October 1st, 2013

Inovasi di Google

Bagi sesiapa yang berpeluang melawat syarikat gergasi media baru, Google, di Lembah Silikon San Francisco, Amerika Syarikat, pasti kagum dengan inovasi yang diperkenalkan di situ. Di ibu pejabat Google yang juga dikenali sebagai Googleplex, menampakkan perbezaan yang nyata berbanding keadaan di pejabat pentadbiran atau pun kilang pembuatan. Bagi sesebuah syarikat inovasi, apa juga dilakukan tidak penting. Apa yang penting ialah untung atau rugi.

Mengikut laporan USA Today, pendapatan daripada hasil jualan produk Google tahun lalu mencecah AS$50 bilion dolar. Ini menunjukkan dalam tempoh 15 tahun sejak Google Inc ditubuhkan, ia melakukan lonjakan yang sangat besar. Ia mungkin antara segelintir syarikat yang paling berjaya dan dikenali di serata dunia.

Sebaik tiba di persekitaran Ibu Pejabat Google di Lembah Silikon Mountain View, San Francisco, sudah ada pegawai yang menunggu. Jika hadir tanpa temujanji, seseorang mungkin menghadapi masalah untuk bebas kerana tempat ini menyimpan banyak rahsia perniagaan. Tidak semua kawasan boleh diterokai tanpa diiringi pengawal. Di persekitaran kompleks itu, ia kelihatan seperti suasana kampus universiti. Anak muda berpakaian kasual, memakai jeans dan kemeja-T, mundar-mandir berjalan kaki atau berbasikal bersendirian atau berkumpulan. Bagi mereka yang berpakaian formal, jika tidak ada majlis rasmi, mereka kelihatan janggal. Google memperkenalkan satu suasana baru kepada 12,000 pekerjanya. Keadaan sama juga boleh dilihat di syarikat media baru lain, termasuk Twitter dan Facebook.


‘Ia membuka mata’

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melawat San Francisco minggu lalu mengaku mendapat pengalaman baru ketika melawat Google, Twitter dan Facebook. Najib menggunakan perkataan ‘ia membuka mata’ ketika selesai memandu kereta Google yang boleh bergerak ke mana saja tanpa pemandu, sebaliknya mengguna kawalan komputer.

Ketika mula masuk ke bangunan Google, Najib dibawa melihat suasana Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui skrin yang boleh digerakkan dan dizoomkan ke mana saja, hingga ke alamat tertentu. Pada waktu itu, kamera dizoomkan ke pejabat beliau di Putrajaya. Jika ada orang yang mahu melihat Beijing atau Tokyo atau di mana saja, mereka juga boleh berbuat demikian.

Biasanya Google, Twitter dan Facebook tidak mudah menerima kehadiran sebarang orang. Mereka mungkin melihat Najib aktif menggunakan media baru dan lebih penting lagi Malaysia adalah antara negara mempromosikan penggunaan media baru menerusi pelbagai inisiatif yang diterajui Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) dan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia dan pelbagai agensi lain berkaitan.

Di mana-mana dalam persekitaran Google, kelihatan pekerjanya dalam pelbagai ragam, seperti berada di sebuah taman tema. Ada menggunakan gim, bermain snuker, berenang, bola sepak, bersenam, berbual, membaca dan sebagainya. Walaupun ada ruang pejabat dan bilik mesyuarat, tidak ramai kelihatan menggunakannya. Ramai antara mereka kelihatan duduk berbincang di mana-mana saja atau mengguna laptop di kantin. Mereka sebenarnya sedang bekerja.

Mereka berbincang serius mengenai sesuatu idea baru ketika menunggang basikal atau duduk berehat di bawah pokok. Selepas menikmati cahaya matahari, mereka masuk ke kantin untuk makan dan minum apa juga yang disediakan. Di Google, makanan dan minuman adalah percuma. Jika ada tetamu, mereka juga boleh makan dan minum tanpa perlu membayar. Kantin biasanya menjadi tempat perbincangan popular antara petugas dan pelanggan. Jika tidak apa yang hendak dilakukan, mereka pergi ke mana saja. Yang penting ialah hasil kerja mereka. Ini yang menjadi penilaian utama kepada tugas diberikan kepada mereka. Lebih penting tugas seseorang itu lebih besarlah ganjaran mereka.

Cara bekerja inovasi

Berada di dalam bangunan di Googleplex itu pula, sukar mencari kawasan yang boleh dianggap konservatif. Lukisan, arca, mural, perhiasan berwarna-warni dan sebagainya berada di segenap sudut seolah-olah kita berada di sebuah taman didikan kanak-kanak atau sebuah pusat hiburan. Ia adalah kawasan mesra pejabat yang berfungsi untuk menceriakan persekitaran bagi membolehkan setiap pekerja sentiasa seronok bekerja. Ini adalah perubahan dilakukan Google. Inovasi dilakukan ini adalah keputusan yang biasanya dibuat dari atas bawah ke atas yang mana majikan mendengar pandangan pekerjanya. Sama ada budaya kerja ini akan ditiru pejabat lain, sukar dipastikan. Mungkin, ada pejabat yang tugasnya tidak begitu berat, boleh mencuba cara bekerja inovasi ini.

Terbaru, Google membuat sejarah untuk mengeluarkan telefon pintar. Telefon itu adalah jenama Moto X yang dikeluarkan Motorola dianggap sebagai satu pertaruhan. Seperti mana disebut Pengerusi Eksekutifnya, Eric Schmidt ini adalah pertaruhan bagi pihak Amerika, ke atas pekerja. Katanya, ini adalah langkah yang mereka ambil untuk mengubah persepsi Amerika Syarikat sebagai hab pembuatan. Sama ada kemudahan Moto X menimbulkan kebangkitan pembuatan AS belum terbuki. Apa pun kemudahan telefon pintar itu adalah pertaruhan besar.

Hari ini Google berada di mana-mana dalam kehidupan manusia di serata dunia. Daripada e-mel dan peta kepada enjin carian. Mengikut perangkaan, bilangan mereka yang menggunakan enjin carian Google mencecah 100 bilion sebulan, YouTube (1 bilion) pelawat sebulan, Goggle Mall (425 juta), melayari peta (1 bilion) pengguna sebulan dan Google + (190 juta) pengguna sebulan. Google juga memiliki YouTube yang menjadi laman video terbesar di dunia selain Android, sistem operasi telefon bimbit ping dominan. Dengan 80 peratus pasaran, Google juga mengusahakan Cermin Google dan projek Loon yang mana belon menyiarkan internet broadband ke kawasan jauh dari 12 batu di udara. Apa yang sebenarnya berlaku ialah wujudnya budaya inovasi yang dibentuk di Google tetapi kesannya dirasai di seluruh dunia. Ia memberi kesan kepada anak, ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara. Media baru digunakan untuk mendidik hingga kepada mewujudkan kesedaran politik.


Ke arah menukar profesion baru

Bila Datuk Seri Najib Razak kata kerajaan mahu menyediakan peluang pekerjaan yang belum wujud hari ini kepada rakyat, Belalang nampak wawasan dan pandang jauh Perdana Menteri. Selama ini kalau kita tanya cita-cita anak-anak kita, adik atau anak buah, malah pelajar kita, Belalang yakin ramai yang kata mereka nak jadi doktor, peguam, jurutera, akauntan atau pensyarah, seolah-olah inilah jawatan yang menjadi rebutan ramai. Jawatan popular ini Belalang dah dengar sejak sekian lama dulu. Ia tidak berubah-ubah hinggalah sekarang. Ibu bapa juga, bila menyuruh anaknya belajar bersungguh-sungguh, di dalam fikirannya mahu anaknya menjadi salah satu daripada jawatan popular itu. Memang bilangan jawatan popular itu masih diperlukan tetapi persediaan untuk jawatan baru itu mestilah dimulakan sekarang. Inilah yang dikatakan transformasi minda. Dalam bidang teknologi maklumat (IT), Najib menyatakan saintis data adalah satu jawatan yang diperlukan pada masa akan datang. Saintis data adalah orang yang menganalisis angka untuk sesuatu tujuan. Data boleh digunakan untuk pelbagai tujuan khasnya merangka strategi perniagaan dan sebagainya.

Siapa yang terkeluar...

Belalang dengar sudah muncul ramai tok nujum yang membuat ramalan mengenai siapa yang akan menang dan siapa pula yang kalah dalam pemilihan pemimpin UMNO tidak lama lagi. Paling menarik ialah ramalan saingan jawatan Naib Presiden UMNO. Jika ada yang meramalkan ada pemimpin yang terkeluar, maknanya adalah antara tiga calon baru yang bersaing untuk jawatan itu mengambil alih tempatnya. Belalang rasa orang UMNO tidak perlu bimbang mengenai siapa yang menang atau siapa yang kalah. Enam calon Naib Presiden kali ini adalah orang perjuangan. Jika menang, Alhamdulillah dan kalau kalah, kita harap mereka teruskan perjuangan. Biarlah ahli membuat keputusan sebaik mungkin kerana kenal pemimpin mereka. Pemimpin pula perlu berani dinilai ahli. Jika rakyat tidak puas hati dengan pemimpin mereka, mereka ditentukan menerusi bilangan undi.


Belalang Jalan Riong Berita Harian Online Kolumnis 29/09/2013

PKM perguna pemimpin komunis asing tekan kerajaan Tanah Melayu

TEKANAN Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas kerajaan Tanah Melayu bukan setakat berpusat di negara ini, malah turut melibatkan usaha dan permuafakatan yang diadakan di luar negara.

Pada 8 September 1956, berlangsung Kongres Kelapan Parti Komunis China (PKC) di Peking yang menghimpunkan para pemimpin parti komunis dari negara serantau termasuk dari Tanah Melayu, Thailand, Filipina, Burma dan India.

Pengerusi PKM ketika itu, Musa Ahmad yang merupakan antara pemimpin PKM yang hadir pada kongres itu menceritakan bahawa kongres itu yang dirasmikan oleh pemimpin PKC, Mao Tze Tung, adalah acara rasmi pertama beliau hadiri selepas dipilih sebagai pengerusi PKM.

"Ini merupakan kali pertama nama saya tertera dalam mesej ucapan tahniah PKM kepada PKC, selain Chin Peng selaku Setiausaha Agung (PKM)," katanya.

Dalam kongres itu, semua delegasi berpeluang bertemu dengan pemimpin komunis terkenal dari luar termasuk Mao Tze-Tung. Menurut Musa, beliau telah dimaklumkan oleh salah seorang delegasi PKM, Siew Chong bahawa Setiausaha Agung PKM telah memberi arahan kepada mereka untuk meningkatkan hubungan dengan 'rakan-rakan' di peringkat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Tanah Melayu.

Diharapkan 'tekanan antarabangsa' ini akan dapat diteruskan untuk mempengaruhi kerajaan Tanah Melayu supaya mengadakan rundingan sekali lagi dengan PKM, selepas kegagalan Rundingan Baling atau menerima PKM sebagai parti yang sah.

Kesempatan itu digunakan oleh Musa untuk menemui pemimpin komunis dari India, P.C Joshi dan memintanya menghubungi dan merayu supaya Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru memujuk Tunku Abdul Rahman untuk menerima PKM sebagai parti yang sah di Tanah Melayu.

Joshi kemudian menyampaikan pesanan itu kepada Nehru dan memujuk pemimpin itu untuk mempengaruhi kerajaan Tanah Melayu.

Itulah antara tekanan dan peranan yang dimainkan oleh PKM di peringkat antarabangsa.

Sebulan selepas kongres itu, Musa dimaklumkan bahawa hasratnya itu telah disampaikan oleh Joshi kepada Nehru, namun Perdana Menteri India itu tidak mahu membincangkan isu tersebut bersama rakan sejawatannya dari Tanah Melayu.

Bukan setakat menggunakan hubungan dengan Parti Komunis India, PKM turut menemui Khalid Baghdash, pemimpin komunis Syria bagi menyatakan hasrat yang sama semasa kongres tersebut.

Malah Khalid diminta membantu mengedarkan risalah berkaitan PKM kepada para pelajar Tanah Melayu yang menuntut di Asia Barat.

Khalid bersetuju dengan permintaan itu dan mengedarkan risalah tersebut menggunakan nama Musa sebagai penyampai mesej PKM kepada pelajar.

Mesej yang disampaikan oleh Musa itu meminta semua pelajar Tanah Melayu yang berada di Asia Barat memberi sokongan dan tekanan kepada kerajaan supaya PKM diterima sebagai sebuah pertubuhan yang sah.



Utusan Melayu Online Rencana 20130930

Chin Peng akui PKM tidak berperanan capai kemerdekaan

KETUA Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng mengakui parti pimpinannya tidak memainkan peranan signifikan dalam usaha negara ini mencapai kemerdekaan, menurut satu dokumen rasmi pengakuan beberapa bekas pemimpin komunis yang tidak pernah didedahkan kepada umum selama ini.

Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua sebaliknya, mengakui kejayaan itu adalah hasil usaha orang Melayu di bawah kepemimpinan UMNO yang berjaya mendorong kuasa penjajah, British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957.

Pengakuan tersebut dinyatakan oleh Chin Peng di hadapan empat pegawai tertinggi PKM semasa mereka membincangkan isu kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dalam sesi latihan ideologi bagi kepemimpinan PKM di banglo Chin Peng di Peking (Beijing) pada penghujung 1962.

Empat orang kanannya ialah Pengerusi PKM Musa Ahmad; Timbalan Setiausaha Agung PKM, Lau Li dan dua Ahli Jawatankuasa Pusat PKM iaitu Liew Yit Fan dan Chan Tien.

Chin Peng mengakui bahawa di ambang kemerdekaan negara ini PKM menanggung kekalahan yang teruk dan begitu lemah menyebabkan British tidak mengendahkan tekanan yang diberi oleh PKM.

Bagaimanapun, Chin Peng mengingatkan keempat-empat orang kanannya supaya merahsiakan pandangannya itu dan PKM mesti menegaskan bahawa Revolusi Bersenjata PKM merupakan faktor mendorong penjajah British memberikan kemerdekaan.

Dalam satu mesyuarat pada akhir 1962 atau awal 1963, Chin Peng menggariskan perancangan untuk meluaskan pengaruh PKM terutama dalam kalangan orang Melayu.

PKM merancang melaksanakan gerakan propaganda menerusi penubuhan badan agama dan untuk menyakinkan orang Melayu bahawa 'Islam dan komunisme tidak bertentangan antara satu sama lain'. Satu lagi rancangan ialah anggota komunis Cina beroperasi di kawasan orang Melayu akan menggunakan nama samaran Melayu.

Dalam satu lagi mesyuarat, Chin Peng mengakui kesilapan besar PKM selepas Perang Dunia Kedua ialah tindakan memanggil semua anggota Barisan Bersatu (pertubuhan pro-komunis) mengangkat senjata di hutan, telah mengakibatkan runtuhnya gerakan organisasi sulit dan revolusi.

Chin Peng menyusun semula strategi untuk ejen-ejen komunis menyusup masuk ke dalam pertubuhan berdaftar termasuk parti politik dan kemudiannya dijadikan alat untuk mencetuskan kekacauan dan krisis politik di dalam negara.

PKM merancang tindakan mengeksploit secara teliti terhadap isu-isu dan rungutan awam yang dijangka mampu membakar kebencian rakyat terhadap kerajaan dan kemudiannya diatur menuju ke arah pemberontakan.

Chin Peng menggunakan pengaruhnya melantik Musa Ahmad, yang lahir di Pengkalan Bharu, Batu Gajah, Perak sebagai Pengerusi PKM dalam tempoh enam tahun sahaja menganggotai unit bersenjata PKM dan kemudian diarah oleh Chin Peng supaya menjalani sesi indoktrin komunisme di China pada 1955.

Musa yang dibenarkan kembali ke tanah air pada 1980, menyedari fungsinya sebagai Pengerusi parti hanyalah bersifat mengabui mata bertujuan menarik minat orang Melayu bahawa PKM adalah parti berbilang kaum dan kononnya parti itu memberi keutamaan kepada kepentingan Melayu.

Namun realitinya pemimpin Cina dalam PKM tidak mempedulikan orang Melayu dan hanya mengutamakan masalah berkaitan masyarakat Cina. Ringkasnya, mereka adalah cauvinis.

Dalam pelbagai perjumpaan dan mesyuarat, Chin Peng menekankan bahawa perjuangan PKM di Malaya mestilah berasaskan kaum Cina. Chin Peng memberi alasan disebabkan majoriti kaum Cina di Malaya ketika itu adalah golongan pekerja, menjadikannya sejajar dengan teori komunis supaya golongan pekerja mengetuai revolusi.

Chin Peng yang sekian lama mengetuai gerakan bersenjata sejak 1948 dan berkubu di selatan Thailand, tiba di China pada 1961 dan memberi amaran kepada para pengikutnya supaya merahsiakan kehadirannya.

Musa melaksanakan peranannya sebagai Pengerusi PKM dan menerima pengiktirafan oleh semua kuasa komunis ketika itu seperti China, Rusia, Vietnam, Albania dan sebagainya. Namun, kuasa sebenar dipegang oleh Chin Peng dalam serba-serbi urusan berkaitan dasar, kewangan dan dengan siapa komunis Melayu boleh berhubung sepanjang masa di China.

Pertentangan antara Musa dan Chin Peng tidak dapat dibendung semasa Revolusi Budaya di China berikutan keputusan Chin Peng untuk PKM turut melaksanakannya. Musa mengkritik secara terbuka kepemimpinan Chin Peng mendorong kemelut serius antara kumpulannya dengan komunis Melayu di China ketika itu.

Ibrahim Mohamad dan isterinya, Shamsiah Fakeh dibelasah oleh penyokong Chin Peng sebelum dibuang daerah ke Chan Sa, selatan China.

Pada 1968, Chin Peng memecat Musa daripada semua jawatan di dalam parti tetapi mensyaratkan Musa mengakui secara bertulis tindakan anti-parti yang dilakukannya jika mahu keahliannya dalam PKM dikekalkan. Musa tidak melayan syarat itu.

Perbalahan Musa dan Chin Peng menyaksikan keanehan kerana Musa diberi perlindungan oleh Parti Komunis China malah terus menerima ganjaran wang dan diberi pekerjaan di stesen radio milik kerajaan manakala Chin Peng dibiarkan mengendalikan urusan PKM.

Utusan Malaysia Online Rencana 20130930

PKM terima dana asing

Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan Chin Peng disahkan menerima dana bantuan daripada Parti Komunis China (PKC) sejak dari awal penubuhannya di Tanah Melayu, menurut satu dokumen rasmi pengakuan bekas pemimpin komunis yang pertama kali didedahkan oleh Utusan Malaysia.

Pemimpin komunis Melayu yang berada di China menyedari wujud bantuan kewangan kepada PKM sekurang- kurangnya antara tahun 1956 hingga 1968 tetapi Chin Peng merahsiakan butir-butir terperinci mengenainya.

Menurut satu catatan antara 1963 dan 1964, PKC menerusi Jabatan Perhubungan Antarabangsa (ILD) mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng di Peking dan ditawarkan dana bantuan sebanyak 640,000 yuen (kini kira-kira RM335,000) untuk kegiatan subversif PKM di Malaysia.

Chin Peng memberitahu wakil PKC bahawa jumlah dana tersebut tidak mencukupi dan meminta supaya ditambah kerana yuran keahlian yang dikutip dari orang ramai amat rendah untuk membeli baju seragam, ubat dan senjata.

Dalam tempoh 1956 hingga 1961, mesyuarat bilateral antara PKM dan PKC diadakan setiap dua atau tiga bulan di Peking. Menurut pemimpin komunis Melayu yang pernah menghadiri mesyuarat itu, wakil PKC berulang kali memberi galakan dan dorongan kepada PKM supaya gigih berjuang.

PKC juga meminta PKM supaya belajar daripada pengalaman revolusi China dan mengguna pakai kaedah-kaedah yang betul serta bersesuaian.



Kepala kereta api dan lapan buah gerabak barang tergelincir dari landasan akibat kegiatan sabotaj yang dilakukan oleh
pengganas komunis di Tapah, Perak. Ia merupakan nahas kereta api paling dahsyat dalam sejarah darurat mengakibatkan
tiga orang cedera dan kerugian dianggarkan RM100,000. - JABATAN PENERANGAN

Dalam satu daripada mesyuarat tersebut, wakil PKC menyatakan kesanggupan PKC menerima siapa juga anggota PKM yang mahu mencari perlindungan di China dan boleh kembali ke Tanah Melayu bila mereka rasa selamat untuk berbuat demikian.

PKC juga menyediakan latihan kepada anggota PKM tetapi aspek taktikal perjuangan hendaklah ditetapkan oleh kepimpinan PKM memandangkan mereka lebih memahami keadaan setempat.

Kebergantungan PKM terhadap Parti Komunis China turut didedahkan iaitu pada 1961, Chin Peng berura-ura untuk menamatkan gerakan bersenjata PKM tetapi PKC mahu supaya PKM meneruskan perjuangan walaupun 'hanya tinggal dua atau tiga pejuang yang hidup'.

Keputusan tersebut mendorong Chin Peng meminta PKC sebagai parti induk komunis memberi bantuan daripada segi kewangan, sokongan bahan-bahan dan kemudahan propaganda dalam bentuk Suara Revolusi Malaya (SRM).

Dari semasa ke semasa juga, anggota-anggota PKM dihantar ke China untuk menjalani latihan indoktrin komunisme. Sekitar 1961, seramai 30 anggota PKM dipilih untuk mengikuti kursus ideologi selama setahun.

ILD mengarahkan anggota PKM tersebut untuk turut mengikuti kelas bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran wajib tetapi baharu tiga bulan, kelas dihentikan. Ini disebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya berikutan beban subjek politik, teori komunisme dan bahasa Cina.

Setelah tamat kursus, anggota PKM tersebut dihantar ke Kem Transit menanti arahan untuk pulang ke sempadan Malaysia-Thailand dan sebahagiannya dihantar ke wilayah Szechuan untuk mempelajari kaedah menganjurkan perhimpunan sebagai persiapan sekiranya PKM memenangi perang ke atas Malaysia.

Selain China, PKM juga menjalin kerjasama dengan Parti Komunis Vietnam di mana tiga anggotanya dihantar menyertai perjuangan bersenjata negara itu pada akhir tahun 1946.

Dua daripadanya terbunuh dalam perang dan seorang lagi berkhidmat dengan tentera laut Vietnam dan berkahwin dengan wanita tempatan sebelum berhijrah ke China pada 1964 setelah dibenarkan oleh Chin Peng.



Utusan Malaysia Online Rencana 20130930

Komunis menyusup ke dalam badan Islam, Melayu

PARTI Komunis Malaya (PKM) menjalankan rancangan propaganda untuk memenangi hati orang Melayu antaranya dengan menaja penubuhan badan Islam dan mendekati orang Melayu sekali gus meyakinkan mereka bahawa Islam dan komunisme tidak bertentangan antara satu sama lain walaupun hakikatnya komunis adalah anti agama.

Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pusat PKM yang berlangsung di Peking (Beijing) dan dipengerusikan oleh Chin Peng sekitar akhir 1962 dan awal 1963, ketua PKM itu menyarankan agar anggota komunis mendekati masyarakat Melayu dengan cuba memahami budaya dan adat resam mereka.

Anggota komunis Cina yang beroperasi di kawasan Melayu turut disarankan agar menggunakan nama samaran Melayu.

Semua ini terkandung dalam dokumen rasmi memetik beberapa pemimpin PKM yang belum pernah didedahkan kepada umum sebelum ini.


GAMBAR pengganas komunis menjalani latihan menembak dalam gambar yang tidak bertarikh ini,
dipercayai sebagai propaganda menentang kerajaan Malaysia pada 1960-an. - JABATAN PENERANGAN

Untuk meraih sokongan umum, kadir- kadir PKM yang ditugaskan dalam kerja-kerja 'Min Yuen' iaitu memberi maklumat dan mendapatkan bekalan makanan serta ubat-ubatan untuk komunis, telah dicadangkan supaya menyusup masuk ke dalam aktiviti masyarakat. Kader-kader ini juga akan menunjukkan keprihatinan terhadap kehidupan orang Melayu dan menampakkan kesediaan untuk membantu mereka bila-bila masa yang diperlukan.

Dengan itu mudahlah mereka diterima oleh masyarakat Melayu. Apabila sudah diterima oleh masyarakat setempat, mudahlah juga untuk kader-kader ini menjalankan gerakan dengan menubuhkan 'Hsueh Hsih Cell' dalam kalangan orang Melayu yang telah dikenal pasti menunjukkan minat dan kecenderungan terhadap fahaman komunis. Sasarannya ialah golongan remaja dan kanak-kanak.

Menerusi sel-sel atau unit ini, indoktrinasi komunis akan dijalankan sebelum kemudiannya kelompok yang sudah 'direkrut' ini diserap masuk ke dalam Liga Belia Komunis Tanah Melayu (MYCL).

Kebanyakan saranan yang dibuat oleh Chin Peng ini diterima anggota Jawatankuasa Pusat PKM yang hadir pada mesyuarat di Beijing itu walaupun penggunaan nama samaran Melayu oleh anggota komunis Cina dibantah oleh Pengerusinya, Musa Ahmad, atas alasan isu agama dan kaum agak sensitif bagi orang Melayu yang mungkin melihatnya sebagai usaha untuk mengelabui mata mereka.

Chin Peng bagaimanapun mengetepikan pandangan Musa itu dengan menekankan yang kader-kader PKM memang cukup terlatih dari segi penguasaan bahasa termasuk dialek sehingga mampu meyakinkan orang Melayu.

Keyakinan Chin Peng itu dipercayai berdasarkan kejayaan anasir komunis menyusup masuk ke dalam badan-badan agama di awal penubuhan PKM selain mempengaruhi individu dengan latar agama untuk menyertai gerakan itu walaupun pada asalnya atas dasar perjuangan nasionalis.

Antara pemimpin PKM yang mempunyai latar pendidikan agama ialah Musa dan Samsiah Fakeh. Musa yang mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Al Mashor, Pulau Pinang ialah Presiden Persatuan Penuntut Melayu Al Mashor dari 1939 hingga 1941.

Penubuhan Parti Nasionalis Melayu (MNP) pada September 1945 pula mengikut dokumen rasmi itu digerakkan atas cadangan Mokhtaruddin Lasso iaitu anggota Parti Komunis Indonesia (PKI), yang ketika itu menjadi Ketua Editor akhbar Suara Rakyat yang dinamakan semula selepas mengambil alih operasi Berita Perak.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131001

Pemimpin gerila menjalani hidup mewah semasa berlindung di China

HAMPIR semua pemimpin kanan Parti Komunis Malaya (PKM), termasuk Setiausaha Agungnya, Chin Peng menjalani hidup mewah termasuk memiliki kereta rasmi dan pemandu peribadi.

Chin Peng sendiri mempunyai sebuah rumah banglo di Peking dan hidup sebagai seorang diplomat bersama-sama isterinya Li Chih semasa tinggal di Peking.

Beliau tiba di Peking pada pertengahan 1961, walaupun dibantah oleh Pengerusi PKM, Musa Ahmad yang berpendapat Chin Peng sebagai Setiausaha Agung PKM tidak seharusnya meninggalkan sempadan Malaysia-Thai tetapi untuk memimpin dan bersama-sama anggota-anggota PKM bertempur di sempadan.

Semasa tinggal di Peking, Chin Peng yang menggunakan nama Hung Tao bagi mengelak kehadirannya di Peking disedari, turut disediakan seorang setiausaha dan seorang pengawal peribadi.

Banglo yang didiaminya bersama isterinya terletak dalam kawasan Kompleks ILD di Peking juga dikawal ketat.

Chin Peng juga sering keluar negara atas alasan menghadiri persidangan dan kongres antarabangsa anjuran negara-negara komunis.

Semasa berada di luar negara, Chin Peng sering menggunakan nama samaran 'Majid'.


Shamsiah Fakeh bersama suaminya, Ibrahim Mohamad semasa dalam pelarian dari Tanah Melayu
dan mendapat perlindungan di Beijing, China pada tahun 1957. - JABATAN PENERANGAN

Selain Chin Peng, Pengerusi PKM, Musa Ahmad juga menjalani hidup mewah bersama isterinya Zainab Mahmud di Peking dan juga sering mengunjungi luar negara atas alasan sama mengetuai PKM pada persidangan antarabangsa dan kongres anjuran negara-negara komunis.

Musa sendiri mengakui akan mengambil kesempatan menghabiskan masa antara tiga minggu hingga sebulan di negara-negara terbabit untuk melancong setelah berakhir sesuatu persidangan atau kongres yang dihadirinya.

Beberapa orang pemimpin kanan PKM lain termasuk Timbalan Setiausaha Agung PKM, Lau Li, dan anggota Jawatankuasa Pusat PKM, Liew Yit Fan dan Chan Tien turut hidup mewah di Peking.

Kehadiran mereka di Peking adalah secara rahsia, malahan kesemua kader-kader PKM dan anggota-anggota PKM yang bertempur di sempadan Malaysia-Thai dan di hutan-hutan tebal di Tanah Melayu pada masa itu tidak mengetahui bahawa pemimpin-pemimpin mereka meninggalkan mereka dan berseronok dengan hidup mewah di Peking, China.

Shamsiah Fakeh dan Rashid Mydin yang merupakan pemimpin komunis penting Melayu dalam Rejimen Ke-10 PKM turut tinggal di Peking atas alasan menghadiri latihan ideologi komunis di Institute of Marx and Lenin, Chungking di Peking atau atas melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diarahkan oleh kepimpinan PKM.

Shamsiah dan Rashid misalnya pernah berpindah ke Indonesia atas arahan Chin Peng bagi menjayakan agenda PKM di negara itu.

Semasa berada di Peking, pemimpin-pemimpin PKM ini turut menerima elaun daripada Parti Komunis China (PKC) untuk saraan hidup mereka semasa tinggal di China.

Sementara semasa menghadiri persidangan atau kongres komunis di luar negara, pemimpin-pemimpin kanan PKM turut diberi layanan sebagai diplomat dan menaiki pesawat termasuk Aeroflot.

Chin Peng sendiri diberi taraf diplomat dan menaiki pesawat kelas diplomat serta tinggal di kediaman mewah atau hotel mewah semasa menghadiri persidangan atau kongres di negara-negara komunis termasuk di Kesatuan Soviet dan Albania.

Selain Chin Peng dan anggota Jawatankuasa Pusat PKM, dianggarkan 30 orang pemimpin kanan PKM yang lain turut tinggal di luar negara dan hidup secara mewah di beberapa negara lain termasuk Bangkok dan Hanoi.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131001

Chin Peng tadbir PKM seperti diktator

CHIN Peng mempunyai cengkaman kuat ke atas Parti Komunis Malaya (PKM), sejak mula ia ditubuhkan pada 20 April 1930 sehinggalah kematiannya pada 16 September, 2013.

Beliau bukan sahaja berkuasa penuh dalam menentukan dasar-dasar parti dan hala tuju PKM, tetapi juga mempunyai kuasa penuh dalam menentukan hal-hal mengenai perancangan parti serta strategi pertempuran bersenjata.

Malahan beliau dilihat bertindak seperti seorang diktator termasuk dalam menentukan siapa yang menduduki barisan kepimpinan PKM.

Suara Chin Peng adalah keputusan PKM. PKM adalah Chin Peng, dan Chin Peng adalah PKM.

Cengkaman beliau ke atas PKM begitu ketara sehingga tidak ada sesiapa dalam PKM berani menentang keputusanya atau berani melanggar arahannya.

Apa yang jelas, Chin Peng lebih berkiblat kepada Peking (China) dalam segala hal, termasuk daripada segi nasihat, latihan kader-kader PKM, strategi peperangan, kewangan dan persenjataan, walaupun Chin Peng turut mempunyai hubungan rapat dengan Kremlin (Kesatuan Soviet) ketika era pemberontakannya demi mendapat sokongan.

Semua ini adalah kerana faktor bangsa dan budaya dalam PKM itu sendiri, dengan Chin Peng dan majoriti anggota PKM adalah berketurunan Cina.

Chin Peng berpendapat hubungan kaum, budaya dan bahasa itu akan memudahkannya mendapatkan sokongan daripada China, bukan sahaja daripada segi moral tetapi juga kewangan dan latihan bagi meneruskan agendanya melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan kerajaan Malaya.

Ini dapat dibuktikan, walaupun Chin Peng dan anggota-anggota PKM di bawah beberapa rejimen yang diutubuhkan termasuk Rejimen Ke-10 PKM, yang kesemuanya dianggotai orang Melayu berada beratus-ratus kilometer, tetapi mereka akur dengan arahan dan perintah Chin Peng tanpa perlu kehadirannya.

Dalam sesetengah kes, Chin Peng hanya mengeluarkan arahan melalui utusannya atau melalui kenyataan-kenyataan yang dibuat dari semasa ke semasa.

Dalam kebanyakan kes, walaupun anggota-anggota PKM yang berada di dalam hutan tebal, terutama anggota-anggota komunis dalam Rejimen Ke-10 tidak mempunyai senjata yang lengkap dan makanan yang mencukupi tetapi mereka tetap mematuhi arahan Chin Peng tanpa sebarang bantahan.

Tidak ada sesiapa dalam PKM berani bersuara, mahupun meluahkan isi hati mereka lebih-lebih lagi untuk mengangkat muka terhadap Chin Peng.

Chin Peng berjaya menerapkan perasaan takut dalam diri anggota PKM bahawa sebarang bantahan, sama ada secara senyap lebih-lebih lagi secara terbuka akan membawa padah.


DOKUMEN rasmi yang diperolehi Utusan Malaysia, memetik kenyataan Pengerusi PKM,
Musa Ahmad yang mengesahkan Chin Peng adalah sebenar-benarnya berkuasa dalam parti.

Daripada segi pertempuran dan strategi peperangan serta serangan bersenjata, Chin Peng sering mengeluarkan arahan dalam pertemuan sulit yang selalunya diadakan di dalam hutan, dan tidak ada sesiapa akan tahu bila kemunculan Chin Peng.

Dalam salah satu pertemuan sulit dengan beberapa pemimpin kanan PKM di dalam hutan Kerdua pada 1949, beliau menyatakan bahawa PKM telah menubuhkan beberapa rejimen yang dianggotai kaum Cina dan beliau bercadang menubuhkan rejimen baru untuk orang Melayu.

Ketika pertemuan itu, tidak ada sesiapapun yang membantah. Kesemua anggota PKM Melayu yang hadir pada pertemuan sulit itu, hanya mengemukakan satu cadangan supaya rejimen itu diberi nama Rejimen Ke-10 kerana ia ada kaitan dengan kalendar Islam.

Selepas persetujuan itu dicapai, Chin Peng mengarahkan kesemua anggota PKM Melayu yang hadir pada pertemuan sulit itu kembali ke Temerloh untuk merekrut orang Melayu terutama tentera tani yang sudahpun ditubuhkan lebih awal di kampung-kampung Melayu untuk menyertai rejimen itu.

Chin Peng juga tidak suka sesiapa cuba mempengaruhinya. Dalam satu insiden, Musa Ahmad yang menyertai Rejimen Ke-10 pernah mencadangkan supaya anggota PKM Melayu yang menyertai Rejimen Ke-10 dibenarkan memakai songkok sebagai sebahagian uniform rejimen itu dan cadangan itu dibantah keras oleh Chin Peng, dan beliau kemudian beredar dari hutan itu ke destinasi yang tidak diketahui.

Dalam semua keputusan penting yang membabitkan PKM, Chin Peng adalah pemutus termasuk apabila semua anggota rejimen-rejimen bersenjata di bawah PKM diarah berpindah ke Gua Musang setelah pasukan bersenjata PKM mengalami tekanan kuat daripada pasukan keselamatan pada 1949.

Chin Peng menyatakan PKM terpaksa bergerak ke utara semenanjung Malaya ketika itu ke kawasan yang lebih 'liberal' di sempadan Thailand-Malaya kerana menghadapi tekanan hebat daripada pasukan keselamatan.

Ketika itu, anggota Rejimen Ke-10 yang serba kekurangan termasuk kelengkapan senjata tetap mematuhi arahan 'berpindah' itu, walaupun kebanyakan anggota rejimen itu berdepan kebuluran kerana kekurangan makanan dan ada yang jatuh sakit setelah dikepung pasukan keselamatan.

Pernah satu ketika, Chin Peng juga menghukum komander Rejimen Ke-10 Abdullah CD kerana didapati melanggar disiplin parti sebelum diturunkan pangkat dan diganti dengan Musa Ahmad sebagai komander baru Rejimen Ke-10 PKM.

Chin Peng juga mempunyai kuasa penuh menentukan siapakah pemimpin-pemimpin PKM yang perlu diberi latihan kepimpinan, mahupun kenaikan pangkat termasuk pelantikan Musa Ahmad sebagai Pengerusi dibuat oleh Chin Peng bersendirian apabila Chin Peng sendiri menghantar surat melalui utusannya kepada Musa Ahmad menyatakan tentang perkara itu.

Chin Peng juga menentukan dasar-dasar berhubung kepentingan kumpulan kaum Cina dalam PKM dengan menyatakan kumpulan Cina dalam PKM merupakan kumpulan terpenting, manakala kumpulan Melayu dan India hanya kumpulan yang dianggap kurang penting dan saranannya itu disokong oleh seorang lagi pemimpin kanan PKM yang dikenali sebagai Shi Meng yang menyatakan bahawa PKM akan menjadi lebih kuat jika asasnya ditegakkan oleh kumpulan Cina dan selagi PKM terus menekankan kepada kepentingan dan penguasaan kaum Cina dalam PKM.

Malahan Musa Ahmad sebagai Pengerusi PKM pernah mencadangkan supaya PKM turut mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu atas dasar orang Melayu jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi, dan cadangan itu turut ditolak mentah-mentah oleh Chin Peng.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131001

Perlunya membudayakan rasuah sifar

SEBAGAI ahli akademik, saya tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan. Tanggungjawab ini pula perlu seiring dengan rasa minat yang mendalam untuk menjalankan penyelidikan, barulah hasil penyelidikan itu dapat diperoleh dengan sebaik mungkin. Bukan sekadar memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau bertujuan kenaikan pangkat, tetapi juga paling penting disumbangkan kepada masyarakat dan negara.

Bertepatan dengan ini, baru-baru ini, saya dan rakan penyelidikan saya, iaitu, Dr. Zaleha Othman, dan Fathilatul Zakimi telah menjalankan kerja lapangan di sebuah syarikat iaitu Thumprints Utd Sdn. Bhd. Syarikat ini terletak di Rawang, Selangor. Dari luar, syarikat ini kelihatan seperti syarikat-syarikat lain. Tiada nampak bezanya.

Namun, selepas menemubual pihak pengurusan tertinggi syarikat dan melihat dengan sendiri persekitaran syarikat dari dalam, syarikat ini amat berbeza sama sekali berbanding syarikat lain yang pernah kami menjalankan penyelidikan. Kami dilayan dengan amat mesra sekali oleh pengurusan tertinggi syarikat yang diketuai oleh pengerusi syarikat iaitu Tam Wah Fiong. Tanpa rasa gentar dan berprinsipkan ketelusan, beliau menjawab satu persatu soalan yang dikemukakan oleh kami.

Apa bezanya syarikat ini dengan syarikat-syarikat lain? Perbezaan yang amat ketara adalah pengurusan tertinggi syarikat ini cukup menitikberatkan aspek amanah, jujur dan tiada rasuah mahupun penyelewengan. Dalam banyak-banyak penyelidikan yang kami jalankan, tidak pernah lagi kami menyelidik syarikat yang meletakkan motto syarikat iaitu, tiada pembohongan, tiada penipuan dan tiada rasuah (No lies, no cheats, no bribes). Ini menggambarkan betapa seriusnya pihak pengurusan tertinggi dan tidak sama sekali berkompromi atau mengambil sikap sambil lewa terhadap sebarang gejala rasuah, hatta pembohongan dan penipuan juga dilarang sama sekali.

Sebuah Jawatankuasa Rasuah Sifar ditubuhkan oleh pihak pengurusan tertinggi bagi melaksanakan Program Rasuah Sifar. Ini menggambarkan komitmen pihak pengurusan tertinggi untuk memerangi gejala rasuah dalam semua peringkat yang melibatkan aktiviti syarikat. Tiada langsung peluang diberikan kepada mana-mana pekerja yang terlibat dengan rasuah. Jika peluang diberikan, ini akan memberi ruang kepada pekerja-pekerja lain untuk terlibat dengan gejala rasuah. Bagi syarikat ini, mengambil dan mempunyai pekerja yang berintegriti adalah aspek yang menjadi keutamaan syarikat.

Syarikat ini telah mendapat pelbagai kejayaan besar. Sebelum memperoleh pelbagai kejayaan, syarikat ini telah mengharungi pelbagai cabaran. Bayangkan selama tiga tahun syarikat ini terpaksa menderita kerana menolak keterlibatan dalam rasuah. Ini kerana dalam dunia perniagaan Malaysia, rasuah berkemungkinan diamalkan sebagai pelincir untuk mendapatkan kontrak dan tender. Bayangkan juga jika ada tiga syarikat bersaing untuk mendapatkan kontrak, dua syarikat tidak mahu terlibat dengan rasuah, manakala satu pula menghulurkan rasuah, sudah tentulah yang menghulurkan rasuah itu akan memperoleh kontrak tersebut. Ini sudah menjadi rahsia umum. Menafikan ia seperti menutup kisah benar yang sememangnya diketahui umum. Menafikan ia juga akan menjadikan rasuah semakin membarah dan akhirnya tidak boleh dirawat lagi.

Sering kali, kita mendengar penjawat- penjawat awam dipersalahkan dalam aspek rasuah. Yang menyalahkan mereka sudah tentulah ahli-ahli perniagaan. Tetapi ahli- ahli perniagaan ini terlupa, sebenarnya merekalah yang berupaya dan berkuasa untuk memerangi rasuah. Jika mereka menolak rasuah dan tidak memberi rasuah, apa yang boleh dilakukan oleh penguat kuasa? Kalau semua ahli perniagaan menerima pakai prinsip rasuah sifar dalam menjalankan perniagaan, mustahil penguat kuasa akan meminta rasuah.

Masalahnya, ahli-ahli perniagaan hanya mahu kerja mudah dan tidak langsung mempunyai komitmen untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara. Mengambil kata-kata Tam -“Perjuangan saya ini bukanlah untuk saya tetapi untuk generasi yang akan datang dan ketika itu saya berkemungkinan besar tiada lagi di dunia ini". Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa apabila meninggalkan dunia ini, tiada apa lagi yang boleh dibawa, menentang rasuah bukanlah kerja mudah yang boleh menampakkan hasilnya dalam satu malam sahaja tetapi berkemungkinan besar melibatkan satu generasi yang lain.

Kerana sikap yang terlalu mementingkan diri sendiri dan ditambah pula dengan sifat tamak haloba, gejala rasuah sukar ditangani. Kita perlu sedar apa sumbangan kita kepada masyarakat. Asyik menuding jari terhadap orang lain bahawa ini kesilapan besar mereka tetapi diri sendiri tidak pula berusaha untuk membantu dan bekerjasama dalam memerangi rasuah. Hak-hak orang lain diketepikan. Pembohongan pastinya akan berlaku jika sesuatu pihak ingin merasuah orang lain.

Malangnya, pembohongan itu sering kali berlaku dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Buktinya, boleh dikatakan setiap hari terdapat kes-kes pembohongan serta rasuah dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan seperti skandal rasuah bolasepak, politik wang dan berniaga dengan cara menipu. Begitu juga, sering kali kita terbaca pelbagai kisah penipuan di blog-blog dan laman sosial melibatkan rakyat Malaysia yang akhirnya boleh bertukar dalam bentuk fitnah yang merosakkan kesejahteraan negara.

Organisasi dan syarikat-syarikat Malaysia perlu belajar dengan Thumbprint Utd Sdn. Bhd. Penerapan nilai-nilai murni dengan rasa tanggungjawab, amanah dan jujur serta menolak nilai-nilai buruk seperti berbohong dan memberi atau menerima rasuah boleh menjadikan persekitaran organisasi berkenaan lebih kondusif untuk majikan dan pekerja. Budaya rasuah sifar perlu disuburkan di semua peringkat. Barulah rakyat Malaysia akan menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan sejahtera.



Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20130930

Tiada kejutan dalam pemilihan ulangan CEC Parti Tindakan Demokratik

SEMALAM, Kongres Khas DAP berlangsung dengan pemilihan semula anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Jumlah perwakilan hanya 2,576 orang dan calon yang bertanding pula 49 orang. Kongres khas ini diadakan selepas pemilihan yang berlangsung pada 15 Disember 2012 terpaksa dibatalkan. Ketika itu 68 orang bertanding dan tidak sampai 2,000 yang mengundi. Semalam juga, berlangsung simulasi pemilihan UMNO. Berbanding DAP, pemilihan UMNO tentulah lebih rumit kerana bakal melibatkan lebih 146,000 perwakilan yang akan memilih 33,682 calon pemimpin bagi pelbagai peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dan bahagian. Jika DAP memilih 30 anggota CEC yang kemudiannya akan bermesyuarat memilih pemimpin seperti setiausaha agung, pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi, UMNO pula terus membuat pemilihan bagi jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.

Begitulah bezanya corak pemilihan dua parti - DAP dan UMNO. Berbanding DAP, sudah tentulah, pemilihan dalam UMNO terpaksa menempuh perjalanan yang rumit. Walaupun ini kali pertama berlangsungnya pemilihan corak baru, UMNO perlu memastikan kaedah yang dilaksanakan tidak menjejaskan kredibiliti parti. Jika sebelum ini ramai yang mempertikaikan corak pemilihan DAP, maka jangan dibiarkan orang lain mengambil kesempatan untuk memperkecilkan kaedah pemilihan UMNO. Sebarang masalah teknikal yang berlaku perlu diselesaikan segera. Jika diselak sejak hari ‘penamaan calon’ baru-baru ini terdapat beberapa kenyataan yang berkaitan dengan kelayakan bertanding. Begitu juga dengan etika berkempen. Pihak yang menjadi pemantau pemilihan kali ini perlu lebih jelas dengan etika berkempen, bukan sekadar pertemuan di peringkat bahagian tetapi juga kenyataan, ucapan oleh calon-calon yang bertanding. Timbul persoalan bagaimana ruang untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media.

Keadaan ini berbeza bagi mereka yang mempunyai jawatan sama ada dalam kerajaan pusat atau kerajaan negeri atau memegang jawatan lain yang boleh mencipta pelbagai aktiviti untuk tampil bertemu pemilih sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mungkin jika ini tidak ditangani akan timbul pelbagai isu yang boleh menjejaskan proses pemilihan. Bukan mudah untuk memantau corak kempen ini. Eloklah kempen untuk menyatakan visi dan misi diberi kelonggaran. Fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah politik wang dan kempen memburukkan orang lain. Seperti dibangkitkan dalam Selak sebelum ini, apa yang penting elakkan ketirisan poket sepanjang berkempen. Berdasarkan simulasi semalam, dijangkakan tidak timbul masalah dalam kaedah pemilihan kali ini.

Berbalik kepada pemilihan DAP, jumlah calon yang bertanding semalam berkurangan berbanding pemilihan yang diadakan pada Disember lalu. Jumlah kali ini berkurangan sebanyak 19 orang, iaitu 17 menarik diri dan dua lagi keluar parti. Menyelak kembali di sebalik pemilihan semula ini, kongres khas terpaksa diadakan semula atas permintaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana banyak persoalan timbul pada pemilihan lalu.

DAP terpaksa akur dengan ‘kecuaian manusia’ yang melibatkan keputusan terhadap tujuh orang calon. Dalam pemilihan yang diadakan sebelum ini, beberapa fakta menarik perhatian banyak pihak. Pertamanya, lapan orang Melayu yang bertanding tersingkir menyebabkan parti yang mendakwa mewakili pelbagai kaum itu dikritik hebat. Keduanya berlaku ‘pembetulan’ keputusan selepas 19 hari pemilihan apabila parti itu tampil memperbetulkan kesilapan undi yang diterima oleh tujuh calon. Hasil ‘pembetulan’ itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya menduduki tangga ke-39 melonjak ke tangga 20 (terakhir dalam senarai) sekaligus meletakkannya sebagai seorang anggota CEC yang dipilih. Undi ‘asalnya’ 305 meningkat kepada 803 manakala Wu Him Ven yang menduduki tempat ke-6 menjunam ke kedudukan 26 menyebabkannya terkeluar daripada senarai anggota CEC yang dipilih. Undi baru yang diperolehnya adalah 669 undi berbanding 1,202 undi. Beliau kemudiannya menganggotai CEC sebagai anggota yang dilantik. Lima lagi turut mengalami perubahan jumlah undi iaitu Wong Sai Hoong 23 (asal 448), Wong Sze Phin 643 (761), Zulkifli Mohd Noor 249 (216), Roseli Abdul Gani 69 (39) dan Tan Boon Peng 40 (407).

Semalam, semua 20 anggota yang dipilih adalah anggota CEC yang terpilih selepas ‘pembetulan’ dilakukan pada pemilihan lalu. Jelaslah, perwakilan tetap memilih orang yang sama, cuma corak undi yang diterima berubah. Pada masa yang sama, perwakilan tetap menolak calon-calon Melayu yang turut menawarkan diri bertanding termasuklah Senator Ariffin SM Omar yang dilantik sebagai Naib Pengerusi selepas pemilihan lalu. Benarkah kenyataan seorang calon CEC Melayu, Zulkifli Mohd Noor bahawa nilai orang Melayu dalam DAP ibarat mata wang bernilai ‘lima kupang’ atau 50 sen?

KARPAL TETAP GAGAH

Walaupun pemilihan semula diadakan, Karpal Singh, 73 tetap ‘gagah’ sebagai Pengerusi DAP. Semalam, beliau menegaskan tidak akan berundur dari politik selagi pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan Pusat. Karpal pernah jatuh dalam pilihan raya umum (PRU) apabila beliau kalah di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada 1999. Bagaimanapun beliau berikrar untuk bangkit semula dan kata-kata itu terbukti apabila beliau menang semula pada PRU 2004 diikuti 2008 dan 2012.

Begitulah keazaman veteran DAP itu yang tidak menolak kemungkinan akan terus kekal sebagai calon PRU akan datang. Beliau sememangnya berhasrat untuk menyerahkan kepemimpinan kepada generasi muda. Katanya: “Kita semakin tua dan orang (pemimpin) tua perlu bersara satu hari nanti. Saya akan bersara dalam masa munasabah. Munasabah bermaksud lepas apa yang kami mimpikan iaitu untuk jadi kerajaan Persekutuan menjadi kenyataan. Lepas itu baru bagi kepada orang muda,’’.

Maknanya, peranan orang lama masih tetap diperlukan. Kenapa Karpal Singh yang sudah begitu lama berkecimpung dalam politik masih tetap gagah dan diterima ramai? Semalam, Karpal Singh mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, sama seperti pada pemilihan Disember lalu. Jumlah undinya meningkat daripada 1,411 kepada 1,421 undi. Penasihat parti, Lim Kit Siang pula jatuh ke nombor dua dengan undi merosot iaitu daripada 1,607 kepada 1,436 undi, kehilangan 171 undi. Anaknya, Lim Guan Eng pula menduduki tempat ke lima dengan 1,304 undi, merosot 272 undi berbanding kedudukan No.2 pada 2012 dengan 1,576 undi. Apakah ada sesuatu di sebalik keputusan semalam? Yang pasti tiada kejutan!



Hassan Mohd. Noor Utusan Malaysia Online Rencana 20130930

Umat Melayu menghadapi krisis pemikiran, kepercayaan

MENELITI perkembangan aliran pemikiran dan kepercayaan dalam kalangan umat Melayu terlihat kekacauan yang amat merimaskan. Ia juga menyumbang kepada krisis umat yang tidak mudah untuk dileraikan.

Terlihat kini, masa habis terbuang menghadapi kerenah aliran pemikiran dan kepercayaan yang pelbagai sesama warga umat menyebabkan umat Islam semakin hilang fokus.

Bermula dengan aliran kepercayaan al Arqam dan banyak ajaran sesat yang lain belum dapat dileraikan dengan baik hinggalah kepada kepercayaan politik yang terhubung dengan aliran pemikiran dan pendirian yang mendalamkan lagi krisis yang ada.

Aliran pemikiran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi sumber landasan pegangan kalangan umat Melayu semakin jelas tercabar. Pendekatan Wahabiyyah yang mengambil cara membidaah warga umat walaupun hal-hal ranting atau furuk yang mengharuskan kita berbeza cuba meresap masuk dalam pemikiran umat.

Ajaran Syiah yang sedang merebak mengambil pendekatan menyalahi ibadah dan syariat Ahlus Sunnah Wal Jamaah sedang menjadi isu. Ia tidak mudah untuk dibendung kerana antara ajarannya ialah taqiyyah dan amalan mutaah.

Faham liberal dan pluralisme agama juga sedang menjadi cabaran. Menyamakan semua agama itu sama bercanggah dengan ajaran al-Quran. Isu kalimah Allah yang cuba disamakan dengan konsep Triniti dalam memahami makna Tuhan belum lagi selesai. Lebih-lebih lagi bila isu ini menjadi dukungan parti politik tertentu kekacauan menjadi semakin serius.

Ia belum lagi termasuk faham mengenai hal asasi manusia ikut acuan Barat yang tidak berlandaskan syariat. Aliran ini sangat selari dengan era pasca modernisme yang menolak autoriti dan hierarki dan mengamalkan faham anarki (disorderly).

Lebih menjelikkan lagi ialah kekacauan sebahagian orang Melayu terhadap Chin Peng dan kematiannya. Bagi mereka Chin Peng adalah hero dan abunya patut dikuburkan di Malaysia.

Kalau sesetengah parti politik cauvanis Cina mengambil pendirian sedemikian boleh kita fahami kerana perjuangan sosialis yang mereka dukung.

Dalam mencari erti beragama di Malaysia, faham atau aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah sudah menjadi faktor pemersatu sekian lama. Aliran ini diterjemahkan dalam bidang syariat, muamalah, ilmu dan pendidikan dengan baik sekali.

Ia menghasilkan tidak saja kekuatan rohaniah yang amat dituntut tetapi tradisi ilmu dan perubahan yang selari dengan maksud al-Quran dan Sunnah.

Ia amat penting diperkukuhkan dalam sistem pendidikan negara kita supaya landasan wahdah atau kesatuan dalam kalangan warga umat berlaku.

Membangun aliran dan kefahaman pemikiran dan kepercayaan yang sifatnya menyalahi amat berbahaya bagi kekuatan umat Melayu dan umat Islam di negara ini.

Tetapi bila perkara asas dalam akidah, ibadah dan syariah sifatnya menyimpang, ia bakal menghasilkan perpecahan dalam kalangan warga umat. Masa akan terbazir dengan perbezaan, polemik dan pertentangan dan tidak mustahil tragedi bunuh-membunuh boleh berlaku seperti yang berlaku di negara-negara umat Islam yang lain. Justeru kembali kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah jawapan terbaik isu-isu yang berbangkit.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131001

Pemain baharu, permainan sama: Bergelut dengan paradoks

Terima kasih Khazanah Nasional, kerana menjemput saya sekali lagi, untuk berucap pada tahun ini dalam forum terkemuka ini. Khazanah Nasional sememangnya telah melaksanakan tugas yang menakjubkan sejak lapan tahun Megatrend mula diadakan pada tahun 2000. Tahniah, saya ucapkan.

Secara peribadi, saya percaya dengan pengecualian hanya satu kategori tunggal paradoks, semua yang lain di dunia ini boleh diberi penjelasan. Alam paradoks boleh dikelaskan kepada dua kategori:

(a) Paradoks yang kita tidak mampu jelaskan kerana kita belum mempunyai ilmu pengetahuan atau teknologi untuk memahaminya. Dengan itu, ia hanya mengambil masa untuk kita merasionalkannya, atau;

(b) Paradoks yang selama-lamanya akan kekal misteri untuk Tuhan Yang Esa pilih ia kekal begitu. Dalam kes ini, kita perlu mempunyai keyakinan terhadap kepercayaan diri ia memang begitu.

Apa pun, berdasarkan apa yang saya katakan tadi, saya akan cuba sebaik-baik mungkin untuk merasionalkan sebuah paradoks yang dikemukakan untuk forum ini - sama ada negara membangun semestinya mengikut sejarah corak pembangunan dan model ekonomi negara-negara maju? Jawapan mudahnya... ya dan tidak.

Ya kerana terdapat satu turutan model pembangunan - daripada ekonomi berasaskan komoditi dan pertanian berkembang kepada industri dan seterusnya kepada ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan.

Meskipun begitu, kita kini mempunyai beberapa ahli ekonomi berdebat bahawa India melonjak daripada pertanian terus kepada ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan. Tambahan pula, Amerika Syarikat (AS) kini mahu membawa kembali sebahagian daripada aktiviti berasaskan industri miliknya ke dalam negara mereka.

Jelas sekali kelajuan perubahan yang meningkat dan terus meningkat ini mencipta banyak cabaran kepada mana-mana pembuat dasar sesebuah negara. Saya hanya boleh katakan bahawa situasi dinamik global semasa sejak 10 tahun lalu, termasuk dalam kalangan ekonomi terbesar dunia, perlu lincah dan fleksibel untuk bergerak ke hadapan.

Peranan kerajaan AS terhad kepada peruntukan kerangka peraturan untuk mengehadkan persaingan tidak adil, perlindungan pengguna, alam sekitar dan perkara lain yang ditetapkan sebagai tinggi kepentingan awam, dengan input daripada kuasa pelobi yang sangat kuat. Sudah tentu kita semua tahu bagaimana perkara itu telah memberi kesan kepada ekonomi AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malaysia berdiri di antara dua model yang disebut tadi. Kita kini dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh dan kita mempunyai bajet tahunan untuk melaksanakan pelan induk tersebut secara berperingkat.

Bagaimanapun, seperti yang anda semua tahu, kesan berterusan daripada krisis ekonomi global pada 2008-2009 telah menyebabkan kita bertindak balas dalam pelbagai cara yang tidak dijangkakan semasa kita merangka Rancangan Malaysia Kesepuluh pada 2011.

Kita juga mempunyai Pelan Transformasi Ekonomi yang bergerak selari, sebuah rancangan yang secara asasnya beberapa siri sasaran untuk membawa kita ke tahun 2020 apabila kita dijangka menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Terdapat ahli ekonomi yang mencadangkan kita patut melihat kepada Korea Selatan sebagai sebuah model. Saya hanya boleh bersetuju kepada satu tahap yang terhad.

Gabungan pengalaman kesusahan yang melampau, trauma emosi yang besar dan keperluan membina sebuah negara daripada abu-abu Perang Korea telah membentuk sebuah masyarakat yang sangat berdisiplin, jika boleh saya tambah sebuah masyarakat sama bangsa, yang tidak jauh bezanya dengan masyarakat Jepun.

Terdapat semangat yang kental, keghairahan, keazaman kuat, semua sehingga ke peringkat individu di bawah, yang mendorong Korea Selatan ke kedudukannya kini. Korea Selatan kini memegang kelebihan sebagai sebahagian daripada sebilangan kecil negara yang berjaya transit daripada ekonomi pertengahan kepada ekonomi tinggi.

Kita perlu beringat bahawa satu kajian tentang sebuah ekonomi yang berjaya tidak boleh dihadkan kepada kes polisi awam, model pentadbiran awam, polisi kewangan dan fiskal serta pelbagai institusi dan amalan sesebuah negara.

Satu kajian tentang kejayaan sesebuah negara tidak boleh dipisahkan daripada pemahaman mendalam tentang corak perilaku masyarakat ekonomi tersebut, jiwa kebangsaan, sejarah dan juga warisan budaya mereka. Kenapa saya katakan ini, kerana ia adalah rakyat, warganegara itu sendiri yang akan melaksanakan polisi-polisi dan menjalankan pelan induk tersebut.

Kita boleh mempunyai satu demi satu pelan induk kebangsaan yang sangat bijak tetapi jika kita tidak mempunyai rakyat yang mempercayainya, melaksanakannya, mempunyai kemampuan menggerakkan seluruh negara ke depan tepat dalam arah tuju yang ditetapkan itu, maka pelan induk yang terbaik sekalipun ditakdirkan boleh gagal.

Mari kita lihat kepada kemungkinan model-model lain. Saya fikir model-model paling hampir yang kita boleh turuti adalah di negara-negara Nordic iaitu Denmark, Finland, Norway dan Sweden. Di setiap ranking antarabangsa, keempat-empat negara memegang kedudukan sepuluh terbaik untuk kesihatan, demokrasi, pendidikan, pendapatan per kapita, kualiti hidup, kualiti alam sekitar - saya boleh terus nyatakan banyak lagi.

Dengan pengecualian minyak di Norway, negara-negara Nordic mempunyai sumber asli yang terhad. Walaupun mempunyai jumlah penduduk yang kecil, mereka telah lahirkan pemenang-pemenang Hadiah Nobel, syarikat bertaraf dunia dan industri eksport berasaskan pertanian yang kukuh. Mereka mempunyai kadar jenayah yang rendah dan perpaduan masyarakat yang kuat. Rakyat mereka menikmati kualiti hidup antara yang tertinggi di dunia.

Tentu sekali, melihat kepada semua statistik ini, negara-negara Nordic merupakan model-model contoh. Berapa hampirnya Malaysia kepada keempat-empat negara ini?

Pertama - Populasi kita hampir sama dari segi saiz, kita 29 juta, gabungan mereka 26 juta.

Kedua - Warga Nordic melalui krisis kewangan, krisis hutang pada 1990-an. Seperti kita juga, mereka melakukan pembaharuan yang meluas.

Ketiga - Di sebalik banyak kecenderungan politik mereka, ahli-ahli politik mereka mengguna pakai pendekatan yang pragmatik untuk menyelesaikan masalah. Pembuat dasar Malaysia juga melakukan perkara yang sama.

Keempat - Peratusan besar tenaga kerja mereka adalah dalam sektor awam - 30 peratus. Kita 10.2 peratus, tinggi jika mengikut standard rantau ini.

Kelima - Mereka mempunyai syarikat bertaraf dunia dengan jenama global - Ikea, Lego, Carlsberg, Alfa Laval dan banyak lagi. Kita mempunyai jenama serantau - antaranya CIMB, Felda Global Ventures dan AirAsia.

Keenam - Warga Nordic bersedia mencuba sesuatu yang baru. Mereka antara yang awal menerima teknologi telekomunikasi dan mereka merupakan pendahulu e-kerajaan di Eropah.

Dalam kes kita, Malaysia adalah pendahulu serantau dalam penggunaan teknologi untuk penyampaian perkhidmatan awam dan kita mempunyai antara kadar penembusan jalur lebar tertinggi di kawasan membangun Asia, 60 peratus.

Tetapi di sinilah persamaan itu berhenti. Jika Malaysia mahu berjaya dalam cita-citanya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kita akan menjadi negara pelbagai kaum pertama melakukannya - pertama di dalam sejarah dunia. Ia bakal menjadi pencapaian bersejarah.

Apabila negara maju beralih ke ekonomi berpendapatan tinggi, rakyat mereka bersatu dalam menggerakkan semua sumber diperlukan untuk mencapai sasaran unggul itu - didorong oleh naluri asas manusia - untuk memperbaiki diri, peningkatan untuk keluarga sendiri, dalam kekayaan dan kebahagiaan.

Kita bukan seperti Jepun, Korea mahupun China di mana penduduknya sangat berdisiplin, dibentuk daripada keperluan masyarakat yang sangat kuat untuk mengikut satu corak tingkah laku yang ketat dan nyata.

Kita juga tiada kemewahan masa seperti dimiliki Eropah barat, AS, Kanada, Australia dan New Zealand - mengambil 20 ke 30 tahun untuk beralih daripada status pertengahan kepada berpendapatan tinggi. Kita mempunyai enam tahun sahaja lagi - kurang 2,300 hari. Itu bukan masa yang banyak.

Sejak 2009, perbelanjaan kerajaan merangkumi satu peratusan besar KDNK kita, dengan purata 23.5 peratus setiap tahun. Ini jelas sekali tidak mapan; bukan sahaja secara fiskal tetapi lebih penting lagi, ia bukan satu polisi amalan yang baik.

Sektor swasta secara keseluruhan, daripada konglomerat besar sehingga kepada syarikat sederhana dan kecil, perlu menyumbang. Kita perlu bergerak ke atas dalam rantaian nilai itu, dapatkan produktiviti lebih tinggi dan menjana aktiviti ekonomi lebih tinggi. Semua warga Malaysia perlu bersatu untuk mencapai sasaran bersama yang bersejarah ini.

Kerajaan akan memainkan peranannya tetapi fungsi asas kerajaan adalah untuk mewujudkan persekitaran terbaik mungkin untuk sektor swasta membangun. Ia bukan fungsi kami untuk berniaga.

Kami menampan kesan ancaman dari luar. Kami mempunyai dasar kewangan menyokong untuk membantu pembangunan pelaburan. Kami mengawal inflasi agar tidak menghakis simpanan kita semua. Ia bukan kerja mudah tetapi Alhamdulillah, kami telah berjaya mengharunginya setakat ini.

Tetapi, seperti saya nyatakan tadi, semua perancangan sukar menjadi kenyataan jika kita tidak mempunyai pembelian dalaman, sokongan pihak pelaksana, sokongan rakyat yang menerima manfaat akhir.

Perlu ada semangat dan perlu ada rasa sayang. Perlu ada satu keperluan untuk kita semua turut serta dalam satu aspirasi lebih tinggi, mengatasi politik harian, mengatasi perdebatan harian - demi Malaysia.

Saya akan cakap secara jelas. Satu tinjauan mudah ke atas mana-mana negara maju akan menunjukkan kepada anda bahawa tanpa keamanan dan kestabilan jangka panjang, tidak akan ada pembangunan ekonomi yang mapan. Tanpa pembangunan ekonomi, tidak akan ada penambahbaikan menyeluruh dalam kehidupan masyarakat, dalam jangka hayat rakyatnya.

Kita perlu menjamin, kita perlu mengunci asas-asas negara yang menyokong keamanan dan kestabilan jangka panjang dalam negara ini. Dan saya boleh katakan kepada anda bahawa satu tunggak asas, tiang tunggal mendukung beban itu, adalah keselamatan ekonomi.

Tinjauan negara-negara maju juga akan memberitahu anda bahawa di kesemua negara itu, kumpulan etnik majoriti memegang majoriti kekayaan. Sehingga ini dicapai, sejarah mengajar kita bahawa keamanan dan kestabilan tidak boleh dijamin untuk tempoh lama jika terdapat ketidakadilan pembahagian kekayaan negara.

Pada 1970, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Jika ada di antara anda sudah lupa, DEB diperkenalkan untuk menjamin kestabilan dan keamanan jangka panjang negara ini, untuk manfaat semua rakyat Malaysia. Ini asas paling penting.

Kita tidak boleh menikmati kestabilan dan keamanan jangka panjang sehingga kaum bumiputera mempunyai keselamatan ekonomi dan rasa terjamin itu hanya boleh datang apabila tiada lagi ketidakadilan pembahagian kekayaan di negara ini.

Kita kini mempunyai 'Program Permerkasaan Bumiputera' atau PPB. Sebab asas untuk kerajaan terus memperjuangkan objektif ini tetap tidak berubah - untuk membentuk lapangan persaingan lebih saksama kepada kumpulan 67 peratus itu.

Kaum bumiputera bukannya menuntut pembahagian 50:50 - cuma satu pertiga daripada kekayaan untuk dua pertiga populasi negara. Kaum bumiputera menerima definisi ini- satu pertiga untuk dua pertiga - sebagai pembahagian yang saksama.

Pendapatan Negara Kasar (PNK) kita tahun lalu sebanyak RM905 bilion. Menjelang 2020, dijangkakan akan mencapai RM1.7 trilion. Antara sekarang dan tahun itu, tambahan pendapatan RM830 bilion akan diwujudkan. Perkembangan kekayaan ini akan memberi manfaat kepada semua warga Malaysia.

Oleh itu, kita perlu mempercepatkan usaha untuk mencapai sasaran 30 peratus itu kerana asas, saiz kekayaan negara akan menjadi lebih besar.

Tugas kita tidak berhenti pada 1 Januari 2020. Kita akan terus membentuk semula ekonomi negara dan melalui proses itu, masyarakat kita akan dibentuk semula sewajarnya. Apa yang diterima sebagai norma hidup akan tamat. Apa yang dahulunya aneh dan tidak terfikir akan menjadi satu perkara biasa.

Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum. Kepelbagaian yang kita ada di negara ini telah membawa banyak rahmat - dengan setiap kumpulan etnik banyak menyumbang kepada pembangunan negara sehingga membawa kepada kedudukan kita kini - sebuah ekonomi pendahulu di ASEAN dan sangat dihormati dunia.

Kepelbagaian ini juga bermakna terdapat banyak sistem budaya di negara ini, setiap satu dengan nilai tersendiri, perbezaan kepercayaan, aspirasi dan harapan.

Satu kajian di Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa faktor tunggal paling penting dalam asimilasi pelbagai etnik adalah kesaksamaan pendapatan. Mereka yang berada dalam kumpulan ekonomi yang sama lebih mudah mengaitkan diri dan memahami antara satu sama lain. Ini termasuk mereka yang berada dalam kumpulan etnik yang sama.

Mereka yang berada dalam kumpulan sama kadar pendapatan akan berkongsi aspirasi, pengalaman dan harapan serupa termasuk masalah, isu-isu dan kebimbangan serupa.

Untuk mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin, tidak pernah menjadi polisi kerajaan menyekat orang kaya mencari kekayaan. Kami berusaha untuk menaikkan mereka yang di bawah. Dalam hal ini, kami telah berjaya. Pendekatan 'menaikkan yang di bawah' ini berterusan diperakui sejak beberapa dekad lalu oleh organisasi-organisasi pelbagai hala.

Walaupun kita bersatu pada satu tahap dalam rasa hormat bersama dan kesetiaan kepada negara dan simbol-simbolnya dengan Raja-Raja Melayu, bendera kebangsaan dan lagu Negaraku; untuk kita benar-benar bersatu dalam kehidupan seharian, jurang kesaksamaan pendapatan antara mereka yang ada dan tiada perlu dikecilkan. Ia akan menjadi penyatu yang boleh mengikat kita semua bersama.

Sebentar tadi, saya nyatakan pembuat dasar kami pragmatik dan kami bersedia mencuba sesuatu yang baru. Tentu sekali kami bersedia. Kami merupakan antara beberapa negara yang pertama di dunia mengangkat penswastaan sebagai satu alat polisi.

Dimulakan pada 1980-an, peranan sektor awam dalam ekonomi negara jauh lebih besar daripada sekarang. Kami telah menswastakan banyak entiti, besar dan kecil, dan menutup ribuan syarikat rugi yang sepatutnya tidak dimulakan.

Namun, kerajaan hari ini percaya bahawa masih ada peranan penting untuk syarikat-syarikat berjaya yang dahulunya merupakan entiti awam dalam menyokong usaha kebangsaan untuk menjamin kestabilan dan keamanan jangka panjang negara ini - untuk manfaat semua warga Malaysia, untuk semua generasi pewaris kita.

Kita masih banyak kerja perlu dilakukan. Jika kita semua bekerjasama menjamin keamanan dan kemakmuran negara, saya yakin banyak perkara baik akan menyusul, Insya-Allah, dengan izin Tuhan.

Utusan Malaysia Online Rencana 20131001