September 7th, 2013

Tegas Banteras Kongsi Gelap

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 4 Ogos 2013 menyiarkan artikel mengenai usaha pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan kongsi gelap yang dikatakan menjadi dalang dalam kejadian tembak di seluruh negara.

Artikel bertajuk ‘Kawal dan banteras kongsi gelap’ yang ditulis oleh Tan Choon Ann disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C8.

Operasi gempur bagi membanteras kongsi gelap yang dilaksanakan kerajaan Malaysia kali ini tidak boleh dipandang remeh.

Selain daripada melancarkan pembersihan bertubi-tubi dan menangkap ahli-ahli kongsi gelap yang terlibat, pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menyenaraikan 49 nama pertubuhan haram itu.

Mengikut statistik, ahli-ahli kongsi gelap sekarang berjumlah 40,313 orang dengan penglibatan utama mereka adalah dalam pengedaran dadah, pembunuhan, ugut dan pelbagai kegiatan jenayah lain.

Apa yang memeranjatkan kita, di kalangan ahli-ahli kongsi gelap ini, penglibatan kaum India adalah lebih ramai.

Orang Cina yang kedua dan orang Melayu paling sedikit iaitu hanya 1,923 orang! Tidak sampai lima peratus jika dibandingkan dengan bilangan keseluruhan ahli-ahli kongsi gelap.

Sebenarnya usaha membanteras kongsi gelap juga pernah dijalankan di Singapura ketika awal 1950-an dan 1960-an semasa keadaan di sana tidak menentu.

Ketika itu pasukan khas dari Indonesia membuat kekecohan dan kongsi-kongsi gelap berkeliaran dan bermaharajalela.

Mereka bergabung dengan pasukan khas Indonesia bagi mendapatkan senjata api seperti senapang dan peralatan membuat bom.

Mereka melakukan rompakan, penculikan dan membunuh menggunakan senjata api sehingga menyebabkan semua orang hidup dalam kebimbangan.

Pada masa itu, ketua-ketua kongsi gelap yang digelar dua laras pistol, Hu Jin Zhi dan manusia 1,000 wajah, Lim Ban Ling dianggap hero yang hebat dan disanjungi.

Pihak kerajaan berusaha sedaya upaya membanteras mereka untuk menghapuskan ‘kudis’ dalam masyarakat.

Akhirnya pada 1959, setelah akta dipinda, pihak polis diberi lebih kuasa termasuk tidak perlu mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan orang yang melakukan jenayah.

Penjenayah terbabit boleh ditahan selama setahun dan selepas itu KDN diberi kuasa untuk melanjutkan tempoh tahanan berkenaan.

Penggubalan Akta 55 itu memberikan kad kuasa kepada polis untuk menjalankan Operasi Helang yang telah memberikan kesan yang baik untuk membanteras ahli-ahli kongsi gelap.

Antara kongsi gelap yang aktif pada masa itu ialah kumpulan 108, 24, 36 dan 969. Ketua-ketua samseng dan kaki pukul telah dapat ditangkap dan didakwa kerana pelbagai kesalahan termasuk pecah rumah, menculik, mengugut dan membunuh.

Pada masa itu, ahli-ahli kumpulan gelap yang dipenjarakan amat berdendam dengan Akta 55. Semasa dalam tahanan mereka menyanyikan lagu ciptaan masing-masing yang menunjukkan perasaan benci mereka terhadap akta berkenaan.

Tahap keselamatan dan kehidupan sosial di Singapura hari ini kelihatan bagus dan boleh dikatakan yang terbaik di Asia, tetapi adakah kongsi gelap terus terkubur?

Adakah kongsi gelap telah dapat dibersihkan sepenuhnya dalam masyarakat? Kelihatan ia tidak seperti apa yang dijangkakan!

Benih-benih yang bertaburan tetap masih wujud dan kongsi gelap masih berperanan melindungi pusat hiburan dan perjudian serta terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok dan ah long.

Bagaimanapun, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah selepas operasi pembanterasan pada 1950-an dan 1960-an, kekuatan sebenar kongsi gelap tidak dapat dipulihkan semula.

Kongsi gelap hari ini hanya berperanan seperti penjenayah jalanan yang ahli-ahlinya terlibat dengan pergaduhan, pembunuhan dan merosakkan harta benda awam.

Kumpulan ini bukan lagi satu pertubuhan terancang dan ia juga tidak lagi mempunyai keupayaan untuk menggugat keamanan sosial.

Adakah kerajaan Malaysia boleh mengambil iktibar daripada Operasi Helang Singapura? Sekurang-kurangnya kumpulan kongsi gelap ini tidak dapat membiak.

Pembiakan kongsi gelap ini boleh berlaku apabila berlaku pengangguran, kemiskinan dan wujud perasaan hampa dengan kehidupan yang dijalani sekarang.

Kongsi gelap juga dengan cepat dapat berkembang dan memperoleh banyak keuntungan jika kerajaan membiarkan sahaja aktiviti pelacuran, pusat judi haram, pengedaran dadah, pinjaman wang haram serta aktiviti memperdagangkan manusia.

Jika ekonomi di sesebuah negara tidak memberangsangkan, akan berlaku kucar-kacir dalam masyarakat.

Perbalahan politik juga akan menjadi semakin sengit sehingga menyebabkan ada pihak yang sanggup bersekongkol dengan kongsi gelap dan samseng.

Jika ini berlaku, sudah tentu pihak polis tidak mampu lagi membanteras kongsi gelap. Mereka yang bertungkus lumus bekerja hanya akan mendapat penat sahaja.



Isu-Isu Akhbar Cina Utusan Malaysia Online Rencana 20130905

Kongsi gelap sudah lama bertapak

JENAYAH kekerasan yang berlaku di seluruh negara sejak kebelakangan ini khususnya yang membabitkan kongsi gelap yang dikatakan mempunyai 40,000 ahli cukup merisaukan orang ramai.

Dalam masa sama, pihak berkuasa pula diperlekehkan kerana dikatakan gagal menangani gejala terbabit dengan berkesan.

Apabila polis bertindak tegas melancarkan Ops Cantas termasuk membunuh penjenayah terbabit, ada pula pihak yang mempersoalkannya semata-mata bagi meraih keuntungan politik.

Pihak polis tiada pilihan lain untuk menangani gejala kongsi gelap kerana Ordinan Darurat (EO) 1969 yang membolehkan penjenayah dihantar ke pusat-pusat tahanan seperti di Simpang Renggam, Johor atau Pulau Jerejak, Pulau Pinang telah dimansuhkan.

Sebenarnya kewujudan kongsi gelap yang selalunya dikaitkan dengan kegiatan jenayah terancang telah dibawa oleh orang Cina yang datang ke negara ini untuk menjalankan kerja-kerja perlombongan bijih timah, khususnya kumpulan Ghee Hin dan Hai San.

Bagaimanapun, kongsi gelap tidak boleh dikaitkan dengan orang Cina semata-mata kerana maklumat terkini menunjukkan kebanyakan anggota kongsi gelap adalah kaum India dan terdapat juga orang Melayu.

BOTAK CHIN

DALAM sejarah negara kita, antara ketua samseng yang sering dikaitkan dengan kongsi gelap adalah Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin yang aktif melakukan rompakan ala ‘Robin Hood’ sekitar 1970-an.

Botak Chin merujuk kepada gabungan tiga perkataan ‘Bo Tak Chin’ dalam dialek Hokkien yang membawa maksud Cina tiada kerja.

Botak Chin adalah seorang yang kejam apabila sanggup membunuh orang kanan yang cuba melawannya dan tidak teragak-agak menembak mati anggota kumpulannya sendiri yang disyaki menjadi pengintip polis.


BOTAK CHIN diiringi oleh anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi untuk dibawa ke Penjara Pudu, Kuala Lumpur pada 17 Mei 1980.

Dia juga cuba membunuh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ketika itu, Deputi Superintendan, S. Kulasingam di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling pada 22 November 1975.

Akhirnya dengan maklumat anggota kumpulan itu yang belot, Botak Chin dan kuncu-kuncunya berjaya ditangkap polis dalam satu serbuan di sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 16 Februari 1976.

Pada 12 Mei 1980, lelaki bujang berusia 27 tahun ini didakwa mengikut tiga pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan bom tangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Ketika menunggu hukuman mati dilaksanakan, dia bertindak menyerang dan mencederakan warden penjara dengan senjata tajam sebanyak dua kali. Botak Chin dihukum gantung sampai mati pada pukul 3 pagi, 11 Jun 1981 di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.

BENTONG KALI

PENJENAYAH yang nama sebenarnya P. Kalimuthu (gambar), 32, dikehendaki kerana terlibat dengan 16 pembunuhan yang dilakukannya tanpa sebarang sebab.

Dia dikatakan mudah membunuh sesiapa sahaja apabila berang. Antara mangsanya, seorang penjual roti canai berusia 24 tahun yang ditembak mati di Taman Tanming Jaya, Kuala Lumpur kerana menegur sikap kurang ajarnya yang kencing berhampiran rumah mangsa.

Ketua Kongsi Gelap 04 yang berasal dari Bentong, Pahang ini turut disyaki terlibat dalam banyak lagi kes jenayah termasuk mencederakan polis dan mengedar dadah.

Beliau pernah dipenjara beberapa kali termasuk dikenakan sekatan kediaman terhad tetapi hukuman itu tidak menginsafkannya yang terus menjalankan kegiatannya di sekitar ibu kota iaitu

di Jalan Klang Lama, Brickfields, Segambut dan Sungei Way. Dia juga dikatakan cukup berani untuk menelefon dan mencabar pegawai polis.

Polis telah melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 bagi menjejakinya menerusi kelongsong peluru sembilan milimeter daripada pistol Sig Sauer buatan Jerman yang dijumpai dalam kebanyakan kes pembunuhannya.

Bentong Kali dan dua pengikutnya ditembak mati dalam satu serbuan polis di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 6.30 pagi, 29 Jun 1993.

GENG MAMAK

KUMPULAN yang aktif sejak awal 1980-an diasaskan oleh beberapa adik beradik termasuk Mohd. Yusof

Abu Bakar yang merupakan anak seorang peminjam wang di Kuala Kangsar, Perak.

Teraju kumpulan itu kemudiannya diambil alih Khairul Affendy Mohd. Noor setelah kebanyakan anggota asalnya ditahan polis.

Mereka telah melakukan lebih 150 rompakan di seluruh Semenanjung dengan menjadikan gudang, kompleks kargo udara, lori, kereta mewah dan bank sebagai sasaran dengan nilai kerugian kira-kira RM50 juta.

Kumpulan 60 anggota itu sering menggunakan kaedah penyamaran sebagai anggota trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), imigresen dan kastam sehingga berjaya mencuri jongkong emas, mikrocip dan pelbagai barangan elektronik.

Ketuanya, Mohd. Yusof, 38, berjaya ditangkap pada 2000 tetapi kemudiannya melarikan diri daripada tahanan polis.

Khairul Affendy pula pernah ditangkap pada 2002 dan kemudiannya pada 2006 tetapi turut berjaya melepaskan diri.

Mohd. Yusof dan beberapa anggota kumpulannya kemudian berjaya ditangkap semula di sebuah kondominium di Puchong Perdana, Selangor pada 2005.

MAT KOMANDO

PENJENAYAH yang nama asalnya Ahmad Mohd. Arshad, 37, mengetuai kongsi gelap Kumpulan 13 yang telah melakukan lebih 52 kes samun bersenjata membabitkan wang tunai lebih RM2.5 juta dan satu kes cubaan membunuh.

Kumpulan diketuai beliau cukup berani merompak tanpa memakai topeng dengan menjadikan cawangan bank terpencil, pemborong kelapa sawit, pengurup wang dan kedai pajak gadai sebagai sasaran.

Dia yang berasal dari Kampung Selengkoh, Yan, Kedah mempunyai sifat pendiam dan bukan seorang yang bersifat bengis ketika bersama rakan-rakan dan keluarga sehingga menyebabkan mereka sukar percaya dia terlibat dalam kegiatan jenayah.

Dia didakwa mempunyai ilmu batin sehingga membolehkannya beberapa kali melepaskan diri daripada kepungan polis. Ketika diburu dia sering mengubah penampilannya termasuk berjanggut dan berjambang ala-Taliban atau membotakkan kepala.

Dia mati ditembak dalam Ops Api Sawit 2 di Felcra Kampung Hujung Ketun, Pendang, Kedah, pada pukul 6.30 pagi, 12 September 2002.



NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20130907

Peranti jejaki penjenayah

SEKATAN yang dikenakan terhadap pelaku jenayah, mempunyai beberapa kelemahan. Meletakkan seorang anggota polis untuk setiap pesalah bagi mengawal pergerakan si pesalah ialah sesuatu yang 'absurd' - seolah-olah polis tidak ada kerja lain yang perlu dilakukan.

Oleh demikian, dalam abad ke-21, dengan kemajuan sains dan teknologi, penggunaan teknologi dalam usaha membanteras jenayah merupakan sesuatu yang jelas, lagi nyata. Satu teknologi yang sudah diguna secara meluas di banyak negara maju dan membangun oleh pihak polis di negara masing-masing ialah penggunaan peranti pengawasan elektronik (EMD).

Penganalisis jenayah, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, dalam aspek ini, sebuah peranti kecil akan dipasangkan pada suspek jenayah atau pesalah bagi membolehkan pergerakan mereka sehari-hari diperhatikan oleh pihak polis.

"Individu yang dipasangkan peranti ini boleh dikesan di mana sahaja ia berada. Ini termasuklah kalau ke luar negara dengan kemudahan GSM roaming.

"Sistem GPS yang serba canggih digunakan oleh teknologi EMD menjadikan teknologi ini jelas satu langkah seterusnya untuk pihak polis terus melawan jenayah di negara kita berbekalkan peralatan canggih yang terkini," kata beliau kepada penulis baru-baru ini.

Ahmad Faris yang juga Pengerusi Sekretariat Anti-Jenayah - sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu pihak berkuasa membanteras jenayah - berkata, penggunaan EMD tidak perlu dikhuatiri atas penyalahgunaannya atas tujuan politik.

Ini kerana penggunaan EMD dilaksanakan atas prinsip SOSMA atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Beliau merujuk Seksyen 4 yang memberikan kuasa penangkapan dan penahanan kepada pihak polis, iaitu perkara (3): "Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya". Maksud "kepercayaan dan aktiviti politik" diterangkan dengan lebih lanjut dalam perkara (12) di bawah seksyen yang sama di atas.

"SOSMA membenarkan suspek untuk dipakaikan EMD selepas diikat jamin sehingga 28 hari daripada hari tahanan. Ini membolehkan pihak polis menjejak suspek semula sehingga keadaan memerlukan.

"Pemasangan EMD juga satu langkah sekatan bagi mengelakkan suspek daripada melakukan jenayah sekali lagi. Melalui EMD, mudah untuk pihak polis mengenal pasti sekiranya suspek berada di

lokasi kejadian sesuatu jenayah berlaku.

"Tambahan pula, menyedari pergerakannya diperhatikan, suspek secara tidak langsung tidak akan berani untuk melibatkan diri daripada kegiatan jenayah mahupun ke lokasi yang boleh menimbulkan syak wasangka daripada polis," kata beliau.

Berdasarkan undang-undang yang ada, penggunaan EMD agak terhad hanya untuk pemakaian kepada suspek jenayah.

"Mungkin saya terlepas pandang, tetapi wajar penggunaan EMD ini diperluaskan kepada pemakaian pada semua banduan yang menjalani hukuman sekatan.

"Satu cadangan dalam penggunaan EMD adalah dalam kes melibatkan ikat jamin. Untuk kes jenayah yang boleh diikat jamin, sekiranya tertuduh tidak mampu membayar kos ikat jamin, undang-undang wajar memberi peluang untuk tertuduh dibebaskan dengan syarat individu terbabit bersetuju untuk dipasangkan peranti pengawasan pada tubuh badannya.

"Juga, bagi kes yang tidak boleh diikat jamin, mahkamah seharusnya diberi kuasa menggunakan budi bicara mahkamah untuk mengizinkan tertuduh diikat jamin seterusnya diwajibkan untuk individu tersebut dipasangkan EMD," kata Ahmad Faris.

Begitu juga dalam Akta Pencegahan Jenayah 1959. Pada masa ini, kata beliau, akta itu hanya melibatkan penahanan suspek. Kemudahan yang ada dikhuatiri tak akan mampu menampung semua yang ditahan dalam tahanan.

Oleh hal yang demikian, akta tersebut disaran untuk digubal agar diselitkan elemen sekatan di dalamnya supaya suspek yang dianggap kurang memberi ancaman boleh dilepaskan dan EMD dipasangkan pada orang tersebut.

"Kalau mahu dibidas penggunaan ini yang menyekat kebebasan si pemakai daripada bergerak tanpa dikawal, kita perlu ambil perkiraan lain pula bahawa pemakaian EMD ini merupakan salah satu daripada elemen pencegahan jenayah.

"Penggunaan EMD ini tergolong dalam elemen sekatan yang mana penjenayah atau suspek jenayah akan disekat pergerakan mereka daripada dimasukkan terus dalam tahanan," katanya.

Perlu diingat, kata Ahmad Faris, EMD yang digunakan secara menyeluruh di banyak negara hanya terdiri daripada dua jenis peranti iaitu peranti di tangan atau peranti di kaki. EMD bentuk itu menepati kehendak hak asasi manusia secara umumnya.

Kata beliau: "Malah, kalau dilihat melalui perspektif yang lebih tepat, kita bukan menyekat kebebasan mereka, namun kita memberi mereka lebih banyak kebebasan kerana diberi peluang untuk bercampur dengan masyarakat tanpa ditahan dalam jeriji besi yang sempit.

"Kebebasan yang diberi ini cuma datang bersyarat iaitu pergerakan mereka perlu disekat dan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan untuk tempoh masa tertentu. EMD memberi PDRM peluang untuk melaksanakan undang-undang sekatan dengan lebih efisien dan efektif."

Dalam satu sudut, menerusi EMD, kerajaan memberi peluang kepada bekas penjenayah untuk memulakan hidup baru dengan lebih mudah. Di sebalik meluangkan tempoh masa yang lama dalam tahanan, banduan yang berkelakuan baik boleh diberi peluang untuk dilepaskan dengan syarat mereka bersetuju menghadapi hukuman sekatan.

Perkara ini secara tidak langsung memberi peluang untuk kita mengurangkan kos pengurusan penjara di Malaysia.

Malaysia bukanlah negara pertama yang akan menggunakan EMD ini. Banyak negara maju lain sudah melaksanakan pemakaian EMD dalam usaha mengawal jenayah dalam negara masing-masing.

Contoh pertama ialah England. Sedar atau tidak, sudah hampir 20 tahun EMD digunakan di England bagi mengawal jenayah di negara tersebut. Di negara Inggeris itu, pemakai EMD terdiri daripada banduan yang diberi pelepasan awal, mereka yang diikat jamin, hukuman mahkamah, kes juvenil dan beberapa sebab khas lain.

Selain England, Amerika Syarikat juga melaksanakan pemakaian EMD untuk elemen sekatan dalam usaha pencegahan jenayah di negara maju tersebut. Penggunaannya berbeza mengikut negeri.

Kata Ahmad Faris: "Untuk pelaksanaan di negara ini, England boleh menjadi model untuk dipelajari dan sudah tentu, jiran sebelah kita, Singapura, yang sudah menggunakan EMD lama sebelum kita.

"Hal ini merupakan sesuatu yang berguna untuk PDRM dalam usaha untuk mula menggunakan teknologi ini di Malaysia.

"Terdapat kelemahan dan kekurangan yang pernah dilakukan oleh negara lain dapat dipelajari dan diteladani agar tidak berulang kesilapan tersebut oleh PDRM."


ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20130906

Perkasa ramuan perangi rasuah

SALAH laku rasuah yang melibatkan penjawat awam seolah-olah tiada penghujungnya walaupun pelbagai pendekatan dilaksanakan oleh kerajaan melalui agensi-agensinya bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya rasuah.

Laporan statistik daripada laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa sebanyak 236 kes tangkapan direkodkan daripada Januari hingga Julai 2013. Pada 2012, SPRM mencatatkan 701 tangkapan berbanding 2011 sebanyka 944 tangkapan yang merupakan tangkapan tertinggi dalam sejarah sejak agensi pencegahan rasuah diwujudkan pada 1967.

Justeru, timbul persoalan apakah ramuan ampuh yang diperlukan bagi mengatasi masalah ini? Penulis ingin mengemukakan empat cadangan asas.

Pertama, nilai etika kerja Islam wajar diperkenal dan dilaksana oleh semua organisasi. Ada tiga asas nilai etika Islam iaitu Islam, iman dan ihsan. Islam bermaksud sejahtera, iman merupakan manifestasi kepercayaan dalam bentuk perlakuan manakala ihsan bermaksud meyakini bahawa Allah S.W.T sentiasa melihat kita.

Islam melihat etika kerja orang yang bekerja keras sebagai nilai yang baik dan akan mencapai kejayaan yang dikehendaki. Nilai kerja Islam dimotivasikan oleh iman dan ihsan.

Apabila nilai-nilai ini menjadi sebati dalam diri pekerja, maka matlamat kerja itu sendiri akan tercapai. Ia bukan sahaja berkisarkan pencapaian matlamat dunia seperti untung, produktiviti dan sebagainya, malah ia akan mendorong kejayaan di akhirat.

Maka apabila seseorang itu menjalankan tugasnya ataupun bekerja, dengan sendirinya bererti, bahawa insan tersebut sedang menunaikan amanah Allah. Dengan kata-kata lain hamba Allah itu beribadat.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud "Dan tidak Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk semata-mata beribadat kepada-Ku".

Kedua, kerajaan atau organisasi tertentu perlu menyediakan dana bagi membantu pekerja yang menghadapi masalah kewangan. Sebagai contoh, organisasi boleh mengutip wang zakat dan dijadikan dana untuk membantu pekerja organisasi tersebut.

Penulis percaya bahawa kebanyakan pekerja membuat potongan gaji untuk membayar zakat pendapatan. Apa yang boleh dilakukan oleh organisasi ialah dengan mewujudkan tabung dana yang mana potongan zakat setiap pekerja akan dimasukkan ke dalam tabung tersebut.

Dana ini boleh digunakan dalam hal-hal seperti kecemasan, pendidikan dan sebagainya. Misalnya, jika seseorang pekerja ditimpa kemalangan, dana ini boleh disalurkan secara terus kepada pekerja tersebut dengan cepat dan berkesan.

Usaha mewujudkan dana di setiap organisasi ini dipercayai dapat mengurangkan masalah kewangan pekerja. Ia juga secara langsung dapat merencatkan niat mereka untuk menerima rasuah.

Ketiga, semua sistem pengurusan dan pentadbiran perlu dilakukan secara atas talian. Ia dapat mengurangkan hubungan terus pekerja dengan pihak awam. Kurangnya interaksi ini dapat menyekat peluang-peluang untuk berlakunya rasuah.

Sebagai langkah awal, pihak kerajaan mungkin boleh menyelaraskan sistem penguatkuasaan pihak berkuasa seperti polis, kastam, dan imigresen. Sebagai contoh, sistem saman boleh dikeluarkan secara atas talian dengan pihak polis akan merekodkan secara terus setiap saman yang dikeluarkan. Pesalah perlu membayar wang saman tersebut juga secara atas talian.

Keempat, organisasi harus menyuburkan budaya ilmu di setiap peringkat. Penganjuran ceramah agama, kuliah, diskusi dan sebagainya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan bahaya rasuah.

Kelima, kesedaran bahaya rasuah wajar dibuat di semua peringkat pengajian. Ini termasuk pada peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Kesedaran di peringkat awal ini penting. Ini sejajar dengan pepatah jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Di peringkat prasekolah, anak-anak boleh dididik tentang sifat amanah, jujur dan ikhlas. Lakukan dalam bentuk hiburan dan permainan yang mana tujuannya adalah untuk mendidik mereka dengan nilai-nilai murni.

Di peringkat sekolah rendah dan menengah, subjek rasuah harus diwujudkan sebagai satu daripada subjek yang wajib dipelajari. Tekankan mengenai bahayanya rasuah kepada diri, bangsa dan agama.

Di peringkat institusi pengajian tinggi, kerjasama antara institusi dengan pihak SPRM perlu dilestarikan. Perkasakan bidang kajian rasuah dan berikan perhatian khusus kepada usaha membanteras rasuah.

Sebagai kesimpulannya, jenayah rasuah adalah satu daripada ancaman besar kepada negara. Justeru, kepada mereka yang masih bercita-cita untuk tidak berlaku jujur dalam pekerjaan mereka, penulis menyeru untuk menghentikannya segera. Niat perbuatan anda itu adalah salah.

Jadilah seorang pekerja yang jujur dan tidak pentingkan diri sendiri. Perbuatan menerima rasuah adalah perbuatan tidak beretika dan tidak diterima dalam Islam.

"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu dengan memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya". - Surah al- Baqarah ayat 188.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud; "Barangsiapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." (Hadis Riwayat Al-Bukhari).



RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pensyarah Kanan dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia Utusan Malaysia Online Rencana 20130906

Bisik-Bisik Awang Selamat PPPM

SALAH satu inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ialah mewujudkan 10,000 jawatan pembantu pentadbiran di semua sekolah seluruh negara, yang sekali gus membolehkan para guru memberi sepenuh tumpuan kepada tugas hakiki mereka. Guru-guru tidak akan lagi terbeban dengan kerja-kerja pentadbiran, yang selama ini menjadi sebahagian daripada tanggungjawab mereka.

Fokus para guru kepada tugas mengajar pasti akan memberi kesan kepada peningkatan kualiti pendidikan kepada anak-anak bangsa. Kita berharap idea baru ini akan menghapuskan keluh-kesah golongan tersebut yang merasa terbeban dengan tugas bukan pengajaran dan pembelajaran, seterusnya meningkatkan komitmen mereka dalam memberi ilmu terbaik kepada pelajar.

Selain mengajar, guru-guru selama ini banyak menjalankan kerja-kerja memasukkan data peperiksaan, rekod pelajar, butiran hal-hal berkaitan kokurikulum dan banyak lagi.

Dari segi penempatan secara berperingkat pembantu pentadbiran tersebut, amatlah elok jika keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah yang terlalu ramai pelajar misalnya yang melepasi 2,500 orang sebelum diperluaskan ke sekolah-sekolah lain.

Oleh kerana soal pendidikan ini adalah tanggungjawab semua pihak, maka amatlah tepat apabila PPPM turut melibatkan secara jelas golongan ibu bapa. Peruntukan khas yang bakal disalurkan kepada PIBG sudah pasti menjadi bukti komitmen kerajaan terhadap sumbangan ibu bapa terhadap kemajuan pendidikan negara.

Justeru ibu bapa menerusi PIBG perlulah memainkan peranan sebaik mungkin ke arah kecemerlangan pendidikan negara kita.

AWANG - Terima kasih. Utusan Malaysia Online Rencana 20130906

Hayati semangat dan roh PPPM

TIADA ibu bapa di dunia ini yang mahu anaknya menjadi insan yang tidak berilmu dan cetek pemikiran. Pendek kata kelahiran anak merupakan satu tugas yang berat untuk dipikul oleh golongan tersebut. Tanyalah kepada siapa sahaja malah kepada penjenayah sekalipun, mereka pasti mahu anak mereka menjadi manusia berguna dan tidak menjejak langkah sumbang mereka dalammengharungi kehidupan.

Bagi mencapai objektif mewujudkan generasi masa depan yang bakal kita tinggalkan untuk mewarisi negara ini, maka kerajaan perlu mewujudkan satu pelan pendidikan yang komprehensif yang dinamakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Namun amat menyedihkan pelan yang bertujuan baik itu dianggap sebagai satu wadah untuk memperkasa sesuatu bangsa dan bahasa semata-mata oleh sesetengah pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan dengan jelas menyatakan kelmarinbahawa ibu bapa turut diberi pengiktirafan dalam PPPM 2013-2025 dengan setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan menerima peruntukan khas. Peruntukan tersebut sudah pasti mampu menjadikan persatuan yang sering dilanda isu yuran tahunan tersebut untuk bergerak lebih berkesan dan penuh objektif menambah baik pembelajaran dan pengajaran (P&P) murid-murid di sekolah.

Muhyiddin juga menjelaskan menerusi PPPM, setiap sekolah akan dibekalkan sarana ibu bapa iaitu panduan untuk golongan itu menyumbang idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada sekolah. Langkah sedemikian jelas menunjukkan kerajaan tidak mahu dianggap sebagai tidak prihatin dengan pandangan golongan ibu bapa yang lahir dari sistem pendidikan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan Kokurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) itu sendiri satu masa dahulu.

Ditambah pula dengan pendedahan dunia maya menyebabkan masyarakat hari ini bukan sahaja meronta-ronta untuk melahirkan idea yang bernas malahan mahu menyumbang sesuatu yang berkualiti untuk meningkatkan pendidikan negara. Boleh dikatakan ibu bapa hari ini lebih terkehadapan dan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa zaman kerajaan tahu semua sudah berakhir.

Inilah masa untuk berkongsi kekayaan negara dan limpahan intelek yang hanya berkisar di laman-laman sembang media sosial dan di warung kopi Pak Mat semata-mata. Kadangkala apabila kita mendengar buah fikiran orang biasa berbanding golongan intelek di kerusi empuk ada kalanya ada logik yang boleh dipakai.

Misalnya, baru-baru ini penulis berjumpa dengan seorang rakan lama, yang mencadangkan agar anak-anak kita bukan sahaja diberi ilmu moden dan bahasa malahan pemakanan mereka dijaga sejak dari dalam perut ibu lagi. Caranya, beliau mencadangkan, agar kita memberi makan dan mengamalkan petua-petua oleh golongan Yahudi yang terkenal dengan bijaksana hingga menganggap mereka bangsa terbaik.

Dijelaskan juga teman tersebut, bahawa, tidak guna pemakanan tidak betul dan hentam keromo tetapi mahu mengajar perkara yang elok dan saintifik kepada anak-anak. Beliau memberi contoh wanita Yahudi semasa hamil akan belajar matematik tambahan, kimia, fizik dan biologi dan membuat ujian dengan tekun. Mereka percaya amalan ini mampu merangsang minda janin di dalam perut untuk lahir menjadi manusia yang bijak.

Teman itu juga memberitahu, pemakanan Nabi Muhammad SAW adalah yang terbaik. Susu kambing dengan kurma Ajwa tiga kali sehari mampu menguatkan ingatan dan memudahkan hati untuk menghafal apa ilmu sekalipun di dunia ini. Hari ini di negara ini, anak kita makan nasi lemak dengan nugget proses yang boleh diragui kehalalannya. Mengapa tidak pemakanan bangsa Yahudi yang positif diamalkan dan kaedah pemakanan Rasulullah SAW kita amalkan. Walaupun rejim Zionis itu terkenal dengan sikapnya namun sudut positif kita boleh ambil.

Namun apa yang dinyatakan itu hanya menyumbang sedikit 'kepintaran' anak kita kerana mereka perlu juga mempelajari ilmu akademik sambil melayari realiti hidup hari ini. Di negara kita, Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan merupakan bahasa pertuturan paling ramai di nusantara. Langkah memperkasakannya perlu dipandang oleh beberapa pertubuhan yang memandang serong kepadanya dengan pandangan mata hati. Kerajaan pasti jika bahasa rasmi tersebut lebih perkasa maka ia mampu menjadi bahasa ekonomi antarabangsa di dalam negara ini dan sekali gus mengukuhkan ikatan perpaduan yang pada masa ini menjadi taruhan politik parti tertentu.

Justeru, sempena pembentangan PPPM 2013-2025 kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghayati semangat dan roh pelan tersebut dengan memandang jauh ke hadapan dan melupakan sejenak persaingan politik yang jika dilayan tidak akan titik noktahnya.

Kita bangsa Malaysia yang mahu menjunjung kemuliaan sebagai negara maju dari segi ekonomi dan perpaduan sepatutnya melihat pelan yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk rakyat negara ini bukan rakyat negara luar mahupun pendatang asing tanpa izin. Apa salahnya mengikut cara baik dari kaum tertentu jika ia ada kebaikan.

Jika Bahasa Melayu mampu mengukuhkan perpaduan dan cara perniagaan orang Cina boleh dikongsi apa salahnya ia menjadi sebahagian PPPM. Bukankah Malaysia negara kita, tanah tumpahnya darah kita ke mana kita akan pergi jika kita terus berbalah soal ilmu. Bersatulah.



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Rencana 20130906

Gelombang transformasi pendidikan

11 September 2012, iaitu hampir setahun yang lalu dan di dewan ini juga, kita telah sama-sama menyaksikan Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Setahun adalah satu jangkamasa yang agak lama. Jika kita bertanam padi tentu sudah kita nikmati hasilnya, jika dahulu anak-anak pandai bertatih, kini sudah boleh melangkah gagah.

Begitu juga halnya dalam kita merangka satu pelan pembangunan pendidikan yang komprehensif, kementerian tidak bertindak tergesa-gesa malah kita mengambil pendekatan terbuka mendengar pelbagai pandangan daripada segenap lapisan masyarakat. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mendengar suara rakyat, baik di bandar, mahu pun di desa, hatta hingga nun jauh ke kawasan pedalaman, pandangan tulus daripada pelbagai persatuan, agensi kerajaan, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, serta pakar-pakar pendidikan dalam dan luar negara. Tidak lengkap dengan itu, PPPM ini kita bentangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta ahli Jemaah Menteri yang memberi sokongan yang cukup padu kepada pembangunan pelan ini. Pelan ini juga telah saya sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Dalam tempoh setahun setelah pelancaran laporan awal, KPM telah mengambil pertimbangan sewajarnya bagi setiap maklum balas yang diterima. Kami dengar, kami angkat suara hati rakyat dalam bentuk dokumen rasmi. Akhirnya pada hari ini, dengan segala data dan maklumat yang kami cerna sejak 2011 lahirlah PPPM 2013-2025. Pelan ini menjadi suatu dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara kerana ia merupakan suatu rangka pelan pendidikan yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.


Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Maka hari ini, KPM dengan rasa rendah hati "memulangkan" Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada rakyat dengan pelbagai rangka tindakan yang telah digalurkan sebagaimana yang diingini oleh rakyat untuk kepentingan rakyat seluruhnya. Pelan ini dilancarkan dengan harapan yang begitu tinggi daripada pihak kerajaan agar pendidikan menjadi tunjang kepada transformasi negara yang sedang diusahakan. Penghasilan pelan ini memulakan lembaran transformasi pendidikan tetapi juga menerajui transformasi perkhidmatan awam. Maka, tidak sempurna jika saya tidak mengungkapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan pelan pendidikan ini.

Kelainan dalam penghasilan PPPM

Bagi mencapai cita-cita besar untuk maju dalam pendidikan, KPM telah mencipta kelainan dan melangkaui semua kemungkinan dalam penghasilan PPPM. Suka saya nyatakan di sini, suatu kelainan dalam menyediakan PPPM 2013-2025 ini adalah dari segi penggunaan data dan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian, universiti tempatan, UNESCO dan juga Bank Negara. Kementerian telah menganalisis semula laporan awal sebelum ini seperti Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembanguan Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.

Kita tidak nafikan dalam usaha mengangkat kecemerlangan sistem pendidikan negara sejak merdeka, telah banyak perkara yang telah dicapai. Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.

Kejayaan ini memperlihatkan bahawa wujud amalan-amalan baik yang pernah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah yang membawa kepada keberhasilan dan peningkatan prestasi dalam sistem pendidikan kita. Contoh amalan baik ini juga adalah antara elemen yang diambil dalam merangka strategi pelaksanaan inisiatif-inisiatif PPPM. Sebagai tambahan, kementerian juga meneliti amalan terbaik daripada negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.

Dari sinilah kita memulakan perancangan untuk mengorak langkah bagi kembara yang panjang sehingga 2025. Ini bermakna, setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM ini, tidak dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarkan kepada fakta dan data selain daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.

Tumpuan kepada keberhasilan murid

PPPM 2013-2025 memberi tumpuan kepada keberhasilan murid. Pelan ini direncanakan sebegitu komprehensif yang melibatkan semua laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan di sekolah-sekolah kerajaan. Ia juga merangkumi semua peringkat persekolahan; daripada peringkat prasekolah hingga kepada peringkat lepasan menengah.

Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin yang mengambil inisiatif turun ke seluruh negara dan berjumpa dengan sejumlah 17,000 rakyat yang mengemukakan pandangan yang pelbagai dan hasil itulah yang kita cerna dan masukkan dalam pelan ini.

Dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tinggi bagi tempoh 13 tahun lagi, PPPM 2013-2025 telah memberi tumpuan utama kepada pembelajaran dan keberhasilan murid. Sebagai contoh, Kementerian telah memperkukuhkan dasar bahasa dengan memberi tumpuan kepada dua bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Malahan dalam siri dialog yang kita adakan di seluruh negara sebahagian besar mengutarakan kepentingan tentang bahasa Inggeris diperkukuhkan dan ini kita ambil kira dalam pelan ini. Kita juga, memantapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), ini penting untuk menentukan anak-anak kita bukan sahaja belajar dalam menghafal tapi faham dan tahu apa yang mereka belajar dan menggunakan akal fikiran pada tahap tinggi. Selain itu, kita memantapkan elemen etika dan kerohanian kerana elemen pembelajaran kita tidak hanya mahu menekankan aspek pembelajaran semata-mata, tetapi pembentukan sahsiah, menjadikan insan kamil dan roh pendidikan itu mesti disemai, ditanam dan diperkukuh dalam jiwa setiap anak-anak Malaysia dalam sistem persekolahan kita.

Dasar bahasa

Untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada semua murid tanpa mengira peringkat dan jenis sekolah, saya berani mengatakan semua aspek untuk meningkatkan kualiti pendidikan telah dikaji dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam. Dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam pelan ini.

Kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.

Kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia demi menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama untuk melahirkan generasi global, mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diberikan perhatian utama dan seperti yang telah diumumkan awal tahun ini akan dijadikan mata pelajaran SPM wajib lulus menjelang tahun 2016. Dalam memastikan pelaksanaan hasrat ini, Kementerian sedang dalam usaha menambah masa ataupun 'contact hours' di dalam kelas agar pendedahan/immersion murid-murid yang lebih dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan.

Saya sedang meneliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah satu sesi dan masih ada 1,600 sekolah dua sesi yang akan dijadikan sekolah satu sesi, maka tempoh waktu persekolahan dilanjutkan umpamanya menambah waktu persekolah sejam atau dua jam dan itu boleh kita gunakan untuk menambah contact hours untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa lain di seluruh sekolah.

Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa ini, PPPM menggariskan beberapa inisiatif. Antaranya ialah menambah baik Kurikulum Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan. Bagi murid yang lemah, kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain.

Dalam usaha meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa Inggeris pula, guru-guru Bahasa Inggeris telah diuji kemahiran mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT). Ekoran itu, kohort pertama seramai 5,000 orang telah mengikut latihan lanjutan oleh British Council, manakala seramai 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan pada Oktober nanti.

Suka saya nyatakan di sini, walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris menjadi agenda utama kementerian, murid juga digalakkan untuk menguasai bahasa tambahan. Kementerian tidak menghalang pengajaran pembelajaran bahasa ibunda malah membuka ruang dan peluang kepada murid untuk mendapatkan pendidikan bahasa tambahan seperti bahasa Arab dan Kadazan Dusun.

Selain berusaha untuk meningkatkan penguasaan dwibahasa, kemahiran berfikir aras tinggi, atau Higher Order Thinking Skills, juga menjadi fokus dalam usaha Kementerian untuk melonjakkan sistem pendidikan negara dalam kelompok negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Oleh itu, dalam pelan ini, dasar 60:40 yang mula diperkenalkan pada 1967 akan diperkukuhkan dengan meningkatkan kesedaran tentang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kurikulum bersepadu berasaskan standard antarabangsa akan dihasilkan dan penambahbaikan kerangka pentaksiran dengan memasukkan elemen kemahiran berfikir akan dilakukan.

Pendidikan Islam

Kementerian juga beriltizam untuk melahirkan murid yang memiliki sahsiah terpuji serta mempunyai identiti nasional. Dengan itu kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral akan dimantapkan. Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama akan ditingkatkan dengan pengukuhan kurikulum Dini dan Tahfiz agar murid dapat dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Soal ini sebenarnya banyak juga dibangkitkan oleh ibu bapa Islam yang mahu pendidikan Islam diperkukuh dan diperluas agar menjadi asas kukuh dalam sahsiah dan peribadi moral dan akhlak anak-anak kita.

Sistem pendidikan juga akan menyediakan laluan pendidikan yang bersesuai dengan dengan bakat, minat dan gaya pendidikan di samping akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh yang terarah kepada kerjaya pilihan mereka. Maka, kementerian turut mengambil kira pendidikan teknik dan vokasional, seni, dan sukan

Malahan saya telah melancarkan tahun lalu Program Transformasi Vokasional yang mana kita tahu dalam sistem di negara kita setakat ini, tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional iaitu kurang 10 peratus. Sasaran kita meningkatkan sehingga 20 peratus.

Di negara maju sudah sampai 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan pelajar dalam sistem persekolahan yang mengambil bidang vokasional dan teknikal. Bermakna, Malaysia masih jauh. Apabila kita melancarkan dasar ini dan menyediakan tempat sebanyak 10,000, tahun ini sahaja terdapat 126,000 ibu bapa yang mendaftar anak-anak mereka untuk mengambil aliran vokasional. Alhamdulillah, sudah meningkat dengan begitu mendadak sekali. Sementara itu, kita juga tidak lupakan pendidikan khas yang lebih inklusif. Dalam blue print awal kita, mungkin kita tidak nyatakan dengan jelas tentang soal pendidikan khas. Jadi mereka yang terdiri daripada kepimpinan persatuan yang mewakili orang istimewa bertanya kenapa tidak ada makmal khas untuk mereka. Jadi, segala cadangan mereka kita masukkan sebagai inti pati penting dalam pelan pendidikan ini khusus untuk anak-anak kita yang kelainan dan keistimewaan ini.

Mengupaya pemimpin sekolah dan guru

Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan perancangan rapi di peringkat pelaksana. Guru adalah tunggak utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah. Menyedari perkara ini, PPPM telah memperkukuhkan Pejabat Pendidikan Daerah dengan menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan program yang dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+. Mereka bukan sahaja dapat membimbing dari segi pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aspek penilaian seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Harapan saya melalui bimbingan ini, guru-guru dan semua pengetua/guru besar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Kementerian terus berusaha untuk memartabatkan profesionan keguruan dengan inisiatif meningkatkan syarat kemasukan guru iaitu 30 peratus daripada graduan terbaik memasuki profesion perguruan. Mereka ini digalakkan menjadi guru kerana kita mahu guru bukan sahaja dalam kalangan terdidik tetapi terpelajar, banyak ilmu dan ada kecemerlangan dalam pembelajaran mereka.

Selain itu laluan kerjaya guru, cadangan untuk mengurangkan beban tugas guru, dan pelaksanaan program profesionalisme berterusan turut dilaksanakan. Bagi pengetua/guru besar, kriteria perlantikan iaitu yang tidak berdasarkan kepada jangka masa perkhidmatan akan dilaksanakan.

Tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau memegang jawatan yang lebih penting. Berdasarkan merit dan keupayaan mereka, ini yang kita akan ambil kira dalam kenaikan pangkat mereka. Dalam masa lima tahun akan datang, 4,000 pengetua/guru besar akan menamatkan perkhidmatan dan ini membuka peluang kepada calon-calon pengetua/guru besar yang berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi kekosongan. Sudah ada peraturan ketika ini sesiapa yang ingin jadi pengetua dan guru besar mesti melalui satu proses dan latihan khusus dan jika mereka lulus baru kita meletakkan sebagai pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan.

Kelainan dalam Pelaksanaan PPPM

Semua aspek perancangan digalurkan didalam pelan ini. Apa yang harus kita tumpukan sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan. Saya akui PPPM yang dicadangkan ini luas dan kompleks. Bagi memastikan kejayaan pelan ini, strategi pelaksanaan secara berhemah mengikut fasa atau disebut sebagai gelombang, dirangka dengan memberi tumpuan kepada sokongan terhadap guru dalam gelombang pertama, sebelum memacu peningkatan sistem dalam gelombang kedua dan beranjak ke arah kecemerlangan pendidikan dalam gelombang ketiga. Penyusunan sebegini adalah penting kerana bagi memastikan pelan ini berjaya keutamaan perlu diberikan terhadap inisiatif yang penting khususnya yang membawa keberhasilan murid.

Penubuhan PADU

Untuk mengupayakan pelaksanaan Pelan ini juga, kementerian telah mewujudkan entiti khas yang dinamakan PADU iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan untuk memantau dan memastikan kejayaan inisiatif. PADU ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang berbakat dari dalam dan luar Kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut kesungguhan yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap lagi berwibawa. Jelasnya, penubuhan entiti khas ini tidak pernah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan mana-mana perancangan sebelum ini. Malah melalui PADU yang akan mengaplikasikan prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat, kementerian berhasrat untuk menyediakan laporan tahunan dan status pencapaian inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.

Penglibatan pihak berkepentingan

Suatu lagi keunikan dalam pelaksanaan pelan ini ialah dengan pelibatan pihak berkepentingan. Kementerian tidak mahu Pelan ini menjadi satu dasar yang hanya difahami dan berlegar sekitar warga Kementerian sahaja.

Memandangkan pelan ini terhasil daripada aspirasi rakyat, maka kementerian berhasrat untuk merakyatkan pelaksanaannya. Inisiatif-inisiatif yang direncanakan dalam 11 anjakan yang telah diuar-uarkan, perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana daripada rakyatlah tercetusnya ilham untuk merangka inistiatif tersebut.

Di samping itu kita turut menekankan betapa pentingnya jaringan yang utuh antara PIBG, ibu bapa dan sekolah. Kita juga memberikan perhatian tentang sumbangan swasta dalam kita mahu meningkatkan PPPM ini.

Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak swasta. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Amir dan Khazanah Malaysia. Secara kebetulan saya baru mengadakan lawatan ke sebuah Sekolah Amanah di Gelang Patah semalam dan menunjukkan hasil yang luar biasa.

Dengan pendekatan baharu yang digunakan sekolah ini saya melihat lonjakan yang berganda. Kalaulah kita ada peruntukan sebanyak itu, dibantu dan diberikan kepada kementerian, alangkah moleknya, semua sekolah kita laksanakan dalam bentuk sama, lonjakan berganda akan kita lihat dalam tempoh yang amat singkat.

Pelancaran ini memberi seribu makna kepada kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Sempena majlis pelancaran ini kementerian menyediakan dokumen lengkap setebal 300 muka surat dan ringkasan eksekutif dalam bahasa Malaysia dan Inggeris selain brosur dalam empat bahasa. Mana yang rajin bacalah dokumen setebal 300 muka surat itu supaya tahu apa yang mahu kita laksanakan. Mana yang kurang rajin, mungkin baca brosur atau yang malas langsung kita akan sediakan video.

Pendekknya tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak tahu mengenai pelan ini. Tidak ada sebab semua pihak tidak boleh terlibat sama mendokong dan menyokong pelan ini. Kalau ada suara-suara yang sumbang itu mungkinkerana bahasanya sumbing, sebab itu mereka tidak faham apa tujuan kita.

Sebab itu saya sebut, walaupun ada halilintar, ribut dan taufan, kita akan terus melaksanakan pelan ini, insya-Allah. Kita mengharapkan dengan sokongan semua pihak, maka akan tercerna satu sistem yang lebih baik dan berkualiti.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja bertungkus-lumus selama lebih dua tahun untuk menyediakan satu dokumen yang menjadi sejarah pada hari ini.


Utusan Malaysia Online Rencana 20130907

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: Menuju kelas dunia

Transformasi pendidikan lahir pelajar penuhi keperluan abad ke-21

Kuala Lumpur: Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan negara untuk melonjakkan pencapaian memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran diperlukan pada abad ke-21.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan kerangka pembangunan menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga 2025.

“Dalam usaha mencapai aspirasi tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai,” katanya dalam prakata pelan pendidikan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Najib berkata, transformasi pendidikan bukan sekadar menambah kakitangan dan kemudahan, malah menjurus kepada usaha memahami dan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran.

Perubahan besar

Katanya, bersandarkan inisiatif diperkenalkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, pelan itu menggariskan perubahan besar yang dihasratkan.
Najib berkata, pelan itu dengan jelas menggambarkan faktor penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi yang bakal dilalui dan walaupun semua matlamat itu melambangkan cita-cita yang tinggi, namun beliau yakin ia mampu dicapai.

Matlamat itu, menurut Najib, termasuk memastikan enrolmen sejagat pada pelbagai peringkat pendidikan iaitu daripada prasekolah hingga menengah atas dalam tempoh 10 tahun akan datang, selain mengurangkan jurang pencapaian antara kelompok kaya dengan miskin, bandar dan luar bandar serta antara negeri dalam tempoh yang sama.

“Hasrat ini mesti dicapai melalui pengagihan sumber yang terancang serta teliti dan seterusnya memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian murid,” katanya.

Mengakui bukan mudah melaksanakan transformasi sistem pendidikan, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan, Kementerian Pendidikan dan beliau sendiri komited untuk mencapai semua matlamat dan aspirasi yang digariskan. - BERNAMA


Berita Harian Online Naisonal 07/09/2013

Wajib lulus Bahasa Inggeris

Kuala Lumpur: Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia dilaksanakan kerana rekod menunjukkan hanya 28 peratus murid mendapat minimum kredit dalam Bahasa Inggeris pada SPM 2011 yang ditanda mengikut standard kertas Cambridge 1119.

Selain itu, kelemahan penguasaan kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan siswazah adalah antara isu yang dihadapi majikan pada 2006.

Berdasarkan statistik itu, kerajaan akan berusaha menambah masa atau ‘contact hours’ dalam kelas agar pendedahan murid dalam Bahasa Inggeris akan lebih mendalam.


Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, Zulaika A Rahman (tengah) bersama
pelajarnya meninjau pameran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
selepas Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Laksana sistem set

Kerajaan juga akan melaksanakan Sistem Set untuk membahagikan murid kepada kumpulan tertentu bagi membolehkan guru merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Selain itu, pendedahan berterusan kepada murid diperluaskan dengan modul Sastera dalam Bahasa Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah rendah dan menengah.

Uji kemahiran guru

Selain itu, guru Bahasa Inggeris akan diuji kemahiran mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT).

Setakat ini 5,000 guru sudah mengikuti latihan lanjutan yang dianjurkan oleh British Council, manakala 9,000 lagi dijangka menyertai kursus berkenaan pada Oktober ini.

Bagi memastikan semua guru mendapat manfaat, kerajaan akan memastikan 61,000 guru mengikuti CPT dalam tempoh dua tahun bagi membolehkan murid mengikuti pembelajaran daripada guru yang mempunyai kemahiran mengikut standard antarabangsa.


Berita Harian Online Nasional 07/09/2013

Subjek Sejarah wajib lulus SPM

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.

Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.

‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.



NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin berjalan keluar dari Dewan Merdeka sambil bersalaman
dengan orang ramai selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2010 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.

‘‘Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh asal ditetapkan.

‘‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,” katanya.

Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.

Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah pendidikan vokasional khusus untuk pelajar kurang upaya pendengaran, penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.

Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara.

‘‘Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara pada masa akan datang,’’ katanya.


Utusan Malaysia Online Muka Hadapan 23102010