September 8th, 2013

Kekalkan semangat perlembagaan

SEMUA pihak harus sedar bahawa kemerdekaan Tanah Melayu lahir atas kesepakatan, persefahaman dan sikap tolak ansur yang diberikan oleh semua pihak.

Walaupun asalnya negara ini milik Melayu, namun bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dan lain-lain bangsa tetap mendapat tempat di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Namun terdapat segelintir daripada masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang mahukan hak sama rata sehingga menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Ini memaksa Tunku Abdul Rahman menggunakan kebijaksanaannya melaksanakan tugas dalam memberikan keseimbangan di dalam perlembagaan yang digubal.

Perkara itu masih lagi terjadi kini walaupun telah lebih 50 tahun merdeka, lebih-lebih lagi dalam kalangan pihak pembangkang yang sentiasa menunggu peluang mewujudkan ketegangan di antara kaum.


KONGRES Melayu pertama yang dihadiri oleh 41 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu
telah menjadi titik tolak kepada penubuhan UMNO dan kemerdekaan negara setelah penentangan terhadap Malayan Union.

Ahli akademik dan tokoh budaya, Profesor Dr. Zainal Kling berkata, jika mereka mengambil semangat perlembagaan itu, sudah pasti mereka tidak akan mengambil kesempatan dengan apa yang telah dikecapi hari ini.

Semangat yang ada ketika Perlembagaan Malaysia digubal telah semakin terhapus, apatah lagi dengan pelbagai anasir-anasir luar yang cuba menggugat keamanan yang telah dikecapi hari ini.

Semasa menggubal perlembagaan, ia pada dasarnya melibatkan pihak luar bagi menjaga kebebasan pendapat dan tidak berlaku sebarang isu berat sebelah.

"Jika perkara seperti itu dapat diterima pakai dan menerima persetujuan semua pihak pada ketika itu, mengapa tidak kini?

"Perkara yang dibincangkan dahulu memberikan keuntungan kepada semua pihak tidak mengira bangsa dan agama," jelasnya.

Zainal berkata, terdapat beberapa perkara yang dianggap sensitif di dalam perlembagaan negara yang harus dikekalkan kerana persetujuan telah dicapai untuk membolehkan negara merdeka.

Namun, ada sesetengah pihak masih lagi mahu mengganggu gugat kerana kumpulan ini tidak berjaya mengganggu gugat semasa kesepakatan dicapai 56 tahun lalu.

Ini menunjukkan, isu yang sama dimainkan sekali lagi yang satu ketika dahulu telah mencapai kesepakatan antara semua pihak bagi membolehkan mereka mencapai hasrat tersebut.

"Dengan semangat yang kukuh dalam menegakkan perlembagaan, masalah ini sebenarnya boleh diatasi dengan baik apabila mereka kembali kepada perlembagaan sebenar," jelasnya.



Utusan Malaysia Online Rencana 20130907

Semangat Perlembagaan Malaysia

APA itu perlembagaan? Merujuk Kamus Dewan, Perlembagaan membawa erti sebuah undang-undang, peraturan atau dasar yang diguna pakai dalam sesebuah negara.

Dalam mewujudkan negara merdeka, sebuah perlembagaan perlu digubal bagi memastikan setiap rakyat mendapat hak yang setimpal.

Ia menjadi elemen penting bagi sesebuah negara mencapai kemerdekaan kerana tanpa perlembagaan, kemerdekaan sukar dicapai.

Tanpa perlembagaan juga, sesebuah negara itu bakal berdepan masalah kerana hidup tanpa pegangan sosial yang mampu mendisiplinkan diri.

Lebih-lebih lagi bagi sebuah negara yang terdiri daripada berbilang kaum seperti Malaysia.


DATUK Onn Jaafar (duduk tiga dari kanan) bersama anggota jawatankuasa kerja merangka
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Reid.

Perlembagaan negara yang mengandungi 15 bahagian, pada asalnya dinamakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum ditukarkan kepada Perlembagaan Malaysia setelah pembentukan Malaysia pada 1963.

Bahagian-bahagian ini pula mengandungi 13 jadual serta 183 perkara meliputi segenap aspek kehidupan.

Bagi menjejak semangat Perlembagaan Malaysia, Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar, WAHIDAH ZAINAL dan MOHD. SHAHARANI SAIBI menyingkap kembali kisah penubuhan perlembagaan yang menjadi kunci kepada keamanan dan keharmonian negara.

Jerit perih generasi terdahulu mencipta perlembagaan wajar diketahui generasi muda dengan harapan ia akan meningkatkan lagi kecintaan dan patriotisme kepada negara tercinta.

Lebih penting ia dapat meningkatkan jati diri daripada diperalat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa mencari peluang untuk menghancur keamanan serta ketenteraman hidup yang telah dinikmati sejak negara merdeka 56 tahun lalu.



Utusan Malaysia Online Rencana 20130907

Hayati semangat kemerdekaan

PENGORBANAN semalam, nikmat hari ini. Kata-kata ini menunjukkan bahawa generasi prakemerdekaan mengetahui betapa besarnya sumbangan, usaha dan pengorbanan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa lampau untuk menuntut kemerdekaan negara.

Hanya melalui kerjasama antara UMNO dan MCA pada suatu ketika dahulu dalam menuntut kemerdekaan yang menjamin nikmat yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada hari ini.

Malangnya, generasi pasca kemerdekaan bukan sahaja tidak mengetahui kebenaran sejarah ini malahan terus mempercayai politik persepsi terhadap segala kesalahan dan kelemahan kerajaan BN.

Di manakah DAP , PKR atau Pas ketika Malaya dijajah oleh Jepun, Komunis dan British?

Kita perlu tahu bahawa kerajaan British pada ketika itu hanya berjanji akan memberikan kemerdekaan sekiranya rakyat pelbagai bangsa dapat bersatu.

Formula perpaduan pada ketika itu adalah gabungan antara UMNO dan MCA dalam memenuhi permintaan British.

Bagaimana pula pandangan generasi baharu UMNO dan MCA yang dikatakan bersifat perkauman sedangkan faktor penubuhan dan penggabungan mereka adalah demi perpaduan?

Hal ini disebabkan penubuhan Pakatan Rakyat yang sebenarnya merupakan formula pemecahan perpaduan kaum di negara Malaysia.

Entiti inilah yang menjadi ejen membakar api perkauman dengan mencetuskan semangat kebencian dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan BN dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang tidak memiliki sebarang asas kebenaran.

Sebagai contoh, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cuba menghentikan pawagam di Pulau Pinang daripada menyiarkan filem Tanda Putera kerana menurut beliau filem ini memiliki unsur-unsur perkauman.

Hipokrit

Sikap hipokrit inilah yang ditempelak oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berikutan kenyataan media yang dikeluarkan Guan Eng apabila Soi Lek mengatakan sekiranya benar beliau anti perkauman, mengapa dalam setiap ceramah DAP terdapat unsur-unsur perkauman yang cuba dicetuskan oleh parti itu terhadap bangsa lain?

Soi Lek menambah bukankah DAP selalu menekankan tentang soal demokrasi dan kebebasan media dan mengapa kini timbul isu hendak menyekat penyiaran sesebuah filem yang berlandaskan sejarah?

Sekiranya Guan Eng benar-benar ikhlas dan konsisten dalam perjuangan politiknya mengapa pula beliau lantang bangkit mempertahankan filem The New Village untuk disiarkan?

Pada masa sama, Guan Eng sendiri yang cuba mencetuskan permusuhan antara umat Islam dan Kristian di Malaysia apabila cuba mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah pada Hari Natal yang lepas.

Guan Eng perlu sedar bahawa negeri Pulau Pinang bukan milik peribadinya dan beliau sering kali membuat keputusan dan perkara seolah-olah seluruh negeri tersebut adalah milik peribadi.

Adakah seorang Ketua Menteri memiliki sebarang kuasa untuk menghentikan mana-mana filem untuk ditayangkan di negeri mereka?

Pembinaan patung burung UBAH yang berharga RM60,000 di negeri tersebut sebelum ini jelas menentang kedaulatan negeri tersebut.

Sekiranya MCA turut mengambil langkah yang sama dengan membina patung Panda mereka di merata-rata tempat maka sudah lama DAP akan bangkit dengan pelbagai serangan seperti pembaziran wang dan patung Panda bukanlah lambang mana-mana negeri selain kedaulatan negeri dan negara perlu dijaga.

Sebenarnya sistem dan formula perpaduan kerajaan BN adalah antara yang terbaik di dunia. Malaysia satu-satunya negara di dunia yang memiliki sistem pendidikan vernakular kepada kaum minoriti.

Rasisme melampau

Tiada negara di dunia ini yang memberi ruang kepada sistem pendidikan bahasa Cina dan Tamil kepada rakyat mereka. Rasisme di negara Amerika Syarikat pada suatu ketika dahulu begitu dahsyat sehingga rakyat berkulit hitam tidak boleh memasuki kedai makan, tandas dan sekolah yang sama dengan mereka yang berkulit putih.

Di Malaysia demi mencapai perpaduan yang sebenar, sekolah kebangsaan diperkenalkan untuk semua bangsa belajar di tempat yang sama. Namun begitu, isu ini pula dipolitikkan oleh Dong Zong dan DAP seolah-olah pemerkasaan sekolah kebangsaan adalah sesuatu yang bersifat perkauman.

Bagaimana pula boleh timbul isu rasisme apabila dalam sekolah kebangsaan rakyat pelbagai kaum duduk, makan dan belajar bersama-sama?

Kebangkitan kulit hitam di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu adalah kerana kulit putih tidak mahu makan, duduk dan belajar bersama dengan mereka.

Peliknya, di Malaysia apabila terdapat satu sistem untuk membenarkan dan menggalakkan semua kaum bersama pula dikatakan sebagai perkauman?

Realiti

Jelas yang cuba menjadi penghalang kepada perpaduan rakyat dan negara adalah DAP , Pakatan Rakyat dan Dong Zong.

Adakah kita masih ingat seorang pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Bawani yang membangkitkan isu pendidikan percuma di negara kita?

Generasi baharu pada hari ini mudah lupa dan alpa dengan nikmat yang mereka nikmati daripada pemerintahan kerajaan BN. Bawani cuba memberi contoh negara yang memberi pendidikan percuma seperti Argentina, Cuba, Brazil dan Filipina.

Realitinya kesemua negara yang disebut oleh Bawani merupakan negara yang berpendapatan rendah dan ekonomi mereka tidak stabil. Oleh sebab itu, majoriti negara membangun dan maju tidak memberikan pendidikan percuma kepada rakyat mereka.

Negara seperti Greece dan Sepanyol yang memberikan pendidikan percuma kepada rakyat akhirnya muflis disebabkan hutang dan beban negara yang terlalu tinggi.

Generasi muda pada hari ini juga alpa bahawa sistem pendidikan di sekolah rendah dan menengah sudahpun percuma. Tambahan pula, 80 peratus daripada kos pengajian tinggi di institusi awam sudah ditanggung oleh kerajaan dan kadar pinjaman PTPTN hanya berkadar satu peratus.

Generasi hari ini perlu tahu bahawa Pakatan Rakyat bukan benar-benar ikhlas hendak memperkasakan negara. Agenda mereka adalah hanya demi merampas dan mendapat kuasa semata-mata.

Sekiranya mereka benar-benar ikhlas maka mengapa pasca PRU-12 apabila mereka memenangi empat buah negeri tetapi hanya 15 peratus daripada keseluruhan janji dan manifesto mereka ditepati?

Tema merdeka pembangkang?

Apatah lagi statistik 15 peratus ini dilaporkan oleh media Barat iaitu The Economist. Sebelum PRU-13 setiap tahun ada sambutan besar-besaran dan juga banyak tema kemerdekaan. Malah tahun lepas sahaja terdapat tiga tema kemerdekaan yang berbeza.

Malangnya pada Hari Kemerdekaan yang ke-56, apa sambutan dan tema Pakatan Rakyat? Hampir tiada kedengaran suara mereka. Sikap hangat-hangat tahi ayam inilah yang menunjukkan belang mereka yang sebenar. Rakyat hanya akan sengsara dan dilupai sekiranya silap memilih mereka untuk berkuasa.

Pada hari kemerdekaan ini rakyat Selangor yang telah mengundi untuk meneruskan pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor pula terpaksa berhadapan dengan krisis air yang melanda.

Hal ini berlaku kerana amalan politik degil Pakatan Rakyat yang enggan membenarkan kerajaan pusat membangunkan sumber air terawat di Langat Dua.

Negeri Selangor dijangka mengalami kekurangan air menjelang tahun 2016 dan keadaan ini hanya menunjukkan pihak mana yang benar-benar memikirkan kepentingan rakyat.

Mungkinkah kerana isu ini timbulnya tema HAri Merdeka kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang berbunyi, Merdekakan Diri Daripada Pemerintahan Barisan Nasional. Akhirnya Rakyat Yang Merana?

PRU-13 baharu sahaja tamat dan serangan fitnah seperti 40,000 warga Bangladesh sebagai pengundi hantu, blackout di Bentong, Gelang Patah dan Lembah Pantai dan pelbagai lagi tohmahan masih lagi berleluasa tanpa sebarang bukti yang kukuh.

Rakyat di negara ini perlu dibebaskan minda mereka daripada penjajahan berbentuk persepsi dan penipuan.

Warga Malaysia tidak kira tua mahupun muda perlu bersatu dan bangkit memerdekakan diri mereka daripada Pakatan Rakyat. Merdekakan diri daripada sebarang penjajahan minda berbentuk suntikan beracun yang penuh dengan api kebencian dan kemarahan.

Belajar erti penghargaan dan kesyukuran merupakan jawapan kepada polarisasi kaum yang semakin berleluasa.

Selamat Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dan merdekakan minda kita daripada sebarang penjajahan minda daripada Pakatan Rakyat.



Shen Yee Aun (SYA) ialah Penganalisis Politik, Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia, Pengasas blog SYA For The Nation Utusan Malaysia Online Rencana 20130908