October 19th, 2013

Pembelajaran sepanjang hayat masih igauan

Oktober dan November ini menyaksikan kegembiraan graduan menerima pengiktirafan universiti dengan berlangsungnya majlis konvokesyen. Ia simbolik kepada tamatnya proses menimba ilmu di menara gading dengan graduan menerima sijil, diploma, sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah sebagai simbol keilmuan. Sementara itu, ketertiban majlis konvokesyen menjadi simbolik kepada kemuliaan ilmu graduan.

Konvokesyen yang diraikan penuh tradisi itu adalah upacara paling dinanti dan diimpikan oleh graduan, keluarga dan negara. Saban tahun juga negara dianugerahkan rakyat berpendidikan tinggi. Sepanjang lebih kurang 20 tahun berkhidmat di menara gading, saya saksikan wajah gembira graduan sempena konvokesyen berserta pesta yang dianjurkan.


Pendidikan adalah pelaburan penting amat bermakna bagi membangun dan menjayakan inspirasi negara, seterusnya membawa negara ke mercu kejayaan. Kita mendengar pelbagai masalah berkaitan pendidikan tinggi di negara ini, dari segi kurikulum atau bukan kurikulum. Tidak ketinggalan kita terdengar hal berkaitan pentadbiran universiti dan pembabitan pelajar dalam politik serta polisi.

Tambah baik kualiti

Sebagai pendidik di menara gading, saya nampak banyak lagi ruang yang perlu penambahbaikan, sama ada dari segi kualiti kurikulum atau persepsi masyarakat kepada pendidikan tinggi. Namun, apa yang ingin saya kongsi di sini hanya satu perkara yang sentiasa berlegar di minda, iaitu budaya menuntut ilmu di menara gading.

Saya menulis menerusi pengalaman dan pengamatan sebagai warga pendidik di universiti. Saya masih selesa dengan gelaran pendidik walaupun mungkin ini boleh menjadi bahan polemik.

Dalam apa juga peringkat pendidikan, paling kita perlukan ialah ‘pembelajaran sepanjang hayat.’ Kita memerlukan pendidikan yang memberikan kita roh dalam setiap sendi dan saraf ilmu.

Namun, persoalan yang sentiasa menjadi igauan berkaitan perkara ini, adakah budaya pembelajaran sepanjang hayat ini sudah tertanam dalam masyarakat pendidikan kita, sama ada di universiti atau sekolah; sama ada dalam kalangan mahasiswa, pentadbir universiti dan pensyarah? Bagaimana pula kita boleh mengukur sistem pendidikan sehingga kita dapat menjadikan pembelajaran sepanjang hayat masyarakat? Kita memerlukan penelitian di sini.

Satu lagi perkara berkaitan ialah budaya membaca dalam kalangan masyarakat pendidik secara umum dan pendidik peringkat universiti secara khusus. Kita masih memerlukan perjuangan berterusan untuk menghasilkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah dan juga universiti.

Kita maklum budaya membaca perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat, tetapi ia perlu ditumpukan kepada warga pendidik, guru serta pensyarah dan bukan hanya disebut sebagai budaya membaca dalam kalangan pelajar atau mahasiswa.

Bagi membentuk pelajar dan mahasiswa yang rajin membaca, warga pendidik juga perlukan budaya membaca yang cemerlang. Tanpa budaya membaca, magnitud untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat kita masih jauh.

Budaya wacana ilmiah

Kita faham bahawa universiti sebagai institusi pengajian berprestij, diharapkan dapat membentuk minda pemikiran mahasiswa. Namun, bagaimana kita dapat membentuk minda mahasiswa jika budaya membaca pendidik, guru dan pensyarah belum benar-benar terbentuk.

Satu lagi budaya pendidikan yang perlu kita suburkan ialah budaya wacana ilmiah. Ia perlu kita tingkatkan untuk membentuk budaya. Kita galakkan wacana intelektual di universiti dalam suasana menghormati ketinggian ilmu dan santun memuliakan kampus sebagai premis ilmu. Persoalan dalam wacana itu perlu basuhan intelektual akademik.

Wacana sebegini berjaya jika pendidik di universiti mampu menjadi petunjuk atau penentu arah kepada mahasiswa.

Saya mahu meletakkan tanggungjawab kepada pendidik sebelum pelajar atau mahasiswa. Sesungguhnya tanggungjawab sebagai pendidik begitu mulia, tetapi berat untuk digalas.

Oleh itu, saya melihat majlis konvokesyen bukan pesta meraikan kejayaan, tetapi perlu dirai dan dihayati dengan keinsafan bahawa dengan bertambahnya ilmu di dada, bermakna bertambah juga tanggungjawab digalas.


Shamrahayu A Aziz Berita Harian Online Rencana 08/10/2013

Misi membentuk mahasiswa holistik

Pendidik, pentadbir universiti perlu hidupkan budaya membaca, wacana ilmu

Selamat menyambut Aidiladha. Hari besar yang mempunyai sejarah pengorbanan yang begitu tinggi nilainya di sisi agama. Apa juga pengorbanan, dalam apa keadaan sekalipun ia menjadikan kita insan yang reda – menghargai penciptaan dan kehidupan sebagai hamba Allah SWT yang tujuannya ialah menjalankan amanah di muka bumi ini.

Sebagai warga pendidik dan juga ahli akademik di universiti, saya berasakan begitu besar amanah dan pengorbanan yang perlu dilakukan demi tugas menyampaikan ilmu dan melaksanakan amanah negara. Apabila diteliti dan dihayati amanah itu, ia bukan sekadar menyampaikan ilmu dan bukan semata-mata memanjangkan hasil pembacaan kepada anak bangsa.


Lebih besar daripada itu ialah amanah membentuk mahasiswa yang tinggi ilmunya, mulia peribadinya serta bersih jiwa dan rohaninya. Di bahu pendidik itu tergalas amanah untuk membentuk mahasiswa atau pewaris negara yang kita boleh namakan sebagai mahasiswa bersifat holistik atau universal, bersesuaian dengan sifat universiti.

Harta berharga

Mahasiswa yang bersifat holistik ini mempunyai ilmu yang tinggi, minda kritis bersandarkan falsafah benar, daya intelektual tinggi, hebat dan mulia peribadinya, serta jiwa dan rohani yang berpadu dengan agama dan ketuhanan.

Mahasiswa sebeginilah yang diharapkan dapat menjadi harta berharga kepada negara. Mahasiswa sebeginilah yang diharapkan dapat dibentuk pada peringkat universiti. Mereka yang bersifat holistik inilah yang digantungkan dengan harapan dapat memimpin masyarakat dan seterusnya dapat menjaga kemerdekaan negara, menjaga agama dan meneruskan legasi bangsa kita.

Mahasiswa bersifat holisitik ini berada di tangan pendidik dan pentadbir universiti. Mereka berada di bawah jagaan, seliaan dan kawalan sistem universiti. Sekiranya berlaku kelompongan dalam kalangan pendidik dan pentadbir universiti, maka misi membentuk mahasiswa holistik yang diidamkan ini tidak dapat menjadi kenyataan dan ini akan menjadikan pendidikan di peringkat tinggi itu kurang bermakna. Maka negara juga akan kekurangan harta berharga itu.

Bagi melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu, dalam ruangan ini pada minggu lalu saya menyebut mengenai perlunya budaya membaca dalam kalangan warga pendidik sendiri, bukan saja dalam kalangan mahasiswa. Saya juga menyebut mengenai membudayakan wacana ilmu bagi meningkatkan lagi magnitud intelektual mahasiswa. Dua perkara ini menjadi pemangkin kepada pembelajaran sepanjang hayat yang juga syarat kepada pembentukan mahasiswa holistik. Pendidik, pentadbir dan mahasiswa sendiri hendaklah menghidupkan budaya ini.

Kita maklum mengenai misi menjadikan universiti sebagai pusat penyelidikan. Namun, kita tidak harus lupa bahawa universiti juga mempunyai misi pembelajaran dan pendidikan yang mahu membentuk mahasiswa holistik itu. Kebergantungan agama, bangsa dan negara kepada warga pendidik dan pentadbir di universiti tidak boleh putus. Oleh itu, keseimbangan antara penyelidikan, pembelajaran dan pendidikan perlu diserap dan dihayati dalam jiwa pendidik dan pentadbir universiti.

Berkorban laksana amanah

Saya tidak bermaksud meletakkan tanggungjawab dan amanah ini ke atas pendidik atau pentadbir universiti saja. Kata orang, “it takes two to tango”. Kita faham bahawa pendidik atau pentadbir perlu berkorban melaksanakan amanah. Begitu juga mahasiswa. Mahasiswa juga mempunyai amanah yang perlu mereka laksanakan menurut kedudukan mereka. Mahasiswa juga hendaklah akur dengan amanah yang mereka pikul sebagai barisan kepemimpinan pada masa hadapan.

Dalam menjalani hidup sebagai mahasiswa tugas mereka lebih berat daripada orang lain yang tidak berpeluang berada di menara gading ini. Mereka hendaklah sedar akan kebergantungan agama, bangsa dan negara kepada mereka. Mahasiswa juga tidak boleh berbangga dengan kedudukan mereka sebagai mahasiswa, tetapi hendaklah melihatnya sebagai amanah.

Dalam melaksanakan amanah itu, mahasiswa perlu juga meraikan sistem universiti yang dikaji dan dinilai kalangan intelektual sebelum mereka. Bukan maksud saya mahasiswa tidak boleh bersuara dalam perkara difikirkan patut atau perlu, tetapi mereka juga harus menghormati premis ilmu itu dengan rasional dan berhikmah.

Sedikit masa lagi mahasiswa akan sibuk dengan pilihan raya kampus. Pilihan raya kampus adalah satu peluang untuk mahasiswa sendiri dan juga orang lain di luar kampus menara gading menilai kedudukan mahasiswa serta kebolehan dan sifat holistik mereka.

Shamrahayu A. Aziz ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM. Berita Harian Online Rencana 16/10/2013