August 29th, 2013

Demi kuasa dan duit sejak zaman Dr. Mahathir?

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 23 Ogos pula, juga melalui ruangan Pendapat YuanLun memaparkan nukilan penulis bebas, Chew Siew Siang berkenaan pejuang di dalam UMNO.

Pemerintahan pakatan pembangkang di Kedah dengan kedegilan dan pentadbiran melawan arus oleh Pas, PKR pula tidak dapat mempertahankan serta DAP tiada kekuatan, maka rakyat terpaksa kembali kepada UMNO.

Ada yang ambil kesempatan bangkit kembali ketika keadaan sedang teruk, di mana Datuk Mukhriz anak Tun Dr. Mahathir Mohamad memungut saki baki sokongan itu menjadi tonggak kekuatan diri, pergunakan keadaan itu untuk hebahkan ke seluruh negara bahawa orang Melayu undi UMNO, bukan kerana UMNO kuat tetapi kerana orang Melayu tidak sukakan pakatan pembangkang.

Jika benar orang Melayu tidak sukakan pakatan, kenapa pembangkang peroleh lebih 50 peratus undi (seluruh negara)? Bukankah itu bermakna baru menang sedikit sudah terlalu ghairah?

Dr. Mahathir memahaminya lebih jelas lagi. Usia pemimpin-pemimpin UMNO semakin hari semakin tua, beliau berkedudukan tinggi di zaman itu sehingga turun daripada jawatannya tetapi masih tidak mahu tinggalkan bekas lubang jamban yang bau busuk itu.

Nama-nama mereka dinaikkan sejak zaman pemerintahan Dr. Mahathir, selepas zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) masih lagi kekal berjawatan, tiada sebarang kemajuan. Mereka masih lagi pantang melihat orang cerdik pandai dan tekan orang-orang golongan cerdik pandai. Akhirnya, golongan orang cerdik pandai ini kembali ke kampung halaman mereka, tetapi kemudian dianggap sebagai golongan orang-orang berpendidikan rendah yang masuk parti Pas.

Hari ini, golongan doktor, peguam, jurutera serta pensyarah-pensyarah di universiti tidak dapat masuk ke dalam pintu-pintu sempit UMNO dan mereka juga tidak nampak masa depan untuk berada di sana kerana sudah tentu pandangan mereka tidak dapat direalisasikan di situ.

Masuk parti Pas, tidak semestinya ada kepentingan, tetapi sekurang-kurangnya keadaan boleh secara berterusan menjadi teruk dan kita dapat hidupkan perjuangkan Kristian yang sepatutnya mampu terus dikembangkan.

Masuk UMNO semata-mata mahukan kuasa dan duit. Dr. Mahathir yang berfikiran begitu teliti dan jelas, setiap hari cakap yang bukan-bukan, sebaliknya beliau telah lupa pemikiran orang-orang hari ini yang masuk UMNO kerana mereka hanya mahukan kepentingan, tetapi sebenarnya siapakah yang menjadi “penciptanya"?

Sejak zaman Tunku sehingga ke zaman Tun Hussien Onn, rakan seperjuangan UMNO memperjuangkan nasib kaum, agama dan negara sebagai perjuangan utama mereka. Pada zaman pemerintahan Dr. Mahathir, mulanya penswastaan projek-projek kerajaan untuk membangunkan ekonomi, mencipta banyak projek dan ramai kroni-kroni.

Barulah timbulnya pemimpin-pemimpin UMNO kerana ada sesuatu tujuan maka berebut-rebut jawatan. Pemimpin di peringkat cawangan sehingga peringkat Bahagian berharap dapat berjuang dalam parti untuk diri sendiri, sehingga banyak yang telah salah guna kuasa dan berlaku penyelewengan. Semua dan segala ini dicipta di zaman Dr. Mahathir, kini kita mahu burukkan siapa pula?



Isu-Isu Akhbar Cina Utusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013

Cegah rasuah termasuk dalam parti politik

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 26 Ogos 2013 melalui ruangan Pendapat Yuan Lun memaparkan tulisan editorial akhbar tersebut berkaitan usaha mencegah rasuah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu sebuah pasukan berjumlah 400 anggota polis khas dari Bukit Aman telah bergerak sejak dua bulan lalu untuk mengawal keselamatan tanpa pengetahuan balai polis setempat, terus masuk dan menggempur tempat-tempat jenayah berat.

Pasukan khas ini adalah tanggungjawab dan dikendalikan terus oleh polis Bukit Aman, satu strategi jangka panjang kerajaan.

Keyakinan kerajaan membanteras jenayah kini menjadi perhatian ramai, angka jenayah di negara ini ada pasang surutnya menyebabkan isu ini sering dipertikaikan. Ia bukan sahaja melibatkan imej kerajaan secara langsung, ia juga melibatkan keyakinan rakyat dan orang ramai terhadap kerajaan pusat.

Mengikut sebuah laporan antarabangsa, dalam jiwa rakyat Malaysia beranggapan agensi yang paling kuat rasuah ialah pihak polis, seterusnya yang kedua ialah parti politik.

Tidak dinafikan soal selidik ini satu tamparan hebat kepada polis dan parti politik. Jenayah dan rasuah itu ada pertalian dan soalan ini rakyat yang lebih memahaminya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan pada Jumaat lepas telah menubuhkan jawatankuasa pengawasan ketelusan yang dipertanggungjawabkan mengawasi setiap kementerian dan agensi-agensi kerajaan dalam kendalikan pembelian.

Dalam beberapa tahun lalu, pihak audit secara berani melaporkan perbelanjaan membeli barang setiap jabatan, kementerian dan agensi kerajaan. Di mata rakyat, pegawai yang membeli barang mahal dibongkar setiap tahun tetapi ia masih berlaku dan langkah-langkah kerajaan hadapkan mereka ke muka pengadilan tidak nampak positif dan jauh daripada apa diharapkan.

Apabila rasuah berleluasa, mana-mana jabatan tidak akan berfungsi dengan baik. Apabila wang ringgit mampu menutup keburukan, tidak kira sama ada kumpulan cerdik pandai hebat macam mana sekalipun, mereka tetap akan terjerumus menjadi hamba kepada kebendaan dan akhirnya mereka tidak akan dapat berpatah balik lagi.

Walaupun dikatakan angka rasuah hanya di belakang pasukan polis, rasuah dalam parti politik juga perlu ditangani dan diperbaiki segera. Jika sesebuah parti itu sendiri tidak betul, bagaimana mereka mampu jaga ahli-ahli parti di bawahnya?

Rasuah dalam parti politik perlu diambil serius, hanya parti yang bersih sahaja dapat tubuhkan kerajaan yang bersih, hanya kerajaan yang bersih sahaja mampu kendalikan kementerian yang berkesan.

Tidak dinafikan, bukan semua ahli politik dan anggota polis terlibat dengan rasuah tetapi jika segelintir pelaku-pelaku ini terlepas daripada undang-undang, ia akan menjejaskan pembasmian rasuah yang sering dilaungkan dan menjadi slogan di mulut sahaja.

Rasuah adalah racun dan barah yang menjejaskan pembangunan dan kestabilan sesebuah negara. Apabila sesebuah agensi ataupun bahagian dalam kerajaan sering terbongkar berlakunya rasuah, pihak penguatkuasa pula buat tidak faham dan tidak nampak, bermakna keadaan rasuah akan semakin berlipat ganda berlaku kerana ia akan memberi laluan kepada orang baru untuk lakukan perkara yang sama kelak.

Isu-Isu Akhbar Cina Utusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013

Henti mimpi perpaduan melalui pendidikan

AKHBAR China Press bertarikh 28 Ogos 2013 melalui ruangan Kedai Kopi Orang Ramai memaparkan tulisan Shao Xue berkaitan masalah pendidikan negara.

Tujuh tahun lagi tibanya tahun 2020, kerajaan penuh yakin menjadi negara maju. Mempunyai infrastruktur hebat dan luar biasa, pendapatan rakyat meningkat tetapi adakah Malaysia akan mencapai apa yang dimaksudkan negara maju itu?

Adakah ia begitu mudah dicapai? Selain teknologi dan infrastruktur yang tinggi, perlu mempunyai kekayaan budaya terutama sekali sistem pendidikan yang lengkap dan terbuka. Melatih dan mendidik pelbagai jenis pendidikan asas penting mencapai negara maju.

Kita telah 56 tahun merdeka, dari segi infrastruktur memang membanggakan rakyat tetapi masalah dan isu sistem pendidikan umpama termasuk ke dalam tempayan kicap, bercampur aduk kembali ke jalan yang asal.

Dibincangkan selama puluhan tahun, dianggap membantu perpaduan, pihak berkenaan memerah otak agar lebih ramai kaum bukan bumiputera masuk ke Sekolah-sekolah Kebangsaan. Akhirnya bagaimana? Semua orang sudah jelas dan faham sendiri, tidak perlu lagi bermimpi untuk membincangkan perkara ini supaya semua kaum dapat bersatu padu.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah berkata ramai ibu bapa bukan kaum Cina yang tidak suka hantar anak ke Sekolah Kebangsaaan, orang Melayu juga lebih suka menghantar anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) SJKC. Ini pilihan ibu bapa itu sendiri kerana mereka mahukan kualiti dalam pendidikan. Beliau menegaskan pendidikan perlu tumpu kepada kualiti, bukannya perpaduan.

Ramai kakitangan dan pegawai pendidikan yang berfikiran kaku, masih berpegang kepada satu aliran, mereka anggap ia akan membantu perpaduan. Pemikiran kaku dan berdolak dalik bukan sahaja tidak dapat bersatu padu sebaliknya menyebabkan pengetahuan murid-murid semakin merosot sehinggakan mereka tidak mahir bahasa Inggeris dan majikan sukar ambil bekerja.

Selain itu, pertelingkahan Dong Zong dengan pihak pelajaran dalam isu Pelan Induk Pendidikan 2013-2025 begitu sengit. Dong Zong tidak setuju waktu pembelajaran bahasa Melayu ditambah sebaliknya waktu bahasa Inggeris dan bahasa Cina disingkatkan, dalam jangka panjang ia tidak memihak kepada pendidikan bahasa Cina.

Negara kita telah merdeka lebih setengah abad, isu pendidikan masih di takuk satu aliran dan waktu pembelajaran bahasa dipanjangkan atau dipendekkan. Jika barah ini tidak dibuang segera, bagaimana mahu dapatkan khidmat cerdik pandai untuk menjadi negara maju?



Isu-Isu Akhbar Cina Utusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013

Cukupkah membenihkan semangat patriotik di sekolah?

KEPADA anak-anak kecil, Jalur Gemilang bererti sambutan kemerdekaan. Tiap kali kelibat Jalur Gemilang dilihat mereka akan menjerit-jerit merdeka dari dalam kereta. Apa akan jadi satu hari nanti apabila tiada lagi kibaran bendera sama ada di bangunan kerajaan mahupun di kereta-kereta peronda polis.

Anak kita adalah tanggungjawab kita untuk membentuknya sama ada bangga dengan mengibarkan bendera milik kita sendiri atau tergamak mencipta bendera baru mengikut cita rasa politik mereka.

Tugas menyemai benih patriotisme adalah tugas kita semua. Masihkah kita ingat setiap kali perhimpunan pagi semasa kita bersekolah, kita akan menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Bendera kebanggaan tersebut megah berkibar selepas ditarik penuh lemah-gemalai oleh pengawas sekolah hingga ke hujung tiang. Kadang kala bendera tersebut akan berhenti separuh tiang menandakan negara atau negeri berkabung dengan kemangkatan atau pulangnya pembesar negara ke rahmatullah.

Betapa besar maknanya Jalur Gemilang jika kita sebagai rakyat negara ini beria-ia mahu menyemai rasa patriotik kepada negara dengan hanya mengibarkan panji-panji negara tersebut.

Kita harus mengajar anak kita di rumah erti cinta pada negara, bukan setakat mengharapkan sukatan pelajaran sekolah sahaja mengajar anak kita tentang sejarah kenegaraan. Bayangkan jika tiada subjek Tatarakyat dan Sivik diajar di sekolah, hari ini ia terkandung dalam pendidikan moral.

Hari ini rakyat tidak dapat membezakan rasa cintakan negara dan rasa cinta kepada pemimpin politik. Pada zaman dahulu di rumah-rumah di setiap kampung terdapat gambar Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Permaisuri Agong menghiasi dinding di samping gambar Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai rakyat Perak dinding rumah penulis dihiasi gambar Sultan Perak, Raja Permaisuri Perak dan Raja Muda Perak. Ia semua tentang rasa cinta kepada pemimpin, bukan mengharapkan pangkat, harta atau gelaran dari sesiapa.

Setelah dewasa rasa cinta penulis kepada pemimpin negara tetap bersemarak kerana bukan mudah untuk seseorang untuk memimpin negara. Karisma, bakat, visi dan pengetahuan yang tinggi merupakan ciri-ciri seorang pemimpin unggul.

Apabila penyiaran filem Tanda Putera arahan Datuk Shuhaimi Baba menjadi polemik dalam kalangan masyarakat akibat kandungan filem yang melibatkan perkara sensitif tertentu, maka penulis merasakan sampai bila pemimpin kita dari pelbagai bangsa takut dengan bayang-bayang diri kita sendiri.

Selaras dengan tema filem kita suatu masa dahulu. Filem kita wajah kita. Tanda Putera satu filem sejarah yang rakyat Malaysia perlu tahu dan lihat kerana menceritakan sejarah negara kita di penghujung 1960-an dan awal 1970-an, bagaimana pemimpin bangkit untuk menjaga negara dalam apa situasi sekali pun dan disebabkan itulah kita dapat nikmati perpaduan pada hari ini.

Perpaduan perlu wujud bagi menjamin negara kita kekal fokus untuk berjaya dari pelbagai sudut sosio-ekonomi dengan situasi politik yang stabil menjadi sandaran pembangunan negara.

Justifikasi kepada pengorbanan pemimpin negara, perlu dilihat secara holistik tidak fokus kepada perjuangan bersifat individualistik tetapi perjuangan demi mengekalkan kesinambungan hidup bernegara di bawah satu panji dan di bawah satu Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam Tanda Putera mahupun filem awal sebelum itu Hati Malaya, karya pengarah yang sama kita perlu menghayati bagaimana pemimpin dan kepimpinan terdahulu bergerak dalam satu organisasi. Semua keputusan dilakukan dengan bermusyawarah dan semangat perpaduan yang jitu.

Maka semangat yang ada di dalam filem patriotik ini perlu dihayati oleh anak-anak kita agar mereka faham kita tidak boleh menjadi rakyat di negara Malaysia yang maju ini jika asyik berpolitik semata-mata dengan ayat dan sentimen.

Tindakan yang perlu dilakukan perlu diakukan agar status quo semasa dapat dipertahankan dan lebih merangsang untuk generasi akan datang yang lebih progresif.

Filem sejarah perlu dibezakan dengan sejarah. Tidak semua elemen boleh dimasukkan dalam satu tempoh tayangan filem yang tak sampai empat jam. Sejarah adalah catatan yang tidak pernah ada pasang surutnya. Semalam adalah sejarah, esok adalah sejarah lusa.

Dalam konteks patriotisme dan anak-anak kita semaikanlah benih cintakan negara sejak mereka lahir ke dunia ini. Sejak umur dua tahun ajarkan mereka menyanyikan lagu keramat Negaraku.

Ajarkan juga betapa Jalur Gemilang adalah lambang pengorbanan pemimpin yang telah pergi meninggalkan kita demi menjadikan negara ini bebas dari anasir-anasir subversif yang bercita-cita untuk menjadikan Malaysia negara acuan mereka.

Walaupun ada pemimpin menganggap patriotisme setaraf semangat kebangsaan, anak-anak kita perlu dididik sejak di buaian lagi bahawa inilah negara kita, inilah tanggungjawab kita, di sinilah kita lahir dan insya-Allah di sini kita akan menghembuskan nafas terakhir. Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku.



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013

Menyanggah pemutar belit sejarah

UNTUK mengatakan bahawa Malaya ditadbir secara demokratik di bawah pemerintahan British adalah kurang bijak.

Dan, untuk mengeluarkan dakwaan 'terbaharu' hanya lima hari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 kononnya - asas kemerdekaan itu bermula apabila British memerdekakan negara-negara jajahan mereka di Afrika dan ia diperluaskan kepada negara-negara jajahan mereka yang lain - juga kurang cerdik.

Tiada tanah jajahan waktu sebelum era merdeka yang boleh mengharapkan tanggapan seperti ini, walaupun di negeri-negeri Kesultanan Melayu yang lebih dikenali sebagai naungan British dan bukannya tanah jajahan secara terang-terangan.

Demokrasi menjadi laungan perjuangan orang Melayu hanya selepas mereka menyedari betapa pentingnya pemerintahan sendiri melalui pengalaman semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Kejayaan Sukarno dan Hatta di Indonesia yang membebaskan negara mereka daripada pemerintahan Belanda pada 1948 menjadi inspirasi sehingga UMNO berandaian, mencorakkan bendera parti mengikut susunan warna yang sama dengan Sang Saka Merah Putih Indonesia akan membawa petanda yang baik.

Kegagalan Rancangan MacMichael untuk mewujudkan Malayan Union pada 1946 mencetuskan nasionalisme Melayu yang berkobar-kobar merebak ke kawasan luar bandar. Pada 1 Mac tahun berkenaan, suatu kongres besar-besaran diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur melibatkan 38 parti Melayu, bilangan paling besar pernah dikumpulkan dengan suatu matlamat - menentang cadangan kerajaan Malayan Union yang baru.

Wakil-wakil entiti dari seluruh pelosok negara jauh dan dekat, termasuk dari Singapura dan masyarakat Kaum Darat Selangor meluahkan pandangan mereka. Cadangan Malayan Union dibahaskan dan diputuskan sebagai tidak berperlembagaan berhubungan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Perancangan itu berlawanan dengan kehendak rakyat dan juga bertentangan dengan Piagam Atlantik, dan hanya dengan mengembalikan kedaulatan Negeri-Negeri Melayu sahaja menjadi penyelesaiannya.

Semasa UMNO secara rasmi diperkenalkan oleh Tengku Mahkota Johor pada 11 Mei 1946 di perkarangan Istana Besar, hasrat pemerintahan sendiri telah mula membara dan tidak dapat dibendung lagi. Pihak berkuasa British menyedari hakikat ini dan secara beransur-ansur mula melonggarkan ikatan penjajahannya.

Rakyat Malaya waktu itu cukup maklum bahawa Malaya telah dilahirkan di dalam pemerintahan darurat dan masalah ketenteraman awam yang berpanjangan. Permasalahan Gee Hin dan Hai San dalam siri kegiatan samseng mencetuskan Enakmen Kediaman Terhad 1933 (RRE) manakala keganasan pemberontakan gerila komunis terpaksa dihadapi dengan Ordinan Darurat 1948.

Antara kejadian yang paling huru-hara semasa darurat ialah pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi, Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 dalam serangan hendap oleh pengganas komunis berhampiran Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kematian Gurney mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan dan penjajah dan sesuatu yang drastik dilakukan dengan pengganti mendiang mewujudkan Rancangan Briggs.

Dalam Rancangan Briggs, kampung-kampung baru untuk orang Cina didirikan di beberapa bahagian Semenanjung terutama di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Kampung-kampung ini dikategorikan sebagai kawasan keselamatan berisiko oleh kerajaan kolonial. Urusan keluar dan masuk tertakluk kepada pemeriksaan teliti ke atas bekalan makanan, pakaian dan senjata yang boleh disalurkan kepada pengganas.

Walaupun Rancangan Briggs terbukti berkesan dalam mengurangkan bantuan kepada pengganas, rancangan itu juga ada 'impak' yang lain dan 'terkesan' sehingga hari ini - mewujudkan polarisasi perkauman iaitu bangsa Melayu dan Cina terutamanya telah dipisahkan.

Orang Cina diletakkan di bandar-bandar, Melayu di kampung-kampung dan India di ladang-ladang getah dan kaman, iaitu berek-berek buruk untuk buruh-buruh yang sebahagian besarnya bekerja di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sehingga merdeka pada 1957, fungsi Majlis Perundangan Persekutuan banyak menumpukan kepada strategi dan tindakan terhadap 'bandits', satu istilah seni bagi menggambarkan pengganas dan penyokong mereka. 'Bandits' terus menentang pihak berkuasa British selepas berakhirnya Perang pada 1945 atas anggapan bahawa mereka adalah kesinambungan rejim penjajahan dan pencerobohan selepas rejim Jepun.

Dan menjelang 1948 apabila pemberontakan komunis di kemuncaknya, pihak British menunjukkan kesediaan mereka untuk memberi Malaya pemerintahan sendiri pada suatu masa yang sesuai.

Perjanjian Persekutuan Malaya 1948 (FMA) menjadi dokumen yang berperanan penting ke arah kemerdekaan yang pada ketika itu adalah kira-kira sembilan tahun lagi.

UMNO merupakan penggerak utama dalam jentera politik kemerdekaan ini. Orang Cina di bawah Persatuan Cina Malaya (MCA) pada 1948 dan India di bawah Kongres India Malaya (MIC) pada 1951, menyertai perjuangan bersama iaitu Malaya untuk orang-orang Malaya. Mereka bergabung membentuk Perikatan sebelum Pilihan Raya Umum Malaya pertama pada 1955.

Perkembangan yang membawa kepada pilihan raya pertama itulah yang kemudian dimenangi oleh Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakan Perikatannya menjadi satu renungan menarik. Ini terutamanya pada tahun-tahun permulaan di mana Tunku dan kawan-kawan setia beliau berunding dengan pihak British dalam pelbagai aspek untuk pemerintahan sendiri.

Seorang sarjana ekspatriat terkemuka dengan jelas menggambarkan keghairahan kemerdekaan sebagai 'mengharumkan udara Kuala Lumpur dan minda penduduk untuk berhari-hari lamanya' berikutan 31 ogos 1957 dan pembentukan Kabinet Merdeka Tunku Abdul Rahman yang dinanti-nantikan pada 10 September 1957.

Tunku, masih sempat berjenaka dalam keadaan yang agak sukar ketika itu dengan mengatakan walaupun pihak British banyak mengalah kepada permintaan beliau, tetapi beliau tidak diberikan kemudahan perumahan sebagai Ketua Menteri.

Gaji bulanan seorang Ketua Menteri hanyalah sekitar 3,000 ringgit setiap bulan dan elaun keraian secara pukal sebanyak 2,500 ringgit. Sesuatu yang memeranjatkan ialah para menteri beliau juga menerima gaji bulanan yang sama.

Demikian sejarah kemerdekaan negara 1957 tertulis dengan faktanya dan tidak tergapai dengan mudah.



ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013

Sokongan rakyat nadi perangi rasuah

KETIKA negara mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama, pernah menekankan betapa pentingnya kita perlu menghapuskan sama sekali tiga elemen tidak sihat dalam memastikan pembangunan yang mapan. Tiga elemen dimaksudkan ialah rasuah, komunis dan komunalisme (corruption, communist and communalism).

Dalam tempoh lima dekad yang lalu, negara berjaya mengatasi masalah komunis dan komunalisme dengan berkesan. Bagaimanapun masalah rasuah tidak menemui kejayaan signifikan diharapkan.

Masalah rasuah masih menghantui rakyat negara ini.

Saya telah menekankan perkara ini dalam satu sesi dialog sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Ketujuh di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Tema sidang kemuncak kali ini menarik. Menyusuri Hari Esok Menerusi Perjalanan Lalu.

Saya berkongsi dengan peserta Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia bagaimana kita telah berjaya keluar daripada masalah komunis dan komunalisme, sedangkan tidak dalam soal memerangi jenayah rasuah.

Tiga dekad yang lalu, apabila saya berada pada persidangan yang sama sebagai seorang peserta, saya pernah membangkitkan pentingnya kita melibatgandakan usaha mengatasi rasuah.

Hari ini, selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya juga memberitahu peserta kalangan generasi muda itu bahawa kita berjaya mengatasi masalah komunis bukan hanya kerana peranan anggota polis dan tentera semata-mata, tetapi disebabkan sokongan padu rakyat.

Kerajaan telah menyediakan undang-undang, dasar sosioekonomi dan program yang bersesuaian untuk membebaskan rakyat daripada ancaman komunis dan komunalisme. Bukan sahaja rakyat, semua parti politik bersatu suara dalam merealisasikan misi menghapuskan elemen komunis dan komunalisme. Bukan hanya undang-undang dan pembaharuan fizikal menghapuskan komunis, tetapi kemahuan dan sokongan setiap anggota masyarakat.

Justeru, saya masih mencari jawapan mengapa kita belum mendapat sokongan padu dan menyeluruh daripada setiap rakyat dalam soal memerangi rasuah. Kita juga mengadakan undang-undang yang sewajarnya dari semasa ke semasa. Tetapi perpaduan bagi menangani gejala rasuah tidak sekuat mengatasi isu komunis dan komunalisme.

SPRM, yang sebelum Januari 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), memerlukan sokongan padu rakyat segenap lapisan masyarakat untuk memerangi rasuah. Saya mengakui kita tidak dapat menghapuskan rasuah seratus peratus. Malah setiap daripada kita juga akan menerima hakikat ini.

Tetapi jika kita bersatu dan berganding tenaga tanpa mengira status dan kedudukan serta ideologi politik, saya amat yakin kita boleh mengurangkan kes rasuah atau mengawalnya sehingga ke paras minimum.

Beri kami sokongan anda. Kami amat memerlukan sokongan setiap rakyat. Hanya dengan sokongan yang kuat daripada rakyat, pihak yang 'dibuai' rasuah akan takut. Jika tidak, mereka tidak akan menjauhi rasuah.

Visi SPRM ialah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan menjadikan SPRM agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia.

Dalam mengejar visi itu, salah satu cabaran dilalui SPRM ialah kekurangan dalam undang-undang termasuk dalam Akta SPRM 2009. Saya juga perlu mengakui Akta SPRM 2009 lebih baik berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 di mana ia lebih baik jika dibandingkan dengan Akta BPR.

Peredaran masa dan kerumitan persekitaran memerlukan sistem perundangan yang lebih kemas lagi berkesan.

SPRM berhasrat untuk menjadi suruhanjaya anti rasuah yang profesional dalam menguatkuasakan undang-undang dan mendidik orang ramai terhadap rasuah dalam usaha ke arah pencegahan yang lebih besar untuk membasmi rasuah di Malaysia melalui prinsip bebas, telus dan profesional.

Kewujudan entiti pencegahan rasuah di Malaysia bermula dengan sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti pencegahan rasuah. Ketika itu, siasatan kes rasuah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia manakala pendakwaan pula dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara. Kerajaan kemudiannya telah menggabungkan usaha pencegahan rasuah oleh ketiga-tiga agensi itu dengan mewujudkan BPR pada 1 Oktober 1967.

Pada 29 Ogos 1973, entiti pencegahan rasuah negara diwujudkan secara undang-undang apabila Akta Biro Siasatan Negara diperkenan, sekali gus mengubah entiti BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN). Perubahan itu telah meluaskan kuasa perundangan BSN dengan mandat untuk menyiasat kes berkaitan kepentingan negara, di samping kes rasuah.

Bagaimanapun, perubahan sekali lagi berlaku apabila Akta BPR 1982 diluluskan oleh Parlimen pada 13 Mei 1982. Akta ini meletakkan semula tugas pencegahan rasuah kepada BPR yang secara rasminya juga menggantikan BSN. Perubahan ini memartabatkan peranan BPR sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah.

Pada tahun 2008, Parlimen telah bersetuju supaya SPRM diwujudkan bagi menggantikan BPR, selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Transformasi BPR kepada SPRM bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap entiti pencegahan rasuah ini yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus.

Justeru, mekanisme 'check and balance' diwujudkan melalui pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab SPRM dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus. Keanggotaan kelima-lima entiti bebas ini dipilih daripada kalangan individu berintegriti yang cemerlang dalam perkhidmatan dan profesion masing-masing.

Cabaran yang bakal ditempuhi oleh SPRM pada tahun-tahun mendatang ialah membuktikan kepada masyarakat bahawa transformasi dilalui SPRM akan membawa perubahan besar ke atas keseluruhan sistem operasinya.

Sesungguhnya kejayaan dicatatkan oleh SPRM selama ini telah menjadikan ia sebagai sebuah agensi yang dinamik dan sentiasa bergerak ke arah kecemerlangan.

SPRM kini dalam proses perbincangan dengan Peguam Negara untuk meminda Akta SPRM bagi memberi skop perundangan yang lebih luas. Antaranya peruntukan liabiliti korporat, mewajibkan mana-mana individu mengisytiharkan aset tanpa perlu mengemukakan asas elemen rasuah.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 bagi tempoh tiga tahun akan datang akan menyaksikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Antirasuah terus mempertingkat proses perubahan yang dicetuskan dalam GTP 1.0 dengan tiga aliran kerja menjadi tunjang iaitu agensi penguatkuasaan, rasuah besar dan perolehan kerajaan.

GTP 2.0 bakal menyaksikan penambahan komponen pendidikan kepada generasi muda untuk membentuk generasi akan datang yang peka dan bersikap proaktif terhadap usaha membanteras rasuah. Antara elemen dalam pendidikan yang diketengahkan ialah penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah di Maktab Perguruan, memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah serta latihan kepada anggota Parlimen.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) negara - bukti kukuh yang kerajaan serius dalam usaha mengurangkan rasuah.

Kerajaan juga mengumumkan inisiatif penambahbaikan pengurusan dan politik, mewujudkan unit pematuhan di semua badan kerajaan, mengurangkan peluang berlakunya rasuah melalui automasi, mewujudkan Perbadanan Pengurusan Aset Pusat, pengenalan program Ikrar Integriti Korporat (CIP), kewujudan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta portal MyProcurement.

Keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah sangat penting. Persepsi rakyat masih menjadi cabaran utama kerajaan dalam membanteras jenayah dan memerlukan tempoh masa yang lama untuk mengubah serta mendidik rakyat tentang kesan gejala rasuah dalam negara.

Buku terbaru Combatting Corruption: Understanding Anti-Corruption Initiatives in Malaysia menyebut "cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan Malaysia ialah meyakinkan kumpulan bisnes dan publik yang masalah rasuah ditangani secara serius."

Pendek kata, rasuah perlu dan harus diperangi secara serius di semua peringkat. Usaha ini tidak boleh diserahkan kepada SPRM semata-mata. Rakyat perlu memainkan peranan. Pertubuhan bukan kerajaan ada peranan. Begitu juga pihak industri dan bisnes. Tidak ketinggalan ahli-ahli politik dan penggubal undang-undang.

Iltizam politik bukan sahaja perlu diperlihatkan oleh pihak pemerintah, sebaliknya ia harus ditonjolkan oleh parti-parti politik dan orang ramai.

Anda boleh lakukan perubahan perangi rasuah!



TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Utusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013