April 18th, 2014

Perginya Harimau Jelutong

PEMERGIAN mengejut Karpal Singh gara-gara kemalangan maut awal pagi semalam, cukup mengejutkan rakan dan seteru beliau baik dalam dunia perundangan mahupun politik.

Meskipun berbeza prinsip dan panda­ngan politik namun bagi peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun, mendiang ialah seorang peguam yang cukup disegani kawan dan digeruni lawan apatah lagi apabila `bertarung' menegakkan hujah masing-masing di mahkamah.

Menghalusi keperibadian mendiang yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 28 Jun 1940 itu, Mohd. Hafarizam menganggap Karpal yang juga digelar Harimau Jelutong sangat menghormati rakan peguam sungguhpun berada di landasan ideologi perjuangan yang berbeza.

Seorang lagi rakan peguam mendiang Karpal, Datuk Salehuddin Saidin menyifatkan peguam ternama itu sebagai inspirasi kepada ramai graduan dan pengamal undang-undang di luar sana kerana sikapnya yang seolah-olah tidak mengenal erti takut.

Sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu juga cukup dikenali bukan sahaja kerana usia penglibatannya yang panjang dalam politik tanah air bahkan karakternya yang cukup berwarna-warni. Beliau ialah Pengerusi DAP Kebangsaan pertama bukan dari keturunan Cina dan berjaya pula menjawat jawatan itu selama hampir 10 tahun sebelum melepaskannya pada Mac lalu.

Karpal mendapat ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada University of Singapore pada 1968 dan diterima masuk ke profesion guaman pada tahun 1969. Antara kes-kes berprofil tinggi yang pernah dikendalikan olehnya adalah tuduhan mengedar dadah terhadap warga Australia, Kevin Barlow dan dakwaan liwat buat kali kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika hidupnya, Karpal seorang penentang kuat hukuman mati, terutama bagi kesa­lahan mengedar dadah.

Mendiang turut menentang sekeras-kerasnya pelaksanaan hukum hudud malahan pernah mengeluarkan ungkapan popular: "Kami beri jaminan, langkah mayat kami dahulu sebelum sesiapa boleh menubuhkan negara Islam", sebagai reaksi ketika bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu melaksanakan hukum hudud pada 17 Oktober 1990.

Tidak dapat dinafikan mendiang memang komited dengan tugasnya mengendalikan kes-kes mahkamah. Di kalangan wartawan khususnya yang membuat liputan kes-kes mahkamah, Karpal tidak pernah mengenal jemu 'mengajar' dan menjelaskan dengan bahasa paling mudah prosiding sesuatu kes tidak kiralah beliau menang atau kalah dalam kes tersebut.

Kemalangan jalan raya pada 29 Januari 2005 di Pulau Pinang meragut kudratnya sehinggakan Karpal lumpuh akibat mengalami masalah neuromotor di sebelah tangan kiri yang tidak boleh digerakkan langsung manakala pergerakan tangan kanannya sangat terhad. Sejak itu, beliau terpaksa menggunakan kerusi roda. Segala keperluannya ketika di mahkamah diuruskan oleh pembantunya, Michael Cornandez yang setia menemaninya ke mana sahaja.

Apabila melihat sahaja kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih dengan nombor pendaftaran KS 9898 di­letakkan di pekarangan mahkamah, cu­kuplah menjadi petanda, Karpal berada di situ. MPV tersebut diubah suai bagi menjamin keselesaan Karpal yang tidak boleh bergerak. Tempat duduknya, secara automatik boleh menurunkan dan mengangkat Karpal ke dalam perut kenderaan.

Selepas ini, tiada lagi kelibat Toyota Alphard putih itu di pekarangan Kompleks Mahkamah. Kelibat pembantu peribadinya, Michael juga tidak akan kelihatan lagi kerana dia turut terkorban bersama tuannya itu.

Kesetiaan Michael yang sering tersenyum apabila disapa ketika bersama tuannya itu sampai ke hujung nyawanya.

Dan kesetiaan Karpal, 74, terhadap profesion guamannya juga sehingga ke hujung nyawa.

Mendiang maut ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah sebelum kenderaan MPV Toyota Alphard yang dinaiki bersama anaknya Ramkarpal, pemandu, pembantu peribadi serta pembantu rumahnya terlibat dalam nahas ngeri di Kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Gua Tempurung pada kira-kira pukul 1.30 pagi Khamis.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Gurmit Kaur, empat anak lelaki Jagdeep, Gobind, Ramkarpal dan Mankarpal dan seorang anak perempuan, Sangeet Kaur serta beberapa orang cucu. Japdeep, Gobind, Ramkarpal dan Sangeet mengikut jejak langkah bapanya itu menjadi peguam.

Pada 11 Mac lalu, Karpal didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, lima tahun lalu.

Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 itu memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Karpal memfailkan rayuan pada 24 Mac lalu ke Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan hukuman tersebut.

Belum pun sempat rayuan tersebut dide­ngar, mendiang menemui ajalnya, membawa legasi Harimau Jelutong bersamanya.


NORAZLITA MOHD. SIES Utusan Rencana 20140418

Perjalanan terakhir Karpal

Kampar: Seorang saksi berkata, beliau melihat seorang mangsa terbaring atas jalan di tepi sebelah kiri kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard sejurus selepas kemalangan.

Azman Ahmad Bakri, 38, juga melihat seorang lelaki lain yang duduk di kerusi bahagian tengah MPV, memeluk mangsa yang duduk di kerusi hadapan.


“Apabila cuba menghampirinya lelaki itu berkata ‘go away...go away’,” katanya yang ketika itu tidak mengetahui antara mangsa adalah bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh dan anaknya. Dia kemudian menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan pada kira-kira jam 12.45 pagi.

Dalam kemalangan di Kilometer 306.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berdekatan Gua Tempurung, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kiri muka, apabila MPV dengan nombor pendaftaran KS 9898 yang dinaiki lima orang, merempuh belakang sebuah lori Mitsubishi Canter yang membawa simen, besi, jubin di lorong kiri laluan dua lorong itu.

Turut maut di tempat kejadian ialah pembantu peribadinya, C Michael, 39. Mayat mereka dibawa ke Hospital Kampar (HK), tetapi kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

Pembantu rumah parah

Seorang wanita pembantu rumah warga Indonesia, pula cedera parah dan mendapat rawatan di HRPB. Anak Karpal, Ram Karpal Singh, 38, cedera ringan di kaki dan dirawat sebagai pesakit luar di HK, manakala pemandu MPV, seorang warga India, C Selvam, 27, tidak cedera.
Pemandu lori, Abu Mansor Mohd, 45, dari Selangor cedera ringan, manakala isterinya, Nur Azlina Ahmad, 23, dan anak mereka Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah, 4, tidak cedera.

Ketika kejadian, Karpal dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur selepas melawat anaknya yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang dirawat di wad Hospital Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur ke rumahnya di Georgetown, Pulau Pinang untuk menghadiri sebutan kes seorang jurutera yang didakwa membunuh teman wanita pada 14 Februari lalu.

Berita Harian Nasional 2014/04/18 - 04:38:49 AM Jalal Ali Abdul Rahim, Shamsul Kamal Amaruddin dan Shaarani Ismail

Belasungakawa: Ketegasan Karpal Singh disegani kawan dan lawan

KUALA LUMPUR: Tokoh politik DAP, Karpal Singh yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya awal hari ini merupakan seorang yang disegani oleh kawan dan lawan.

Dikenali sebagai seorang yang tegas dan lantang menyuarakan pendirian, kehidupan mendiang sebagai ahli politik mahupun peguam, dipenuhi warna-warni termasuk kontroversi.


Karpal Singh, 74, yang merupakan Pengerusi Kebangsaan DAP bukan berketurunan Cina pertama, tidak segan menegur pemimpin parti itu jika beliau anggap mereka mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya kepada umum.

Antara yang pernah ditegurnya ialah Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Jeff Ooi kerana menghina penjawat awam sebagai 'kucing kurap' dan mahu Anggota Parlimen Jelutong itu meminta maaf secara terbuka selain berjanji tidak mengulanginya ketika konvensyen DAP tahun lepas.

Beliau juga pernah dilapor oleh media pada Februari 2009 sebagai meminta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat kerana banyak menimbulkan masalah dalam pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PKR serta PAS.

Dilahirkan di Kedah pada 28 Jun 1940 sebagai Karpal Singh Ram Singh, beliau menyertai DAP pada 1970 dan pantas mencipta nama dalam parti itu apabila menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Alor Setar dalam pilihan raya umum 1974.

Beliau bagaimanapun tewas di kerusi Parlimen Alor Setar kepada calon Barisan Nasional (BN) Oo Gin Sun dalam pilihan raya berkenaan.
Pada 1978 Karpal Singh dilantik sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang, jawatan yang dipegangnya sehingga 1995, manakala pada 1982 diangkat sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan sebelum dilantik menjadi Pengerusi Kebangsaan pada 2004.

Jawatan itu dipegang beliau sehingga 29 Mac lepas. Karpal Singh melepaskan jawatan berkenaan setelah dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapatinya bersalah menurut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu sedang menunggu keputusan rayuan kes tersebut yang memungkinkannya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seorang wakil rakyat akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

Mendiang pernah digelar sebagai 'Tiger of Jelutong' kerana berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Jelutong selama lima penggal berturut-turut sejak 1978, sebelum ditundukkan oleh Lee Kah Choon dengan majoriti 775 undi.

Pilihan raya umum (PRU) 1999 itu jelas tidak memihak kepada Karpal Singh yang turut kecundang di kerusi DUN Datuk Keramat. Jika diamati, beliau tidak begitu bernasib baik di peringkat DUN kerana kerap kali tewas antaranya Sungai Pinang (PRU 1990), Prai (pilihan raya kecil 1991) dan Padang Kota (PRU 1995).

Beliau bangkit kembali dalam PRU 2004 apabila menang kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang dipertahankannya pada 2008 dan 2013.

Sepanjang menjadi wakil rakyat baik, di peringkat DUN mahupun Parlimen, Karpal Singh tidak pernah sunyi daripada kontroversi kerana mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menyebabkan beliau sering dihalau keluar sidang DUN dan Dewan Rakyat selain turut digantung daripada menghadiri persidangan.

Tindakan beliau itu mungkin dapat diperjelas menerusi kenyataannya dalam satu temu bual dengan Bernama pada 1995 yang berbunyi: "Peranan saya ialah mahu 'check and balance' supaya kerajaan yang memerintah tidak bebas menyalah guna kuasa".

Karpal Singh juga pernah mencetuskan polemik apabila tegas menyatakan supaya PAS melangkah mayatnya dahulu sebelum mewujudkan negara Islam di Malaysia menerusi pelaksanaan undang-undang hudud.

Selain itu, mendiang juga pernah ditahan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri menerusi Ops Lalang.

Dari segi kerjaya sebagai peguam, Karpal Singh yang mendapat pendidikan menengah di St. Xavier Institution, Pulau Pinang dan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada University of Singapore pada 1968 banyak terbabit dalam kes berprofil tinggi.

Antaranya ialah membela Anwar dalam kes liwat kedua Ketua Umum PKR itu yang bermula 2008 dan masih berterusan sehingga sekarang. Kes itu mencipta sejarah tersendiri kerana berlaku penangguhan sehingga puluhan kali.

Karpal Singh pernah terbabit dalam nahas jalan raya pada 2005 di Pulau Pinang yang menyebabkan beliau lumpuh dan terpaksa berkerusi roda.

Hari ini beliau dan pembantu peribadinya terbunuh dalam nahas pukul 1 pagi di Km 301.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gua Tempurung selepas kenderaan pelbagai guna yang dinaikinya melanggar belakang sebuah lori.

Mendiang meninggalkan isteri, Gurmit Kaur dan lima anak. Dua anak lelakinya iaitu Jagdeep Sigh Deo dan Gobind Singh Deo mengikuti jejaknya menjadi peguam dan ahli politik.

Jagdeep, merupakan Adun Datuk Keramat serta menjadi anggota Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang manakala Gobind pula Anggota Parlimen Puchong. -- BERNAMA Berita Harian Mutakhir 2014/04/17 - 20:42:45 PM