menembusi pasaran seluruh dunia, tidak kira sistem atau ideologi rakyat dan kerajaan di negara berkenaan. Barangan dari China masuk ke negara Barat yang kaya dan maju dan di negara yang membangun dan miskin, seolah-olah tidak boleh ditahan lagi.

Kemampuan China mengeluarkan pelbagai jenis produk adalah menerusi perancangan yang rapi. Penduduk yang ramai menyebabkan kerajaan perlu merancang ekonominya secara sistematik. China mempunyai lebih 2,000 Zon Ekonomi Khas (SEZ) bagi menampung keperluan negaranya. Pengeluaran pelbagai jenis barang dalam jumlah besar hasil permintaan tinggi dari seluruh dunia menjadikan Tanah Besar China sebagai tempat yang menghasil produk dengan kos paling rendah khasnya aktiviti perkilangan.

Republik itu juga tidak mempunyai kesatuan sekerja yang biasanya mengganggu kelancaran pengurusan sektor pekilangan. Dengan kos rendah dan disokong harga bahan mentah yang rendah, menjadikan China sebagai tarikan sektor pekilangan. Di China, perindustrian mewakili 72.8 peratus sektor ekonomi yang mana sebahagian besar adalah sektor pekilangan.

Keistimewaan untuk kaum Cina


Walaupun setiap negara mempunyai peraturan perdagangan tertentu, terutama untuk melindungi produk keluaran tempatan, namun ia tidak memberi kesan kepada produk dari China. Sebaliknya, permintaan terus meningkat. Ini juga membuktikan produk China diiktiraf di seluruh dunia. Dari segi harga, tidak ada negara lain boleh menandingi harga barangan yang dikeluarkan China.

Malah, dunia perniagaan juga hairan bagaimana industri China boleh bertahan sedangkan ada barang dijual dengan harga lebih rendah daripada kos pengeluaran. Disebabkan barang itu dibawa masuk dengan kuantiti besar atau volume yang tinggi, sudah tentu ada julat keuntungannya. Juga penting, pengusaha China mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia.

Di negara yang mempunyai ramai kaum Cina, ia menjadi satu keistimewaan kepada mereka. Mereka menjadi pendukung utama kepada pengusaha dan peniaga dari China. Atas dasar ini, wujud kebimbangan penguasaan kaum Cina di mana saja mereka berada. Mereka sudah membuktikan penguasaan ekonomi dan episod seterusnya ialah mendapatkan penguasaan politik di mana saja yang mempunyai potensi mereka berbuat demikian.

Di Madinah dan Makkah, contohnya – tasbih, kopiah songkok, celak mata, jubah lelaki dan wanita, sejadah, jam tangan dan barang hiasan dihasilkan di China. Membelek kain atau barang perhiasan, tidak siapa menjangka ia juga dibuat di China.

Agak sukar mana-mana negara di dunia ini bersaing harga barang keluaran China. Umum yakin bahawa produk China murah disebabkan kos tenaga kerja yang rendah. Disebabkan harga barangan China dianggap jauh lebih murah berbanding barang sama dikeluarkan dalam negara lain, ramai yang mengambil kesempatan untuk membelinya kerana tahu ia sememangnya lebih murah berbanding di tempat atau negara lain. Ada yang membeli secara pukal dan menjualkannya semula dengan mendapat untung. Ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) parti politik menempah baju, poster, kain rentang dan sebagainya di republik itu dengan harga lebih murah.

Resipi kejayaan China

Sebenarnya banyak peniaga asing dan negara tertentu yang terus memberi nafas kepada peniaga di China untuk membesarkan perniagaan mereka. Disebabkan ia dibeli dengan jumlah besar, ia dijual dengan harga jauh lebih murah. Keuntungan yang diperoleh peniaga dari negara China, ini bukan datangnya dari Malaysia saja, malah dari seluruh dunia. Sebut saja jumlah barang diperlukan, peniaga China sanggup sediakan pada tempoh waktu ditetapkan. Sudah tentulah jumlah wang yang besar dibelanjakan untuk mendapatkan barangan dari republik itu.

Meskipun China mengeluarkan barang bercirikan Islam, ia bukanlah ganjil kerana negara itu mempunyai kira-kira 100 juta penduduk Islam, jauh lebih besar daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Dengan kedudukan negara dan bilangan penduduknya, ekonomi Republik Rakyat China adalah kedua terbesar di dunia mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas Amerika Syarikat. Ia adalah ekonomi utama dunia yang pesat berkembang dengan purata ekonomi 10 peratus sejak lebih 30 tahun lalu. Keadaan ini juga menjadikan China sebagai negara pengeksport dan pengimport kedua terbesar barangan di dunia.

Kejayaan China mungkin hasil campuran sistem ekonomi komunis dan kapitalis. Umum tahu, ekonomi China tidak lagi menekankan kepada soal kesamarataan apabila membangunkan ekonomi. Di era moden ini China memberi penekanan kepada kenaikan taraf pendapatan peribadi dan kebolehan membuat pembelian serta mewujudkan sistem pengurusan baru untuk meningkatkan produktiviti. Inilah perubahan besar dilakukan kerajaan negara itu selaras kehendak semasa. Kerajaan memfokuskan perdagangan antarabangsa untuk tingkatkan sektor ekonomi.


Model kerjasama UMNO-PAS

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan 24 Julai ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu. Diramalkan calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO akan bertarung dengan calon PAS. Dua lagi parti pembangkang, DAP dan PKR tidak diterima di Terengganu, malah di negeri Pantai Timur. Dari segi catatan sejarah, PRK Kuala Besut ini menarik kerana ia adalah pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu. Ia juga penting kerana PRK ini menjadi penentu kepada penguasaan BN di Terengganu berikutan perbezaan bilangan kerusi DUN yang mana BN menguasai 17 kerusi DUN manakala pembangkang memiliki 15 kerusi. Jika pembangkang menang, kedudukan menjadi seri, masing-masing mempunyai 16 kerusi. Ini merumitkan keadaan dan macam-macam boleh berlaku. Tetapi jika pengundi terus memberi sokongan kepada BN, apa juga bentuk kekecohan seperti itu, dapat dielakkan atas alasan Kerajaan BN sudah membentuk kerajaan negeri.

Terpulanglah kepada pengundi Kuala Besut membuat keputusan bagi pihak seluruh rakyat Terengganu. Bagi DAP dan PKR, seboleh mungkin mereka tidak mengharapkan PAS menang. Keputusan itu mungkin menjadi model kerjasama UMNO-PAS di Terengganu kerana masing-masing mempunyai kerusi sama banyak. Seandainya PAS melihat kerjasama ini praktikal, ia mungkin menjadi petanda awal PAS keluar daripada pembangkang. Apa pun, bagi memenuhi keperluan demokrasi, biarlah BN dan PAS memberi kebebasan kepada pengundi membuat keputusan seperti mereka membuat keputusan pada PRU-13 lalu.

Buatlah kerja secara senyap

Belalang dengar cerita dari peringkat bawah mengenai pelbagai kaedah yang kononnya akan digunakan parti yang bertanding dalam PRK Kuala Besut, Terengganu. Sebagai contoh, UMNO dikatakan sudah menyiapkan sekian ramai penceramah yang akan digerakkan di kawasan itu. Apa juga yang hendak diadakan sepanjang PRK itu dihebahkan kepada rakyat melalui pelbagai cara menerusi media termasuk surat khabar, radio dan televisyen.

Belalang tidak pasti tujuannya selain untuk mendapat publisiti. Secara tidak sedar pengumuman seperti itu mendedahkan rahsia strategik parti. Maklumat seperti ini sepatutnya dirahsiakan, bukan dihebahkan. Sepatutnya mereka buat secara senyap. Belalang rasa yang hendak mengundi adalah pengundi berdaftar di kawasan Kuala Besut saja, jadi tak perlu seluruh Malaysia diberitahu mengenainya. Tindakan mereka itu ibarat memecah rahsia sendiri.

Mior Kamarul Shahid Berita Harian Online Rencana 07/07/2013

Mencari ‘ubat’ pulihkan MCA

POLITIK adalah satu seni untuk hidup dalam jangka panjang secara berterusan. Kita perlu faham bahawa politik ibarat peperangan yang tidak akan ada pihak yang akan menang selama-lamanya.

Sejarah peperangan dunia membuktikan bagaimana pada awalnya Jepun begitu megah dan angkuh apabila mereka berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) dalam serangan Pearl Harbor dalam pertarungan yang pertama. Bagaimanapun, AS bangkit dengan serangan bom di Hiroshima dan berakhirnya legasi Jepun dalam dunia peperangan ketika itu. Namun begitu, Jepun bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia dalam jangka masa kurang daripada 20 tahun.

Dalam soal ini, MCA boleh memilih untuk belajar dari Jepun mahupun AS iaitu menerima kekalahan sementara dan bangkit menjadi lebih kuat daripada sebelumnya. Sebenarnya, MCA juga boleh belajar daripada sejarah politik parti itu sendiri dalam 11 pertembungan dengan DAP bagi merebut kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum yang diadakan sejak tahun 1969.

Pada tahun 1969 MCA seri dengan DAP apabila kedua-dua parti itu masing-masing memenangi 13 kerusi. Namun begitu, pada pilihan raya 1974 MCA bangkit dengan (19-9),1978 (17-16) dan 1982 (24 -9).

MCA kemudiannya tewas kepada DAP, dua kali berturut-turut pada tahun 1986 (17-24) dan 1990 (18-20). Namun begitu, MCA kembali bangkit pada tahun 1995 (30-9), 1999 (28-10) dan 2004 (31-12 ). MCA kembali kalah pada tahun 2008 (15-28) dan yang terbaharu 2013 (7 -38). Angka ini bermakna MCA berjaya menewaskan DAP 7 kali, tewas 4 kali dan seri sekali dalam 11 pertembungan mereka.

Secara keseluruhannya MCA berjaya menang 219 kerusi berbanding DAP hanya 189 dalam pertembungan 44 tahun mereka sejak 1969.

MCA selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) seolah-olah kehilangan roh dan hala tuju mereka. Segala langkah mereka demi memartabatkan MCA hanyalah akan lebih mengeruh dan melemahkan MCA tanpa diketahui oleh mereka. Bahayanya MCA kini adalah segala `ubat’ yang cuba dicadangkan oleh mereka bukanlah `ubat’ yang tepat untuk mengubati permasalahan akar kekalahan sebenar .

Apakah kesilapan MCA secara umumnya ?

Kepimpinan baharu

Kita lihat sahaja sejarah bola sepak apabila Chelsea yang begitu kaya dan mampu melantik dan memecat mana-mana pengurus bola sepak di dunia dengan sekelip mata. Apabila Chelsea tidak mencapai matlamat yang disasarkan maka mereka sering memecat dan menggantikan pengurus pasukan mereka dan seolah-olah pengurus kelab tersebut merupakan satu-satunya faktor kekalahan mereka.

Akhirnya , selepas menggantikan beberapa pengurus selepas Jose Mourinho, Chelsea masih lagi tidak mendapat keputusan yang mereka sasarkan. Begitu juga dengan prestasi beregu badminton negara Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong yang semakin merudum selepas peninggalan Rexy Manaiky.

Sehubungan itu, sehari selepas kekalahan MCA dalam PRU-13 terdapat segolongan veteran MCA mencadangkan supaya pemimpin tertentu meletakkan jawatan. Kemunculan mereka hanya mengeruhkan krisis dalaman MCA. Ia memandangkan ketika ahli-ahli di peringkat akar umbi masih belum lagi pulih daripada kekalahan dalam PRU-13, mereka terpaksa pula berdepan dengan satu lagi pertarungan dalaman.

Tidak dinafikan niat golongan veteran MCA adalah baik namun cadangan mereka tidak tepat pada masanya. MCA hanya akan menjadi sebuah parti yang kuat, jika semua pihak bersedia bertanggungjawab sama ada ketika menang atau kalah. Tindakan meletakkan kesilapan ke atas individu tertentu bukanlah ‘ubat’ yang tepat bagi mengubati krisis yang melanda.

Cadangan sedemikian bukan sahaja bahaya kepada MCA malahan juga bahaya kepada rakan dalam Barisan Nasional (BN) apabila UMNO dan MIC juga bakal berhadapan dengan pemilihan parti mereka sendiri. Fenomena menggulingkan pemimpin tertinggi yang tewas dalam pilihan raya akan mencetuskan krisis dalaman.

Kemasukan MCA dalam Kabinet

JIKA benar, penyertaan MCA dalam Kabinet boleh memberi kemenangan kepada parti dalam pilihan raya umum akan datang, maka sudah pastilah ia satu tindakan yang wajar. Namun begitu , jika kemasukan MCA ke dalam Kabinet tidak banyak memberi kesan dalam pilihan raya akan datang maka mengapa pula timbulnya cadangan ‘ubat’ sedemikian yang hanya akan memecah-belahkan MCA.

‘Ubat’ seperti ini akhirnya membawa padah apabila terdapat pemimpin dalam MCA yang sanggup menentang titah Sultan Johor hanya kerana perbezaan pendapat sama ada MCA seharusnya menerima jawatan dalam kerajaan ataupun tidak.

Penggabungan parti pelbagai kaum bersama Gerakan dan SUPP

JIKA parti pelbagai kaum merupakan jawapan kepada kebangkitan MCA bersama Gerakan dan SUPP maka mengapa Gerakan, PPP dan SUPP yang merupakan komponen parti berlandaskan pelbagai kaum turut mengalami kekalahan dalam PRU-13? Kekalahan parti pelbagai kaum dalam BN jauh lebih teruk berbanding dengan parti satu kaum seperti UMNO, MCA mahupun MIC.

Cadangan untuk mewujudkan parti pelbagai kaum ini hakikatnya mahu mengikut rentak ideologi pakatan pembangkang dan seolah-olah MCA tidak memiliki hala tuju dan acuan sendiri. Sesebuah parti politik mampu untuk bangkit semula apabila tewas dalam mana-mana pertempuran asalkan berpegang kepada akar jati diri dan acuan mereka.

Falsafah berubah mengikut masa tidak semestinya berubah mengikut rentak lawan. Pakatan pembangkang melaungkan slogan Change maka kini timbul pula Change MCA dan Change is the only Constant . Perubahan mengikut masa adalah lebih kepada perubahan berlandaskan kepada acuan yang tersendiri dan bukannya mengikut rentak lawan.

Jika benar parti pelbagai kaum adalah satu-satu jawapannya, kenapakah Pas tidak membuka keahlian mereka kepada kaum lain?

Road show Transformasi MCA

ROAD show ini adalah baik namun lebih baik jika ia dilakukan sebelum pilihan raya bagi mengumpul pendapat, cadangan dan luahan daripada jentera pilihan raya serta ahli-ahli MCA ketika hendak berdepan dengan pembangkang dalam PRU-13.

Ketika MCA menjalankan road show transformasi pasca PRU-13 , DAP pula aktif menjalankan road show dan kempen menarik sokongan muda untuk menyertai perjuangan mereka. Kempen siapa yang sebenarnya lebih berpandangan jauh ? Tepuk dada, tanya selera.

Sesetengah pihak berpendapat road show ini adalah ‘ubat’ dan jawapan kepada kebangkitan MCA tetapi realitinya road show ini lebih kepada mencari ‘punca penyakit’. Oleh itu, bagaimana pula boleh timbulnya segala cadangan ‘ubat’ untuk mengubati sesuatu penyakit apabila road show mencari punca penyakit masih belum lagi tamat? Bagaimana doktor boleh mencadangkan sesuatu jenis ubat sebelum mengetahui punca penyakit seseorang pesakitnya?

Apabila tamat sahaja road show tiada satu pelan tindakan jangka masa pendek dan panjang secara terperinci bagaimana MCA boleh berhadapan dengan DAP dan apakah yang sebenarnya seharusnya dilakukan oleh MCA.

Road show tersebut dilakukan seluruh negara tetapi setakat ini yang timbul ialah cadangan nama individu tertentu untuk menjadi Presiden MCA. Adakah ini hasil road show transformasi tersebut?

Secara ringkasnya ‘ubat’ yang tepat adalah ‘ubat P’ iaitu Perancangan dan Pelan Tindakan, Persepsi, Pemuda, Perang Siber, Penjenamaan, Penyatuan, Publisiti, Punca dan Penyelesaian, Pembaharuan dan bukannya falsafah perubahan pakatan pembangkang.



Utusan Malaysia Online Rencana 28/07/2013

Bisik Awang Selamat

MT UMNO dan Najib

SUDAH sah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO ditetapkan pada 5 Oktober. Beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Naib-Naib Presiden juga telah mengeluarkan kenyataan mahu mempertahankan jawatan. Perkembangan ini menandakan bermulanya demam pemilihan parti, yang seperti biasa, mengundang pelbagai desas-desus dan spekulasi.

Pemilihan MT kali ini lebih menarik perhatian atas beberapa faktor. Paling utama ialah pembaharuan yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak sebagai sebahagian daripada transformasi politik sejak menjadi Perdana Menteri.

Najib mengambil langkah berani dengan membuka jalan kepada pindaan Perlembagaan UMNO pada 2009 yang akan dilaksanakan pada pemilihan Oktober ini. Antara lain, menerusi format baharu, lebih 150,000 perwakilan bahagian mendapat kuasa memilih berbanding oleh hanya 2,510 perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini. Jumlah itu termasuk 51,000 perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Awang melihat UMNO telah merintis sistem pemilihan lebih demokratik dan berakar umbikan ahli, jauh lebih ke hadapan berbanding parti politik lain terutama pembangkang seperti DAP.

Pindaan perlembagaan itu turut menyaksikan sistem kouta termasuk bagi jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden dihapuskan dan diganti sistem pendaftaran. Sekali lagi Najib mengambil risiko mendedahkan dirinya untuk mudah dicabar tetapi beliau lebih melihat kepentingan dan masa depan parti mengatasi percaturan peribadi.

Selain jawatan Naib Presiden, jawatan Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri dijangka menyaksikan pertandingan. Apatah lagi bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT). Sudah menjadi tradisi, para perwakilan lebih suka melihat jawatan-jawatan itu dipertandingkan atas banyak sebab. Awang sendiri merasakan perlu banyak suntikan muka baharu dan pemimpin lebih muda dalam barisan MT bagi membawa kesegaran.

Bagaimana pula jawatan Presiden dan Timbalan Presiden? Awang tidak nampak mengapa perlu ada perubahan bagi kedua-dua jawatan tersebut. Najib dan timbalannya, Muhyiddin adalah gandingan terbaik yang telah teruji kemampuan mereka. Kedua-duanya telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dengan cemerlang. Sama ada suka atau tidak untuk diakui, itulah realitinya. Pencapaian UMNO dalam PRU-13 jauh lebih baik berbanding PRU-12 (2008), lalu menggagalkan kemaraan pakatan pembangkang untuk merampas kuasa kerajaan pusat. Awang sangat bersyukur kerana prestasi UMNO dengan sokongan orang Melayu dan NGO Melayu telah dapat menyelamatkan kuasa politik Melayu daripada diruntuhkan oleh gerakan pembangkang. Kerajaan BN yang diterajui UMNO menghadapi tekanan dan asakan yang hebat sebaik sahaja selesai PRU-12 sehinggalah pada PRU-13. Tidak pernah berlaku, gelombang tohmahan dan fitnah yang dahsyat oleh pembangkang sehingga sebahagian rakyat termakan hasutan. Begitu banyak demonstrasi haram yang mencetuskan ketegangan, bantuan ramai pakar asing kepada pembangkang terutama semasa kempen pilihan raya dan aliran wang luar yang melimpah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Ini termasuk melalui NGO dan pergerakan agama tertentu. Sekali lagi, belum pernah senario ini berlaku dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Dengan kata lain, BN dan UMNO telah berjaya menggagalkan campur tangan asing yang dicatur melalui pengkhianatan pemimpin pembangkang tertentu yang ghairah mahukan kuasa. Bukan itu sahaja. Keyakinan luar biasa majoriti orang Cina untuk menumbangkan BN dan UMNO melalui hasutan parti paling rasis iaitu DAP dengan bantuan pemimpin PKR, Anwar Ibrahim, juga tidak kesampaian. Tsunami Cina tersekat kerana UMNO, yang orang Melayu harus mengambil iktibar mendalam.

Pada Awang, kejayaan mengekang momentum pakatan pembangkang adalah pencapaian besar dan ia berkait rapat dengan faktor kepimpinan Najib. Ramai masih ingat bagaimana imej kerajaan UMNO merudum teruk selepas PRU-12 dan banyak yang meramalkan parti itu akan tumbang pada PRU-13. Ada yang geleng kepala tidak yakin UMNO mampu bertahan lagi. Bagaimanapun selepas Najib mengambil alih teraju kepimpinan, beliau telah membawa kebangkitan tetapi sedikitpun tidak mendabik dada.

Hakikatnya Najib adalah sandaran terbaik untuk UMNO yang tidak boleh dinafikan. Awang percaya beliau akan terus memperkasakan UMNO dan memperhebatkan penambahbaikkan dalam mengatasi kelemahan serta kekurangan. Sudah tentu Najib faham denyut nadi akar umbi UMNO dan suara orang Melayu terutama mengurus keresahan pasca PRU13 dan mengharapkan gerak tindak lebih tegas.

Dari awal lagi, Awang tidak pernah goyah keyakinan terhadap kepimpinan beliau sama ada dari segi pentadbiran negara mahupun menerajui perjuangan UMNO menjaga kepentingan agama dan bangsa.

Karakter dan pembawaannya menyakinkan. Sentiasa tenang dan tidak pernah melatah biarpun ketika berdepan dengan tohmahan dan kritikan. Walaupun pendekatannya harmoni dan terbuka, adalah silap untuk mengambil mudah Najib. ‘‘Beliau menyimpan kekuatannya dalam diam," kata seorang sahabat lamanya. Kepimpinan adalah faktor utama kepada kejayaan sesebuah organisasi politik. UMNO mesti terus menjadi wadah strategik untuk menangani dan mendepani cabaran akan datang, yang Awang lihat perlukan kepimpinan Najib. Beliau seorang reformis sebenar. Najib akan menjadi pemimpin yang lebih kuat pada era pasca PRU-13 yang kita semua akan dapat menilainya nanti.

Mohon maaf atau...

AWANG simpati ke atas pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana yang menjadi mangsa fitnah dan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab. Dakwaan berserta gambar kononnya para pelajar bukan Islam ditempatkan pada waktu rehat untuk makan pada bulan Ramadan, terbukti tidak benar.

Ia sebenarnya bilik persalinan yang dijadikan kantin sementara berikutan kantin sekolah diubahsuai. Persetujuan mengenainya telah dicapai oleh pihak sekolah dan PIBG bagi menampung keperluan pelajar yang ramai.

Amat malang kerana tohmahan itu kemudian menjadi isu perkauman yang tidak sepatutnya. Guru Besar sekolah itu, Mohd. Nasir Mohd. Noor menerima tekanan yang keterlaluan termasuk ugutan bunuh. Awang cukup terganggu dan berharap individu yang tidak bertanggungjawab itu segera tampil memohon maaf bagi menjernihkan keadaan. Jika tiada permohonan maaf, Awang menggesa Kementerian Pelajaran dan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Pihak berkuasa mesti lebih agresif membela pengurusan sekolah supaya tidak dihina dan difitnah. Nasihat Awang, tolong jangan diamkan isu ini selagi tiada tindakan. Kalau di Singapura, kes-kes hasutan seperti itu ditangani dengan pantas. Sehari dua, sudah selesai.

Lagi pun, kegagalan untuk bertindak akan memberi mesej yang salah kepada orang ramai seolah-olah sekolah awam di Malaysia, yang asyik diserang pihak-pihak tertentu, memang layak diperlekehkan. Awang tidak rela.

Nasib Tanda Putera

KITA terlalu berhati-hati dan banyak beralah termasuk dalam isu filem Tanda Putera. Disebabkan bantahan pihak-pihak tertentu yang mewakili kaum Cina, filem tersebut terpaksa ditangguhkan beberapa kali.

Tanda Putera arahan Shuhaimi Baba dituduh rasis sedangkan hakikatnya ia memaparkan fakta sejarah rusuhan kaum 13 Mei. Pada Awang, filem itu wajar ditonton dalam kerangka memperkukuhkan patriotisme dan membuka mata semua pihak tentang perlunya menjaga keharmonian.

Ketika Tanda Putera ditekan habis-habisan, dalam diam rupa-rupanya ada pihak menerbitkan filem The New Village dengan membawa perspektif serong. Khabarnya, filem itu mengangkat Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang mempunyai pertalian dengan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang kemerdekaan.

Dalam tinta sejarah tanah air, anggota-anggota pasukan keselamatan yang ramai terkorban dan cacat anggota angkara pengganas komunis, diiktiraf dan dinobatkan sebagai wira. Mengapa pula penerbit filem The New Village mahu menulis semula sejarah yang bercanggah sama sekali? Sedarkan dia di mana bumi yang dia pijak sekarang.

Awang percaya ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengiktiraf perjuangan PKM termasuk pemimpin utamanya, Chin Peng.

Awang hairan bagaimana filem tersebut begitu mudah diluluskan siarannya oleh Finas lebih-lebih lagi ketika sambutan Bulan Kemerdekaan. Lebih tidak masuk akal, filem itu akan ditayangkan terlebih dahulu daripada Tanda Putera yang telah lama siap tetapi terperap.

Nampaknya di Malaysia, pihak yang sebenarnya rasis selain agresif akan lebih mendapat perhatian dan dituruti kehendaknya. Awang malu dan rasa meluat sambil ligat memikirkan di mana silapnya.



Utusan Malaysia Online Rencana 28/07/2013

Apabila Sisters In Islam mempertikai mufti

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengambil pendekatan tidak popular apabila dengan tegas melarang empat wanita Islam daripada menyertai pertandingan Miss Malaysia World baru-baru ini. Ketegasan Wan Zahidi telah menyelamatkan satu lagi percubaan memperlekehkan Islam di negara ini selepas beberapa pihak lebih menyelamatkan kuasa politik berbanding Islam.

Sebenarnya larangan terhadap wanita Islam menyertai Miss Malaysia World bukan perkara baharu. Pada 1996 sudah dikeluarkan fatwa yang melarang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu yang memakai pakaian mandi yang mendedahkan aurat.

Sepatutnya tanpa fatwa sekalipun, sudah tidak ada wanita Islam yang menyertai Miss Malaysia World di atas sebab yang disebutkan di atas tadi. Tidak perlu menunggu larangan dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam kerana menyertai pertandingan ratu bukanlah suatu yang dapat mempertingkatkan kesucian Islam malah merendah dan sekaligus menghina Islam. Empat peserta Islam itu ialah Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna De Korte, Miera Sheikh dan Kathrina Ridzuan.

Salah seorang peserta, Sara Amelia berhujah, selepas fatwa itu dikeluarkan, ada peserta Islam misalnya Rima Fakih pernah memenangi pertandingan itu di Amerika Syarikat (AS) pada 2010 dan Hammasa Kohistani yang beragama Islam memenangi Miss England pada 2006. Dia merujuk penyertaan peserta Islam di luar negara sebagai asas kukuh untuk mewajarkan menyertai Miss Malaysia World. Dia perlu sedar bahawa ada juga orang Islam yang menjadi pembunuh dan penjahat, tetapi bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa perbuatan itu dibenarkan oleh Islam? Bagaimanapun biarlah kerana pandangan itu datang daripada orang yang berfikiran singkat dan bertujuan melepaskan diri.

Tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertenggek di atas nama Islam dianggotai pula oleh kelompok cerdik pandai, Sisters In Islam (SIS) bukan mempertahankan larangan itu sebaliknya mencabar di segi kesahihan undang-undang. Kenyataan SIS yang disiarkan dalam sebuah portal berita baru-baru ini bukanlah suatu yang memeranjatkan kerana sejak lama dahulu SIS sentiasa memberikan kenyataan yang mencabar pihak berkuasa agama Islam.

Sepatutnya kenyataan SIS yang mempertikai bahawa fatwa melarang wanita Islam menyertai pertandingan itu kerana tidak diwartakan sebagai undang-undang tidak perlu dilayan. Tetapi memandangkan pertubuhan ini menggunakan nama Islam, masyarakat wajar dijelaskan bahawa isunya bukanlah larangan itu menjadi undang-undang atau tidak, tetapi untuk menyelamatkan wanita Islam terjerumus dalam agenda yang mencemarkan Islam.

SIS menganggap larangan atau fatwa yang dikeluarkan pada 1996 itu sebagai tidak Islamik, tidak demokratik dan melanggar hak asasi. SIS sudah tentu menjadi wira dalam isu ini kepada pihak yang mahu menjerumuskan Islam dalam acara yang tidak bertamadun ini. Pihak yang selalu melabelkan orang Islam sebagai konservatif dan anti kemajuan sudah pasti mengiktiraf SIS sebagai agen pembudayaan baharu terhadap Islam.

Untuk makluman SIS, tidak semua larangan dalam Islam itu diwartakan sebagai undang-undang. Apa yang dilakukan oleh seorang peserta Miss Malaysia World adalah perkara asas yang dilarang dalam Islam sekalipun kononnya penganjur berjanji peserta Islam hanya memperagakan pakaian sukan. Sekiranya berjaya ke peringkat Miss World, pernahkah kita melihat peserta akhir berpakaian sukan? Islamik sangatkah penganjur Miss World untuk mengasingkan peserta Islam dan bukan Islam?

SIS menganggap larangan ini sebagai tidak demokratik dan melanggar kebebasan hak asasi manusia. Adakah ini bermakna larangan ke atas orang Islam supaya jangan minum arak atau makan daging babi adalah melanggar hak asasi manusia?

Kalau begitu perbuatan sepasang remaja Cina yang mempromosi sup tulang babi sebagai menu berbuka puasa bukan satu kesalahan kerana makan sup tulang babi tidak diwartakan sebagai undang-undang di mana-mana negeri di negara ini.

Kebebasan

Agak malang kerana SIS memperjuangkan hak asasi keempat-empat wanita Islam kerana Mufti Wilayah Persekutuan telah menghalang kebebasan hak asasi mereka menyertai Miss Malaysia World. Tetapi pada masa yang sama SIS tidak memperjuangkan Islam kerana tidak melihat larangan mufti itu sebagai satu usaha pemurniaan Islam. Adakah bagi SIS empat wanita Islam itu sebagai golongan teraniaya kerana kebebasan mereka telah dihalang sekalipun membuat perkara yang boleh mencemarkan Islam?

Kontroversi ini juga boleh diambil iktibar oleh orang Islam sendiri yang menjadi penganjur pertandingan ratu di negara ini. Barangkali penganjur Miss Malaysia World melihat orang Islam sendiri kerap menganjurkan pertandingan ratu (walaupun bukan berpakaian mandi), jadi apa salahnya dia membuka penyertaan kepada wanita Islam.

Kita patut bertekad supaya perkara-perkara yang tidak menyumbang kepada ketinggian Islam dan tamadun budaya tidak diteruskan lagi. Walaupun tidak ada larangan menganjurkan pertandingan ratu di negara ini, tetapi tidak usahlah diteruskan lagi. Kononnya menghargai kecantikan wanita tetapi caranya memperalatkan secara bertentangan dengan Islam.

Malah tidak ada pertandingan ratu tidak memundurkan masyarakat. Belum ada lagi pertandingan ratu yang dianjurkan di negara ini menyumbang kepada pembangunan manusia. Binalah kesedaran sendiri supaya apabila ada larangan oleh pihak berkuasa, ia tidak dianggap menghalang kebebasan hak asasi.

Kita jangan tunggu SIS kerana syor supaya orang Islam tidak menjadi penganjur ratu tidak diwartakan sebagai undang-undang. SIS tidak akan sokong syor ini kerana selagi tidak dijadikan undang-undang, ia satu pelanggaran terhadap hak asasi manusia. Nampaknya bagi SIS, kebebasan hak asasi lebih penting daripada melarang orang Islam supaya jangan menghina agamanya.



KU SEMAN KU HUSSAIN ku_seman@yahoo.com Utusan Malaysia Online Rencana 28/07/2013

Negara Islam terus dilanda konflik

BUMI Mesir terus membawa khabar berdarah apabila sekurang-kurangnya 70 penyokong Mohammed Mursi yang mengadakan demonstrasi terbunuh selepas ditembak oleh pasukan keselamatan.

Angkatan Tentera Mesir yang sebelum ini menguar-uarkan kononnya mereka terpaksa merampas kuasa daripada Mohammed Mursi demi memenuhi tuntutan rakyat sebaliknya kini bertindak sebagai pembunuh rakyat.

Tindakan ganas tentera Mesir itu sudah pastilah tidak akan membawa apa-apa erti kepada usaha mewujudkan keamanan di negara berkenaan, sebaliknya akan menyebabkan umat Islam akan terus berbunuh sesama sendiri.

Sementara Mesir terus bergolak, nyawa juga terus melayang di Syria yang menyaksikan pertembungan antara tentera yang setia kepada Presiden Bashar Hafez al-Assad dengan puak pemberontak.

Di Iraq pula, serangan bom berani seolah-olah satu ancaman yang tidak ada penghujungnya. Setiap hari ada sahaja puluhan puluhan penduduk negara itu terbunuh.

Renungkan pula sejenak apa pula berlaku di selatan Thailand yang menyaksikan, puak pemisah yang kononnya berjuang untuk membela nasib orang Islam sebaliknya bertindak membunuh mereka. Pembunuhan itu dilakukan atas pelbagai alasan bagi ‘menghalalkan’ perjuangan songsang mereka bagi menuntut kemerdekaan di bumi Siam tersebut.

Begitulah keadaan beberapa negara Islam di bulan Ramadan ini. Bulan suci yang sepatutnya menjadi bulan menyatukan ummah dan mengukuhkan keamanan umat Islam sebaliknya dihiasi dengan perbalahan dan konflik berterusan sehingga darah terus membasahi bumi negara-negara tersebut.

Ketika diminta mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, tidak dapat dinafikan umat Islam di seluruh dunia Islam sedang menghadapi ancaman perpecahan dan peperangan sesama sendiri yang amat parah.

Katanya, tindakan itu tidak akan menguntungkan mereka kerana akibatnya musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk terus melemahkan Islam dan umat Islam.

‘‘Akhirnya mereka tidak berdaya mempertahankan diri, agama dan nasib serta masa depan mereka juga kemudiannya ditentukan oleh orang lain,’’ katanya ketika dihubungi.

Sememangnya itu keadaan umat Islam sekarang, biar pun hakikatnya terdapat 58 buah negara Islam di seluruh dunia - satu bilangan yang besar atau kira-kira lebih satu perempat negara di dunia. Dalam kata mudah, bilangan negara Islam sebenarnya banyak dan mempunyai suara besar di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Jumlah penduduk Islam di seluruh dunia dianggarkan berjumlah 1.5 bilion atau lebih 20 peratus daripada penduduk dunia. Maknanya, Islam adalah agama anutan utama penduduk dunia dan bukan agama minoriti.

Bagaimanapun, ketika ini negara Islam paling banyak terlibat dalam konflik termasuk perbalahan sesama sendiri sehingga melemahkan mereka. Perebutan kuasa politik dan perbezaan antara mazhab merupakan dua faktor yang dikatakan menjadi punca umat Islam berbalah. Keadaan itu memungkinkan ia membuka ruang kepada kuasa asing untuk campur tangan sama ada secara terbuka atau tersembunyi. Apa yang berlaku di Mesir telah membuktikan hakikat ini bagaimana Mohammed Mursi yang dipilih secara demokrasi telah dijatuhkan oleh pihak tentera atas alasan demi menegakkan demokrasi.

Kuasa-kuasa barat yang sebelum ini begitu mendesak supaya demokrasi dipulihkan selepas kejatuhan Hosni Mubarak hanya diam seribu bahasa apabila Mohammed Mursi dijatuhkan.

Segala-galanya kerana Presiden Mesir itu dilihat sebagai pejuang Islam dan anggota kepada Ikhwanul Muslimin. Tetapi umat Islam di Mesir tidak menyedari perkara itu, sebaliknya sebahagian besar mereka turut menyokong tindakan tentera biar pun mereka memahami ia belum pasti membawa keamanan kepada Mesir.

Begitu juga yang berlaku di Iraq, apabila umat Islam dibiarkan berbunuh sesama sendiri selepas negara itu dicerobohi oleh Amerika Syarikat (AS) yang mahu menjatuhkan pemerintahan Saddam Hussein suatu ketika dulu. Kini demokrasi, keamanan dan kebebasan yang dijanjikan oleh kuasa besar barat itu tidak ke mana, rakyat Iraq terus menderita apabila tercetus pula perbalahan antara penduduk negara itu yang terdiri daripada majoriti orang Islam.

Di Syria juga, keadaan juga hampir sama apabila umat Islam berperang sesama sendiri. Yang untung ialah kuasa asing yang membekalkan senjata kepada puak pemberontak. Akhirnya negara itu bagaikan neraka dunia kepada rakyatnya.

Menurut Dr.Mohamed Mustafa, semua itu berlaku kerana umat Islam tidak dapat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

‘‘Ia termasuklah juga penyelewengan dalam amalan akidah serta pertembungan mazhab yang parah khususnya antara sunnah wal jamaah dan Syiah.

‘‘Syiah telah mengambil langkah memusuhi dan memerangi puak sunni secara kekerasan,’’ katanya.

Ketika masalah itu sudah berlanjutan berabad-abad, umat Islam juga kata beliau berkata dengan sikap ketaksuban kepada pemimpin, puak dan kelompok tertentu.

Dalam soal ini, penulis berpendapat keadaan itu wujud di semua negara Islam khususnya dalam bidang politik.

Sikap taksub kepada pemimpin atau parti yang mereka sokong telah menyebabkan ada dalam kalangan umat Islam kafir mengkafir antara satu sama lain dan ada pula sanggup berbunuh semata-mata bagi menegakkan ideologi politik masing-masing. Keadaan menjadi semakin parah apabila ada pula parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi dalam masa yang sama sanggup bersekongkol dengan parti bukan Islam untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam.

Tetapi apa yang anehnya dalam masa yang sama mereka menguar-uarkan bahawa perbuatan menjatuhkan kerajaan Islam adalah haram di sisi Islam. Bagaimanapun ‘fatwa’ itu dilihat hanya terpakai bagi mempertahankan kuasa mereka sahaja tetapi tidak boleh digunakan bagi parti politik lawan biar pun mereka juga beragama Islam dan menerajui kerajaan pimpinan orang Islam.

Mengulas lanjut, Dr.Mohamed Mustafa berkata, terdapat pemimpin-pemimpin Islam yang sedia menjadi alat kepada musuh-musuh Islam demi mencapai agenda dan cita-cita peribadi serta mengalahkan musuh politik Islamnya sendiri.

‘‘Apabila benih-benih ini sudah ada, maka musuh-musuh Islam menggunakan semua kelemahan ini untuk terus adu-domba dan mengerakkan permusuhan sesama Islam.

‘‘Media global juga digunakan secara meluas bagi memberikan imej yg sangat buruk ke atas agama dan umat Islam,’’ katanya.

Bagi Dr.Mohamed Mustafa, segala konflik yang melanda umat Islam boleh diselesaikan jika pemimpin-pemimpin Islam bersatu dan bergabung tenaga serta kekuatan bagi mengatasi masalah yang timbul.

‘‘Umat Islam mesti tahu memilih mana pemimpin yang baik dan boleh mempertahankan umah serta agama Islam daripada pemimpin yang berjuang hanya untuk kepentingan dirinya sendiri,’’ katanya.

Apa pun situasi di negara-negara Islam kini semakin buruk dan umat Islam terus akan berada dalam keadaan konflik yang seterusnya membawa kepada campur tangan asing jika masih mahu berbalah sesama sendiri. Atas sebab itulah perlu ada kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk memahami bahawa musuh-musuh Islam tidak pernah diam untuk melemahkan kekuatan mereka. Oleh itu tidak perlulah kita berbangga dengan mendabik dada kononnya perjuangan Islam kita jauh lebih baik berbanding pihak orang Islam lain sedangkan hujah seumpama itu akhirnya hanya akan menyebabkan umat Islam terus berpecah belah.

Adalah lebih baik sebelum terlambat, umat Islam terus mencari jalan ke arah penyatuan agar mereka tidak terperangkap dengan agenda asing.

Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna tetapi umat Islam sendiri yang memungkinkan kemuliaan agama.



Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Online Rencana 28/07/2013

Syiah ancaman kepada Islam

AJARAN Syiah di Malaysia masih terus berkembang walaupun Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

Daripada penyebaran secara sembunyi-sembunyi, pengikut Syiah kini dikatakan semakin berani menonjolkan diri dan amalan mereka sehingga ke tahap mahu berhujah dengan golongan ASWJ. Lebih ekstrem lagi, golongan ini menghalalkan darah golongan lain yang tidak sealiran dengan mereka.

Mutakhir, timbul kebimbangan tentang pengembangan pengaruh Syiah di Malaysia. Ia terutamanya selepas melihat tindakan golongan tersebut di beberapa negara Islam termasuk membunuh golongan ASWJ seperti di Syria, Iraq, Lebanon dan sebagainya.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD. ZIN di Ipoh, Perak, Khamis lalu, Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA merungkai persoalan berkaitan dengan golongan Syiah di negara ini.


MINGGUAN: Bagaimanakah Syiah mula bertapak di negara ini?

HARUSSANI: Dulu, orang kita tidak begitu ambil berat tentang Syiah. Jadi mereka hantar anak-anak ke Iran dengan tujuan untuk belajar Islam, namun orang ini bila sampai di sana bukan sahaja disambut bahkan diberi biasiswa kerana Iran memang mahu mengembangkan fahaman Syiah. Mereka diajar sehinggakan sebahagiannya bertaraf Ayatollah.

Jumlah mereka lebih kurang 60 orang yang saya baca dalam akhbar dulu. Bila balik ke tanah air, mereka berpegang kepada ajaran Syiah. Ada di antara mereka yang menjadi guru dan menyandang pelbagai jawatan lain. Ketika menjalankan tanggungjawab tersebut, mereka menyelitkan ajaran Syiah. Dalam masa yang sama universiti kita pula membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah dari Iran, keadaan ini menyebabkan perkembangan Syiah semakin kuat dalam negara kita.

Sehinggalah akhir-akhir ini bangkit satu kumpulan yang terang-terang mengamalkan ajaran Syiah dan mahu berhujah dengan golongan ASWJ. Mereka juga sampai ke tahap mengancam negara kita sehingga sanggup menumpahkan darah mempertahankan ajaran itu.

Pendek kata, golongan Syiah ini memang berbahaya?

HARUSSANI: Disebabkan kita lihat bahayalah maka kita mengharamkan ajaran Syiah dan pengembangannya di negara kita. Cuma kita tidak pula kata mereka itu kafir kerana mahu menjaga hubungan diplomatik. Pada kita, ajaran Syiah tidak boleh diajar, haram diajar dan dikembangkan. Bagaimanapun perbuatan ini sudah berlaku lama tetapi tidak dikuatkuasakan. Memang di Malaysia selalu begitu undang-undang ada tetapi tidak dilaksanakan. Inilah yang menyebabkan situasi menjadi kacau.

Apa yang berlaku di Syria, Iraq, Yemen dan Lebanon membuktikan ia angkara golongan Syiah. Keadaan itu terjadi kerana mereka mewajibkan darah golongan lain halal dibunuh. Apabila melihat perkara barulah kita beria-ia mahu membanterasnya dan kerajaan ambil berat mahu mengambil tindakan tetapi pengaruhnya sudah cukup besar.

Golongan Syiah selalu dakwa mereka tidak bertentangan dengan ASWJ. Benarkah?

HARUSSANI: Syiah bertentangan dengan ASWJ tetapi usaha mendekatkan Syiah dengan ASWJ sudah dibuat sejak zaman pemerintahan Salahuddin al Ayubi, malangnya Syiah langsung tidak berminat. Mereka hanya bersetuju membiayai pengajian Syiah dan penubuhan fakulti tersebut seperti di Universiti al-Azhar tetapi tidak mahu mengkaji ASWJ. Malah golongan Syiah menghukum golongan ASWJ sebagai kafir sedangkan apa juga perkara berkaitan dengan akidah dan syariah, semuanya kita rujuk al-Quran dan hadis tetapi mereka ambil daripada asas apa? Tetapi mereka tidak mahu bincang bab itu, di sini kita berbeza.

Syiah tidak pakai usul yang lengkap dalam menentukan hukum perundangan. Mereka percaya umpamanya, kita wajib hormati ahli bait (keturunan dan keluarga Rasulullah SAW) dan tuduh ASWJ tidak hormati ahli bait. Pada kita, mereka sudah keterlaluan menghormati sehingga meletakkan ahli bait setaraf tuhan. Itu sudah salah dari segi akidah.

Fahaman mereka terlalu taksub sehingga hendak membunuh golongan ASWJ. Ini perkara yang cukup bahaya sedangkan ASWJ tidak menghukum semua mazhab Syiah kafir. Kita hanya menentang mereka yang bertuhankan ahli bait dan meletakkan imam mereka lebih daripada rasul memandang fahaman itu terkeluar daripada akidah kita.

Kita menghormati ahli bait sehinggakan dalam tahiyat akhir dalam solat, kita membaca Allahumma salli ala Muhammad wa ala alaihi Muhammad. Jadi, macam mana pengikut Syiah boleh mengatakan kita tidak menghormati ahli bait.

Selain itu, puak Syiah juga menganggap 10 sahabat yang Rasulullah SAW jamin masuk syurga sebagai kafir. Mengkafirkan para sahabat adalah sangat berat hukumnya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang antara lain maksudnya: “Sahabatku seperti bintang kalau kamu berpandu secara mana pun kamu akan dapat petunjuk".

Pengikut Syiah juga mendakwa melalui buku-buku yang ditulis ulama mereka bahawa para sahabat setelah Rasulullah SAW wafat membuang dan menambah ayat al-Quran. Bagaimanapun mereka tidak berani berhujah, hanya buat tuduhan sahaja. Mereka mendakwa ada ayat-ayat al-Quran yang dipotong oleh ASWJ.

Dakwaan itu sama sekali tidak betul kerana ketika zaman Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali masih terdapat banyak huffaz. Takkanlah apabila dikumpulkan ayat-ayat al-Quran itu, kalau ada silap tak ada orang bangkang. Dalam zaman Khalifah Uthman, dibuat al-Quran rasmi Uthmani supaya ia mudah dibaca dan kita lihat ulama yang mengkaji al-Quran akui kitab suci itu sudah lengkap.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud: ‘‘Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.’’

Kenapa Syiah begitu berani tonjolkan diri sejak kebelakangan ini?

HARUSSANI: Apabila merasakan jumlah semakin ramai dan kuat, mula mereka mahu menonjolkan diri. Dulu mereka tidak bising-bising, sebaliknya menyebarkan ajaran Syiah secara senyap-senyap. Contoh sambutan 10 Muharam, mereka meraikannya dengan memukul-memukul badan. Ketika ini mereka mendakwa sudah ada 1 juta ahli di Malaysia tetapi pada pandangan saya, ini barangkali satu provokasi saja.

Sebenarnya, semua ini berlaku kerana kelemahan kita juga. Saya bangkitkan soal Islam agama negara dalam Perlembagaan tetapi kita tidak buat silibus wajibkan orang tahu tentang Islam. Pengajian Islam hanya sekunder bukan asasi.

Bagaimana hendak mengawal Syiah daripada meresapi umat Islam?

HARUSSANI: Sekarang kita sudah mula hendak kawal tetapi soalnya sejauh mana penguatkuasaan dilakukan. Perkara ini kalau diserahkan kepada pejabat agama sahaja tidak boleh sebab kekuatan dari segi penguatkuasaan undang-undang tidak kuat. Kalau ada penguatkuasaan kita (jabatan agama) juga mesti diiringi polis. Polis pula kadang-kadang terlampau sibuk jadi minta pejabat agama buat tangkapan, tetapi apabila kena dakwa di mahkamah kita kalah.Sepatutnya setiap undang-undang negara, sama ada Islam atau sivil mesti dilaksanakan oleh kerajaan sebab agama bagi negara adalah Islam. Kerajaan perlu bersungguh-sungguh dan berkewajipan mempertahankan Islam. Memang susah hendak banteras Syiah sebab pengaruhnya sudah merebak tetapi tindakan tegas mesti dibuat. Selagi kita lemah kita tidak boleh membanterasnya.

Bagaimana hendak memulihkan akidah golongan ini?

HARUSSANI: Pertama, kita perlu kaji semula silibus pendidikan. Saya cadang kerajaan mewajibkan pengajian al-Quran. Selain itu, soal utama kata ulama, “awal agama adalah kenal Allah". Jadi kena ajar tauhid kerana daripada situ lahirnya syariat.

Masalahnya, orang Syiah tidak mengaku Syiah. Mereka taqiyah (berpura-pura), itu yang susah sikit. Kalau dia beramal secara terang-terangan maka kita boleh tangkap.

Saya ada pengalaman bertemu dengan rombongan ulama dari Iran, mereka bawa seorang ulama ASWJ. Badannya kurus, baju buruk dan nampak takut sebab ASWJ dibunuh. Tetapi dia dibawa untuk taqiyah kononnya Syiah dan ASWJ sama saja. Namun daripada keadaan orang itu, kita boleh nampak macam takut dan ilmu pun tak berapa ada.

Sebab itulah kerajaan mesti bertindak ke atas mereka yang terang-terang membawa ajaran Syiah. Bagaimanapun, Iran tak buat terang-terangan sebar Syiah. Mereka hebat, sehinggakan ada sekolah khusus yang mengajar bagaimana hendak menangkis hujah ASWJ.

Saya pernah berjumpa seseorang dari Morocco yang belajar di Iran. Dia banyak membaca buku tetapi tidak ada pengetahuan agama. Dia bertemu seorang ulama di Iran di mana dia diberi sambutan mesra dan sentiasa dijamu. Akhirnya dia terpengaruh dan mendakwa menemui Islam sebenar di Iran. Apabila balik ke negaranya, dia karang buku mempromosi Syiah dalam bahasa Inggeris. Untuk pulihkan keadaan, golongan Syiah perlu bertaubat. Mereka harus mengucap dua kalimah syahadah semula dan tinggalkan semua perbuatan semasa anuti Syiah dulu. Masalahnya, kemampuan orang kita untuk menangkis, kita tahu Syiah tetapi tidak tahu apa ajarannya. Mereka pula belajar untuk menangkis ASWJ, oleh itu mereka gunakan hadis.

Lembaga Penapisan Buku Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak boleh haramkan buku-buku begini?

HARUSSANI: KDN haramkan tetapi kadang-kadang kita tidak dapat buku sedemikian sebab mereka bawa masuk buku-buku yang sudah diterjemah. Bila dikaji baru kita tahu ia menyebarkan Syiah. Saya Pengerusi Penapisan Buku di KDN, kadang-kadang hendak haramkan sesuatu buku itu mengambil masa dua ke tiga tahun. Jadi, sebelum buku itu diharamkan di pasaran, jumlah pembacanya kadang-kadang sudah ribuan orang.

Apa bahayanya jika dibiarkan Syiah ini berkembang?

HARUSSANI: Ia akan mewujudkan kekacauan dan pergaduhan. Memang sasaran mereka di sini. Mereka sudah berjaya di Syria dan Iraq. Di Mesir sudah naik pemerintahan Islam tetapi tok-tok imam tidak setuju pula dan lantik orang Kristian jadi menteri. Itu hasutan siapa?

Golongan Syiah cuba menyebarkan ajaran itu di Dubai tetapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih kuat, begitu juga di Arab Saudi. Bagaimanapun mereka takut hendak mengganggu Arab Saudi kerana negara itu benarkan mereka ke Mekah, bagaimanapun di Mekah, mereka tidak solat berjemaah. Pada mereka, solat mesti ada batu. Allah sebut bahawa bumi ini sah untuk kita beribadat walaupun di mana kita berada. Kita pakai sejadah mereka tak guna. Dia pakai batu.

Apa nasihat Tan Sri kepada orang yang sedang mencari ilmu agama?

HARUSSANI: Jangan ambil atau belajar ilmu agama sembarangan daripada orang tak tentu. Sebaliknya belajarlah dengan guru yang bertauliah. Kadang-kadang syaitan kalau nak menyesatkan orang dia datangkan orang yang lebih alim. Iblis tu memang lebih alim. Iblis terbahagi kepada dua jin dan manusia. Sebab itu Nabi Adam pun boleh diperdaya oleh iblis.



Utusan Malaysia Online Rencana 28/07/2013