December 26th, 2013

Guru sekolah berasrama penuh dibebani dengan banyak tanggungjawab

BEBERAPA orang guru yang mengajar di sekolah berasrama penuh (SBP) agak terkilan dan kecewa apabila mereka dibebankan dengan kerja yang terlalu banyak berbanding dengan guru sekolah menengah biasa.

Mana tidaknya, mereka terpaksa mengajar mulai pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan selalu pula dikenakan mengajar kelas tambahan pada hujung minggu terutama bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia

Inilah hakikatnya yang berlaku kepada guru SBP yang terpaksa berkerja lebih masa daripada guru sekolah menengah biasa sedangkan gaji mereka adalah sama, tetapi tanggungjawab lebih.

Untuk menjaga prestasi sekolah SBP supaya sentiasa cemerlang setiap tahun, guru ini dikerahkan bekerja keras bagi memastikan pelajar mereka mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Mereka juga perlu memastikan SBP ini mempunyai kebersihan dan tahap disiplin yang tinggi selain aktiviti kokurikulum yang sentiasa berada ditahap cemerlang.

Adalah wajar jika pihak Kementerian Pendidikan mengkaji dan memberikan elaun atau imbuhan tertentu kepada guru SBP sebagai satu insentif kerana ketabahan mereka mendidik anak bangsa.



Syed AbdullahUtusan Malaysia Online Forum 20131226

Tetapkan tempoh penempatan guru di pedalaman

Kementerian Pendidikan dikatakan tidak menetapkan sebarang tempoh tertentu bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman.

Namun, elok jika ditentukan suatu tempoh perkhidmatan yang munasabah di kawasan pendalaman bagi seseorang guru supaya kita berlaku adil.

Tidak timbul masalah kekurangan guru jika diamalkan sepenuhnya peraturan ikut giliran. Guru yang baharu menamatkan pengajian ditempatkan di kawasan pedalaman untuk menggantikan guru yang memohon bertukar terutama yang sudah memenuhi tempoh mengajar di pedalaman.

Memang benar guru boleh memohon bertukar setiap tahun, namun dasar penempatan guru di pedalaman akan menjadi lebih jelas dan telus.

Guru boleh merancang dalam mengemukakan permohonan pertukaran. Mungkin ada guru berjaya menyesuaikan diri atau guru tempatan dan bersedia berkhidmat di pedalaman lebih lama dari tempoh yang ditetapkan.

Elaun khas mengajar di pedalaman bukan menjadi daya tarikan utama guru. Yang penting penetapan tempoh mengajar di pedalaman yang tidak terlalu lama boleh mendorong guru bersikap lebih terbuka dan bersedia ditempatkan di kawasan pedalaman.


ZIN MARKAM Pontian, Johor Utusan Malaysia Online Forum 20131226