January 5th, 2014

Mengapakah azam kita selalu tidak tercapai?

KITA sudah pun masuk ke tahun baharu. Biasanya tahun baharu akan diikuti dengan azam baharu. Rata-ratanya antara kita apabila masuk tahun baharu akan mempersoalkan adakah azam kita pada tahun lepas telah tercapai, atau masih tercicir menjadi azam yang tidak kesampaian? Mengapakah kita tidak mendapat apa yang kita azamkan?

Apabila kita berazam ada dua situasi yang perlu kita pastikan. Pertama, adakah kita berazam atau menyimpan azam itu dalam “minda sedar" (fikiran)? Kedua, adakah kita berazam atau menyimpan azam itu dalam “minda bawah sedar"/"minda segar" (hati/roh) kita?

Jika kita mengambil situasi yang pertama, menyimpan azam kita dalam “minda sedar" (fikiran), bermakna akal kita yang analoginya seperti CEO/bos, akan menghantar arahan kepada “minda sedar" (fikiran) untuk melakukan apa-apa perkara yang menjadi keazaman kita itu.

Akal atau fikiran kita pula akan bertindak dalam dua cara. Pertama, mengikut pilihan sendiri (pilihan hati). Kedua, dipengaruhi oleh faktor luaran atau persekitaran (apa-apa yang kita dengar, tonton dan alami sama ada dalam bentuk positif atau negatif). Sebab itulah bagi orang yang menyimpan azamnya dalam “minda sedar", biasanya sukar untuk dia mencapai keazaman yang berkobar-kobar pada peringkat awal (menjelang tahun baharu dengan azam baharu), kerana faktor pengaruh persekitaran banyak mengganggu-gugat dan menukar arah hala tuju hidupnya.

Kerana itulah lama kelamaan semangat untuk menggapai cita-cita dan keazaman semakin memudar dan padam pada akhir tahun. Lazimnya apabila muncul tahun baharu kita akan memulakan azam baharu dengan persoalan yang berlegar-legar di minda kita akan tercapaikah azam kita kali ini, atau akan berlaku hal yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Jika kita mengambil situasi kedua, menyimpan azam kita dalam “minda bawah sedar"/"minda segar" (hati/roh) kita, situasi ini lebih selamat, dan biasanya peratusan untuk tercapai segala keazaman kita adalah sangat tinggi. Hal ini adalah kerana apabila keazaman itu datang dari hati, roh dan emosi, kita menjadi begitu tinggi dan bersemangat. Fikiran pula akan memikirkan atau menyaringkan segala perasaan yang datang dari hati untuk bertindak. Sesungguhnya manusia boleh memilih apa-apa yang dimahukan dalam hidup ini dan menyaring keputusan sebelum melaksanakan tindakan.

Oleh sebab itu "reset minda" mengenengahkan formula konsep pemikiran seperti berikut, "Fikiran menghasilkan emosi - emosi menghasilkan tindakan - tindakan menghasilkan hasil kehidupan (kebahagiaan, ketenangan, kesihatan dan kekayaan). Jika seseorang itu berfikiran positif maka emosinya positif, tindakan positif dan hasil positif. Sebaliknya, sekarang ini kebanyakan manusia bermula dengan melihat apa yang mereka ada sekarang iaitu melihat keputusan kehidupan mereka, mereka tidak tenang, susah, sakit dan sebagainya. Keputusan negatif ini mempengaruhi fikiran mereka menjadikan fikiran negatif, emosi negatif, tindakan negatif dan hasil lagi negatif, berlaku kitaran ganas. Jadi kita nak reset daripada bermula dengan keputusan kepada bermula dengan fikiran yang positif dahulu. Sebab itulah keazaman yang datang dari hati lebih berpotensi akan berjaya berbanding dengan keazaman yang hanya ada dalam fikiran kita sahaja.

Dalam kehidupan ini yang paling penting dijaga ialah “minda bawah sedar"/"minda segar" (hati/roh) kita, kerana ia menentukan sikap dalam kehidupan manusia untuk mencapai hasil kehidupan. Tip untuk mencapai kejayaan dalam hidup khususnya dalam mencapai keazaman adalah dengan cara selalu berkomunikasi dengan “minda bawah sedar"/"minda segar", dengan cara menggunakan kata-kata yang mudah, ringkas dan positif. Selalu katakan dalam hati contohnya, “saya boleh buat", “saya pasti berjaya", “saya akan dapat" (pilih kata-kata positif sahaja yang boleh membangkitkan semangat dan memberikan emosi segar kita). Minda bawah sedar yang sentiasa segar, akan sentiasa mendengar arahan kita yang cuba kita imaginasi dan bayangkan dalam fikiran melalui bisikan hati yang positif.

Sebab itulah hasil kehidupan kita bukan bergantung pada fizikal, tetapi bergantung kepada bagaimana kita menggunakan fikiran kita. Sebab itu orang yang bijak ialah orang yang pandai menggunakan fikirannya. Bukan orang yang pandai menggunakan fizikalnya. Hasil kehidupan yang positif akan dapat dikecapi oleh orang yang pandai menggunakan fikirannya (“minda sedar") dan pandai mengawal hati/emosi (“minda bawah sedar"/"minda segar").

Kegagalan mencapai apa-apa yang kita azamkan itu bukan bermakna kegagalan dalam kehidupan kita. Sebenarnya tiada istilah gagal dalam hidup ini. “Kegagalan" ini muncul dalam minda kita, iaitu apabila kita “melabelkan" sesuatu perkara atau kejadian yang berlaku dalam hidup kita sebagai satu kegagalan. Setiap perkara yang berlaku kepada kita, baik yang positif atau negatif adalah pengalaman serta satu pembelajaran kepada kita. Tidak ada istilah “kegagalan" dalam kehidupan, apabila kita menganggap sesuatu perkara yang tidak berjaya dicapai itu, cuma suatu “kejayaan tertunda", kerana belum sampai masanya, dan mesti percaya semuanya yang berlaku adalah dengan takdir Allah.

Faktor kekuatan dalaman sangat penting dalam diri seseorang, kerana kekuatan dalaman itulah yang menentukan faktor luaran seseorang. Jika seseorang berfikir positif, maka reaksi tindak balas luaran mereka juga positif, begitu juga sebaliknya. Sebagai contoh, jika kita yakin kita akan berjaya dengan semangat keazaman baharu kita, orang di sekeliling kita juga meyakini kesungguhan kita dalam mengejar matlamat dan keazaman kita. Jika hati kita sendiri tidak yakin, orang lain juga akan memperlekehkan dan mematahkan semangat kita. Kita mesti yakin dengan diri sendiri dan jangan terpengaruh dengan orang di sekeliling kita.

Orang yang hanya suka mengikut orang lain tetapi tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri ialah orang yang tidak berjaya. Orang yang paling berjaya ialah orang yang yakin dan berusaha dengan satu sistem kehidupan pilihannya yang dibuat tanpa terikut-ikut dengan orang lain.

Kita hendaklah yakin dengan Allah SWT. Allah akan membantu setiap apa yang kita lakukan, jika kita bersangka baik kepada-Nya. Apabila kita berasa sesuatu perkara itu dibuat dengan mudah, maka emosi dan tindak balas kita juga akan mendapat keyakinan yang tinggi dan dengan mudah kita akan berjaya dalam kehidupan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".



Dr. Muhaya Mohamad http://Famili.celikz.com Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Ratu Oleokimia Malaysia

WE must have vision to see our potential, And faith to believe that we can; Then courage to act with conviction, To become what God meant us to be!"

Inilah kata-kata yang menjadi pegangan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr. Salmiah Ahmad yang boleh digelar Ibu Oleokimia Malaysia.

Dilahirkan di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Dr. Salmiah dan kakaknya dibesarkan oleh seorang ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal.

"Ketika itu hidup memang susah, kalau dapat makan lauk tauge dah kira mewah," katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Penanti aliran Melayu.

Beliau kemudian bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam sebelum berpindah ke Kolej Tunku Kurshiah selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Lower Certificate Education (LCE).

Selepas mendapat keputusan yang cemerlang dalam Malaysia Certificate Education (MCE) Dr. Salmiah melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) dalam bidang kimia sehingga ijazah sarjana dalam bidang kimia organik.

DR. Salmiah Ahmad (kanan) melihat mesin menoreh getah ARTS sambil diberi penerangan oleh
Ketua Unit Reka Bentuk Produk, Dr. Nazirah Ahmad (kiri) dan pegawai penyelidik Lee Jiang Joon (tengah).


"Di sana saya mendirikan rumah tangga dan pada tahun 1981 saya balik ke Malaysia dan bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM)," katanya.

Apabila suami berpindah kerja ke Kuala Lumpur, Dr. Salmiah bertukar sebagai Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) sehingga 2010.

"Bagaimanapun langit tidak selalu cerah apabila jodoh dengan suami tidak panjang setelah mempunyai seorang anak.

"Malangnya jodoh ke dua juga tidak kekal lama. Bagi mengubat luka, saya menjadi wanita workaholic dan pada masa yang sama ibu banyak bergantung dengan saya," katanya.

Semasa di PORIM juga, Dr. Salmiah melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD dalam bidang kimia fizikal serta Degree Exec MBA.

Di PORIM, Dr. Salmiah menjalankan kajian berkaitan oleokimia sehingga boleh digelar, Ibu Olekimia Malaysia.

Beliau juga bertanggungjawab mengasaskan Oleochemical Technology Centre atau Pusat Teknologi Oleokimia (AOTC) di PORIM bagi menghasilkan pelbagai produk hiliran sawit.

Pelbagai jenis barangan siap dapat dihasilkan daripada oleokimia seperti bahan pencuci, kosmetik, pelincir, aditif, plastik, bahan bakar, farmaseutikal, bahan kimia untuk industri dan pertanian.

Terhad

Produk-produk lain termasuk makanan haiwan, cat polimer, bahan campuran makanan, alat pemangkin pemprosesan dan sebagainya.

"Ketika bertugas di PORIM, masa saya amat terhad kerana memberikan sepenuh komitmen kepada kerja.

"Masa lapang hanya untuk ibu dan anak kesayangan yang memberi semangat kepada saya," katanya yang gemar menonton filem Hindustan, memasak dan membeli-belah dengan keluarga.

Seperti ahli kimia, berikutan minatnya yang mendalam dalam bidang masakan, Dr. Salmiah gemar memasak dan menukar resipi yang ada sehingga mendapat apa yang diinginkan.

"Mungkin ini juga warisan daripada arwah ibu yang pandai memasak dan menjual kuih selain menanam padi untuk menyara hidup kami sekeluarga," katanya.

Walaupun gila bekerja tetapi sejak menerima cucu awal tahun lepas, beliau kini lebih banyak menghabiskan masa bersama-sama cucu kesayangan.

"Kini kami sering menghabiskan masa bercuti dengan keluarga sejak ada cucu," katanya yang bertanggungjawab menjaga arwah ibunya semasa sakit.

Dr. Salmiah menyifatkan anaknya juga workaholic atau kuat bekerja sepertinya tetapi lebih cenderung kepada bidang seni.

Bercerita mengenai tugasnya sebagai Ketua Pengarah LGM, Dr. Salmiah berkata, "Saya amat bersyukur dengan pencapaian dan saya tidak sangka akan sampai ke tahap ini".

"Tetapi memulakan tugas di tempat baru memang mencabar," katanya.

Dr. Salmiah memulakan perancangan dengan objektif mengembalikan kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di LGM.

"Saya menetapkan semua pegawai penyelidik perlu mempunyai dua projek penyelidikan setahun," katanya.

Bagi Dr. Salmiah walaupun latar belakangnya banyak terarah kepada minyak sawit tetapi baginya getah adalah sesuatu yang unik.

"Saya berharap dapat menjadikan LGM bertaraf dunia selain mengembalikan kecemerlangan institusi berkenaan seperti sebelumnya," katanya.

Namun begitu, Dr. Salmiah senantiasa bersyukur dengan kejayaannya sekarang walaupun pada asalnya hidup susah bersama ibunya tetapi berjaya mendaki ke puncak dengan menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam.



KHAIRUNNISA SULAIMAN nisa.sulaiman@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Kisah perempuan dan Facebook

BRO memang dah lama tak buka Facebook, sebab Bro menyampah baca macam-macam tulisan dalam tu, khususnya apabila dihantar oleh puak perempuan. Bagaimanapun Bro tetap juga dapat maklumat apa yang selalu perempuan tulis dalam Facebook.

Bro tak nafikan ada yang tulis perkara bermanfaat tetapi majoritinya perempuan menjadikan Facebook untuk mereka mencurahkan perasaan sehinggakan ‘melantak’ (makan) pada awal pagi pun nak tulis.

Kadang kala Bro rasa perempuan yang mencurahkan segala-galanya, tak kisah dalam soal apa sekali pun kat Facebook ini ada masalah jiwa. Oklah, Bro tak kisah kalau hendak posting gambar makanan yang dimasak atau apa yang hendak dimakan biarlah, perempuan memang macam tu, bangga tak bertempat, seronok tak kena gaya.

Tetapi yang Bro pertikaikan ialah perempuan yang menjadikan Facebook atau Twitter tempat melepaskan geram mereka, kalau bergaduh dengan suami, bekas suami, teman lelaki atau bekas teman lelaki. Bagi Bro, perempuan macam ini tak matang sebab tak tahu bagaimana hendak menguruskan masalah.

Itu belum lagi mengambil kira perempuan yang ada penyakit nak komen apa sahaja yang kawan-kawan mereka tulis, termasuklah bertindak menjadi penghasut dan batu api.

Bro fahamlah perempuan memang emosional tetapi kadang kala emosional mereka melampau sangat sehingga perkara peribadi pun ditulis dalam Facebook. Kadang kala yang sepatutnya menjadi rahsia suami isteri pun dicoretkan dalam laman sosial tu sehingga satu dunia pun tahu.

Ada perempuan buat macam tu sebab dia hendak membanggakan diri kononnya suaminya hebat atau mereka pasangan suami isteri paling bahagia di dunia dan ada pula perempuan yang buat macam tu kerana hendak melepaskan geram kepada suami. Inilah masalah perempuan mereka tak tahu bagaimana hendak menguruskan masalah.

Sepatutnya, kalau ada masalah selesaikan secara berhemah tak kiralah dengan suami ke, bekas suami ke, teman lelaki atau bekas teman lelaki, bukannya semuanya hendak didedahkan dalam Facebook. Lepas tu mereka bangga bila ada kawan-kawan bagi respons dan sokongan, apa lagi makin naik tocang la puak-puak perempuan tak matang ini.

Paling kelakar ada yang tulis menggunakan bahasa kiasan bagi menyindir orang-orang yang rapat dengan mereka. Dan ada pula suka sangat hantar pesanan atau nasihat yang dia sendiri tidak amalkan. Tapi biasalah perempuan memang cakap tak serupa bikin.

Lelaki pun ada masalah tetapi lelaki lebih bijak dan jauh lebih matang daripada perempuan, mereka tidak akan paparkan dalam Facebook, cuba tengok apa ada dalam Facebook lelaki, pasti tidak membosankan berbanding Facebook perempuan. Kalau tengok Facebook perempuan, Bro nak gelak pun ada, nak nangis pun ada sebab nampak sangat mereka tak matang.

Paling menyampah Bro baca, tulis kat mana dia berada atau sampai, entah apa yang hendak dibanggakan entah. Oleh lain pun sampai merata-rata tempat juga tapi tak ada la pula nak tulis kat Facebook.

Jadi sempena Tahun Baharu 2014 ini, Bro harap puak-puak perempuan ini ubah perangai, tak payah nak tulis bukan-bukan dalam Facebook. Jadilah perempuan yang matang sikit, sesetengah tu dah beranak pinak tetapi perangai macam budak-budak, gaduh sikit tulis kat Facebook, sampai nak muntah kita baca.

Gunakanlah Facebook itu dengan sebaik-baiknya, tak apalah kalau nak promo makanan atau perniagaan, itu Bro tak ada masalah biar pun Bro malas nak baca tetapi janganlah post perkara-perkara yang sulit dan paling membosankan seolah-olah kitalah makhluk paling baik di muka bumi Allah ini.

Walaupun Bro tahu kaum perempuan ini memang cepat perasan dan tak boleh kawal perasaan tetapi sempena tahun baharu yang mengesahkan umur kita meningkat, maka belajar untuk menjadi matang biar pun Bro faham perempuan susah nak mematangkan diri. Ada antara mereka dah berumur tetapi masih lagi perangai macam budak tak cukup umur, buat apa pun dengan tujuan nak tarik perhatian orang, kasihan pulak Bro tengok.

Lagi pun Bro nak nasihatkan memaparkan perkara yang sepatutnya menjadi rahsia dalam rumah tangga atau kehidupan harian kita adalah perbuatan tidak bijak, atau orang kampung Bro kata, ‘‘awat hang bodo sangat’… Oleh itu jadilah perempuan yang bijak dan matang, walaupun ramai perempuan tidak berupaya mencapai ‘darjat’ ni sepenuhnya. JUMPA LAGI

- BRO TOMPOK Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Sabri Yunus sang sutradara

Di negara kita, kerja yang paling mudah sekali ialah jadi pengarah drama. Siti tengok siapa sahaja boleh jadi pengarah. Asalkan boleh pekik “camera roll...action....cut" layaklah jadi pengarah drama. Disebabkan laluannya mudah jadi sedikitlah yang berkualiti sebagai pengarah atau sutradara, kata orang Indonesia.

Ada orang kata, kalau baling batu mesti jatuh atas kepala mereka yang “bergelar" pengarah drama. Banyak sungguh. Dan banyak juga drama yang sungguh teruk.

Kerana peluang menjadi pengarah drama terbuka luas, muncullah Sabri Yunus. Banyak orang kenal Sabri sebagai pelawak tapi sebenarnya dia seorang pelakon. Ada watak komedi ada watak gedebe macam dalam filem Jogho.

Sekarang Sabri bukan sahaja “bergelar" pengarah drama, malah pengarah yang sangat berpotensi di negara ini. Setakat ini kalau tak silap sudah lapan drama telefilem yang dihasilkan, tujuh sudah siar dan satu akan disiarkan.

Dimensi

Sabri memberikan dimensi tersendiri dalam pengarahan dan sebahagian besar dia turut menulis lakon layar dan cerita asal. Dari segi subjek dan struktur naratif, tujuh drama yang telah disiarkan memperlihatkan tandatangan Sabri.

Dia bermula dengan drama Sanggul Berdarah, Parut Asyikin, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Sorok Bau Budu, Sebuah Piala Seekor Kambing, Vespa Sharif Dol, Asyura dan yang akan disiarkan ialah Olong.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Asyura adalah adaptasi naskhah pentas karya Johan Jaafar. Asyura dari pentas dan pernah menjadi drama dalam slot Drama Minggu Ini (DMI) di RTM pada awal 1980-an.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman adalah sebuah novel karya Sasterawan Negara Anwar Ridhuan. Siti fikir tidak ada penerbit atau pengarah yang akan mengadaptasi novel ini kerana bukan dari laras novel I Love You Mr Arrogant, Playboy itu Suamiku atau Ombak Rindu.

Jangan silap faham pula, I Love You Mr Arrogant itu bukan novel Inggeris, itu novel Melayu cuma judulnya Inggeris. Salah satu sebabnya tentulah judul bahasa Melayu tidak melambangkan kemajuan dan kemodenan.

Sabri mampu memberikan kelainan dan kesegaran ketika drama televisyen kita menuju zaman suram. Bagi Siti, Sabri juga telah mengangkat maruah kepada drama Melayu ketika terjatuh dalam kecelaruan antara memburu rating dan nilai. Sebahagian besar drama Melayu lebih kepada gambar bergerak daripada memancarkan wacana sosial.

Dalam kegilaan penerbit, pengarah dan stesen televisyen melonggokkan drama yang meminjam fantasi sosial di luar kotak sosiobudaya setempat, Sabri kembali ke dalam dan mengungkapkan pemikiran Melayu yang sesetengah pihak “malu" untuk memikirkan tentangnya.

Ketika banyak drama Melayu memilih lokasi di luar negara menjejaki filem Bollywood yang sudah malu dengan lokasi di India, Sabri kembali ke kampung dan pendalaman. Siti percaya kalau dari kayu ukur sesetengah penerbit dan pengarah, drama arahan Sabri tak vouge. Sebabnya dia bukan excapist yang membawa penonton lari daripada realiti.

Drama-drama arahan Sabri mengemukakan wacana dari galur cerita yang tidak melodrama. Tidak ada sedu sedan untuk memagut simpati penonton. Yang ketara tidak ada pesanan atau khutbah yang didaktik untuk memberi “mesej" kepada penonton. Kalau nak cari mesej baca telegram saja.

Siti secara peribadi tertarik dengan drama Parut Asyikin, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Sorok Bau Budu dan Sebuah Piala Seekor Kambing. Sebabnya drama-drama ini bukan berdrama dengan plot yang bersimpang siur tapi mendekati gaya simplycity. Tapi banyak pengarah dan penerbit tak suka gaya ini kerana mereka masih di takuk lama, asal drama mesti berselirat plot dan sub-plot.

Barangkali sebab itulah semua drama-drama arahan Sabri setakat ini hanya diterbitkan oleh syarikat produksi Balang Rimbun. Mungkin penerbit dan pengarah sudah satu kepala dan mereka dapat mencipta keserasian.

Apabila Siti tengok cara Sabri berkerja, berfikir dan memerah otak, rupanya nak “bergelar" pengarah jauh lebih mudah berbanding menjadi pengarah. Kerana itu teori auteur oleh Andre Bazin meletakkan pengarah berada pada kedudukan tertinggi. Mungkin yang “bergelar" pengarah jauh lagi kot.

SITI JARUM: Tahniah.



Siti Jarum Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

10 hal takkan jadi tahun ini

AZAM? Bosanlah. Setiap awal Januari, orang sibuk bertanyakan azam. Tidak salah memasang azam, tidak juga salah menjelang 1 Februari anda sudah lupa butiran azam yang dilafazkan. Tidak salah sebab itu azam anda. Tak menjejaskan tidur saya.

Oleh kerana bercerita mengenai azam tahun baharu adalah sesuatu yang maha membosankan, maka hari ini saya persembahkan:

10 hal yang saya jangka tidak akan berlaku tahun ini

1 - Manchester United menjuarai Liga Inggeris

Ramai penyokong MUFC beranggapan dengan pemain handal seperti Robin van Persie dan Wayne Rooney yang pernah bermain di bawah Sir Alex Ferguson, pasti mudah bagi David Moyes melakar kejayaan. Nampaknya tidak. Benar musim masih panjang dan MUFC mampu bangkit menjelang Mei ini. Tetapi calon pilihan kesukaan ramai, Manchester City dan Arsenal tidak pernah kalah di stadium sendiri sebanyak empat kali.

2 - Berhenti minum Starbucks

Pertama kali saya diperkenalkan kepada Starbucks ialah pada tahun 2000 di Tokyo. Populariti francais kopi ini begitu terasa kerana hampir setiap jalan utama wujud kedai- kedainya. Waktu itu saya tidak pandai minum kopi. Maklumlah berasal dari negeri bekas dinaungi Raja Brooke, maka teh adalah minuman ruji. Ada sesuatu yang luar biasa pada Starbucks ketika itu. Tiap kali berjalan di hadapan kedai, ada bau kopi yang sangat sedap. Lalu dicuba kopi tersebut. Mujurlah disebabkan tidak pandai minum kopi dan tidak sanggup menanggung kos tukaran Ringgit kepada Yen yang tinggi, maka tidak teruja dengan kopi mahal ketika itu. Beberapa tahun kemudiannya, Starbucks bertapak di Malaysia. Beza kedai Starbucks di negara ini, tidak kuat bau. Mungkin kerana ramai lebih suka ice blended.

3 - Penurunan harga barangan

Atas apa faktor sekali pun, baik oleh pasaran dunia atau tempatan, yang jelas harga barangan makin mahal terutama di bandar-bandar besar. Impaknya sangat terasa hinggakan mahu menonton wayang pun terasa perit. Tiket memang sengaja mahal, belum dicampur lagi membeli popcorn dan air minuman. Boleh melayang RM25 seorang. Kalau pergi berteman, nescaya habis RM50. Ini belum kira aktiviti karaoke. Maka kita di bandar ini nak beriadah macam mana? Nak main bola? Padang pun tiada. Futsal? RM80 sejam tapi nak cari korum 10 pemain pun susah. Mungkin masa sesuai untuk berhijrah ke bandar kecil supaya dapat menikmati nilai sebenar gaji.

4 - Menamatkan akaun Facebook

Apa lagi nak dibuat dalam Facebook? Mengepos pernyataan, luah perasaan, siar gambar selfie dan gambar makanan, kongsi nasihat entah dari mana sumber, Like sekadar nak ambil hati, unfriend bila disindir pedas, kumpul kawan beribu-ribu tapi benar-benar kenal hanya sembilan orang. Dan saya sudah tidak mengemaskini akaun Facebook sejak Oktober lepas. Itupun setelah mematikan rangkaian dengan Twitter. Nak tutup sama sekali, risau pula kehilangan hubungan sahabat-handai (yang sembilan orang itu). Biar dululah.

5 - Rancangan lawak jenaka menampilkan pelawak baharu

Sebenarnya saya yang kena lawak sebab tidak faham format. Mati-mati saya ingatkan peraduan di musim baharu akan ada kumpulan baharu. Tapi rupa-rupanya di kitar semula. Alangkah bagusnya kalau dibuat sama seperti Liga Juara-juara. Misalnya juara lawak Malaysia, bertanding dengan juara Singapura dan Indonesia. Sebab dalam format sekarang, peraduan itu seolah-olah menggambarkan hanya kumpulan yang sama sahaja paling layak mewakili negara masing-masing. Tetapi siapa kita nak pertikaikan? Tengok dan gelak sahajalah.

6 - Beli Mercedes-Benz

Saya meminati kereta ini bukan kerana hendak dipandang sebagai orang kaya. Sebab kalau tujuan itu, saya akan beli Hummer. Enjin besar, tangki minyak besar. Bila memandunya, saya kena berpakaian macam Rappers. Bila berhenti di simpang lampu isyarat, saya buka tingkap supaya orang sebelah boleh dengar lagu ‘HAVOC!' yang saya pasang sekuat-kuatnya. Maklumlah, orang yang benar-benar kaya sahaja mampu membeli dan menyenggara Hummer. Tetapi saya pilih Mercedes-Benz kerana saya mengerti kereta ini serba-serbi hebat dan dibina dengan penuh ketelitian. Cuma harganya saya tidak mampu bayar. Walau sudah diberi potongan harga istimewa tanpa cukai apa sekali pun, saya tetap tidak mampu. Toyota Camry pun tak.

7 - Tiada lagi filem bercorak gengster

Ironi sudah semacam tidak relevan lagi. Tatkala pasukan keselamatan negara gigih melancarkan Ops Cantas bagi membanteras kumpulan gengster di negara ini, makin galak pula produksi filem tempatan menerbitkan filem genre sebegini. Kita ingatkan penerbitan filem sebegini bermusim. Bila satu filem gengster meletup di pawagam, semua produksi lain pun ikut sama. Tetapi yang berlaku ialah semacam tidak berhenti-henti. Ini menyebabkan lambakan filem gengster (dan filem hantu) yang tiada kesudahan. Lagi sedih, balik-balik orang yang sama jadi gengster (dan hantu).

8 - Kulit udang dalam mi kari siap dikupas

Baiklah. Saya mengaku. Saya sudah sebut perkara ini minggu lepas. Dan ada peminat Masterchef menjawab saya dengan berkata ‘kalau udang sudah siap dikupas kulitnya, tidak akan sama rasanya’. Mungkin betul. Tapi saya mahu jawapan yang praktikal. Lihat mangkuk mi di hadapan anda sekarang. Penuh kuah, kan? Tarik mi guna penyepit atau garpu, tiada masalah. Sekarang, ambil udang. Buat keputusan waras. Awak nak mengupas kulitnya dengan jari, sekaligus mengotorkan jari anda? Atau makan dengan kulitnya sekali? Atau alangkah bagus jika udang itu sudah siap dikupas kulitnya.

9 - K-Pop diharamkan

Makin galak, makin kerap stesen radio Melayu menyelitkan lagu-lagu Korea. Kalau di televisyen, boleh juga membaca terjemahan The Running Man. Bolehlah sama-sama ketawa dengan telatah slapstik Yoo Jae-suk. Tetapi dalam radio, mana ada terjemahan. Hairannya, lagu-lagu pop Korea itu tetap mencatat markah tinggi dalam carta mingguan. ‘‘Nan ihaega an dwaeyo’'.

10 - Rakam album rock bersama Amy Search

Saya tidaklah obses kepada kumpulan rock Search walaupun hakikatnya album pertama Search diterbitkan semasa saya di tingkatan 1. Dalam erti kata lain, memang saya ‘membesar’ dengan lagu-lagu Search. Saya berkesempatan bertemu Amy Search baru-baru ini, dan sejak itu menjalin persahabatan sebagai seorang peminat dengan Rock Star. Semasa sekolah dulu-dulu, memang ada angan-angan nak jadi anggota Search dan ‘bikin album’. Sekarang pun, rasanya Amy Search akan kata ‘teruskan berangan- angan’.


Johardy Ibrahim johardy@twitter.com Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Kaduk naik, junjung menanti rebah

SEJAK beberapa tahun ini umat Islam, kumpulan majoriti di negara ini menahan sabar. Hanya dalam kurun ini, umat Islam dicabar sebegitu rupa. Dulu-dulu tidak sebegini berat cabarannya, Begitu besar gelombang propaganda dan agenda tersembunyi yang tujuannya mahu melemahkan Islam perlu dihadapi.

Hanya tahun-tahun kebelakangan ini kata-kata mufti dipermainkan bahkan diejek-ejek sesuka hati. Hanya mutakhir ini, nafsu liar kumpulan tertentu mahu mengubah Perlembagaan negara semakin menggelegak dan mengapung di permukaan.

Asakan itu seperti sudah tiada batasnya. Tetapi kerana terdidik dalam kehidupan saling toleransi dan sederhana dalam bersikap, apa jua asakan dan cabaran dihadapi dengan penuh bijaksana dan tertib. Maka, Malaysia kekal dalam keadaan harmoni dan makmur.

Menjaga keharmonian dan kemakmuran itulah yang menjadi asas kepada tindakan JAIS merampas 351 naskhah Bible yang mengandungi kalimah Allah di premis Persatuan Bible Malaysia, Petaling Jaya. Jika mahu diukur tahap sensitiviti, JAIS boleh dianggap sebagai pihak yang paling sensitif.

Amat jarang agensi itu melakukan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan walaupun umum mengetahui tentang penyebaran ajaran bukan Islam secara terbuka dan meluas terutama di Selangor. Kali terakhir ialah pada Ogos 2011, lebih dua tahun lalu di Gereja Methodist Damansara Utama untuk menyiasat maklumat tentang gerakan tersusun kumpulan tertentu bagi memurtadkan orang Islam.

Tindakan itu telah menimbulkan polemik besar dan dipolitikkan. Kali terakhir berita mengenainya ialah kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada kerajaan negeri pimpinan PKR dan sehingga kini belum ada kata putus. JAIS belajar daripada pengalaman itu.

Memetik kenyataan Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mei lalu bahawa serbuan itu dilakukan berikutan terdapat usaha untuk memesongkan akidah orang Islam oleh gereja tersebut.

Bukti-bukti itu, menurut Marzuki, diperoleh selepas pemerhatian dan siasatan dibuat oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS selama tujuh bulan. Kenyataan itu dibuat oleh beliau semasa memberi keterangan dalam kes saman fitnah UMNO Selangor terhadap Pas kerana mengaitkan UMNO dalam serbuan itu.

Situasinya kini juga hampir sama. Serbuan JAIS Khamis lalu itu digembar-gemburkan sebagai memalukan, satu kesalahan serta kesilapan besar. Pemuja hak asasi dan penganut totok liberalisme pula menambah kegusaran dengan kenyataan-kenyataan berbentuk adu domba.

Mereka hanya memandang sisi populis sahaja. Mereka tidak mempertimbangkan langsung perasaan suara majoriti yang telah lama menahan sabar. Mereka sekali lagi menyalahkan JAIS. Anggota penguat kuasa dituduh kasar.

Kerajaan negeri pula mengaku tidak diberi maklum. Sepatutnya kerajaan negeri terutama Exco yang menjaga hal ehwal agama berasa malu kerana tidak peka dengan apa yang berlaku dalam persekitaran dan tanggungjawabnya. Rupa-rupanya mereka tidak cekap dan mesra.

Malangnya kumpulan yang menggunakan label hak asasi dan liberalisme ini semakin popular. Mereka bijak dan licik menggunakan ruang awam untuk membentuk persepsi masyarakat. Kali ini, mereka cuba memomokkan institusi Islam yang menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Terpesong

Mereka seperti sengaja memancing emosi dengan mengemukakan maklumat-maklumat yang diada-adakan. Sedarlah, mereka tidak lebih hanya satu kumpulan minoriti yang dicipta menjadi alat untuk tujuan politik. Jadi, abaikan ajakan-ajakan mereka yang terpesong itu.

Yang hairannya mereka tunduk lesu semasa Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) membuat tuntutan yang sebahagiannya bertentangan dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva baru-baru ini.

Mereka membisu semasa Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew menggesa gereja-gereja katolik di Selangor untuk terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan sedangkan isu penggunaan kalimah Allah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain, selain daripada umat Islam pada Oktober lalu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri malah terpaksa campur tangan dengan menitahkan semua rakyat khasnya di Selangor tanpa mengira kaum serta latar belakang agama akur dan patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah bagi mereka yang bukan beragama Islam.

Tetapi semua itu seperti tidak diendahkan. Tidakkah sikap dan tindakan seperti itu yang sebenarnya mencabar pihak berkuasa, keputusan mahkamah serta mempermainkan emosi majoriti umat Islam?

Mereka juga loyo apabila ada wakil rakyat mahu mencadangkan pindaan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988. Tidak pula mereka bergegas menyifatkan cadangan itu berbahaya dan bakal memberi implikasi buruk kepada negara.

JAIS dan enakmen inilah yang selama ini mengawal negeri ini daripada unsur perpecahan dan perselisihan agama. Mengapa sekarang, setelah `pihak ini’ diberi sedikit kuasa baru menyatakan enakmen itu terpesong daripada Perlembagaan?

Tidak lain, mereka seperti sengaja menjolok sarang tebuan yang sebenarnya telah dilakukan berkali-kali demi menjayakan misi besar. Dan, tidak sukar untuk meramal apa misi itu.

Mujurlah majoriti rakyat negara ini masih kental dengan sifat toleransi. Cuma, wahai politikus pakatan pembangkang yang kini mengurus kerajaan negeri Selangor dan penganut hak asasi manusia, jangan berterusan menjadi seperti kaduk naik junjung.

Jangan lupa diri dan mabuk untuk terus melebarkan kuasa politik sehingga melanggar batas yang telah dipersetujui dan diperakui bersama. Jangan lupa jika junjung yang kaduk tumpang terus diasak dan dicabar boleh patah dan akhirnya rebah.



Zulkefli Hamzah warungrakyat. mingguan@gmail.com Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

PRU-13: Mengapa BN kehilangan undi Cina

1 - PERANAN RED BEAN ARMY (RBA)

RBA merupakan ejen utama dalam mempengaruhi, meracuni dan mencuci minda masyarakat Cina dalam membenci kerajaan. Golongan ini bukan sekadar cybertrooper yang biasa seperti tentera-tentera siber pihak Barisan Nasional (BN). Modus operandi mereka amat strategik dan terancang dengan psywar berkesan. Pasaran Internet masyarakat Cina hampir dimonopoli dengan laman media dan Facebook Page RBA. Mereka sangat kejam tetapi berkesan dalam menakutkan masyarakat Cina untuk menyokong BN. Di samping itu, mereka berjaya mempengaruhi minda masyarakat Cina dengan segala persepsi yang akan memberi keuntungan politik kepada Pakatan Rakyat dan DAP. Oleh itu, RBA adalah penjajah minda dan emosi masyarakat Cina yang amat penting. Agen ini begitu berpengaruh untuk memalsukan apa yang benar dan membenarkan apa yang silap.

2 - Penipuan dan Kelicikan Pakatan Rakyat

Pelbagai janji manis telah dilontarkan kepada masyarakat Cina supaya menyokong perjuangan mereka. Janji perubahan mereka seolah-olah hanya mereka satu-satu jalan keluar kepada masyarakat Cina. Seminggu sebelum kempen pilihan raya bermula, serangan seperti pihak BN akan bermain kotor melibatkan pengundi Bangladesh sudah mula berleluasa. Imej dan persepsi palsu telah berjaya menjajah minda masyarakat Cina seolah-olah pemimpin Pakatan Rakyat adalah bersih dan tidak melakukan rasuah. Selain itu, mereka menakutkan masyarakat Cina dengan menyebarkan fakta palsu bahawa negara Malaysia akan muflis sekiranya BN masih kekal berkuasa.

3 - Peranan PACABA

Ramai penganalisis politik tidak mengambil kira faktor PACABA (polling agent) sebagai salah satu punca kekalahan undi dan sokongan masyarakat Cina. Badan pemikir Pertubuhan Hak Belia Malaysia berjaya mengetahui pengaruh PACABA sebagai satu ejen yang sangat penting dalam penurunan sokongan masyarakat Cina secara mendadak terhadap BN. Agen ini merupakan silent killer yang tidak diketahui ramai. Setiap kawasan pilihan raya akan ada golongan PACABA daripada Pakatan Rakyat yang sudah lama dan secara senyap menerima latihan daripada melalui dana yang mereka peroleh daripada luar negara. Peranan mereka sebenarnya bukan hanya setakat poling agent tetapi juga sebagai ejen penyebar maklumat dan pencuci minda di setiap kawasan yang disasarkan mereka. Sekiranya dalam satu kawasan terdapat 100 sukarelawan dan kuasa ini akan diganda kepada 10 iaitu seramai 1,000 orang yang akan cenderung untuk menyokong Pakatan Rakyat. Dianggarkan seorang secara puratanya akan dapat mempengaruhi 10 orang. Keadaan ini bermakna kerajaan BN bukan sahaja ditewaskan di alam maya seperti yang diketahui ramai tetapi juga on the ground secara senyap.

4 - Pengaruh GEN Y

GOLONGAN ini yang telah berjaya dijajahi emosi dan minda mereka di alam siber oleh RBA memainkan peranan yang penting dalam PRU-13 kali ini. Golongan tua dan dewasa masyarakat Cina yang selama ini menjadi tunjang kepada kekuatan BN akhirnya tunduk terhadap kebangkitan Gen Y. Ramai yang berjaya menyakinkan ibu bapa mereka bahawa Pakatan Rakyat adalah yang terbaik. Ada juga anak-anak yang bertindak keras sehingga mengancam memutus hubungan kekeluargaan jika sesiapa dalam keluarga mereka menyokong BN. Golongan ini seharusnya menjadi fokus utama BN dalam pilihan raya yang akan datang. Sekiranya PRU-12 adalah berkaitan dengan kebangkitan pengundi masyarakat India, PRU-13 masyarakat Cina dan pilihan raya akan datang golongan ini yang perlu diberi perhatian.

5 - Penyusunan Pengundi Secara Strategik

KAWASAN sasaran DAP dan Pakatan Rakyat sejak awal lagi secara senyap dan berperingkat-peringkat memindahkan penyokong tegar mereka di kawasan sasaran. Oleh itu , banyak calon BN terutamanya calon MCA mendapati ramai pengundi yang selama ini tidak pernah wujud di tiba-tiba muncul menjadi pengundi di kawasan mereka. Faktor ini merupakan satu lagi silent killer yang tidak diketahui ramai. Persiapan Pakatan Rakyat dan DAP yang begitu rapi ini walaupun kotor tetapi perlu diberi perhatian oleh BN yang sedikit lalai dengan perkembangan strategi politik Pakatan Rakyat.

6 - Gerakan NGO dan Aktivis

Faktor ini merupakan satu lagi kekuatan Pakatan Rakyat yang belum diberi perhatian oleh BN. Pakatan Rakyat bijak untuk menjadi mastermind kepada banyak pertubuhan dan gerakan menentang kerajaan. Antaranya Gerakan Mahasiswa, Dong Zong, Himpunan Hijau, BERSIH dan banyak lagi. Setiap gerakan ini masih lagi aktif sehingga kini dan tidak seperti pertubuhan dan NGO BN yang hanya wujud sekadar hangat-hangat tahi ayam.



Shen Yee Aun papashan88@outlook.com Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Bisik-Bisik Awang Selamat

Mudahnya Melayu...

Perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan pada malam 31 Disember lalu, sekali lagi gagal. Pencapaian terhebat sebahagian peserta perhimpunan itu apabila bertindak liar menawan pentas persembahan di Dataran Merdeka. Tetapi mereka dimalukan oleh rakyat Malaysia yang tidak memberikan sambutan.

Semoga ia diambil iktibar oleh semua pihak. Demonstrasi sebagai senjata tidak akan berjaya di Malaysia yang budaya demokrasi cukup matang.

Antara yang banyak diperkatakan selepas itu adalah komen Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang dalam Twitter tentang anak-anak muda Melayu yang terus diperguna dalam perhimpunan haram itu.

``Saya bukan rasis. Saya sedih lihat anak-anak Melayu diperalat untuk buat demo jalanan pembangkang. Pernah nampak kaum lain? Fikirkanlah masa depan anda. Selalu dalam demo jalanan, yang kena tangkap majoriti Melayu. Kenapa adik-adik perlu diperguna.''

Awang hanya senyum. Keng Liang 100 peratus betul. Anak-anak muda bukan Melayu berjuang dengan ilmu dan keinsafan untuk majukan diri, ramai pemuda Melayu pula terutama siswazah yang prestasi akademik tidak sehebat mana, berjuang dengan emosi yang dicaturkan oleh pihak lain.

Memang serba-serbi Melayu mudah diperalat termasuk ke tahap mengkhianati agama dan bangsa sendiri. Untuk mengharapkan berfikir secara strategik, jauh sekali. Seperti kata mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, Melayu mudah lupa dan Awang ingin menambah - tidak tahu bersyukur. Nilai perjuangan sekadar untuk menang sorak kampung tergadai.

Utusan Malaysia Rencana 20140105

Tahniah Guan Eng!

Ketika kerajaan pusat memulakan pelbagai langkah penjimatan dan mengurangkan perbelanjaan kos sektor awam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyambut tahun baharu 2014 dengan kereta mewah.

Di sebalik bajet defisit kerajaan negeri empat tahun berturut-turut, beliau tergamak mengambil keputusan menggunakan kereta Mercedes Benz S300L menggantikan Toyota Camry 2.5 yang baru diperoleh kerajaan negeri Oktober tahun lalu.

Seseorang Menteri Besar yang berjiwa rakyat tidak akan luluskan pembelian itu. Dalam keadaan rakyat berdepan dengan peningkatan kos sara hidup dan ramai lagi penduduk Pulau Pinang yang hidup di bawah paras kemiskinan, beliau tidak seharusnya kelihatan bermewah dan boros.

Walau apa alasan yang diberi, ia tidak boleh mewajarkan pembelian tersebut. Pada Awang, ia menyerlahkan lagi belang sebenar Guan Eng. Segala slogan indah yang beliau canangkan termasuk janji untuk berjimat cermat dan mengelak pembaziran, hanyalah retorik. Boleh muntah hijau mendengarnya.

Selama ini Guan Eng mentohmah pemimpin kerajaan pusat kononnya boros berbelanja wang rakyat, beliau sendiri bagai ayam kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

Awang mahu mengingatkan Guan Eng, undi yang rakyat beri semasa PRU-13, bukan mandat untuk bermewah. Untuk rekod, Guan Eng pernah dilaporkan membatalkan pembelian Proton Perdana V6 sebaik sahaja beliau menjadi Ketua Menteri selepas PRU-12 pada 2008.

Entah mengapa beliau menolak kereta buatan tempatan. Persoalannya, beliau membatalkan pembelian itu atas kuasanya sebagai Ketua Menteri tetapi mengapa tidak berbuat demikian apabila melibatkan kereta mewah?

Awang tidak fikir pemimpin DAP seperti Karpal Singh menyokong pembelian Mercedes-Benz S300L. Orang Cina yang banyak mendokong Guan Eng juga tidak teruja kerana bukan sifat kaum itu suka melihat pemimpin boros. Bagi sebahagian orang Cina, sikap Guang Eng itu hanya memalukan kaum mereka.

Apa pun tahniah kerana dapat bergaya dengan kereta mewah guna wang rakyat pada tahun baharu. Syok ma!

Harapan 2014

Masalah kesesakan lalu lintas di jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dan sekitarnya terus menghantui warga kota. Lebih-lebih dengan adanya kerja-kerja pembinaan projek pembinaan MRT di banyak lokasi.

Di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2), keadaan lebih teruk dan tidak stabil. Ia diburukkan dengan kerja-kerja pembaikan dan mengorek jalan di merata-rata tempat, yang tidak sistematik. Itu belum menyentuh permukaan jalan tidak berkualiti dan kelemahan penguatkuasaan.

Di kebanyakan lokasi yang memerlukan peranan polis trafik, ia tidak dimanfaatkan. Sudah sampai masanya polis trafik digembleng semaksimum mungkin. Jika tidak, rakyat selaku pembayar cukai akan melihat pasukan itu lebih memberi keutamaan menjaga urusan trafik orang kenamaan.

Mesejnya, kerajaan perlu lebih efisien menangani kesesakan lalu lintas dengan menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan semua pihak berkaitan.

Contohnya, setiap kali cuti umum di Selangor, Kuala Lumpur sesak teruk dengan semua pihak menanganinya secara biasa seolah-olah kesesakan itu tidak boleh diuruskan dengan lebih efisien.

Semoga 2014 ada pembaharuan.

Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

DAP dan Islam

Cadangan tiga wakil rakyat DAP supaya Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda bagi memastikan hak orang bukan Islam dibela, mencetuskan tanda tanya besar apa muslihat parti itu.

Persoalan berlegar apa lagi DAP mahu dalam isu kalimah Allah yang sepatutnya parti itu sudah jelas dan faham dalam menjaga sensitiviti umat Islam.

Tidak cukupkah provokasi demi provokasi yang dilakukan bermula dengan gesaan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung yang belum disahkan jawatannya oleh Pendaftar Pertubuhan ) pada awal Januari 2013, menuntut kalimah suci umat Islam itu dibenarkan penggunaannya oleh agama lain. Siapa yang terlebih dahulu percikkan api?

Sampai saat ini, Guan Eng belum meminta maaf kepada umat Islam. Tidak lama selepas kenyataan tersebut, terdapat beberapa individu mengedarkan Bible berbahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah di Pulau Pinang termasuk di perkarangan sekolah.

Apakah pendirian DAP menyokong penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik mempunyai agenda lebih besar meliputi penerbitan dan pengedaran Bible versi Bahasa Melayu yang lebih meluas kepada umat Islam? Awang berharap tidak.

Tetapi soalan ini pernah dibangkitkan oleh tokoh politik, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mahu penjelasan dakwaan kononnya DAP akan mencetak 100,000 naskhah Bible versi tersebut. Tidak pasti sama ada pertanyaan itu sudah dijawab, yang kita semua mahu DAP diberi peluang menjelaskannya.

Awang juga ingin menyampaikan keresahan umat Islam yang nada pertanyaan makin membara. Apakah DAP anti-Islam dan mengapa mahu terus menggugat kepentingan umat Islam yang selama ini sudah banyak berkorban dan bertolak ansur?


Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Pencerobohan

Awang bersyukur masyarakat Islam masih bertenang menghadapi provokasi keterlaluan dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak Persatuan dan Kolej Bible Malaysia.

Tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) merampas 351 Bible Bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis persatuan itu telah meredakan kemarahan umat Islam.

Terdapat kebimbangan jika pihak berkuasa lewat bertindak tegas, segelintir pihak Islam mengambil jalan ekstrem yang boleh mencetuskan pertelingkahan agama.

Tiada mana-mana pihak wajar diberi ruang memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam. Dalam isu tindakan JAIS, jabatan itu harus dibela kerana melindungi kesucian Islam.

Logik amat mudah. JAIS tidak akan bertindak jika pihak-pihak berkenaan tidak melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpandukan fatwa yang diwartakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam di negeri itu.

Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes tersebut juga cukup jelas. Sudah banyak kali peringatan termasuk oleh Sultan Selangor dibuat tetapi diingkari. Kenyataan pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang menyeru gereja Katolik di negeri itu menggunakan kalimah Allah, memburukkan lagi keadaan. Umat Islam bangkit membantah.

Pada Awang, tohmahan kononnya JAIS bertindak keterlaluan, adalah cubaan untuk mengalih isu pokok yang sebenarnya tidak boleh lagi dikompromi.

JAIS juga pernah dipersalahkan selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah gereja yang cuba memurtadkan orang Islam pada Ogos 2011.

Awang angkat topi kepada JAIS kerana menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang dalam mempertahankan kesucian Islam biarpun berdepan dengan banyak cabaran. Sebarang kegagalan untuk bertindak akan memberi isyarat yang salah kepada umat Islam dan seluruh masyarakat di negara ini.

Apa yang berlaku ini, adalah satu lagi pencerobohan ke atas kedaulatan Islam yang tidak boleh diambil mudah. Pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil, yang sudah banyak kali terjadi.

Bagi pihak-pihak berkenaan yang berniat serong, inilah masa untuk menilai sejauh mana umat Islam yang telah berpecah belah atas ideologi politik memberikan respons. Jika kecil reaksi dan orang Islam mengambil sikap tidak peduli, mereka akan jauh lebih berani dan dominan selepas ini. Salah siapa jika semua itu berlaku?



Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Kami tahu siapa mastermind itu’

ISU serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia dan merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah dua hari lalu seperti dijangka telah menimbulkan banyak reaksi negatif.


Dalam menjawab isu itu, Pengerusi Yayasan Murni Aqidah Malaysia yang juga Timbalan Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Aidit Ghazali (gambar) menyifatkan kelompok penganut Kristian yang cuba menimbulkan huru-hara dengan cara sedemikian adalah mereka yang menjadi boneka kepada kuasa-kuasa politik.


Dalam satu sidang akhbar bersama Presiden JATI, Datuk Dr. Hasan Ali yang dihadiri wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, beliau mengingatkan kelompok berkenaan agar sedar dan berhenti menjadi boneka kerana mereka sedang diperalatkan.


WARTAWAN: Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 secara jelas melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam. Mengapa mereka mempersoalkan tindakan JAIS itu?


AIDIT: Kelompok ini yang menimbulkan huru-hara ialah kelompok yang menjadi boneka kepada kuasa-kuasa politik tidak bertanggungjawab. Kita lihat mereka melampaui batasan Perlembagaan dan peruntukan undang-undang peringkat negeri mahu pun persekutuan.

Sekiranya mereka hendak buat dakwah dalam kalangan bukan Islam dipersilakan. Tetapi dalam Perlembagaan, kebebasan beragama itu adalah bersyarat, iaitu tidak boleh menimbulkan ketidakharmonian dan ketidakstabilan dalam kalangan orang Islam. Justeru, kalau satu-satu perkara itu menimbulkan kegusaran masyarakat Islam, maka ini bercanggah dengan Perlembagaan.

Mengapakah ada desakan untuk meminda enakmen ini?

AIDIT: Enakmen ini sekadar menterjemah semangat Perlembagaan. Begitu juga fatwa yang dikeluarkan demi melindungi hak orang Islam yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah serta Perlembagaan. Kita tidak buat lebih daripada apa yang sepatutnya. Begitu juga apa yang diperlakukan oleh Paderi Lawrence telah mencabar titah sultan termasuk mencabar keluhuran penghakiman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Saya dan rakan-rakan musykil adakah ibadat mereka tercemar sekiranya tidak menggunakan kalimah Allah? Kami amat bersimpati kepada mereka yang menjadi boneka kepada kuasa politik. Mereka kena kembali memahami apa yang terkandung dalam enakmen itu, memahami Perlembagaan, fatwa dan kuasa raja-raja Melayu.

Kita lihat parti pembangkang memberi sokongan luar biasa kepada kelompok ini. Tetapi apabila dicabar, mereka diam. Saya menyeru kepada paderi-paderi terutamanya untuk kembali sedar dan berhenti menjadi boneka.

Tindakan gereja itu termasuk Paderi Lawrence boleh dianggap cubaan untuk memesongkan akidah umat Islam. Komen Datuk?

AIDIT: Pemesongan adalah SOP (prosedur operasi standard) mereka untuk memporak-perandakan umat Islam. JATI telah mengenal pasti 15 cara puak-puak ini menimbulkan propaganda yang akan membinasakan akal dan kerohanian serta kepercayaan umat Islam.

Kami nak ingatkan mereka ini mana ada orang bukan Islam yang tidak mahu kepada keamanan. Daripada isu yang dipermainkan oleh boneka ini, apa manfaat yang kita dapat? Kepada tiga ADUN yang nak bawa pindaan enakmen ini, kami alu-alukan kerana kita akan lihat pekung sebenar di sebalik agenda konspirasi jahat mereka termasuk mengganggu-gugat Perlembagaan dan undang-undang negara.

Kami mahu mengingatkan bahawa enakmen itu bukan lahir semalaman tetapi berlandaskan kepada Perlembagaan yang menyokong enakmen ini selain telah mendapat perkenan raja-raja Melayu, disokong Majlis Fatwa serta mendapat persetujuan yang telah dicapai satu ketika dahulu.

Sekiranya mahu meneruskan pindaan ini, seolah-olah mencabar sejarah dan segala usaha yang telah membawa keamanan negara iaitu bukan sekadar meminda enakmen tetapi cuba meminda segala asas yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara aman.

Boleh jelaskan apakah 15 cara itu?

AIDIT: Kami di JATI telah membuat analisis profail mereka yang mahu menimbulkan porak-peranda ini sama ada dalam kalangan parti politik atau NGO yang mempunyai agenda jahat ataupun dalam kalangan mereka di luar negara yang menyokong mereka. Dalam hal ini, kami dapati ada 15 kaedah penting mereka gunakan.

Salah satu kami dapati mereka suka membawa kepada pelabelan. Kedua, jika mereka hendak sesuatu isu itu diterima sebagai sesuatu yang benar, mereka akan mengasak isu tersebut. Ketiga, kalau mereka lihat ada gagasan untuk mempertahankan keamanan dan hak-hak di negara ini, mereka akan cuba menimbulkan isu lain dengan harapan puak-puak yang buat kerja baik akan sibuk menjawab isu itu.

Mereka akan meletakkan landasan perjuangan mereka dengan retorik yang masyhur. Sebagai contoh, mereka akan membuat sesuatu itu atas nama hak asasi. Mereka akan laungkan perkara itu sehingga ada pula orang Islam termakan takrifan hak asasi ala mereka sedangkan takrifan hak asasi Islam perlu berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Adakah kita boleh mengaitkan pembabitan pembangkang dalam isu ini?

AIDIT: Kita sedia maklum yang banyak menjadi pencetusnya adalah dalam kalangan mereka (pembangkang). Tetapi ada juga segelintir mereka dalam Pas menyokong apa yang kita buat namun mereka tidak mahu bersuara. Ada kawan-kawan dalam DAP yang cintakan keamanan tetapi mereka dikongkong. Ada juga kawan kita dalam PKR setuju apa yang kita suarakan tetapi tidak mahu bersuara kerana takut kena hempuk.

Kalau kita kata pembangkang di sebalik isu ini, kita menzalimi mereka. Sebenarnya anasir dan elemen yang nak merosakkan ini sudah menjalar dalam pelbagai forum dan wadah sehingga saya rasa sektor tertentu akan terkejut juga dengan anasir sebegini. Bagi saya, 15 propaganda yang dikenal pasti ini dipercayai telah digubal oleh satu kumpulan mastermind. Kami tahu siapa mastermind itu. Dia lahirkan sub-mastermind, dan kami juga tahu siapa sub-sub mastermind itu.



Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Oportunis politik peralatkan rakyat

ORANG yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan haram TURUN di Dataran Merdeka pada 31 Disember lalu adalah Mohamad Azan Safar. Mamat ini kononnya adalah Pengerusi Gerakan Turun kos Sara Hidup (TURUN). Siapa sebenarnya mamat ini? Adakah benar dia golongan yang teruk menderita akibat kenaikan kos sara hidup di negara ini?

Perhimpunan haram ini malah sekian banyak perhimpunan haram yang diadakan di Kuala Lumpur sebelum ini semuanya berselindung di sebalik istilah “rakyat". Kononnya perhimpunan itu digerakkan oleh rakyat yang menuntut keadilan. Dalam perhimpunan haram terbaru ini kononnya rakyat bangun memerangi kenaikan kos sara hidup.

Memang benar kita sekarang dilanda bencana apabila kos sara hidup meningkat akibat kenaikan harga minyak, tarif elektrik, tol (tidak lama lagi) serta harga barang keperluan yang dinaikkan secara haram. Mereka yang tergolong dalam kelompok miskin dan miskin bandar sangat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ini.

Takrif kemiskinan berbeza antara luar bandar dan bandar. Di luar bandar negara ini, sesebuah isi rumah dikategorikan miskin tegar apabila pendapatan hanya RM666 sebulan ke bawah. Sementara miskin bandar pula yang pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan ke bawah dan memiliki aset kurang daripada RM50,000.

Laporan media menyebut peserta perhimpunan haram dianggarkan tidak melebihi 10,000 orang. Ada yang menganggarkan hanya 5,000 sahaja. Katakanlah 10,000 orang peserta perhimpunan itu, adakah itu sahaja golongan miskin bandar di Kuala Lumpur?

Terkesan

Jumlah ini pada relatifnya terlalu kecil berbanding jumlah golongan miskin bandar di Kuala Lumpur. Jadi, perhimpunan ini tidak boleh sewenang-wenang memperalatkan istilah “rakyat" kerana rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup peratusannya sangat kecil terlibat dalam perhimpunan ini.

Kalau bukan rakyat golongan miskin bandar, siapa mereka yang berhimpun dan membuat kacau di Dataran Merdeka? Mereka ini sebenarnya puak-puak oportunis politik yang menangguk faedah politik daripada isu yang melibatkan rakyat.

Sebenarnya saya tidak dapat membayangkan kalau separuh daripada golongan miskin bandar di Kuala Lumpur berhimpun malam itu. Jumlahnya bukan 10,000 malah ratusan ribu orang. Maknanya yang datang malam itu hanya terdiri daripada penyokong parti politik tertentu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong parti tertentu dan beberapa individu yang mengambil kesempatan membuat promosi dalam politik.

Jangan mudah percaya bahawa rakyat yang menerima kesan daripada kenaikan kos sara hidup yang menggerakkan perhimpunan haram ini. Semua itu pembohongan kerana tujuan sebenar bukan untuk memperjuangkan nasib rakyat yang menderita dengan peningkatan kos sara hidup.

Memang benar Mohamad Azan ini seorang rakyat. Tetapi yang menggerakkan dia menganjurkan perhimpunan ini bukan kerana rakyat. Perhimpunan haram ini adalah premis untuk golongan oportunis politik mengaut faedah politik. Atau lebih tepat lagi pemimpin-pemimpin politik pembangkang yang menangguk keuntungan daripada ketidakpuasan hati rakyat.

Oportunis politik sentiasa melihat dari kacamata politik. Mereka ini umpama pemain judi tikam ekor yang akan membuat tafsiran segala yang melintas di depan mata sebagai petanda nombor. Oportunis politik melihat kerajaan telah membuka laluan kepada mereka untuk meraih keuntungan apabila membuat tindakan meningkatkan kos sara hidup.

Mereka pun dengan memakai topeng kononnya sangat prihatin dengan kesengsaraan rakyat dan turun ke jalan jalan raya berjuang bersama rakyat. Mereka mahu rakyat melihat keterampilan mereka sebagai pejuang yang hasilnya akan dikutip pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang.

Kenapa rakyat tidak turun sendiri ke Dataran Merdeka menyatakan bantahan terhadap peningkatan kos sara hidup?

Memang rakyat tidak puas hati dengan kenaikan mendadak di setiap penjuru; tol, minyak, elektrik dan barang keperluan. Tetapi rakyat tidak memilih cara tidak bertamadun untuk membuat kacau di Dataran Merdeka. Nama rakyat hanya digunakan oleh oportunis politik kononnya itulah tindakan rakyat. Padahal merekalah yang memperalatkan rakyat.

Ku Seman Ku Hussain kusemankh@gmail.com Utusan Malaysia Online Rencana 20140105

Perbezaan politik lemahkan orang Melayu

TIRAI 2013 telah ditutup dengan menyaksikan harapan untuk melihat orang Melayu bersatu dalam soal-soal berkaitan kepentingan umat Islam dan kedudukan mereka terus sekadar menjadi impian. Orang Melayu masih berpecah belah kerana perbezaan politik biarpun kaum lain bersedia bersatu demi kepentingan mereka.’

Orang Melayu bersedia turun ke jalanan untuk memburukkan kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu sendiri sedangkan kaum lain tidak berbuat demikian kepada pemimpin sebangsa dengan mereka biar pun ada kepincangan yang berlaku.

Masih ada orang Melayu begitu bangga menolak penyatuan ummah antara dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas atas alasan politik. Sedangkan ada kaum lain sudah bersedia untuk menggabungkan parti mereka demi kepentingan bersama.

Ada pula orang Melayu membela perbuatan kaum lain yang berhubung kait dengan kesucian Islam sedangkan kaum lain sudah pasti tidak akan berbuat demikian. Pembelaan itu dilakukan atas dasar untuk meraih keuntungan politik dan bukannya demi demokrasi.

Justeru persoalan ketika kita berada di minggu pertama 2014 ini, apakah kesudahannya nasib orang Melayu di tanah air sendiri. Apakah kita akan terus berpecah belah? Apakah kita akan terus diperalatkan? Apakah antara kita akan terus menjadi ‘pak turut’ demi kepentingan politik kekuasaan?

Bagaimana pula hubungan antara UMNO dan Pas, apakah akan mencapai persefahaman dan perpaduan sesama mereka? Apakah salam persaudaraan yang dihulurkan oleh UMNO selama ini akan diterima oleh Pas?

Sememangnya terlalu banyak persoalan mengenai orang Melayu yang hendak diperkatakan tetapi apa yang pasti usaha perlu dilakukan untuk memastikan orang Melayu tidak terus berpecah belah dan jatuh menjatuhkan antara satu sama lain sehingga ia memberi keuntungan kepada pihak-pihak lain.

Kajilah selama ini kenapa orang Melayu menjadi lemah khususnya dalam politik kerana apa, bukan disebabkan parti orang Melayu tidak kuat atau lemah tetapi berpunca daripada perpecahan sesama kita. UMNO sentiasa keseorangan untuk memperjuangkan hak orang Melayu dan umat Islam, manakala Pas pula sentiasa bermain cara selamat demi menjaga kepentingan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Atas sebab itulah, perasaan gerun kepada kekuatan orang Melayu sudah tiada lagi. Kita mengakui dan berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh beberapa badan pertubuhan kerajaan (NGO) Melayu tetapi kuasa mereka adalah terhad.

Beracun

Tanpa kuasa politik, mereka hanya mampu membuat bantahan dan paling tinggi pun laporan polis. Kenyataan ini bukanlah bertujuan merendah-rendahkan peranan NGO ini tetapi inilah hakikatnya kalau kita mahu bercakap soal masa depan orang Melayu.

Mahu tidak mahu kita harus mengakui dan menerima hakikat masa depan orang Melayu di tanah air yang suatu ketika bernama Tanah Melayu ini adalah terletak kepada kekuatan politik mereka. Jika kekuatan politik orang Melayu menjadi lemah atau sengaja dilemahkan percayalah ia akan membawa petaka kepada golongan itu.

Sebab itulah, agenda memecah belahkan orang Melayu melalui politik yang dipelopori oleh British melalui penubuhan Pas cukup berkesan sehingga ke hari ini. Orang Melayu terus bertelagah, bermasam muka dan berbalah sesama sendiri kerana berbeza fahaman politik.’

Inilah hasil kebijaksanaan British yang bersedia memberikan kemerdekaan kepada negara ini tetapi dalam masa yang sama telah ‘menanam benih pohon beracun’ untuk orang Melayu sehingga mereka tidak mampu bersatu sehingga ke hari ini.

Perpecahan dan perbezaan antara mereka semakin ketara apabila terwujud pula PKR, maka orang Melayu terus berpecah, kalau berpecah tetapi bersedia untuk bersatu dalam soal-soal menyentuh kepentingan bersama, tidak mengapa…tetapi apa yang kita saksikan ialah politik kebencian yang disemaikan oleh parti itu terhadap UMNO yang menjadi payung orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin PKR dan Pas terlalu takut untuk bercakap soal perpaduan Melayu, terlalu bimbang untuk duduk semeja dengan pemimpin UMNO dan terlalu alergi untuk sependapat dengan kerajaan kerana khuatir ia akan menghilangkan sokongan politik mereka.

Justeru apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan BN tidak pernah mendapat pujian hatta dalam soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam sekalipun. Sudahlah tidak menyokong, mereka bersedia pula mengecam dasar atau tindakan yang dibuat termasuklah kononnya UMNO rasis.

Tetapi tidak pula kita dengar pemimpin PKR dan Pas mengkritik DAP atas sebab yang sama kerana semua orang tahu bagaimana corak politik parti tersebut.

Situasi inilah yang memungkinkan kekuatan orang Melayu semakin lemah, mudah dilemahkan dan diperlemahkan oleh pihak-pihak lain yang memahami bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu adalah satu keuntungan kepada mereka dalam menguasai politik.

Atas sebab itulah, biar pun kita berasa sukar namun harapan dan doa tetap kita panjatkan supaya pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR dan Pas akan menyedari ancaman yang sedang menanti orang Melayu.

Mahu tidak mahu kita harus berusaha untuk memastikan parti-parti Melayu khususnya UMNO dan Pas mencapai kesepakatan, kalau tidak mahu bekerjasama dalam pilihan raya pun cukuplah dalam soal menyentuh kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Semoga tahun 2014 menampakkan sedikit cahaya di hujung terowong dalam kita menaruh harapan untuk melihat orang Melayu bersatu sebelum ‘nasi menjadi bubur’, orang Melayu tidak menjadi lebai malang ‘menang sorak kampung tergadai’ dan kita bagaikan ‘pelarian di bumi sendiri’…contohnya sudah ada cuma kita tidak mahu memikirkannya.



Zulkiflee bakar zulkifleebakar@gmail.com Utusan Malaysia Online Rencana 20140105