January 28th, 2014

Hukum dan diskusi cabutan bertuah

APA hukum cabutan bertuah? Cabutan bertuah mempunyai pelbagai bentuk dan jenis, ada yang halal dan ada yang haram. Dalam tulisan ringkas minggu ini saya cuba mendedahkan beberapa bentuk dan hukum setiap satunya.

Namun sebelum kita melihat bentuk cabutan bertuah, elok jika dilihat dari sudut hukum kes cabutan bertuah ini tergolong dalam perbincangan al-musabaqat atau pertandingan. Jika tidak kena caranya, dengan mudah akan jatuh menjadi judi ataupun gharar.

Dalam masalah judi, keputusan majlis fiqh antarabangsa, Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy dalam sidangnya ke-14 pada 11 hingga 16 Jan 2003 telah memutuskan seperti berikut:

1 Disebabkan oleh jenis permainan - iaitu apabila ia bersifat permainan yang hanya bergantung kepada tuah untuk menang serta memerlukan bayaran untuk menyertainya .

2 Disebabkan oleh hadiahnya - iaitu

apabila hadiahnya diambil daripada kumpulan wang penyertaan semua peserta.

Para ulama kontemporari dalam persidangan fiqh berkenaan mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama iaitu:

"Setiap permainan yang mensyaratkan yang kalah untuk membayar sesuatu.

" Mengambil harta orang lain dalam situasi mengambil risiko (mukhatarah) iaitu terdedah kepada antara dapat atau tidak dapat. Ulama menyebut yang ertinya "Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung" (Hasyiah Al-Bajuri, 2/521).

Berdasarkan keputusan itu, berikut adalah bentuk cabutan bertuah yang jatuh dalam kategori judi:

1 Mereka yang ingin menyertai cabutan

mestilah membayar yuran tertentu secara langsung seperti:

(a) Secara tunai iaitu berdepan dengan memberikan RMxxx kepada penganjur secara tunai bagi membolehkan penyertaan. Tanpa mengira sama ada yurannya sama atau berbeza, hukumnya tetap haram. (Rujuk kitab Al-Badai' Al-Sonai', Al-Kasani)

(b) Secara tunai melalui alat telekomunikasi. Sebagai contoh kos biasa bagi satu minit bercakap di talian telefon ialah 15 sen, tetapi bagi mereka yang ingin menyertai cabutan ini satu nombor telefon khas akan diberikan dengan kos RM1 seminit.

(c) Syarikat menganjurkan makan malam dengan bayaran RM100 bagi mereka yang ingin menyertai cabutan bertuah. Bagi yang tidak menyertai yuran hanyalah RM90. Cabutan bertuah sebegini adalah judi.

(d) Menang cabutan bertuah dari Hong Kong atau Macau dan lain-lain di mana peserta menerima SMS mendakwa memenangi hadiah cabutan bertuah yang diadakan di luar negara. Bagaimanapun peserta diminta membayar yuran pemindahan wang ke dalam akaun tertentu. Hukum begini adalah haram kerana judi dan gharar, malah telah dilaporkan banyak kes penipuan menggunakan cara ini.

2 Mereka yang ingin menyertai cabutan

perlu membayar yuran secara tidak langsung iaitu yuran dimasukkan dalam harga pembelian barangan biasa. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi daripada biasa. Sebagai contoh, pihak pasar raya mengadakan cabutan bertuah kereta MyVi. Bagi sesiapa yang ingin menyertainya mestilah membeli barangan yang telah dinaikkan harganya daripada harga biasa. Ia jatuh dalam kategori judi kerana bayaran lebihan itu dianggap sebagai yuran penyertaan.

3 Dua orang bermain tenis, kedua-duanya

mengeluarkan wang lalu diletakkan sebagai hadiahnya. Majoriti ulama termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya sebagai haram. Malah Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut telah terdapat ijma' tentang pengharamannya.

4 Dua orang sedang bermain tenis

bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggang tenis. Ulama silam berkata yang bermaksud, "Tidak harus (haram) kerana terdapat dalamnya unsur judi. Umpamanya seorang berkata kepada rakannya jika engkau tewaskan aku maka ambil hadiah itu daripadaku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju"( Badai As-Sonaie; Al-Kasani).

Hukumnya ialah judi walaupun ada unsur usaha daripada kedua-dua belah pihak dan bukan permainan nasib semata-mata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membayar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak reda meredainya. Tiada reda dalam perihal haram. Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia adalah pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali.



Dr. Zaharuddin Abdul Rahman Utusan Malaysia Rencana 20140126

Antara "ikat perut" dan bermewah-mewahan

IBU,

Menangislah dengan air mata tua mu

Dari kemiskinan kita yang lebih tua

Aku lihat mereka menaburkan bunga

Dan ucapkan takziah yang berjela

Yang mengkagumkan sekali

Setelah kematian berdarah kami.

Ayah,

Bulan ini tiadalah lagi kirimanku

Beberapa ringgit dari gaji tak berbaki

(gajiku sepasang kasut seorang

menteri)

dan janjiku menggantikan atap

pondok

maafkanlah aku ayah

takkan tertunaikan.

Ini adalah petikan dari puisi Suara Dari Pusara ciptaan Sasterawan Negara Usman Awang tahun 1968. Puisi ini sebuah imbauan ke hadapan (flash forward) penyair tentang dirinya yang "tak bernama" mati dalam kemiskinan.

Suara Dari Pusara adalah puisi lama dan ceritanya juga cerita lama, hampir setengah abad lalu. Kata-kata Usman Awang waktu itu , "Gajiku sepasang kasut seorang menteri" mahu menunjukkan sesetengah pemimpin bermewah-mewah. Tetapi pada hari ini frasa itu positif. Kalau gaji minimum sama dengan harga kasut menteri, itu sudah baik. Lagi mahal kasut menteri, lagi tinggilah gaji minimum. Itu kalau mengikut kefahaman kita dari puisi Usman Awang.

Isu yang banyak diperkatakan sejak akhir-akhir ini adalah peningkatan belanja sara hidup. Ini berlaku berikutan kenaikan harga barang keperluan. Bayangkan ikan kembung pun sudah menjangkau RM19 sekilogram. Khabarnya banyak ikan yang ditangkap di perairan negara ini dieksport, kemudian kita mengimport ikan dari negara jiran. Sepatutnya ikan yang diimport lebih murah, sebab itu kita eksport ikan tempatan. Tetapi harga ikan tetap mahal.

Walaupun kadar gaji minimum sudah tinggi melebihi harga sepasang kasut menteri, kenaikan harga barang keperluan asas sangat dirasakan.

Sebenarnya ini adalah fenomena global, rakyat tidak sepenuhnya meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan.

Cuma mereka mempersoalkan ketangkasan pihak berwajib dalam menangani pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada kenaikan ini. Tentulah tidak cukup dengan amaran yang retorik yang rakyat sudah boleh jangka isi kandungannya.

Apabila berlaku kenaikan harga barang, yang berhempas pulas adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Rakyat menyanjungi peranan KPDNKK tetapi meminta supaya bertindak dengan penuh strategi. Sebahagian besar punca kenaikan harga disebabkan oleh manipulasi pemborong dan pembekal, selebihnya barulah penjaja.

Penjaja di pasar mendapat barang daripada pembekal dengan harga mahal. Mustahil mereka akan menjual dengan harga murah terutama ayam dan ikan. Maknanya untuk membanteras manipulasi harga sasaran utama bukanlah penjaja di pasar semata-mata.

Tetapi yang diperlihatkan di televisyen dan surat khabar adalah penjaja terutama di pasar pagi di bandar-bandar. Ini bertambah pelik apabila orang kuat di kementerian kerap sangat membuat "rombongan Cik Kiah" ke pasar-pasar dan yang turut serta adalah ketua-ketua jabatan dan bahagian.

Berita tentang "rombongan Cik Kiah" menyerbu pasar begitu banyak disiarkan. Saya meragui keberkesanannya kerana lawatan itu begitu protokol dan kalau benar ada yang menaikkan harga, sudah pasti tidak sempat untuk diambil tindakan. Kecualilah ada penjaja yang hendak tumpang glamor masuk surat khabar.

Meninjau

Ini berbeza dengan cara pengasas Kumpulan DRB Hicom, Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad meninjau kelancaran perkhidmatan bas Intra Kota pertengahan 1990-an. Saya sendiri pernah terserempak dengan beliau yang menaiki bas Intrakota seorang diri ketika penumpang berpusu-pusu hendak pergi kerja. Beliau tidak membawa rombongan, jauh sekali orang media. Pemandu dan konduktor bas pun tidak perasan bahawa tuan punya bas ada bersama-sama mereka.

Saya mulai tertanya-tanya sejauh manakah kesan daripada "rombongan Cik Kiah" membanteras harga barang yang dinaikkan sesuka hati? Siapa pula yang tinggal di pejabat membuat perancangan dan strategi apabila sebahagian bos besar pergi ke pasar?

Bagaimanapun kita bertuah kerana kerajaan prihatin dengan sengsara rakyat berhadapan isu kenaikan harga barang. Buktinya kerajaan telah melancarkan 11 langkah penjimatan dan ini adalah keprihatinan yang boleh diungkapkan sebagai "hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah." Malah ini satu permulaan yang sangat baik.

Penjimatan ini adalah penting untuk menunjukkan kerajaan tidak boros dalam keadaan rakyat terpaksa "mengikat perut". Ada sesetengah dalam kalangan rakyat sudah tidak tahu apa itu berjimat. Mereka sering tidak cukup wang untuk berbelanja perkara asas.

Kempen berjimat perlu lebih ditekankan kepada kementerian, agensi dan jabatan kerajaan yang sebelum ini kelihatan mewah untuk perkara-perkara yang tidak banyak menyumbang kepada rakyat. Lihat sahaja setiap kali bulan Ramadan, pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berlumba-lumba menganjurkan acara "berbuka puasa." Istilah yang tepat adalah acara makan bermewah. Nilai satu meja membolehkan petani dan nelayan menampung hidup selama setahun.

Mengundang sekumpulan anak yatim atau ibu tunggal tidak boleh memadam hakikat bahawa acara berbuka puasa itu mewah dan berlebihan daripada yang sepatutnya.

Apakah majlis berbuka puasa tidak boleh diadakan secara sederhana dan untuk membolehkan lebih banyak daripada golongan yang kurang bernasib menyertainya? Adakah sesebuah kementerian atau jabatan akan dipandang serong sekiranya tidak ada majlis berbuka puasa di hotel mewah?

Mengambil semangat baharu supaya berbelanja dengan berhemah, acara berbuka puasa tahun ini perlu lebih sederhana. Kerajaan mesti menunjukkan contoh yang baik supaya boleh diteladani oleh rakyat. Ini bukanlah mustahil untuk dilakukan.



Ku Seman Ku Hassain kusemankh@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 20140126

PATI: Jangan tolak ansur lagi...

MENJELANG Tahun Baharu Cina pada 31 Januari ini, operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) mengundang rasa tidak senang hati dalam kalangan tauke restoran dan kilang.

Mereka mendakwa operasi itu menjejaskan urusan perniagaan. Lalu mereka meminta operasi itu ditangguhkan sehingga selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Permohonan itu sama ada dilayan atau tidak oleh kerajaan belum pasti. Tetapi, mungkin kita boleh nampak kesannya selepas dua hari operasi besar-besaran baru-baru ini.

Pada awal pagi 21 Januari lalu operasi memburu PATI dijalankan di seluruh negara.

Banyak pekerja warga asing yang lintang pukang lari dan ada yang terperangkap dalam serbuan bersepadu yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ada operasi yang berjaya menahan beribu dan beratus PATI, ada juga sekadar berpuluh orang sahaja yang melibatkan warganegara terutama Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Vietnam, India, Pakistan, Filipina, China, Nigeria dan Thailand.

Tetapi sejak dua, tiga hari ini, semakin berkurang laporan tentang operasi memburu PATI. Kenapa agaknya? Jawapannya ada pada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Elok urusan pemburuan itu diserahkan kepada pihak berkuasa sahaja. Mungkin pihak berkuasa sedang menguruskan tentang penghantaran pulang semua pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Operasi Bersepadu (6P) Fasa 2 di seluruh negara baru-baru ini ke negara asal dalam tempoh tujuh hari bagi mengelak kesesakan di pusat tahanan serta mengurangkan kos perbelanjaan.

Sehingga 20 Januari lalu, kira-kira 420,000 PATI masih berada di seluruh negara selepas program khas pengurusan PATI (PKPP).

Pengarang Berita Utusan Malaysia, Ramli Abdul Karim menulis tentang isu pekerja asing dan PATI ini, sejak sekian lama, pengumuman 'melancarkan operasi besar-besaran', 'melipatgandakan operasi', 'memberi amaran keras', 'akan memburu PATI' dan 'meningkatkan penguatkuasaan' sudah sebati dan sinonim dengan KDN serta agensi di bawahnya.

Namun sejauh mana pengumuman itu benar-benar dilaksanakan. Setakat mana kemampuan Jabatan Imigresen, polis dan Rela memikul tanggungjawab 'besar-besaran' itu, adakah mereka cukup penguat kuasa berbanding bilangan PATI yang melibatkan jutaan orang?

Dalam tempoh empat bulan lalu (21 Oktober 2013 -20 Januari 2014), 68,000 PATI berada dalam pusat tahanan dan perbelanjaan mereka termasuk makan minum ialah RM29 juta.

Walaupun kerajaan berjaya mengutip levi sebanyak RM39 juta, ia masih membebankan untuk menanggung tahanan PATI yang akan ditahan sepanjang operasi ini.

Bukankah dengan menangkap lebih ramai PATI, akan meningkatkan lagi beban dan kos yang ditanggung kerajaan? Jaminan untuk menghantar pulang segera PATI bukan semudah yang kita jangka.

Imigran

Hakikatnya perbahasan isu kehadiran imigran sama ada secara sah mahupun haram di sisi undang-undang bukanlah hanya berlaku di Malaysia malahan turut mengundang polemik di banyak negara maju dan makmur termasuk Amerika Syarikat dan negara di Eropah.

Di London misalnya, cadangan paling radikal yang dikemukakan oleh Menteri Imigresen, Damian Green ialah pekerja asing bakal disingkirkan selepas lima tahun sekiranya pendapatan mereka dalam setahun kurang daripada £31,000.

Beliau berkata, pendatang dari negara bukan Kesatuan Eropah (EU) perlu membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik dan cerdik, jika ingin menetap di Britain.

Di bawah peraturan sedia ada, pekerja berkemahiran seperti jururawat dan chef yang dibenarkan bekerja di bawah visa pekerja, berpeluang memohon menjadi penduduk tetap selepas lima tahun. Setiap tahun, 60,000 pekerja mahir diberikan taraf penduduk tetap.

Menurut Green, tujuan beliau mengemukakan cadangan itu adalah bagi membolehkan hanya mereka yang terbaik sahaja datang ke Britain.

Perkara yang hampir sama iaitu mencari warga baharu daripada kalangan profesional dan cerdik sudah pun berlaku di Australia.

Tetapi Malaysia jauh berbeza.

Kalau kita 'lepak' di kedai mamak, pasti kita akan memesan makanan daripada pendatang asing. Begitu juga, di medan selera, kita akan berjumpa dengan pendatang asing (izin atau haram) yang mengambil pesanan dan memasak makanan.

Jika kita menaiki pengangkutan awam, kita pasti akan bersesak-sesak dengan pendatang asing. Pendek kata, keluar rumah sahaja, kita akan berselisih dengan warganegara asing.

Rakyat Malaysia kini dikelilingi oleh pekerja asing sehingga memeningkan kepala. Malah pembantu rumah juga, terdiri daripada pekerja asing.

Hari ini kita boleh lihat pendatang asing dari Pakistan bebas berniaga kain, tikar, permaidani dan pelbagai keperluan hiasan rumah dari satu taman perumahan ke perumahan lain dan dari kampung ke kampung.

Ada beribu-ribu warga asing dari Thailand berniaga restoran tomyam, kaum Rohingya berniaga sayur di pasar, warga India bekerja di kedai gunting rambut dan restoran mamak, warga Indonesia berniaga runcit, pasar malam dan menjadi kontraktor binaan.

Fenomena warga asing berniaga di negara kita mungkin bukan menjadi isu kepada sesetengah pihak berkuasa tetapi tidak kepada rakyat. Namun ramai warga tempatan tanpa sedar turut menyokong dari segi menggunakan khidmat atau membeli barangan jualan peniaga asing tersebut.

Bumi Malaysia memang subur dan bertuah kepada sesiapa yang rajin berusaha termasuk pendatang asing. Kalau tak kaya pun tapi boleh hidup senang.

Adakah wujud undang-undang atau peraturan yang mengatakan rakyat asing dibenarkan menjalankan perniagaan di negara ini sebagaimana layaknya pelabur atau pedagang yang berdaftar.

Pekerja asing yang ada permit sepatutnya bekerja dan bukannya menjalankan perniagaan. Mereka hanya layak bekerja dalam lima sektor yang dibenarkan oleh kerajaan Malaysia iaitu perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan. Tak ada pun disebutkan mereka dibenarkan berniaga.

Rakyat kita sudah rimas menunggu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas pendatang asing yang berniaga.

Empayar perniagaan mereka pula berkembang daripada kecil kian membesar dan menambah cawangan baru di kawasan lain.

Perkara warga asing berniaga di kawasan pentadbiran PBT bukan baharu dan tidak nampak di mata pegawai penguat kuasa. Tapi apa yang mereka buat hingga bertambah ramai warga asing berniaga?

Kalau dilihat di sekeliling kita, perniagaan rakyat asing ada di mana-mana. Fenomena ini patut diperbetulkan segera dengan tindakan tegas lagi berani daripada kerajaan melalui KDN dan PBT.

Tidak patut ada lagi alasan itu dan ini daripada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap warga asing yang berniaga di negara ini. Minggu lalu pun Perdana Menteri sudah menegur perihal premis yang disewakan kepada warga asing. Bila pihak berkuasa hendak bertindak?

Pendatang asing sudah pun membanjiri bandar-bandar besar di seluruh negara. Impak daripada kebanjiran pendatang asing ini jelas semakin membimbangkan terutama dari segi konflik sosial dan keselamatan negara. Contohnya kes jenayah seperti rogol, bunuh, rompak, samun dan ragut. Ini belum mengambil kira pencemaran bandar, pelacuran serta masalah setinggan.

Dasar liberal pelancongan memburukkan lagi permasalahan pendatang asing terutama yang memanipulasi dokumen dan tinggal lebih masa sebelum menyerap dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.

Pendatang asing melimpah ruah di bumi Malaysia kerana kemakmuran ekonomi kita yang menjanjikan kehidupan lebih selesa berbanding dengan negara asal mereka. Mereka sanggup meredah ombak dan bergadai nyawa untuk memasuki Malaysia secara haram semata-mata untuk hidup senang.

Isu sempadan kita mudah dibolosi keluar masuk pendatang haram telah lama diperkatakan. Buktinya bagaimana lelaki Lombok boleh melarikan anak gadis Malaysia dengan begitu mudah. Jangan jadikan undang-undang kita hanyalah simbol dokumentasi, sedangkan pelaksanaannya belum tentu mampu menyelesaikan masalah.

Kenapa isu PATI tidak sudah-sudah dibicarakan? Jawapan yang dipersetujui banyak pihak adalah kerana pihak berkuasa tidak bertindak berani, tegas dan berterusan ke atas majikan-majikan yang menggajikan PATI. Kalau melancarkan 'operasi besar-besaran' pun hanya bermusim dan 'hangat-hangat tahi ayam'.

Ingatlah kehadiran terlalu ramai pendatang asing ini jika dibiarkan satu hari kelak menjadi bom jangka yang bakal mencetuskan bencana besar kepada negara kta.

Kerajaan mesti bersungguh-sungguh menghantar mesej kepada pendatang asing termasuk PATI bahawa kita amat bertegas dalam perkara ini. Tiada tolak ansur lagi. Datanglah secara sah.

Walaupun kita memerlukan pendatang asing untuk bekerja tapi kita tidak sesekali akan berkompromi dengan PATI.



Azman Anuar azman.anuar@utusan.com.myUtusan Malaysia Rencana 20140126

Tangani isu PATI secara jimat kos

TINDAKAN tegas kerajaan untuk tidak lagi menanggung kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke negara ini dilihat merupakan permulaan yang baik dalam menangani isu kebanjiran mereka yang saban tahun bagaikan tidak pernah bernoktah.

Ini memandangkan, sudah sekian lama kerajaan Malaysia berlembut dengan mereka sehinggakan terpaksa memperuntukkan bajet khas dalam jumlah jutaan ringgit pada setiap tahun untuk menampung kos penghantaran pulang, selain kos makanan di depot tahanan PATI dan juga kos penyelenggaraan depot itu di seluruh negara.

Apabila segala kos yang terlibat bersangkut paut proses penghantaran pulang PATI terletak di bahu kerajaan Malaysia, pastinya ia menyebabkan mereka semakin ‘naik lemak’ dan tidak serik untuk masuk semula ke negara ini setelah dihantar pulang.

Ini kerana mereka memikirkan tidak perlu untuk mengeluarkan wang untuk pulang, sebaliknya beban itu digalas oleh kerajaan kita sendiri.

Sedangkan, alangkah bagusnya jika bajet yang diperuntukkan untuk tujuan berkenaan digunakan untuk kepentingan rakyat kita sendiri, misalnya bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat pada hari ini atau untuk tujuan lain bagi pembangunan negara.

Malahan, melalui program-program pengampunan dan pemutihan PATI yang dilakukan sebelum ini, mereka boleh pulang ke negara asal tanpa sebarang tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka. Ini sedikit sebanyak menyebabkan mereka langsung tidak takut dan terkesan dengan pelbagai operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Selain terpaksa menanggung kos yang banyak untuk penghantaran mereka pulang, kebanjiran mereka yang tidak terkawal juga menyebabkan kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai permasalahan lain yang dicetuskan oleh mereka.

Misalnya, kita dapat lihat bagaimana mereka dengan sewenang-wenangnya membentuk dan menguasai penempatan-penempatan tertentu serta bebas melakukan pelbagai aktiviti sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam.

Malahan, daripada rekod kes-kes lepas jenayah sadis yang berlaku di negara kita seperti bunuh, rogol, ragut, rompakan dan sebagainya banyak membabitkan pendatang asing sehinggakan rakyat tempatan berasa tidak selamat walaupun berada di negara sendiri.

Selain isu yang melibatkan jenayah, kebanjiran mereka juga banyak mengundang masalah kepada alam sekitar. Daripada pengamatan, didapati masalah-masalah pencemaran juga banyak membabitkan dalam kalangan mereka.

Misalnya dapat dilihat di kawasan-kawasan penempatan yang dimonopoli oleh mereka, sampah-sarap (seperti bahan buangan perabot, tilam buruk dan sebagainya) sangat tidak terkawal sehingga mencacatkan pemandangan dan keindahan di kawasan terbabit, sekali gus merumitkan lagi usaha kerajaan dalam memastikan tahap kebersihan persekitaran sentiasa terjaga.

Ini pastinya juga menuntut peruntukan kos berasingan yang tinggi untuk menangani permasalahan berkenaan.

Dalam erti kata lain, kerajaan bukan sahaja terpaksa memperuntukan kos yang terlibat dalam proses penghantaran mereka pulang, tetapi juga terpaksa menanggung beban kos lain akibat daripada segala permasalahan yang dicetuskan oleh mereka.

Selain banyak mengundang permasalahan sosial dan alam sekitar, kebanjiran mereka juga turut merampas hak rakyat tempatan dari sudut ekonomi. Misalnya, daripada dakwaan yang dibuat oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Wilayah Persekutuan, didapati kira-kira lebih daripada 60 peratus premis perniagaan telah disewakan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab kepada pendatang asing.

Keadaan ini sekali gus mengundang masalah kepada peniaga kecil tempatan yang terpaksa bersaing dengan warga asing.

Ini pastinya agak tidak adil kepada rakyat tempatan kerana pendatang asing yang masuk secara haram yang sepatutnya tidak mempunyai sebarang hak istimewa di dalam negara kita dengan mudah sahaja bebas melakukan aktiviti perniagaan yang seharusnya dimonopoli oleh rakyat tempatan.

Justeru, langkah yang diambil oleh kerajaan untuk meletakkan tanggungan kos penghantaran pulang PATI di bahu pihak majikan, pekerja atau pihak kedutaan negara masing-masing adalah langkah yang tepat dalam usaha mengurangkan kebanjiran mereka di negara ini.

Apabila kita meletakkan tanggungan kos penghantaran pulang PATI di bahu mereka sendiri, ia pastinya akan menyebabkan mereka berfikir lebih panjang untuk masuk secara haram ke negara ini.

Begitu juga bagi pihak majikan, dengan cara ini pastinya mereka lebih bertanggungjawab dalam urusan mengambil pekerja asing dengan cara yang sah agar mereka tidak dibebani kos penghantaran pulang di kemudian hari yang membabitkan PATI.

Malah, ia juga dilihat satu langkah yang baik agar pihak pemerintah negara masing-masing lebih bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah kemasukan rakyat mereka ke negara ini secara haram.

Perhatian daripada mereka berhubung perkara ini juga pastinya sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kerajaan kita untuk memikirkan masalah kebanjiran PATI di negara ini, sekali gus membanteras kebanjiran PATI dari semasa ke semasa dan pembaziran kos untuk proses penghantaran mereka pulang juga dapat dielakkan.

PENULIS Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam (IKIM) Utusan Malaysia Rencana 20140127

Survival negara tanpa PATI

Pada 1988 lagi isu pendatang haram sudah berbangkit sebagai isu besar di Malaysia.

Ketika itu, Tan Sri Dr. Rais Yatim sebaik sahaja keluar dari Kementerian Luar, telah didatangi pihak-pihak dari Indonesia untuk merundingkan berhubung pekerja-pekerja dan petugas dari Indonesia ke Semenanjung.

Dan sebagai bekas Menteri Luar, kata Rais kepada mereka, Malaysia mesti mengutamakan pekerja-pekerja atau penjawat profesional dalam kalangan pakar. Yakni, pakar jururawat yang tinggi tahap khidmatnya, pakar matematik, bahasa dan perubatan termasuk daripada sektor guru.

Namun pada waktu itu Rais 'bertembung politik' pula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyebabkan projek membawa masuk pakar-pakar berkenaan terbengkalai.

Para majikan berbaris panjang di pekarangan Pusat Kelulusan Setempat (OSC) bagi mendaftarkan pekerja asing pada hari terakhir
Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) di Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.

Sejak 1988 itulah dianggarkan sejumlah 3.5 juta manusia telah bergerak masuk ke negara ini. Hampir 50 peratus atau lebih terdiri daripada mereka bertaraf pendatang asing tanpa izin (PATI).

Istilah pendatang haram dan tanpa izin menunjukkan kita ibarat 'sejumlah orang yang takut'. Sepatutnya diistilahkanlah sebagai pendatang haram di sisi undang-undang. Malangnya, suara untuk mengekalkan istilah pendatang haram itu 'tenggelam' dek kononnya atas pertembungan kemanusiaan.

Soalnya, isu kemanusiaan Malaysia tidak difikirkan tetapi kemanusiaan warga asing pula yang diserabutkan - terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, China dan India sehingga mencecah 3.5 juta.

Rais, 72, yang kini Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Budaya dan Sosial menarik perhatian penulis mengenai isu PATI yang kini digerak gempur oleh Kementerian Dalam Negeri di bawah teraju menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Betapa oleh kerana fenomena sosial begitu berat terutama daripada PATI Indonesia dan Bangladesh yang 'tidak mewakili para profesor' atau nilai tambah kepada Malaysia, melainkan hanya sekadar datang sebagai buruh kasar - maka dari segi budaya dan fakta penyusunan masyarakat tidak hadir atau wujud menerusi mereka.

"Tujuan sebahagian mereka datang semata-mata untuk mencabul undang-undang negara ini khasnya risiko yang terpaksa ditanggung (Jabatan) Imigresen, walhal mereka ini hantar balik berbilion-bilion ringgit ke negara asal.

"Bagaimanapun jika diteliti sedalam-dalamnya, kemasukan PATI ini seakan-akan terancang," kata Rais ketika ditemui di pejabat Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, kelmarin.

"Kita boleh kata benar kita ada rezeki emas tapi alasan itu tidak boleh diterima. Mereka datang ramai disebabkan kelonggaran kita.

"Mungkin ada yang kecil hati dengan ulasan saya ini tapi ini benar.

"Antara tekong, mereka berurusan dengan majikan. Ini berlaku terutamanya antara 1989-1990 yang memang amat mudah orang luar masuk ke pantai kita di Sabah dan Terengganu, serta sedikit di Sarawak. Waktu masuk di Tanjung Tuan, Negeri Sembilan dan Pulau Pisang di Pontian, Johor, ini semua dalam pengamatan kita, ya (pengamatan) semasa saya di penghujung bertugas di Wisma Putra pada 1987," kata beliau.

"Memang diakui PATI bekerja dan beri sumbangan besar kepada khidmat tenaga di Malaysia antaranya di ladang-ladang getah dan sawit. Ini menyumbangkan pengeluaran kasar negara.

"Namun di sebaliknya kita menanggung beban sosial amat berat seperti aspek perubatan dan perumahan."

Di satu sisi yang lebih penting lagi, kata Rais:

"Lambakan PATI atau warga asing di negara ini mengajar orang Malaysia menjadi 'tuan besar'.

"Ini khasnya ditujukan kepada orang Melayu yang tak reti (tak berupaya) nak buat kerja-kerja kasar dan asas yang temukan tanah dan tangan, libatkan pertukangan bancuh simen dah tak 'reti' dan tak mahu."

Disebabkan kos pemburuhan murah dalam kalangan warga asing, lama-kelamaan kesemua (kerja) diserah kepada mereka - daripada jual teh tarik, ambil gerai di Jalan Chow Kit sehinggalah buat perkampungan di Balakong dan Berembang.

"Kita dipesongkan dengan majlis keramaian mereka di Taman Dagang, warga Bangladesh pula besar jumlahnya sehinggakan orang Melayu nak sewa kedai di situ pun takut. Di Ampang Point, peniagaan kecil-kecilan dirampas orang asing. Orang Melayu tak ada tempat, di pasar borong pun tak ada.

"Daripada 10 kontraktor tempatan, sembilan guna tenaga buruh luar. Cina, Melayu tak reti bancuh simen, jadi penurap jalan.

"Dengan ini suara Bangladesh, India, Myanmar sudah jadi besar sehinggakan pihak berkuasa rumit untuk bertindak," katanya.

Dalam soal ini, mungkin ada pandangan disuarakan 'kalau tidak ada 3.5 juta PATI dan warga asing, macam mana Malaysia nak survive?".

"Soalnya, survival kita mesti bebas PATI seperti orang Amerika Syarikat, England, Eropah dan Ireland yang menggunakan tenaga keluarga. Kita perlu beransur-ansur kembali ke dunia pra-1988. Ini bukan mudah, cuma melainkan diri sendiri dengan memastikan pengambilan tenaga luar dikurangkan.

"Hal ini mesti direjimentasi dengan pelajaran kita. Ini, nak masak gulai sebelanga pun tak pandai dah, terpaksa guna orang luar. Sistem latihan kita mesti ke arah hidup berdikari," kata Rais.

Baik Rais mahupun penulis sendiri, kami bersetuju kalau orang Barat boleh buat apa sahaja kerja tanpa PATI, kenapa tidak kita juga?

Jika anggaran RM1,000 digaji kepada 3.5 juta orang, maknanya wang dihantar balik seperti dianggarkan oleh pakar ekonomi mencapai angka RM10 bilion hingga RM15 bilion. Ini mewakili separuh daripada nilai RM30 bilion yang dibekalkan oleh Petronas pada masa ini.

Kita tidak boleh beranjak terutama dari segi penetapan gaji kepada pekerja asing. Amaun gaji pembantu rumah misalannya tidak wajar ditentukan oleh pihak luar (kerajaan mereka). Jika sekarang mereka menuntut RM800 sebulan untuk gaji pembantu rumah, akan datang tak tahulah.

Kita jangan dilihat sentiasa beralah. Beban sosial pada negara iaitu beban pertukaran budaya yang mereka bawa sangat berat. Sekarang, warga Sudan dan Nigeria pun sudah ramai bilangannya di Kuala Lumpur.

Dan apabila ditanya adakah mereka pelajar antarabangsa di sini, jawabnya tidak.

Sekali lagi penguatkuasaan kita cukup nominal atau hanya pada nama.

Kita khuatir mereka ini macam Belanda dapat tanah. Lama-kelamaan kampung tergadai.


Oleh ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Rencana 20140128

Pemimpin mesti berani

WALAUPUN usianya akan menjangkau ke angka 92 tahun pada 28 Januari ini tapi PROF. DIRAJA UNGKU ABDUL AZIZ UNGKU ABDUL HAMID masih sihat bukan saja secara fizikal tetapi masih lagi berupaya menulis dan mengeluarkan idea-idea bernas. Kehidupannya kini juga lebih ceria dengan kehadiran isteri baharu di sisi yang dikahwininya hampir setahun lalu.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ungku bertemu jodoh dengan Rahaiah Baheran yang merupakan bekas Senator Parlimen selama dua penggal mulai tahun 1991.

“Saya sudah mengenali dia hampir 20 tahun. Kami berdua sudah solo. Mungkin inilah dikatakan jodohnya," kata Pak Ungku sambil tersenyum.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, MARHAINI KAMARUDDIN, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH dan jurugambar, ZAINI HUSIN di kediamannya, Astana Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Pak Engku turut berkongsi pelbagai isu mengenai bahasa Melayu, perpaduan kaum dan ekonomi.



Pak Ungku Aziz menjelaskan sesuatu kepada sidang pengarang Mingguan Malaysia.

MINGGUAN: Apakah pandangan Pak Ungku tentang perpaduan negara sekarang?

UNGKU AZIZ: Bahasa ialah penyatuan bangsa. Kita ada bahasa Melayu yang boleh menyatukan semua bangsa di negara kita. Dalam hal ini, pemimpin memainkan peranan penting. Mereka harus jelas tentang peranan dan apa yang dipimpin. Jangan terlalu mengutamakan pangkat dan duit. Kita harus hidup bersederhana, barulah kita boleh melaksanakan segala yang dirancang demi perpaduan.

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mempertahankan apa yang kita ada sekarang termasuk Perlembagaan negara?

UNGKU AZIZ: Apa yang kita ada sekarang menunjukkan bahawa sistem yang kita ada itu betul. Tetapi apa yang kita mahu ialah keadaan sekarang ini jadi semakin baik. Bagi saya, Perlembagaan tidak perlu dicuit. Apa yang sedia ada cukup baik untuk perpaduan dan masa depan negara.

Bagaimana Pak Ungku melihat perpaduan dan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sekarang?

UNGKU AZIZ: Pada pandangan saya, perpecahan bukan sahaja berlaku antara Melayu dengan Melayu, ini termasuklah Melayu kota dengan Melayu luar kota. Melayu dalam UMNO dengan Melayu dalam Pas dan PKR. Antara orang Melayu yang muda dengan tua.

Hal ini sama kalau dibuat perbandingan dengan Arab Spring yang tak akan terjadi sebab orang Melayu sendiri banyak masalah yang tidak diatasi.

Bukan saya nak komen tapi dalam kalangan pemimpin Melayu, siapa tokoh yang boleh kita ikut. Tokoh itu mesti garang dan bersemangat.

Pada hari ini tak ramai pemimpin Melayu yang garang. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini - tiada pendirian yang teguh.

Pemimpin macam Winston Churchill, dia tak suka kompromi. Pemimpin macam dia berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri?

Kalau pemimpin itu tegas, kalau dia kata jangan buang sampah di tepi jalan, orang suka atau tidak dia tidak peduli. Itu pendiriannya.

Orang Melayu kita sejak beratus tahun lalu ada yang suka tikam dari belakang. Ini diajarkan oleh penjajah kepada orang Melayu dan diamalkan sampai sekarang.

Bagaimana Pak Ungku melihat isu kenaikan harga barang ketika ini?

UNGKU AZIZ: Harga barang naik kerana kuasa pasaran. Kita tidak boleh menghalang keadaan ini. Tetapi apa yang lebih penting ialah sikap orang Melayu berhadapan dengan situasi ini.

Orang Melayu merupakan golongan yang paling banyak berhutang. Mengikut statistik Bank Negara, ada yang memiliki 15 kad kredit dan mereka dibelenggu hutang.

Saya dilatih oleh arwah bapa saya supaya tidak berhutang sejak usia saya tujuh tahun lagi.

Saya masih ingat ketika saya berusia 17 tahun, saya mahu membeli kamera tetapi duit saya tidak cukup. Apa yang saya lakukan ialah menyimpan duit dan akhirnya saya berjaya membeli kamera tersebut. Malah kereta pertama yang saya beli tunai ialah kereta terpakai jenis Ford lama.

Saya juga telah melakukan penyelidikan sendiri untuk melihat dan memahami gaya hidup masyarakat Melayu yang tinggal di desa yang dibelenggu kemiskinan.

Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH).

LUTH sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa yang panjang

Bagaimana Pak Ungku melihat penggunaan bahasa Melayu sekarang?

UNGKU AZIZ: Bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu. Sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak. Seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita.

Ada perkataan bahasa Melayu yang ditokok tambah dan lebih menyedihkan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa Melayu.

Saya tahu bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan tidak dapat disangkal. Itu tidak bermakna masyarakat perlu mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Saya tidak nafikan bahasa Cina (Mandarin) bakal menguasai global dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang.

Apakah yang perlu dilakukan bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa kebangsaan? Ini kerana ada kaum yang langsung tidak mahu mempelajari bahasa Melayu.

UNGKU AZIZ: DI Amerika Syarikat kaum imigran berlumba-lumba belajar bahasa Inggeris untuk berkomunikasi atau mencari pekerjaan. Yang dimaksudkan dengan bahasa Inggeris ialah bahasa Inggeris Amerika.

Bukan bahasa Inggeris England. Para pelajar baik muda atau tua termasuk kanak-kanak meskipun yang sememangnya boleh berbahasa Inggeris (England) diadun dan dilentur supaya bertutur dan menulis dalam loghat bahasa Inggeris Amerika.

Berbagai kemudahan disediakan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, termasuk institusi-institusi pelajaran untuk orang dewasa.

Namun tidak ada kaum imigran yang protes. Tidak ada yang mendesak supaya bahasa etnik mereka diterima sebagai bahasa rasmi.

Sebaliknya rakyat Amerika amat bangga dengan bahasa Inggeris Amerika.

Keadaan berbeza dengan Malaysia, kita tidak ada kelas khas untuk mereka yang tidak tahu menggunakan bahasa Melayu.

Apa salahnya kita wujudkan kelas atau kursus bagi orang dewasa yang berumur 20-an ke atas khususnya orang luar yang mendapat status kewarganegaraan tetapi tidak tahu berbahasa Melayu. Kita juga boleh mengadakan kelas melalui internet dan lama-kelamaan bahasa Melayu akan terus kekal sebagai Bahasa Kebangsaan.

Kita mesti ada satu bahasa untuk semua orang sebagai simbol perpaduan.

Bagaimana Pak Ungku melihat peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu?

UNGKU AZIZ: Masalah paling utama ialah kita tiada penguasaan. Lama-kelamaan semangat cintakan bahasa Melayu akan hilang. Kita ada banyak rancangan tetapi pelaksanaan kurang. Itulah yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa. Mereka harus melaksanakan kuasa, kalau tidak, semuanya akan terlepas.



AZMAN ANUAR, MARHAINI KAMARUDDIN, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH dan jurugambar, ZAINI HUSIN Utusan Malaysia Rencana 20140126

Buku, teka silang kata, sudoku cabar minda Pak Ungku pada usia 92

HARI ini genap usia Profesor Diraja Ungku Aziz 92 tahun. Mesra dipanggil Pak Ungku, pemilik nama ini sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang pertama, pencetus penubuhan Asasi Sains UM, pengasas Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) - sumbangan beliau cukup besar dalam pembangunan negara yang sewajarnya dikenang oleh setiap warga Malaysia.

Justeru kesempatan bertemu Pak Ungku pada Sabtu lalu tidak saya lepaskan sama sekali.

Empat hari sebelum ulang tahun beliau yang ke-92, saya cukup teruja melihat keadaan tokoh akademik ini.

Siapa yang tak kenal Pak Ungku? Beliau ialah ikon kesihatan dan kecergasan. Menyebut namanya sahaja akan tergambar seorang lelaki berwajah Melayu-Arab berjambang putih sedang berjoging.

Namun setibanya saya di kediaman beliau di Astana Damansara, disambut mesra isterinya, Rahaiah Baheran, usia yang menjangkau satu alaf nampaknya terkesan jua pada raut wajah Pak Ungku.

Dan beliau mengakui kudratnya tidak seperti dulu lantas aktiviti joging yang menjadi kebiasaan sejak muda terpaksa ditinggalkannya.

Beliau kini hanya melakukan senaman ringan dengan mengayuh basikal statik, bergayut pada monkey bar dan turun naik tangga pangsapurinya.

“Masalahnya kaki saya sekarang tak berapa tahan," katanya. “Tetapi minda saya masih pantas dan aktif sebab sentiasa dicabar."

“Saya sentiasa membaca buku dan akhbar selain membuat teka silang kata dan sudoku," katanya.

Jelas sekali kekangan fizikal akibat faktor usia tidak sedikit pun melemahkan minda Pak Ungku.

Mungkin disebabkan minat beliau yang cukup mendalam terhadap buku selain faktor usia, Pak Ungku kini tak boleh berpisah daripada cermin mata.

Menariknya beliau mempunyai tujuh set cermin mata untuk pelbagai fungsi yang berbeza iaitu membaca buku dan akhbar, menonton televisyen, menggunakan komputer, menulis, bersenam dan bersantai.

“Inilah kehidupan saya. Mesti cukup senaman, makanan, bahan bacaan dan rehat," ujarnya.

Beliau membaca empat surat khabar setiap hari. Seorang fast reader, beliau boleh menghabiskan membaca empat akhbar dalam bahasa Melayu dan Inggeris tidak sampai setengah jam.

Namun jika ada rencana menarik, Pak Ungku akan memotong dan menyimpan keratan akhbar itu untuk dibaca lebih teliti pada masa lapang.

Oleh kerana kecintaan yang mendalam terhadap buku, setiap bulan beliau akan menerima satu beg dari Amazon.com - iaitu buku-buku yang ditempahnya daripada laman atas talian itu yang nilainya antara RM200 hingga RM300 setiap penghantaran.

Sehingga kini, Pak Ungku mempunyai kira-kira 4,000 buku dalam simpanannya.

“Saya punya peraturan, kalau sudah beli mesti baca!" ujar beliau.

Buat masa ini, Pak Ungku sedang ralit membaca karya terbaru pencipta Harry Porter, J. K. Rowling menggunakan nama pena Robert Galbraith iaitu The Cuckoo’s Calling.

Mengakui cukup minat dengan kisah detektif atau penyiasatan, karya-karya Jane Austen turut menjadi koleksi kesayangannya. Pada masa sama, beliau turut mencuba karya penulis baru seperti Barbara Ismail dengan Princess Play - Kain Songket Misteries.

Ditanya tidakkah beliau sendiri mahu menulis buku atau setidak-tidaknya autobiografi tentang perjalanan hidupnya, Pak Ungku dengan tegas menjawab tidak berminat. “My life is my life (Hidup saya adalah kehidupan saya)," katanya.

Namun saya berpendapat kisah hidup Pak Ungku memang patut ditulis.

Perjalanan hidup beliau cukup berwarna-warni untuk dibukukan. Daripada susur galur ibu keturunan Turki dan bapa kerabat diraja Johor, kehilangan ibu pada usia muda dua tahun, menjelajah di Eropah bersama datuknya, kehidupan sebagai tokoh pendidikan dan ekonomi, sehinggalah sekarang.

Walaupun Pak Ungku enggan dikaitkan lagi dengan Angkasa yang disifatkan beliau sebagai sudah putus habis umpama kepala dipenggal dengan pedang samurai, jasanya terhadap pembangunan koperasi tidak boleh dinafikan.

Pak Ungku patut menjadi ikon hidup kepada rakyat Malaysia. Rahsia kesihatan dan kecergasan beliau wajar dicungkil dan dikongsi untuk dicontohi kita semua yang kini berhadapan bermacam-macam penyakit gaya hidup.

Lebih penting, budaya membaca yang diamalkan Pak Ungku patut menjadi ikutan bagi membentuk minda rakyat Malaysia yang aktif dan cerdas.

Sepatah kata Pak Ungku; “Minda saya mesti dicabar setiap hari. Use it or you lose it (gunakannya atau anda akan kehilangannya)."



Coretan Marhaen Utusan Malaysia Rencana 20140128

Bahasa Melayu baku, bahasa ilmu dan perpaduan

KENYATAAN Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid mengenai bahasa Melayu amat menarik untuk direnungkan.

Kata beliau - “Malang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak. Seolah-olah tidak punyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita.’’

Bahasa adalah alat komunikasi dan pengucapan. Ia mempunyai etos yang menghubungkan manusia dengan manusia dan juga budaya.

Bahasa jiwa bangsa menggambarkan sesuatu bahasa yang tidak saja diamal dan dihayati tetapi terkandung makna yang menghubungkan pemikiran dan hati.

Bahasa Melayu di Malaysia telah wujud ratusan tahun bersama kehadiran bangsa Melayu dan mengukir sejarah, tradisi dan budayanya. Apabila orang Cina dan India yang datang lebih awal di Tanah Melayu mereka menuturkan bahasa Melayu Peranakan sehingga digelar bahasa Cina dan India Peranakan.

Bahasa Melayu pada waktu itu walaupun sifatnya Peranakan tetapi menjadi bahasa perhubungan dan pengucapan dan ia mampu membina asas perpaduan.

Selepas merdeka bahasa Melayu ditempatkan dalam sistem pendidikan yang membolehkan ia dipelajari secara tertib dengan pemahaman terhadap nahu dan ayat sehingga ia menjadi baku dalam sebutan.

Di suatu tahap bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) dan mampu melahirkan ramai graduan dalam pelbagai lapangan dan menyumbang kepada kemajuan negara.

Cabaran globalisasi menyebabkan bahasa Inggeris mula dominan di IPT dan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan untuk mengukuhkan subjek Sains dan Matematik.

PPSMI kemudiannya digantikan dengan strategi Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) iaitu memartabat bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris. Pendekatan bilingual ini bertujuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia.

Strategi ini adalah sesuatu yang bijaksana. Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penyelidikan dan pengkaryaan mampu menjadikan bahasa ini berperanan di pentas dunia. Lebih 300 pengucap bahasa ini di rantau Asia Tenggara dan dengan pertumbuhan IPT yang pesat membolehkan pelajar luar negara mempelajarinya.

Ia menuntut keberanian dalam kalangan pembuat dasar menjadikan bahasa Melayu wajib dipelajari oleh setiap warganegara Malaysia secara baku dan ditawarkan kepada pelajar-pelajar luar negara.

Dalam tradisi Islam, ilmuan Islam menguasai banyak bahasa sebagai sumber mendapatkan ilmu. Al-Biruni mempelajari bahasa Hindu di India dan menjadikan bahasa itu sebagai alat menguasai ilmu seperti matematik, perubatan dan astronomi.

Bahasa Melayu tidak dapat mengelak dairpada meminjam bahasa lain terutama dalam bidang sains dan teknologi. Tetapi ia mestilah dalam struktur kebahasaan yang betul dan penggunaan kosa kata yang bertepatan.

Keupayaan bahasa Melayu menjadi bahasa sains dan teknologi membolehkan kemajuan berlaku dan kemampuan bersaing terbina. Terbukti kemajuan negara Barat seperti Perancis dan Jerman menggunakan bahasa ibundanya dan kemajuan Jepun, Cina dan Korea menggunakan bahasa ibundanya seimbang dengan apa yang berlaku di kalangan pengguna bahasa Inggeris.

Mempelajari bahasa Cina umpamanya tidak salah asal sahaja penguasaan bahasa Melayu diutamakan. Bangsa Cina bakal bangun sebagai sebuah kuasa besar suatu ketika nanti. Mempelajarinya adalah persiapan untuk mempelajari ilmunya terutama dalam bidang siber.

Dalam konteks Malaysia penggunaan bahasa Melayu tidak harus diremehkan. Dasar ini ada dalam sistem pendidikan tidak pula meremehkan bahasa Inggeris dan memperleceh bahasa sukuan.

Lebih-lebih lagi bahasa Melayu secara Perlembagaan adalah bahasa rasmi dan dalam pendidikan adalah bahasa pengantar. Ia menjadi asas kepada perpaduan negara.

Jangan biarkan bahasa Melayu menjadi bahasa rojak akibat pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang boleh menjejas kebakuan bahasa ini.

Kebakuan dalam perhubungan, percakapan dan pengkaryaan amat penting diperkukuhkan supaya bahasa Melayu mampu tampil sebagai bahasa ilmu, sains dan teknologi.

Tekad politik dan perpaduan yang tinggi amat diperlukan untuk mencapai cita-cita ini. Isu bahasa tidak harus menjadi gelanggang kelompok cauvinis yang menajamkan lagi masalah kaum di sini.



DARI JENDELA TOK KI Utusan Malaysia Rencana 20140128

Landasan PPPM sudah tepat - penilai antarabangsa

KESEJUKAN yang menusuk hingga ke tulang ketika berada di ibu kota Inggeris ini dihangatkan dengan keyakinan yang diluahkan oleh pakar-pakar pendidikan dunia tentang sistem pendidikan di Malaysia.

Mereka sungguh positif dengan langkah kerajaan Malaysia dalam mentransformasikan sistem pendidikan menerusi Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu.

Pada pendapat mereka, Malaysia mengambil langkah tepat dengan melaksanakan PPPM dalam usaha untuk bersaing dengan negara termaju di dunia kerana sistem pendidikan berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.

Walaupun ada segelintir rakyat di Malaysia kurang senang dengan pelaksanaan PPPM, namun bagi pihak luar dan yang pakar dalam bidang pendidikan, pelan ini adalah keperluan yang harus dibuat oleh negara yang ingin maju, bersaing dan mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia.

Berpeluang menemubual dua Panel Penilai Bebas Antarabangsa PPPM 2013-2025 di kota London sempena mengikuti lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri menghadiri Forum Pendidikan Sedunia (EWF) dari 19 hingga 22 Januari lalu membuka lembaran yang cukup menakjubkan tentang pendapat mereka tentang sistem pendidikan di negara ini terutamanya pelaksanaan PPPM.

Bertemu di lobi The Tower Park Hotel , Dr. Andreas Schleicher menyatakan bahawa pendekatan yang diambil dalam menghasilkan PPPM adalah suatu langkah berani dan julung-julung kali dilakukan.

Katanya, Malaysia sememangnya mempunyai beberapa sekolah bertaraf dunia, ini suatu yang boleh dibanggakan, namun masih terdapat jurang prestasi antara sekolah, guru dan pelajar yang masih boleh ditingkatkan.

Maka, katanya, pelaksanaan PPPM akan membantu merapatkan jurang tersebut, sekali gus menaikkan prestasi pelajar Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang kini hanya meletakkan negara dalam kumpulan sepertiga bawah dalam kalangan negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Beliau yang juga Penasihat Khas Polisi Pendidikan kepada Setiausaha Agung OECD dan bertanggungjawab dalam menjalankan PISA yakin PPPM bakal melakar visi sistem pendidikan dan aspirasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan, sekali gus menjadi pemangkin kepada kenaikan prestasi PISA.

“Namun, yang penting adalah untuk merealisasikan semuanya bergantung kepada pelaksanaan yang sistematik.

“PPPM ialah sebuah buku , realitinya bagaimana pelan ini akan diterjemah dan dilaksanakan. Pelaksanaan bukan sahaja bergantung kepada kementerian, pengetua atau guru, namun turut melibatkan ibu bapa dan komuniti. Pendidikan adalah urusan semua orang dan bukannya hanya berserah kepada pihak sekolah,’’ katanya.

Sementara, seorang lagi panel penilai, Michael Fullan memberitahu beliau yakin dalam masa lima tahun, Malaysia akan melihat hasil yang menakjubkan terhadap prestasi pelajar menerusi pelaksanaan PPPM.

Bagaimanapun untuk impian menjadi realiti memerlukan kegigihan dua tonggak utama dalam sektor persekolahan.

“Pertama ialah guru, kedua pengetua. Jika kedua-duanya saling membantu dalam menjayakannya, maka saya yakin PPPM dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus Malaysia menjadi negara yang disegani dalam bidang pendidikan,’’ tegasnya.

Menurutnya, tidak dilupakan dalam menjayakan sesuatu pelan, wujudnya cabaran dan dalam konteks ini dilihat komunikasi antara pengetua dengan guru dan kesediaan dua tonggak ini dalam merealisasikan pelan yang disediakan.

Tambahnya, walaupun pelan pembangunan pendidikan ini baru dilaksanakan, namun kesan awal seperti kadar literasi, keupayaan dalam penguasaan Matematik dan pelajar berjaya menamatkan alam persekolahan telah meningkat.

“Ini petanda bahawa pelan yang dirancang untuk 12 tahun itu telah menunjukkan peningkatan yang positif walaupun baru sahaja dilaksanakan,’’ ujarnya.

Sempena lawatan tiga hari Timbalan Perdana Menteri ke London, beliau turut diberi taklimat oleh Cambridge English, badan pakar dalam menilai penguasaan sesuatu bahasa tentang laporan awal Projek Kajian Asas untuk Ditanda Aras Standard Antarabangsa Bahasa Inggeris untuk Sekolah di Malaysia mengikut Common European Framework of References (CEFR).

Daripada laporan awal tersebut, didapati kadar penguasaan dan kefasihan pelajar Malaysia dalam bahasa Inggeris di sekolah ketika ini berada pada tahap positif.

Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris terkandung dalam langkah keempat dalam PPPM iaitu pembelajaran murid untuk membentuk murid dan pelajar mempunyai kecekapan pelbagai bahasa dan sekurang-kurangnya dapat bertutur dengan cekap dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, Cambridge English dipertanggungjawabkan untuk mengkaji kecekapan pelajar Malaysia dalam Bahasa Inggeris supaya menjadi panduan kepada pelaksanaan PPPM.

Taklimat dapatan awal kajian disampaikan Penolong Pengarah Operasi dan Penilaian Cambridge English, Martin Robinson dan Ketua Penyelidik dan Pembangunan Antarabangsanya, Dr. Hanan Khalifa.

Menurut Hanan, dalam kajian yang bakal disiapkan pada Mac nanti, Cambridge English menggunakan Mix Method Design Medotologi untuk mendapatkan sampel pelajar dari prasekolah hingga prauniversiti.

“Metodologi ini mengumpulkan maklumat secara kualitatif dan kuantitatif , merangkumi ujian untuk pelajar dan guru, soalan untuk pelajar dan guru, temubual secara bersemuka dan pemerhatian di dalam kelas.

“Kita juga pecahkan kepada berdasarkan negeri, lokasi, sama ada bandar dan luar bandar, jantina, medium sekolah, dengan tujuan data ini boleh membantu kementerian melaksanakan visi yang ada dalam PPPM,’’ katanya.

Sebanyak lima pasukan dan setiapnya mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk melaksanakan kajian tersebut yang diadakan di setiap negeri .

Pasukan terdiri daripada pemeriksa pertuturan, pemerhati terlatih, wakil dari Kementerian Pendidikan dan wakil dari pejabat daerah.

Sementara itu, kata Robinson, pengalaman mereka ketika menjalankan kajian terhadap tahap penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia sungguh menarik.

Pertama, katanya, daripada pemerhatian perlakuan pelajar dan guru dan situasi secara keseluruhannya kelas Bahasa Inggeris di Malaysia sungguh harmoni, hubungan guru dan pelajar terjalin baik.

“Harmoni bermakna hubungan pelajar dan guru sangat rapat, di beberapa negara hubungan antara pelajar dengan guru agak renggang, mempunyai jurang yang jauh . Mereka saling menghormati.

“Guru juga mengetahui setiap nama pelajar, ini bermakna guru menguasai data kelas tersebut . Ada sekolah di beberapa negara lain tidak mengetahui nama pelajar. Keadaan ini penting dalam mewujudkan suatu keadaan yang harmoni, sekali gus pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas akan lebih hidup dan senang berinteraksi," katanya.

Tambahnya, semasa menjalankan ujian ke atas pelajar dan guru, empat skil komprehensif dijalankan iaitu berinteraksi secara bersemuka , membaca untuk 45-50 minit, ujian menulis (30 hingga 45 minit) bergantung kepada tahap pelajar dan bercakap (15 minit).

“Guru turut diuji dengan empat skil tersebut ditambah dengan pengetahuan mengajar. Kami juga menganalisis amalan pengajaran.

``Kita memerhati berapa banyak guru bercakap, berapa banyak pelajar bercakap, bagaimana guru menguruskan kelas jika pelajar membuat bising dan interaksi antara guru dengan pelajar,’’ katanya.

Pengalaman melaksanakan PPPM turut dipromosikan kepada peserta yang menghadiri EWF oleh Muhyiddin k etika berucap dalam sidang pleno peringkat menteri yang bertajuk `Dekad akan datang’.

Menurut beliau, Malaysia, sejak merdeka mencatat kemajuan besar dalam pelbagai aspek pembangunan termasuk pendidikan.

“Selaras dengan perkembangan di peringkat global selepas 2015 yang memerlukan cara berfikir, budaya kerja, sikap dan pengurusan organisasi yang berbeza, maka Malaysia telah membangunkan PPPM 2013-2025 yang menyediakan pelan komprehensif bagi memastikan transformasi sistem pendidikan bersifat mapan untuk dekad akan datang,’’ katanya.

Dengan keyakinan pakar-pakar pendidikan tentang pelaksanaan PPPM, tidak mustahil suatu hari nanti aspirasi Malaysia untuk berada dalam kalangan negara sepertiga teratas dari segi prestasi berdasarkan penilaian antarabangsa seperti Jawatankuasa Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun akan menjadi realiti."



Sadatul Mahiran Rosli Utusan Malaysia Rencana 20140127

Kerajaan harus naikkan gaji guru miliki sarjana, PhD.

BARU-BARU ini, kerajaan mengumumkan berita baik untuk semua penjawat awam khasnya guru apabila mengumumkan struktur gaji baru kepada guru baru (pemohon baru) yang memiliki sarjana dan PhD. Bagi guru yang memiliki sarjana, gaji permulaan ialah RM2,733.98 dan bagi PhD, gaji permulaan ialah RM 3,3040.60.


Hal ini bererti tangga gaji permulaan mereka amat tinggi berbanding guru dengan ijazah sarjana muda. Namun kegembiraan ini hanya dirasai oleh mereka yang baru memasuki perkhidmatan pendidikan. Gembira kerana tangga gaji mereka berbeza berbanding guru dengan ijazah sarjana muda.

Bagaimanapun, bagi guru yang lama dalam perkhidmatan malah puluhan tahun mencurah bakti, kemudian memiliki sarjana dan PhD, berita gembira ini adalah berita duka buat mereka.

Kegigihan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan PhD dan tetap setia berkhidmat dengan sekolah, tanpa mahu menerima tawaran bekerja sebagai pensyarah atau bekerja di kementerian dan sebagainya seperti tidak dihargai.

Kerajaan seharusnya menghargai guru pemegang ijazah sarjana dan PhD ini dengan sekurang-kurangnya memberikan hadiah kenaikan gaji satu tangga untuk pemegang ijazah sarjana dan dua tangga untuk PhD. Pemberian hadiah kenaikan gaji ini diharapkan dapat menyuntik semangat kepada guru sarjana dan PhD ini untuk terus berada di sekolah.

Guru-guru yang memiliki ijazah sarjana dan PhD di sekolah sebenarnya dan sepatutnya boleh dimanfaatkan kehadiran mereka untuk merancakkan program penyelidikan dan kajian tindakan demi memperkasa inovasi di sekolah. Ilmu yang diperoleh boleh dimanfaatkan untuk membantu membimbing guru-guru muda.

Kegagalan kerajaan mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada guru pemilik sarjana dan PhD menyebabkan mereka mungkin hilang semangat untuk terus berada di sekolah dan akhirnya merugikan dunia pendidikan.



ESA ABD. SAMAD Rawang, Selangor Utusan Malaysia Forum 20140121

Nasib guru MA dan Ph.D

SAYA menyokong kenyataan penulis Esa berhubung pembelaan nasib guru sarjana dan doktor falsafah (Ph.D.)

Guru ini telah berkorban masa dan wang ringgit dalam usaha memartabatkan institusi pendidikan negara dan telah banyak membantu dalam mencorakkan kecemerlangan sekolah.

Malah sering kali apabila ada tugasan khas seperti membuat kajian, menubuhkan unit baru, mengendalikan kursus LDP maka guru sarjana dan Ph.D. menjadi sasaran dengan alasan ada kepakaran dan kelebihan.

Tetapi yang menyedihkan apabila ada rakan sekerja yang mempersoalkan mengapa perlu mempunyai sarjana atau Ph.D. apabila gaji sama dengan pemegang sarjana muda.

Mohon jasa baik kementerian pertimbangkan HPG untuk guru sarjana dan Ph,D. ini dalam usaha memartabatkan profesion perguruan negara dan sebagai insentif para guru untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan nilai tambah perguruan.



GURU SARJANA Kuala LumpurUtusan Malaysia Forum 20140124

Apa Status Guru Perpustakaan dan Media DG44 dan DG48

GURU Perpustakaan dan Media (GPM) merupakan jawatan yang mula diwujudkan pada tahun 2006. Sebelum ini jawatan GPM dikenali sebagai Penyelaras Pusat Sumber Sekolah (PPSS).

Jawatan GPM adalah lantikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan guru yang terlibat adalah yang dicalonkan oleh pengetua (sekolah).

Pada awal tahun 2006, sewaktu jawatan GPM baru hendak diwujudkan, pihak KPM telah meminta pengetua di setiap sekolah mencalonkan seorang guru yang layak untuk mengisi jawatan tersebut.

Kebanyakan guru cuba untuk mengelak daripada diminta mengisi jawatan tersebut.

Ini kerana mereka merasakan jawatan GPM memerlukan komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas yang telah diperincikan, terpaksa menghadiri kursus untuk memahami selok-belok tugas yang bakal dijalankan terutamanya berkaitan pengurusan maklumat dan pustakawan, serta terpaksa melalui suasana rutin tugas baharu.

Dalam kebanyakan kes, guru PPSS tidak dapat mengelak untuk memikul tanggungjawab baharu sebagai GPM.

Semua GPM di sekolah menengah yang dilantik pada tahun 2006 adalah dari kalangan guru yang berada di gred DG41.

Antara situasi yang terpaksa dilalui oleh GPM pada setiap hari ialah mereka terpaksa mengurangkan masa untuk berbincang dengan rakan-rakan di bilik guru apatah lagi di kantin.

GPM perlu berada di Pusat Sumber Sekolah dan mereka adalah 'penunggu' setia PSS.

Pusat Sumber adalah tempat guru dan para pelajar mendapatkan maklumat tambahan sama ada melalui buku, akhbar, majalah, CD, TV pendidikan, akses melalui internet dan seumpamanya.

Kesemua bahan dan peralatan di PSS perlu direkodkan dan disebarkan maklumatnya untuk digunapakai oleh warga sekolah.

Tugasan ini bukanlah mudah. Apatah lagi jika GPM tidak disediakan pembantu khas di PSS.

Jika ini berlaku semakin banyaklah masa yang perlu diperuntukan oleh GPM di PSS kerana PSS akan dikunjung oleh guru dan pelajar sepanjang sesi persekolahan.

Jika GPM tidak mempunyai pembantu maka kebanyakan mereka terpaksa membawa bekal ke sekolah bagi mengurangkan pergerakan kerana GPM bertanggungjawab menjadi 'penunggu' PSS dan melayan kehendak pelanggan yang datang ke PSS.

Isu yang kami ingin paparkan di sini ialah kini sebahagian besar GPM yang dilantik pada tahun 2006 telah berada di gred DG48.

Terdapat segelintir pentadbiran sekolah berpendapat GPM ini sudah tidak layak lagi untuk memegang jawatan GPM kerana mereka dilantik dahulu adalah pada gred DG41.

Segelintir GPM DG48 telah dipecat gara-gara tanggapan pentadbir yang mereka sudah tidak layak.

Contohnya satu kes terbaru seorang GPM yang telah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai GPM/Penyelaras PSS telah dipecat dengan alasan beliau telah berada di gred DG48 dan sekolah lebih memerlukannya untuk bertugas mengajar mata pelajaran tertentu.

Masalahnya di sini ialah guru tersebut merupakan seorang yang mengidap lima jenis penyakit dan di antaranya dianggap kronik.

Selain itu, beliau perlu menerima rawatan di empat klinik pakar (bagi setiap jenis penyakit yang berlainan) secara berkala.

Sebelum dipecat beliau telah memaklumkan kepada pihak pentabir sekolah masalah sakit yang dialaminya dan menjelaskan bahawa sekiranya beliau dikekalkan sebagai GPM berkemungkinan tekanan yang dihadapinya dapat dikurangkan kerana jika beliau dipecat maka beliau terpaksa menempuh rutin tugas yang berbeza sedangkan tugas sebagai GPM telah dilaluinya lebih 20 tahun.

Maka lebih mudah bagi beliau melaksanakan tugas-tugasnya sebagai GPM di sekolah. Apa yang menyedihkan GPM tersebut tetap dipecat oleh pihak sekolah.

Bagi saya, sepatutnya biarlah GPM tersebut meneruskan tugas-tugasannya sebagai GPM demi mengisi sisa-sisa usia perkhidmatannya yang tingggal beberapa tahun lagi dan beliau pula mengidap beberapa jenis penyakit.

Berdasarkan peristiwa GPM ini, kami guru-guru GPM yang baru setahun dua berkhidmat sebagai GPM ingin mengajukan dua soalan kepada pihak KPM iaitu:

1. Benarkah GPM yang telah berada di gred DG48 tidak layak lagi memegang jawatan tersebut? Jika benar mereka ini tidak layak mengapakah masih banyak sekolah mengekalkan GPM bergred DG48 di sekolah mereka?

2. Wajarkah dari kaca mata perkhidmatan dan moral, guru yang telah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai GPM/Penyelaras PSS dipecat sedangkan guru tersebut kini terpaksa menjalani rawatan di empat klinik pakar perubatan (berlainan jenis penyakit) secara berkala sedangkan beliau telah memberitahu status kesihatannya kepada pentadbir sekolah yang beliau mungkin lebih selesa menjalankan tugas GPM dengan masalah kesihatan yang dihadapinya?

Harapan kami, pihak KPM dapat memberikan jawapan yang tuntas terhadap isu ini agar kami GPM yang baru memegang jawatan ini lebih yakin untuk melaksanakan tugas-tugas yang diberi dan yang lebih penting kami tidak ingin menjadi mangsa yang sama setelah kami berada di gred DG48 kelak.

Berilah penjelasan melalui surat yang diedarkan kesemua sekolah dan dijawab secara terbuka memalui akhbar ini.



GPM Junior, Limau Kasturi Kelantan Utusan Malaysia Forum 20140128

Jangan cemar imej guru

Kedudukan guru di mata masyarakat cukup mulia, terpuji dan terhormat.

Malah, gelaran guru akan kekal hingga ke akhir hayat seorang guru walaupun telah bersara dari perkhidmatan.

Justeru imej dan kedudukan guru perlu terus dipelihara dan dipertahankan.

Guru sewajarnya sentiasa berusaha untuk menjaga nama baik mereka di mata masyarakat.

Tindakan seorang guru di Sungkai Perak yang dilaporkan mendenda secara melampau dua orang murid kerana gagal menyiapkan tugasan mata pelajaran Bahasa Inggeris sewajarnya tidak berlaku dalam masyarakat kita.

Kita akui anak-anak perlu dididik, diajar dan dibetulkan jika melakukan sebarang kesalahan sebagai proses untuk mendewasakan mereka.

Namun, apa yang dikesali dalam insiden ini ialah cara mereka didenda dan diajar erti kesalahan.

Akibat daripada denda ini, kedua-dua murid berkenaan bukan saja terpaksa menanggung malu tetapi juga dilaporkan trauma kerana rakan-rakan mereka mula mengejek mereka dengan panggilan 'lembu'.

Kita tidak dapat bayangkan anak berusia 10 tahun diperlakukan seperti ini.

Walaupun guru terbabit dilaporkan mengakui kesilapannya dan memohon maaf, malah pihak kementerian juga telah mengambil langkah proaktif dengan memberi amaran serta menukarkan guru terbabit ke sekolah lain, namun kesan insiden ini dilihat cukup mendalam ke atas aspek psikologi kedua-dua murid terbabit.

Tidak mengejutkan andai mereka selepas ini tidak mahu pergi ke sekolah kerana terlalu malu dan trauma.

Kejadian ini bakal menyelubungi mereka sepanjang hayat mereka kelak.

Diharap khidmat kaunseling dapat membantu memulihkan emosi mereka.

Dalam hal ini, saya percaya banyak lagi cara boleh digunakan untuk menghukum mahupun mendenda murid sekolah yang tidak menyiapkan tugasan mereka.

Diselit atau dipin loceng, diminta makan rumput mahupun digelar sebagai lembu boleh dikatakan cukup keterlaluan dan sukar untuk diterima akal.

Insiden ini cukup menggemparkan masyarakat kita yang tidak menyangka akan ada guru yang sanggup memperlakukan kanak-kanak berusia 10 tahun sebegitu rupa sekali.

Kita berharap agar pihak kementerian juga turut memberikan khidmat kaunseling kepada guru muda terbabit agar dapat memulihkan semangat dan motivasinya supaya dapat meneruskan khidmatnya sebagai seorang guru yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Hakikatnya, tindak tanduk seperti ini boleh menjejaskan dan mencemarkan imej dan nama baik guru di mata masyarakat.

Walau apapun, nasi sudah menjadi bubur. Apa yang sudah berlaku tidak boleh ditarik balik.

Justeru kita berharap semua pihak akan mengambil iktibar dari insiden tersebuti agar kejadian seumpama ini tidak berulang.

Kita juga berharap agar masyarakat tidak menghukum keseluruhan institusi perguruan di negara ini hanya kerana satu insiden seperti ini.

Semoga nila setitik ini tidak merosakkan susu sebelanga yang begitu berjasa kepada pembangunan dan kejayaan anak bangsa sekian lama.

Di kesempatan ini juga, kita berharap agar tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh dengan menjadikan isu ini sebagai isu perkauman.

Jangan keruhkan keadaan. Biar pihak kementerian, sekolah dan ibu bapa yang terlibat menyelesaikan isu ini secara profesional dan berhemah.



NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED Serdang, Selangor Utusan Malaysia Forum 20140128

His advice is to always stay true to values

QUESTION: As a daughter, what is your personal view of your father, Royal Professor Ungku Aziz, who has contributed greatly to the country, especially in the establishment of Tabung Haji and Angkasa, as well as in raising the social standing of the Malays?

Answer: His mind. He has a great mind. He developed thinking on a wide range of subject matters. While his contributions are many, he devoted his entire life to contributing in making a difference in two main areas. He developed thinking on issues relating to poverty and economic development. His work in this area started in the 1950s. It drew attention to the need for addressing poverty and economic development. In the area of education, he was with University Malaya for 40 years, of which for more than 20 years, he continued to educate whilst managing the university as the vice-chancellor. It produced the graduates that have contributed to managing Malaysia's golden years. He contributed in making a major difference.




Guests, including . Royal Professor Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid (right), greeting Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (left) at the royal tea party in conjunction with the king’s birthday, on June 7, 1972.

Question: Can you share with us how you were raised? Was he strict or someone with strong sense of humour?

Answer: My father always encouraged me to read. He would always give me books throughout my life. He was also strict about time management for different activities during the day, especially in allocating time for meals and time for studying and time to have sufficient sleep. His own life is highly disciplined. He is usually calm and very rarely loses his temper. To this day, he is highly astute and has a great sense of humour.

Question: Did he play an important role and have strong influence in your career and accomplishments?

Answer: My father encouraged me to gain knowledge and become highly authoritative on the subject that was of interest to me. He never tried to make me follow a specific career path. His approach was to best prepare me so that I would make the right choices. He did, however, have me study mathematics all the way to the university because he said whatever was my chosen field, mathematics would be important.

Question: Can you describe any memorable moments with Royal Professor Ungku Aziz?

Answer: There were different moments in both our lives, which were turning points, some of which had significant effect on us. We spent time discussing these developments. We very much valued each other's thinking on these occasions. I will always remember these times.

Question: Is there any word of advice from your father that you remember and uphold until today?

Answer: Fortify oneself with accumulation of knowledge. Develop thinking skills. Always aim to excel and not be distracted by the need to accumulate wealth or power. Always stay true to the important values.



Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz NST Opinion Columnist 28/01/2014

Renaissance man

I KNEW about Ungku Aziz as a primary schoolgirl in Kampung Baru, Kuala Lumpur when my late father talked about meeting Ungku Aziz, and when one afternoon, he came home with what I saw an orang puteh berjanggut.

Later on, when I was an undergraduate, University Malaya welcomed him as its first Malaysian vice-chancellor.

As a second-year student at the Faculty of Rural Economics, of which Ungku Aziz was head, I was directly involved in running the students' cooperative, which he set up to provide a range of goods to the student population. This co-op was the precursor to the University Malaya co-op bookshop. And, both projects showed how Ungku Aziz deeply believed in the cooperative movement and its benefits.

I went through many years working with Ungku Aziz to "revive" the country's co-op movement, which had the image of hidup segan mati tak mahu, especially to reflect the state of affairs of co-ops in the rural areas. We attended weekly meetings with the then agriculture and cooperatives minister, the late Tun Ghafar Baba, to amend the very outdated cooperative law, and to revitalise the cooperative movement.



August 1969: Professor Ungku Aziz Royal Professor Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid (with hailer) trying to calm students at the lobby of Dewan Tunku Chancellor in University Malaya, Kuala Lumpur, after riot police dispersed them with tear gas on Aug 28, 1969.

I was a member of the committee that established the Apex Cooperative Organisation (Angkasa), which was launched by the late Tun Abdul Razak Hussein. And, I was elected the vice-president, heading several times the Malaysian Co-op Movement delegation to meetings of the International Cooperative Alliance (ICA) all over the world when Ungku Aziz was unable to attend.

Of course, I would also be in his delegation as both the vice-president and later as head of the women's bureau of Angkasa.

At those ICA meetings, I was mistakenly taken to be, at different times, first, the delegation's interpreter and second, its secretary and to Ungku Aziz's amusement, his daughter (because of my name! And, I was in my late 20s then!)

Very early on as an undergrad, I could see and feel how committed and passionate Ungku Aziz is about the incidence and the vicious cycle of poverty, particularly rural poverty. He felt strongly of the need to eradicate exploitative middlemen and the padi kunca system.

We went to Tanjung Karang and Sabak Bernam during the long vacation to undertake a survey of the padi farmers there. And, Ungku brought along (his wife), the late Kak Azah, whom I got to know well after that. And, once, (his daughter) Zeti came, too.

Ungku Aziz is very perceptive and has a strong analytical trait. I remember one day he asked a group of lecturers, including myself, to do a project to analyse the mood and feelings underlying Malay songs in that era. He wanted to show that the Malay songs were melancholic, reflected hopelessness and even morbidity... and he was right!

The songs showed the Malays at that time as a community that was generally synonymous with poverty and always despondent.

Ungku Aziz does not only talk about problems, such as the problems plaguing the Malay community. He always set about to find the solutions.

Thus, he proposed to the government to set up Tabung Haji, which enables Muslims to save for their pilgrimage in a syariah-compliant savings and investment organisation. This was to eradicate the practice among many Muslims at the time of selling off all their assets and property to perform the haj. And, only to return as haji, but with no means of livelihood and having to pajak or lease plots of land from exploitative landlords, who practised the padi kunca system.

Ungku Aziz certainly has no qualms about calling a spade a spade, although he does it in a polite way. And, under his watch, University Malaya flourished. He appointed me to the university senate (at the same time, Tun Razak had also appointed me to the parliamentary senate... so I actually was a member of two senates!).

The students had access to Ungku Aziz, so did staff members. There was no protocol when working with him. It made life easy for us.

Travelling with him was a breeze. He had jokes to tell. We rode the public transport in Paris.

At the personal level, Ungku Aziz was a mentor to me. And, he and Kak Azah were the main guests at my wedding.

My husband asked me to seek Ungku Aziz's advice when then prime minister Tun Hussein Onn phoned me at home in 1976 to tell me he was bringing me into the government.

It meant I had to resign from the university within 24 hours if I accepted the job. I called Ungku Aziz and the outcome of our conversation was that, later in the evening, I returned the prime minister's call to thank him and say that I accept the government post.

My university colleagues and I always have a high regard for Ungku Aziz, who often shared his health "secrets" with us. Apart from daily walks (those days along the very lonely Damansara estate roads that wound for miles!), Ungku also took fresh onions. And, of course, only healthy foods.

His advice fell on deaf ears as far as I was concerned. I hardly went for walks and only have onions when the thin slices are buried under some cholesterol-rich sauce or dressing!

It is not easy to emulate the ever spritely and youthful Ungku Aziz, who belies his years!

Happy birthday, Ungku, and wishing you many more healthy and happy years!



Tan Sri Rafidah Aziz NST Opinion Columnist 28/01/2014