December 20th, 2013

Perak jadi pusat keganasan Parti Komunis Malaya

SERANGAN pengganas komunis ke atas di sebuah kawasan berhampiran pekan Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948 menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan perintah darurat di Tanah Melayu.

Menurut Chin Peng, kawasan tersebut disifatkan sebagai kawasan tumpuan untuk aktiviti politik komunis di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Keadaan itu dikukuhkan lagi dengan Rejimen Kelima yang menjadi nadi utama PKM di Perak , pimpinan Liaw Wei Chung atau lebih dikenali sebagai 'Kolonel Itu'.

Malah, ketika perintah darurat bermula di Perak, Rijimen Kelima merupakan kuasa besar PKM sebagai batalion terkuat dengan hampir 7,000 anggota.

Lai, Lai 加入共产党 Jiārù gòngchǎndǎng



POSTER propaganda komunis untuk menarik minat orang menyertainya.

Sehubungan itu, Perak disifatkan sebagai 'nadi kepada segala keganasan komunis' di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Kegiatan keganasan melibatkan MPABA (Tentera Rakyat Malaya Anti-British) iaitu nama samaran PKM ketika itu, juga dicatatkan paling tinggi di Perak berbanding negeri-negeri lain dalam tempoh enam bulan pertama perintah darurat di laksanakan.

Beberapa faktor lain turut menyumbang kepada kekuasaan komunis di Perak. Kaum Cina merupakan majoriti di negeri tersebut berbanding Selangor dan Pulau Pinang. Ini adalah kerana sejarahnya, kaum Cina terbabit dalam aktiviti melombong bijih, pertama di Larut dan kemudian di Kinta.

Bagaimanapun di bahagian pesisir Perak, kaum Cina terlibat dalam aktiviti pertanian dan penangkapan ikan. Akibat kesan penjajahan British dan kemeleseten ekonomi global (Great Depression), ramai kaum Cina beralih daripada sektor pelombongan kepada pertanian dan menjual barangan, yang sekali gus meningkatkan permasalahan setinggan.

Kegiatan keganasan komunis di Perak menyumbang kepada 14 daripada 24 kes kematian melibatkan peladang dan pelombong Eropah dalam tempoh enam bulan pertama darurat dilaksanakan.

Selain itu, kumpulan komunis turut membunuh 11 anggota tentera British dalam beberapa serangan hendap dalam tempoh yang sama.

Operasi pembanterasan komunis yang dilancarkan British ketika itu dilihat tidak mampu mengekang kegiatan keganasan kumpulan itu.

Sementara itu, di Pahang, untuk enam bulan pertama sejak perintah darurat dilaksanakan, kegiatan komunis di Pahang lebih perlahan berbanding di negeri-negeri lain.

Hal ini kerana kumpulan komunis di negeri itu berdepan dengan masalah komunikasi, selain kawasan hutan yang luas menyebabkan perpecahan kumpulan utama.

Bagi mengukuhkan kembali pergerakan kumpulan itu, PKM pada mulanya meneliti kawasan di sekitar Gua Musang di Kelantan untuk dijadikan markas utama mereka.

Namun, PKM berpendapat, bahagian tengah Pahang atau lebih merujuk kepada Temerloh dilihat lebih bersesuaian untuk pusat kegiatan mereka.

Hal ini kerana kebanyakan kawasan di Temerloh didiami oleh kaum Melayu yang menolak penjajahan British ketika itu, sekali gus memberi harapan kepada PKM untuk mempengaruhi masyarakat Melayu menyertai perjuangan mereka. Malah terdapat wakil Melayu dalam PKM di situ. Bagaimanapun, usaha itu tidak kekal lama.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131220

SB berjaya meracun makanan pengganas komunis

KECEKAPAN Polis Cawangan Khas (SB) dalam perang menentang pengganas komunis semasa Darurat adalah manifestasi yang menjadi kebanggaan dan bukti kecemerlangan pasukan keselamatan negara ini.

Aspek keberkesanan SB ini banyak kali diakui Chong Chor dalam fail sulit pengakuannya. Satu insiden pada 15 Ogos 1981, dia mengaku sepasukan anggotanya dari Unit Penggempur ke-16 telah diperangkap oleh SB, dengan meracun bekalan makanan yang mengakibatkan kehilangan lima anggotanya sama ada mati atau ditangkap oleh pihak berkuasa.

Pasukan diketuai Ah San telah menerima bekalan makanan yang diberikan oleh seorang wanita bernama Ah Sau, semasa berkhemah di kawasan Lanar di Kuala Lipis, Pahang. Hanya setelah seorang demi seorang anggotanya seramai tiga orang mengadu sakit perut yang kronik, baharu Ah San mengesyaki makanan tersebut telah dibubuh racun.

SB berjaya meracun makanan pengganas komunis



Pasukan keselamatan mengangkat dua mayat pengganas komunis yang berjaya dibunuh.
-  Jabatan Penerangan

Pasukan Ah San yang bergerak menuju ke markas, menceritakan azab perjalanan selamam 12 hari yang hampir mematikan mereka. Kesemua mereka menghidap sakit perut dan kekejangan otot, serta tidak boleh makan kerana apa sahaja yang ditelan, akan menyebabkan mereka muntah. Mereka berempat berjaya sampai ke markas tetapi hampir tenat. Kesemua mereka pitam sejurus tiba.

Insiden tersebut mendorong Chong Chor mengutus laporan kepada ketuanya di Betong, selatan Thailand mengenai kejadian tersebut dan kehilangan lima anggotanya. Chong Chor juga melabel Ah Sau sebagai pengkhianat, dan disenaraikan dalam sasaran untuk dibunuh.

Chong Chor juga mengeluarkan kenyataan rasmi atas nama Unit Penggempur Ke-6 Jawatankuasa PKM bertarikh 1 Januari 1982, yang antara lain menggariskan gerak tindak yang perlu dipatuhi oleh anggota bagi mengelakkan diracuni 'musuh'.

Dibawah tajuk langkah mendekati orang hubungan, Chong Chor menggariskan bahawa anggota hendaklah mengamalkan kewaspadaan tinggi semasa berhubung dengan komrad yang telah lama tidak berhubungan dengan parti atau unit. Apabila berhubung, komrad hendaklah memastikan lokasi pertemuan yang dipilih hendaklah di kawasan yang mereka memiliki kawalan sepenuhnya. Mana yang boleh, elakkan bertemu pada waktu malam.

Tetapi garis panduan mengelak diracuni paling terperinci. Chong Chor mengarahkan setiap unit dengan kem kekal hendaklah membela monyet atau babi, supaya boleh dijadikan bahan ujian. Binatang tersebut boleh dijadikan bahan uji untuk menguji wujud racun atau tidak pada garam, gula, kopi, minyak masak, sayuran dan sebagainya yang tidak boleh dibasuh sebelum memasak, yang dibeli oleh ejen baharu dilantik, penyokong komunis yang dicurigai, atau komrad bawah tanah yang sudah lama tidak berhubung.

''Selepas binatang tersebut diberi makan selama sejam dan tidak menunjukkan kesan makanan itu diracun, hanya selepas itu baharu komrad dibenar memakan bahan makanan itu.

''Jika komrad harus makan atau minum bahan yang dibekalkan oleh orang ramai di tempat itu juga, komrad tidak dibenarkan memakannya secara serentak. Mereka hendaklah bergilir-gilir, lebih bagus selepas sejam.

''Jika di kem atau lokasi lain, komrad juga hendaklah memastikan beberapa orang mengujinya terlebih dahulu sebelum mengagihkannya kepada yang lain," kata Chong Chor.

Dia juga memerintahkan setiap pengganas supaya meningkatkan pengetahuan mengenai langkah mengesan dan rawatan racun menerusi pembacaan buku perubatan, atau menanya daripada orang yang tahu, atau sahabat seperti doktor-doktor.

Setiap daripada mereka hendaklah memiliki ubat-ubatan untuk rawatan kecemasan kes-kes keracunan, termasuk kesan gigitan ular, kala jengking, lipan dan tebuan.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131220

PKM perguna masyarakat Orang Asli

PENGGANAS komunis sejak daripada awal-awal kempen mengangkat senjatanya mengerti kegunaan masyarakat Orang Asli dalam objektif perjuangan songsang mereka. PKM telah melakukan usaha mempengaruhi Orang Asli sejak pendudukan Jepun dan persahabatan itu diperbaharui apabila komunis mengisytiharkan perang ke atas Tanah Melayu pada 1948.

Pengganas-pengganas komunis memujuk Orang Asli untuk membantu perjuangan mereka menentang musuh iaitu British. PKM mewujudkan unit khas dipanggil Unit Asal (Asal dalam bahasa Cina bermaksud Orang Asli) yang berperanan untuk memenangi hati dan mempengaruhi Orang Asli untuk membantu dalam apa cara yang boleh, terutama dari segi kaedah penyediaan makanan.

Unit Asal ini menggunakan taktik licik iaitu tidak menggunakan tekanan dan kekerasan terhadap Orang Asli, sebaliknya menjalin persahabatan, malah berkahwin dengan wanita Orang Asli kerana mereka tahu masyarakat Orang Asli tidak mengkhianati anggota keluarga sendiri.

PKM perguna masyarakat Orang Asli



SEORANG Tok Batin berbual dengan tentera New Zealand di sebuah kubu di selatan Kelantan.

Apabila komunis dipaksa 'masuk hutan' kesan daripada tindakan berkesan pasukan keselamatan, skim perpindahan dan langkah kawalan bekalan makanan, mereka meminta bantuan Orang Asli yang selain makanan, turut digula-gula menjadi penunjuk arah, maklumat dan tukang bawa barang.

Semasa melancarkan Pelan Briggs iaitu pemindahan masyarakat luar bandar ke kawasan setempat yang terkawal, masyarakat Orang Asli dikecualikan. British ketika itu menyedari kesukaran untuk memindahkan 40,000 hingga 50,000 Orang Asli daripada suku berlainan bahasa dan budaya.

Keputusan dibuat ialah pihak keselamatan membina kubu berdekatan penempatan Orang Asli bagi memberi perlindungan kepada mereka, selain memastikan komunis tidak mengambil kesempatan.

Kerjasama komunis dengan Orang Asli turut diceritakan secara terperinci oleh ketua pengganas Chong Chor dalam fail sulit pengakuannya kepada pihak berkuasa. Menurutnya, beberapa hari selepas sambutan Tahun Baru Cina pada Februari 1980, dia mengarahkan anggotanya untuk menanam ubi kayu dekat perkampung Orang Asli di sebelah barat pekan Temerloh.

''Kampung Orang Asli yang dihuni lima keluarga itu terletak kira-kira dua jam perjalanan dari kem kami. Kebenaran telah diperolehi dari Tok Batin untuk menggunakan tapak tanah berdekatan kampung itu untuk tujuan tersebut. Kami juga setuju Orang Asli boleh berkongsi ubi kayu berkenaan.

''Sehingga Ogos, pasukan saya keluar masuk ke kampung Orang Asli untuk menjalankan kempen Asal di situ," ujarnya.

Chong Chor juga mencatatkan bahawa walaupun Orang Asli di situ tidak melaporkan mereka kepada pasukan keselamatan tetapi mereka juga telah menikmati kebanyakan ubi kayu yang ditanam oleh pengganas komunis.

Dalam satu lagi insiden, Chong Chor mendakwa dia terpaksa memindahkan markas dalam hutan setelah beberapa Orang Asli dikesan berhampiran. Mereka yang datang dari Kerdau, Temerloh sedang mencari rotan.

Disebabkan bimbang kehadiran mereka dibocorkan kepada pasukan keselamatan, dia mengarahkan markas tersebut dikosongkan, dan satu kem dibina semula yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan.

Sepasukan komunis diarah bertemu dengan kumpulan Orang Asli itu, bagi menjalin persahabatan. Menurut Chong Chor, mereka mendapat kerjasama Orang Asli berkenaan yang membantu membeli makanan, sekali gus bermakna kerja propaganda mempengaruhi mereka berhasil.

Pengarah Operasi perang melawan komunis, Jeneral Sir Gerald Templer melancarkan kempen menawan kembali hati dan minda Orang Asli.

Beliau menganjurkan satu kursus sivik yang dianggap 'luar biasa' pernah diadakan di Tanah Melayu. Seramai 150 Tok Batin dari Perak, Pahang dan Kelantan dikumpulkan di Kuala Lumpur.

Objektifnya adalah untuk menyakinkan mereka bahawa kerajaan masih berkuasa, bukan seperti yang dibohongi PKM menerusi propaganda-propaganda mereka memburuk-burukkan kerajaan.

Tok Batin tersebut dibawa melihat dengan mata mereka sendiri program yang diatur khas seperti persembahan tatu polis, demonstrasi senjata, helikopter dan pesawat, yang didakwa oleh komunis sebagai milik tentera udara China.

Memandangkan kesemua Tok Batin tersebut tidak pernah melihat laut, mereka dibawa ke pantai Port Dickson.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131220

Bertindak memenuhi keluh kesah rakyat

KOS sara hidup terlalu tinggi! Ini luahan rakyat di mana-mana sahaja. Ditambah dengan pelbagai kenaikan selepas pasca-Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengumuman kenaikan harga 'produk' rakyat seperti petrol atas alasan rasionalisasi subsidi pada asalnya sememangnya boleh diterima tetapi apabila deretan pelbagai kenaikan 'produk' rakyat lain boleh membuatkan rakyat rungsing dan bimbang bagaimana mahu mengharungi kehidupan yang semakin mencabar pada masa akan datang.

Bukan kepalang kesannya ke atas rakyat. Cubalah bertanya kepada mereka berapa banyak wang yang mereka mampu simpan selepas ditolak segala bil-bil bulanan. Adakah mereka mampu menyimpan? Atau mereka terpaksa berhutang? Jangan terkejut ada dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah tidak pernah membawa anak-anak mereka menjamu makanan segera. Ini kerana sekali mereka membawa anak-anak sekeluarga menjamu makanan segera, maka, paling kurang mereka terpaksa bayar RM30. Bagi mereka, RM30 cukup besar sama sekali untuk perbelanjaan seharian.

Itu golongan berpendapatan rendah. Tetapi bagaimana pula dengan ahli-ahli politik yang terpilih semasa PRU-13 tempoh hari? Sebab itulah, rakyat berasa pelik bin ajaib, tatkala harga 'produk' rakyat dinaikkan, elaun dan gaji Yang Berhormat juga dinaikkan terlalu tinggi!

Peningkatan kos sara hidup yang terlalu tinggi bukan sahaja memberi kesan ke atas golongan belia tetapi juga bagi semua lapisan masyarakat yang bergaji rendah. Kita tidak usahlah menyebut yang bergaji RM3,000 ke bawah. Yang bergaji RM8,000 pun tidak mampu menjalani kehidupan yang selesa terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Bil elektrik, bil air, bil telefon, makanan, tol, sewa atau ansuran bulanan rumah, bayaran bulanan pusat asuhan kanak-kanak, kos pendidikan anak-anak, penyelenggaraan kenderaan, kos petrol, insurans kenderaan dan bil-bil lain semuanya memerlukan wang yang banyak.

Ambil contoh satu sahaja, berapakah kos dan perbelanjaan pendidikan seorang anak yang akan memulakan sesi persekolahan Januari ini? Dianggarkan untuk seorang anak, paling kurang RM300, itu pun jika masih menggunakan pakaian-pakaian lama. Kalau tidak, RM300 masih tidak mencukupi. Maklumlah, bukan setakat pakaian, perbelanjaan pendidikan termasuklah kasut, alatan menulis, bayaran pengangkutan bas sekolah, beg sekolah dan lain-lain amat meresahkan rakyat golongan bawahan. Ini kerana, semua yang disebutkan tadi telah mengalami kenaikan berbanding tahun lalu.

Harga satu beg sekolah pun tidak kurang RM50, jadi adakah RM300 mencukupi untuk seorang anak? Terus terang dikatakan rakyat berada dalam keadaan yang terhimpit apabila deretan pengumuman demi pengumuman kenaikan 'produk' rakyat ini.

Pada asalnya, kenaikan harga minyak bolehlah difahami tetapi apabila diumumkan bahawa elektrik dan tol juga akan dinaikkan pada tahun depan maka adakah ini bermaksud rakyat hanya akan menunggu sahaja apa lagi kenaikan harga "produk" rakyat? Dan selepas itu, berkumundang sekali lagi dalam kalangan menteri yang mengatakan rakyat perlu menerima sahaja rasionalisasi subsidi atas alasan kenaikan tidak membebankan rakyat.

Benarkah kenaikan 'produk' rakyat tidak membebankan rakyat? Hayati dan selami kehidupan golongan bawahan, barulah kita mengetahui bebanan mereka.

Keluh-kesah rakyat apabila melihat orang politik masih boleh hidup dalam keadaan yang mewah di kala rakyat hidup dibelenggu dengan kos sara hidup tinggi. Apabila tol dinaikkan, dijangkakan lebih banyak lagi harga barangan dan perkhidmatan akan dinaikkan.

Sekali lagi, dijangkakan seperti biasa tindakan untuk mengawal harga barang dan perkhidmatan tidak dapat dibuat dengan baik. Rakyat yang berpendapatan menengah dan rendah akan menanggungnya dengan terpaksa menyerap kos sara hidup yang tinggi ini. Maka, tidak hairankanlah beban hutang isi rumah semakin meningkat kerana rakyat terpaksa meminjam bagi menyara kehidupan seharian.

Rakyat memandang dan memantau apa sahaja tindakan ahli-ahli politik ketika kos sara hidup tinggi. Usahlah tatkala PRU menjelang tiba, barulah nasib rakyat dibela. Ini yang membuatkan rakyat berasakan mereka hanya disayangi tatkala PRU menjelang tiba. Selepas PRU, nasib mereka seolah-olah dipinggirkan.

Perlu diingat, kerajaan telah meletakkan menangani kos sara hidup sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), jadi apabila kerajaan menubuhkan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup, rakyat akan bertanya apa sudah jadi dengan NKRA menangani kos sara hidup yang disasarkan oleh kerajaan sebelum ini?

Rakyat mahukan pihak-pihak berkenaan benar-benar bertindak membantu menangani kos sara hidup rakyat. Bawa masuk orang bawahan yang berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada ahli Makmal Mengenai Kos Sara Hidup. Usah letakkan golongan elit yang berpendapatan tinggi yang tidak terkesan sikit pun dengan kos sara hidup yang amat tinggi. Mereka ini tidak memahami kepayahan hidup rakyat berpendapatan rendah.

Golongan berpendapatan menengah dan rendahlah yang terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi, yang akhirnya mereka inilah yang banyak meluahkan isi hati mereka bukan sahaja melalui perbualan seharian tetapi juga melalui laman-laman sosial dan blog.

Sewajarnya kerajaan perlu benar-benar teliti setiap isu melibatkan kos sara hidup rakyat. Dalam konteks ini, benar kerajaan perlu memikirkan pengukuhan kewangan negara untuk tempoh jangka masa panjang, tetapi dalam masa yang sama, keutamaan patut diberikan kepada permasalahan kos sara hidup rakyat.

Tiada gunanya ekonomi negara kukuh tetapi pada masa sama kos sara hidup tidak mampu diserap oleh rakyat. Angka-angka yang menunjukkan pengukuhan ekonomi negara tidak membawa erti sekiranya hanya yang berpendapatan tinggi yang merasainya, manakala rakyat bawahan pula terbeban dengan tekanan-tekanan kos yang tidak mampu dihadapi mereka. Bertindaklah segera memenuhi keluh-kesah rakyat!

Rohami Shafie PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.
Utusan Malaysia Online Rencana 20131220

Laporan media penting untuk penambahbaikan

TERLIBAT dalam mengurus laporan masalah tikus yang menjadi laporan muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini adalah antara pengalaman yang sukar dilupakan penulis sepanjang lebih 23 tahun berhadapan dengan pelbagai kerenah dan krisis dalam konteks laporan media apatah ia melibatkan antara persepsi dengan realiti yang akhirnya berjalan selari.

Bagi pengamal perhubungan awam apatah lagi kepada sesebuah organisasi, laporan media sering diikuti dan perlu ditangani dengan sebaik mungkin apatah lagi apabila ia berupaya membangunkan persepsi tersendiri dan melibatkan kepentingan masyarakat dan orang ramai.

Ketika diminta untuk mendapatkan nama penulis yang memberi komen negatif terhadap institusi penulis yang tersiar di akhbar Utusan Malaysia lebih 15 tahun lalu, editor memberi komen yang sangat dihormati dan dijadikan landasan utama - "beribu cerita menarik yang kami siar, apalah salahnya jika disiar pandangan yang sekali sekala memberi pandangan berbeza!."

Laporan muka hadapan akhbar berkenaan merujuk kepada aduan tentang masalah tikus yang dikatakan amat serius dan boleh memberi kesan buruk kepada hospital, pesakit dan orang ramai. Dan respons awal dari mereka yang terlibat, adalah "ini perkara biasa yang menjadi rutin yang ditangani sepanjang masa", "ini bukan perkara baharu kenapa perlu diperbesarkan?".

Tikus dianggap ancaman serius. Siapa tahu misalnya berapa jumlah tikus di bandar raya besar kita termasuk Kuala Lumpur. Serangan tikus dikatakan membawa kerugian besar kepada petani sejak sekian lama. Pesawah misalnya bercerita tentang bagaimana padi yang telah sedia untuk dituai esok hari habis dikerjakan tikus dalam tempoh semalaman. Tikus dianggap mempunyai kuasa luar biasa. Di sesetengah tempat, tikus besar berlarian tatkala pelanggan menjamu selera dengan nasi kandar terutamanya berhampiran pasar basah.

Lalu apabila tikus dikatakan berkeliaran termasuk di dalam wad hospital ia tidak dianggap terlalu luar biasa bagi kebanyakan mereka yang terlibat walau pun disedari kesan yang boleh ditinggalkannya. Dalam kes ini, populasi tikus dikatakan bertambah kerana faktor pasar malam di hadapan hospital yang menghasilkan sampah sarap. Pembangunan sekitar hospital dikatakan faktor penyumbang kepada hal ini. Malah ada juga pelajar yang menghantar aduan apabila buku yang disimpan di bilik stor ketika pulang bercuti telah dimakan oleh tikus.

Punca sebenar tikus yang boleh membawa penyakit dan mengancam keselamatan adalah lahir dari masalah kebersihan persekitaran, pelawat pesakit yang membuang sisa makanan dengan cara yang tidak betul dan pelbagai lagi yang membuka ruang kepada pembiakan dan pertambahan populasi tikus yang perlu ditangani.

Malah, ia adalah masalah bersama, bukan hanya masalah pihak berkuasa atau organisasi yang ditegur. Semua pihak perlu dilibat sama. Sampah perlu diurus dengan betul dan diangkut segera. Sisa makanan perlu dibuang dengan teratur dan rapi. Galakkan membawa makanan dalam bekas yang boleh diguna semula. Hentikan jualan makanan bergerak atau gerai yang tidak menjaga kebersihan. Wujudkan pasukan pemantau yang bertindak segera, bukan hanya menunggu aduan tetapi bergerak secara berterusan mencari punca dan mengatasinya segera dengan kepakaran yang ada.

Hakikatnya juga kita tidak pernah sebenarnya dididik secara formal untuk menjaga kebersihan. Jika pun ada, guru dan ibu bapa kebanyakannya menjadikan menyapu sampah dan cuci tandas sebagai hukuman. Kita membesar dengan rasa jijik dan satu hukuman jika mencuci longkang dan tandas dan ia adalah hukuman memalukan bukan satu kemestian jauh sekali satu tanggungjawab.

Kerana itu, untuk menjaga kebersihan, perlu libatkan juga pelajar dan seluruh warga organisasi untuk mendidik kembali sebagai satu kewajipan. Cari kaedah yang betul, Jadikan juga sebagai program sukarela yang tersusun dan berterusan. Bahagikan kawasan untuk dijaga. Apa jua kaedahnya, libatkan semua. masyarakat sekitar dan pihak berkuasa tempatan. Jadikan menjaga kebersihan sebagai tugas dan tanggungjawab bersama.

Ini termasuklah seluruh persekitaran yang ada. Tandas juga perlu diberikan perhatian. Masyarakat kita sebenarnya perlu dididik menjaga tandas, bermula dari kanak-kanak termasuk adab di tandas awam. Sesetengah kita tidak perduli orang. Menerjah masuk bilik tandar tanpa peduli orang menunggu.

Lebih biadab menjadikan tandas awam tempat merokok dan orang lain menunggu giliran dengan penuh seksaan. Tandas kita kebanyakannya jauh dari piawai kebersihan malah sesetengahnya amat menjijikkan, termasuk di kebanyakan masjid.

Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama, bukan sahaja menjauhkan dari penyakit tetapi menunjukkan kita orang bertamadun yang bijak menguruskan persekitaran.

Jika tikus menjadi salah satu indikator kebersihan, cuba lihat di sekeliling kita terhadap kewujudan dan populasinya, termasuk di kota kosmopolitan, di pinggir bandar malah di kediaman kita. Kita lupa, kadang-kadang, kitalah penyumbang kepada masalah yang ada, apabila membuang sampah dan menguruskan sisa makanan, buangan dan pepejal.

Ia bukan sekadar persepsi tetapi realiti yang harus diterima dan diuruskan bersama, bukan bermusim atau tatkala mendapat teguran tetapi sebagai budaya hidup yang berterusan, tanpa perlu pun bersikap defensif.

Kebersihan bukan bahan gurauan tetapi hakikat bersama untuk kita benci kekotoran termasuk tatkala menikmati hidangan di gerai atau restoren, bukan sekadar hiasan dalaman yang memukau pandangan mata, tetapi di dapur dan proses penyediaan makanan yang seharusnya telus kerana ia bakal menjadi darah daging kita!

Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama, tidak kira siapa, tanpa kecualinya. Lagi pun bukankah menjaga kebersihan adalah tuntutan agama. Hanya dengan sikap prihatin dan tindakan yang holistik dengan melibatkan seluruh anggota masyarakat, masalah tikus dan penyakit bawaan vektor dan serangga dapat diatasi.

Tindakan-tindakan ini telah dan sedang diambil, namun kaedah yang lebih kreatif barangkali boleh difikirkan dalam melestarikan usaha yang dibuat. Misalnya cadangan untuk membina pondok burung pungguk yang memakan tikus adalah antara kaedah yang boleh digunakan.

Hakikatnya tidak salah laporan media yang dibuat sebaliknya perlu dihargai kerana ia membuka ruang untuk kita meneliti sesuatu yang selama ini mungkin dianggap perkara biasa bagi masyarakat setempat. Tidak perlu malu dan bersikap defensif.

Laporan media adalah satu kaedah untuk menilai dan membantu agar semua pihak sedar terhadap peranan masing-masing. Biar pun ada pedihnya, tetapi ia adalah peringatan baik untuk semua pihak bukan hanya sesebuah organisasi secara khusus.


MOHAMAD ABDULLAH ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.Utusan Malaysia Online Rencana 20131220

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ Kisah PMR dan Bahasa Melayu

KEPUTUSAN Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang keluar semalam memperlihatkan peningkatan dari segi jumlah calon mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Awang mengucapkan tahniah kepada semua calon yang mendapat keputusan cemerlang. Kepada yang memperoleh keputusan cukup makan dan sekadar lulus teruskan usaha.

Seperti biasa Awang kagum dengan pencapaian calon-calon keperluan khas yang mendapat keputusan cemerlang. Tidak kiralah berapa A atau B yang mereka dapat.

Golongan ini membuktikan kejayaan adalah milik semua orang. Kekurangan diri apatah lagi kecacatan bukan satu halangan. Asalkan mereka berusaha, ada kemahuan, kejayaan pasti akan datang.

Bagaimanapun, Awang merasa sedikit bimbang apabila melihat prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu yang menurun sebanyak 0.03 mata berbanding tahun lalu.

Tidak dapat dipastikan puncanya. Adakah keadaan ini berkait rapat dengan minat pelajar yang semakin berkurangan dengan mata pelajaran ini?

Awang percaya keputusan ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh cara mereka berinteraksi dan berkomunikasi menerusi media sosial.

Mereka banyak terdedah dan didedahkan dengan 'bahasa media sosial' yang ringkas dan hanya difahami oleh kumpulan mereka sahaja. Tidak mustahil mereka terbawa-bawa dengan cara penulisan sedemikian ketika menjawab soalan Bahasa Melayu.

Awang berharap kemerosotan ini hanya bersifat sementara dan tidak berpanjangan. Kementerian Pendidikan dan golongan pendidik rasanya sudah menyedari perkara ini.

Awang - Bahasa Melayu dapat A



Utusan Malaysia Online Rencana 20131220