May 6th, 2014

Miliki RM1 juta bukan lagi jutawan

KUALA LUMPUR 30 April - Memiliki RM1 juta tidak lagi layak digelar jutawan sebaliknya mereka yang ingin mencapai status tersebut perlu memiliki sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3.26 juta).

Bagaimanapun, bagi mereka yang hanya mempunyai AS$1 juta tetapi tidak dilaburkan, ia juga tidak membawa sebarang makna kerana dana kekayaan itu tidak berkembang.

Ketua Pegawai Akademik Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi (gambar) berkata, perkara itu amat penting memandangkan Malaysia menyasarkan untuk mempunyai 68,000 individu berpendapatan tinggi bersih (HNWI) yang memiliki pendapatan terkumpul sebanyak AS$330 bilion (RM1.08 trilion) menjelang 2015.

“Di luar sana, sebenarnya ramai orang yang sibuk membuat duit tetapi tidak melaburkannya. Malah, ada juga yang tidak tahu bagaimana untuk membuat pelaburan. Jadi, mereka ini perlu dibimbing dan diberi nasihat memandangkan pasaran bagi industri pengurusan kekayaan amat besar dan berpotensi luas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel bagi sesi perbincangan yang menyentuh topik tentang Masa Depan Industri Pengurusan Kekayaan Islam di Malaysia sempena Simposium Pengurusan Kekayaan Islam 2014 di sini hari ini.

Seminar tersebut dianjurkan oleh BNP Paribas-INCEIF dan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

Turut terlibat pada sesi tersebut ialah, Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC, Saiful Bahari Baharom dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kewangan Islam Antarabangsa Bersekutu, Dr. Mohd. Daud Bakar.

Menurut Syed Othman, dari segi pasaran global di peringkat Asia, HNWI China menguasai aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak AS$8.8 trilion (RM28.74 trilion) berbanding jumlah keseluruhan iaitu AS$15.8 trilion (RM51.59 trilion) yang disumbangkan oleh 2.28 juta HNWI menjelang 2015.

“Baki daripada jumlah itu disumbangkan daripada negara-negara Asia lain termasuk Malaysia," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kesedaran tentang pengurusan kekayaan di Malaysia masih berada di tahap yang lemah sedangkan ia memiliki potensi untuk berkembang dengan baik.

“Dalam tempoh lima tahun, pengurusan kekayaan di Malaysia akan mencapai pertumbuhan 100 peratus didorong oleh perkembangan positif dari segi aset persendirian," jelasnya.



Utusan Ekonomi 20140501

Lihat corak pengundian di Bukit Gelugor, Teluk Intan

KERUSI Parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang dan Teluk Intan di Perak kosong. Ini bermakna selepas satu tahun Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan, dua lagi pi­lihan raya kecil (PRK) akan mengambil tempat. Sebelum ini, empat PRK melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Kuala Besut, Terengganu; Sungai Limau, Kedah; Kajang, Selangor dan Balingian, Sarawak. Dua akibat peletakan jawatan dan dua lagi kematian.



Keputusannya, parti penyandang menge­kalkan kedudukan iaitu 2 BN, 1 PKR, 1 Pas. Bagi dua PRK akan datang, kedua-duanya melibatkan kerusi DAP. Setakat ini DAP sudah pasti akan mempertahankan dua kerusi yang dimenanginya itu pada PRU lalu.

Tidak ada istilah memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya berlaku kekosongan pada kerusi yang diwakilinya. PRK perlu dijalankan. Menang atau kalah soal lain lebih-lebih lagi di pihak sebelah lawan, mereka masih teragak-agak membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak. Jarang bagi BN untuk menarik diri daripada pertandingan walaupun sebelum ini perkara itu pernah berlaku di DUN Penanti kerana wakil rakyatnya dari PKR sengaja meletak jawatan, bukan kekosongan disebabkan kematian, masalah kesihatan atau undang-undang.

Begitu juga pada PRU lalu, seorang calon BN tidak menyerahkan kertas pencalonan yang mengejutkan barisan kepemimpinan BN negeri dan Pusat. Apabila berlaku kekosongan di DUN Kajang disebabkan wakil PKR meletak jawatan, BN pada mulanya dikatakan tidak berminat untuk bertan­ding, mungkin disebabkan prinsipnya tidak mahu mengikut rentak tari pembangkang. Bagaimanapun, BN mengambil keputusan untuk bertanding. Wakil MCA sebagai calon. Mungkin sebagai satu ujian untuk barisan kepemimpinan baharu MCA yang dipimpin oleh Liow Tiong Lai. Calon MCA tewas. Kini sekali lagi kerusi yang diperuntukkan kepada MCA kosong berikutan kematian Karpal Singh. Begitu juga dengan Gerakan yang diperuntukkan kerusi Parlimen Teluk Intan. Berbeza de­ngan Bukit Gelugor, kerusi Teluk Intan pernah dimenangi Gerakan termasuk Mah Siew Keong yang kini menjadi Presiden baharu parti itu.

Dalam hal ini, adakah BN akan membiarkan sahaja kerusi itu dimenangi DAP secara percuma? Jika ya, kenapa? Adakah kerana Bukit Gelugor pernah diterajui Karpal yang mendapat gelaran Harimau Jelutong? Jika diselak kembali, Karpal pernah ditewaskan oleh calon-calon Gerakan dan MCA pada PRU. Lee Kah Choon yang pada 1999 mewakili Gerakan berjaya mengalahkan Karpal di kawasan Parlimen Jelutong yang dikuasai DAP sejak 1974. Karpal yang menguasai kerusi itu selama lima penggal sejak 1978 tewas dengan majoriti 775 undi pada PRU 1999. Pada tahun yang sama, Karpal juga disingkirkan di kerusi DUN Datok Keramat apabila tewas kepada calon MCA, Lim Boo Chang. Karpal bangkit semula pada 2004 apabila bertanding di kawasan baru yang diwujudkan iaitu Bukit Gelugor yang sebelum itu dikenali sebagai kawasan DUN di bawah Parlimen Bayan Baru.

Pada PRU itu, Karpal menebus keka­lahannya dengan mengalahkan Boo Chang. Begitulah kisah kekuatan yang ada pada DAP yang sebenarnya boleh digugat. Tidak dinafikan jika dilihat taburan pengundinya, peluang BN memang tipis atau tidak ada harapan di kawasan Bukit Gelugor kecuali berlaku perubahan sokongan dalam ka­langan masyarakat Cina. Di sinilah peranan MCA dan Gerakan untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi Cina. Cabaran ini juga terletak kepada Gerakan yang dipilih menerajui kepemimpinan BN Pulau Pinang melalui Teng Chang Yeow.

Amat penting bagi MCA dan Gerakan untuk memastikan PRK kali ini membawa sesuatu isyarat daripada pe­ngundi-pengundi walaupun kawasan yang ditandingi merupakan kubu kuat DAP. Selepas setahun PRU berlangsung, adakah pengundi-pengundi Cina sudah ber­ubah? Jika berubah ke arah mana? Adakah semakin menerima DAP atau kembali menyokong BN melalui Gerakan dan MCA.

Bukit Gelugor mengandungi DUN Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong yang kesemuanya diwakili DAP. Di atas kertas, BN boleh bertanding sekadar untuk melihat sejauh mana kekuatan yang ada selepas setahun PRU13. MCA pula khabarnya sudah ada calon yang sedia diturunkan, cuma menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan BN. Pada masa yang sama, para pengundi serta penduduk di kawasan itu sudah pasti ingin mendengar apa pula janji-janji dan perancangan kerajaan negeri DAP untuk kemajuan rakyat di kawasan itu.

Mungkin penduduk sekitar akan me­numpang janji berkaitan isu-isu tempatan termasuk banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri itu semalam. Maka apa yang penting ialah turun bertanding, bukan bercakap soal menang atau kalah. Jika menang dan kalah yang menjadi ke­utamaan, eloklah selepas ini jika ada mana-mana kerusi yang kosong, biarkan sahaja penyandang menang tanpa bertanding. Dalam menghadapi PRK Bukit Gelugor ini, Gerakan dan MCA khususnya perlu berusaha untuk meningkatkan jumlah undi yang diperoleh pada PRU lalu. Kurangkan majoriti lawan. Itu sudah memadai.

Menyelak PRK Teluk Intan pula, ia me­ngulangi sejarah pada tahun 1997 apabila PRK diadakan di kawasan berkenaan berikutan kematian Ong Tin Kim dari Gerakan. Pada PRK itu, calon BN, Dr. Chee See Choke dari Gerakan tewas kepada M.Kulasegaran dari DAP. Bagaimanapun pada PRU 1999, Siew Keong menang dengan majoriti 2,783 undi mengalahkan calon DAP. Beliau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 10,041 undi mengalahkan calon DAP dan Keadilan. Siew Keong gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU 2008 apabila calon DAP, M.Manogaran menang dengan majoriti 1,470 undi dan pada PRU lalu, tewas kepada Seah Leong Peng yang menang dengan majoriti 7,313 undi.

Berdasarkan pencapaian Gerakan di kawasan itu, bukanlah mustahil untuk BN me­rampas kembali kerusi berkenaan. Mungkin sebagai Presiden, Siew Keong sesuai untuk dicalonkan kerana rekod perkhidmatannya sepanjang mewakili penduduk di kawasan berkenaan. Turut akan membantu ialah sebagai anak tempatan. Berbanding DAP, calon-calon yang diturunkan di Teluk Intan silih berganti.

Tentunya Gerakan tidak ketandusan calon jika Siew Keong bukan menjadi pilihan. Inilah peluang terbaik untuk Gerakan mendapatkan kembali kerusi yang pernah dikuasainya dan wakil rakyat kawasan itu pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri. Apa yang penting, Gerakan perlu menurunkan calonnya di Teluk Intan, Begitu juga MCA di Bukit Gelugor. Lihat apakah selepas setahun PRU, corak pengundian sudah ‘berubah’ atau berada pada tahap yang sama.   Hassan Mohd Noor Utusan Rencana 20140505

Setahun Pasca 505 PRU Ke-13

HARI ini sudah genap setahun sejak Pi­lihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan. PRU Ke-13 ditetapkan pada 5 Mei 2013 selepas pembubaran Parlimen pada 3 April 2013 dan diikuti dengan penamaan calon pada 20 April.

Pada ketika itu, 84% dari 13,268,002 pe­ngundi menjadi 'raja' di 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak dalam menentukan siapakah layak untuk mentadbir-urus negara ini yang tidak pernah terkecuali menjalankan PRU dalam tempoh masa ditetapkan dengan pengendalian di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 113 Perlembagaan.

Mengimbas setahun pasca PRU Ke-13, jika PRU diadakan sekarang ketika merentasi tahun pertama, bagaimana kedudukannya. Apakah Barisan Nasional (BN) akan mempunyai bilangan kerusi yang sama, merosot atau meningkat? Bagaimana pula Pakatan Pembangkang (PR), adakah masih bertahan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan atau dapat merealisasikan impian ke Putrajaya? Apakah BN akan dapat merampas kesemua negeri di bawah PR?

PRU Ke-13 dinamakan sebagai 'ibu segala pilihan raya' kerana menunjukkan sema­ngat dan motivasi luar biasa sehingga keputusannya juga bercampur-campur. Ia diangkat dengan nada kecewa dan sinis oleh sesetengah pihak walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada menyatakan bahawa menerima keputusan PRU penting untuk proses memakmurkan negara tanpa ada gangguan ke atas kesta­bilan dan melahirkan keadaan tidak menentu.

Keputusan PRU Ke-13 menunjukkan BN diberi mandat untuk terus mentadbir negara. Dengan kemenangan 133 kerusi, ia kekal dengan majoriti mudah yang kekurangan 15 kerusi untuk majoriti dua pertiga. Bagi barisan pembangkang, bilangan kerusinya bertambah kepada 89 dari 82 sebelumnya, kurang 23 kerusi untuk majoriti mudah.

Selepas setahun, bagaimanakah kedudukannya? Adakah wujud perubahan? UMNO masih kekal popular di hampir 10 negeri, PKR di Selangor manakala DAP di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, Pas di Kelantan tetapi apakah perubahan yang sudah dilakukan sepanjang satu tahun lalu?

Adakah perencanaan parti berjaya memobilisasi sokongan atau sebaliknya? Dengan rujukan kepada akujanji dan manifesto, apakah masing-masing de­ngan bangga dan yakin boleh menyatakan sebahagian besar sudah dipenuhi, sudah dimulakan perancangan atau ia masih belum menampakkan sebarang perubahan? Ini juga termasuk pola pengundian mengikut kaum, atau sektoral agensi kerajaan dan bukan kerajaan, apakah masing-masing menampakkan perubahan sokongan?

Keputusan 505 PRU Ke-13 dipengaruhi oleh hampir 90% pengundi Cina mengundi parti DAP termasuk Pas. BN kehilangan 96% kerusi dengan lebih 40% majoriti pengundi Cina sehingga wujud sentimen yang dinamakan sebagai 'tsunami Cina', pendefinisian ke atas penolakan pengundi Cina kepada parti BN tetapi ia tidak berlaku hanya di kawasan bandar.

Selepas setahun, sentimen ini masih berada di tahap sama walaupun ada pe­r­u­bahan kepimpinan dalam parti MCA dengan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil-alih dari Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. Ujian di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang menunjukkan ada peningkatan sokongan tetapi tahap sokongan di PRK sukar dijadikan imaginasi sokongan sebenar.

Malang lagi, SUPP di Sarawak masih bernyawa ikan dan dengan kedatangan Pi­lihan Raya Negeri (PRN) dalam jangkamasa yang tidak berapa jauh, apakah SUPP mampu bangkit dan menterjemahkan sokongan pengundi Cina kepada kepimpinan baru Sarawak, Tan Sri Adenan Satem? Walau apa sahaja diperkatakan tentang Pehin Seri Taib Mahmud, beliau berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRN lalu dan mampukah ia diulangi di bawah kepimpinan baru merupakan cabaran yang perlu diteliti.

Apakah parti berlatar belakang kaum Cina yang baru dengan kepimpinan yang menjiwai zaman kontemporari boleh lahir untuk melonjakkan sokongan beserta de­ngan kerjasama badan bukan kerajaan dan yang mesra kepada BN?

Sepanjang setahun lalu, hampir semua parti berhadapan dengan pemilihan parti termasuk dalam UMNO, MCA, MIC dan Ge­rakan. Perubahan tidak berlaku dengan ke­tara di dalam UMNO namun MCA berwajah baru. Cabaran besar bagi MCA selepas ini adalah dilema untuk mengawal populariti berdasarkan kepada Formula 1952 yang kemudiannya Formula 1955 dengan kehadiran MIC dalam kerjasama tersebut.

MIC pula diheret ke Pejabat Pendaftaran (ROS) kerana wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin yang merasakan wujudnya salah-laku pemilihan. Datuk S. Balakrishnan dan Datuk S. Sothinathan muncul dua Naib Presiden baru dalam parti melalui pemilihan ini.

Parti-parti yang menjadi mesra BN dilihat turut memain peranan signifikan dan membantu parti induk BN, misalnya Makkal Sakti yang sentiasa bergerak menyelesaikan isu dan masalah yang timbul sebagaimana juga dengan Kimma dan IPF. Sudahkah tiba masanya pendekatan baru digunapakai untuk meningkatkan tahap komitmen mereka sebagai penghargaan ke atas sumbangan selama ini kerana komitmen ini jelas PRK.

Sepanjang satu tahun pasca 505 PRU Ke-13, lima PRK diadakan, semuanya bersifat status quo. Ia bermula di Kuala Besut diikuti dengan Sungai Limau, Kajang, Balingan dan Bukit Gelugor serta Teluk Intan. Kesemuanya terpaksa diadakan akibat kematian kecuali di Kajang berpunca peletakan jawatan untuk mengukuhkan parti di Selangor manakala di Balingan, calon dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri. Hakikatnya, kos mengadakan PRK tidak murah, misalnya kos di Kajang adalah RM1.605 juta manakala di Balingan, RM910,213.

Barisan parti pembangkang juga berhadapan dengan pemilihan parti. DAP melihat pemilihan yang terpaksa diadakan kerana wujud salah laku dan diarah untuk mengadakan pemilihan baru tanpa ada perubahan besar. Begitu juga dengan Pas dengan pemilihan semula Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Bagi PKR, ia bakal berhadapan dengan pemilihan parti. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Presiden parti selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri tetapi pemi­lihan Timbalan Presiden dan Naib Presiden bakal melihat hala tuju dan masa depan parti tersebut.

Beberapa isu dominan muncul sepanjang satu tahun pasca PRU Ke-13. Antara­nya, isu kenaikan barang secara mendadak sehingga agensi terlibat bersifat defensif. Tidak ada yang sukakan barang naik dan ini boleh mempengaruhi pandangan umum kepada parti politik kerana parti sering diheret bersama dalam keputusan yang dibuat kerajaan. Begitu juga dengan harga petrol, tarif elektrik, GST, tambang bas, LRT, kalimah Allah, gula dan lain-lain. Saga PKNS, gaji wakil rakyat, penutupan GiatMara dan isu air menghantui kepimpinan PKR.

Hukum hudud kini menjadi keutamaan Pas semula. Persepsi adalah realiti dan adakalanya realiti menjadi persepsi yang perlu dilawan dari bersifat defensif me­ngenainya. Begitu juga dengan kenaikan tarif air dan isu kereta Mercedez Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Isu kezaliman, keadilan, rasuah dan kroni sentiasa didendang ketika parti berhadapan dengan krisis keyakinan.

Isu perpaduan dan agama tidak keting­galan sepanjang satu tahun ini. Hudud menjadi perdebatan sedangkan ia merupakan perjuangan Pas sejak sekian lama manakala bagi DAP yang tahu ia antara agenda yang tidak boleh dikompromi, bagaimanakah akan meneruskan kerjasama jika ia berte­rusan adalah antara yang akan mewarnai tahun berikutnya di samping rayuan Anwar dari hukuman salah lakunya yang didapati bersalah baru-baru ini.

Saya percaya Malaysia sedang melalui transisi literasi politik tetapi ia tidak bermakna kestabilan mesti diheret dengan keadaan tidak menentu. Biar peristiwa mahu merampas kuasa pada 16 September 2008 menjadi pengajaran. Ancaman mahu menggulingkan kerajaan sedia ada yang memiliki legitimasi politik melalui PRU perlu dihentikan kerana ia tidak akan menjamin masa depan yang baik untuk pertumbuhan dan pembangunan negara.

Dalam isu tertentu, sewajarnya kedua-dua pihak bergabung untuk membangunkan negara tanpa perlu diberikan jawatan, pangkat dan kuasa tetapi ia akan mencerminkan kematangan dan kecerdikan politik baru iaitu politik berhemah. Barangkali, daripada mempolitikkan peristiwa MH370, masih belum terlewat untuk bergandingan bersama terutama bagi parti yang menggunakan ia sebagai modal politik di PRK Kajang baru-baru ini.

Penilaian satu tahun merentasi di pe­ringkat negara, negeri, kepimpinan pusat dan parti serta masa depan yang bagaimana mahu dilakar untuk negara ini. Penilaian secara jujur mesti melihat kepada adakah sokongan meningkat, terhakis atau statik; meneliti apakah dasar dan polisi yang baik, yang perlu diperbaiki atau perlu dihentikan; misalnya yang sering dikembangkan adalah berkaitan isu keetnikan dan agama kerana ada yang melihat seolah-olah agensi kerajaan tidak mengambil langkah sewajarnya. Benarkah begitu, apakah ini persepsi atau realiti?

Pasca satu tahun 505 PRU Ke-13 mesti merungkai peluang, ancaman, kelemahan dan kekuatan dengan melihat di manakah parti pada 2018? Gambaran itu boleh membantu perjalanan parti politik merentasi pelbagai cabaran dalam kedudukan semasa dunia politik hari ini ketika menjejaki tahun kedua 505 PRU Ke-13.

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia. Utusan Rencana 20140505

Warisan Melayu perlu dominan

Baru-baru ini, sewaktu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menghadiri jamuan makan malam di Istana Negara dengan pembesar-pembesar negara, berlangsung majlis Santapan Malam bersempena Simposium Muafakat Minang di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Tahniah kepada panatia simposium muafakat Minang ini - bukan saja kerana susah payah rakan-rakan di Politeknik Port Dickson tetapi lantaran usaha ini berkaitan langsung dengan budaya dan tamadun bangsa Melayu itu sendiri.

Penghargaan jua kepada para pembentang kertas simposium yang bernilai tinggi bagi pemikiran membina kita buat masa hadapan. Ramai dalam kalangan peserta dan hadirin yang datang dari jauh termasuk dari Sumatera Barat untuk bersama-sama menjayakan Simposium Muafakat Minang itu.

Bunga selasih dari Kuantan

Melukut di tepi gantang

Terima kasih diucapkan

Kerana bila dijemput terus datang

Pada awalnya simposium itu hendak dinamakan Diaspora Minang. Saya lantas menyarankan mungkin elok kita cari istilah Melayunya terlebih dahulu sebelum terus melompat menggunakan diaspora. Hujahnya, pada masa ini terlalu mudah bagi orang Melayu menggunakan perkataan Inggeris seolah-olah kita sudah tiada perkataan sendiri bagi sesuatu fasal dan maksud.

Kita sudah lupa prinsip asas bahasa ibunda - jika ada istilah dalam bahasa sendiri, gunakannya dahulu. Jika langsung tidak di dapati barulah ambil bahasa orang lain. Mudahnya kita kini menceduk dan menggunakan bahasa Inggeris untuk kata buat dan kata nama Melayu sehingga macam menepati rangkap lama :

Sejak langsat tidak berbuah

Keduduk tidak berbunga lagi

Semenjak dapat gading bertuah

Tanduk tidak berguna lagi

Memang, perkataan yang sebutannya sedap didengar sudah dimasukkan ke dalam perbendaharaan kata Kamus Dewan Edisi Ketiga (2007) seperti mana juga perkataan barang-barang sekenhend digunakan di dalam peristilahan bagi menggantikan "barang-barang terpakai". Sewajarnya maafkan Dewan Bahasa Pustaka yang tampaknya juga terheret sedikit sebanyak ke dalam cakupan bahasa pinjaman. Berbanding diaspora, didapati simposium dan muafakat lebih dikenali dan dimengertikan oleh masyarakat umum.

Namun, menyedari bahawa himpitan bagi kita untuk menerima diaspora kian lama terasa lantaran aliran budaya beraliran lebih deras daripada zaman Za’ba dahulu. Dan aliran ini nampaknya lebih deras dan menghanyutkandengan wujudnya dunia siber yang bersifat talam dua muka : yang satu mengajar, memaklum dan yang satu lagi mengancam dan memusnah yang lama, yang bersifat warisan.

Inilah sebahagian latar belakang yang kita hadapi serta alami pada waktu ini dan di hari-hari muka. Beginilah sebahagian kehidupan kita di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Beginilah juga sanak saudara kita berhadapan dengan persekitaran moden mereka di Minangkabau khasnya dan di Indonesia amnya. Malah perubahan di sana jika dilihat dari dekat kadangkala lebih mengejutkan.

Bahasa Indonesia seperti bahasa Melayu sedang diledak perubahan dan proses peralihan di mana istilah Inggeris begitu cepat masuk dan digunakan tanpa memikirkan kesannya terhadap warisan dan budaya kita.

Nama-nama tradisional di zaman Minang yang berkaitan Islam seperti Abdullah, Ahmad, Khalid, dan lain-lain sudah diganti dengan nama-nama Inggeris/Kristian: James, Victor, Jimmy dan ratusan lain.

Nama-nama tradisional Minang seperti Buyueng, Siupiek, Saribanun, Tinan dan sebagainya sudah ditelan zaman baru. Malah asakan budaya dan mubaligh Kristian sudah mula bertapak di ranah Minang dengan agak mencemaskan.

Memadai jika dinyatakan bahawa adat Melayu, khususnya adat Perpatih harus diperkukuh dan disebarluaskan ke peringkat amali yang membina dan lebih terasa.

Pada masa ini adat itu hanya dijadikan relevan bila berkaitan pelantikan puak-puak diraja, Datuk Undang Luak, Datuk-datuk dan sebagainya. Bila mereka sudah duduk di atas persada masing-masing, hal-ehwal adat semacam dibiarkan saja.

Orang Melayu mesti mengenal dan mengamalkan budayanya jika Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan hendak dimartabatkan. Fasal 160 itu menuntut bahawa seseorang Melayu itu bertutur dengan lazim bahasa Melayu, memeluk Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Tentunya perkataan adat istiadat Melayu di situ bermakna budaya Melayu kerana istilah adat itu sendiri adalah sebahagian budaya. Cuma harus diakui bahawa pada masa ini tuntutan Perkara 160 itu tidak banyak dianalisis atau dihuraikan demi survival dan keutuhan Melayu itu sendiri.

Sewaktu di pertandingan pidato antarabangsa yang secara besar turut disertai oleh tenaga pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan cita-cita menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia walaupun dengan sedikit kewas­padaan.

Saya gembira dengan pendirian Perdana Menteri ini, kerana saya amat cenderung terlibat dengan usaha murni ini. Ia akan menjadi kenyataan dengan syarat Indonesia dan Malaysia bertenaga satu dalam hal-ehwal bahasa Melayu dan bahasa Indonesia yang sebenarnya bahasa serumpun.

Ada satu hal yang amat penting disuarakan ialah betapa pentingnya rakyat, khasnya masyarakat Melayu, memahami dan menerima hakikat bahawa sesuatu bangsa itu perlu menjaga segala warisannya, khasnya terhadap seni budaya mereka.

Masalahnya ialah takrif dan kepentingan warisan itu kerap disalah-mengerti.

Mereka sering menganggap budaya itu hanya lagu, nyanyian, muzik, joget, zapin dan sebagainya. Mereka tidak menyedari budaya sebenar, seperti adat sebenar adat, ialah cara hidup kita yang bernilai tinggi yang mencerminkan kekitaan mulia; ajaran dan peninggalan budaya melalui budi, nilai-nilai murni, agama yang menyerlahkan nilai tinggi kehidupan bukan kekasaran dan bukan Islam yang dikenal dunia sebagai ganas dan merobek.

Dalam konteks ini kehidupan kita di Malaysia yang mengisi tuntutan Perkara 160 itu perlu menjadikan Melayu sebenar, bukan Melayu asuhan dunia siber yang penuh peniruan negatif. Dan jika disoal, apakah cabaran terbesar bagi kita Muslim Melayu?

Jawabnya ialah bagaimana kehidupan di rumah tangga kita tidak dilunturi kaedah budaya luaran yang menghakis warisan kita. Di mana tulisan jawi kita? Dimana letaknya kata-kata adat kita yang tak lekang dek panas dan tak lapuk di hujan? Di mana diletakkan budaya Melayu dan di mana ditatang budaya dunia? Siapakah yang akan mengajar anak-pinak dan keturunan kita budaya Melayu seiring bimbingan Islam yang luhur.

Akan ada pihak yang berkata - "Ah, pedulikan itu semua. Kita maju ke depan dan hirup semua udara dan manisan kehidupan moden. Kita mesti jangan ketinggalan. Ubah bahasa, ubah nilai, ubah persekitaran kita. Baru maju."

Jika kecenderungan ini yang bakal dipilih, umat Melayu di seberang dan di sini akan sekali gus mematikan warisan mereka melalui budaya mereka yang dibunuh sendiri.

Lihat sahaja tulisan Tionghua terus menerus dicintai dan dipakai secara akademik dan komersial. Akhbar mereka melalui Syarikat Rimbunan Hijau memang menghijau. Jualan akhbar Cina berlipat ganda berbanding akhbar jawi, Utusan Melayu yang gulung tikar sedekad lalu kerana Melayu telah melupakannya.

Makanan segera burger, Kentucky Fried Chicken dan piza lebih banyak dijual daripada nasi lemak dan sambal tumis; kopi Starbuck RM11 secawan berbanding dengan kopi Tawau yang hanya RM1.50 secawan tetapi warga Malaysia berduyun-duyun membantu menguntungkan "taukeh Starbuck."

Wayang mereka seperti The Journey le­bih laku daripada filem Hantu Ketiak, atau Hantu Polong terbitan filem kita.

Sementara itu, wayang kulit mati sekubur dengan Mak Yong dan bangsawan. Silat kita handal tetapi Taekwando dan Jujitsu lebih popular. Islam kita lebih kepada bentuk daripada isi.

Mubaligh kita tak turun ke kawasan Orang Asli dan masyarakat minoriti kita seperti yang dilakukan oleh missionary Kristian. Sementara itu sebahagian Muslim di negara kita masih berhempas-pulas dan bercakaran sesama sendiri sambil menggunakan bahasa kesat dan maki hamun seolah-olah tiada al- Quran dan tiada hadis.

Dalam konteks inilah, seharusnya warga di Negeri Sembilan khasnya cuba menghalusi semula adat Perpatih dan falsafahnya yang mencerminkan nilai masyarakat muafakat budaya Melayu.

Secara selingan boleh diingati semula - pada tahun 1922 pentadbir Inggeris bernama R.J. Wilkinson (namanya pernah menamai sebuah jalan penting di dalam Bandar Seremban dahulu tetapi sudah dipadamkan dan diganti dengan Siamang Gagap) ada menulis dalam Papers on Malay Subjects,"Kalau bukan lantaran pentadbiran dan undang-undang Inggeris, undang-undang Islam dan undang-undang adat barang sudah tentu membendung masyarakat Melayu di dalam Negeri-negeri Melayu."

Diharap bukti sudah cukup bagi kita menyedari bahawa kebangkitan serta pemba­ngunan budaya dan warisan mesti dijalankan dan dijayakan melalui pendidikan, pergaulan dan apa jua perlakuan yang boleh membentuk tamadun tinggi.

Keindahan adat kita yang kaya dengan prinsip dan kata-kata adatnya bersekali dengan ungkapan adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah sudah diiktiraf semenjak Perang Padri lagi di Minangkabau.

Cuma kita terlalu dilenakan oleh kehidupan ibarat tali gasing, tebal di pangkal jirus ke hujung lalu menghilang. Kita tahu di mana teras terbenam. Ungkailah bersama semula. Satukan makna bulat air dek gopong, bulat manusia dek muafakat.

Terakhir, ada sebuah buku yang baru diterbitkan berjudul Leaves of the Same Tree karangan Prof. Dr. Andaya dari Universiti Hawaii.

Beliau antara lain banyak membuat kajian yang merumuskan bahawa penduduk di Gugusan Kepulauan Melayu (Nusantara) sebenarnya satu himpunan masyarakat yang berbahasa dan berwarisan yang sama. Baik dari segi etnisiti mahupun dari segi perdagangan dan pencarian rezeki. Kita ini bagaikan aur dengan tebing, tolong-menolong antara satu dengan lain. Kita bukan enau dalam belukar.

Kita berasal dari Wan Empok Wan Malini,

Gunung Daik Gunung Singgalang,

Yang buruk tinggal di sini,

Yang baik bawalah pulang.

Kita perlu membawa warisan kita secara dominan jika anak cucu keturunan kita mahu gagah perkasa di dunia.



Utusan Rencana 20140506

Apabila ramai berwatak Pak Kaduk ...

SESEKALI ada eloknya kita merenung kembali pepatah orang tua kita dahulu. Ada sebabnya pepatah itu dihasilkan. Ia relevan bukan sahaja pada zaman itu, tetapi selamanya.


Memerhatikan perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka Khamis lalu, kita akan `menggaru-garu kepala yang tak gatal ini'.

Penulis cukup yakin rata-rata yang hadir pada perhimpunan itu tidak faham langsung maksud GST. Apatah lagi kelebihan pelaksanaannya. Sama ada mereka telah dimomokkan oleh `pakar belit' Rafizi Ramli dan Tony Pua dengan `fakta-fakta' salah mengenai GST atau sebilangan rakyat tidak diberi penerangan mengikut `bahasa rakyat' untuk memahami manfaat pelaksanaan GST, itu boleh kita amati kemudian.

Tetapi fakta yang singgah di meja penulis adalah GST yang bakal direncanakan pada 1 April 2015 bertujuan untuk manfaat rakyat seluruhnya yang sudah pun membayar Cukai Jualan & Cukai Perkhidmatan (SST) sejak 1972 lagi.

Namun, cukai SST 5,6 atau 10% itu tidak telus. Maka, kerajaan memperkenalkan GST 6% yang antara kadar terendah di dunia untuk lebih telus dan berkesan. Itu tujuan utama GST, iaitu membaiki sistem cukai negara mengikut 160 atau 83% negara dalam dunia agar ekonomi negara berkembang. Ini kerana eksport tanpa GST menjadi lebih baik harganya dibandingkan eksport dengan SST sekarang. Juga, akhirnya dengan sedikit lebihan hasil yang diperoleh, kerajaan akan mengembalikannya semula untuk manfaat rakyat terbanyak.

Menerusi GST, cukai dikenakan pada pelbagai peringkat bermula dari pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna. Semua hasil pendapatan dan perbelanjaan di pelbagai peringkat ini akan direkod dan dikemaskinikan oleh pihak berkuasa. Unsur-unsur kerenah birokrasi melampau, ketirisan, penyelewengan, mengelat dari bayar cukai dan kegiatan monopoli keterlaluan boleh dibanteras.

Cukai SST yang dikenakan meliputi cukai jualan 10% + cukai perkhidmatan 6% = 16% akan dihapuskan sama sekali dan digantikan dengan sistem cukai baru GST pada kadar 6%. Justeru GST bukan cukai tambahan kepada cukai sedia ada. Di ASEAN hanya Brunei, Myanmar dan Malaysia masih belum melaksanakannya. Negara-negara yang melaksanakan GST telah berjaya memajukan negara mereka dan tidak jatuh bankrap.

Itu faktanya. Dan di sebalik bantahan terhadap GST di Dataran Merdeka tempoh hari, penulis sebenarnya cukup bimbang dengan nasib orang Melayu. Sebahagian besar yang hadir dalam perhimpunan itu adalah orang Melayu. Majoritinya, difahamkan hadir untuk `berjimba-jimba' meramaikan majlis.

Barangkali, elok `peserta-peserta perhimpunan GST' terbabit mengambil iktibar akan kisah Pak Kaduk yang dulunya hanyalah cerita penglipur lara dalam kalangan masyarakat Melayu. Tetapi kini muncul menjadi realiti.

Kisah Pak Kaduk antara lain memberi isyarat tentang pentingnyaakal dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan. Akal dan kebijaksanaanlah yang akan membimbing manusia memilih antara yang baik dengan buruk dan maslahah dengan mudarat, selain mempertimbang akibat atau kesan sesuatu tindakan.

Kisah Pak Kaduk yang sarat dengan nasihat dan pengajaran itu seharusnya tidak sekadar menjadi bahan jenaka. Namun berapa ramaikah antara kita yang sentiasa ingat dan berminat untuk mengambil pengajaran daripada kisah tersebut? Berapa ramaikah pula antara kita yang tanpa sedar memiliki ciri-ciri kedunguan dan kejahilan sebagaimana yang ada pada Pak Kaduk?

Menurut al-Imam al-Ghazali r.h., tiada kebaikan yang akan diperoleh dengan bersahabat dengan seorang yang bodoh dan jahil kerana persahabatan itu akhirnya membawa kepada permusuhan dan kesulitan. Langkah terbaik ialah melindungi diri daripada kemudaratan yang diakibatkan `individu' berkenaan termasuk dalam usahanya untuk membawa manfaat atau memberikan bantuan kepada kita.

Perhatikan situasi yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Betapa banyak watak Pak Kaduk yang dapat disaksikan berada di sekeliling kita. Antaranya termasuklah individu yang sentiasa dimanipulasi orang lain akibat kejahilan diri sehingga tergadai milik serta kepentingan peribadi.

Hal inilah yang sering dapat dilihat berlaku. Lebih dibimbangi jika kelak ia membabitkan urusan yang jauh lebih besar dan penting seperti pelaksanaan GST dan kepemimpinan negara.

Di Dataran Merdeka 1 Mei lalu, pakatan pembangkang mungkin akan kata 50,000 orang menyertai mereka di situ. Malah, mereka akan sebut lebih angkanya. Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2013 dihadiri 200,000 orang di Dataran Merdeka. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC dihadiri 300,000 orang.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dalam whatsAppnya kepada penulis kelmarin berkata, beliau ada menanyakan bagaimana urusetia mengira mereka yang hadir di PWTC itu.

"Mereka kata ada petugas dengan kaunter elektronik di semua pintu untuk kira dengan tolak peratus tertentu yang keluar masuk. Mereka kata Pesta Buku pada Hari Pekerja pada 1 Mei tahun lepas 500,000 orang. Tahun ini anggaran 300,000. Kini dalam masa seminggu sudah 1.5 juta orang yang hadir Pesta Buku Antarabangsa yang sudah berlangsung 30 tahun itu," katanya.

Kita memang risau apabila pakatan pembangkang dan konco-konconya berhimpun. Tetapi ada ramai lagi majoriti rakyat yang berhimpun untuk tujuan produktif seperti membawa anak-anak dan pelajar sekolah melihat dan membeli pelbagai buku dalam bangunan Ibu Pejabat UMNO. Lima puluh ribu orang penyokong dan pengikut pembangkang cuma 0.16 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia.

Maknanya, sejumlah 99.84 peratus yang tidak berdemonstrasi itu perlu kerajaan jaga dengan baik. Faktanya, 30 juta rakyat Malaysia kini menerima manfaat subsidi ron95 (73 sen seliter), diesel (83 sen seliter), tepung, gas memasak, minyak masak, beras, kesihatan dan subsidi pendidikan.

Sebanyak 6.5 juta orang lagi menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan 5.4 juta orang terima wang sekolah serta buku teks. Dan ada Kedai Rakyat 1Malaysia, pasar tani, subsidi untuk nelayan dan pesawah. Juga, sejumlah 1.4 juta penjawat awam dengan pelbagai bantuan diterima oleh mereka yang tidak sempat disenarai dalam ruangan ini.

Yang pasti, kerajaan terus mendengar suara rakyat. Pihak-pihak berkepentingan akan sentiasa menunggu, bahkan berusaha mencipta peluang untuk menyalakan sumbu api.

Jika itu pilihannya, maka persoalannya: Relakah kita menjadi seperti si Kaduk yang hanya menang dalam bersorak, kampung tergadai? Tidak kiralah sama ada dalam soal GST atau apa sahaja, manfaatkan akal untuk membuat pilihan yang baik. Zulkifli Jalil Utusan Rencana 20140506

Mengimpikan kehidupan tanpa pagar besi dan jeriji

MEMBACA dan menonton berita kadang-kala membuatkan kita merasa seolah-olah sudah tidak selamat lagi.


Ada sahaja kes jenayah yang dilaporkan.

Bahkan yang tidak dilaporkan pun sampai juga ke telinga kita.

Dua minggu lepas, rumah jiran selang dua pintu dimasuki pencuri. Komputer riba, jam dan barang kemas lesap disapunya. Ketika itu, tuan rumah keluar bekerja.

Jumaat minggu lalu, kakak sebelah rumah menjadi mangsa ragut di dalam kawasan rumahnya sendiri. Dia yang sedang menyiram bunga (selepas catuan berakhir kira-kira pukul 11.30 pagi) hanya mampu menjerit meminta tolong sambil menyimbah air ke arah peragut.

Peragut yang tersentak dengan jeritan itu cuba melarikan diri namun sanggup berpatah balik dan `menunaikan hajat’ meragut gelang tangan kakak jiran sebelah setelah mendapati tidak ada siapa yang datang membantu.

Maklumlah hari Jumaat, orang lelaki ke masjid.

Kakak mangsa ragut tidak dapat berbuat apa-apa. Peragut datang berkumpulan dengan dua buah motosikal. Masing-masing penunggang dan pembonceng ialah lelaki muda yang sasa.

Baru dua hari lepas jiran belakang rumah pula yang kena. Lelaki dengan muka separuh bertutup datang mengacu pisau ketika dia mengangkat baju di ampaian.

Beberapa kejadian jenayah ragut, curi dan pecah rumah yang berlaku di sekitar kejiranan kadang-kala membuatkan kita tidak lagi merasa selamat tinggal di rumah.

Tidak tahu di mana silapnya.

Benarkah pihak polis tidak lagi memfokus kepada masalah jenayah seperti yang didakwa The Malaysian Insider dalam laporan portal propembangkang itu pada 21 Februari lalu?

Atau mungkinkah kadar jenayah sudah terlalu tinggi sehinggakan pihak polis tidak menang tangan untuk membendungnya?

Namun jika benar, apakah puncanya?

Adakah ekoran ketegasan Kementerian Dalam Negeri menjalankan operasi ‘menghalau’ pendatang asing tanpa izin (PATI) yang selama ini banyak terlibat jenayah, menyebabkan timbul pula kumpulan penjenayah dalam kalangan orang tempatan.

Adakah gara-gara pembangunan bercampur yang tidak lagi menjaga identiti bandar raya elit ini, menjadi puncanya?

Atau budaya tidak menghormati undang-undang dan penguat kuasa undang-undang yang semakin menular, sebagai penyebabnya?

Bukan lagi rahsia, semacam ada kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak termasuk pembangkang meremehkan tugas polis dan memperlekehkan undang-undang sehingga timbul tanggapan seolah-olah mereka menyetujui budaya antipolis dan antipenguat kuasa.

Atau mungkinkah ketaksuban terhadap filem-filem barat yang mendewakan perompak, penyamun atau nama lainnya penjenayah seperti Ocean Eleven, The Italian Job dan Too Fast Too Furious - menjadi penyumbang peningkatan penjenayah?

Penulis tidak ada jawapan untuk soalan-soalan di atas.

Namun penulis tertarik dengan saranan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye bahawa rakyat Malaysia terutama golongan muda perlu mewujudkan budaya antijenayah dengan menghormati undang-undang serta menjadikan aspek keselamatan sebagai cara hidup.

Dengan kata lain, beliau membayangkan bahawa tiadanya budaya antijenayah terutama dalam kalangan orang muda menjadi punca jenayah keganasan semakin menular dalam masyarakat sekarang.

Jika benarlah apa yang beliau bayangkan itu, keadaan ini amat membimbangkan dan tindakan sewajarnya perlu diambil untuk menanganinya.

Menuding jari kepada pihak polis bukan penyelesaian dan tidak akan menyelesaikan masalah pun.

Cabaran jenayah terkini dengan ancaman militan dan keganasan di samping kecanggihan penjenayah siber membuatkan tugas polis menjadi semakin rencam dan mencabar.

Mungkin benar saranan Lam Thye yang memang pakar dalam isu ini, bahawa asasnya adalah dengan mewujudkan budaya antijenayah dalam kalangan kita, dalam komuniti dan dalam keluarga kita sendiri.

Berapa banyak anggota polis pun, berapa kerap operasi dan serbuan pun, tidak mampu menghapuskan jenayah jika masyarakat `memberi muka’ kepada pelaku dan pesalahnya.

Hanya dengan menyemai budaya antijenayah, kita mampu menjadi mata dan telinga kepada keadaan yang berlaku di sekeliling dan kejiranan kita, bagi memastikan keselamatannya.

Namun penulis akui menuturkan tidak semudah melakukan. Ia memerlukan iltizam dan yang penting, sokongan daripada pihak berkuasa untuk menjayakannya.

Mungkin sudah tiba masanya kempen antijenayah besar-besaran digerakkan dengan penglibatan semua pihak - baik agensi kerajaan, swasta, pemimpin politik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, pusat pengajian tinggi, sekolah dan apa jua organisasi.

Hanya apabila masyarakat daripada pelbagai lapisan menolak dan membenci jenayah, kita dapat menikmati kehidupan dengan rasa selamat tanpa perlu memenjara diri dengan pagar dan jeriji. Coretan Marhaen Utusan Rencana 20140506

PPPM yang mula menampakkan hasil

PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan tahun lepas kini menampakkan hasil, terutama dalam memastikan jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar dapat dikurangkan secara berperingkat.


Usaha ini, kata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan terus dilakukan supaya aspirasi untuk mengurangkan jurang pencapaian berdasarkan tahap perbezaan sosioekonomi sebanyak 50 peratus dapat dicapai.

Jelas beliau, perkara ini terbukti menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu apabila jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar adalah sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN).

Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan adalah bidang terpenting dalam usaha pembangunan insan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Melalui bidang ini manusia dapat dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Bidang pendidikan menjadi semakin penting dan mencabar menjelang 2025 sebagai persediaan membentuk modal insan.


PPPM 2013-2025 yang dilancarkan tahun lalu sudah menampakkan kesan kejayaan
antaranya penglibatan ibu bapa dan sambungan Internet ke sekolah-sekolah. - Gambar hiasan

Di samping itu, pembelajaran sepanjang hayat juga akan membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan mengambil tindakan yang berani dan pantas dengan menyediakan pelan pembangunan pendidikan kerana perubahan yang dihasratkan adalah penting dan mesti dilaksanakan segera.

PPPM 2013-2025 sudah menampakkan kesan kejayaan antaranya penglibatan ibu bapa dan sambungan Internet ke sekolah-sekolah. Tujuannya untuk mencapai pendidikan berkualiti. Transformasi pendidikan ini adalah komitmen kerajaan untuk terus komited menjalankan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 15 tahun akan datang bermatlamat setiap murid mempunyai kemahiran baru untuk merebut peluang di samping menangani cabaran abad ke-21.

Jika dikaji dan diteliti adakah masa di sekolah mencukupi untuk murid belajar, menelaah dan mengulang kaji pelajaran? Jawapannya tentu tidak cukup jika murid tidak bersedia dari awal.

Dalam hal ini, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menguji apa yang dipelajari pada tahun empat, lima dan enam. Sementara itu, di peringkat tingkatan tiga, murid akan diuji apa yang dipelajari di tingkatan satu, dua, dan tiga. Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar akan diuji apa yang dipelajari di tingkatan empat dan lima.

Bagi menggantikan beberapa peperiksaan, Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan dilihat satu usaha Kementerian Pendidikan dalam memberi penambahbaikan terhadap pencapaian murid dalam peperiksaan utama, khususnya UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Para guru mengharapkan mereka tidak dibebankan dengan kerja-kerja menyediakan soalan, memeriksa kertas jawapan serta menjumlahkan keputusan. Suatu kaedah baharu telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi mengurangkan beban dan tugas guru.

Berkaitan hal ini, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya akan berusaha mengurangkan bebanan guru dalam pelaksanaan PBS ini. Malah, pengenalan PBS yang memberi penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran mengenai pembelajaran menjadi langkah penting menentukan penguasaan murid secara lebih bersistematik pada setiap peringkat Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

Pelaksanaan PBS itu akan dilihat hasilnya melalui keputusan UPSR bagi murid yang mendudukinya pada 2016 dan PMR mulai 2014.

Justeru, PBS akan memberi penilaian lebih menyeluruh terhadap murid. PBS mengandungi empat komponen merangkumi Pentaksiran Sekolah; Pusat; Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik iaitu mengenai sikap dan personaliti murid dan pelajar.

Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan rohani bagi anak-anak mereka yang akan menghadapi peperiksaan, seterusnya bagi menghadapi perubahan di bawah PPPM.

Lantaran itu, ibu bapa perlu memahami dan mengikuti serta mengkaji perubahan ini. Di samping itu, mereka perlu menyediakan masa untuk memantau anak-anak bagi mengulang kaji pelajaran di rumah dan menghantar mereka ke kelas tuisyen bagi menghadapi peperiksaan.

Sementara itu, bagi guru-guru tentulah akan menyediakan (P&P) yang berkesan di dalam kelas kepada murid .

Justeru, P&P di dalam kelas bukan sahaja menjurus kepada peperiksaan, malahan jauh daripada itu dapat membentuk pelajar yang mempunyai sahsiah, berakal budi dan berakhlak terpuji.

Pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan nyata bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai alat perpaduan, bahasa perhubungan dan bahasa ilmu.

Pada masa sama peningkatan penguasaan bahasa Inggeris turut diberi kepentingan supaya murid dan pelajar dapat bersaing dan meneroka ilmu di peringkat antarabangsa.

Menerusi PPPM murid digalakkan mempelajari sebanyak mungkin bahasa asing seperti bahasa Arab, Sepanyol, Perancis dan Jepun.

Jelaslah, kedua-dua bahasa dalam MBMMBI itu dan bahasa-bahasa lain sememangnya memainkan peranan penting ke arah melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran tinggi dan berketerampilan untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan. Ibu bapa dan guru harus memainkan peranan menyokong dasar MBMMBI ini bagi melonjak kualiti pendidikan negara.

Ibu bapa juga harus memahami transformasi pendidikan negara sejajar dengan hasrat kerajaan dan Kementerian Pendidikan yang ingin melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mampu mencapai visi yang dihasratkan iaitu menyediakan peluang kepada individu meningkatkan taraf hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya, dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media, PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Utusan Rencana 20140506