September 1st, 2013

Sokongan rakyat nadi perangi rasuah

KETIKA negara mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama, pernah menekankan betapa pentingnya kita perlu menghapuskan sama sekali tiga elemen tidak sihat dalam memastikan pembangunan yang mapan. Tiga elemen dimaksudkan ialah rasuah, komunis dan komunalisme (corruption, communist and communalism).

Dalam tempoh lima dekad yang lalu, negara berjaya mengatasi masalah komunis dan komunalisme dengan berkesan. Bagaimanapun masalah rasuah tidak menemui kejayaan signifikan diharapkan.

Masalah rasuah masih menghantui rakyat negara ini.

Saya telah menekankan perkara ini dalam satu sesi dialog sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Ketujuh di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Tema sidang kemuncak kali ini menarik. Menyusuri Hari Esok Menerusi Perjalanan Lalu.

Saya berkongsi dengan peserta Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia bagaimana kita telah berjaya keluar daripada masalah komunis dan komunalisme, sedangkan tidak dalam soal memerangi jenayah rasuah.

Tiga dekad yang lalu, apabila saya berada pada persidangan yang sama sebagai seorang peserta, saya pernah membangkitkan pentingnya kita melibatgandakan usaha mengatasi rasuah.

Hari ini, selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya juga memberitahu peserta kalangan generasi muda itu bahawa kita berjaya mengatasi masalah komunis bukan hanya kerana peranan anggota polis dan tentera semata-mata, tetapi disebabkan sokongan padu rakyat.

Kerajaan telah menyediakan undang-undang, dasar sosioekonomi dan program yang bersesuaian untuk membebaskan rakyat daripada ancaman komunis dan komunalisme. Bukan sahaja rakyat, semua parti politik bersatu suara dalam merealisasikan misi menghapuskan elemen komunis dan komunalisme. Bukan hanya undang-undang dan pembaharuan fizikal menghapuskan komunis, tetapi kemahuan dan sokongan setiap anggota masyarakat.

Justeru, saya masih mencari jawapan mengapa kita belum mendapat sokongan padu dan menyeluruh daripada setiap rakyat dalam soal memerangi rasuah. Kita juga mengadakan undang-undang yang sewajarnya dari semasa ke semasa. Tetapi perpaduan bagi menangani gejala rasuah tidak sekuat mengatasi isu komunis dan komunalisme.

SPRM, yang sebelum Januari 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), memerlukan sokongan padu rakyat segenap lapisan masyarakat untuk memerangi rasuah. Saya mengakui kita tidak dapat menghapuskan rasuah seratus peratus. Malah setiap daripada kita juga akan menerima hakikat ini.

Tetapi jika kita bersatu dan berganding tenaga tanpa mengira status dan kedudukan serta ideologi politik, saya amat yakin kita boleh mengurangkan kes rasuah atau mengawalnya sehingga ke paras minimum.

Beri kami sokongan anda. Kami amat memerlukan sokongan setiap rakyat. Hanya dengan sokongan yang kuat daripada rakyat, pihak yang 'dibuai' rasuah akan takut. Jika tidak, mereka tidak akan menjauhi rasuah.

Visi SPRM ialah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan menjadikan SPRM agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia.

Dalam mengejar visi itu, salah satu cabaran dilalui SPRM ialah kekurangan dalam undang-undang termasuk dalam Akta SPRM 2009. Saya juga perlu mengakui Akta SPRM 2009 lebih baik berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 di mana ia lebih baik jika dibandingkan dengan Akta BPR.

Peredaran masa dan kerumitan persekitaran memerlukan sistem perundangan yang lebih kemas lagi berkesan.

SPRM berhasrat untuk menjadi suruhanjaya anti rasuah yang profesional dalam menguatkuasakan undang-undang dan mendidik orang ramai terhadap rasuah dalam usaha ke arah pencegahan yang lebih besar untuk membasmi rasuah di Malaysia melalui prinsip bebas, telus dan profesional.

Kewujudan entiti pencegahan rasuah di Malaysia bermula dengan sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti pencegahan rasuah. Ketika itu, siasatan kes rasuah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia manakala pendakwaan pula dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara. Kerajaan kemudiannya telah menggabungkan usaha pencegahan rasuah oleh ketiga-tiga agensi itu dengan mewujudkan BPR pada 1 Oktober 1967.

Pada 29 Ogos 1973, entiti pencegahan rasuah negara diwujudkan secara undang-undang apabila Akta Biro Siasatan Negara diperkenan, sekali gus mengubah entiti BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN). Perubahan itu telah meluaskan kuasa perundangan BSN dengan mandat untuk menyiasat kes berkaitan kepentingan negara, di samping kes rasuah.

Bagaimanapun, perubahan sekali lagi berlaku apabila Akta BPR 1982 diluluskan oleh Parlimen pada 13 Mei 1982. Akta ini meletakkan semula tugas pencegahan rasuah kepada BPR yang secara rasminya juga menggantikan BSN. Perubahan ini memartabatkan peranan BPR sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah.

Pada tahun 2008, Parlimen telah bersetuju supaya SPRM diwujudkan bagi menggantikan BPR, selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Transformasi BPR kepada SPRM bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap entiti pencegahan rasuah ini yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus.

Justeru, mekanisme 'check and balance' diwujudkan melalui pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab SPRM dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus. Keanggotaan kelima-lima entiti bebas ini dipilih daripada kalangan individu berintegriti yang cemerlang dalam perkhidmatan dan profesion masing-masing.

Cabaran yang bakal ditempuhi oleh SPRM pada tahun-tahun mendatang ialah membuktikan kepada masyarakat bahawa transformasi dilalui SPRM akan membawa perubahan besar ke atas keseluruhan sistem operasinya.

Sesungguhnya kejayaan dicatatkan oleh SPRM selama ini telah menjadikan ia sebagai sebuah agensi yang dinamik dan sentiasa bergerak ke arah kecemerlangan.

SPRM kini dalam proses perbincangan dengan Peguam Negara untuk meminda Akta SPRM bagi memberi skop perundangan yang lebih luas. Antaranya peruntukan liabiliti korporat, mewajibkan mana-mana individu mengisytiharkan aset tanpa perlu mengemukakan asas elemen rasuah.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 bagi tempoh tiga tahun akan datang akan menyaksikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Antirasuah terus mempertingkat proses perubahan yang dicetuskan dalam GTP 1.0 dengan tiga aliran kerja menjadi tunjang iaitu agensi penguatkuasaan, rasuah besar dan perolehan kerajaan.

GTP 2.0 bakal menyaksikan penambahan komponen pendidikan kepada generasi muda untuk membentuk generasi akan datang yang peka dan bersikap proaktif terhadap usaha membanteras rasuah. Antara elemen dalam pendidikan yang diketengahkan ialah penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah di Maktab Perguruan, memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah serta latihan kepada anggota Parlimen.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) negara - bukti kukuh yang kerajaan serius dalam usaha mengurangkan rasuah.

Kerajaan juga mengumumkan inisiatif penambahbaikan pengurusan dan politik, mewujudkan unit pematuhan di semua badan kerajaan, mengurangkan peluang berlakunya rasuah melalui automasi, mewujudkan Perbadanan Pengurusan Aset Pusat, pengenalan program Ikrar Integriti Korporat (CIP), kewujudan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta portal MyProcurement.

Keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah sangat penting. Persepsi rakyat masih menjadi cabaran utama kerajaan dalam membanteras jenayah dan memerlukan tempoh masa yang lama untuk mengubah serta mendidik rakyat tentang kesan gejala rasuah dalam negara.

Buku terbaru Combatting Corruption: Understanding Anti-Corruption Initiatives in Malaysia menyebut "cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan Malaysia ialah meyakinkan kumpulan bisnes dan publik yang masalah rasuah ditangani secara serius."

Pendek kata, rasuah perlu dan harus diperangi secara serius di semua peringkat. Usaha ini tidak boleh diserahkan kepada SPRM semata-mata. Rakyat perlu memainkan peranan. Pertubuhan bukan kerajaan ada peranan. Begitu juga pihak industri dan bisnes. Tidak ketinggalan ahli-ahli politik dan penggubal undang-undang.

Iltizam politik bukan sahaja perlu diperlihatkan oleh pihak pemerintah, sebaliknya ia harus ditonjolkan oleh parti-parti politik dan orang ramai.

Anda boleh lakukan perubahan perangi rasuah!



TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah MalaysiaUtusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013

Saya tidak akan gadai negara

MUKADIMAH

PERJUMPAAN Mingguan Malaysia dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada malam Isnin lalu. Mustapa muncul tepat pukul 10.30 malam seperti dijanjikan. Berbaju Melayu oren, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa ramah menyapa. Tiada tanda-tanda kepenatan pada wajahnya walaupun seawal pagi hingga lewat petang, beliau telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pelbagai kumpulan media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sempat menghadiri solat sunat hajat untuk umat Islam di Mesir dan Syria, sebelum pertemuan dengan Mingguan Malaysia.

Pertemuan demi pertemuan yang bersusun untuknya tidak lain tidak bukan adalah bagi memberi penerangan tentang perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) - isu yang cukup hangat buat masa ini. Sehinggakan Tok Pa sendiri mengakui tidur malamnya kini bermimpikan TPP.

Memang ramai yang memperkatakan tentang TPP. Ada yang menyokong, lebih banyak menentang sehingga ke tahap menganggap TPP sebagai suatu bentuk penjajahan baru malahan Tok Pa digambarkan seolah-olah Si Kitul yang mahu menggadaikan negara. Bagi yang menentang, mereka melihat kesan buruk yang bakal berlaku jika kerajaan menandatangani TPP. Antaranya kebebasan negara mengurus ekonomi akan terjejas kerana tidak lagi boleh menetapkan dasar untuk mengutamakan syarikat tempatan berbanding syarikat luar, terpaksa mengikut telunjuk syarikat-syarikat besar dari negara luar seperti Amerika Syarikat dan kalau tidak mematuhi perjanjian bakal menghadapi tindakan saman.

Lebih buruk lagi, ramai membayangkan syarikat-syarikat tempatan khususnya milik bumiputera akan gulung tikar apabila kontrak-kontrak melalui tender terbuka akan dikuasai syarikat-syarikat asing yang sudah diketahui memiliki modal besar dan teknologi canggih. Menghadapi kritikan dan sindiran dari pelbagai sudut, Tok Pa tidak melatah. Beliau insaf, tanggungjawab yang terpaksa dipikul kementeriannya sebagai ‘ketua’ dalam perundingan TPP bagi pihak Malaysia walaupun sebenarnya terdapat 21 kumpulan perunding yang dibentuk termasuk di bawah beberapa kementerian lain. “Tidak timbul soal berahsia atau berselindung dalam pelaksanaan TPP seperti disangkakan sesetengah pihak," tegasnya.

Ini kerana sebelum membuat keputusan untuk menyertai rundingan TPP, kerajaan menurutnya, telah mengadakan beberapa siri konsultasi dan rundingan dengan kumpulan yang relevan termasuk dewan perniagaan, persatuan bumiputera dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS). Selepas mengkaji maklum balas daripada semua pihak, pada Mac 2010, Kabinet memutuskan Malaysia patut menyertai rundingan TPP. Dengan mandat Kabinet itu, Malaysia menyertai sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ketiga yang diadakan di Brunei dari 5 hingga 8 Oktober 2010.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, beliau bagaimanapun berulang kali menegaskan yang kerajaan tidak teragak-agak menarik diri jika TPP hanya memudaratkan negara.

“Sebagai ahli politik, saya tidak bodoh sampai hendak menggadaikan kepentingan dan masa depan negara," tegasnya kepada wartawan Mingguan Malaysia.

PERSEPSI, BANTAHAN DAN TEKANAN

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri berhadapan dengan tentangan daripada pelbagai sudut mengenai isu TPP ini? Banyak pihak yang berpandangan negatif dalam soal ini?

MUSTAPA: Kita mahu masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan seimbang dalam hal ini. Ada yang pro dan yang anti TPP. Ada yang mungkin kurang maklumat dan ada juga yang mempunyai kebimbangan yang substantif. Contohnya ada yang kata Malaysia nak tandatangan TPP tanpa mengira pandangan masyarakat termasuk kerana tekanan daripada Amerika Syarikat. Dalam hal ini, saya mahu nyatakan bahawa saya tidak akan menggadaikan negara hanya kerana mahu menandatangani perjanjian TPP ini.

Saya bersikap terbuka. Yang penting bagi saya ialah mendengar pandangan daripada semua pihak, yang pro dan yang anti. Sebenarnya pandangan negarawan kita Tun Mahathir Mohamad, tulisan-tulisan dalam media elektronik dan sosial serta yang disuarakan oleh pelbagai pihak memberi input berguna kepada saya dan pasukan perunding dalam menentukan pendirian Malaysia mengenai TPP. Saya amat menghargai kesemua pandangan. Pandangan-pandangan ini memberi peringatan kepada saya supaya berhati-hati.

Bagaimana pendirian kerajaan dalam menghadapi pelbagai tentangan?

MUSTAPA: Kerajaan Malaysia pada bulan Mac 2010 membuat keputusan untuk menyertai rundingan TPP setelah diadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk dewan-dewan perniagaan, persatuan-persatuan IKS dan bumiputera, NGO dan kementerian serta agensi yang berkenaan. Rundingan di dalam TPP melibatkan dasar perdagangan ataupun trade policy. Oleh kerana ini urusan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), maka saya diberi tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan ini. Pada peringkat awal rundingan, tidak banyak isu dibangkitkan kerana kebiasaannya di peringkat awal rundingan tidak ada banyak isu kontroversi. Walau bagaimanapun, setelah rundingan semakin mencapai peringkat akhir, semakin banyak isu ditimbulkan. Itu sebabnya saya mengadakan hari terbuka TPP pada 1 Ogos lalu. Saya amat menghargai pandangan yang diberikan kerana ia membantu kerajaan dalam membentuk pendirian negara di dalam rundingan TPP. Sebenarnya, beberapa pandangan pihak berkepentingan tidak ada beza dengan pandangan kerajaan.

Bagi saya yang penting ialah dua perkara. Pertama, mendengar kesemua pandangan pro dan kontra manakala kedua, perbincangan diadakan secara adil, terbuka dan objektif.

Tentangan ini datang daripada beberapa pihak:

i) Mereka yang akan terkesan dengan TPP jika beberapa cadangan yang sedang dibincangkan dipersetujui termasuk kepentingan bumiputera dan IKS;

ii) Mereka yang kurang memahami TPP kerana terdapat jurang maklumat; dan

iii) Mereka yang menentang perdagangan bebas atas sebab-sebab pegangan politik.

Strategi yang perlu saya gunakan bagi menangani kumpulan-kumpulan ini harus berbeza.

Kenapa terlalu banyak tentangan terhadap TPP?

MUSTAPA: TPP dianggap sebagai satu perjanjian moden, berkualiti tinggi dan untuk kurun ke-21. Oleh itu ia mempunyai beberapa cadangan yang radikal dan kontroversi. Skop TPP adalah luas. Skop FTA atau perjanjian perdagangan bebas biasanya meliputi pengurangan tarif dan pengurangan halangan dagangan. Sebaliknya TPP juga meliputi perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan perdagangan. Umpamanya perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan, perburuhan dan alam sekitar. Oleh kerana ia meliputi banyak perkara TPP menimbulkan banyak kontroversi. Persoalannya walaupun TPP penuh kontroversi, kenapakah Malaysia membuat keputusan untuk menyertai perundingan ini?.

Pada pandangan kerajaan, Malaysia boleh mendapat faedah daripada TPP, khususnya berkaitan dengan akses pasaran dan pengurangan halangan bukan perdagangan. Malaysia sedar bahawa isu-isu yang tidak berkaitan dengan perdagangan akan menimbulkan banyak masalah. Oleh yang demikian, pendirian kerajaan ialah kita akan menandatanganinya jika ia tidak menjejaskan kepentingan negara. Kita memasuki rundingan atas dasar TPP on our terms. Pada pandangan kerajaan, secara keseluruhannya TPP membawa lebih banyak faedah daripada keburukan sekiranya Malaysia mengambil pendirian yang tegas mengenai hal-hal berkaitan dengan syarikat milik kerajaan, pertikaian perdagangan, kawalan modal, perolehan kerajaan dan paten. Inilah pendirian kita. Perunding-perunding kita telah mempertahan dan memastikan kepentingan negara tidak dikompromi. Apabila rundingan ini hampir muktamad, kerajaan akan membuat pertimbangan terperinci dan jika kita dapati ia menjejaskan negara, kita sudah pasti tidak akan menandatanganinya.

Apa yang Datuk Seri telah dan rancang mahu lakukan mengenai TPP setakat ini?

MUSTAPA: Pada 1 Ogos lepas, saya telah mengadakan Hari Terbuka. Saya mahu mendengar serta memberi ruang kepada semua pihak menyampaikan pandangan. Saya juga mencadangkan supaya diadakan satu mesyuarat khas Kabinet. Mesyuarat ini telah diadakan dan setiap isu dalam TPP telah diperhalusi dan dibahaskan secara teliti. Kabinet telah membincangkan perkara ini selama tiga jam setengah. Kerajaan juga telah bersetuju penubuhan Kaukus Parlimen yang dianggotai oleh ahli Parlimen BN dan pembangkang. Saya telah pun berjumpa mereka dan akan mengadakan beberapa pertemuan lagi dengan mereka.

Minggu lalu, saya menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri TPP di Brunei yang dihadiri oleh kesemua 12 orang Menteri. Saya telah memaklumkan rakan-rakan saya secara telus bahawa TPP amat kontroversi di Malaysia. Antara isu yang dibangkitkan ialah tidak ada ketelusan dalam rundingan ini. Dalam hal ini, saya memberitahu rakan-rakan saya bahawa saya telah membuat keputusan untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia menerusi Hari Terbuka mengenai isu-isu yang dibincangkan di Brunei baru-baru ini. Saya juga memaklumkan pendirian Malaysia berkaitan dengan Perolehan Kerajaan, Paten, syarikat berkaitan kerajaan, akses pasaran dan alam sekitar, dan Investor-State Dispute Settlement (ISDS).

Bagaimana pula keadaannya dengan negara TPP lain yang bersetuju dalam soal TPP dan hanya Malaysia yang berhadapan masalah tentangan rakyatnya?

MUSTAPA: Di beberapa buah negara, TPP hangat dibahaskan. Umumnya penentangan yang paling hebat adalah di Malaysia. Di negara lain TPP tidak terlalu bermasalah. Sehubungan itu, Jepun yang menganggotai TPP telah memaklumkan mendapat sokongan daripada parti kerajaan dan pembangkang. Malah di Kanada, Australia, dan New Zealand TPP juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang.

n ISU IKS, BUMIPUTERA DAN PEROLEHAN KERAJAAN

Bagaimanakah caranya kerajaan Malaysia mempertahankan kepentingan perniagaan dan perdagangan industri kecil dan sederhana (IKS) terutama melibatkan syarikat bumiputera daripada persaingan syarikat asing?

MUSTAPA: Pada hari ini, ada PKS yang mendapat faedah daripada 12 FTA yang ditandatangani oleh Malaysia termasuk AFTA dan ada yang berjaya menembusi pasaran luar. TPP mungkin akan beri kesan kepada PKS dan syarikat bumiputera, dan kerajaan perlu mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan bina upaya (capacity building). Kerajaan juga akan pastikan bahawa kita akan carve-out beberapa sektor, termasuk untuk sektor Perolehan Kerajaan. Perlu ditegaskan bahawa TPP mempunyai satu bab yang berkaitan PKS iaitu berkongsi maklumat supaya PKS boleh menyertai supply chain di luar negara. Ia juga mempunyai peruntukan untuk meningkatkan bina upaya.

Sehubungan ini, oleh kerana ada kebimbangan dalam kalangan IKS dan syarikat bumiputera, atas cadangan saya, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan dua analisis kos manfaat tambahan:

i. Kesan TPP kepada IKS dan bumiputera,

ii. Kajian TPP atas perspektif kepentingan negara,

Kedua-dua kajian ini dijangka siap dalam tempoh dua tiga bulan lagi. Keputusan muktamad untuk menyertai TPP juga bergantung kepada hasil kajian ini.

Bagaimana dengan isu perolehan kerajaan yang akan dibuka untuk semua sektor selain apakah kerajaan telah mengambil inisiatif yang mencukupi untuk menyokong kebergantungan syarikat tempatan daripada kerajaan kepada pasaran terbuka?

MUSTAPA: Adalah benar perolehan kerajaan (Government Procurement) merupakan satu isu yang sensitif. Yang sedang dirundingkan Malaysia ialah satu threshold yang tinggi yang akan melindungi syarikat bumiputera dan PKS. Dalam pada itu, harus diingati juga bahawa bab GP juga mungkin boleh memberi laluan kepada syarikat Malaysia untuk memasuki pasaran asing. Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan akan meneliti semula perkara ini bagi mengambil kira kebimbangan peniaga bumiputera. Kerajaan akan terus memberi sokongan kepada syarikat tempatan melalui peluang dalam pasaran perolehan bertujuan meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka. Walaupun kerajaan bersetuju untuk merundingkan bab perolehan kerajaan, kaedah pengecualian khusus daripada obligasi bab perolehan kerajaan telah diperjuangkan oleh pasukan perunding kita.

n PENJAJAHAN ASING DAN KEDAULATAN NEGARA.

Satu perkara yang menjadi keutamaan dan kebimbangan sekarang adalah dari sudut kedaulatan perundangan negara terutama melalui isu Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara (ISDS). Apakah ia akan terus terpelihara dan ruang polisi tidak dikuasai oleh pihak asing?

MUSTAPA: Perkara ISDS menimbul banyak kebimbangan. Kerajaan telah meningkatkan engagement dalam perkara ini. Setelah kritikan daripada pelbagai pihak, kerajaan akan pastikan ISDS tidak akan menyekat bidang kuasa kerajaan Malaysia dalam penggubalan dasar dan perundangan. Kerajaan Malaysia tidak akan bersetuju untuk menandatangani apa-apa jenis perjanjian atau komitmen yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara, atau pun membuat komitmen yang tidak akan dapat dilaksanakan kelak, atau memberikan ruang dasar dikuasai oleh kuasa asing. Dalam hal ini, saya perlu jelaskan bahawa pada masa yang sama, syarikat Malaysia yang melabur di luar negara perlu mendapat perlindungan dan ISDS perlu dilihat dalam konteks seimbang, iaitu kepentingan syarikat Malaysia di luar negara dan syarikat asing yang melabur di Malaysia.

Bagaimana dengan kedudukan syarikat berkepentingan kerajaan antaranya Petronas, TM dan pelbagai lagi serta peranan mereka dalam meneruskan peranan dalam soal pembangunan negara. Tidakkah mereka terikat dengan bab persaingan?

MUSTAPA: Malaysia mempunyai model sosioekonomi yang unik. GLC mempunyai peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara. GLC telah memberi pandangan kepada kerajaan supaya kita ambil sikap berhati-hati. Dalam rundingan ini, Malaysia akan pastikan peranan sosioekonomi syarikat-syarikat GLC akan dapat diteruskan. Seperti mana beberapa negara TPP lain, Malaysia mempunyai sistem ekonomi yang berbeza dan GLC memainkan peranan penting di dalam pembangunan sosio-ekonomi. Bagi Malaysia, GLC adalah alat penting untuk kerajaan merealisasikan matlamat pembangunan dan sosial dan adalah pemangkin penting dalam memajukan sektor yang dianggap strategik, yang tidak menarik pembabitan komersial. Oleh itu, syarikat berkepentingan kerajaan seperti TM, Khazanah, Petronas perlu meneruskan peranan sosial dan pembangunan negara. Ini bermakna operasi sedia ada tidak harus tergugat.

Pada pandangan Datuk Seri, adakah TPP akan menaikkan kos hidup rakyat Malaysia terutamanya makanan?

MUSTAPA: Kenaikan barangan disebabkan pelbagai faktor. Bukan disebabkan oleh TPP ataupun FTA semata-mata. Kalau harga turun, apabila tarif dikurangkan, kos barangan akan turun. Begitu juga jika tarif sesuatu komponen untuk keluaran barangan akhir dikurangkan, harga sepatutnya turun. Jika pendirian sebuah negara untuk melanjutkan paten ubatan diterima, kos ubatan mungkin naik. Tetapi, sukar tempoh paten dapat dilanjutkan kerana kebanyakan negara tidak bersetuju dengan cadangan ini. Secara amnya, terdapat banyak faktor boleh menyumbang kepada kenaikan kos barangan termasuk bencana alam, perubahan cuaca dunia, konflik politik dan kegawatan ekonomi dunia. Adalah tidak adil membuat andaian FTA atau TPP akan menaikkan harga. Dalam pengalaman kita mengenai AFTA, perbezaan harga beberapa barangan seperti tekstil lebih kompetitif.

Apakah impak kepada negara jika Malaysia menarik diri dari TPP?

MUSTAPA: Jika Malaysia menarik diri daripada rundingan TPP kesan utama adalah terhadap imej dan kredibiliti Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang progresif dan terbuka. TPP adalah merupakan usaha ahli-ahli di dalam negara APEC untuk membentuk Free Trade Area of the Asia Pacific (FTAAP) yang mewakili 60 peratus daripada perdagangan dunia. Kemasukan lewat akan menyebabkan kita kehilangan first mover advantage yang akan membebankan negara jika kita memasuki kemudian. Selain itu, dari segi impak ekonomi pula, ia mungkin juga menjejaskan penilaian antarabangsa terhadap negara dan pelabur asing mungkin tidak lagi melihat Malaysia sebagai hab pelaburan yang berpotensi tinggi. Eksport Malaysia juga mungkin terjejas memandangkan kita tidak lagi mampu untuk bertanding dalam pasaran TPP tanpa preferential treatment terutamanya dengan pesaing negara di dalam ASEAN seperti Vietnam. Dengan lain perkataan, produk Malaysia tidak dapat bersaing dengan produk yang sama dari negara yang menjadi ahli TPP.

Apa nasihat Datuk Seri kepada semua rakyat Malaysia dalam isu TPP ini yang menjadi topik yang begitu hangat sekarang?

MUSTAPA: Banyak lagi isu-isu sensitif yang belum mencapai kata sepakat dan untuk TPP dimuktamadkan bulan Oktober amat sukar. Kita tidak terikat dengan deadline. Hakikatnya TPP masih berada di peringkat rundingan di antara 12 negara dan setiap negara berhak untuk memastikan kepentingan masing-masing dipelihara. Keputusan yang dibuat dalam rundingan adalah melalui persetujuan bersama atau konsensus oleh kesemua 12 ahli TPP. Kerajaan tidak akan menandatangani mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas sekiranya didapati tidak akan memberi faedah kepada negara. Oleh yang demikian, kerajaan telah memutuskan untuk membuat dua kajian tambahan iaitu Impak TPP terhadap IKS dan bumiputera dan Kajian Kepentingan Negara. Ini adalah usaha Kerajaan untuk memastikan impak sebenar TPP dapat diteliti sepenuhnya sebelum menandatangani perjanjian ini.

Saya nak tekankan sekali lagi bahawa,

Yang pertama, rundingan belum muktamad dan masih work in progress. Kedua, perunding Malaysia yang terdiri pakar-pakar beberapa kementerian dan agensi diberi mandat oleh kabinet untuk menjaga kepentingan negara. Mereka tidak boleh melampaui mandat ini. Yang ketiga, saya terus adakan engagement dengan pelbagai pihak secara telus. Keempat, Kabinet akan membuat keputusan sebelum TPP dimuktamadkan, berpandukan pandangan pelbagai pihak dan kajian kos faedah. Saya dan kumpulan perunding daripada pelbagai kementerian dan agensi telah diamanahkan oleh Kabinet pada bulan Mac 2010 untuk berunding TPP on our terms. Sekiranya saya melanggar keputusan Kabinet adalah tidak wajar bagi saya untuk terus berada dalam kerajaan.



ZULKEFLI HAMZAH, AZMAN ANUAR, MARHAINI KAMARUDDIN dan HAFIZAHRIL HAMID.Utusan Malaysia Online Rencana 20130901

Perlukah sejarah ditulis semula?

HARI Sabtu ini adalah ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-56. Tarikh yang mengingatkan kita bagaimana jerihnya perjuangan pemimpin terdahulu untuk menentukan haluan negara, dari sebuah negara yang rakyatnya dikatakan “tidak mampu membuat sebatang jarum", dalam tekad dan kesungguhan akhirnya Malaysia menuju ke tahap negara maju.

Kejayaan membina negara bangsa yang berdaulat, yang mempunyai kestabilan ekonomi dan politik memerlukan pengorbanan dan kesungguhan, menterjemahkan hasrat rakyat menjadi hasrat negara, adalah satu petunjuk bahawa penglibatan rakyat yang aktif dan berkesan. Tanpa kerjasama setiap rakyat, suatu kerangka yang baik akan bertukar menemui kegagalan.

Rakyat Malaysia boleh meneladani apa yang sedang berlaku di Mesir. Kemerdekaan yang mereka dapatkan dari penjajahan hanyalah kemerdekaan secara simbolik sahaja kerana hakikatnya rakyat tidak merdeka dari suasana negara yang damai dan aman. Kuasa-kuasa luar selalu membayangi perjalanan kerajaan mereka. Tiga presiden Mesir adalah dalam kalangan tentera (Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak) dan Dr. Mohamad Mursi merupakan kalangan orang awam yang pertama menduduki jawatan itu.

Bagaimanapun, hayat pentadbiran Mursi hanyalah kekal selama setahun lima hari, beliau ditumbangkan oleh tentera, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat.

Sebulan sebelum Mursi digulingkan, Amerika Syarikat menyalurkan bantuan lebih satu bilion dolar kepada pihak tentera manakala presiden yang dipilih oleh 61 peratus pengundi pada bulan Jun 2011, masih gagal membawa pelaburan bernilai dua bilion dolar dari negara-negara Arab. Mursi terus dikuasai oleh Ikhwanul Muslimin, akibatnya pada bulan sebulan sebelum disingkirkan, berlaku tunjuk perasaan mendesak beliau mengundurkan diri.

Semasa berucap menerima jawatan Presiden Mesir, Mursi telah berjanji akan membantu memulihkan ekonomi dengan membawa masuk pelaburan yang besar, dan dengan itu rakyat akan memperoleh peluang pekerjaan di samping menyediakan perumahan untuk rakyat.

Sayangnya, semua janji tersebut tidak berjaya dilaksanakan kerana Mursi hanya menumpukan seluruh keupayaannya untuk mengukuhkan kedudukan Ikhwanul Muslimin.

Apa yang dapat kita pelajari bahawa menguruskan sesebuah negara bukanlah satu perkara yang mudah, tidak sekadar boleh berjanji kepada rakyat. Rakyat akan menghukum pemimpin yang hanya tahu berjanji, kerana rakyat memerlukan suasana kehidupan yang lebih baik dan nasib mereka akan berubah.

Berlainan dengan landasan tindakan yang diambil oleh pemimpin Malaysia. Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, azam pemimpin ialah membasmi kemiskinan menerusi potensi sumber manusia dengan menggerakkan setiap daripada mereka bersekolah, kerana percaya pengetahuan bakal mengubah nasib seseorang.

Sejak merdeka, kerajaan tidak pernah berhenti untuk membina infrastruktur, daripada kemudahan kesihatan, pendidikan dan sosial hinggalah mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat bahkan merupakan negara yang paling cepat berjaya melepaskan kemelesetan. Ia didorong oleh pertumbuhan domestik yang mapan dan terus meningkat

Sejak merdeka, Mesir tidak membangunkan pertumbuhan ekonomi domestik yang tinggi, kerana terus mengharapkan bantuan dan sumbangan dari luar. Lebih separuh penduduk Mesir hidup dalam kemiskinan, dan sebahagian besar ekonominya bergantung kepada kemasukan pelancong asing.

Sejak revolusi yang membawa kepada penyingkiran Hosni Mubarak, sektor pelancongan terjejas teruk menyebabkan sebahagian rakyat mula mempersoalkan keberkesanan Mursi memulihkan ekonomi.

Ada setengah pemimpin politik merasakan bahawa ideologi yang mereka bawa itu lebih baik dengan kepentingan politik mereka, didesak agar sejarah nasionalisme negara ditulis semula agar haluan politik kiri yang tidak bersendikan “ketuanan Melayu" diterima sebagai dominasi nilai baharu yang bersendikan prinsip kebebasan dan meritokrasi.

Hasrat mereka adalah jelas kerana dengan menghapuskan “ketuanan Melayu", negara ini akan memperlihatkan prinsip pemerintahan yang lebih adil dan saksama. Bagi mereka, oleh kerana pertubuhan politik masih berasaskan perkauman, ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang lebih baik dan berkesan.

Pemimpin politik yang berjuang untuk menghapuskan “ketuanan Melayu" itu sebenarnya merupakan kelompok yang menikmati kedudukan lebih baik daripada perjuangan pemimpin Melayu sebelumnya, meletakkan dasar dan kepentingan membangunkan ekonomi Melayu.

Misalnya, berdasarkan latar belakang keluarga, Tan Sri Khalid Ibrahim banyak memperolehi kekayaan peribadi menerusi dasar tersebut, daripada seorang sederhana beliau menjadi seorang yang memiliki saham dan aset jutaan ringgit.

Kegagalan Mursi melaksanakan apa yang pernah dijanjikan membawa padah yang besar, kerana usaha Amerika Syarikat untuk kembali mencaturkan politik Mesir dan menjaga kepentingan Israel menerusi dokongan tentera semakin jelas. Amerika Syarikat tetap memerlukan Mesir walaupun dari segi sumber ekonomi, Mesir tidak mempunyai produk yang banyak, Mesir adalah pangkalan strategik menyekat ideologi politik Islam.

Ramai yang percaya ideologi politik yang sedang dikembangkan oleh pakatan pembangkang tidak mampu meraih sokongan sebahagian besar masyarakat, ia dikhuatiri dipengaruhi oleh beberapa pertubuhan asing yang mahu menjadikan Malaysia porak-peranda. Mereka mahukan Malaysia sebagai negara yang mudah dikuasainya kerana mempunyai sumber bahan mentah yang banyak, kesuburan tanah dan flora dan fauna yang boleh menjana sumber ekonomi yang besar.

Usaha yang dilakukan ialah menyalurkan bantuan kepada pertubuhan politik yang bertentangan dengan parti yang memerintah, menggalakkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mengadakan aktiviti pemesongan persepsi, dan yang paling mereka mahukan ialah melunturkan semangat patriotisme.

Bagi melunturkan semangat patriotisme ialah dengan memperkuatkan tindakan menolak “ketuanan Melayu" dalam kalangan generasi muda dengan alasan, ia bersifat perkauman, diskriminasi dan zalim kepada kaum-kaum lain.

Sebenarnya, “ketuanan Melayu" telah memberikan banyak faedah dan kesejahteraan kepada bukan Melayu, kerana orang Melayu tidak pernah mempersoalkan penguasaan ekonomi bukan Melayu. Kerajaan yang berteraskan politik Melayu, tidak pernah merampas peluang ekonomi dari penguasaan bukan Melayu.

Apa yang kerajaan laksanakan ialah membesar kek ekonomi dan mencipta peluang pertumbuhan dalam bidang baharu, di mana orang Melayu diberikan peluang dan digalakkan menceburinya. Ia adalah sesuatu yang adil, kerana keadilan itu berkait rapat dengan usaha memberikan hak kepada golongan yang berhak, dan bukannya mendasarkan siapa kuat, dia dapat dan yang kaya membolot semuanya.

Dalam suasana meraikan ulang tahun kemerdekaan ini, setiap rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan pelbagai dakwaan kononnya, kerajaan yang memerintah mahu menggunakan sejarah dan semangat patriotik bagi mengekalkan kedudukan politiknya.

Sebenarnya, mereka yang mempersoalkan pengibaran bendera bukan mencerminkan semangat patriotik itulah yang sebenarnya berjuang untuk menukarkan Jalur Gemilang, kerana mereka benci dengan sejarah buruk yang mereka ciptakan sendiri.

Dengan desakan dan perulangan itulah mereka sedang membina kepercayaan baharu, cuba menukar nilai-nilai buruk kepada positif, termasuk tidak menghormati lambang negara, pemimpin yang pernah berjasa dan ikatan nilai kemesraan antara kaum, dan dengan alasan perlu menulis semula sejarah, mereka sebenarnya sedang bergerak dalam “komuniti imaginasi", sebuah komuniti yang hilang akar budaya dan jati diri.

Sempena ulang tahun kemerdekaan ini, sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan bertanggungjawab, kita sepatutnya melahirkan rasa syukur yang mendalam. Bahkan, Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun daripada umat-umat (yang ada pada masa itu)." - Surah al-Maidah ayat 20

Intipati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT supaya kita memperbaiki dan membebaskan diri daripada penjajahan mental dan moral oleh kolonial dan neokolonialisme. Kita sepatutnya boleh memperlihatkan kekuatan semangat untuk meyakini bahawa kerajaan sudah, sedang dan akan melakukan yang terbaik untuk negara, sentiasa menunaikan janji dan menghormati kehendak rakyat.

Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20130830

Kemerdekaan penuh bermakna

TARIKH 31 Ogos 1957 yang ulang tahunnya disambut hari ini cukup bermakna bagi rakyat negara ini kerana ia menandakan kita telah bebas daripada cengkaman penjajah British.
Detik kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diputuskan pada tanggal tarikh berkenaan selepas Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga ahli falak, Sheikh Abdullah Fahim.
Menurut Sheikh Abdullah, sekiranya Inggeris tidak memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka tarikh lain yang bersesuaian adalah pada 31 Ogos 1962.
Beliau memilih dua tarikh itu kerana mengikut kiraan hisabnya kedudukan beberapa gugusan bintang dan planet yang penting jelas kelihatan di angkasa Persekutuan Tanah Melayu, khususnya di Kuala Lumpur sebaik sahaja selepas Maghrib sehingga masuk tengah malam tarikh kemerdekaan berkenaan.

RAKYAT Trinidad and Tobago turut meraikan ulang tahun tarikh kemerdekaan mereka pada 31 Ogos.
Pada tarikh-tarikh berkenaan, jelas kelihatan Buruj Dacing, Buruj Kapal Layar, Buruj Anak Dara dan Buruj Kala Jengking serta planet Musytari dan Zuhrah.
Perkara itu jarang-jarang berlaku dan mengikut firasatnya, fenomena berkenaan dapat memberikan kekuatan yang cukup kepada pemimpin dan rakyat untuk membangunkan negara yang baharu merdeka.
Dalam pada itu, banyak negara-negara lain yang turut mencapai kemerdekaan seperti negara kita terutama selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan penjajah Eropah berundur daripada jajahan takluk mereka khususnya di benua Afrika.
Cukup menarik, banyak juga negara yang memilih untuk merdeka pada bulan Ogos sama seperti negara kita. Antaranya adalah negara-negara di benua Afrika.
Malah sebuah negara kepulauan di utara benua Amerika Selatan iaitu Trinidad and Tobago turut memilih tarikh 31 Ogos untuk merdeka pada tahun 1962.
Pada hari ini, negara kaya berkenaan yang mempunyai 1.3 juta penduduk turut merayakan ulang tahun ke-51 kemerdekaannya daripada penjajah British.
Pada 1991, banyak negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) turut memilih untuk merdeka pada Ogos dan ia termasuk Kyrgyzstan (21 Ogos), Belarus (25 Ogos), Moldova (27 Ogos) dan Azerbaijan (30 Ogos).
Turut berkongsi bulan kemerdekaan yang sama dengan kita adalah negara jiran iaitu Singapura pada 9 Ogos 1965 dan Indonesia, 17 Ogos 1945.
Berbanding negara ini dan Singapura yang kemerdekaan diperoleh melalui perundingan, Indonesia hanya berjaya merdeka daripada penjajahan Belanda setelah berlakunya pertumpahan darah.
Sementara itu, menyentuh mengenai sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 kali ini yang bertemakan 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku', orang ramai pada pagi ini akan menyaksikan perarakan seperti kebiasaannya.
Bagaimanapun, pada tahun ini, perarakan yang melibatkan 16,000 peserta akan lebih banyak memaparkan kelengkapan ketenteraan sebagai bukti kepada rakyat dan dunia bahawa kita bersedia mempertahankan negara sehingga ke titisan darah terakhir.
Ia juga bertujuan mengingatkan rakyat bahawa kemerdekaan negara ini tidak diperoleh secara mudah, ibarat yang pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek, sebaliknya ia dicapai melalui pengorbanan semua pihak dan sehubungan itu perlu dipertahankan sampai bila-bila.
Satu perkara lain yang tidak dapat dielakkan setiap kali diadakan sambutan kemerdekaan, sudah pasti akan berlaku kesesakan jalan raya terutama di ibu kota.
Kesesakan itu bukan sahaja pada hari perarakan, malah juga berlaku beberapa hari sebelumnya apabila jalan ditutup bagi memberi laluan kepada persiapan, latihan serta acara sebenar perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan.
Antara jalan-jalan yang kebiasaannya ditutup adalah Jalan Travers, Jalan Mahameru, Jalan Damansara, Jalan Perdana, Bulatan Hishamuddin, Jalan Cenderasari, Jalan Kinabalu, susur Bukit Aman dan Jalan Raja.
Penutupan jalan biasanya bermula pada pukul 6 pagi dan hanya akan dibuka semula setelah acara tersebut berakhir.
Selain itu, sikap penonton yang suka membuang sampah juga sering mencemarkan sambutan kemerdekaan negara. Oleh itu, bagi mengelak masalah itu berulang khususnya yang membabitkan kesesakan jalan raya, mungkin sudah sampai masanya diadakan sambutan di tempat tertutup seperti stadium.
Kita yakin sambutan di tempat sedemikian tidak akan menjejaskan matlamat acara itu yang mahu meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-68 Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos lalu yang diadakan di tempat tertutup iaitu di Istana Presiden di Jakarta yang dihadiri oleh Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono sudah pasti wajar dijadikan contoh.

NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20130831

Jangan lupa kongsi gelap punca British campur tangan

APABILA Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan nama sebanyak 49 pertubuhan haram termasuk kongsi gelap dengan anggaran mempunyai seramai 40,313 ahli di seluruh negara, ramai di antara kita yang tertanya-tanya dan menunggu-menunggu apakah tindakan kementerian berkenaan selanjutnya.

Jika senarai nama sudah ada panjang berjela, sudah tentu ahli-ahlinya yang terlibat dengan jenayah berat dan kekerasan juga sedikit sebanyak telah dikenal pasti.

Dan melihat kepada peningkatan kejadian jenayah-jenayah berat sejak beberapa bulan ini, sudah tentu ini adalah masa yang paling sesuai dan dituntut untuk melakukan pembersihan terhadap semua pertubuhan haram ini. Jika tidak, mahu tunggu bila lagi?

Pertamanya, kita mahu keselamatan setiap nyawa di negara ini terjamin di mana saja mereka berada dan mahu penjenayah-penjenayah yang seolah-olah sedang ‘berpesta’ dengan senjata api ini ditangkap dan menerima hukumannya.

Malaysia yang kecil ini, bukan negara koboi yang tidak mempunyai undang-undang yang membuatkan mereka kebal atau kalis undang-undang walaupun menganggotai kumpulan yang paling ganas sekali pun di negara ini.

Dan keduanya, kita tidak mahu, kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang dianggotai penjenayah-penjenayah yang dikategorikan polis sebagai paling ganas dan berbahaya ini terus berakar umbi dalam negara ini sampai beratus-ratus tahun akan datang dan memberikan ancaman yang amat besar kepada negara.

Sememangnya, kegiatan kongsi gelap di negara ini sudah wujud sejak negara kita belum merdeka lagi. Kita tidak sepatutnya melupakan sejarah bagaimana pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin satu ketika dulu kerana berebut kawasan telah mencetuskan Perang Larut, di Perak dan menyebabkan pihak British campur tangan.

Dan selepas 56 tahun kita merdeka, kumpulan-kumpulan kongsi gelap seperti ini terus bertapak malah semakin kukuh dengan banyak rangkaian yang menjaga sesuatu kawasan seperti mengawal kelab malam, memungut wang perlindungan, menjaga tempat letak kereta, menarik kereta, menjadi pembunuh upahan, mencederakan mangsa dengan senjata api dan lain-lain.

Kita tidak mahu kongsi-kongsi gelap ini terus merekrut anak-anak muda kita untuk menjadi penjenayah yang kejam pada masa akan datang. Tiada maknanya, pembangunan yang pesat seiring dengan kemerdekaan negara sekiranya negara masih dibelenggu dengan kejadian-kejadian jenayah berat dan kegiatan kongsi gelap.

Maka sudah sewajarnya, jika kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang dikatakan menjadi ibu kepada segala jenis kegiatan jenayah di negara ini dibanteras habis-habisan.

Dan siasat juga kemungkinan ada ‘orang penting dan berpengaruh’ di negara ini yang menjadi penaung, penasihat dan memberi perlindungan kepada kumpulan-kumpulan ini yang menyukarkan mereka ditangkap.

Dalam pada itu, kita juga mahu tindakan-tindakan tegas yang diambil oleh polis dalam menangkap penjenayah dan mencegah jenayah tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Biarlah pihak polis menjalankan kerja-kerja mereka. Apabila tiada tangkapan dibuat ada sebilangan daripada kita bising dan mengatakan polis hanya duduk diam atau polis tidur, dan bila penjenayah mati ditembak polis ditimbulkan pula mengenai prosedur menembak penjenayah. Perlu diakui, di negara ini memang banyak tukang kritik dan tukang komen dan diakui juga tidak semuanya kritikan itu bijak dan munasabah.

Begitu juga dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan sesuatu kaum. Janganlah memandang kes-kes jenayah yang membabitkan mana-mana kaum sebagai isu perkauman. Soal keselamatan adalah menjadi isu besar kepada semua kaum. Semua kaum perlukan jaminan keselamatan dan perlindungan. Berlaku adillah kepada semua kaum.

Kita juga berharap agar kerja-kerja keras yang dilakukan oleh pihak polis siang dan malam dalam mencegah jenayah seperti ‘Op Cantas’ untuk menghumban penjenayah- penjenayah ini ke penjara dan ke tali gantung berbaloi supaya tidak ada cakap-cakap bahawa di negara ini ‘polis jadi tukang tangkap dan mahkamah pula tukang lepas’.

Keyakinan orang ramai terhadap keupayaan polis dan sistem perundangan negara kita harus terus ditingkatkan.Walaupun cakap-cakap ini sekadar persepsi, ia perlu dipandang serius untuk memastikan undang-undang negara ini tidak diperlekeh dan dihormati.



Fauziah Arof Utusan Malaysia Online Rencana 20130831

Suraya, Fathul Bari dan kepimpinan baharu Puteri

SUASANA rumah terbuka Aidilfitri Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada Jumaat lalu agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Mood pemilihan begitu terasa malah ada pengacara majlis secara bersahaja sempat memperkenalkan diri sebagai calon.

Perbualan mahupun ucapan di sekitar Dewan Merdeka PWTC banyak berkisar soal pemilihan. Tahun ini, UMNO melakukan anjakan transformasi pemilihan yang begitu besar maknanya dengan kira-kira 150,000 ahli akar umbi terlibat memilih kepimpinan pusat.

Dengan landskap pemilihan yang jauh berbeza yang akan diadakan serentak di 191 bahagian, cara berkempen juga banyak berubah. Hanya pemimpin yang dikenali, teruji kewibawaan dan karismanya berpotensi untuk dipilih di peringkat pusat dan bahagian.

Begitupun pada Jumaat itu dalam suasana persaingan, masing-masing membaur dalam suasana ceria. Setiap tahun sejak majlis rumah terbuka tiga sayap parti diperkenalkan pada 2009, tidak kurang 10,000 orang menghadirinya. Tetamu sentiasa melimpah ruah sehingga ke luar dewan.

Orang yang paling sibuk ialah tuan rumah, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin. Shahrizat dan Khairy dijangka tidak menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Kepimpinan Shahrizat dan Khairy yang baru sepenggal menakhoda sayap masing-masing masih diperlukan. Itu yang dapat dirasai bahkan dinyatakan sama ada secara tersirat atau tersurat oleh kepimpinan pelbagai peringkat - dari tertinggi hingga akar umbi.

Setakat ini hanya bekas Ketua Puteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang tampil menawarkan diri secara terbuka sebagai calon Ketua Wanita UMNO. Ahli Parlimen Pengerang itu pun telah menggerakkan kempennya secara agresif.

Beberapa pemimpin wanita yang dirasakan layak menerajui Wanita UMNO masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Mereka masih mengintai-intai peluang kerana bukan kerja mudah untuk mencabar Shahrizat yang punya aura dan tarikan istimewa kepada Wanita.

Yang agak menonjol di Dewan Merdeka itu ialah kelibat Datuk Suraya Yaacob. Satu-satunya ahli Puteri terpilih menganggotai Exco Wanita ini ada cara tersendiri untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak.

Penampilannya memang selalu bersemangat. Beliau memberikan kad khas berukuran hampir dua kali ganda kad kredit kepada setiap orang yang baru dikenalinya. Gayanya, gaya Wanita UMNO yang ramah dan mesra. Geraknya, sigap, cara orang muda.

Kesungguhan Tokoh Belia Nasional ini untuk mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua Wanita dapat dirasakan. Tersepit antara Shahrizat dan Azalina yang juga bekas ketuanya beliau menyatakan "Saya menyokong penuh kepimpinan Shahrizat sebagai Ketua Wanita dan menghormati keputusan Azalina yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan tersebut."

Ditanya beliau tim siapa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Pendang ini pantas menjawab "Ini pertandingan dalam keluarga, tidak ada mana-mana tim," Seperti sudah terakam rapi dalam mindanya, beliau tanpa bertele-tele menceritakan misi dan visinya.

Sentimen

Setakat ini, pencabar Suraya ialah Datuk Azizah Mohd. Dun, Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sentimen orang Sabah dan banyak pengalaman dikatakan memberi kelebihan kepada Azizah tetapi belum ada petunjuk jelas siapa yang mempunyai peluang lebih besar. Sesiapapun yang bakal mengisi jawatan itu berpotensi besar untuk diangkat sebagai ketua kelak. Begitulah selalunya tradisi Wanita.

Yang nampak kurang terbeban dengan mood pemilihan dalam majlis itu ialah Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim. Beliau yang melepaskan jawatan kerana faktor umur tidak bercadang untuk mencabar kedudukan Khairy dan antara pemimpin Pemuda yang akan diangkat bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT).

Setakat ini, empat orang menawarkan diri mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua. Semuanya bukan nama asing - Exco Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam; Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Haron, Ketua Pemuda Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Lenggong, Mohd. Iruan Zulkefli.

Angka itu dijangka bertambah. Bursa pemilihan Pemuda memang selalu menarik ramai pemimpinnya untuk mencuba nasib. Untuk jawatan Exco, sudah terdapat 160 calon yang menyatakan hasrat mengisi jawatan tersebut.

Tetapi dalam kumandang lagu Aidilfitri di Dewan Merdeka itu, ada suara mencadangkan agar ulama muda, Fathul Bari Mat Jahya bertanding jawatan Naib Ketua. Kata mereka. wibawa dan karisma Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu) ini sangat sempurna untuk diletakkan dalam saf kepimpinan Pemuda.

Lagipun Fathul Bari yang mewakili golongan muda berpendidikan Islam dengan UMNO semakin akrab. Kehadirannya dalam setiap kali Perhimpunan Agung UMNO memberi impak berbeza. Beliau sentiasa menjadi pilihan sebagai pembahas terbaik.

Perbahasan beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang menyelitkan video doa Pas mendapat penghormatan para perwakilan. Seorang Fathul Bari telah menjadi ikon memberi imej UMNO yang tetap relevan dan inklusif.

"Kalau Fathul Bari bertanding Naib Ketua, menang mudahlah dia," sampuk beberapa orang dalam kelompok yang sedang hangat membincangkan soal pemilihan dalam UMNO. Walau bagaimanapun kelibat Fathul Bari tidak pula kelihatan dalam majlis Aidilfitri itu.

Yang pasti bakal mendapat ketua baharu ialah Puteri UMNO. Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsuddin dan Ketua Puteri UMNO Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman adalah antara yang menawarkan diri. Dijangkakan lebih ramai ahli Puteri akan mengisi banyak kekosongan dalam jawatan Exco pergerakan itu.

Untuk jawatan Exco, terdapat lebih 20 kerusi Exco yang kosong. Kebanyakannya kerana faktor usia. Ramai yang berhijrah meneruskan perjuangan dengan mencuba nasib dalam Wanita.

Selain Rosnah, pemimpin yang pernah mengepalai Puteri, Datuk Noraini Ahmad (Ahli Parlimen Parit Sulong) turut menawarkan diri bertanding Exco Wanita. Jika dalam pemilihan 2008 ramai ahli Puteri gagal menyertai saf kepimpinan Wanita, nasib mereka diramal lebih cerah kali ini.



Zulkefli Hamzah warungrakyatmingguan@gmail.com Utusan Malaysia Online Rencana 20130901

Pemilihan pemimpin UMNO

UMNO sudah berusia 67 tahun. Semua pengasas-pengasas UMNO sudah meninggal dunia. Mereka yang menyaksikan penubuhan UMNO dari jauh dan dekat tidak ramai yang masih ada. Pemimpin di peringkat bawah pun tidak berapa kerat yang masih ada dan amat kurang yang masih aktif dalam UMNO.

Malah ramai juga antara pemimpin yang ada sekarang yang sudah berumur. Di antara mereka terdapat ramai yang sudah lama berkhidmat sebagai pemimpin di peringkat bawah sampai ke atas. Ahli pun ramai juga yang sudah berumur. Tidak ramai yang muda dan amat berkurangan yang remaja.

Pendek kata UMNO adalah parti politik yang tua. Tidak banyak perubahan kepimpinan terdapat dalam UMNO. Bagi orang muda mereka melihat muka-muka itu sahaja. Dan mereka meluat.

Kita sedar akan “generation gap" yang terdapat dalam mana-mana masyarakat. Tentulah dalam UMNO juga terdapat “generation gap" di mana yang tua dan lama tidak memahami yang muda dan pemikiran mereka.

UMNO sudah tua. Hanya satu sahaja cara yang UMNO boleh mengatasi “generation gap". Ia ialah dengan menerima masuk generasi muda dan memberi tempat kepada mereka dalam parti dan kepimpinannya.

Saya masih ingat tentangan oleh Wanita apabila cadangan untuk menubuhkan Puteri dibincangkan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Wanita berpendapat Puteri tidak perlu kerana mana-mana wanita boleh menyertai Wanita UMNO. Tetapi ramai yang berminat untuk menyertai UMNO tidak senang untuk menyertai Wanita UMNO, menyertai kumpulan yang jauh lebih tua daripada mereka dengan kepimpinan yang tidak berubah tahun demi tahun.

Mereka berpendapat mereka tidak akan berpeluang menyuarakan pendapat mereka, jauh sekali daripada menjadi pemimpin. Mereka perlu berada dalam Wanita bertahun-tahun sebelum dapat memain peranan yang bermakna.

MT membuat keputusan untuk menubuhkan Puteri dan ramailah yang berminat daripada generasi muda yang menyertai Puteri dan menyumbang kepada kecergasan UMNO.

Bagi pemuda sudah lama masalah ini berada. Tetapi aktivitinya bergantung kepada kepintaran, semangat dan personaliti pemimpin. Di masa-masa lampau, terutama Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Pemuda ternampak malap dan kurang aktif berkempen. Ini merugikan parti kerana generasi mudalah yang dahulu begitu kuat berkempen untuk kemenangan calon-calon UMNO.

Pemuda sering menuntut supaya lebih ramai daripada mereka menjadi calon dalam pilihan raya bahkan dilantik jadi Menteri. Alasan mereka ialah kerana yang muda dalam parti mestilah diberi tempat dalam parti dan kerajaan kerana sumbangan mereka berkempen untuk parti.

UMNO memang bersetuju. Ramai juga pemuda yang dicalon dan menang menjadi Yang Berhormat. Malangnya apabila mereka tidak lagi muda, sudah dewasa, mereka tidak ingin melepaskan tempat mereka. Maka sukarlah bagi pemuda lain diberi tempat.

Sebenarnya ramai orang muda ingin menyertai Pemuda UMNO sekarang ini pun. Penyertaan mereka tetap akan memberi darah baru kepada parti. Lebih cekap dan layak mereka, terutama dalam berbagai bidang profesional, lebih banyak sumbangan dapat mereka beri kepada parti. Dan sudah tentu UMNO akan terus bermaya jika yang tua dari ahli dan pemimpinnya diganti dengan yang muda.

Tetapi hari ini pandangan muda-mudi Melayu tidak lagi sama seperti pandangan generasi yang membentuk dan menentu matlamat perjuangan UMNO. Kita dapati ada di antara mereka, termasuk yang terpelajar, yang berpendapat perjuangan UMNO untuk bangsa, agama dan negara tidak lagi relevan. Mereka berpendapat perjuangan untuk bangsa Melayu adalah lapuk dan ketinggalan zaman.

Mereka percaya sokongan kerajaan kepada bangsa Melayu memalukan dan tidak adil kepada bangsa lain. Yang aneh ialah mereka sendiri berjaya dalam kehidupan mereka kerana menikmati dasar kerajaan untuk menolong mereka. Setelah mereka mengecapi nikmat ini mereka tidak ingin melihat generasi susulan mendapat nikmat yang sama.

Saya telah berjumpa dan berbincang politik dengan beberapa daripada mereka. Maklumat berkenaan politik amat berkurangan dalam kalangan mereka. Yang telah ke negara-negara Barat telah diserap pemikiran dan nilai-nilai Barat berkenaan konsep persamaan (equality), hak asasi manusia dan konsep keadilan Barat.

Tanpa mengambil kira keadaan di negara sendiri, terutama berkenaan ketidakseimbangan kedudukan antara kaum, mereka luahkan sahaja konsep-konsep Barat yang mengagumi mereka.

Kalau mereka ini menyertai UMNO, besar kemungkinan UMNO akan bertukar menjadi parti yang tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air, tetapi parti liberal ala Barat. Sebaliknya orang Melayu belum boleh liberal dengan sedikit yang ada pada mereka. Oleh itu jika kita ingin terima mereka, mereka perlu diberitahu akan kedudukan orang Melayu yang sebenar.

Bagi mereka kursus politik Melayu dan perjuangan UMNO mestilah diadakan. Mereka perlu diberitahu akan ketidakseimbangan kedudukan antara kaum supaya perjuangan untuk mengurangkan keadaan ini dan matlamat untuk bangsa, agama dan negara dapat diteruskan.

Walaubagaimanapun kemasukan mereka adalah penting jika UMNO ingin membersihkan imej UMNO.

Hari ini ramai yang berpendapat UMNO banyak terlibat dengan rasuah. Bahkan pemimpin UMNO di semua peringkat dianggap menyertai UMNO bukan kerana bangsa, agama dan negara tetapi ingin memperkayakan diri.

Hanya dengan memberi kepimpinan UMNO kepada orang yang muda dan belum tercemar barulah pembersihan UMNO boleh menjadi kenyataan, dan diterima oleh masyarakat.

Saya dengar desakan-desakan supaya dikekalkan semua ahli MT yang sedia ada. Jika ini dilakukan maka sukar bagi orang ramai mempercayai yang UMNO ingin membersihkan parti dan menukar imejnya. Mereka akan kekal dengan perasaan jijik mereka terhadap UMNO.

Walaupun saya sokong cadangan supaya tidak ada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden demi mengekalkan perpaduan dalam parti, tetapi untuk semua jawatan lain, pertandingan perlu diadakan secara tersusun dan teratur. Sesiapa yang mengguna duit perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Disiplin. Hukuman yang dijatuhkan dan pelaksanaannya mestilah sama bagi kesalahan yang sama. Tidak seharusnya pilih kasih diperlihat dalam menjalankan hukuman seperti yang berlaku dahulu.

Sesiapa sahaja dalam parti, Wanita, Pemuda dan Puteri patut diterima sebagai calon. Hanya yang muflis atau terlibat dengan jenayah sahaja yang tidak boleh dibenar bertanding.

Hanya jika ternampak ramai muka baru dan muda barulah UMNO akan dipercayai orang ramai, sudah berubah dan sudah dibersihkan.

Manusia tidak pernah bersih dari kecacatan. Saya yakin walau apa pun sistem yang diguna, walau apa pun hasil yang dihasilkan, akan ada sahaja kecacatan. Untuk ini kepimpinan yang menghubungi yang lama dengan yang baru (dan muda) mestilah bijak dan cekap untuk menangani kepincangan yang akan berlaku.

Saya berdoa dan merayu kepada pemimpin yang sedia ada untuk menerima perubahan dan rela undur. Janganlah kita melebihi tempoh yang diberi kepada kita. Utamakan UMNO dan ketepikan kepentingan dan cita-cita besar diri sendiri.



Utusan Malaysia Online Rencana 20130901