January 18th, 2014

Gunung Cook menyusut

Wellington: Gunung tertinggi di New Zealand menyusut selepas sekumpulan ekspedisi pendakian penyelidik Universiti Otago November lalu mendapati ketinggiannya berkurangan sebanyak 30 meter.

Satu laporan yang dipetik Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menyatakan penelitian terbaru menunjukkan ketinggian Gunung Cook, yang juga dikenali Gunung Aoraki, adalah 3,724 meter, sebelum ini ia dianggarkan mempunyai ketinggian 3,754 meter.


Pengkaji, Dr Pascal Sirguey dari Sekolah Penyelidikan Kebangsaan Otago, berkata perubahan ukuran sedia ada berlaku selepas insiden runtuhan batu ais pada 1991 berikutan proses pembentukan semula sepanjang 20 tahun.




Gunung Cook atau Aoraki mengalami penyusutan ketinggian berikutan hakisan tanah.

Berita Harian Online Dunia 18/01/2014

10 pekerjaan tawar gaji paling tinggi

Industri berasaskan teknologi dan sains adalah sektor pekerjaan yang menawarkan gaji paling tinggi di negara ini, menurut kaji selidik terbaru portal pengambilan pekerja dalam talian, Jobstreet.com.

Kaji selidik mengenai 10 Pekerjaan Menawarkan Gaji Tertinggi di Malaysia itu adalah berdasarkan gaji yang disenaraikan oleh majikan di laman web Jobstreet.com bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2013.


Jobstreet.com berkata, kaji selidik itu mendapati pekerja yang berkhidmat dalam jawatan eksekutif yang mengkhusus dalam bidang perubatan, kejuruteraan, kewangan dan teknologi maklumat (IT) secara amnya memperoleh gaji lebih tinggi, dengan gaji purata RM2,800 sebulan.

Graduan baru

Bagi pekerja peringkat pengurusan dan ke atas dan mengkhusus dalam bidang IT, sains dan kejuruteraan, mereka dibayar gaji yang lebih tinggi.

Graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian secara purata boleh menjangkakan gaji RM2,100 sebulan yang mana gaji yang ditawarkan untuk golongan itu membabitkan semua industri adalah antara RM1,600 hingga RM3,000.

Menurut Jobstreet.com, sektor farmasi menawarkan gaji tertinggi untuk graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian dengan pendapatan RM3,600 sebulan sebagai gaji permulaan, manakala eksekutif diberi tanggungjawab merangka strategi korporat menduduki tempat kedua dengan gaji asas RM3,200.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu hanya membabitkan gaji pokok dan tidak termasuk faedah lain seperti jumlah kelayakan cuti, faedah perubatan, insurans dan insentif lain.

Portal itu berkata, walaupun doktor muda boleh mencapai gaji sebanyak RM2,700, gaji mereka boleh meningkat dengan pantas kepada kirakira RM3,900 sebulan dengan hanya tiga hingga empat tahun pengalaman.


Berita Harian Online Ekonomi 18/01/2014

Buluh penyelamat nyawa

PADA 11 Januari lalu, tiga juruterbang yang sedang menjalani latihan penerbangan cedera termasuk dua parah selepas pesawat Cessna 172 yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor.

Kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku setelah pesawat berkenaan didakwa hilang kawalan apabila cuba mengelak daripada merempuh burung helang.

Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 21, yang memandu pesawat ringan itu cedera di bahagian muka sementara dua penumpangnya, Kapten Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, cedera parah dari pinggang ke bawah.

Buluh penyelamat nyawa



KEADAAN pesawat Cessna 172 milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor yang merempuh pokok buluh di dalam hutan berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor.

Pesawat Kelab Penerbangan Diraja Selangor (RSFC) yang menjunam itu kemudiannya dikatakan telah merempuh serumpun pokok buluh di tempat kejadian sebelum terhempas ke tanah dan patah dua.

Ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudiannya merangkak keluar sejauh 100 meter dari pesawat kerana bimbang ia terbakar dan kemudiannya berjaya diselamatkan pihak bomba kira-kira pukul 3.45 pagi iaitu hampir 10 jam selepas kejadian.

Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat setelah mendapat laporan kehilangan sebuah pesawat ringan selepas lebih setengah jam berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.

Komandan Pasukan Penyelamat, Operasi dan Taktikal Khas (STORM) Bomba, Ismail Abdul Ghani memberitahu, ketiga-tiga juruterbang itu sangat bernasib baik kerana pesawat yang hilang kawalan itu terhempas di atas serumpun pohon buluh yang merupakan penyerap tekanan yang baik sekali.

Dalam pada itu, seorang lagi individu yang tidak akan melupakan jasa pokok buluh adalah bekas Menteri Luar, Allahyarham Tun Ghazali Shafie yang pernah mengalami pengalaman umpama mati hidup semula pada 10 Januari 1982.

Beliau yang turut digelar 'King Ghaz' kerana tegas dalam menjalankan tugas-tugasnya meninggal dunia ketika berusia 88 tahun pada 2010 kerana sakit tua.

Tragedi itu berlaku apabila pesawat Cessna 206 yang dipandunya yang juga dimiliki RSFC terhempas di kawasan bukit di Kampung Sum-Sum Ulu, Janda Baik, Pahang pada pukul 3 petang selepas merempuh awan.

Ghazali sedang dalam perjalanan ke Benta yang terletak di bawah Parlimen Kuala Lipis yang mana ketika itu beliau adalah Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Pada hari kejadian, anggota Pasukan Pertahanan Darat dan Udara (Handau) TUDM tidak dapat meneruskan operasi menyelamat kerana hari telah malam sehingga menyebabkan nasib Ghazali tidak dapat disahkan.

Ini menyebabkan akhbar The Star pada keesokan harinya menyiarkan berita muka depan dengan tajuk "Ghaz dies in crash."

Berita dengan tajuk hampir sama turut disiarkan akhbar di Amerika Syarikat (AS), The New York Times.

Bagaimanapun Ghazali yang ketika itu berusia 59 tahun terselamat dan hanya mengalami calar dan luka-luka kecil sahaja.

Malangnya, pengawal peribadi beliau, Asisten Supritendan (ASP) Charon Daam dan pembantu juruterbang yang juga Ketua Jurulatih RSFC, Vergis Chacko terbunuh dan ketika ditemui pasukan penyelamat, mayat mereka masih terikat dengan tali pinggang keledar dalam pesawat.

Ghazali ketika ditemu ramah media, memberitahu beliau telah menendang pintu dan melompat keluar apabila pesawat terbang hampir dengan pokok-pokok setelah ia keluar daripada awan.

Beliau jatuh di rumpun buluh yang telah menyerap hentakan sehingga telah menyelamatkan nyawanya.

"Saya berada dalam kebingungan dan yang terfikir ketika itu adalah untuk mencari orang menyelamatkan saya," ujarnya dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Januari 1982.

Beliau terpaksa minum air embun walaupun sungai hanya berhampiran kerana bimbang keselamatan dirinya kerana kawasan berkenaan adalah 'kawasan hitam' yang dipenuhi anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Komander Unit Penggempur Keenam, Chong Chor.

Ghazali akhirnya ditemui pasukan penyelamat ketika merayau-rayau mencari bantuan di bawah batu besar di bawah bukit berkenaan pada 11 Januari.

Sementara itu, dalam dua kejadian lain, rimbunan pokok buluh tidak dapat menyelamatkan nyawa juruterbang dan penumpang pesawat yang merempuhnya.

Dalam kejadian pada 8 Julai 2011, sebuah pesawat Boeing 727-30 yang sedang membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangoka, Kisangani, Congo telah terbabas sejauh 200 meter dari landasan dan merempuh rimbunan pokok buluh.

Pesawat berkenaan kemudiannya terbakar sehingga mengorbankan 74 daripada 118 orang yang berada dalam pesawat berkenaan.

Faktor utama pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan swasta negara itu, Hewa Bora Airways terhempas adalah kerana cuaca buruk.

Kejadian sama juga menimpa, Bapa Penerbangan China, Feng Ru yang terbunuh pada 26 Ogos 1912 setelah pesawat yang diciptanya terhempas di atas rimbunan pokok buluh.

Ketika itu beliau sedang melakukan aksi akrobatik di hadapan kira-kira 1,000 penonton di Guangzhou, China.

Masalah enjin dan kedudukan pesawat yang terlalu menegak adalah punca tragedi itu yang telah membunuh pengasas Guangdong Air Vehicle Company yang ketika itu berusia 29 tahun.

Mendiang yang pernah menetap di California, AS mendapat ilham untuk membina pesawatnya sendiri berikutan kejayaan Orville dan Wilbur Wright menerbangkan pesawat pertama mereka pada 1903.



NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20140118

Murid kelar guru Matematik

DALAM usia 14 tahun, seorang murid di Amerika Syarikat (AS) sanggup membunuh guru Matematiknya dengan kejam. Ternyata remaja itu cukup berhati kering kerana dia bukan sahaja mengelar leher guru wanita itu, malah menyumbat ranting dahan ke dalam kemaluan mangsa, selain merompak mangsa.

Kejadian ngeri itu berlaku di Danvers High School di Massachussetts, Amerika Syarikat (AS) pada 22 Oktober tahun lalu. Mayat Colleen Ritzer, 24, ditemukan di dalam hutan kecil di belakang sekolah itu dengan nota 'Saya benci kamu semua', menurut pihak polis.

Ekoran kejadian itu, pelajar terbabit, Philip Chism telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Essex di Boston pada 4 Disember lalu atas tuduhan membunuh, melakukan rogol melampau dan merompak.

Dia yang didakwa sebagai tertuduh dewasa bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu.

Murid kelar guru Matematik



COLLEEN RITZER

Pada awalnya, Chism didakwa sebagai tertuduh juvenil bagi tuduhan rogol dan rompakan bersenjata tetapi pihak pendakwaan memohon ketiga-tiga pertuduhan itu dibicarakan bersama-sama, dengan alasan tuduhan menyamun dan merogol merupakan sebahagian daripada kejadian bunuh itu.

Pihak pendakwaan tidak mendedahkan motif dakwaan pembunuhan itu tetapi menyatakan bahawa tiada bukti yang menjurus kepada sakit mental.

Chism kekal ditahan dalam lokap tanpa jaminan selepas berakhir prosiding mahkamah yang turut dihadiri oleh ibu bapanya dan juga keluarga mangsa.

Ibu Chism dilihat teresak-esak ketika tertuduh muncul di mahkamah dengan memakai baju panas warna gelap dan seluar khaki.

Ahli keluarga Ritzer enggan memberi sebarang komen kepada pihak media. Mereka bagaimanapun kemudiannya mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan: ''Hati kami masih hancur luluh dengan pemergian anak perempuan dan saudara perempuan kami, Colleen.''

''Walau bagaimanapun, kami diberi suntikan semangat melalui sokongan dan kasih sayang yang tidak terhingga daripada seluruh masyarakat.''

Mereka juga menghargai penghormatan yang begitu banyak diberikan kepada guru wanita muda itu di Andover dan Danvers, kebanyakannya berkaitan pemberian biasiswa yang dinamakan atas nama Ritzer.

Chism dijadualkan kembali ke mahkamah untuk praperbicaraan pada 30 Januari ini.

Tertuduh yang mewakili pasukan bola sepak sekolah tinggi itu, sebenarnya baru berpindah ke pinggir bandar Boston dari Clarkville, Tenneseee.

Menurut laporan Boston Herald, dokumen mahkamah menyatakan ibu bapa Chism sedang melalui kesulitan akibat perceraian dan pelajar itu ternyata tidak keruan apabila Ritzer mengarahkan Chism dan seorang lagi pelajar tidak meninggalkan kelas selepas waktu persekolahan pada hari kejadian bunuh itu.

Ketika itu, Ritzer mula bercakap tentang Tennessee, iaitu tempat tinggal Chism sebelum berpindah ke Boston, menyebabkan remaja itu menjadi sedih. Ini kerana ibu Chism meninggalkan suaminya dan berpindah pada musim panas lalu.

Chism ketika itu dilihat bercakap sendirian secara senyap selepas gurunya menukar perbualan kepada topik lain.

Dokumen mahkamah yang menjadi dokumen awam pada November lalu memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Chism mengekori Ritzer menuju ke sebuah bilik air di sekolah itu, dan remaja terbabit kemudian dilihat berjalan keluar seorang diri.

Rakaman itu juga menunjukkan Chism menyorong sebuah tong kitar semula keluar dari sekolah tersebut.

Menurut pihak polis, sebuah tong kitar semula ditemui berhampiran mayat Ritzer. Pihak pendakwaan menyatakan, Chism dipercayai membunuh guru wanita itu dengan pisau pemotong kotak.

Peguam Daerah, Jonathan Blodgett memberitahu mahkamah, remaja itu menyamun telefon pintar iPhone, kad kredit dan seluar dalam mangsa. Semasa diberkas, terdapat seluar dalam mangsa dan sebilah pisau dengan kesan darah yang disimpan di dalam begnya.

Pihak pendakwaan juga menyatakan, pakar psikologi yang memeriksa Chism merumuskan bahawa remaja itu layak untuk dibicarakan.



AMIRUDDIN HARUN amir.harun@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20140118

Rahsia si penjinak ikan tapah

LEBIH 200 ekor ikan tapah yang beratnya melebihi lima kilogram (kg) berjaya dipancing oleh Zulkifli Abidin, 36, dari Felcra Sri Makmur, Pekan, Pahang.

Menurutnya, ikan tapah yang paling besar bersaiz 93kg dengan panjang dua meter yang dipancingnya di kuala Sungai Lengkur pada bulan Jun tahun lalu.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, dia tidak menyangka rutin hariannya keluar ke sungai mencari rezeki seawal pukul 6 pagi membuahkan hasil lumayan apabila dia berjaya menjinakkan ikan gergasi tersebut.

"Seperti biasa, saya keluar memancing seorang diri dengan bot gentian kaca sepanjang lima meter sebelum melabuhkan joran di kuala sungai yang bersambung dengan Sungai Pahang itu.

Rahsia si penjinak ikan tapah



IKAN tapah seberat 93 kg menyamai saiz kanak-kanak yang berjaya ditewaskan Zulkifli Abidin di Kuala Sungai Lengkur, Pekan, Pahang pada Jun tahun lalu.

"Saya melemparkan gewang beberapa kali sebelum disambar ikan berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi. Lebih dua jam saya bertarung sebelum dapat menewaskan ikan tapah ini," katanya ketika ditemui S2 di rumahnya.

Menceritakan pengalamannya menjinakkan ikan tersebut, Zulkifli berkata, ikan tapah gergasi itu sukar dijinakkan dan beberapa kali menarik botnya ke tengah dan tepi sungai sekali gus menimbulkan rasa bimbang.

"Sewaktu saya bertarung dengan ikan tapah gergasi ini, ada seorang nelayan sungai mendekati bot saya untuk bertanya apa yang telah berlaku.

"Saya cakap, ikan... dan dia memaklumkan kepada saya tidak mungkin, tiba-tiba ikan ini melompat dan nelayan itu terus memecut botnya tanpa memberi pertolongan kepada saya," katanya yang sudah lima tahun menjadi nelayan sungai.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana ikan tersebut menuju ke kawasan cetek lalu dia melanggar ikan berkenaan menggunakan botnya sekali gus berjaya menewaskan ikan tersebut.

"Ikan ini saya jual kepada seorang peraih di Temerloh. Pada awalnya, peraih itu memberikan saya RM1,500 dan sehari selepas itu, dia datang berjumpa saya dan memberikan saya RM800 lagi kerana mendapat untung banyak hasil jualan ikan gergasi itu," katanya.

Ditanya adakah benar ikan tapah merupakan spesies merbahaya sehingga pernah makan manusia, dia berkata, sepanjang memancing ikan tersebut di Sungai Pahang, belum ada kes ikan itu membaham manusia.

"Tapi kalau monyet saya pernah tengok, saya nampak ikan ini melibas ekornya dan menyebabkan monyet jatuh ke dalam air, lalu monyet itu menjadi makanannya.

"Saya rasa tidak mustahil kerana ikan ini memiliki saiz yang cukup besar. Di Sungai Pahang, ikan tapah bersaiz 200 kg pun saya pernah tengok," katanya.

Dalam pada itu katanya, memancing spesies ikan tersebut bukan mudah kerana hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja ikan berkenaan mencari makan.

"Saya ada mendapatkan sedikit petua daripada orang-orang lama dan praktikkannya. Ikan ini akan keluar dari lubuknya sewaktu air keruh untuk mencari makan dan kalau malam sewaktu bulan gelap dan air keruh.

"Ikan ini akan makan pada sebelah senja antara pukul 7 hingga 8 malam, dan sebelah pagi antara pukul 3 hingga 5 pagi," katanya.

Zulkifli berkata, umpan yang sesuai untuk memancing ikan itu adalah keli terutama keli paya yang merupakan kegemarannya.



Utusan Malaysia Online Rencana 20140118

Bot terbalik langgar ikan tapah

KEJADIAN bot Orang Asli terbalik selepas merempuh 'tunggul kayu' di permukaan Tasik Temengor, Banding, Perak mungkin tidak begitu diketahui oleh dunia luar, namun tidak pernah dilupakan penduduk di sekitar tasik yang terletak di Hulu Perak itu.

Walaupun tidak dilaporkan di dada akhbar, kejadian yang berlaku pada pertengahan 1990-an itu pernah menjadi topik perbualan yang hangat kerana dianggap aneh dan luar biasa.

Penulis berkunjung ke jeti awam Tasik Temengor untuk mendengar cerita sebenar daripada Roslan Hashim.

Pengusaha warung makanan di situ merupakan antara 'orang-orang lama' yang cukup arif mengenai kisah yang berlaku di sekitar tasik tersebut.

Bot terbalik langgar ikan tapah



ROSLAN HASHIM

Roslan, 53, ketika menceritakan semula kejadian itu berkata, kemalangan yang menyebabkan bot dinaiki sekumpulan Orang Asli itu terbalik ke dalam tasik bukan kerana terlanggar tunggul kayu tetapi objek tersebut sebenarnya adalah seekor ikan tapah gergasi.

"Saya sempat bertemu dengan Orang Asli yang terlibat dalam kejadian itu dan bertanya apa yang berlaku. Pada mulanya, saya juga andaikan mereka terlanggar tunggul kayu mati di tengah tasik.

"Mereka kata bukan tunggul kayu, tapi seekor ikan tapah sebesar pemeluk orang dewasa. Semasa kejadian, mereka sempat melihat ikan itu timbul beberapa kali sebelum menyelam ke dasar," katanya.

Roslan berkata, tinjauan yang dilakukan oleh penduduk Orang Asli di kawasan itu bagaimanapun gagal menemui bangkai ikan yang disangka akan mati akibat dirempuh oleh bot.

Selain kisah ikan itu, Roslan sendiri mengaku pernah melihat kelibat ikan tapah yang timbul berhampiran dengan tebing Tasik Temengor berhampiran tempat beliau berniaga kira-kira enam tahun lalu.

"Kejadian berlaku semasa saya berniaga di tapak lama iaitu di Pengkalan Trojan sekitar tahun 2007. Masa itu kawan saya panggil dan tunjuk ada sesuatu di dalam tasik.

"Saya hanya nampak kepalanya. Saiz lebih kurang setengah meter, mungkin sepemeluk dan panjang mungkin lebih dua meter. Itulah kali pertama dan terakhir saya tengok ikan tapah sebesar itu,'' katanya yang kini tinggal di Kampung Bersia Lama, Gerik.

Roslan yang juga menjadi peraih ikan air tawar di situ sejak hampir 30 tahun lalu bagaimanapun mengakui ikan tapah merupakan spesies yang sangat jarang ditemui di situ.

"Sepanjang menjadi peraih, saya tidak pernah menerima ikan tapah daripada pemancing. Selain tapah, ikan toman, baung dan temoleh juga boleh membesar sehingga mencapai berat lebih 50 kilogram,'' katanya.



Utusan Malaysia Online Rencana 20140118

Kancing emas penawar

NAMA Tok Kaduk atau Pak Kaduk mungkin lebih dikenali melalui pepatah berbunyi 'menang sorak, kampung tergadai' namun ramai yang tidak mengetahui pengakhiran kisah hidupnya.

Selepas kalah dalam pertarungan ayam sabung, kisah Tok Kaduk sebenarnya tidak berakhir di situ dan pengajaran daripada kisahnya bukan sekadar untuk dijadikan bahan seloka.

Jika benar seperti yang diceritakan oleh warisnya, kancing atau kerongsang emas ikan tapah Tok Kaduk adalah peninggalan yang amat bernilai dan berguna kepada masyarakat.

Bukan sekadar barang kemas tetapi kancing itu dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit dan gatal akibat alahan kerana memakan ikan tapah.

Bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai kelebihan kancing emas itu, penulis berkunjung ke Kampung Tua Batu 16 yang terletak di Mukim Lambor, Perak.

Usaha menjejak waris sebenar Tok Kaduk iaitu Allahyarhamah Hasmah Pandak Logam tidak kesampaian apabila diberitahu beliau telah meninggal dunia pada tahun lalu.

Kancing emas penawar


KANCING dari emas ikan tapah yang dikatakan
mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.

Semasa hidupnya, Hasmah merupakan pemegang kancing emas ikan tapah yang mewarisi barang kemas itu daripada arwah bapanya Pandak Logam Pandak Demat.

Bagaimanapun, penulis dipertemukan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tua, Zenal Ngah Haleb yang juga pernah menjadi pemegang kancing itu selama hampir lapan tahun.

Zenal yang pada mulanya agak keberatan untuk bercerita akhirnya memberitahu bahawa 'penawar' itu tidak lagi berada di dalam simpanannya.

"Memang saya pernah sediakan air kancing emas, tetapi itu atas kepercayaan yang diberikan oleh Tok Hasmah dulu.

"Selepas kematiannya, saya serahkan semula kancing itu kepada warisnya di Selangor.

"Sebenarnya masih ramai yang datang untuk minta air penawar di sini, tapi saya hanya mampu cakap ia tiada di sini,'' katanya kepada S2.

Menurut Zenal, penyediaan air penawar kancing emas biasanya dilakukan sekali setahun di dalam majlis 'kenduri kancing'.

Beliau berkata, pada majlis yang turut dihadiri oleh penduduk kampung itu, waris Tok Kaduk akan mengeluarkan kancing emas dari peti besi untuk direndam selama sehari semalam.

"Air di dalam bekas takungan itu turut dibahagikan kepada orang kampung untuk disimpan.

"Bila air di dalam takungan semakin berkurangan, saya akan tambah semula air,'' katanya.

Pada pertemuan itu, Zenal mengingatkan orang ramai supaya tidak lagi mencari beliau untuk mendapatkan air penawar kerana tidak lagi menjadi pemegang kancing emas.

"Kadang-kadang saya kasihan sebab ada yang datang nak berubat dari jauh tapi balik dengan hampa,'' ujarnya.



Utusan Malaysia Online Rencana 20140118

Sumpahan Tok Kaduk

MULAI hari ini aku tidak akan menyabung lagi. Dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan iya entahkan tidak, tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkhianati akan ikan tapah.

"Barang sesiapa yang melanggar sumpahku ini akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya.

Itulah sebahagian daripada lafaz-lafaz sumpah Tok Kaduk yang melarang seluruh keturunannya daripada memakan ikan tapah sebagai mengenang jasa ikan itu yang memberikan beliau sekarung emas.

Bagi penduduk di sekitar Mukim Lambor dan Bota di bahagian Perak Tengah, kisah Tok Kaduk bukan lagi sesuatu yang asing, bahkan pantang larang itu masih lagi dipatuhi bagi mengelak terkena sumpahan.

Di kampung-kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak itu jugalah dipercayai kampung asal dan tempat bermulanya sumpahan Tok Kaduk.

Sumpahan Tok Kaduk



IKAN tapah yang mempunyai jangka hayat antara 30 hingga 40 tahun
mampu membesar sehingga mencecah 100 kilogram.

Menurut kisah yang diriwayatkan sejak turun-temurun, Tok Kaduk diceritakan sebagai seorang pemuda berketurunan raja Siak di kepulauan Sumatera, Indonesia yang keluar belayar dan akhirnya memilih untuk menetap di Lambor, Perak.

Sebagai seorang pemuda yang lurus dan rajin bekerja, kehadiran Tok Kaduk disambut baik oleh masyarakat Lambor sehingga mendapat jodoh dan dikurniakan beberapa orang anak.

Selain kegemaran menangkap ikan dan mencari rotan, Tok Kaduk cukup dikenali kerana memiliki seekor ayam sabung yang handal bernama Biring Si Kunani.

Kehebatan ayam sabung Tok Kaduk yang tidak pernah tewas dalam setiap pertarungan akhirnya mendapat perhatian sultan yang berhasrat untuk mencabar ayam Tok Kaduk.

Bagaimanapun pembesar-pembesar istana ketika itu telah menetapkan beberapa syarat kepada Tok Kaduk sebagai helah untuk memberi kemenangan kepada ayam milik sultan.

Syarat utama yang harus dipersetujui Tok Kaduk dalam pertarungan itu adalah supaya bertukar ayamnya dengan seekor ayam sultan bernama Si Jalak Putih Mata.

Keghairahan Tok Kaduk yang sudah lama tidak dicabar di gelanggang sabung menyebabkan dia menerima syarat yang ditetapkan tanpa berfikir panjang.

Seperti yang dijangka, beliau kalah dalam pertarungan yang diatur oleh pembesar istana apabila ayam sebenarnya Biring Si Kunani menumpaskan Si Jalak Mata Putih.

Kekalahan akibat bertukar ayam dengan sultan telah menyebabkan Tok Kaduk kehilangan semua harta benda termasuk ahli keluarga yang dijadikan sebagai bahan taruhan.

Selepas menyedari dirinya sebenarnya dipermainkan, Tok Kaduk membawa diri sehelai sepinggang ke sebuah dangau di kawasan sawah. Ketika itu beliau hanya ditemani oleh kucing peliharaannya.

Ketika asyik memikirkan nasib malang yang menimpa dirinya, perhatian Tok Kaduk tertumpu kepada telatah kucingnya yang seperti mengajaknya untuk pergi ke tebing sungai.

Tok Kaduk mengikut setiap langkah kucing itusehingga ternampak seekor ikan tapah yang terdampar dengan perut sarat.

Tanpa berlengah, Tok Kaduk membelah perut ikan tapah itu menggunakan tuai padi bagi mendapatkan telur ikan tersebut untuk dimakan.

Namun sebaik sahaja pisau pemotong padi itu menoreh perut ikan itu, Tok Kaduk dikejutkan dengan limpahan ketulan emas yang keluar dari perut ikan tapah itu.

Selepas mencuci dan menyimpan emas yang diperolehi, Tok Kaduk kemudian menjahit semula perut ikan tapah menggunakan urat-urat batang pokok pisang sebelum menolak semula ikan tersebut ke dalam sungai.

Kegembiraan Tok Kaduk pada hari itu bukan kepalang. Sebagai mengenang 'pemberian' ikan tapah itu, Tok Kaduk dikatakan telah melafazkan sumpah yang melarang seluruh keturunannya memakan atau menganiayai ikan tapah.

Berbekalkan emas yang diperolehi, Tok Kaduk kemudian mengadap sultan untuk menebus semula harta benda dan ahli keluarganya yang tergadai dalam pertaruhan.

Keterujaan sultan melihat sedulang emas yang ditawarkan menyebabkan baginda bersetuju dengan permintaan Tok Kaduk.

Sebagai tanda terima kasih, sultan turut memulangkan semula sebahagian daripada emas kepada Tok Kaduk.

Saki-baki emas itu kemudian dibawa Tok Kaduk ke Kampar, Indonesia untuk dibentuk menjadi barang-barang kemas berupa kancing baju yang diwariskan kepada keturunannya.

Kancing emas berbentuk empat segi itu merupakan tinggalan emas dari perut ikan tapah yang masih wujud dan kini berada di dalam simpanan waris Tok Kaduk di Selangor.



Utusan Malaysia Online Rencana 20140118