March 14th, 2014

Azizah lawan Mei Fun

INI bukan nama satu kes yang telah diputuskan atau sedang dibicarakan di mahkamah kita. Sebaliknya ia adalah rujukan ringkas kepada pertarungan yang berlaku di Kajang sekarang dan minggu yang mendatang. Kemuncaknya akan berlaku pada 23 Mac depan.

Pihak pertama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan pihak kedua pula lawannya, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. Calon wanita lawan calon wanita. Azizah nyata sekali proksi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Mei Fun ialah pilihan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Mei Fun telah memfailkan kertas pencalonannya pada 9.07 pagi Selasa 11 Mac 2014, sementara Azizah memfailkan kertas pencalonannya pada 9.10 pagi. Disebabkan tidak ada calon lain yang bertanding, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua wanita ini. Walaupun ada yang menggelar kedua-duanya sebagai `ikon wanita’, saya tidak yakin semua pengundi atau pemilih di Kajang berfikiran sedemikian.

Dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, Azizah memberitahu wakil media bahawa dia mewakili rakyat biasa yang ditindas dan dianiayai, terutama golongan wanita. Bila ditanya wartawan apakah tujuannya bila bertanding ini semata-mata `menyelamatkan kerusi’ untuk suaminya (seperti yang pernah dilakukan pada satu masa dulu di Permatang Pauh), Azizah menjawab; "Biarlah mereka kata apa yang mereka suka".

Apa yang penting namanya telah dipilih dan sebagai presiden parti, dia mesti memikul tanggungjawab ini.

Lim Kit Siang pernah dipetik sebagai berkata, Azizah ialah calon ‘paling layak’ dan DAP menyokong pencalonannya.

Yang menghairankan, beberapa hari sebelumnya, Anwar ada menyatakan 12 nama telah disenarai pendek sebagai calon yang dikira layak mengambil tempatnya.

Sebelum ini nama Datuk Saifuddin Nasution juga disebut-sebut sebagai calon pengganti Anwar, tetapi khabarnya Saifuddin tidak berminat bertanding. Dia mahu terus menumpukan perhatian kepada jawatannya sebagai setiausaha agung parti.

Begitu juga, sebelum ini Datuk Zaid Ibrahim ada menyatakan niatnya untuk bertanding, semata-mata mahu melawan Anwar. Kata bekas menteri ini ada sebab tertentu kenapa dia perlu lawan Anwar di Kajang. Kini setelah Anwar tidak bertanding kerana hilang kelayakan, Zaid tidak lagi minat bertanding.

Anwar pernah berkata, isterinya itu ada banyak kali menyebut hasratnya untuk "berehat dan meluangkan lebih banyak masa dengan cucu dan suami". Tetapi kini lain pula cerita.

Sementara Azizah bersedia menggalas kerja yang sepatutnya dipikul oleh Anwar dalam pertarungan sengit yang akan berlangsung pada 23 Mac depan, soalan sama ada (sekiranya Azizah menang) dia juga sanggup nanti meneruskan cita-cita suaminya untuk menjadi Menteri Besar Selangor, itu masih lagi jadi tanda-tanya.

Mei Fun, 50, pula mempunyai pengalaman luas dalam arena politik dan pentadbiran negara. Dia ialah bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (dua penggal), bekas Senator, bekas Ketua Wanita MCA dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam PRU-12, Mei Fun dikalahkan oleh calon DAP, Tony Pua. Beliau mengundur diri daripada politik MCA pada April 2010, tidak lama selepas Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menang jawatan Presiden MCA.

Setelah tiga tahun dipinggirkan, Mei Fun kembali dalam arus perdana politik MCA apabila memenangi jawatan naib presiden MCA dalam pemilihan parti Disember tahun lalu.

Kalau kita bandingkan kekuatan vokal (bercakap, berceramah, berinteraksi dengan orang awam, menjawab soalan dan sebagainya) antara dua wanita ini, saya akan pilih Mei Fun sebagai personaliti yang lebih mampu, bertenaga dan meyakinkan. Dia juga punyai bahasa badan yang lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sendiri mengakui bahawa pucuk pimpinan BN sebulat suara memilih Mei Fun kerana "beliau pernah berkhidmat dalam kerajaan, berpengalaman luas dalam bidang politik serta berjiwa rakyat".

Pada mulanya saya jangkakan PRK Kajang akan ditandingi oleh banyak pihak. Selain wakil BN dan wakil pakatan, nama-nama lain yang turut disebutkan sebagai ingin bertanding (selain Zaid) ialah Senator Datuk S Nallakaruppan (pada satu ketika kawan rapat Anwar), peguam Yuktes Vijay (pada satu ketika peguam Anwar) dan penyanyi Herman Tino. Nampaknya mereka telah ubah pendirian atau sudah tidak minat lagi.

Kajang mempunyai 38,965 pengundi berdaftar, terdiri daripada pengundi Melayu 48%, pengundi Cina 41% dan pengundi India 10%. Kira-kira separuh pengundi Kajang terdiri daripada golongan wanita.

Dalam PRU-13, pengundi telah memberi sokongan kuat kepada calon Pakatan Rakyat, dengan lebihan hampir 7,000 undi. Soalnya apakah sokongan yang sama besar akan terus diberi kepada Azizah pada kali ini?

Sementara ada pihak yang menyifatkan tindakan Azizah bertanding di Kajang sebagai usaha ‘meneruskan agenda politik suaminya yang terhalang’, ada pula pihak lain berpendapat tindakannya ini sebagai langkah yang mesti diambil demi ‘meneruskan kesinambungan dinasti keluarga Anwar dalam PKR’.

Ada juga penganalisis politik yang menganggap Azizah tidak lebih daripada hanya ‘boneka kepada suaminya’ (lihat http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/wan-azizah-teruskan-agenda-terhalang-anwar-di-kajang).

Mei Fun berharap pengundi Kajang akan menyokongnya pada 23 Mac nanti bagi membolehkannya menjadi wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Saya memohon restu dan sokongan daripada pengundi Kajang supaya saya dapat dipilih sebagai ADUN, yang mana dapat memperkuatkan lagi peranan parti pembangkang memantau dan menegur dalam kerajaan Selangor," katanya lagi.

Pada 1 Mac lalu, Kit Siang dipetik sebagai berkata bahawa musuh sebenar calon PKR dalam PRK Kajang adalah perpecahan dan perbalahan dalam parti. Menurut pemimpin veteran DAP ini lagi, calon yang diletakkan BN bukan punca sebenar yang mempengaruhi undi majoriti di Kajang sebaliknya perbalahan dalaman PKR yang menjadi musuh utama.

Seorang penganalisis politik dipetik oleh sebuah portal propembangkang sebagai berkata bahawa pengundi Kajang akan memberikan undi simpati kepada Azizah ekoran keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Sodomi II yang diputuskan baru-baru ini. Penganalisis itu berpendapat, kredibiliti Wan Azizah sama dengan Anwar dan berkemungkinan jumlah undi akan lebih meningkat daripada jangkaan pengundi untuk Anwar.

Pada 21 Februari lalu, Mei Fun ada berkata bahawa menentang seorang pemimpin ‘bertaraf dunia’ seperti Anwar bukan satu laluan mudah baginya dalam PRK Kajang. Kata-katanya itu diucapkan kerana dia memikirkan dia akan menentang Anwar. Tetapi kini setelah nyata Anwar tidak bertanding, apakah Mei Fun masih berfikiran sama?

Walter D. Wintle pernah menulis dalam satu puisinya, "If you think you’ll lose, you’ve lost".



Salleh Buang Utusan Malaysia Rencana 20140312

PKR ketandusan calon berwibawa

KEMUNCULAN Datin Seri Dr. Wan Azizah berdepan dengan Datin Paduka Chew Mei Fun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang memang sudah diduga. Ia jelas memperlihatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketandusan pemimpin untuk diketengahkan. Suatu ketika dulu Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Sekarang Anwar tidak dapat bertanding kerana kes mahkamahnya dan Wan Azizah pula tampil sebagai pengganti. Ia adalah suatu fenomena yang tidak sihat seolah-olah PKR mengalami masalah kekontangan kepimpinan yang berwibawa.

Anwar mungkin menghadapi hukuman lima tahun penjara. Ia bergantung kepada rayuan di Mahkamah Persekutuan. Keterampilan Wan Azizah sebagai pengganti memperlihatkan elemen kronisme semakin menebal dalam PKR. Mengapa tidak letakkan Abdul Rahim Ghouse, Rafizi Ramli atau Datuk Saifuddin Nasution?

Meletakkan Wan Azizah sekadar mohon simpati pengundi tidak memadai. Politik yang berkualiti bukan politik memohon simpati. Politik berkualiti adalah kemampuan PKR meletakkan calon yang mempunyai kaliber untuk mengisi kepentingan rakyat. Ia bukan sekadar mengisi tempat kosong atau politik proksi.

Apa yang berlaku di Kajang mempunyai implikasi yang lebih jauh dari itu. Mulanya Anwar ingin bertanding kerana berhasrat menjadi Menteri Besar Selangor dan melakukan lonjakan ke Putrajaya. Anwar boleh merancang tanpa berunding dengan rakan pakatan. Allah maha mentakdirkan ia tidak terjadi.

Sekiranya ditakdirkan Wan Azizah, menang tidak mungkin dia ingin menjadi Menteri Besar Selangor dan melakukan lonjakan ke Putrajaya.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diketahui sekian lama ialah proksi Wan Azizah. Wan Azizah tidak mampu melakukan ini. Kesan sampingannya ialah Azmin Ali terpaksa mengatur strategi baharu menghadapi realiti politik yang ada.

PRK DUN Kajang pada hemat penulis tidak boleh menyelesaikan politik Selangor apa lagi politik kepimpinan PKR. Semasa Anwar masih ada, kes Abdul Khalid-Azmin tidak mampu dilerai apalagi takdir akhirnya Anwar ke penjara. Tentu keadaan lebih rumit lagi.

Anwar dikatakan ingin menjadi Presiden PKR Mei ini. Ia bermakna Wan Azizah kena mengundurkan diri. Azmin dijangka bersaing jawatan Timbalan Presiden dengan Abdul Khalid. Azmin menguasai PKR Selangor dan Abdul Khalid menguasai pentadbiran negeri.

Sekiranya Azmin menang dan ditakdirkan Anwar menjadi Presiden, hubungan Anwar-Azmin menjadi lebih kuat dan menyebabkan Abdul Khalid-Azizah akan menghadapi masalah.

Dan sekiranya Abdul Khalid pula menang, krisis akan berlaku di Selangor. Kalau begitu penampilan Wan Azizah dalam pilihan raya di Kajang untuk apa?

Kalau isu kepimpinan dalam PKR masih kusut mana mungkin Wan Azizah dapat memberi tumpuan kepada penduduk Kajang. Ditakdir Anwar ke penjara lagi, Wan Azizah tentu akan menumpu banyak masa ke penjara bukan meraikan orang Kajang.

Apakah dalam keadaan begitu, bijak bagi pengundi Kajang diwakili Wan Azizah? Pengundi Kajang tidak harus terikat dengan simpati dan fahaman kroni. Kronisme adalah sesuatu yang tidak baik dalam kepimpinan politik.

PKR selalu menghubungkan dirinya memperjuangkan keadilan, menentang korupsi dan nepotisme. Sedangkan ia sangat jelas berlaku dalam amalan kepimpinan. Kalau dalam kepimpinan PKR ia berlaku, bolehkah ia tidak berlaku sekiranya PKR dan pakatan pembangkang dibenar memerintah negara?

Pengundi Kajang ialah orang berfikir. Ramai kelompok kelas menengah dan para akademik di sana. Kes Anwar di mahkamah adalah jelas. Menyatakan ia konspirasi, sekadar helah. Anwar mungkin menggunakan isu ini untuk memikat pengundi yang simpati.

Pengundi Kajang harus memikirkan nasib negara masa depan. Pastinya pengundi perlukan pemimpin yang berintegriti. Rekod baik dan kesinambungan adalah penting bagi menentukan jenis kepimpinan yang harus dipilih.

Simpati, emosi dan persepsi yang tidak kena pada tempatnya menyalahi agama. Agama menganjurkan imej jernih dan wibawa tinggi yang patut ada pada pemimpin. Pemimpin harus memiliki contoh teladan yang menjadi sumber ikutan.

Kajang adalah tempat yang terbaik membina senario baharu dalam politik Malaysia. Kalau politik ditentukan oleh sentimen perkauman dan simpati melulu, ia memberi petanda tidak baik bagi masa depan politik Malaysia.



Dari Jendela Tok Ki Utusan Malaysia Rencana 20140314

Isu-Isu Akhbar Cina - Air dan Berita Palsu

JANGAN SEBAR BERITA PALSU


AKHBAR China Press bertarikh 11 Mac 2014 menyiarkan artikel mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada awal pagi Sabtu lalu yang masih menjadi misteri.

Artikel bertajuk ‘Kehilangan kapal terbang merisaukan rakyat’ yang diambil daripada laman blog China yang ditulis oleh Qiao Mu disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Situasi pesawat MH370 yang masih tidak dapat dijejaki oleh pihak berkuasa amat merisaukan dan mendapat perhatian semua pihak.

Keluarga penumpang dari China yang ditempatkan di Hotel Lido, Beijing pada hari kedua kejadian telah mengemukakan tiga permintaan.

Pertama, mendesak pihak MAS menjelaskan kedudukan sebenar kejadian itu sebelum pukul 5 petang hari berkenaan.

Kedua, meminta Kementerian Luar Negara China supaya mengambil perhatian serius untuk menyelesaikan masalah itu.

Ketiga, meminta kerajaan China menghantar pegawai-pegawai ke Hotel Lido bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga penumpang pesawat dan bekerjasama dengan pihak MAS.

Apabila berlaku insiden seperti ini, semua orang merasa sedih terutama ahli keluarga. Kita boleh memahami perasaan mereka tetapi mereka harus mengelak daripada menjadi terlalu beremosi. Ada ahli keluarga yang bergegas masuk ketika pengurusan atasan MAS sedang memberikan sidang akhbar untuk bertanyakan soalan. Adakah wakil syarikat itu boleh menjawabnya dalam bahasa Mandarin?

Ada seorang lagi yang tidak dapat menahan sabar telah menyimbah air mineral ke muka pengurusan atasan syarikat itu. MAS bukan tidak mahu menjelaskan perkara sebenar. Di waktu ini kapal terbang masih belum ditemui, bagaimana syarikat itu dapat menjelaskan apa yang sebenarnya terjadi?

Syarikat itu juga menempatkan keluarga penumpang pesawat tersebut di hotel dan segera menghantar 92 kakitangan mereka ke Beijing untuk memberikan bantuan. Ini menunjukkan pihak MAS begitu ikhlas.

Desakan ahli keluarga dalam waktu yang terdekat dan terhad ini akan lebih merumitkan keadaan dan memberi tekanan kepada pihak MAS dan mereka yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Mereka juga harus faham bahawa kerajaan China hanya boleh memberikan cadangan, tetapi tidak boleh campur tangan secara terus. Ini berikutan operasi SAR melibatkan banyak negara dan pesawat berkenaan adalah milik syarikat asing.

Pada masa sama, pelbagai berita dan maklumat bertebaran dalam laman sosial di Internet. Ramai orang mengambil kesempatan untuk menghangatkan perbincangan.

Dengan mudah dan cepat kita dapat mengenal pasti bahawa berita yang datangnya daripada pelbagai sumber yang tidak dapat disahkan adalah palsu.

Oleh kerana pihak media sendiri tidak dapat pergi ke lokasi kejadian untuk membuat liputan mengenai apa yang sebenarnya berlaku, ahli keluarga terbabit terpaksa bergantung kepada berita dan maklumat Internet yang bersifat ramalan.

Dalam keadaan seperti itu, tidak mungkin mereka akan mendapat maklumat yang sahih dan boleh dipercayai.

Walaupun tidak putus-putus mencari menerusi berita dan maklumat di alam maya, pencarian itu tidak mungkin menjadi kenyataan. Ini kerana di alam nyata mereka tidak mempunyai kelengkapan dan peralatan canggih untuk turut sama dalam pencarian itu. Pada hakikatnya mereka terpaksa menunggu berita dan maklumat sahih daripada pihak berwajib sahaja.

Kenapa pihak MAS sehingga sekarang masih belum dapat memberikan jawapan dan penjelasan? Ini kerana pesawat MH370 yang berada pada ketinggian berpuluh ribu meter dan dengan kelajuan 800 kilometer sejam tiba-tiba hilang daripada radar.

Untuk mencarinya adalah sesuatu yang sangat payah, terutama jika pesawat tersebut berkecai dan serpihan bertaburan di kawasan lautan yang keluasannya ratusan kilometer. Ia akan menjadi seperti kata pepatah mencari sebatang jarum di tengah lautan.

Cara terbaik yang boleh dilakukan semua pihak sekarang adalah untuk tidak menyebarkan berita palsu dan mengelak daripada memberikan tekanan kepada ahli keluarga terbabit dan pihak berkuasa.

BEKERJASAMA SELESAI ISU AIR

MEMORANDUM persefahaman (MoU) antara kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dengan Kerajaan Pusat berkaitan penstrukturan semula industri air baru-baru ini turut diulas oleh akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 10 Mac 2014.

Artikel yang ditulis oleh pengkritik isu-isu semasa, Datuk Dr. Cheah See Kian bertajuk ‘Perbincangan air menjadi modal politik?’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman W3.

Antara kandungan MoU pada 26 Februari lalu adalah Kerajaan Pusat bersetuju supaya anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membeli ekuiti empat syarikat konsesi air dengan nilai RM9.65 bilion.

Kerajaan Pusat juga bersetuju untuk menghulurkan pinjaman RM2 bilion kepada kerajaan Selangor dan sebagai syarat pertukarannya, kerajaan negeri PKR berkenaan membenarkan Kerajaan Pusat meneruskan pembinaan Pusat Penapisan Air Hulu Langat 2.

Sebelum ini, ketika Selangor dikuasai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), isu air tidak menimbulkan sebarang masalah kerana kerajaan di peringkat negeri dan Pusat mempunyai aliran politik yang sama. Contohnya, Kerajaan Pusat menubuhkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Sdn. Bhd. untuk menguruskan konsesi air di negeri itu. Syabas diberi kontrak mengurus air selama 30 tahun dan syarikat berkenaan turut membeli air bersih daripada tiga syarikat lain.

Selepas tsunami politik 2008, kerajaan Selangor bertukar tangan kepada pihak pembangkang dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar.

Pada peringkat awal pentadbirannya, Abdul Khalid masih meneruskan pendekatan berbalah dengan Kerajaan Pusat dan syarikat-syarikat konsesi air di negeri itu.

Mengikut perjanjian dengan syarikat konsesi, harga air akan dinaikkan sebanyak 37 peratus pada tahun lepas.

Oleh kerana dibantah oleh Abdul Khalid, syarikat konsesi air telah menuntut ganti rugi sebanyak RM380 juta.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Abdul Khalid terus mentadbir negeri Selangor. Cuma yang berbeza kali ini adalah berlaku perselisihan faham antara beliau dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Ini menyebabkan wujud dua kumpulan iaitu puak Abdul Khalid dan puak Azmin.

Perbalahan itu tidak dapat diredakan sehinggalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan.

Ini memberi laluan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dan menjadi Menteri Besar Selangor, sekali gus menyelesaikan persengketaan antara kedua-dua puak.

Malangnya, strategi itu tidak menjadi setelah Anwar dijatuhkan hukuman oleh mahkamah pada 7 Mac lalu sehingga menyebabkan beliau tidak layak bertanding. Perkembangan terbaharu ini mewujudkan krisis besar dalam PKR.

Nampaknya, Abdul Khalid akan dapat mengekalkan jawatan Menteri Besar yang beliau sandang. Perubahan juga telah berlaku apabila beliau dilihat telah condong untuk memihak dan berbaik dengan Kerajaan Pusat.

Bagi rakyat, kerjasama antara kerajaan PKR Selangor dan Kerajaan Pusat adalah satu langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah air yang sedang dihadapi mereka. Adalah amat penting segala yang dipersetujui dalam MoU itu tidak dihentikan separuh jalan.

Adakah harapan kita ini akan menjadi kenyataan? Ini semua bergantung kepada pendirian Anwar yang sebelum ini telah memberi amaran kepada Abdul Khalid supaya jangan terlalu cepat berbincang isu air dengan Kerajaan Pusat.

Pada dasarnya, Anwar bersetuju dengan MoU berkenaan, cuma beliau tidak mahu ia ditandatangani dengan tergesa-gesa kerana dikhuatiri harga air akan dinaikkan.

Abdul Khalid telahpun memberi jawapan bahawa dalam masa tiga tahun, harga air tidak akan dinaikkan dan beliau akan mengumumkan butir penuh memorandum tersebut dalam masa seminggu. Setakat ini, hanya Abdul Khalid seorang sahaja yang tahu apa kandungan sebenar MoU terbabit.

Walaupun Anwar tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, peranan beliau masih boleh memberi satu impak yang berbisa. Tidak kurang penting juga apakah tindakan susulan Abdul Khalid dalam menentukan masa depan politik beliau? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.



Utusan Malaysia Rencana 20140313

Kajang saya mengkuang layu ...

SEBELUM ini, selepas rakyat Malaysia dikhabarkan tentang berita Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memasuki Jepun, mereka dikejutkan pula dengan berita perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh tanpa sebarang alasan.

Pengumuman perletakan jawatan itu diumumkan pada 27 Januari lalu yang seterusnya menimbulkan tanda tanya kerana pasukan Pakatan DAP-PKR-Pas telah menang besar, 44 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke -13-(PRU-13) di Selangor.

Ekoran peletakan jawatan secara tiba-tiba itu, gosip politik berlegar sekitar kemungkinan Ketua Umum PKR itu bercita-cita menjadi Menteri Besar Selangor. Ini sudah tentu di luar kelaziman dan jika berlaku tentunya menjadi sejarah apabila ahli parlimen di negeri lain menjadi menteri besar di sebuah negeri lain.

Anwar sekali lagi mempamerkan kemahiran bersilat lidah apabila pada mulanya beliau menafikan khabar angin akan bertanding di PRK Kajang, iaitu pada hari yang sama Chin Cheh mengosongkan kerusi.

Namun tidak sampai 24 jam selepas penafian tersebut dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Penasihat DAP dan juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Anwar diumumkan akan bertanding bagi mempertahankan kerusi PKR diKajang.


Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali hadir menyokong calon PKR pada hari penamaan calon PRK Kajang di Kompleks Sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi Selangor, kelmarin.

Serentak itu juga, road show Anwar terus bermula di Kajang.

Sedangkan ketika Anwar mengumumkan untuk bertanding itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum dimaklumkan mengenai kekosongan tersebut malah belum mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Ini adalah kali kedua pilihan raya kecil ‘izin dalam paksa’ diadakan semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar tetapi kini segalanya musnah selepas kes beliau di Mahkamah Rayuan tidak memihak kepadanya.

Pada 2008 isterinya dan juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh beberapa bulan setelah PRU-13 untuk memberi laluan kepada Anwar.

PRK Kajang itu juga menyebabkan sidang DUN Selangor yang sepatutnya bermula pada 17 Mac 2014 ditangguh pada 7 April 2014. Ia dibuat semata-mata menunggu ADUN Kajang yang baharu berada di dalam Dewan Undangan Negeri.

PRK Kajang - Kajang Move berkemungkinan penting bagi PKR untuk menyelesaikan kemelut dalaman mereka. Pergeseran ‘adik beradik’ untuk mendapatkan kasih bapanya di dalam PKR bukanlah satu rahsia lagi.

Pertembungan Abdul Khalid vs Azmin semakin terbuka. Bahkan dalam sidang DUN Selangor, label orang Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan orang Abdul Khalid juga berlaku. Banyak episod pelik dan pergolakan dalaman parti yang menimbulkan pelbagai spekulasi. Ini termasuk kes pemecatan Azmin dari Lembaga PKNS.

Kajang Move juga tentunya tidak boleh lari dengan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Pada mulanya, Rafizi mengakui perletakan jawatan Chin Cheh itu memang satu strategi pakatan untuk kekal kukuh di Selangor.

Tetapi apabila melihat mood rakyat tidak gembira dengan perletakan jawatan Chin Cheh tanpa munasabah itu, Rafizi cuba membetulkan keadaan dengan memohon maaf kepada pengundi di Kajang yang terpaksa melalui satu pilihan raya kecil yang tentunya akan memakan masa dan wang.

Dalam kalangan ADUN Selangor mereka hanya senyum sinis apabila Rafizi berhujah, kehadiran Anwar ke Selangor kononnya dikatakan cukup penting bagi menghalang Barisan Nasional (BN) menjadikan situasi darurat sebagai alasan merampas negeri Selangor.

Kenyataan seperti itu seolah-olah meremehkan daya juang dan pemikiran strategik ADUN-ADUN Pakatan di negeri Selangor. Sedangkan mereka telah menang 44 kerusi di Selangor pada pilihan raya umum lalu.

Kajang Move semakin celaru apabila Abdul Khalid menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Pusat berkaitan isu air. Seperti ada yang tidak kena, Rafizi tampil mendakwa MoU semula industri air Selangor merupakan satu kerugian buat rakyat di negeri itu. Ini jelas menunjukkan pertikaian dalaman yang sepatutnya diselesaikan di peringkat dalaman PKR telah menjadi perbincangan awam.

DAP pula sebagai rakan dominan dalam Pakatan tidak akan untung mahupun rugi dalam percaturan ini. Biar siapa pun menggantikan Abdul Khalid sebagai MB Selangor, ia tidak akan membawa sebarang perubahan kepada imbangan ‘kuasa’ DAP dalam pentadbiran Selangor.

Dengan tiga wakil rakyat dalam barisan exco Selangor, juga satu speaker dan dua sebagai exco kanan, DAP masih akan kekal menguasai pentadbiran negeri Selangor buat penggal ini.

Yang kekal rugi dalam percaturan PKR ini ialah Pas, sebagai sebuah parti di dalam Pakatan yang memiliki jumlah kerusi yang sama banyak dengan DAP mengatasi jumlah kerusi PKR di dalam DUN Selangor. Walaupun mempunyai 4 orang exco negeri, ternyata Pas adalah parti yang tidak bersedia memimpin. Atau setelah mengukur baju di badan sendiri, Pas mengakui yang sememangnya mereka belum berani mentadbir sebuah negeri maju. Atau mungkin mereka bagaikan khayal meragut rumput kering yang di hidangkan oleh rakan ‘tahaluf siyasi’ mereka.

Timbul persoalan berkenaan Kajang Move. Apakah perancangan Kajang Move mengambil kira kes Anwar di Mahkamah Rayuan? Adakah pasukan strategik mereka terlepas pandang atau terlalu yakin Anwar akan menang?

Adakah pelan mahu menukar Abdul Khalid sebagai Menteri Besar masih berjalan? Atau mungkin Wan Azizah tidak berupaya menolak ‘bisikan’ untuk bergelar menteri besar wanita pertama.

Jika itu perancangannya ternyata meletakkan Wan Azizah adalah strategi terbaik untuk memastikan legasi Anwar.

Chew Mei Fun merupakan calon BN untuk PRK Dun Kajang. Beliau pernah meletak jawatan Ketua Wanita MCA atas ‘ikrar dan prinsip’ ketika pemilihan MCA 2010. Jika benar mengundi Cina celik politik, inilah masa untuk memberikan suara wakil MCA dalam sidang DUN Selangor. Kini 12 suara pembangkang di Selangor sekarang ini semuanya adalah dari UMNO.

Tetapi pada masa sama jangan lupa politik air mata yang dimainkan pakatan pembangkang. PRK Kajang akan menjadi alat propaganda ‘mata’, seperti PRU 1999 ‘mata lebam Anwar’ dijaja di mana-mana. PRU-2008, ‘air mata Nik Aziz’ ditampal di setiap tiang dan tidak mustahil PRK Kajang ‘air mata Azizah’ menjadi bahan kempen untuk mengusik emosi para pengundi.

Yang pasti, Kajang menjadi tumpuan seluruh negara bukan sahaja kerana Sate Kajang. Di saat kita simpati dan berduka atas insiden kehilangan pesawat MH370, Kajang menjadi saksi kepada pendekatan taktikal separuh masak Pakatan.

Budiman Mohd. Zohdi ialah ADUN Sungai Panjang dan Setiausaha ADUN BN Selangor. Utusan Malaysia Rencana 20140313