December 19th, 2013

Ramai komunis mati kelaparan

PASUKAN keselamatan meningkatkan serangan ke atas pengganas komunis di Perak menggunakan pelbagai senjata termasuk mortar.

Pasukan keselamatan turut menggunakan helikopter menggesa pengganas komunis menyerah diri.

Ramai anggota PKM cedera, terbunuh dan menyerah diri dalam operasi pasukan keselamatan menggempur pengganas komunis di Perak.

Dalam serangan pasukan keselamatan di Tanjung Malim pada 26 Januari 1974 tiga anggota kumpulan Chong Chor cedera. Siong Lin cedera di bahu, Seong San cedera di dada dan Chun Lui cedera di tangan serta pipi akibat terkena tembakan sementara seorang lagi dikenali sebagai Nan Tng terbunuh.

Tekanan demi tekanan daripada pasukan keselamatan menyebabkan kumpulan pengganas komunis diketuai Chong Chor terpaksa berundur ke Kalumpang dan seterusnya ke Serendah dan pada 3 Februari mereka seterusnya berundur ke Ulu Slim di Perak.

Selain diserang, kumpulan pengganas itu juga mengalami kekurangan bekalan makanan.

Oleh kerana terlalu keletihan dan kelaparan akibat diburu pasukan keselamatan, Kam Seong, salah seorang orang kepercayaan Chong Chor telah meninggal dunia dan Chong Chor kecewa dengan kematian Kam Seong selain moral kumpulannya semakin merosot.

Akibat tekanan berterusan daripada pasukan keselamatan menyebabkan kumpulan Chong Chor berpecah kepada dua kumpulan kecil bagi mengelak dikesan pasukan keselamatan.

Pasukan Chong Chor berjumlah 14 orang terpaksa kembali ke Pahang, manakala satu kumpulan lagi seramai 10 orang diketuai Yit Meow menuju ke Slim River sebelum berundur ke Lembah Bertam dan Cameron Highlands dan cuba berhubung dengan Unit Penggempur Kelima yang beroperasi di Tanah Hitam di Sungai Siput.

Ketika pemburuan inilah ramai anggota Chong Chor terbunuh akibat keletihan, kelaparan, sakit dan mengalami keracunan makanan.



Utusan Malaysia Rencana 20131219

Unit Penggempur Keenam PKM ditubuhkan

UNIT Penggempur Keenam Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Oktober 1973 di Lembah Bertam, Cameron Highlands.

Unit itu diketuai oleh Chong Chor sendiri dengan kekuatan anggota sebanyak 52 orang.

Jawatankuasa Pusat PKM telah menyampaikan ucapan tahniah melalui wireless atas penubuhan unit penggempur itu dari sempadan Malaysia-Thailand.

Kepemimpinan PKM telah mengarahkan unit penggempur itu supaya bekerjasama memikul tugas dan tanggungjawab dengan berani untuk memperluaskan perjuangan bersenjata PKM di Pahang dan seterusnya di negeri-negeri lain.

Sebagai menandakan penubuhan unit itu, kesemua 52 anggota Unit Penggempur Keenam PKM menulis nama mereka di atas bendera Unit Penggempur Keenam yang berukuran 3 kaki kali 2 kaki yang dibawa oleh seorang pengganas komunis yang dikenali sebagai Yit Meow.

Bendera itu kemudian berjaya dirampas oleh anggota Cawangan Khas pada 14 April 1974 di kawasan Sungai Liang, Pahang setelah salah seorang anggota unit itu Sep Lee Suk Yuen @ See Hong, seorang pengganas komunis wanita menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Enam mayat pengganas komunis turut ditemui di kawasan itu yang dipercayai mati akibat kelaparan.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131219

Kumpulan Chong Chor cari perlindungan di Perak

PADA 13 Januari 1974, Chong Chor bersetuju untuk mencari perlindungan di Tanjung Malim atas cadangan Chiang Chuen dan dia mengambil keputusan mengetuai kumpulannya keluar dari Raub menuju ke Tanjung Malim.

Chong Chor mengambil keputusan itu, setelah menyedari pihak berkuasa akan membawa lebih ramai anggota keselamatan ke Raub untuk memburu mereka.

Ketika bergerak menuju ke Perak, kumpulan Chong Chor telah bertempur dengan pasukan keselamatan setelah orang-orang Chong Chor melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan yang menyedari kehadiran mereka.

Pertempuran pertama berlangsung selama 20 minit sebelum mereka berundur ke sebuah bukit dan menjelang malam kumpulan Chong Chor berkhemah di situ. Ketika pertempuran itu tiada anggota Chong Chor yang cedera.


LUBANG dalam tanah yang menjadi lokasi persembunyian barangan makanan komunis
yang berjaya dibongkar oleh pasukan keselamatan, - JABATAN PENERANGAN

Kumpulan Chong Chor sekali lagi terlibat dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan keesokan harinya di Sungai Liang apabila tiga anggota kumpulan Chong Chor, iaitu Ah Lang, Ah Lai dan Siong Lin terserempak dengan pasukan keselamatan dan terlibat dalam kejadian tembak menembak ketika mereka menyeberangi Sungai Liang.

Ketiga-tiga anggota Chong Chor itu bagaimanapun terselamat dan kembali menyertai kumpulan Chong Chor.

Tidak lama kemudian pasukan keselamatan melepaskan tembakan mortar berdekatan kawasan kumpulan Chong Chor berehat dan mereka tidak ada pilihan terpaksa menyeberangi Sungai Liang untuk menyelamatkan diri.

Ketika serangan itu, pasukan keselamatan turut menggunakan helikopter untuk menggempur kumpulan komunis itu.

Pasukan keselamatan turut menggunakan pembesar suara dari atas helikopter menggesa kumpulan komunis itu supaya menyerah diri.

Keesokan harinya kumpulan Chong Chor meneruskan perjalanan mereka ke Perak dan mereka mengambil masa seminggu untuk sampai ke sempadan Pahang-Perak dan tiba di hutan Tanjung Malim pada 26 atau 27 Januari 1974.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131219

Operasi Unit Penggempur Keenam PKM di Pahang

PADA awal Disember 1973, setibanya Unit Penggempur Keenam PKM di kawasan rehat yang baru, Chong Chor telah mengadakan mesyuarat dengan anggota jawatankuasa unit itu untuk membincangkan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan Jerkoh di Kuala Lipis, Pahang.

Dalam mesyuarat itu, mereka telah membuat keputusan untuk memecahkan unit itu kepada dua kumpulan.

Kumpulan pertama diketuai Cheng San diarah untuk memperluaskan kerja-kerja di kawasan Benta dan Jerkoh di Kuala Lipis, kawasan Batu Balai di Jerantut serta kawasan Sungai Ruan di Raub.

Kumpulan pertama itu pada mulanya diarah mengesan tempat simpanan makanan yang ditanam oleh Pang Fong dan anggota-anggotanya di dalam hutan di kawasan Batu Balai. Selepas melaksanakan tugas itu, Chong Chor mengarahkan kumpulan Cheng San supaya berpecah kepada dua kumpulan berikutan kawasan operasi mereka terlalu luas dan Cheng San diarah bekerjasama dengan Ah Poh Suk untuk beroperasi di kawasan Sungai Ruan.


Sebahagian pengganas PKM mendengar arahan daripada ketua mereka.

Kumpulan kedua pula diketuai oleh Ah San dan Li Mun dan mereka diarah beroperasi di kawasan Benta, Jerkoh dan Batu Balai.

Kumpulan kedua pula diketuai Chong Chor sendiri yang bergerak keluar ke kawasan Cheroh, Raub. Fong Min yang sebelum itu beroperasi di kawasan tersebut diletakkan di bawah kumpulannya untuk membantu menggumpulkan bekalan makanan daripada anggota-anggota bawahannya di kawasan Cheroh.

Kumpulan diketuai Chong Chor ini berlepas ke Cheroh pada pertengahan Disember, 1973 dan mereka mengambil masa selama lebih 20 hari untuk tiba di Cheroh.

Ketika tiba di Cheroh Chong Chor mendapati bekalan makanan mereka berkurangan dan mengarahkan Fong Min untuk mengambil makanan dari simpanan makanan yang ditanam di kawasan itu sebelum itu.

Namun, Fong Min dan anggotanya kembali empat hari kemudian dengan tangan kosong.

Menurut Fong Min makanan simpanan mereka yang ditanam di kawasan itu sebelum itu telah ditemui pihak berkuasa. Fong Min mendakwa tempat dram makanan itu ditanam mungkin telah dikhianati oleh anggota bawahannya.

Ekoran kekurangan bekalan makanan, Chong Chor mengarahkan kumpulannya bergerak menuju ke Teras, Raub kerana Fong Min mendakwa dia telah menanam sebahagian makanan untuk keperluannya di situ sebelum itu.

Kumpulan itu memulakan perjalanan ke Teras pada awal Januari 1974 dan semasa dalam perjalanan itu, mereka memburu monyet dan burung sebagai makanan. Selepas dua hari berlepas dari Cheroh kumpulan itu kehabisan makanan dan terpaksa berjalan selama empat hari lagi tanpa sebarang makanan sebelum tiba di Sungai Liang, Raub pada 10 Januari 1974.

Akibat kekurangan makanan dan kelaparan, mereka terpaksa mencuri pisang dari ladang pisang yang terletak di tepi Sungai Liang.

Ekoran kehadiran pasukan keselamatan di situ, kumpulan itu terpaksa berjalan lagi sejauh tiga jam perjalanan dari situ dan berkhemah di dalam hutan di situ.

Oleh kerana kumpulan itu kehabisan bekalan makanan, Chong Chor mengarahkan sembilan anggotanya kembali ke ladang pisang itu dan mereka beredar dari situ keesokan paginya menuju ke Teras sehingga malam sebelum berhenti berehat.

Ketika mereka berhenti berehat di kaki bukit di situ untuk mencari tapak sesuai untuk membina khemah untuk bermalam, mereka diserang pasukan keselamatan dari arah atas bukit.

Selepas berlaku kejadian tembak menembak Chong Chor mengetuai kumpulannya menuju ke sebuah anak sungai yang mengambil masa 15 minit berjalan kaki dari khemah mereka bermalam sebelum itu.

Kumpulannya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serangan itu dan Chong Chor berkata, dia dimaklumkan seorang anggota tentera terkorban dalam kejadian itu.

Ketika meninggalkan kawasan itu, Ah Lai telah memasang periuk api sepanjang laluan yang mereka lalui, yang diletakkan di belakang pokok-pokok yang tumbang.

Mereka menyambung semula perjalanan mereka selepas subuh keesokan harinya dan berundur ke sebuah bukit terletak di tenggara dan semasa berundur dari situ, Ah Lai dan Cheong Chen menanam periuk api sepanjang laluan.

Selepas beredar hampir setengah jam, mereka terdengar bunyi letupan dari kawasan periuk api yang ditanam oleh Ah Lai. Mereka mengesyaki letupan itu berpunca dari pasukan keselamatan yang menjejaki mereka.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131219

Chong Chor mula gerakan

Selepas penubuhan unit itu pada 1 Oktober, 1973, Chong Chor mengeluarkan arahan kepada semua anggota unit itu untuk membuat persiapan memasuki Pahang.

Persiapan itu mengambil masa selama dua hari sebelum mereka mula bergerak memasuki Pahang. Pada 4 Oktober 1973, unit itu memulakan perjalanan mereka meninggalkan Lembah Bertam untuk melancarkan operasi di kawasan Jerkoh, Kuala Lipis, Pahang.

Dari Sungai Bertam, unit itu diketuai Ah Lai berjalan menuju ke selatan selama beberapa hari sebelum mereka sampai ke Banjaran Titiwangsa dekat Gunung Berembun. Dari situ mereka menuju ke arah tenggara dan melepasi Sungai Betau sebelum tiba di kaki Bukit Tukong.


Sekumpulan pengganas komunis berkumpul di sebuah kem di tengah hutan belantara di Tanah Melayu.

Setelah berehat di situ, mereka mara ke arah timur sebelum melepasi Bukit Lima dan dari situ mereka mara menuju ke arah Barat Laut sebelum tiba di Jerkoh, Kuala Lipis pada pertengahan November. Keseluruhan perjalanan itu mengambil masa selama 20 hari.

Ketika sampai di Jerkoh, unit itu hampir kehabisan bekalan makanan. Chong Chor telah menghantar Cheng San bagi mengetuai beberapa pengganas komunis lain untuk menghubungi anggota MNLF tempatan untuk mendapatkan bantuan.

Cheng San akhirnya berjaya mendapatkan bantaun kader MNLF di kawasan itu yang menyalurkan bantuan makanan kepadanya.

Tiga hari kemudian unit itu berpindah ke lokasi baru terletak kira-kira empat jam berjalan kaki di kawasan Jerkoh.

Unit itu kemudian membina kem pangkalan di situ yang mereka gunakan selama dua minggu.

Ketika berada di kem pangkalan baru itu, Chong Chor membahagikan anggota unit itu kepada beberapa kumpulan untuk masuk ke dalam hutan bagi membantu misi mengumpul makanan.

Misi itu berjaya mengumpulkan banyak bekalan makanan.

Namun, semasa misi mengumpul bekalan makanan itu, mereka mengesan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan mereka berehat sementara di kawasan Jerkoh. Ekoran kehadiran pasukan keselamatan itu, Chong Chor telah mengarahkan unit itu supaya memindahkan kem mereka ke lokasi baru yang terletak kira-kira lima atau enam jam berjalan kaki dari kawasan Jerkoh.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131219

Isu-Isu Akhbar Cina

HORMATI HAK MENGUNDI MASYARAKAT CINA

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 12 Disember 2013 memaparkan tulisan Li Liang Shi berkenaan apa orang Cina mahu melalui ruangan Pendapat YuanLun.

Selepas tamatnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, aktivis kaum mula mengeluarkan kenyataan yang fanatik terhadap masyarakat Cina kerana tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini termasuk mengatakan orang Cina tidak tahu berterima kasih, apakah sebenarnya yang orang Cina mahukan dan sebagainya.

Sejak zaman Dinasti Song sudah ada orang Cina berhijrah ke Selatan untuk mencari kehidupan baharu dan pada pertengahan Dinasti Ching bermulanya orang Cina berhijrah beramai-ramai ke Selatan menjadi rakyat Malaya.

Dari situ sehingga selepas peperangan dunia kedua mereka hidup dan mati di bumi ini, menganggap di sinilah kampung halaman mereka terutama sekali generasi kedua, ketiga dan keempat, kampung halaman mereka adalah Malaysia. Mereka mempunyai saudara-mara dan sudah biasa dengan keadaan dan suasana tinggal di sini. Negara China yang jauh itu dianggap sebagai kampung asal tradisi dan kebudayaan di sana bagi mereka tidak biasa dan tidak mesra dengan China.

Negara kita telah separuh abad merdeka, sistem politik kita mengikut susur galur dari sistem politik British, kita juga telah mengharungi 13 kali PRU tetapi masih ada ramai orang yang tidak capai kualiti demokrasi. Sebuah masyarakat demokrasi dan bebas selain berhak mengundi, kita juga ada hak untuk memilih mana-mana calon dan mana mana parti, kita perlu menghormati pilihan setiap orang.

Hari ini kebanyakan orang Cina berubah kepada mengundi parti pembangkang, BN sebagai kerajaan yang memerintah tidak boleh pandang dan bersikap sinis terhadap perkara ini.

Selepas PRU sepatutnya mengambil berat perkara ini, redakan fikiran dan dendam, dengar suara masyarakat Cina dan hentikan perosak-perosak dalam parti yang sering mengeluarkan kenyataan yang merosakkan hubungan antara kaum.

Bawa negara ini ke arah perpaduan dan kemajuan, mengkritik dan bermusuh-musuhan hanya akan membawa padah kepada perpaduan negara.

Penulis yakin pemimpin yang bijaksana faham dan mengerti ke mana hala tuju yang akan dibawa.

Orang Cina sebagai keluarga besar di sini, mereka cintakan negara ini, jasa dan usaha yang mereka gembleng banyak dan tidak terbilang besarnya. Jasa masyarakat Cina kepada negara ini pasti tidak kurang daripada kaum lain, orang Cina bersama-sama kaum lain berusaha, yang penting mereka mahu negara ini menuju kepada sebuah masyarakat bersatu padu dan stabil. Hari ini ada orang tanya apakah yang orang Cina mahu?

Orang yang mengeluarkan kenyataan seperti ini perlu tanya pada diri mereka sendiri sama ada kualiti pemikiran mereka dan dada mereka terbuka luas untuk demokrasi ataupun tidak, kata-kata seperti ini bukan sahaja menyakitkan hati ramai orang Cina yang cintakan negara ini, malah merosakkan perhubungan dan perpaduan antara kaum negara ini yang selama ini wujud.

Jika masih ada orang yang bertanyakan apakah yang orang Cina mahu, pasti orang Cina akan bertegang urat berteriak kuat, kami mahukan sebuah masyarakat yang bersatu padu, jika terlaksana keadilan, kebenaran dan ketelusan.

Orang Cina tidak akan menentang negara ini, kerana mereka amat cintakan negara ini, mereka sanjung tinggi demokrasi, mereka juga tidak menentang kerajaan kerana kerajaan tidak semestinya kerajaan BN, mereka mengundi hanya mahu pilih kerajaan.

Secara ikhlas mereka berharap semua pihak lihat keputusan PRU secara rasional, bersama-sama bertungkus lumus untuk negara ini, jangan hancurkan dan koyakkan lagi perpaduan dan hubungan antara kaum.

BURUK BAIK SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 16 Disember 2013, juga melalui ruangan Pendapat YuanLun memaparkan tulisan Tan Shao Lian mengenai sistem pendidikan negara.

Dalam satu pertemuan berbincang mengenai sistem pendidikan negara kita di kalangan golongan profesional, peguam, tauke usahawan pertengahan, golongan akauntan dan lain-lain, ada seorang yang berkata agenda dan sistem utama di sekolah-sekolah kerajaan tetap dapat melahirkan cendekiawan dan golongan cerdik pandai. Daripada itu lahir mereka yang dapat menyandang jawatan tinggi di dunia korporat walaupun mendapat kritikan mengatakan sistem pendidikan itu sangat teruk. Beliau memberi contoh seperti Ketua Jurutera Filem Animasi Amerika lahir di Malaysia.

Secara rasional dia berkata, sistem pendidikan itu seperti tidak elok tetapi jika melahirkan hasil yang baik, ia bermakna sistem itu masih boleh diterima pakai.

Hanya dengan berdaya usaha, ramai lagi orang yang mendapat pendidikan di bawah sistem ini akan berjaya pada satu hari nanti. Beliau sendiri dilahirkan dan diadun daripada sistem pendidikan sedemikian.

Kata-kata itu memang tidak mendapat perhatian umum kerana ia seperti ada sedikit sahaja kebenarannya tetapi ia mempunyai contoh orang yang berjaya dan juga ada contoh orang yang tidak berjaya. Lebih-lebih lagi jika difikir secara logiknya, di bawah polisi Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga dapat melahirkan usahawan berjaya daripada golongan bukan bumiputera, ia juga tidak mengatakan bahawa DEB itu sudah lapuk dan sistem ekonomi yang tidak adil.

Tetapi ada pandangan lain mengatakan tidak sepatutnya dipertikai dan diselidik terlalu rapi, boleh dianggap pemikiran perbincangan ini secara buah fikiran spontan dan pengalaman sahaja.

Pandangan ini adalah pandangan dari kaca mata usahawan korporat kita, kebanyakan keperibadian mereka ini mempunyai semangat dan jati diri yang kuat dalam perjuangan mereka.

Sebenarnya sebahagian daripada sistem pendidikan kita masih boleh diterima pakai. Dalam keadaan dan suasana yang serba kekurangan, ia akan menggilap semangat dan jati diri seseorang kerana dengan sendiri mereka mahu meraih kemenangan dalam serba kekurangan itu.

Sebaliknya, dalam suasana yang selesa dan empuk akan berlaku kekurangan dalam cabaran hidup, kurang mendapat peluang dan pendedahan daripada segi cabaran dan latihan jati diri. Namun begitu, yang paling ideal ialah pemikiran mereka juga telah diadun dalam sistem pendidikan kerajaan, walaupun usaha ke arah itu dianggap amat pahit.

Keputusan penilaian PISA 2012 untuk murid berumur 15 tahun Malaysia baru-baru ini mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan.

Sebanyak 65 negara yang mengambil bahagian, dalam bidang matematik Malaysia mendapat 421 mata di ranking ke 52, dari segi pembacaan buku murid negara kita mendapat 398 mata di ranking ke 59, dari segi ilmu sains kita mendapat 420 mata di ranking ke 53.

Negara kita mengambil bahagian dalam penilaian PISA sejak tahun 2009. Sistem penilaian PISA di arena antarabangsa memang sangat berwibawa, mata pelajaran sains dan matematik kita dapat meramalkan pencapaian murid negara ini agak lemah.

Secara umumnya dalam perbincangan itu memberitahu bahawa ramai dalam kalangan mereka ini yang mendapat sistem pendidikan sedemikian berjaya menjadi golongan profesional.

Kita boleh merumuskan bahawa sistem pendidikan negara kita melahirkan lebih ramai orang yang telah berjaya. Apabila sistem pendidikan condong kepada tidak adil, orang yang memperjuangkan pendidikan akhirnya menjadi orang yang boleh berdikari dalam masyarakat umum, hasil ini menggembirakan dan juga memilukan kita.



Utusan Malaysia Online Rencana Rencana 20131219

Kematangan Kazakhstan selepas 22 tahun 'bebas'

SEJAK 22 tahun tertubuhnya sebuah negara bernama Kazakhstan, negara ini tanpa henti terus menikmati pembangunan pesat.

Kepimpinan di bawah Presiden, Nursultan Nazarbayev telah meletakkan Kazakhstan sebagai bintang muda yang bakal bersinar setaraf dengan negara-negara maju lain.

Meskipun sebelum ini dibelenggu komunisme di bawah cengkaman Kesatuan Soviet dalam tempoh yang sangat lama, negara ini berjaya melonjakkan nama mereka sendiri dalam masa yang singkat.

Kekuatan sumber ekonominya tidak pernah dipandang rendah oleh dunia malah pemilikan rizab penting hidrokarbon dan bahan api pepejal meletakkan Kazakhstan ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ bersama negara maju lain di peta dunia.

Tahun demi tahun, republik ini telah menunjukkan prestasi ekonomi memberangsangkan di sebalik pasaran dunia yang tidak menentu.

Perkara tersebut menjadi kebanggaan rakyat Kazakhstan apabila banyak negara lain terpaksa merasai impak daripada keadaan tersebut. Ada yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan sosial dan berlaku peningkatan pengangguran.

Secara amnya, keadaan sosio-ekonomi di Kazakhstan lebih bernasib baik berbanding apa yang berlaku di kebanyakan negara. Dengan peningkatan penduduk seramai 215,000 setahun, populasi negara ini telah mencecah 17,000125 orang pada 1 November tahun ini. Dalam masa sama, keluaran negara kasar (GDP) untuk 11 bulan tahun ini telah tumbuh enam peratus.

Pertunjuk ekonomi jangka pendek Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu mencatatkan peningkatan 105.1 peratus. Pelaburan aset tetap pada tempoh itu pula berjumlah 5 trilion 182.1 bilion tinge, iaitu peningkatan 8.7 peratus.

Dalam kerangka program industri lanjutan negara ini iaitu daripada aspek pembangunan inovatif, lebih 250 produk baharu telah dihasilkan. Produk tersebut termasuk produk kejuruteraan berteknologi tinggi, pharmaseutikal dan produk kimia.

Keluaran kasar bidang pertanian pada Januari hingga November tahun ini adalah 2 trilion 308 bilion tinge, iaitu peningkatan 10.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peta Kazakhstan


Pendapatan per kapita Kazakhstan sehingga Oktober tahun ini bersamaan 55,135 tinge, iaitu 5.1 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas manakala kadar pengangguran menurun 5.8 peratus.

Kejayaan tersebut bertitik tolak daripada pelaksanaan Strategi Kazakhstan 2050 - satu polisi pembangunan baharu Kazakhstan yang digariskan Nazarbayev tahun lalu bagi meneruskan Strategi Kazakhstan 2030 sebelum ini.

Matlamat hakiki Strategi Kazakhstan 2050 adalah untuk membangunkan republik itu dalam menjadikannya antara 30 negara termaju di dunia pada landasan inovasi.

Semalam, republik muda ini menyambut hari kemerdekaannya ke-22 di bawah pemerintahan Nazarbayev.

“Kita telah berjaya melaksanakan sebuah misi yang besar (yang mana) kita telah melopori kemerdekaan sebelum ini. Masa sudah berlalu, hari ini, kita melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku sejurus selepas kelahiran Kazakhstan yang berdaulat sebagai sesuatu yang akan kekal dalam sejarah negara ini.

“Dua puluh dua tahun yang lalu, kita hanya boleh mimpi meningkatkan ekonomi kita. Dan hari ini, Kazakhstan adalah antara 50 negara yang paling berdaya saing di dunia," katanya dalam perutusan beliau.

Jelas geostrategis, Dr. Azmi Hassan, kemajuan itu membawa manfaat kepada hubungan antara negara ini dengan Malaysia.

Keakraban tersebut katanya, amat diperlukan memandangkan negara ini sebelum ini dibelenggu cengkaman Kesatuan Soviet dan memerlukan sebuah model negara Islam yang utuh seperti Malaysia untuk diikuti.

Menurutnya, model tersebut dilihat sesuai memandangkan negara itu juga majoritinya beragama Islam dan pada masa sama Nazarbayev memandang tinggi keupayaan Malaysia membangun pesat.

“Keakraban yang dimiliki Malaysia-Kazakhstan merupakan landasan terbaik bagi negara ini membantu mereka," katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu terus mengambil peluang dalam meningkatkan pelaburan dalam membangunkan Kazakhstan

Sebagai negara bekas Kesatuan Soviet tambahnya, Kazakhstan pada awalnya terumbang-ambing sama ada mahu cenderung ke Eropah atau Rusia.

Kata beliau, Malaysia sepatutnya membantu dalam merancakkan pembangunan mereka kerana kita sememangnya memiliki teknologi pesat.

“Perkara ini penting ekoran Kazakhstan memiliki sumber kewangan dan pendapatan yang tinggi walaupun dibelenggu ideologi komunis sejak sekian lama.

“Kita tidak boleh biarkan negara ini cenderung ke Rusia dan Eropah. sepatutnya negara Islam bantu negara-negara seperti ini di Eropah timur," kata beliau.



Sofian BaharomUtusan Malaysia Online Rencana 20131219

Kesiapsiagaan hadapi banjir ~ Jenis Banjir

PADA zaman bumi semakin tua, kejadian bencana alam yang diluar jangkaan semakin kerap berlaku. Banjir merupakan bencana alam yang telah menimpa banyak tempat di dunia sejak zaman dulu hingga sekarang. Al Quran juga ada menceritakan kejadian bah besar pada zaman nabi Nuh yang ditimpakan Allah SWT kepada manusia yang ingkar beratus tahun dahulu.

“Dan kapal (Nuh) itu berlayar membawa mereka ke dalam gelombang laksana gunung-gunung." - Surah Hud : 42

“Maka mereka mendustakannya (Nuh). Lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam kapal. Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami" Surah Al-A’raf: 64

Tamadun dan pembangunan manusia boleh dipadamkan sekelip mata dengan kejadian banjir umpamanya kejadian banjir dari tsunami yang menimpa Indonesia dan Jepun tidak lama dulu.

Antara banyak bencana alam seperti gempa bumi, kemarau dan sebagainya, kejadian banjir besar di Sungai Yellow dan Yangtze, China yang dikenali sebagai 1931 Central China floods telah dikenal pasti merupakan bencana alam yang mengakibatkan paling banyak kematian dengan jumlah lebih kurang 4 juta kematian akibat lemas, penyakit atau kelaparan. (Jadual 1 menunjukkan kejadian bencana alam yang paling teruk dalam sejarah)

Perubahan iklim juga merupakan faktor peningkatan kejadian banjir ekoran pemanasan global dan kenaikan aras laut kesan pencairan glasier di kutub utara dan selatan. Statistik menunjukkan bilangan banjir semakin meningkat setiap dekad.

Banjir boleh dikategorikan dalam beberapa jenis iaitu:

1) Banjir Setempat - merupakan kejadian banjir ekoran kejadian hujan lebat luar biasa pada sesuatu kawasan yang melebihi kapasiti sistem saliran yang ada. Peningkatan permukaan yang tidak telap air seperti jalan raya, parkir dan system saliran tersumbat dengan sampah dan tidak diselenggara dengan baik akan memburukkan kejadian banjir ini. Banjir kilat di bandar-bandar di Malaysia adalah contoh banjir setempat.

2. Banjir Limpahan Sungai

Banjir ini disebabkan air sungai yang melimpah akibat kejadian hujan lebat yang berterusan atau pencairan salji.

3. Banjir Estuari

Banjir estuari adalah disebabkan kejadian air pasang luar biasa yang berlaku bersama hujan lebat berterusan. Ribut laut dan cyclone menghasilkan ombak besar yang menyebabkan air naik atau air dari daratan tidak boleh mengalir ke laut. Banjir di New Orleans pada tahun 2005 Hurricane Katrina dan banjir di Kuantan baru-baru ini boleh dikategorikan sebagai banjir estuari.

4. Banjir Katastropik

Banjir katastropik terjadi akibat kejadian malapetaka seperti empangan pecah yang menyebabkan air melimpah ke kawasan lembangan dan gempabumi yang mengakibatkan tsunami. Banjir di Jepun pada Mac 11, 2011 adalah akibat gempabumi yang menyebabkan tsunami sehingga setinggi 40-meter di beberapa tempat seperti di Miyako dan air laut masuk ke daratan sejauh 10 km di beberapa tempat seperti di Sendai lantas menenggelamkan banyak kawasan di sekitarnya.

Perubahan Iklim dan Kejadian Banjir

Laporan Penilaian ke tiga (2001) dan ke empat (2007) dari Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) menyebut sejak beberapa dekad lepas paras air laut telah meningkat, glasier telah mencair yang mengakibatkan sebahagian daratan mula dilitupi air. Kesan pemanasan global ini akan menghasilkan lebih banyak kejadian banjir dan bencana alam lain.

Contoh Kawalan Banjir

Rekod terawal kejadian bencana banjir di dunia berlaku di Belanda. Sejak tahun 838 sehingga 1953 berlaku sebanyak 18 banjir besar dengan jumlah kematian yang tinggi. Ombak dari North Sea boleh mencapai setinggi 4 meter yang mengancam Negara itu di mana berjuta-juta penduduknya tinggal di bawah aras laut sehingga ada kawasan terletak lebih kurang 6 meter di bawah aras laut.

Setelah kejadian banjir tahun 1953 yang mengakibatkan lebih 1,800 kematian, Belanda telah mula membina sistem pertahanan banjir yang sangat sofistikated, antaranya struktur gergasi benteng penghalang banjir yang cukup kuat bagi dibina bagi melindungi kejadian 10,000-tahun ribut laut menjadikan negara ini tepu-banjir.

Sistem Amaran Awal Banjir

Sistem ramalan dan amaran awal banjir yang efektif boleh memberikan masa yang mencukupi untuk kesiapsiagaan banjir. Banjir yang berlaku di pantai timur Malaysia baru-baru ini sebenarnya telah dijangka dan persediaan menghadapinya dilakukan lebih awal.

Sebagai contoh, 579 pusat pemindahan banjir telah dikenal pasti di Pahang dengan peruntukan RM1.2 juta bagi menyediakan barangan keperluan seperti makanan, seperti yang telah dilapor media sejak 15 November lagi.

Tetapi apa yang berlaku realitinya adalah keadaan yang agak kelam kabut pada mula berlaku banjir seperti tidak menjangka berlakunya banjir sedemikian. Terdapat kes tiada bekalan makanan lebih dari sehari, pusat pemindahan yang sangat sesak iaitu 7,000 orang dalam satu sekolah, keadaan yang menyedihkan seperti tidur tanpa alas dan kesejukan. Menurut tinjauan kami, ada penduduk yang tidak menerima amaran banjir lebih awal.

Sistem amaran banjir yang berkesan sepatutnya dibangunkan dengan mengaplikasikan data-data ramalan meteorologi seperti data dari radar, satelit, Ramalan Cuaca Numerikal (Numerical Weather Prediction) yang boleh memberi ramalan hujan yang agak tepat masa dan lokasinya.

Data-data dari Jabatan Meteorologi ini perlu diintegrasikan dengan data-data lembangan sungai dari Jabatan Pengairan Saliran seperti kapasiti sungai, guna tanah dan kecerunan sesuatu tempat. Bila jumlah hujan telah dapat diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan bagaimana perjalanan hujan yang turun di atas muka bumi dapat dimodelkan oleh Jabatan Pengairan Malaysia, kejadian banjir dapat dijangka lebih awal.

Namun kerjasama kedua-dua jabatan perlu mantap dalam penyaluran data ramalan hujan sebagai input ke dalam model simulasi banjir yang lebih tinggi kadar keberkesanan (effectiveness) dan ketepatannya (accuracy).

Jabatan-jabatan berkenaan juga perlu lebih bersedia dan bekerjasama dalam perkongsian data kepada semua penyelidik di IPT demi pencarian ilmu sebaik mungkin dalam usaha menyumbang kepada penyelesaian masalah negara ini.

Perkongsian data seperti data meteorologi dan data lembangan sungai dengan masyarakat umum terutamanya penyelidik perlu diperluaskan seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju demi pengembangan dan pengukuhan penyelidikan berkenaan banjir agar kesiapsiagaan negara bertambah mantap.

Artikel ini ditulis oleh Pusat Penyelidikan Kawalan Banjir (FCRC) Universiti Teknologi MARA. Utusan Malaysia Online Rencana 20131219

Kadar tol naik, berbaloikah untuk pengguna?

MAHU atau tidak, kita harus mengakui perkara yang membabitkan hal-hal kenaikan harga barangan atau perkhidmatan sememangnya cukup sensitif di hati rakyat. Senang cakap, rakyat cukup ‘pantang’ mendengar harga barangan naik.

Sebabnya, begitu ramai pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini. Mereka inilah yang terpaksa menanggung bebannya apabila berlakunya sebarang kenaikan barangan keperluan mahupun perkhidmatan.

Kita baru hendak mengejar status negara berpendapatan tinggi, belum pun sampai lagi ke tahap itu, tetapi itulah yang ketaranya ketika ini banyak harga barangan atau perkhidmatan mahu naik.

Jadi apabila dikatakan kadar tol di beberapa lebuh raya utama negara akan dinaikkan, ia sudah pasti membangkitkan lagi rasa marah dan tidak puas hati orang ramai. Setelah menghadapi kenaikan harga petrol, gula, tarif elektrik naik tahun depan dan barang-barang keperluan lain yang turut dinaikkan peniaga, sudah tentu cadangan kenaikan ini bagaikan menyimbah minyak ke dalam api.

Mana tidaknya, ini bermakna kos sara hidup akan terus meningkat dan meningkat lagi tetapi pada masa yang sama pendapatan bulanan banyak itulah juga.

Rasa tidak puas hati dan marah ini, boleh ditinjau di mana-mana malah dalam laman-laman sosial juga. Seharusnya, pendapat dan suara-suara mereka inilah yang perlu diambil kira dan dinilai apabila membuat sebarang keputusan.

Ramai yang mempersoalkan tidak untungkah lagi syarikat-syarikat pengendali lebuh raya ini mengutip tol setiap hari dan kenapa perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat pengendali tidak boleh disemak semula demi kepentingan rakyat.

Sesuatu yang perlu diketahui dan diakui, rakyat tidak teruja atau mahu mendengar berapa juta atau bilionkah yang diperuntukkan untuk mana-mana projek bertahap mega. Yang mereka tahu dan mahu, apakah pulangannya kepada rakyat, dan apa yang kerajaan boleh lakukan untuk mengurangkan bebanan mereka.

Ini kerana rumah perlu dibayar ansuran bulanan, atau sewaan, duit perbelanjaan untuk makan, persekolahan anak-anak, kenderaan perlu diisi petrol, bil-bil asas, kos rawatan penyakit dan macam-macam lagi.

Paling tidak rasional, mengapa perlu membayar tol di lebuh raya-lebuh raya yang sentiasa sesak. Ada kawasan-kawasan yang tidak sepatutnya diletakkan plaza tol pun kerana ia hanya menyesakkan lagi laluan terutama di waktu puncak, masa pergi dan pulang bekerja. Bukankah sepatutnya, caj tol itu dikutip untuk melancarkan lagi perjalanan, bukan menyesakkan lagi jalan.

‘‘Aku bayar RM1.10 untuk sia-sia saja. Pagi ke, petang ke macam inilah sesaknya. Ini bukan aku nak minta duit tahu, nak kasi duit pun terpaksa beratur panjang," bebel seorang teman kepada saya ketika saya menumpang kenderaannya untuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur, baru-baru ini. Marah betul dia dalam mengharungi ribuan kenderaan yang merangkak-rangkak menuju ke tol.

Tentunya, ramai melalui perkara yang sama yang membuatkan kita sering terlewat ke tempat kerja, menghadiri majlis-majlis dan mesyuarat-mesyuarat penting dan macam-macam urusan harian yang sepatutnya boleh dibereskan awal, akhir menjadi lewat pula.

Sepatutnya, perkara-perkara seperti ini perlu dipertimbangkan. Kenaikan kadar tol berbaloikah untuk rakyat jika terpaksa mengharungi arus kenderaan yang panjang dan banyak masa serta tenaga, dihabiskan di jalan raya saja.

Kita mahukan rakyat hidup berkualiti. Tetapi kualiti apa sangat yang dapat dinikmati sekiranya, selepas solat subuh terus menghidupkan enjin kenderaan pergi ke tempat kerja dengan lebih awal kerana bimbang akan kesesakan jalan raya, begitu juga pada waktu pulang kerja, keluar awal pun sampai ke rumah lewat juga. Anak-anak sudah tertidur menanti ibu bapa pulang.

Dan janganlah memberi alasan pengguna boleh menggunakan jalan alternatif mengelak tol. Penggunaan lebuh raya kini adalah satu kemestian bukan lagi ada jalan alternatif boleh mengelak tol. Jika ada pun berbatu-batu jauhnya.

Tidak logik kerja di Kuala Lumpur, duduk di Shah Alam terpaksa mencari jalan jauh, berpusing-pusing untuk ke tempat kerja bagi mengelakkan tol. Berilah penjelasan yang lebih rasional daripada meminta orang ramai mengelak menggunakan atau membeli itu dan ini apabila harga sesuatu perkhidmatan atau barangan itu naik.

Apabila terus-terusan memberikan alasan yang serupa setiap kali harga barangan atau perkhidmatan naik, ia akan memberi persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan. Sedangkan banyak usaha yang telah dibuat untuk manfaat rakyat, tenggelam begitu saja, akibat salah beri penjelasan.

Bagaimanapun saya tetap percaya, sudah tentunya kerajaan mempunyai formula terbaik untuk mengurangkan bebanan rakyat. Asas kepada formula itu sudah tentulah dengan mendengar keluh kesah rakyat.



Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 20131219

'Berkat, tepat, cepat' gaya Idris

DATUK Seri Idris Haron baru berusia 46 tahun ketika menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka.

Kini menginjak 47 tahun, perwatakan beliau macam dulu. Sama semasa usianya baru 34 tahun menyandang Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah - berterus terang meskipun agak pahit ditelan.

Sepanjang duduk bersembang dua jam dengan beliau di Tingkat 11, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Ayer Keroh kelmarin, itulah sikapnya.

Dan apabila penulis menanyakan bagaimana beliau mahu mengelakkan tragedi sama menimpa 'Tok Ali' atau Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berulang meskipun di bawah tadbirannya (Mohd. Ali), Melaka ada segala-galanya, hatta sumbangan kepada kaum Cina Melaka tidak ternilai banyaknya, Idris ada suatu yang menarik untuk dikongsi bersama:

"Politik adalah permainan angka, bukannya kira angin tetapi perlu objektif. Kualiti penting tetapi kuantiti lebih penting lagi. Pada saya, kerja-kerja pendaftaran (pengundi) di kawasan 'putih' adalah perkara paling utama mesti dilakukan oleh setiap ahli politik.

"Ini terutama mengambil kira keperluan melalui pembinaan rumah-rumah mampu milik, industri bercampur dan pusat-pusat pelancongan.

"Kalau kedudukan geopolitik dan sosio politik ini diambil kira, saya yakin kejadian (Ketua Menteri kalah mengejut di Parlimen Bukit Katil pada pilihan raya umum 5 Mei lalu) menimpa Tok Ali boleh diminimumkan," kata beliau.

Dalam hal ini, Idris mengambil contoh yang agak berani sehingga penulis 'tersentak' seketika. Kata beliau:

"Kita dapat lihat satu 'politik tragedi' apabila semua pembangunan dilimpah-ruahkan di satu tempat sahaja - di Bukit Katil dan Ayer Keroh malahan kawasan berdekatannya di Bukit Baru. Semuanya ada di sini (dalam satu kawasan) - Wisma Persekutuan, Seri Negeri, MITC, IPK, Bomba, KWSP, Yayasan Melaka, Jabatan Hasil Dalam Negeri... segalanya berpusat.

Idris Haron



Lahir pada 13 Mei, 1966

"Tapi kita masih kalah DUN Ayer Keroh, DUN Bukit Baru, DUN Bachang dan Parlimen Bukit Katil (dianggap meliputi satu kawasan).

"Mengapa kawasan membangun ini semuanya kita kalah? Sebab itu dalam pembangunan perlu ada instrumen politik.

"Kekhuatiran kita adalah apabila ada cukup pembangunan, (pengundi akan anggap) tak perlulah kebergantungan lagi pada kerajaan (negeri) sedia ada. Semua dah ada, kenapa nak sokong kerajaan lagi dah," katanya.

Sebab itu kerajaan Barisan Nasional, kata Idris kena berkira-kira. Yakni, apabila melakukan pendaftaran pengundi, pastikan memperoleh penyokong yang tidak hipokrit. Yang benar-benar kotakan janji apabila masukkan kertas undi ke dalam petinya. Bukan setakat sokong semasa pilihan raya sahaja, tetapi sekarang!

Berpegang kepada prinsip 'hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini', Idris yang kini menggerakkan hala tuju wawasan 'Melaka Maju Fasa 2' mahu segala-galanya bermula dengan keberkatan. Apabila ada niat untuk keberkatan, Insya-Allah kata Idris, dalam mencapai kerja yang tepat dan cepat, semuanya akan berjalan lancar dan lurus.

"Untuk ini jugalah pada Jumaat ini (20 Disember 2013 ini) saya akan bawa salah satu pendekatan baharu yang mana kerajaan negeri Melaka akan menandatangani ikrar integriti dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Antaranya, sejumlah 10 jabatan termasuk pasukan bola sepak Melaka akan tandatangani ikrar integriti bersama SPRM. Apa maksudnya? Maknanya, mereka akan nyatakan komitmen bahawa kalau tertangkap, akan terima hukumannya, bersetuju diperiksa dan terdedah kepada siasatan pada bila-bila masa oleh SPRM.

"Untuk kontrak-kontrak melibatkan kerajaan negeri seperti sebut harga dan tender pula, perlu ada kehadiran dan pemantauan pegawai SPRM.

"Kemudian, dalam waktu terdekat ini semua bilik pegawai di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka iaitu kesemuanya 16 bilik termasuk bilik setiausaha politik, setiausaha sulit kanan akan dipasang kamera litar tertutup (cctv) yang dipantau terus oleh Ketua Menteri.

"Ini untuk pastikan supaya tindakan-tindakan mereka diperhati dan dirakam. Mereka tidak ada pilihan...boleh sambung kontrak atau tidak, melainkan melayan pelanggan (rakyat) dengan baik," kata beliau.

Ditanya tidak gusarkah beliau dengan kritikan dan hentaman terutama daripada pihak pembangkang dari pendekatan yang digerakkannya, kata Idris:

"Ya, macam-macam mereka kata... ini CM (Chief Minister) bodohlah, Idris ini 'jurutera' apa...tapi bagi saya 'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'. Dalam politik apabila kita dibantai, kita akan jadi lebih kuat, lebih tangkas. Cuma, yang saya hairan ketika semua anggota pembangkang bantai saya, bekas ketua pembangkang mereka terpaksa pula letak jawatan hanya kerana menunjukkan rasa hormat pada Ketua Menterinya. Ini juga menjadikan Melaka satu-satunya DUN dalam dunia yang tidak ada ketua pembangkang."

Beliau turut menjelaskan kedudukan sebenar kekeliruan atau keserabutan beberapa isu yang telah dipolitikkan pembangkang. Isu Jonker Walk - sebab dibuka laluan Jonker Walk ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Apabila dibuka, laluan ke lapangan terbang di Batu Berendam pun lancar.

Pentadbiran Idris juga mahu menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka sebagai 'air taxi station' untuk operasi penerbangan jet (pesawat) peribadi eksekutif. Katakan jika ada pelanggan mahu terbang dari Pulau Pinang ke Bangkok, maka jet dari Melaka akan ke Pulau Mutiara untuk perkhidmatan ini dan selepas itu pesawat akan kembali ke garajnya di Melaka. Pada masa sama, kerjasama dengan lain-lain syarikat penerbangan seperti Sriwijaya Air, Malindo Air dan Air Asia diteruskan.

Dalam rancangan membina lebuh raya bertol sepanjang lebih 60 kilometer bagi mengatasi kesesakan lalu lintas setiap hujung minggu atau cuti umum di negeri itu yang menelan kos RM6 bilion, Idris memberitahu, perancangan jalan baharu tidak boleh sekadar bersandarkan keperluan sekarang semata-mata. Tetapi mesti memandang jauh ke depan untuk keperluan 50 atau 100 tahun akan datang.

Ditanya cabarannya dalam mentadbir sebuah negeri maju seperti Melaka yang banyak mata 'melilau' mahu merampasnya dalam pilihan raya umum akan datang, kata Idris:

"Kalau kita maju tanpa kita mengukur kemajuan setiap masa, kita akan akan khayal dan alpa. Untuk jadikan tidak alpa, kita mesti tengok negara maju lain yang mana kita masih tertinggal di belakang dan lihat juga negeri lain yang tidak maju, bahawa betapa bagusnya kita berbanding mereka.

"Kita tahu Melaka maju menerusi pengiktirafan OECD (Organization for Economic Cooperation & Development). Melaka diiktiraf menepati 33 standard OECD sebagai negeri membangun dan maju."

OECD yang beribu pejabat di Paris menjadikan 32 petunjuk yang sesuai digunapakai untuk mengukur tahap kemajuan sesebuah negeri/negara. Petunjuk ini merangkumi aspek ekonomi & infrastruktur, manusia, rakyat dan alam sekitar.

Bagi Idris, beliau tidak kisah dicerca pembangkang, asalkan segala yang dilakukannya dimulakan dengan keberkatan.

"Seorang Melaka adalah yang kalau ada sampah di tangannya, dia lebih rela kotorkan koceknya dari kotorkan alam sekitar.

"Suatu ketika juga Sungai Melaka yang disebut Venice of East kira-kira 600 tahun lalu dengan di muaranya lebih 80 bahasa dipertuturkan pernah mundur akibat kelemahan pentadbirannya.

"Tetapi hari ini sudah menjadi 'mutiara' berwajah baharu pula. Inilah hasilnya jika kita tukar masalah kepada peluang," kata Idris penuh makna.


ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20131219

Kisah makcik di pejabat pos yang tidak tahu menulis

MASIH saya ingat tarikh 12 Disember 2013, sekitar pukul 10.05 pagi bertempat di pejabat pos kecil, tingkat bawah, AEON BIG, Jalan Peel, Cheras, saya berhadapan dengan satu senario yang menyentuh hati disulam rasa terkilan.

Tanpa disangka pada pagi hari (Khamis) saya ditemukan dengan satu senario yang kurang menyenangkan jiwa, namun ia saya terima sebagai satu takdir dan bukannya satu kebetulan.

Jam menunjukkan 9.59 pagi, pintu pejabat pos kecil di cawangan itu masih belum dibuka. Di luar saya berdiri bersama lima orang pelanggan yang menantikan pintu pejabat itu dibuka.

Tepat 10.00 pagi pintu dibuka. Sungguh efisien, kerana mereka membuka untuk perkhidmatan tepat pada waktunya. Tidak salah kalau memuji kalau ia dirasakan perlu.

Saya mengambil nombor giliran untuk kategori 'bil' dan saya mendapat giliran kedua. Lega rasanya kerana pelanggan di pejabat pos ini tidak begitu ramai. Kelihatan seorang makcik berusia sekitar 60-an bersama cucu lelaki (tanggapan di akal fikiran saya, berlandaskan usia makcik itu) yang berusia 12 tahun antara pelanggan yang ketiga menunggu giliran.

Kaunter yang dibuka hanya dua ketika itu, sesuailah dengan fungsi sebagai pejabat pos kecil. Jumlah kaunter bukanlah satu persoalan dan bagi saya kalau satu kaunter sahaja pun ia sudah memadai jika perkhidmatan yang dihulurkan efisien.

Nombor giliran saya dipanggil dan terus saya menuju ke kaunter dan menghulurkan lima bil ke arah petugas. Di sebelah kaunter saya kelihatan makcik dan cucunya yang diceritakan tadi.

"Makcik isi borang dulu", kata petugas wanita bertudung hitam di kaunter hujung kiri pejabat pos itu. Amat jelas perbualan itu saya dengar.

"Nak tengok dulu baki ada berapa," ujar makcik itu kepada petugas berkenaan. Dalam masa hampir tiga minit petugas itu memberitahu kepada makcik tadi baki akuan yang ada hanya tinggal RM40.

Makcik itu pun terus memberitahu yang dia ingin mengeluarkan wang yang ada. Menurut petugas berkenaan, wang itu tidak boleh dikeluarkan semua dan hanya boleh diambil RM30 sahaja dan menyarankan makcik mengisi borang sebelum membuat pengeluaran seterusnya.

Kebetulan di meja tempat mengisi borang ada seorang remaja lelaki (saya masih ingat dia berbaju merah) sedang mengisi borang. Lantas makcik itu pun meminta pertolongan remaja lelaki itu untuk mengisikan borang. Ternyata biarpun masih remaja, lelaki itu sudi membantu.

Setelah borang diisi, makcik tadi menghulurkan borang kepada petugas. Kedengaran petugas itu memberitahu bahawa borang makcik itu tidak lengkap kerana tidak dituliskan ayat 'tiga puluh ringgit sahaja'.

"Makcik tak tulis ayat tiga puluh ringgit sahaja", terang petugas seraya menghulurkan semula borang kepada makcik tersebut.

Makcik itu pun sekali lagi meminta pertolongan remaja tadi dan diserahkan semula kepada petugas.

Menurut pengamatan saya di dalam pejabat pos kecil itu hanya ada lima orang pelanggan sewaktu itu dan ada dua orang petugas di kaunter. Lima nisbah dua saya rasa ia sudah cukup memadai bagi kedua-dua pihak, pelanggan dan petugas.

Berbalik kepada makcik tadi, saya rasa dia adalah seorang buta huruf ataupun tidak mahir dan arif dalam hal-hal pengisian borang.

Apa salahnya setakat ayat berbunyi 'tiga puluh ringgit sahaja' itu ditulis sendiri oleh petugas. Sedangkan petugas memerhatikan bagaimana makcik itu meminta pertolongan remaja tadi mengisikan borang pengeluaran duitnya.

Apakah akan berlaku jika tiada pelanggan lain di situ, dan pada siapakah makcik itu meminta tolong untuk mengisikan borangnya? Saya rasa petugas itu tidak mahu ambil pusing masalah itu, dan mahu rasanya dia menyuruh makcik itu membawa pulang borang agar ia diisi oleh anak-anaknya.

Sewaktu makcik itu terpinga-pinga meminta tolong, petugas itu dengan selamba melihat gelagat makcik itu dalam keadaan serba tak kena meminta pertolongan kepada anak muda itu.

Berdosakah, penatkah, salahkah, jijikkah, malukah, hinakah wahai si petugas jika anda memberikan bantuan untuk menulis empat patah perkataan itu?



ANTI SOMBONG Joha Ahmad Utusan Malaysia Online Forum 20131219