January 7th, 2014

Berilah ruang mereka berdikari

SEHARI dua ini demam 'balik ke sekolah' melanda Malaysia selepas cuti penggal persekolahan 2013 berakhir. Walaupun satu negara sedang kecoh dengan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan, namun kisah back to school berjaya seketika mengalih perhatian.

Tidak kira di Facebook, Twitter, akhbar, televisyen dan di mana-mana sahaja hal persekolahan anak-anak menjadi topik perbualan. Tidak kurang juga yang memuat naik gambar anak masing-masing sewaktu menghantar mereka ke sekolah pada hari pertama persekolahan. Ada yang menangis, gembira, takut, malah ada yang tragis sampai kepala tersepit di celah kerusi juga dapat dirakamkan.

Bukan hanya bagi si kecil yang ke tadika malahan yang ke sekolah rendah dan menengah turut dihantar oleh ibu bapa. Itu belum masuk lagi yang bersekolah di asrama. Berbondong-bondong ibu bapa mengusung barang dan segala keperluan mengiringi perjalanan.

Terbukti masyarakat Malaysia memang penyayang. Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Masakan tidak, saban tahun ketika penggal persekolahan dibuka, cubalah cari sekolah manakah yang tidak sesak. Jalan raya manakah yang tidak sunyi. Tiada beza di kota atau di desa, semuanya dibanjiri ibu bapa yang teruja menghantar anak-anak masing-masing ke sekolah.

Ini semua disebabkan apa? Semuanya sebab kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi ibu bapa terhadap anak-anak. Sanggup mengambil cuti tahunan semata-mata ingin memastikan anak masuk sekolah dengan selesa dan sempurna.

Untunglah anak-anak zaman sekarang. Majoriti kaum ibu yang mengemas kini status di Facebook menyatakan kerisauan, tak betah katanya membiarkan anak ke sekolah tanpa iringan. Entah apa yang dirisaukan.

Kadang-kadang terlintas di fikiran penulis apa yang dibimbangkan sangat. Mungkin bimbang anak yang baru pertama kali bersekolah menangis ketakutan atau tidak cukup keperluan. Mungkin juga mereka sekadar datang memberi sokongan dan dorongan. Jika satu hari tidak mengapalah. Tapi kalau berhari-hari malah masuk seminggu tak tahulah apa hendak dikatakan. Penulis perhatikan fenomena ini sudah menjadi trend semasa dan kini seperti menjadi satu kewajipan.

Jika kita imbas kembali, situasi ini jarang-jarang sekali dapat dilihat pada era 90-an, 80-an, 70-an apatah lagi 60-an. Jangan kata hendak tunggu di luar kelas seharian, hantar hingga ke depan pintu pagar pun belum tentu. Semua urusan diserahkan kepada pihak sekolah. Suka atau tidak anak-anak kena menguruskan semua dari awal pendaftaran, membeli makanan sehingga sesi berkenalan secara sendirian. Daripada pengalaman penulis, bukan tidak ada langsung ibu bapa yang menghantar anak-anak terutamanya yang masuk ke darjah satu. Cumanya tidak ramai dan tidak menjadi kewajipan seperti sekarang.

Kadang-kadang disuruhnya sahaja anak-anak ikut jiran tetangga yang anaknya belajar di sekolah yang sama. Mungkin ada yang berkata penulis terlalu nostalgik membandingkan zaman dahulu dan sekarang yang mungkin tidak relevan lagi situasinya. Tetapi sama ada kita sedar atau tidak, situasi inilah sedikit-sebanyak membentuk peribadi anak-anak kita di masa hadapan. Cuba kita lihat sedari kecil iaitu sejak masuk ke tadika anak-anak sudah dimanjakan. Tiada ruang yang kita beri untuk anak-anak ini berdikari, menyesuaikan diri dan menguruskan kelengkapan diri sendiri. Semuanya atas campur tangan ibu bapa dan keluarga.

Jika begini bagaimanakah anak-anak ini nanti dapat membina keyakinan diri kalau asyik bergantung dengan pertolongan? Ibu bapa yang tentukan semuanya dan akhirnya nanti peribadi anak-anak ini akan menjadi rapuh, tiada daya tahan dan tiada rasa tanggungjawab.

Itu belum lagi yang bersekolah di asrama. Penulis perhatikan bukan sahaja ibu bapa sibuk semasa sesi pendaftaran tetapi setiap minggu boleh dikatakan menjenguk anak-anak. Bukan kata bekal makanan malah segala keperluan dibawakan. Mungkin tidak semua yang begitu. Tetapi penulis pernah lihat ada ibu bapa yang sanggup hantar pakaian anak yang sudah siap digosok, kasut putih dicuci malah ada yang membawa pakaian ke cucian dobi. Si anak pula duduk goyang kaki, sibuk bermain gajet kerana tiada yang perlu dirisaukan. Semua keperluan sudah siap sedia.

Jika sayang sekalipun biarlah berpada dan kena pada tempatnya. Begitu juga fenomena bila tiap kali musim peperiksaan. Ibu bapa jugalah orang yang paling tidak keruan rasanya. Sekali lagi cuti tahunan menjadi mangsa. Apalah salahnya jika kita memberikan sokongan dengan cara lain. Contohnya dengan mengadakan solat hajat setiap hari dan berzikir sewaktu mereka berada dalam dewan selain daripada mengambil cuti dan menunggu sehingga mereka tamat peperiksaan.

Rasanya itulah ibu bapa pada zaman dahulu lakukan tanda kasih sayang dan dorongan yang tidak berbelah-bahagi. Anak-anak yang sudah terbiasa dididik begini akan merasa ibu bapa sentiasa di sisi meskipun tiada jasad di depan mata.

Bukan setakat itu sahaja, fenomena mendaftar kali pertama di universiti juga tidak kurang hebatnya. Kalau boleh satu kampung juga ingin dibawa. Pada hemat penulis, budaya 'rombongan Cik Kiah' ini perlulah ditinggalkan. Bukannya apa, sudah-sudahlah memanjakan anak. Cuba fikir jika esok lusa kita sudah tiada.

Bagaimanakah agaknya kehidupan seharian mereka? Biarlah mereka uruskan sendiri. Jangan biarkan mereka bergantung harap kepada kita kerana sedar atau tidak mereka inilah bakal menjadi pemimpin di hari muka.

Jika tidak memimpin negara sudah pasti akan memimpin keluarga. Cuba bayangkan bagaimana sebuah keluarga ditadbir oleh mereka yang tidak mampu berfikir jauh dan tiada pendirian? Sudah tentulah rosak binasa institusi kekeluargaan. Begitu juga dengan negara. Bagaimana seorang pemimpin hendak memimpin negara sedangkan dia sendiri tidak mampu membuat keputusan dan sentiasa mengharapkan bantuan?

Begitulah besarnya kesan yang terhasil daripada perkara yang kadang-kadang kita anggap sebagai remeh dan picisan. Beberapa tahun sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun 2020 yang mana Malaysia dicita-citakan diisytihar sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi. Justeru, marilah kita sama-sama mencetus perubahan dengan berfikir ke hadapan dan mengikis budaya remeh yang dianggap sebagai tradisi dalam masyarakat. Moga-moga dengan adanya anjakan paradigma dalam pemikiran, Malaysia mampu melahirkan masyarakat yang berdikari, bertanggungjawab dan matang dalam tindakan.



NORIDAH UDIN NIAH BAHARI Utusan Malaysia Online Rencana 20140107

Teknologi inverter, istiqamah dan penjimatan kos elektrik

UMUM sedia maklum bermulanya 1 Januari 2014, kadar elektrik telah berubah. Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.98 peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan 5 sen bagi Sabah dan Labuan.

Serentak dengan itu, masyarakat mencari pelbagai alternatif bagi menjimatkan kos elektrik. Pengeluar produk elektrik menarik perhatian pengguna dengan mendakwa penggunaan produk elektrik berteknologi inverter (penyongsang) boleh menjimatkan kos elektrik.

Inverter dikatakan yang ada pada produk seperti microwave, pendingin hawa, peti sejuk dan sebagainya boleh mengefisienkan penggunaan tenaga elektrik. Ia dapat menjimatkan bil elektrik antara 10 hingga 30 peratus.

Persoalannya benarkah begitu? Ini kerana penulis mendapat rungutan daripada masyarakat yang mendakwa bil elektrik mereka sama sahaja walaupun menggunakan pendingin hawa dengan teknologi inverter. Sebenarnya, apakah itu inverter? Bagaimana teknologi inverter dikatakan boleh mengurangkan penggunaan tenaga elektrik?

Berdasarkan pembacaan dan perkongsian pengalaman bersama-sama rakan dan masyarakat setempat, dapat disimpulkan bahawa penggunaan produk elektrik berteknologi inverter memang benar dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan sudah pasti menjimatkan bil elektrik. Walau bagaimanapun, penjimatan ini berlaku dengan syarat.

Inverter dikenali sebagai satu alat atau peranti penyongsang arus elektrik. Dalam keadaan biasa, keadaan arus elektrik adalah berarus terus. Dengan inverter, arus terus ini akan ditukarkan kepada arus ulang alik berubah frekuensi.

Biasanya, inverter digunapakai pada peralatan elektrik yang dilengkapi motor atau pemampat (compressor). Teknologi inverter dikatakan boleh mengawal kelajuan motor atau pemampat mengikut keperluan.

Pemampat dalam sesuatu alat elektrik akan sentiasa berjalan pada kelajuan berbeza tanpa fungsi hidup mati (on-off) sepertimana alat elektrik konvensional. Fungsi inilah yang membantu pengurangan tenaga elektrik.

Sebagai contoh, katakan kita menghidupkan alat pendingin hawa dengan menetapkan suhu 24 darjah celcius (24 oC). Bagi pendingin hawa tanpa inverter apabila ia dihidupkan, motor elektrik akan beroperasi pada kelajuan maksimum bagi mencapai suhu tersebut. Apabila suhu 24 oC tercapai, motor tersebut akan berhenti.

Namun, apabila keadaan bilik kembali panas, iaitu suhu melebihi 24oC, maka motor elektrik itu akan aktif semula dan terus 'bekerja' untuk menurunkan suhu kembali kepada 24 oC. Keadaan ini berterusan sehinggalah suis penghawa dingin dimatikan.

Motor yang 'bekerja' secara 'on off' ini mengakibatkan penggunaan tenaga kuasa yang tinggi pada setiap kali ia mula memulakan 'kerja'. Kajian menunjukkan bahawa motor elektrik akan menggunakan arus sebanyak hampir 7 kali ganda lebih tinggi daripada biasa semasa memulakan operasinya.

Bagi alat elektrik dengan teknologi inverter, motor elektriknya akan sentiasa 'bekerja' daripada mula suis dihidupkan sehinggalah pada ketika suis dimatikan. Kelajuan motor dapat dikawal dan disesuai dengan suhu yang ditetapkan tanpa ada fungsi 'on off'.

Keadaan yang berterusan ini menyebabkan motor tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak ketika beroperasi. Pengurangan penggunaan kuasa bagi permulaan operasi juga dapat dikurangkan. Penggunaan tenaga yang kurang bermaksud bil elektrik menjadi lebih murah.

Untuk lebih mudah memahami, teknologi inverter bolehlah dikaitkan dengan amalan seharian kita, iaitu istiqamah manakala alat elektrik tanpa inverter adalah amal yang tidak istiqamah. Istiqamah bermaksud melakukan sesuatu secara berterusan manakala tidak istiqamah bermaksud melakukan sesuatu secara 'on off'.

Dalam Islam, sesuatu amal yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit adalah lebih disukai Allah SWT daripada amal yang dilakukan secara tidak istiqamah walaupun banyak. Hal ini bersesuaian dengan hadis Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Aisyah r.ha., Nabi SAW bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berbalik kepada inverter, teknologi ini memang benar dapat menjimatkan kos elektrik. Namun, penjimatan ini berlaku dengan syarat.

Pertama, alat elektrik berteknologi inverter biasanya lebih mahal daripada produk tanpa inverter. Pengguna perlu membuat sedikit pengiraan mengenai kos pembelian dan bandingkan dengan jumlah penjimatan yang dapat dibuat.

Kedua, inverter jimat jika penggunaannya melebihi tempoh masa tertentu. Ada pihak mendakwa penjimatan hanya berlaku jika ia digunakan lebih daripada 6 hingga 8 jam. Maksudnya, inverter hanya menjimatkan jika ia digunakan untuk tempoh masa yang panjang. Justeru, alat elektrik seperti peti sejuk inverter lebih praktikal untuk penjimatan kos elektrik berbanding pendingin hawa dan microwave oven.

Ketiga, sebarang kerosakan elektronik pada produk ini sukar dikesan. Jika berlaku kerosakan, ia perlu dihantar kepada syarikat pengeluar. Hal ini secara langsung akan meningkatkan kos perbelanjaan.

Justeru produk elektrik berteknologi inverter boleh digunakan sebagai alternatif bagi mengimbangi kenaikan kadar elektrik. Namun, pengguna dinasihatkan untuk membuat analisis kos-faedah terlebih dahulu memandangkan kos produk ini adalah lebih mahal berbanding produk biasa.



RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia.Utusan Malaysia Online Rencana 20140108