December 17th, 2013

Mengapa perlu bayar gantikan Mykad rosak

SAYA terpaksa menukar MyKad untuk kali kesepuluh kerana pihak bank tidak dapat meluluskan permohonan saya kerana MyKad saya tidak dapat dibaca.

Dalam erti kata lain, MyKad saya rosak dan saya perlu membayar RM 10 dan menunggu selama 10 hari atau lebih.

Saya mahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan mengapakah MyKad yang rosak perlu dibayar RM10 dan jika dibayar mengapa perlu tunggu hingga 10 hari?

Bayangkan kos tambahan serta kesusahan lain yang perlu dihadapi rakyat khususnya golongan tua dan luar bandar.

Kerosakan MyKad hampir semuanya berpunca daripada cip tidak boleh dibaca dan rakyat tidak wajar dipersalahkan.

Ini kerana, cip tersebut hanya digunakan oleh Bank dan KWSP untuk sekali dua sahaja setahun.

Beberapa persoalan juga perlu dijawab seperti berapakah nilai satu MyKad dibayar oleh JPN kepada pembekal dan jika saya melalui persatuan atau kerajaan negeri mampu membekalkan MyKad kepada JPN dengan harga RM 5, boleh JPN mengurangkan harganya.

Umum memahami beberapa faktor tidak membenarkan pihak JPN melayan permintaan mana-mana pihak atas alasan keselamatan Negara, namun, RM10 untuk membayar kad yang sering rosak juga mengancam keselamatan poket rakyat.

Sehubungan itu, saya mengesyorkan pada JPN agar memperkenal 2 MyKad kepada Rakyat Malaysia dimana MyKad 1 tanpa cip dan wajib dibawa ke mana sahaja dan MyKad 2 dengan cip tidak wajib dibawa bersama.

Dengan ini, rakyat boleh menyimpan MyKad 2 tersebut dalam peti yang berkunci agar tidak rosak terutama apabila mahu digunakan.

MyKad 1 tanpa cip yang wajib dibawa jika rosak pasti lebih murah berbanding sekarang yang bercip dan langkah ini bertepatan dengan aspirasi Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Saya berharap JPN dapat memberi penjelasan dan tidak membiarkan Perdana Menteri dan partinya dipersalahkan oleh rakyat walhal pihak JPN mempunyai kuasa untuk melaksanakan amanah yakni berkhidmat untuk menyedia kemudahan pada rakyat.


MUSTAQIM ABDUL RAHMAN Batu Caves, Selangor Utusan Malaysia Online Forum 20131217

Tiada prosedur laksana perintah

DALAM fail sulit pengakuan Chong Chor, dia merumuskan 'Kempen Penghapusan' untuk mengesan dan membunuh ejen-ejen kerajaan dalam PKM telah mengakibatkan banyak kerosakan kepada parti dan semangat juang anggota komunis.

Berdasarkan pengalamannya melaksanakan perintah tersebut, Chong Chor menyedari ramai daripada suspek berkenaan terpaksa bercakap bohong untuk menghentikan seksaan semasa sesi soal siasat dan menyelamatkan tengkuk mereka sendiri.

''Di bawah keadaan yang tertekan dengan tangan terikat semasa disoal siasat, kebanyakan mereka tentunya mereka cipta cerita untuk mengesah atau menafikan pertuduhan ke atas mereka. Oleh itu, sukar untuk mengesahkan cerita mereka, hanya berlandaskan pengakuan mereka.



TUJUH anggota PKM yang menyerah diri kepada pasukan keselamatan di Perak.

''Atas faktor ini, saya percaya ramai yang tidak bersalah mungkin telah dihukum mati. Ini adalah kerana tidak ada garis panduan dan prosedur untuk melaksanakan penyiasatan dan mengelakkan kempen itu dibuat berdasarkan cita rasa seseorang komander semata-mata," kata Chong Chor.

Walaupun dia mengakui terdapat ejen kerajaan yang menyusup masuk ke dalam PKM, bilangannya hanya kecil. Chong Chor percaya majoriti rekrut yang menyertai PKM selepas 1962 adalah tidak bersalah.

Ini adalah kerana jika dilihat daripada latar belakang keluarga, ramai datang daripada keluarga yang baik di selatan Thailand yang tentunya tidak mendapat manfaat dengan menjadi ejen kerajaan dalam pertubuhan komunis.

Malah, sebilangan suspek pengkhianat dikenali secara peribadi oleh Chong Chor sejak zaman remaja. Dia sendiri merekrut mereka menyertai PKM, malah mengenali keluarga mereka kerana sudah beroperasi di kawasan Betong selama 10 tahun.

Chong Chor menulis surat kepada Biro Utara Malaya pada Mac atau April 1970 bagi menyatakan pandangan dan kesangsiannya terhadap 'Kempen Penghapusan'. Tetapi suratnya tidak dihiraukan.

Kempen tersebut diteruskan, sehingga mengakibatkan PKM berpecah kepada tiga kumpulan serpihan.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131217

Parti Komunis Malaya berpecah kepada tiga kumpulan

PADA 26 September 1970, Rejimen Ke-8 PKM yang beroperasi di daerah Sadao, selatan Thailand diketuai Yi Chiang mengisytiharkan kumpulannya keluar daripada PKM bagi membentuk Sayap Revolusi PKM (CPMRF).

Perpecahan tersebut disebabkan Rejimen ke-8 enggan melaksanakan arahan menghapuskan suspek ejen kerajaan yang dikeluarkan oleh Biro Utara Malaya pada Januari atau Februari 1970.

Rejimen ke-8 beranggapan arahan tersebut jika dilaksanakan, akan menghapuskan kesemua anggota baharu komunis sejak 1962, yang tentunya akan melemahkan rejimen.

Mereka juga tidak bersetuju dengan senarai nama anggota yang didakwa sebagai ejen kerajaan serta anggota baharu komunis berusia 12 tahun ke atas yang menyertai Rejimen ke-8 selepas 1962. Rejimen ke-8 enggan melaksanakan arahan dan kemudian, menamatkan komunikasi dengan Biro Utara Malaya.

Pusat Santai ....



KEM pengganas komunis yang digempur pasukan keselamatan di hutan belantara Pahang.
- Jabatan Penerangan

Pada ketika itu, Rejimen ke-8 beranggapan bahawa Biro Utara Malaya dikuasai oleh 'sekumpulan anti-revolusi' dan arahan melakukan Kempen Penghapusan adalah satu tindakan mensabotaj revolusi.

Lebih berani, Rejimen ke-8 sebelum memutuskan hubungan telah menghantar laporan kononnya mereka sudah melaksanakan perintah tersebut dan membunuh kesemua ejen musuh sebagaimana diarahkan oleh Biro Utara Malaya.

Bagaimanapun, pada pertengahan 1970, laporan palsu Rejimen ke-8 dikesan. Menurut Chong Chor, seorang komander Liew Chien Chuan diarah untuk menyiasat mengenai komunikasi yang terputus dengan Rejimen ke-8.

Chien Chuan mengetahui keingkaran Rejimen ke-8 itu serta hasrat untuk berpecah daripada PKM. Beberapa siri mesyuarat untuk memujuk ketua Rejimen ke-8 iaitu Yi Chiang tetapi gagal.

Chien Chuan kemudiannya dilaporkan telah dibunuh setelah dia cuba menembak ketua-ketua Rejimen ke-8 semasa satu mesyuarat dengan melontar bom tangan ke arah mereka. Insiden ini mendorong Rejimen ke-8 tidak teragak-agak lagi keluar daripada kekuasaan PKM.

Kempen Penghapusan tersebut turut mendorong Daerah Kedua, Rejimen ke-12 yang beroperasi di Betong, selatan Thailand untuk keluar daripada PKM. Rejimen itu yang diketuai Ah Leng, bukan sahaja enggan melaksanakan perintah tersebut tetapi juga meminta Jawatankuasa Pusat PKM supaya mengkaji semula arahan itu. Ah Leng mengumumkan pasukannya berpecah pada 1 Ogos 1974.

Chong Chor diarah supaya berunding dengan Ah Leng dan menetapkan tempat pertemuan di kawasan hutan Lahat di Betong. Ah Leng tidak muncul, sebaliknya mewakilkan pegawainya yang berpangkat rendah menemui Chong Chor. Mesej yang diberikan ialah supaya Ah Leng datang bersemuka bagi menyelesaikan isu itu menerusi rundingan.

Ah Leng tidak pernah menjawab ajakannya, mungkin mengetahui reputasi Chong Chor yang diketahui sebagai ketua pengganas yang kejam dan digeruni termasuk dalam kalangan komunis sendiri. Ah Leng seterusnya mengisytiharkan kumpulannya berpecah dari badan induk PKM.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131217

'Kempen Penghapusan' dalam PKM

CURIGA-mencurigai, syak wasangka dan paranoid sesama sendiri merupakan ciri-ciri yang menghantui kepimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) sepanjang gerakan bersenjata dari dalam hutan belantara.

Elemen ini diakui dalam pengakuan ketua pengganas PKM paling kejam dan licik, Chong Chor dalam fail sulit pengakuannya yang diperoleh Utusan Malaysia. Persoalan penyusupan, perisikan dan pengkhianatan ke dalam PKM telah menjadi isu utama dibicarakan sejak di peringkat awal mereka berkubu di belantara.

Pada 1962, isu penyusupan pengkhianat dalam Rejimen Ke-8 PKM menjadi isu besar dalam parti. Kes tersebut dibincang dan dianalisis sehingga parti mencadangkan lima langkah bagi mengatasinya.

Mari bermain takraw ...



ANGGOTA komunis menjalani latihan di kem Rejimen ke-12 di Sungai Dala, utara Perak.
Gambar ihsan Datuk Seri Yuen Yuet Leng

Pertama, memberi perhatian terhadap rekrut yang mempamerkan kesungguhan 'luar biasa' dalam kegiatan parti, kerana mungkin sikap itu permulaan untuk membina populariti mereka dalam parti dan kemudiannya mendapat kenaikan pangkat dalam kadar yang pantas.

Kedua, menilai kegiatan 'pencetus kekacauan' yang menyebarkan khabar angin untuk merosakkan reputasi pengeluar arahan, dengan matlamat mencetuskan kacau-bilau dalam parti.

Ketiga, mengkaji motif anggota komunis wanita yang mahu mengahwini kader-kader berjawatan tinggi di dalam parti.

Keempat, berwaspada dengan anggota parti yang hidup mewah dan cenderung menyukai kehidupan materialistik.

Kelima, waspada dengan gerakan tentera keselamatan dengan memastikan ejen tentera tidak meninggalkan tanda atau jejak seperti mematahkan dahan pokok dengan sengaja untuk menunjukkan pergerakan mereka.

Kebimbangan ini berlarutan sehingga 1970, apabila Chong Chor diarah membantu melaksanakan 'Kempen Penghapusan' dalam Platun Kelima, Regimen Ke-12 PKM di Betong, selatan Thailand, bertujuan untuk membunuh perisik atau ejen kerajaan yang dipercayai dipasang oleh pihak berkuasa Thailand dan Malaysia. Kempen tersebut dilancarkan oleh Biro Utara Malaya PKM pada Januari atau Februari 1970.

Bagaimanapun kata Chong Chor, kempen tersebut menjadi kucar-kacir sehingga mengakibatkan perpecahan serius dalam PKM iaitu Sayap Revolusi PKM (CPMRF) yang dulunya dikenali sebagai Rejimen ke-8, menolak untuk mematuhi arahan pucuk pimpinan parti dan bertindak membentuk Rejimen ke-12 Marxist-Leninist PKM (CPMML) pada 1 Ogos 1974.

Kempen tersebut bermula daripada pembongkaran seorang anggota komunis dari kumpulan Ibu Pejabat Biro Utara Malaya PKM yang didapati menjadi ejen kepada kerajaan. Identitinya terbongkar secara tidak sengaja apabila dompetnya didapati mengandungi gambar adik Siam Kui Lim, iaitu individu yang telah disyaki sebagai ejen kerajaan Thai.

Anggota PKM tersebut mengaku dirinya telah direkrut oleh Siam yang menetap di Lahat, Betong untuk menyusup masuk ke dalam PKM. Pengakuan tersebut mendorong PKM menangkap Siam yang kemudiannya mengaku sebagai ejen kerajaan Thai.

Selain itu, Siam turut mengakui telah merekrut sebilangan lagi belia tempatan berketurunan Cina-Siam untuk menerobos PKM. Kenyataan Siam tersebut sekali gus mendatangkan kebimbangan besar terhadap semua anggota baharu komunis yang menyertai parti selepas 1962.

Siam juga mengaku ramai daripada mereka telah 'dibeli' oleh pihak berkuasa, malah pertubuhan komunis di selatan Thailand kini di bawah kawalan ejen yang dipasang oleh kerajaan Thai.

Susulan itu, PKM mengeluarkan arahan supaya dilaksanakan 'Kempen Penghapusan' dalam tiga rejimen iaitu Rejimen ke-8, ke-10 dan ke-12.

''Dalam arahan tersebut, Biro Utara Malaya melabelkan semua rekrut baharu berusia 12 tahun ke atas yang menyertai PKM selepas 1962, haruslah dianggap sebagai ejen musuh. Kesemua mereka haruslah disiasat, dan jika betul, mereka hendaklah dihapuskan," kata Chong Chor.

Bagaimanapun disebabkan tiada garis panduan yang teratur, kempen tersebut mengkucar-kacirkan parti. Terlau banyak kekeliruan kerana arahan tersebut telah memeranjatkan ramai anggota parti yang tidak mempercayainya. Ini adalah kerana kebanyakan anggota baharu yang dituduh sebagai ejen musuh direkrut oleh unit masing-masing sejak 1950-an. Mereka telah mengenali rapat antara satu sama lain untuk tempoh yang lama, sekali gus menyukarkan mereka mempercayai perkembangan terbaharu itu.

Chong Chor bertanggungjawab mengetuai kempen penghapusan dalam Platun kelima, Rejimen ke-12. Menurutnya, lebih 30 anggota baharu platun tersebut disoal siasat dalam tempoh lebih dua bulan. Chong Chor mengaku telah mengarahkan hukuman mati ke atas sekurang-kurangnya tujuh anggota yang disyaki menjadi pengkhianat.

Dia tidak pasti bilangan sebenar anggota komunis yang dihukum mati sepanjang kempen tersebut kerana PKM melaksanakannya secara serentak ke atas semua unit PKM di selatan Thailand. PKM tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131217

Daun Ketum

AWANG menyokong penuh langkah Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan penggunaan daun ketum dan produknya kerana ia boleh membawa kerosakan kepada mereka yang menggunakannya. Atas alasan yang sama, Kedah telahpun mengambil langkah tersebut dua tahun lepas.

Kita sedia maklum penjualan air ketum di utara Semenanjung dan di beberapa negeri lagi semacam suatu industri minuman yang berkembang umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Ia semacam sukar dikawal walaupun pihak berkuasa bertindak membanterasnya. Pelbagai ramuan yang tidak masuk akal seperti abu lingkaran ubat nyamuk dicampurkan dalam minuman itu, menjadikan ia cukup berbahaya kepada kesihatan manusia.

Minuman itu disediakan begitu rupa kerana ia ditujukan kepada penagih dadah. Bagi penagih, ia adalah alternatif terbaik kepada dadah yang sukar diperoleh sama ada kerana kos dan penguatkuasaan. Seperti biasa, benda yang mendatangkan ketagihan akan mudah pula merebak kepada orang lain.


Mitragyna speciosa


Sama seperti dadah, pengambilan yang berlebih minuman yang dipersiapkan begitu rupa, akan mendatangkan ketagihan. Kesannya sama seperti dadah atau mungkin lebih buruk lagi.

Maka, jika tidak dikawal, ia akan mendatangkan kesengsaraan kepada masyarakat, apatah lagi ia sudah menular dalam kalangan generasi muda.

Jadi, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak meletakkan kesalahan penggunaan daun ketum atau produk yang berasaskan daun itu di bawah Akta Dadah Berbahaya bagi membolehkan tindakan dan hukuman yang lebih berat ke atas pelakunya iaitu penjual dan pengguna terbabit. Pada masa ini mereka yang didapati memiliki, memproses atau menjual daun ketum boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara 4 tahun atau kedua-duanya berdasarkan Akta Racun 1952.

Oleh itu, pelbagai pihak termasuk ibu bapa perlu membanteras penyalahgunaan daun ketum sebelum ia merebak menjadi wabak yang sukar diatasi.

AWANG - Masa untuk bertindak!  Bisik-Bisik Awang Selamat Utusan Malaysia Online Rencana 20131217