December 25th, 2013

Isu burukkan pendidikan negara: Tokoh pendidik bidas laporan Bank Dunia

Kuala Lumpur: Tokoh pendidik membidas laporan Bank Dunia yang dilihat sengaja memburukkan sistem pendidikan negara apabila mendakwa sistem berpusat yang diamalkan selama ini, menyumbang kepada prestasi buruk pelajar.


Sambil menyifatkan laporan itu tidak tepat, mereka mahu kerajaan mengadakan lebih banyak persidangan bagi membahaskan isu berkenaan dengan wakil Bank Dunia.


Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata kajian lebih teliti perlu dilakukan kerana biasanya Barat sering menganggap sistem pendidikan mereka lebih baik, sedangkan sistem berpusat yang dilaksanakan sebelum merdeka di negara ini terbukti berjaya memberikan pendidikan terbaik kepada rakyat sehingga sekarang.


Utama latihan guru

Bagaimanapun, beliau menyarankan kerajaan mengembalikan suasana pendidikan sekurang-kurangnya seperti 50 tahun lalu yang mengutamakan latihan kepada guru dalam usaha menyediakan tenaga pengajar berkualiti, selain mewujudkan pemahaman lebih tepat mengenai pendidikan dalam kalangan guru dan pelajar.

“Sistem pendidikan kita akan dianggap lemah disebabkan keengganan kita ikut acuan dan sistem pendidikan Barat,” katanya ketika diminta mengulas laporan Bank Dunia bahawa sistem pendidikan Malaysia yang berpusat dalam mengawal pengambilan dan rancangan perbelanjaan menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian.

The Wall Street Journal melaporkan, Kementerian Pendidikan menetapkan perbelanjaan, pengambilan tenaga pengajar, sukatan pelajaran dan buku teks, manakala maklumat umum prestasi sesebuah sekolah sukar diakses.

Laporan itu juga mendakwa sekitar 65 peratus daripada pengambilan guru dilakukan kerajaan, bukannya sekolah berbanding 5 peratus di Korea Selatan di mana sekolah awam ada lebih autonomi. Ia juga melaporkan kedudukan terbaru Malaysia dalam Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA), berkedudukan 52 daripada 65 negara yang dikaji selidik.


Utama guru berkualiti

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata sistem berpusat yang diamalkan sesuai untuk negara bersaiz seperti Malaysia, bukan di negara besar dan padat penduduk seperti Amerika Syarikat atau China.

Katanya, walaupun pengambilan guru dilakukan Kementerian Pendidikan, penempatan di sekolah dilaksanakan mengikut opsyen, sekali gus tidak timbul isu pertikaian mengenai kecekapan guru yang dihantar ke sekolah, malah kerajaan mengutamakan kualiti apabila hanya kelompok kecil yang lulus saringan dan ujian diambil sebagai guru.

“Pada zaman saya, ada 80,000 permohonan untuk latihan perguruan, tapi hanya 2,000 hingga 3,000 dipilih. Mereka yang dapat kepujian beberapa mata pelajaran tertentu dipilih untuk ujian bertulis dan selepas lulus, perlu melalui saringan. Hanya yang terbaik ditemuduga sebelum dilatih di institusi perguruan,” katanya.


Nazura Ngah | nazura_ngah@bh.com.my Berita Harian Online Nasional 25/12/2013

Lunturkan semangat demonstrasi

DALAM kebimbangan orang ramai terpaksa menyambut tahun baharu di sebalik bayangan perhimpunan haram pada 31 Disember ini, rupanya secara 'senyap-senyap' telah berlalu satu perhimpunan lain di Kuala Lumpur minggu lalu.

Pelancaran kempen anti-GST (cukai barangan dan perkhidmatan) pakatan pembangkang minggu lalu dikatakan hanya menarik 200 orang 'pengunjung' sedangkan pemimpin-pemimpin tertinggi mereka sanggup hadir sama mengikut laporan sebuah portal propembangkang.

Bagi menutup malu, ada pemimpin pembangkang menyalahkan rakyat kurang memahami isu dan kerana belum merasai kesan GST sebagai punca kurangnya peserta hadir menyertai kempen tersebut, kononnya itu cuma pelancaran kempen dan bukan perhimpunan raksasa.

Agak melucukan bila ada juga yang berucap menyuruh rakyat yang menyokong GST berpindah ke negara yang mengamalkannya seperti Kemboja dan Laos sedangkan mereka sendiri sebelum ini 'meroyan' bila disuruh berpindah ke negara lain jika merasakan tertindas di Malaysia.

Seorang lagi pemimpin pada majlis tersebut mengaitkan kebankrapan dengan pelaksanaan GST seperti yang berlaku di Greece tetapi 'ketua pasukan' mereka pula bersetuju tiada masalah dalam sistem tersebut, kononnya sistem itu berkesan dan telus selagi tiada 'ketirisan'.

Sama ada laporan portal itu sedikit tersilap lapor atau mungkin beberapa pemimpin politik yang 'keliru' tentang alasan untuk mereka mengajak orang ramai berhimpun menolak GST, hakikatnya umum tidak ambil pusing kempen tersebut mungkin kerana penganjur sendiri seolah-olah tidak pasti apa yang mereka 'anti' sebenarnya.

Majoriti rakyat sebenarnya mengharapkan apa yang berlaku itu antara petanda demam demonstrasi jalanan sudah berlalu tetapi cukuplah jika sampai masanya lebih banyak akal rasional mengatasi darah panas membuak-buak yang mahu turun ke jalan raya atas apa jua alasan, asalkan 'meriah'.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berpendapat sambutan dingin dalam kempen tersebut petanda orang ramai sudah jemu dengan pembohongan dan janji kosong pihak terbabit.

"Masing-masing mahu meniru Siam dan Arab (adakan demonstrasi jalanan). Mereka ini peniru-peniru kejahatan dan penjahat, tidak boleh berlembut lagi, kena gunakan kata-kata kasar. Mereka hanya tahu mengganggu kesenangan hidup kita, mereka tidak senang hati bila Perdana Menteri berjaya melakukan sesuatu untuk kebaikan rakyat maka perlu juga menipu, mahu berdemonstrasi konon nak guling kerajaan," katanya.

Beliau yakin orang ramai sudah faham dengan janji-janji kosong golongan tersebut dan sudah malas menunjukkan sokongan dalam agenda dan program yang mereka anjurkan.

Tambahnya, rakyat melihat dan nampak kerajaan tetap membantu dalam bermacam situasi dan tuduhan pembangkang, maka sudah tidak peduli bila diseru keluar berdemonstrasi.

"Orang Cina pun sudah ambil iktibar dan semakin kurang menyertai program sedemikian, begitu juga orang Melayu dalam PKR. Mereka cuba burukkan kerajaan tapi tidak berlaku demonstrasi, sampai masa kita buang sahaja manusia seperti ini (penganjur) yang cuba merosakkan hidup kita.

"Pada 31 Disember ini juga sama, nak tiru Siam dan Arab tapi tak ada sebab nak demonstrasi seperti rakyat di sana. Saya rasa ramai tidak keluar turut serta, tak tahu pula jika orang DAP di Pulau Pinang kerana dikatakan perhimpunan itu akan dianjur di sana," dakwanya.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan pula melihat kempen anti-GST gagal mendapat sambutan kerana rata-rata rakyat sudah memahami kenapa GST perlu dilaksanakan.

"Isu GST melangkaui politik kerana melibatkan kepentingan negara. Mereka yang boleh fikir secara rasional akan terima kenapa GST itu perlu dan kerajaan juga sudah mengambil iktibar daripada beberapa siri demonstrasi sebelum ini.

"Kerajaan telah menggerakkan usaha penerangan isu GST, jelaskan kenapa ia perlu dilaksanakan. Semangat berdemonstrasi boleh dilunturkan dengan fakta dan logik akal dan akhirnya seruan perhimpunan itu tidak akan mendapat sambutan yang diharapkan," katanya.

Beliau melihat trend sambutan demonstrasi yang semakin luntur momentumnya hasil usaha kerajaan menerangkan persoalan dan kekeliruan tentang isu-isu yang cuba dimainkan pembangkang untuk meraih sokongan politik.

Beliau juga yakin penganjur kempen anti-GST tahu dan memahami mengapa GST perlu dilaksanakan tetapi demi laba politik mereka tidak mahu memperakuinya, menentang dan menuduh ia tidak sesuai.

"Mereka bukannya terkeliru tetapi demi kepentingan politik tetap menentang dan membiarkan fakta bertindih dalam isu GST ini, malangnya ia tetap tidak mendapat sambutan.

"Perhimpunan yang dirancang pada 31 Disember ini juga mungkin menghadapi nasib sama. Untuk mengajak rakyat ke jalan raya bagi menggulingkan kerajaan, mereka perlukan pemangkin yang besar," ujarnya.

Tambahnya, di Thailand pemangkin untuk beramai-ramai ke jalan raya adalah rakyatnya membenci Thaksin sementara di Kiev, Ukraine pula kerana rakyatnya bencikan Rusia.

Beliau menegaskan amat sukar untuk pembangkang menarik ramai peserta kerana perlu ada salah laku yang besar dalam kerajaan di mata majoriti rakyat untuk menarik mereka ke jalan raya.

"Segelintir kecil mungkin akan hadir tetapi untuk satu jumlah besar sukar dicapai kerana tiada salah laku besar dalam kerajaan kita.

"Tentu sekali pembangkang boleh mainkan isu kenaikan harga pelbagai produk dan perkhidmatan, itu isu paling mudah tetapi jika kerajaan beri penerangan yang cukup, mereka yang rasional akan terima dan menolak untuk ke jalan raya," jelasnya.

Mengambil contoh kenaikan tarif elektrik, beliau mengulangi penjelasan kerajaan bahawa ia bukan untuk keuntungan TNB mahupun pihak swasta sebaliknya rasionalisasi kos bahan api yang digunakan bagi menjana elektrik.

"Kerajaan perlu teruskan penerangan berlandaskan fakta, saya yakin rakyat boleh terima. Langkah penerangan ini penting walaupun pembangkang mainkan isu habis-habisan agar rakyat tidak menjadi mangsa diheret ke jalanan," tegasnya.



NURUL ANUAR KARI anuar.kari@utusan.com.my Utusan Malaysia Rencana/ 0131224

Kekuatan politik untuk pembangunan negara

KITA sering mengambil mudah tentang kekuatan dan kestabilan politik kerana hidup aman dan sejahtera di tanah air ini. Kita jarang berfikir panjang dan rasional dan kerap kalinya lebih mengikut perasaan daripada menjaga kemashlahatan masa depan negara dan rakyat.

Pertimbangan dibuat hanya melihat kepada model Barat dan negara maju yang sebenarnya mencapai tahap sedemikian apabila berjaya mewujudkan keamanan dan lanskap kesejahteraan yang berterusan. Mereka membangun dalam acuan sendiri dan melihat kemajuan infrastruktur mahu pun teknologinya dalam konteks keperluan sendiri dan dunia dengan memastikan kestabilan politik dan kekuatannya sebagai sebuah negara bangsa terpelihara tanpa campur tangan orang lain.

Kerana itu kita perlu lebih berhati-hati apabila cuba mencontohi apa yang dilakukan di negara lain terutamanya mereka dijadikan model dengan memandang rendah apa yang kita capai selama ini. Anehnya, tatkala kita terus tercari-cari model yang tertentu orang lain pula melihat kita sebagai contoh yang seharusnya memperkasakan kekuatan yang ada dan terus bergerak ke hadapan dengan memanfaatkan setiap sumber yang ada dengan sebaik mungkin.

Peluang melihat dari dekat negara Republik Islam Pakistan yang digambarkan oleh media Barat dengan banyak perspektif negatifnya dan suasana politiknya yang sering bergolak yang tidak semestinya tepat menyedarkan penulisnya betapa bertuahnya berada di negara sendiri.

Hakikatnya, mereka adalah masyarakat yang ramah tamah, pegawai imigresen yang menyambut di tempat pemeriksaan lapangan terbang dengan teguran dan senyuman berbanding dengan pengalaman pahit yang dilalui di sesetengah negara membuatkan terasa tenang apabila pertama kali melangkah ke bumi Pakistan.

Sebagai sebuah Republik Islam, penulis membayangkan mereka mempunyai pegangan dan kepercayaan agama yang rigid termasuk dari segi pakaian. Melihat kepada pegawai imigresen dan kemudiannya billboard besar sepanjang perjalanan ke hotel dan masyarakat sekeliling yang ditemui, ternyata mereka amat sederhana, berbanding dengan apa yang kita percaya kerapkali apabila bercakap tentang Islam.

Sememangnyalah, pemeriksaan keselamatan begitu ketat, dengan askar yang berkawal hampir di semua jalan raya utama hinggalah ke hotel, malah tatkala memasuki perkarangan universiti-universiti di sana. Pertama kali berhadapan dengan pemeriksaan keselamatan sedemikian, agak kaget, tetapi terbiasa melihat pemandangan sedemikian, termasuk diiringi oleh pegawai keselamatan bersenjata ketika melawat universiti di sana demi menjaga ketenteraman awam dalam konteks mereka sendiri. Seorang pegawai kanan sebuah universiti misalnya memberitahu, beberapa bulan lalu kafetaria universitinya dibom dan ramai yang cedera. Demikian juga keadaan di Peshawar yang dikatakan tidak menentu dengan pengebom berani mati, bom diletakkan di kawasan pasar dan sebagainya.

Membaca di akhbar tempatan di sana pula, sesetengah universiti mempunyai masalah dari segi dana dan kekurangan pensyarah. Malah ketika melawat sebuah universiti awam yang berusia lebih 100 tahun, dimaklumkan bahawa mereka mendapat dana yang sangat minimum dari kerajaan sekadar untuk memastikan universiti dapat bergerak dan menawarkan kursus kepada anak-anak muda yang kreatif dan inovatif dalam menerokai bakat mereka.

Pada masa sama rata-rata universiti terkenal di sana mempunyai tenaga pengajar yang hebat dan bertaraf dunia termasuk universiti-universiti yang ditubuhkan hasil inisiatif dari waqaf dan sumbangan pelbagai pihak yang tidak hanya berasaskan keuntungan. Naib Canselor universiti-universiti yang dilawati dengan bangganya memperkenalkan satu persatu pensyarahnya yang mempunyai kelulusan dari pelbagai universiti terkemuka dunia, dari Amerika Syarikat, England mahu pun universiti ternama lainnya.

Namun dengan cendekiawan yang sedemikian, pernah melahirkan saintis terkemuka sebagai penerima Hadiah Nobel, mereka masih berhadapan dengan banyak isu asas yang perlu ditangani serta menghadapi kesukaran kesan daripada pergolakan politik apatah lagi menurut sumber tempatan, kesan dari campurtangan pihak asing yang melaga-lagakan sesama mereka.

Khazanah ilmu mereka besar. Ilmuwan mereka juga hebat-hebat. Ini perlu dimanfaatkan dengan sewajarnya oleh negara Islam tersebut. Rakyat mereka juga sukakan keamanan dan ramah tamah dalam melayan tetamu. Budaya mereka tidak jauh sangat berbeza dengan nilai yang kita ada apatah lagi sesama negara dan umat Islam. Justeru kekuatan ini perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Potensi kerjasama sesama negara dan umat Islam ini tidak harus dipandang ringan terutamanya dalam pendidikan.

Malah ketika berbual panjang dengan keluarga yang menjemput makan malam di sana, mereka melahirkan perasaan bangga dengan kejayaan Malaysia. Kestabilan politik dan kekayaan kepelbagaian yang ada termasuk makanannya seharusnya dicemburui dan dihargai.

Malangnya, kita di sini jarang hargai apa yang ada. Pergilah ke mana sahaja dalam negara ini, tidak ada kawalan keselamatan yang ketat, tidak ada kebimbangan kekacauan dan nyawa terancam, malah kita bebas melakukan apa sahaja yang kerapkali pula disalahgunakan.

Kita banyak merungut malah ada kalanya sesetengah pihak dengan sengaja mengundang orang lain atau pihak-pihak lain termasuk kuasa besar untuk campurtangan dengan urusan dalam negara. Kita berbangga dengan orang lain, hingga lupa apa yang kita ada.

Sesetengah kita suka memprovokasi untuk berdemonstrasi dan sering mengatakan orang lain lebih baik daripada kita dan mendesak menerima nilai-nilai songsang yang ada semata-mata kerana ramai yang percaya model kita adalah negara-negara maju tertentu dengan nilai-nilai mereka yang semakin bercelaru. Kita jarang berusaha tangani masalah secara bersama-sama, berhemah dan menghormati apatah lagi menghargai apa yang diusahakan.

Namun, hakikatnya semua pihak harus bersama-sama mengekalkan kestabilan politik dan kesejahteraan yang ada jika ingin terus ke hadapan. Sekali kita hancur, terikat dan diikat, amat payah untuk bangun semula. Sejarah telah membuktikannya, apatah lagi bagi negara dan umat Islam yang sering dicemburui, dipandang sebelah mata dan dicurigai.

Lebih penting, selesaikan masalah secara berhemah, menegur dengan beradab dan sentiasa pentingkan masyarakat dan negara bukan diri dan kelompok sendiri. Berilah cadangan dan ambil tindakan bersama dengan cara yang terbaik tanpa provokasi yang boleh memusnahkan apa yang ada. Sekali musnah, selama-lamanya akan hanya tinggal sejarah.


MOHAMAD ABDULLAH ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 20131225

Menjelang 2014: Selagi ada kuasa, gunakanlah ...

SEMINGGU lagi kita akan menyambut Tahun Baru 2014. Setahun lagi umur kita akan meningkat, setahun lagi cabaran akan mendatang, setahun lagi dosa pahala terus dihitung. Selagi hayat dikandung badan, selagi itu cabaran tetap mendatang.

Si pemakan rasuah pula akan terus makan rasuah, waima sedar majikannya sedang seksa berjuang untuk hidup. Si pejuang akan terus berjuang dan si pendemostran akan terus berdemostrasi.

Namun, negara akan tetap berdiri. Malaysia bukanlah sebuah rumah yang sedang terbakar dan kapal sedang karam. Ia masih lagi berlayar, walaupun badai terus melanda.

Semua pihak mahukan Malaysia ini milik mereka. Pembangkang amat dahagakan negara ini. Hanya orang bodoh sahaja yang tidak mahu merebut negara yang makmur ini.

Negara asing pun melihat Malaysia dengan cemburunya. Walaupun, pihak pembangkang terus-menerus membangkang, mereka masih lagi hidup dengan mewahnya. Jangan tipulah.

Jangan tipu rakyat mengatakan negara ini penuh dengan kezaliman. Kakitangan kerajaan menikmati segala kesenangan mengatasi pekerja swasta, tetapi ada antara mereka tetap tidak bersyukur.

Malah ada yang bercita-cita mahu mengebom di malam Tahun Baru ini. Memang taksub gila penjawat awam itu.

Tapi kasihan, mereka ini jadi begitu kerana terlalu taksub dengan pemimpin mereka. Di belakang mereka, para pemimpin itu cakap tak serupa bikin.

Saya tidak pasti, apakah ada ramai lagi yang berfikiran macam itu?

Jadi, selagi ada kuasa jika tidak digunakan kuasa itu, maka tunggulah akibatnya kelak.

Tahun 2014 akan diharungi dengan penuh mencabar. Harga barangan dan perkhidmatan akan terus naik. Satu demi satu diumumkan serentak. Rakyat cukup tersentak. Tak pasti kita, siapa yang mengatur semua itu. Alahai, ada kuasa pun tak pandai atur.

Kini harga teh 'O' kurang manis di KL ada tempat sudah pun berharga RM2.80! Jangan disebut yang lain-lain lagi. Pihak berkuasa pergilah tengok-tengok apa yang patut dilakukan. Selagi ada kuasa lakukanlah apa yang patut.

Siapa yang menerajui kuasa, tolonglah pastikan harga itu dan harga ini tidak dinaikkan satu demi satu. Jika sayangkan kuasa, tadbirlah dengan baik-baik.

Pihak politik yang berkuasa jangan terus berangan-angan untuk menjadi kaya-raya. Kaya boleh, tapi janganlah berlebih-lebih. Rakyat memerhati anda sekalian. Selagi ada kuasa, gunakanlah secara bijak. Berhemahlah. Jangan anggap di zaman siber ini rakyat itu bodoh. Jika anda beranggap sebegitu, maka tunggulah masanya nanti.

Jangan ditunjuk-tunjuk kemewahan itu kepada rakyat yang terkial-kial untuk membayar bil itu dan bil ini setiap bulan.

Jika dulu ada ISA tapi sudah dibungkus, gunalah undang-undang baru dengan setegas mungkin. Jangan nanti menyesal di kemudian hari.

Jika dah tahu ada yang nak berdemo di malam Tahun Baru, pergilah bertindak. Bukan kita tidak mahu kebebasan bersuara, tetapi biarlah ia dengan niat yang baik dan murni, bukan untuk memenuhi kehendak politik peribadi pihak-pihak tertentu.

Selagi ada kuasa gunakanlah setegas-tegasnya. Jangan biarkan kepala kita dipijak- pijak.

Bagi negeri yang dirampas balik daripada tangan pembangkang, jaga negeri itu baik- baik. Jika semasa mereka memerintah dulu, kita lihat betapa gelojohnya mereka mengondolkan gunung-ganang. Oleh itu jangan diulangi perangai seperti itu.

Jadi betullah, politik itu bukan untuk tujuan keredaan Allah semata-mata, tetapi duitan juga matlamat akhirnya.

Selagi ada kuasa, jangan dipinggirkan mana-mana rakyat yang terpinggir. Orang Melayu, India dan Cina yang miskin harus dibantu. Bantu mereka seadil-adilnya mengikut apa yang diperaku dan ditetapkan oleh Perlembagaan negara.

Kaum yang kaya, jangan menganiayai kaum lain yang miskin. Jangan cakap tak serupa bikin. Jangan tuduh Malaysia mengamalkan Aparteid, sedangkan di negara ini minoriti yang menguasai kekayaan dan kemewahan.

Malaysia ialah negara berbilang kaum, jagalah rakyat supaya hidup sayang-menyayang dan hormat-menghormati.

Jadikan 2014 ini tahun Perpaduan dan Rukun Tetangga. Sengketa tidak akan membawa ke mana-mana. Malah musuh akan lebih seronok untuk menangguk di air keruh.

Yang majoriti dan minoriti teruslah bermuhasabah. Lancarkan Tahun 2014 tahun Bahasa Kebangsaan, supaya semua bangsa bercakap satu bahasa.

Amat malu jika ada rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa negara sendiri. Nak cakap Melayu pun terkial-kial. Namun, kita juga kena menguasai bahasa-bahasa lain supaya kita boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa dunia lain.

Jangan biarkan orang Melayu merasa terpinggir apabila berada di Ipoh atau di Butterworth.

Ingatlah orang Melayu ini pemurah. Orang Cina boleh hidup selesa dan mewah di kampung Melayu, jangan pula biarkan orang Melayu tercicir dan tersisih di pekan-pekan besar milik anda.

Bagi orang Melayu pula, selagi ada kuasa bersatulah.

Seorang rakan menghantar SMS Tahun Barunya "hati UMNO sudah lama terbuka luas, hati Hadi Awang sudah terbuka untuk muzakarah dengan UMNO. Ayuh bangsaku Melayu demi maruah bangsa dan agama bersatulah demi kelangsungan kuasa di bumi sendiri. Kita diherdik dicaci....sedarlah jika kita lemah layulah Melayu... tiada harapan untuk bangkit lagi."

Oleh itu menjelang tahun baru ini, gunakanlah kuasa yang ada sebaik-baik mungkin - sebelum semuanya terlambat!



Zaini Hassan Utusan Malaysia Rencana 20131225

Kalau, aku, engkau, mereka kaya ... tiada masalah

SEKIRANYA aku kaya, tidak mengapa. Namun di negara bernama Malaysia ini rakyat tidak semuanya kaya. Pelbagai golongan rakyat ada di bumi bertuah ini. Soal mencari kekayaan dan membelanjakan banyak cara boleh dilakukan.

Namun di sebalik mencari wang ia perlu juga dibelanjakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak rohani dan jasmani. Tahun baru 2014 kenaikan dalam beberapa aspek kehidupan menyebabkan ada yang sudah kepanasan hingga ada yang saling tuding-menuding jari.

Dalam menangani masalah kenaikan bayaran tol, tarif elektrik dan taksiran cukai pintu (3T) semua pihak seharusnya bersikap terbuka dan tidak melenting hingga ada yang emosional memasang niat hendak menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah melalui Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.

Di sebuah negeri yang baru-baru ini kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjadi kontroversi, kita lihat kurang pula penyokong kerajaan tersebut yang berasa marah. Tidakkah kenaikan gaji orang atasan akan menyebabkan juga kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam kalangan rakyat marhaen. Sebagai contoh seorang usahawan dan bekerja sendiri pasti akan terasa perit kerana kenaikan pendapatan orang lain selalunya tidak berjangkit kepada dirinya.

Jika kumpulan-kumpulan rakyat yang menentang kenaikan 3T ini berniat untuk mengadakan perhimpunan untuk meruntuhkan kerajaan, ada baiknya anda berfikir semula.

Adakah memprotes boleh mengubah suatu ketetapan yang telah dibuat atas asas-asas dan teori ekonomi yang rumit lagi memeningkan. Memanglah kalau bercakap burung kakaktua pun bijak mengatakan kenaikan tol sebanyak 50 sen tidak patut dan sebaliknya biarlah naik 10 sen atau 20 sen.

Hujah dangkal yang menyebut bahawa kenaikan 3T membebankan rakyat sewajarnya dirasionalkan dengan mencari asbab kepada kenaikan tersebut bukan sekadar membantah dan menimbulkan huru-hara hingga menyebabkan ekonomi menjadi barang pertaruhan. Bagi tarif elektrik pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menguar-uarkan kenaikan tersebut di akhbar-akhbar arus perdana sejak tiga bulan lalu melalui siaran berbentuk iklan.

Sementara itu, kenaikan tol dilihat sebagai tindakan bersifat organisasi hasil perjanjian konsesi yang dimeterai bertahun-tahun yang lalu. Begitu juga kenaikan cukai pintu ia merupakan kenaikan bersifat organisasi dan tidak menyentuh Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) secara langsung.

Pengenalan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) juga menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat yang tidak mahu cukai tersebut dijalankan sebelum ia dilaksanakan. Yang lebih menghairankan cukai belum menjalani ujian masa tersebut pada peringkat tunas sudah mahu dicantas sedangkan tempoh untuk pelaksanaan masih ada berbaki setahun lebih iaitu pada tahun 2015.

Masa yang ada sepatutnya digunakan pihak Kerajaan Pusat untuk memahamkan rakyat yang sering menjadi mangsa penghasut di dunia nyata dan di dunia siber. Pelaksanaan cukai GST dikatakan menguntungkan pengguna maka kita berilah peluang untuk ia dilaksanakan barulah tindakan sesuai diambil bukannya membuat tindakan melulu tanpa usul periksa lagi.

Mutakhir ini, pada kenyataannya rakyat yang kaya hasil daripada perniagaan dan harta warisan tujuh keturunan tidak kisah pun apa barangan atau perkhidmatan yang naik harga. ADUN-ADUN atau wakil rakyat yang naik gaji pun bukan kisah sangat pasal kenaikan 3T tersebut kerana ia merupakan proses yang memerlukan masa untuk melihat kesannya kepada ekonomi setiap isirumah.

Sebaiknya kenaikan 3T mahupun perkara-perkara lain dinilai dengan masa bukannya dengan rasa yang pasti akan membinasakan negara. Justeru, sama ada rakyat mahupun pihak berkuasa dan organisasi perlu memainkan peranan pro-aktif menerangkan kepada golongan yang tidak kaya seperti penulis dan kawan-kawan di sektor kerja sendiri. Memang golongan yang terkesan bila 3T naik adalah golongan yang bekerja sendiri kerana kos tidak menentu.

Golongan miskin pada dasarnya memang tidak menggunakan tol mahupun menonton televisyen LCD hampir sedepa panjang. Cukai pintu pun tidak berapa mahal. Tapi yang akan menggelisahkan mereka pada waktu malam di kala tidur apabila disebabkan kenaikan 3T dan lain-lain akan menyebabkan kos yang mereka perlu tanggung dari segi barangan dan perkhidmatan yang dibeli sekali-sekala akan berubah dari harga semasa.

Kalau golongan pekerja sendiri naik gaji seperti ADUN-ADUN di Selangor, hendak naikkan apa pun tidak mengapa. Namun pada saat ini kalau aku, engkau mereka kaya… tiada masalah nak menyerap kenaikan harga barangan. Namun pada detik ini ia hanyalah kalau semata-mata, kaya belum tentu bila.



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Rencana 20131225

Pencegahan elak kemalangan ulang alik ke tempat kerja

ISU utama keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia adalah perkara berkaitan dengan kemalangan yang melibatkan pekerja yang berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya.

Jumlah kemalangan industri secara umumnya menurun, namun bilangan kemalangan ulang-alik dari tempat kerja yang melibatkan pekerja meningkat sebanyak 38% dalam tempoh lima tahun lalu daripada 19,041 kes kemalangan dengan 1,174 kematian pada tahun 2008 kepada 26,262 dengan 983 kematian pada tahun 2012 seperti yang dilaporkan oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagi tempoh sembilan bulan pertama pada tahun ini, sebanyak 20,225 kes kemalangan ulang-alik kerja telah dilaporkan berbanding dengan 19,344 kes pada tempoh yang sama tahun lepas dan mencatatkan peningkatan sebanyak 7.28 peratus.

Jumlah kes kemalangan maut di Malaysia yang direkodkan amat membimbangkan. Terdapat lebih daripada 6,000 hingga 7,000 kematian setiap tahun untuk beberapa tahun kebelakangan ini di mana mencatatkan sebanyak 18 - 20 orang terbunuh setiap hari.

Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang sebanyak 60% daripada kes kematian dan kebanyakan mereka masih muda dan baru sahaja memulakan alam pekerjaan.

Di Malaysia, berdasarkan laporan daripada Perkeso, terdapat tiga kes kematian berkaitan aktiviti kerja yang dicatatkan setiap hari pada tahun 2011. Dua daripada tiga kematian itu berpunca daripada kemalangan berulang-alik ke tempat bekerja dan keadaan ini semakin serius di negara ini.

Kesan kemalangan ulang-alik kerja adalah jauh lebih besar berbanding dengan kemalangan industri kerana kemalangan seumpama ini selalunya melibatkan pelbagai jenis kecederaan yang jauh lebih teruk dan mengakibatkan trauma yang berpanjangan berbanding kemalangan di tempat kerja.

Di antara masalah yang berkaitan peningkatan jumlah kemalangan berulang-alik dari tempat kerja adalah kerana kurangnya kesedaran dan pendedahan tentang pemanduan selamat dalam kalangan pekerja, kekurangan kursus dan program latihan yang komprehensif dan disasarkan kepada kemalangan ulang- alik, kurangnya input bagi Pengurusan Keselamatan Ulang-alik Kerja serta kekurangan elemen keselamatan jalan raya di dalam Sistem Pengurusan KKP di tempat kerja.

Berdasarkan kepada statistik Perkeso, kemalangan sering berlaku ketika pekerja di dalam perjalanan ke tempat kerja pada waktu pagi. Ini boleh berlaku kerana pekerja di dalam keadaan tergesa-gesa untuk ke tempat kerja. Berdasarkan kepada statistik juga, faktor-faktor lain yang mempengaruhi adalah memandu melebihi had yang ditetapkan, memandu dengan melulu, menghantar mesej dan tidak fokus ketika memandu.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) terlibat secara aktif dalam usaha menggalakkan pihak majikan untuk memberikan latihan yang sewajarnya seperti Program Keselamatan Bermotosikal. Secara tidak langsung, program ini mampu memperbaiki modul latihan akan datang bagi program pemanduan berhemah dan pemanduan defensif bagi motosikal.

Pihak majikan dan pekerja harus bekerjasama dan sentiasa komited untuk mengamalkan amalan keselamatan dan pencegahan bagi mengelakkan kes kemalangan ulang-alik dari tempat kerja.

Majikan mempunyai tanggungjawab moral untuk mengambil pendekatan proaktif bagi menguruskan risiko pekerjaan jalan dan juga untuk melaksanakan Kod Amalan Industri (ICOP) berkaitan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.

Majikan mampu melakukan pelbagai cara di dalam usaha untuk mengubah sikap pemanduan dan tingkah laku pekerja mereka. Majikan boleh membantu merangka pelan perjalanan yang selamat, menggunakan kenderaan yang selamat dan menyediakan latihan untuk para pemandu bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.

Majikan juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pekerja-pekerja mereka dan pengguna jalan raya lain dengan mengamalkan pendekatan pengurusan risiko jalan raya bagi mengawal kerugian perniagaan yang berpunca daripada kemalangan jalan raya 'di tempat kerja', termasuk bukan sahaja kos kemalangan secara langsung, tetapi kerugian waktu bekerja, pembayaran premium insurans yang lebih tinggi dan menjejaskan imej syarikat.

Setiap syarikat yang mengambil tindakan proaktif dengan memberi pendedahan dan galakkan tentang aspek keselamatan kakitangan mereka semasa memandu secara tidak langsung akan dapat membantu penjimatan kos yang besar serta meningkatkan imej syarikat dan memberi sumbangan penting di dalam usaha mencapai sasaran bagi aspek keselamatan jalan raya.

Majikan dan pekerja perlu bekerjasama dan sentiasa komited untuk mewujudkan budaya pencegahan kemalangan ulang-alik bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya kita.



TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Utusan Malaysia Rencana 20131225