August 26th, 2013

Madinah kota contoh masyarakat majmuk

Pentadbiran Madinah menjadi contoh terbaik untuk mengembangkan lagi model masyarakat madani dalam realiti kini yang sifatnya pelbagai dan majmuk.

Asas yang sangat penting dikembangkan dalam konteks masyarakat madani ialah wujudnya kepelbagaian, hadirnya kepemimpinan yang dihormati oleh semua pihak, adilnya kepemimpinan yang ada dan rasa selamat warganya. Ciri kosmopolitan adalah antara ciri dominan dalam pembangunan kota raya masa kini. Kota raya menjadi pusat pentadbiran, pusat dagang, pusat komunikasi, pusat interaksi sosial, pusat teknologi dan juga pusat kegiatan seni tinggi dan pusat peradaban.

Di kota raya juga ada berkembangnya pusat ilmu dan pendidikan yang serba moden dan canggih. Ia menjadi lambang utuhnya suatu tamadun sekiranya kualiti manusia terserlah dengan budi tingginya menghargai dan mengamalkan etika mulia dan adab murni dalam kehidupannya.

Daerah operasinya berpusat kepada nilai agama dan nilai murni yang tidak bercanggah dengan fitrah kemanusiaan, bukan kota raya yang penuh dengan kebuasan pekerti jelik insan, kerakusan hawa nafsu yang meratah erti adab dan etika atau rangsangan kebendaan melulu yang menghakis pertimbangan keadilan dan kebenaran hingga meletakkan makna kota raya di luar budaya insani, sebaliknya yang merecup ialah budaya haiwani tepu dengan ragam kenafsian.

Kota beretika tinggi

Konsep lain yang dirujuk untuk memahami tamadun ialah ‘hadarah’ yang titik tolaknya daripada perkataan ‘ha’dara’ merujuk kepada pemastautin kota yang beretika tinggi. Tamadun juga dikaitkan dengan konsep ‘moden’ yang diambil dari perkataan ‘mudun’ yang menggambarkan kemajuan dan perubahan yang berasaskan tata-nilai yang tinggi.

Dalam bahasa Inggeris digunakan konsep ‘civilization’ diambil daripada bahasa Latin ‘civitas’ yang bermaksud bandar atau kota dan berkait rapat dengan konsep peradaban. Ibnu Khaldun merujuk konsep ‘umran’ yang membayangkan suasana kemakmuran yang bukan saja memperlihatkan kemajuan penempatan dan kemudahan yang teratur saja tetapi mengaitkannya dengan pencapaian tatasusila dan moral yang tinggi.

Ramai yang bertanya apakah resam tamadun boleh berubah. Apakah bila tamadun dihayati ia harus terpisah dengan faktor sezaman dan cabaran lingkungan. Resam tamadun sifatnya dinamik. Tamadun Madani umpamanya terdapat asas kukuh yang perlu dikembangkan supaya ia didapati releven dengan zaman. Contohnya membangunkan masjid adalah suatu titik-tolak yang amat bermakna dalam membangunkan masyarakat dan dakwah Islam. Fungsi masjid di zaman Rasulullah SAW bukan saja menumpu melahirkan para abid atau ahli ibadah yang taat dalam masa yang sama masjid menjadi pusat kemasyarakatan yang pelbagai.

Masjid menjadi tempat dihimpunkan hati-hati dan membangun jiwa rukuk dan sujud supaya tertampil jalinan wahdah atau kesatuan yang tinggi sebagai asas jemaah. Yang amat penting sekali bagaimana roh masjid atau jiwa masjid di bawa keluar masjid dan membentuk jemaah dalam hubungan sosial, jemaah dan tijarah, jemaah dalam berjiran sehingga tercermin ukhuwah yang tinggi.

Sebab itu kota Madinah dibangunkan oleh Rasulullah SAW dengan prinsip saling menghormati antara suatu kelompok dengan yang lain dan kalau berlaku perbezaan ia dihormati atas asas laqum deenukum waliya deen. Asas Qurani ini memberi asas toleransi tinggi supaya isu aqidah tetap menjadi pegangan yang jelas bagi umat Islam.

Piagam Madinah

Sahifah Madinah (Piagam Madinah) sebagai contoh adalah suatu piagam yang unik bagi umat manusia. Maksud piagam ini membina asas kerjasama antara kelompok yang sifatnya majmuk. Di sini asas ‘litaarrafu’ (al hujurat: 13) atau kekenalan cuba dijadikan pedoman menyantuni perbezaan.

Hal yang sama boleh menjadi pedoman terhadap kemajmukan pada masa kini. Perbezaan boleh terjadi bersebabkan agama, budaya, bahasa, kelainan tamadun dan cara hidup, namun sudah pasti nilai interaktif yang sifatnya sejagat dan murni boleh menjadi asas kerjasama dan membina persefahaman.

Membangkitkan perbezaan akan akhirnya membawa konflik. Konflik adalah jalan kehancuran bagi sesuatu bangsa atau tamadun. Justeru sikap saling memahami dan mengerti perlu ada supaya rasa tolak ansur yang tinggi terbangun bukannya fahaman rasis yang boleh membawa kepada pertembungan tajam dan sempit. Ia akan mengakibatkan hilangnya kebijaksanaan sedangkan persefahaman antara tamadun membawa sebuah masyarakat yang memiliki kesalingan tinggi dan mencetuskan persefahaman baik sesama manusia.

Sidek Baba ialah Profesor Pendidikan di UIAM Berita Harian Online Rencana 24/08/2013

Politik sosialis ditolak rakyat Malaysia

Punca utama Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak Syed Husin Ali sebagai calon kerusi Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum, 10 tahun lalu ialah kerana Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berfahaman sosialis. Walaupun pencalonan Syed Husin dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan ketika itu tetap menolak kerana menganggap sosialis ‘adik komunis’.

Padanya, orang berideologi sosialis ‘tidak ada agama’. Apabila keputusan PRU-10 diumumkan, PAS mengalami keputusan paling buruk sejak memerintah Kelantan pada 1990. Kerajaan PAS hampir tumbang. Menurut Syed Husin, ketika melawat Nik Aziz yang terpaksa masuk hospital selepas keputusan pilihan raya 2004, Mursyidul Am PAS itu menunjukkan reaksi beliau menyesal dengan keputusan tidak membenarkannya bertanding.

Nik Aziz bukan satu-satunya pemimpin pembangkang yang tidak percayakan calon sosialis. Beberapa pemimpin lain menolak kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam PRU-13 lalu. Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, PAS meletakkan calon walaupun Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim bertanding di situ. Akibatnya, kedua-dua mereka kalah dan kerusi itu dimenangi calon Barisan Nasional (BN). PSM gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU-13 kerana semua calonnya kalah dalam pertandingan tiga atau empat penjuru.

Sehingga hari ini, pakatan pembangkang tidak mampu membuat keputusan sama ada untuk menerima permohonan PSM menjadi anggotanya. Anwar berkata PSM boleh menjadi parti sekutu jika ia menerima dasar bersama pakatan pembangkang tapi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menolak.

Kontradiksi pemimpin pembangkang

Pengerusi DAP, Karpal Singh menganggap PSM layak menjadi anggota pakatan pembangkang kerana pernah memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput pada PRU-12 dan bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14 nanti. Pemimpin PAS, Khalid Samad pula berkata jika begitu, PSM bolehlah menggunakan logo DAP dalam pilihan raya akan datang tapi tidak sebagai anggota pakatan pembangkang.

Kontradiksi antara pemimpin pakatan pembangkang menjadikan PSM tawar hati. Dr Mohd Nasir masih marah kerana kekalahannya berpunca daripada perbuatan ‘tikam belakang’ rakan pembangkang.
“Kita hadapi banyak masalah ketika pilihan raya. Keadaan kacau-bilau. Walaupun kita lawan musuh yang sama, rakan sendiri yang khianat. Kita akan kaji hubungan kita dengan pakatan pembangkang. Kita sedaya upaya mahu bekerjasama tapi pakatan rakyat anggap kita lemah dan memperlekeh kesetiakawanan kita.

“Kita akui mengalami kesukaran kerana bilangan ahli parti belum ramai dan parti pun belum kuat untuk menggugat sesiapa. Sebab itulah kita sanggup kompromi dengan rakan pakatan untuk bantu tawan Putrajaya.

Malangnya, mereka terjemah keikhlasan kita sebagai satu kelemahan. Pakatan salahkan PSM apabila ada calonnya kalah. Mereka tuduh parti sosialis enggan membantu. Tapi mereka tidak pula ungkit kerja mereka mensabotaj PSM menjelang PRU-13 lalu,” katanya.

Kekecewaan PSM amat jelas dan mendalam kesannya. Selain gagal menjatuhkan UMNO dan Kerajaan BN, ia menganggap pakatan pembangkang tidak boleh diharap untuk mengubah keadaan kerana ia juga sebahagian daripada sistem yang merosakkan masyarakat.

Di persimpangan politik

PAS dan PKR, misalnya, tidak layak bercakap soal pentadbiran yang baik, kronisme, nepotisme dan penyelewengan kuasa kerana itu jugalah yang dilakukan pemimpin PAS dan PKR. DAP tiada hak moral bercakap mengenai demokrasi dan kepelbagaian kerana ia juga mengamal politik perkauman. Dalam isu kepentingan Cina dan untuk menghentam UMNO, ia menggunakan media Cina dan mengharapkan sokongan masyarakat Cina. PSM kesal dengan kegagalan kerajaan negeri pakatan pembangkang menjaga kebajikan rakyat, terutama soal pemberian hak kepada petani, perumahan dan kebajikan pekerja estet, dan mereka yang hilang pekerjaan. Banyak janji pakatan pembangkang kepada rakyat tidak ditunai. PSM juga kecewa kerana pakatan pembangkang bersikap prokapitalis, propemilikan harta oleh korporat dan swasta, serta tidak menghentikan program pelancongan kesihatan yang meluaskan pasaran perubatan swasta dan menjejaskan kecekapan hospital awam.

Menurut pengasas PSM, Dr Jeyakumar Devaraj, bekas doktor di Hospital Pulau Pinang, PSM kini di persimpangan politik. “Adakah kita teruskan hubungan baik dengan pakatan walaupun mereka tetap melaksanakan dasar neo-liberal? Kita boleh beri mereka ruang tetapi kita akan terus kritik pakatan jika mereka serang rakyat biasa.” Katanya, kepemimpinan PSM mengkaji kemungkinan tidak lagi mengambil bahagian dalam pilihan raya kerana tidak mahu terlalu terdedah dengan politik ‘bourgeoise’ atau politik wang sehingga mengkompromikan pendirian antikapitalis mereka.

Walaupun aktivis politik, Lim Kean Chye menganggap PSM diketuai ‘sebilangan pemimpin komited dan berpotensi menjadi gerakan yang besar’, hakikatnya parti ini menghadapi masa depan yang malap dalam politik Malaysia. Ia cuba mengambil modal daripada kegagalan globalisasi dan kapitalisme di Barat untuk membuktikan keburukan sistem itu, namun ini tidak boleh dijadikan kayu ukur di Malaysia.


Juhaidi Yean Abdullah Berita Harian Online Rencana 24/08/2013

Fahami ekonomi untuk selamat

Masa Kunta Kinte budak-budak dulu, orang tak sebut ekonomi. Banyak tak tahu apa ekonomi. Mereka kata cari makan. Betul. Memang kegiatan ekonomi tujuannya untuk cari makan.

Masa itu, boleh kata semua orang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pemikir dan cendekiawan ulung kita, Profesor Ungku Aziz, kemudian cipta ‘sarung index’ atau angka tunjuk sarung, iaitu ukuran kemiskinan penduduk luar bandar.

Memang benar. Masa itu susah senang seseorang boleh diukur dengan berapa helai kain sarung yang dia ada. Ada yang merantau cari makan sehelai sepinggang. Atau hanya ada baju di belakang.

Alhamdulillah selepas merdeka dengan adanya Pembangunan Luar Bandar yang Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pelopori pada 1960-an dan diikuti oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970, ekonomi luar bandar dan ekonomi orang Melayu serta Bumiputera jadi lebih baik.


Ramai Melayu tak faham

Hari ini, semua orang cakap pasal ekonomi. Cuma ada yang faham dan ada yang tak faham. Banyak orang Melayu masih tak faham ekonomi. Ada yang tak faham pasal malas nak belajar dan ada yang tak faham sebab sangka ilmu ekonomi susah nak dipelajari.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, Kunta Kinte susah hati sikit dengan keadaan ekonomi kita sekarang. Bukan Kunta Kinte nak takut-takutkan atau nak salahkan sesiapa, tapi tanda-tanda masalah dah ada.

Mula-mula sekali imbangan antara apa yang kerajaan kutip sebagai hasil dengan apa kerajaan belanja tambah luas. Kerajaan belanja lebih daripada apa yang kerajaan pungut.

Boleh jadi banyak orang tak tahu, iaitu hasil yang kerajaan pungut setiap tahun hanya cukup untuk bayar gaji, bayar hutang dan selenggara negara saja. Boleh kata setiap sen yang kerajaan belanja untuk bangunkan negara, macam buat jalan dan bina sekolah, adalah duit hutang.


Wajib jimat cermat

Sekarang banyak ahli ekonomi bimbang berkenaan jurang antara hasil dengan perbelanjaan yang makin luas dan hutang negara yang tambah besar. Kunta Kinte rasa kita wajib laksanakan jimat cermat dan berbelanja ikut kemampuan.

Kita boleh terus berhutang, tapi yang akan tanggung beban anak cucu kita bila sampai masa bayar balik. Macam mana kita nak kata kita nak jamin masa depan anak cucu kita kalau kita bebankan mereka dengan hutang?

Dulu masa Tun Daim Zainuddin jadi Menteri Kewangan dia potong gaji menteri dan gaji pegawai kanan kerajaan. Banyaklah yang marah, kata dia kedekut.

Dia bayar balik hutang kerajaan lebih awal guna duit rizab. Dua kali dia jadi Menteri Kewangan, dua kali dia laksanakan rancangan jimat cermat. Dua kali dia bantu Tun Dr Mahathir Mohamad selamatkan negara daripada kemelesetan ekonomi. Tapi berapa orang kenang jasa dia dan guna otak dia yang bergeliga? Yang kutuk banyaklah!


Ekonomi dunia tak menentu

Sekarang ekonomi dunia tak tentu arah. Sangat menakutkan. Amerika baru nak merangkak keluar daripada kemelesetan. Eropah sedang dalam kemelesetan. Jepun baru naik sikit selepas lebih 10 tahun deflasi. Pertumbuhan ekonomi China mula menurun dan ekonomi Negeri Thai dah masuk kategori meleset.

Nilai rupiah Indonesia dah jatuh ke paras paling rendah dalam masa empat tahun dan harga sahamnya meleset ke tahap paling rendah dalam masa 22 bulan. Orang yang tahu memang susah hati dan takut. Nampak bayang-bayang macam sebelum krisis kewangan Asia 1997/98. Minta dijauhkan Allah Taala.

Selain defisit belanjawan dan hutang negara yang makin besar, petunjuk-petunjuk jangka pendek dan sederhana lain pun membimbangkan. Pertumbuhan ekonomi bawah lima peratus, nilai ringgit jatuh berbanding kebanyakan mata wang utama dunia dan pasaran saham terumbang ambing.

Walaupun permintaan dalam negara masih bertahan, permintaan luar negara lemah. Nilai ringgit jatuh, tapi eksport kita taklah pula bertambah dengan banyak sebab ekonomi dunia dalam kemelesetan. Import murah, tapi kalau kita import terlalu banyak, imbangan perdagangan kita pula akan merosot. Itu pun tak baik juga.


Minta nasihat, tunjuk ajar


Jadi banyaklah petanda dan hal yang kita kena perhati, kena fahami dan kena tangani. Kunta Kinte tak kata Kunta Kinte pandai, tapi Kunta Kinte dah tengok naik turun ekonomi negara kita sejak 1972 bila Kunta Kinte mula buat laporan ekonomi untuk BERNAMA.

Kalau Kunta Kinte boleh nasihat kerajaan, Kunta Kinte kata, mintalah nasihat dan ikutlah tunjuk ajar orang yang tahu walaupun mereka dah pencen. Orang macam Tun Dr Mahathir dan Tun Daim ada lagi. Mintalah nasihat mereka. Nak malu apa?

Berhati-hatilah urus kewangan negara dan jangan boros duit negara. Jangan lantik dan bagi bonus sekadar nak jadi popular. Kepada rakyat jelata, nasihat Kunta Kinte, jangan abaikan ekonomi. Baca dan ambil tahu. Pening sikit tak apa. Jangan asyik nak gembira tapi akhir menderita.

Berbelanjalah dengan berhemah. Jangan berhutang semata-mata kerana bank dan along sedia bagi. Kalau berhutang jangan liat bayar. Mati dalam hutang buruk bagi orang Islam. Wallahualam.

E-mel ke bhrencana@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda Kunta Kinte Berita Harian Online Rencana 24/08/2013

Dunia Islam perlu model kepemimpinan baru

Konflik politik yang terjadi di beberapa negara Islam sejak kebelakangan ini menyerlahkan secara langsung realiti kelemahan sistem kepemimpinan dunia Islam semasa. Aspek kepemimpinan ini memang telah disedari dari awal oleh sarjana dan pemikir Muslim sebagai satu bidang yang mesti diberi keutamaan yang tinggi untuk ditangani.

Misalnya, penelitian terhadap pemikiran Jamaluddin al-Afghani, sarjana Muslim pada sekitar abad ke-19, berhubung gagasan ‘pan Islamisme’, menemukan kita mengenai kepentingan idea kesatuan dunia Islam berada di bawah satu payung kepemimpinan dipertahankan dan diperkasakan. Cabaran dunia Islam pada waktu itu berhadapan dengan pencerobohan penjajah di tanah air mereka, pada pandangan Jamaluddin, menuntut sistem kepemimpinan berasaskan khalifah diperkukuhkan. Pan Islamisme menyeru seluruh dunia Islam bersatu di bawah satu sistem kepemimpinan bagi mendepani cabaran kepenjajahan berat dan mencengkam serta bergabung menjayakan cita-cita kemerdekaan dunia Islam.

Pelbagai halangan ideologi

Kejatuhan khalifah Uthmaniyah selepas itu menjadikan idea kesatuan kepemimpinan dunia Islam terbantut. Ia dilihat bertambah rumit selepas dunia Islam yang terbangun dalam kerangka dan sistem negara-bangsa selepas era penjajahan. Penubuhan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) kemudiannya telah memberikan sebuah harapan dan keyakinan baru terhadap cita-cita mewujudkan sebuah kesatuan kepemimpinan dunia Islam. Namun, dengan pelbagai halangan ideologi dan kepentingan, harapan tinggi terhadap pertubuhan ini nampaknya masih tinggal harapan. Dalam banyak keadaan yang menuntut kepemimpinan yang tegas dan ke hadapan terutama bagi menangani krisis ekonomi dan politik di negara Islam tertentu, peranan dan keberkesanan OIC sering mengecewakan dan dilihat tidak bermaya dan terkebelakang.

Kewibawaan organisasi Islam ini sebagai wadah kesatuan kepemimpinan dunia Islam kini berdepan krisis keyakinan. Keupayaannya berada dalam persoalan sekiranya diteliti sikap dan tindakannya dalam memberikan jalan keluar dan penyelesaian terhadap pelbagai konflik, misalnya krisis yang berlaku di Syria dan Mesir akhir-akhir ini. Konflik yang meragut ribuan nyawa itu seperti terbiar sedang ia membabitkan kepentingan dunia Islam yang menyeluruh. Ketidakupayaan kepemimpinan dunia Islam amat terserlah dan ia seperti dalam keadaan kekosongan. Kekosongan kepemimpinan ini suatu musibah yang sungguh memeritkan kerana umat Islam seperti ketiadaan benteng bagi menangkis keadaan korban nyawa dan harta benda yang semakin melarat serta kehilangan petunjuk dan mengundang keliru berterusan bagi mendepani krisis kemanusiaan yang dialami di sekeliling peradaban mereka.

Hakikat yang harus diakui terlebih dulu ialah kenyataan iaitu kemelut dan kelemahan sistem kepemimpinan dunia Islam ini adalah antara kesan yang diwarisi akibat kelemahan dan kemunduran peradabannya sejak beberapa abad yang lalu. Penyelesaian permasalahan ini tentu tidak mungkin dapat diatasi dalam tempoh singkat.

Cari jalan penyelesaian

Tekad dan keazaman ikhlas bagi mencari penyelesaian kemelut ini tentu menemukan kita penyelesaian di penghujungnya nanti. Untuk itu, pengkaji dan sarjana Muslim semasa harus mula menjadikan cabaran kelemahan kepemimpinan dunia Islam ini sebagai satu bidang penelitian dan penyelidikan serius pada masa kini. Idea dan saranan bagi membentuk sebuah model kesatuan kepemimpinan dunia Islam yang berkesan dan praktikal dalam konteks geopolitik dunia semasa harus digiatkan dalam pelbagai ruang wacana.

Memandangkan aspek ini menuntut cabaran ilmiah dan kehendak politik yang tinggi, pada peringkat ini, ia harus dipelopori oleh sarjana yang matang dan ahli politik yang berwawasan. Kerumitan penyelesaiannya tidak mungkin dapat dikemukakan sekiranya ia ditangani secara tidak berhemah dan bersifat emosional.

Cita-cita bagi membangunkan model baru kesatuan kepemimpinan dunia Islam yang kuat dan berkesan juga harus diyakini bukan suatu yang mustahil. Lihat saja pengalaman negara Eropah dalam membina kesatuan kepemimpinan mereka. Sejarah pertembungan antara masyarakat Eropah pada abad-abad terdahulu sekiranya ditinjau dalam keadaan yang parah juga.

Namun, peredaran kematangan masyarakat dan kepemimpinan politik mereka memungkinkan kelahiran sebuah Kesatuan Eropah (EU) yang kuat dan berkesan pada hari. EU pada kini sedang membentuk sebagai sebuah kuasa besar, pengimbang berpengaruh dalam konteks geopolitik dunia semasa.

Dalam konteks dunia Islam, model EU boleh menjadi teladan dan tentunya dengan pengubahsuaian sejajar dengan realiti sekeliling yang dihadapi. Permulaan bagi usaha ini ialah keperluan pembentukan kumpulan negara Islam yang stabil dan kuat sebagai penaja dan penggeraknya. Untuk itu, Kumpulan D-8 iaitu perkumpulan beberapa negara Islam terpilih termasuk Malaysia wajar diaktifkan semula dan diupayakan peranan sebagai penaja bagi pembinaan model baru kesatuan kepemimpinan dunia Islam.


Dr Muhamad Razak Idris ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM. Berita Harian Online Rencana 25/08/2013

Prinsip pemikiran Syiah, Yahudi ada persamaan

Kita masih membincangkan ajaran Syiah. Meninjau sumber bagi prinsip tasyayyu dalam Syiah, timbul perbezaan pendapat mengenainya. Ada mengatakan ia berasal daripada ajaran Yahudi, Parsi dan prinsip akidah kawasan Asia klasik seperti Buddha.

Pendapat Syiah daripada Yahudi

Ibnu Saba adalah orang yang pertama menyatakan asal- usul fahaman tasyayyu adalah berdalilkan nas, wasiat dan raj’ah.

Beliau seorang Yahudi. Pendapat ini menjadi prinsip kepada ajaran mazhab Syiah. Tokoh Syiah terdahulu seperti al-Kummi, al-Naubakhti dan al-Kasyi merujuk kepada prinsip ini ketika membentangkan pendapat Ibnu Saba yang kemudian menjadi antara sumber prinsip Syiah.


Terdapat persamaan daripada aspek prinsip pemikiran antara ajaran Yahudi dan Syiah. Huraian paling jelas mengenai perkara ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Sya’abi.


Ibnu Hazm berkata: “Golongan Syiah berjalan di atas landasan ajaran Yahudi yang menegaskan bahawa Nabi Ilyas AS dan Fanhas Ibnu al-A’zar Ibnu Harun AS, hidup hingga sekarang.”

Ibnu Taimiyah menyebut, antara perkara yang jahil dan pegangan mengikut hawa nafsu yang terdapat dalam ajaran Syiah adalah persamaan di antara mereka dengan orang Nasrani dalam satu segi dan persamaan di antara mereka dengan orang Yahudi dari segi lain.

Beliau turut memetik apa yang diriwayatkan al-Sya’abi mengenai persamaan mereka dengan orang Yahudi dan Nasrani.

Pengkaji lain juga bersependapat demikian, antaranya Prof Ahmad Amin yang mengatakan, fahaman tasyayyu terdapat dalam ajaran Yahudi pada prinsip al-Raj’ah.

Golongan Syiah berkata: “Sesungguhnya neraka adalah haram ke atas puak Syiah kecuali sedikit daripada mereka”, sebagaimana ajaran Yahudi mengatakan, “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari tertentu...”

Konsep tasyayyu juga terdapat di dalam sebahagian ajaran Nasrani yang menyatakan kaitan al-Imam dengan Allah ialah seperti perkaitan al-Masih dengan Allah.


Pendapat sumber ajaran dari Parsi

Sesetengah pengkaji memperakui sumber prinsip tasyayyu mempunyai kaitan dengan ajaran Parsi berdasarkan beberapa faktor:

• Ibnu Hazm dan al-Maqrizi menyebut bahawa golongan Parsi mempunyai kerajaan dan kuasa yang luas serta berpengaruh terhadap bangsa lain dan mereka mempunyai perasaan bangga diri sehingga mereka menamakan diri mereka bangsa merdeka dan golongan pemimpin.

Mereka menganggap golongan lain adalah hamba bagi mereka. Apabila mereka diduga dengan kejatuhan kerajaan mereka di tangan bangsa Arab yang mereka anggap satu bangsa yang mundur dan lemah, ini malapetaka besar bagi mereka.

Mereka mula melakar rancangan terhadap Islam dengan melancarkan serangan dari semasa ke semasa, tetapi pada setiap kali serangan itu Allah menzahirkan pihak kebenaran. Kemudian mereka menyedari bahawa tipu daya dan rancangan muslihat akan lebih berjaya.

Oleh itu sesetengah mereka menzahirkan Islam mereka dan mengambil hati ahli tasyayyu dengan melahirkan cinta mereka terhadap ahlu al-bait dan melahirkan kebencian mereka terhadap kezaliman yang menimpa Saidina Ali.

Sebahagian anasir Parsi berselindung di sebalik penganut Syiah untuk memerangi kerajaan Umawiyah sedangkan hakikat sebenar di dalam diri mereka ialah kebencian kepada Arab dan pemerintahan mereka.


• Orang Arab berpegang kepada kebebasan, manakala orang Parsi berpegang kepada kekuasaan diwarisi dalam sesebuah keluarga.

Mereka tidak mengenali makna pemilihan bagi khalifah. Rasulullah SAW wafat tanpa meninggalkan anak lelaki. Ahli keluarga yang paling hampir kepada Rasulullah SAW selepas baginda adalah Saidina Ali bin Abi Talib.

Dengan ini sesiapa mengambil alih tugas khalifah seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman, mereka dianggap merampas khalifah daripada orang yang berhak.

Orang Parsi juga biasa melihat raja mereka dengan pandangan ‘suci’. Dengan pandangan ini, mereka melihat Saidina Ali dan keturunannya.

Ramai orang Parsi memeluk Islam tanpa membersihkan pegangan mereka warisi daripada nenek moyang mereka dari segi iktikad.

Dari semasa ke semasa mereka mula mewarnakan Islam dengan corak warisan pemikiran mereka.

Syeikh Muhammad Abu Zuhrah berkata: “Kami percaya bahawa Syiah terpengaruh dengan pemikiran Parsi lampau mengenai kerajaan dan pewarisan.

Persamaan di antara fahaman Syiah dan sistem raja Parsi adalah jelas. Penyokong pendirian ini ialah kebanyakan golongan Syiah terdiri daripada penduduk Parsi dan pengikut Syiah yang paling awal adalah dari Parsi.”


• Ketika umat Islam membuka Parsi, al-Husain bin Ali mengahwini seorang puteri Yazdajrad, yang datang bersama tawanan perang lain.

Daripada perkahwinan ini lahir Ali bin al-Husain. Orang Parsi melihat keturunan al-Husain inilah yang layak mewarisi kerajaan Parsi.

Mereka juga melihat bahawa darah yang mengalir dalam darah Ali bin al-Husain dan keturunannya adalah darah Iran (Parsi) dari sebelah bondanya, anak kepada Yazdajrad. Baginda adalah daripada keturunan salasilah raja Saasaan yang suci pada mereka. - Bersambung minggu depan


Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri myMetro Kolumnis 19/08/2013

Cemerlang anak-anak, indeks kejayaan ibu bapa?

SEJAUH mana kebenaran kata-kata ini? Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menjelma tak berapa hari lagi, pada ketika inibukan saja anak-anak yang kelam kabut bahkan ibu bapa turut gelisah. Siang malam menjadi acara anak-anak ini keluar masuk tempat tuisyen.

Adakah kerana kejayaan dalam peperiksaan penting ini menjadi indeks kejayaan ibu bapa? Adakah jumlah A dalam peperiksaan anak-anak menjadi indeks pengukur kejayaan ibu bapa? Betulkah jika anak berjaya mendapat 5A dalam UPSR menjamin kejayaan dalam SPM?

Semua persoalan ini mungkin boleh dijawab oleh semua ibu bapa tetapi tahap keyakinan ibu bapa masih diragui.

Ibu bapa anak-anak zaman generasi Y sekarang ini terlalu memikirkan kecemerlangan dalam peperiksaan penting sebagai acuan kejayaan anak-anak mereka.

Mereka berlumba-lumba mencari tempat tuisyen yang baik untuk anak-anak mereka bagi memastikan anak-anak berjaya. Justeru, beribu ringgit wang dihabiskan.

Mereka sanggup menghantar dan mengambil anak dari tempat tuisyen asalkan anak mereka 'bertuisyen'. Masa anak-anak ini jika tidak dihabiskan di tempat tuisyen mereka akan bersama-sama dengan gajet masing-masing. Kehidupan mereka lebih bersifat komersial.

Siapakah yang harus disalahkan? Adakah dunia pendidikan kita terlalu menekan kepada kejayaan akademik semata-mata?

Ini sedikit sebanyak menyebabkan masa untuk anak-anak menghayati zaman kanak-kanak mereka sudah tidak wujud sepertimana zaman ibu bapa mereka dahulu. Tiada lagi main lompat tali, main lempar bola kaki tiga, mengayuh basikal sekeliling kampung dan sebagainya.

Tempoh 24 jam seperti tidak cukup untuk anak-anak dan juga untuk ibu bapa. Arah haluan seperti tidak bertujuan, kemudi dilayari masa mengejari. Pepatah 'masa itu emas' seperti tidak lagi boleh dipakai kerana nilai emas sekarang seperti infiniti kayu pengukurnya.

Ini adalah kerana kebenaran nya diragui. Sejauhmana kebenaran bahawa jika anak-anak berjaya dalam peperiksaan penting ini mencerminkan kejayaan ibu bapa? Di mana pula kebenaran bahawa cemerlang anak-anak bukan sahaja melalui kejayaan intelek mereka tetapi juga melalui ukuran sahsiah dan keperibadian mereka?

Ibu bapa akan membandingkan kejayaan anak-anak mereka dengan anak-anak kawan-kawan mereka. Seolah-olah anak-anak yang tidak berjaya dari sudut intelek bukan satu anugerah kepada mereka. Bahkan mereka cuba untuk menutup rasa aib mereka dengan cuba mengalih perhatian kepada hal-hal lain. Anak-anak yang kurang bernasib baik ini seperti 'melukut di tepi gantang'.

Padahal sejarah telah membuktikan manusia yang berjaya bukan hanya melalui akademik semata.

Rasulullah SAW sendiri seorang yang buta huruf tetapi berjaya mengembangkan Islam hingga ke hari kiamat. Mungkin mereka boleh menjadi seperti Thomas Edison, seorang yang pekak yang telah menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia sejagat iaitu ciptaan mentol lampu. Begitu juga, tidak mustahil mereka akan menjadi seperti Abraham Lincoln yang kurang cerdik sewaktu kecil akhirnya menjadi menteri.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlu memainkan peranan dalam menyeimbangkan antara ilmu dunia dan akhirat. Setiap ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk setiap anak-anak.

Walaupun, kejayaan di dalam peperiksaan penting ini, tetapi bukan pengukur segala-galanya.

UPSR, PMR dan SPM bukan penentu segala kebahagiaan di masa depan. Keseimbangan amat perlu. Lahiriah dan batiniah. Keunikan mereka tidak sama antara setiap individu. Tiada satu kecemerlangan dalam hidup yang boleh dibandingkan dengan kecemerlangan insaniah.

Berilah ruang untuk anak-anak dan kita sendiri bernafas. Hargailah anak-anak kerana mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dalam kehidupan kita.



CHE ZURIANA MUHAMMAD JAMIL adalah seorang Pensyarah Kanan di pusat pengajian perakaunan, UUM. Utusan Malaysia Rencana Online 26/08/2013

Perisikan dahulu dan kini

DALAM sejarah peradaban dunia, mana-mana negara yang mahu menjadi jaguh serta menguasai dunia sudah tentu memerlukan jumlah ketenteraan yang besar selain keupayaan risikan yang hebat.

Hebat bukanlah dalam erti kata dilengkapi gajet canggih dan terkini walaupun ia membantu tetapi dari segi perancangan, ketelitian mahupun pujuk rayu.

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua yang menandakan bermulanya penguasaan Amerika Syarikat (AS), negara itu serta sekutunya telah mendahului dalam selok belok perisikan.

Namun pendedahan seorang bekas juruteknik NSA, Edward Snowden mendedahkan bagaimana teknologi menghubungkan manusia seperti Facebook dan e-mel turut sama digunakan untuk tujuan perisikan.

Pancawarna minggu ini melihat pendedahan Snowden ini yang menurut beliau dilakukan kerana ia adalah sesuatu yang salah untuk menceroboh hal peribadi seseorang untuk kepentingan diri selain melihat beberapa gajet yang pernah popular sebagai alat perisikan.

PENDEDAHAN mengenai kisah pengintipan melalui Internet oleh bekas juruteknik komputer Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) AS, Edward Snowden telah menggemparkan dunia.

Ini kerana kebanyakan kita yang begitu teruja dengan kewujudan laman serta media sosial seperti Facebook, Twitter, e-mel dan sebagainya, tanpa disedari terdedah kepada perisikan oleh pihak AS.

Snowden didakwa membocorkan rahsia negara selepas beliau membuat pendedahan bagaimana NSA membina sistem komputer yang dapat mengintip sesiapa sahaja yang menggunakan Internet, Facebook, e-mel dan pelbagai lagi.

Akibatnya Snowden terpaksa melarikan diri dari kediamannya di Hawaii ke Hong Kong dan kini dikatakan berada di Rusia dan membuat pengakuan terbuka menerusi temuramah dengan akhbar The Guardian mengenai pengintipan terlarang tersebut.

Kerajaan AS telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya dan kini secara rasmi dikehendaki oleh kerajaan negara itu kerana membocorkan rahsia pengintipan mengakibatkannya menjadi pelarian paling popular.

Menjadikan isu ini lebih besar adalah bagaimana pemilik Google, Facebook dan Microsoft menjalin kerjasama sulit dengan NSA untuk membolehkan semua akaun media sosial pengguna di seluruh dunia diintip.

Pendedahan ini sudah tentu memberikan kesan besar kepada ketiga-tiga syarikat terbesar dunia itu sekali gus menjejaskan kepercayaan orang ramai dalam melindungi rahsia pemilik akaunnya.

AS sememangnya dikenali dengan kecekapan melakukan intipan yang diperlukan untuk menjamin kedudukan mereka sebagai ‘polis dunia’ selain mengekalkan dominasi sebagai negara paling berpengaruh dalam bidang politik selain pengawalan ekonomi serta menyebarluas pengaruh sosial mereka untuk dijadikan ikutan masyarakat dunia.

Kita boleh lihat bagaimana AS yang menjadi begitu berpengaruh selepas meraih kemenangan bergaya pada Perang Dunia Kedua menggunakan segala medium untuk melakukan risikan terhadap musuh sebenar mahupun musuh yang dicipta mereka.

Bermula dengan Perang Dingin dan kemudian berlarutan ke Perang Korea serta Vietnam, perisikan dan hasutan adalah dua elemen utama dalam menguatkan pengaruh mereka.

AS semakin menggila dalam melakukan pengintipan demi mempertahankan kuasa dan pengaruh mereka sebagai kuasa dunia yang tidak boleh dikalahkan dengan mencampuri urusan dalaman hampir semua negara di dunia. Sudah tentu untuk melakukan kegiatan ini unit perisikan mereka perlu dilengkapkan dengan gajet dan perisik terbaik.

Dan selama itu jugalah bagaimana teknik perisikan dan modus operandi mereka menjadi kerahsiaan penting.

Ini kerana jika terdedah sudah tentu kisah mengenai presiden sebuah negara dibunuh atau digulingkan atau kerjasama dengan ‘si kitol’ yang sanggup menggadaikan negaranya untuk kepentingan diri serta bagaimana pelbagai alasan dan fitnah disebarkan hanya untuk memastikan negara lain dijajah tanpa disedari akan menjadi berita yang begitu menggemparkan.

Namun kelicikan AS inilah melalui mainan kata-kata selain pengaruh perisikan meluas dan canggih telah membolehkan mereka menguasai dunia seperti yang kita lihat hari ini.

Berbalik kepada kisah Snowden, kisah mengenai perisikan AS bukan perkara baharu. Namun yang menjadi persoalan adalah cara mereka mengorek rahsia sehingga sanggup menjadikan medium yang lebih bersifat peribadi seperti Facebook dan e-mel untuk memenuhi kepentingan mereka.

Menceroboh

Segalanya bermula apabila Presiden AS, Barack Obama secara rahsia melalui dasar luarnya membenarkan pengintipan ke atas pemilik akaun media sosial, telefon dan e-mel.

Tindakan ini sememangnya dikecam hebat dan dianggap menceroboh ruang peribadi individu. Apatah lagi pengintipan itu bukan sahaja kepada warga AS malah terhadap sesiapa sahaja di negara lain yang disyaki menggugat keselamatan AS.

Modus operandi pengintipan adalah merakamkan data interaksi secara sulit oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan NSA. Tujuannya sebagai langkah awal mengekang dan mengenalpasti pengganas yang mengancam AS.

Usaha ini dilihat sebagai pelan pre-emtif pasca serangan 11 September 2001 yang memusnahkan mercu tanda kebanggaan AS, Pusat Dagangan Dunia di New York.

Bagaimanapun program pengintipan itu berjaya dirahsiakan daripada pengetahuan umum sehinggalah didedahkan oleh Snowden.

Tindakan mengintip yang disifatkan sebagai menceroboh ruang peribadi tanpa waran yang sah memberikan tamparan hebat terhadap rejim Obama.

Pada masa yang sama dunia mempersoalkan tindakan AS yang dilabelkan sebagai "polis dunia" kerana menceroboh ruang peribadi warga negara lain yang dilindungi oleh undang-undang negara masing-masing.

Keadaan ini sudah tentu mendedahkan sesiapa sahaja di dunia termasuk kita serta ahli keluarga sebagai mangsa intipan menerusi akaun media sosial, e-mel atau perbualan di telefon. Ini sekali gus menjadikan sebarang interaksi menerusi maya sudah tidak selamat kerana boleh diceroboh oleh pengintip AS.

Lebih malang lagi bagaimana pula dengan nasib agensi keselamatan mana-mana negara termasuk Malaysia sendiri khususnya Polis Diraja Malaysia yang terdedah kepada kebocoran maklumat.

Adalah malang bagi dunia yang dikatakan semakin bebas tanpa sempadan kini terdedah kepada pencerobohan yang direstui hanya untuk memenuhi kehendak kelompok yang mahu meneruskan kuasa sebagai polis dunia tanpa mengira dan menghormati soal kerahsiaan dan keselamatan negara atau orang lain.

KERTAS MUDAH TERBAKAR

MUNGKIN kebanyakan kita terpengaruh menonton filem Mission Impossible bilamana maklumat yang diterima akan terbakar setelah dibaca.

Namun sebenarnya taktik ini telah wujud sejak Perang Dunia Kedua apabila sebuah buku catatan atau kertas yang mengandungi maklumat rahsia akan terbakar selepas dibaca.

Kertas atau buku berkenaan diperbuat daripada Pyrofilm dikatakan mudah terbakar apabila ditekan dengan sebuah pensil khas.

Taktik ini sering digunakan ketika membawa maklumat baharu untuk diberikan kepada ejen yang bertugas di tempat lawan secara rahsia.

PERANTI PEPIJAT

ALAT ini adalah perkara yang paling berguna dalam dunia perisikan sejak ia digunakan secara meluas sekitar tahun 1960-an.

Sebelum itu transmitter merupakan alat yang sering digunakan tetapi kerana bentuknya yang besar menyukarkan penggunaannya.

Apabila peranti pepijat diperkenalkan saiznya 10 kali lebih kecil dari transmitter dan ia memudahkan perisik mendengar perbualan yang menjadi rahsia ketika musuh menggunakan telefon atau pun semasa mereka bermesyuarat di pejabat atau di rumah.

Alat ini semakin hari semakin canggih dan terus digunakan secara meluas oleh orang ramai dan tidak hanya tertumpu kepada kerja-kerja perisikan.

THE DEAD DROP

TEKNIK ini dikatakan antara paling popular dalam menghantar rahsia atau maklumat yang diperolehi.

Bagi seorang perisik untuk menghantar sesuatu maklumat bukanlah semudah yang disangka kerana segala gerak geri sedang diperhatikan.

Untuk itu mereka memerlukan usaha teliti dengan menggunakan teknik atau barangan yang boleh memesongkan perhatian musuh.

Antaranya adalah dengan menggunakan duit syiling yang boleh dibuka dan maklumat diletakkan di dalamnya. Walaupun ruang dalamnya agak kecil tetapi melalui teknik penulisan mikro membolehkan sesuatu rahsia itu diletakkan dalam mikrodot, yang berfungsi seperti sebuah cip bersaiz kecil.

Ataupun mereka akan menggunakan teknik dua beg yang serupa sebelum proses pertukaran dilakukan. Mereka juga akan menandakan sesuatu kawasan yang ditentukan sebagai satu penanda tempat itu telah diletakkan bahan rahsia yang dikehendaki dan rakan perisik mereka akan datang mengambilnya.

KOD RAHSIA

TAKTIK ini mula diperkenalkan pada tahun 1950-an dan orang yang perlu diberikan ucapan terima kasih adalah ahli silap mata.

Ini kerana seorang ahli silap mata terkenal, John Mullholland yang memberitahu CIA tentang bagaimana mereka berinteraksi sesama mereka secara rahsia.

Sebagai contoh melalui ikatan kasut, seseorang perisik akan mengetahui apa maklumat rahsia yang mahu disampaikan.

Contohnya jika ikatan simpul kasutnya longgar bermaksud seseorang dalam bahaya.

Taktik ini berkembang dengan cepat dan pelbagai kod rahsia telah dicipta sejak itu. Malah dalam satu kejadian perisikan antara AS dan Rusia, maklumat penting dikatakan terlepas kerana mereka gagal melihat dengan teliti sebuah pita rakaman yang dikatakan memaparkan filem lucah tetapi sebenarnya ia adalah mesej rahsia.

TEKNIK KNOCKOUT

DIPERKENALKAN pada tahun 1950-an teknik ini adalah antara yang paling mudah dan berkesan dalam memperoleh rahsia atau maklumat penting.

Caranya adalah dengan meletakkan dadah sama ada dalam bentuk cecair atau serbuk dalam minuman musuh. Walaupun dilihat mudah namun pelbagai taktik telah dicipta untuk memudahkan bahan itu di campur dalam minuman.

Dadah berkenaan akan diletakkan dalam kotak mancis, pen atau pensil atau mungkin diselitkan dalam pakaian dalam wanita.

Dalam melaksanakan tugasan ini walaupun kelihatan mudah tetapi ia perlu dilakukan secara tenang kerana jika dilihat gelabah atau tidak keruan adalah mudah untuk pihak musuh mengenalpasti kelemahan atau kelakuan seseorang perisik.

Utusan Malaysia Online Rencana 25/08/2013

Memupuk semangat kemerdekaan dalam jiwa setiap warga Malaysia

MALAYSIAKU Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku merupakan tema kemerdekaan tahun 2013 dan yang ke-56 buat tanah air ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 16 Ogos lalu di Sungai Petani, Kedah; dua minggu sebelum kemuncaknya. Ia akan diikuti dengan program Ambang Merdeka di Pusat Maritim, Putrajaya serta perbarisan dan perarakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos nanti.

Apa makna kemerdekaan bagi warga Malaysia? Adakah masih mempunyai pertautan dengan semangat kemerdekaan secara konsisten atau ia sekadar menjadi salah satu hari sambutan yang membolehkan masyarakat beriadah dan bersantai dengannya?

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyatakan - "Siapa kita tanpa Malaysia? Dan bersediakah kita untuk berkorban demi negara tercinta ini? Jika ada yang menyatakan tema merdeka tahun ini agak old school, saya memang mengakuinya kerana kita mahu mengembalikan semula perasaan cinta ini dalam kalangan rakyat supaya bersedia mempertahankan tanah air ini dalam apa jua situasi".

Sejarah pembentukan negara-bangsa ini perlu digarap nilainya oleh setiap warga Malaysia yang bangga menjadi rakyatnya. Kita tidak boleh bersifat selektif di dalam soal kenegaraan. Kita tidak boleh berkompromi dalam nilai-nilai asas yang membolehkan kita menjadi warganya; keterangkuman yang penting dalam proses membina bangsa Malaysia.

Asasnya adalah seorang warga yang setia kepada negara akan bersama dalam pasang surut yang dilalui; perwatakan berterima kasih ke atas pencapaian dan berazam meningkatkan kedudukan negara dalam keadaan yang tidak menentu atau zaman kemerosotannya. Susah senang dilalui bersama atas semangat pengisian kemerdekaan yang memaparkan proses pembinaan negara-bangsa yang jauh maju, kompetitif, pertumbuhan dan bersaing di peringkat global berbanding dengan beberapa buah negara serantau yang masih bergelut memahami erti kemerdekaan.

Semangat nasionalisme dan patriotisme mendasari semangat kemerdekaan sebenarnya. Walau ramai mempersoalkan jati diri generasi Y hari ini, kita harus akui perbezaan suasana masa dan tempat menyebabkan wujud tafsiran berbeza ke atas penerimaan konsep sambutan hari kemerdekaan. Jika generasi merdeka melalui pengalaman penjajahan tetapi generasi baru menikmati hasil peninggalan warisan berzaman generasi lalu. Jika generasi lalu memaparkan secara fizikal semangat perjuangan kemerdekaan, generasi Y memilih untuk melakukannya dalam acuan berbeza tanpa secara fizikal menunjukkan semangat jati diri mereka. Bagi mereka, yang penting adalah kesinambungan penghayatannya melalui pengisian yang memberikan hasil akhir kepada tanah air dalam imbuhan yang berlainan. Namun, ada segelintir yang nakal dengan semangat memperlekehkan perjuangan asal pejuang kemerdekaan tanah air.

Ada pula menyoal apa gunanya merdeka jika negara masih mundur, dibelenggu kemiskinan, dihimpit dengan kos sara hidup tinggi; ditenggelami oleh persekitaran yang kurang sihat dan tidak kondusif untuk menikmati kehidupan yang berkualiti. Apa guna juga jika nilai-nilai mulia tidak dipertahankan tetapi bertembung sesama warganya atas kepentingan peribadi.

Sebagai sebuah negara yang rencam, nilai penerimaan, hormat dan memahami penting dalam pengisian kemerdekaan agar ia terus menjadi benteng yang kukuh untuk meneruskan tradisi pencapaian yang jauh lebih baik dari apa yang sudah dinikmati selama ini. Titik keseimbangan antara sesama warga adalah bagaimana boleh sapa menyapa, ziarah, bekerjasama dan tmenegur jika ada silap dan salah bukannya bermusuhan sehingga membawa kepada ketegangan hubungan. Walau berbeza agama, etnik, geografi, gender atau fahaman politik, ia tidak boleh mempengaruhi pertahanan menyeluruh yang perlu ada dalam jiwa dan sanubari setiap individu demi kedaulatan negara ini. Jiwa Malaysia berkiblatkan 'satu negara, satu matlamat' akan pertahankan apa yang sudah dibina selama 56 tahun, satu tempoh masa yang masih pendek dalam proses membina bangsa yang tahu pengertian sebenar kemerdekaan.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk turut serta dalam meraikan kemerdekaan. Kesemua warga baik keluarga, media, rakan sebaya, sekolah, universiti, pemimpin, agensi berwajib dan badan bukan kerajaan serta pelbagai kumpulan sasar boleh memberikan maksud kepada pengertian kemerdekaan.

Saya masih ingat bagaimana guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjong Malim, Cikgu Borhan Shamsuddin (kini Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak) mengarahkan saya, Azri Mukhlas, Chin Peng, Norhayati, Noni, Mamat dan lain-lain melakonkan pantomin kemerdekaan untuk menyampaikan kepada pelajar lain makna kemerdekaan. Barangkali aktiviti seperti ini masih boleh diteruskan bersama aktiviti lain yang disesuaikan dengan persekitaran yang berubah-ubah.

Ada juga individu yang menunjukkan mereka gah dengan mengkritik dan menghentam apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan kepada negara luar. Apakah ini dapat menjamin kedaulatan negara terpelihara. Malahan, dalam negara sekalipun, ada juga menyoal kedudukan Yang di-Pertuan Agong sehingga mempersenda kedudukan institusi tersebut melalui beberapa pendekatan khususnya media sosial. Apakah ini nilai yang mahu dipupuk dan disemai dalam kalangan warga negara ini?

Hakikatnya, pengisian kemerdekaan ini bergantung kepada keharmonian, keamanan, keselamatan dan kedaulatan tanah air. Demografi dan geografi Malaysia adalah unik. Ia menjadi akar yang menyuburkan rongga-rongga ikatan antara sesama warganya. Walau wujud ketidakseimbangan sosial baik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta inter dan intra kaum; kemuafakatan dan perpaduan penting sebagai landasan muhibbah dan kedamaian nasional.

Walaupun negara pernah berhadapan dengan beberapa konflik dalaman dan luaran termasuklah peristiwa seperti rusuhan perkauman 13 Mei 1969, Kampung Rawa 1998, Kampung Medan 2001, Lahad Datu 2012 dan beberapa insiden lain, keamanan tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan. Etnosentrik dan streotyping yang tebal sehingga menjadikan budaya lain bahan gurauan tidak tersenarai dalam usaha kerajaan membimbing nilai kemerdekaan. Kesederhanaan atau wassatiyah adalah antara ciri penting proses pengisian dan penghayatan sebenar hari kemerdekaan.

Ia juga adalah usaha memelihara keselamatan. Masyarakat mahu merasa selamat dari sentiasa perlu berhadapan dengan suasana takut, gelisah, syak wasangka, curiga dan tidak stabil. Selamat juga bererti tidak perlu gusar apa yang berada di hadapan mereka. Kepercayaan tinggi kepada autoriti perlu ada jika kita mahu merasa selamat. Jenayah dan beberapa tingkahlaku songsang lain perlu ditangani bersama dan bukan sekadar meletakkan beban di atas bahu pihak keselamatan. Ia juga terikat dengan nilai kedaulatan.

Kedaulatan negara berpegang kepada beberapa perkara dasar dalam Perlembagaan, Rukunegara dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta pembentukan sesebuah kerajaan. Jika ada pihak yang melahirkan kebimbangan ke atas kedaulatan negara, mereka wajar dihukum dan dijadikan pengajaran kepada yang lain. Keyakinan bahawa Malaysia adalah negara terbaik mesti diiktiraf.

Kepada yang menyalahkan pihak lain dengan pelbagai tuduhan termasuk bertanggapan pihak Polis Diraja Malaysia berdrama di Lahad Datu dan mengutuk polis hanya memerhati apabila tembak menembak berlaku serta polis dilabel kejam apabila menembak penjenayah perlu bertanya - Apakah sumbangan mereka ke atas tanah air ini? Adakah mereka terlibat dalam memelihara ketenteraman negara ini atau adakah satu kepuasan bagi mereka ketika negara berada dalam konflik dan krisis?

Pernahkah mereka meletakkan diri mereka sebagai ibu bapa, penjaga, anak, isteri, adik beradik kepada yang sentiasa berkorban menjalankan tanggungjawab demi keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara ini? Dimana mereka ketika keluarga perajurit tanah air dihujani dengan tangisan dan kesedihan bilamana yang terlibat terkorban demi negara yang tercinta ini?

Malaysiaku berdaulat adalah lambang keutuhan kesemua warga Malaysia yang tahu di sinilah hidup dan mati mereka. 'Dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' merupakan kesimpulan dari tema hari kemerdekaan tahun ini. Marilah bersama menjunjung yang berat dan dijinjing yang ringan bersama kerana nilai kepunyaan adalah obor cahaya negara berdaulat.



PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 26/08/2013