May 7th, 2014

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ Perginya Seorang Seniman Bujang Lapok III

SEMALAM, seorang lagi seniman tersohor, Datuk Abdul Aziz Sattar meninggalkan kita. Sumbangan seni beliau yang bermula awal 50-an lagi dan berterusan sehingga 80-an telah melayakkannya digelar seniman sepanjang zaman. Bakatnya cukup terserlah dengan lakonan dan dialog-dialog menarik lagi bersahaja.

Renung dan hayatilah watak-watak yang dilakonkan beliau khususnya dalam filem-filem Melayu lama seperti siri Bujang Lapok, kita dapat melihat betapa bakatnya terserlah.

Sudah pasti sumbangan beliau termasuk semasa bersama-sama Tan Sri P. Ramlee, telah menyumbang kepada kemajuan filem-filem Melayu dan seterusnya meletakkan karya seni tersebut ke suatu tahap yang boleh dibanggakan sehingga hari ini.

Awang yakin, darah seninya telah mendorong beliau dalam usia emas untuk terus berkarya dan berlakon. Ini termasuklah dalam filem-filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Cicakman dan Bujang Lapuk Kembali Da.

Justeru tidak hairanlah apabila beliau diberi pengiktirafan atas sumbangannya itu. Antara lain beliau pernah menerima Anugerah Seniman Veteran dan Artis Sepanjang Zaman.

Pemergian beliau sebenarnya menggamit cabaran kepada anak seni nasional kita. Benar hilangnya sukar dicari ganti, namun para penggiat seni tanah air perlu memastikan kelangsungan hidup filem-filem tempatan. Tanggungjawab kita yang masih hidup untuk mengembalikan kegemilangan dunia filem kita. AWANG - Al-Fatihah.Utusan Rencana 20140507

Pak Aziz akan terus lekat di ingatan

ALLAHYARHAM Datuk Aziz Sattar lebih dikenali ramai peminat filem dan drama Melayu sebagai pelakon komedi sejak awal tahun 1950-an sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi semalam.


Sedangkan asalnya pelakon yang berusia 89 tahun ini bukanlah terkenal dengan aksi-aksi komedi berdasarkan filem pertama lakonannya berjudul Harapan arahan B.N. Rao terbitan Studio Malay Film Productions di Singapura pada tahun 1953.

Dalam filem yang turut dibintangi oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Nordin Ahmad dan Rokiah Jaafar itu Allahyarham melakonkan watak seorang guru sekolah.

Allahyarham yang mesra dengan panggilan Pak Aziz paling menonjol dan diingati sehingga ke akhir hayatnya menerusi filem komedi Bujang Lapok yang diarahkan oleh P. Ramlee pada 1957.

Itupun selepas beliau berlakon dalam 10 filem yang kebanyakannya melakonkan watak serius, maka barulah muncul filem tersebut. Ia kemudiannya diikuti filem Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Seniman Bujang Lapok (1961).


Adegan Ani Jasmin tolong membacakan surat daripada Cikgu Rose kepada Ramlee, Sudin dan Aziz
yang buta huruf dalam filem Pendekar Bujang Lapok terus menggeletek hati walaupun sudah ditonton berulang kali .

Apa yang pasti, melalui trilogi Bujang Lapok itu, Allahyarham turut berlakon bersama-sama Allahyarham S. Shamsuddin (Pak Sudin) dan P. Ramlee. Tiga pelakon itu umpama tiga serangkai yang mana ia menjadikan kombinasi trio itu cukup berkesan dalam menggeletek hati para penonton.

Dengan pemergian Pak Aziz ke rahmatullah kerana serangan jantung, hilanglah sumber utama yang menjadi saksi hidup akan kehebatan filem-filem tersebut.

Jika sebelum ini, Pak Aziz orang terakhir di antara mereka bertiga yang pa­ling banyak berkongsi tentang pengalaman tersebut.

P. Ramlee terlebih dahulu meninggal dunia iaitu pada 29 Mei 1973, manakala Pak Sudin pula menyusul pada 4 Jun 2013. Tiga sahabat ini telah membina kerjaya bersama-sama sebagai pelakon di Studio Malay Film Productions di Jalan Ampas, Singapura pada awal 1950-an.

Mereka juga pernah tinggal serumah sewaktu zaman bujang di Jalan Boon Teck, Singapura sewaktu mula-mula bekerja di studio milik Shaw Brothers tersebut. Sebab itu, hubungan tiga pelakon legenda ini amat rapat dan boleh dikatakan saling mengenali hati budi masing-masing.

Keakraban Pak Sudin dan Pak Aziz jelas kelihatan setiap kali mereka berjumpa walaupun Pak Aziz menetap di Kuala Lumpur manakala Pak Sudin pula di Si­ngapura.

Penulis masih ingat sewaktu mengikuti lawatan Persatuan Seniman Malaysia yang ketika itu diketuai oleh Presidennya, Datuk Mustapha Maarof melawat Pak Sudin di kediamannya di Bukit Batok Avenue, Singapura pada Julai 2010.

Pak Aziz yang turut serta dalam kun­jungan itu dilihat begitu sebak apabila melihat keadaan Pak Sudin yang tidak berapa sihat ketika itu. Meskipun jam menunjukkan pukul 11 malam, tetapi Pak Sudin kelihatan sangat gembira menyambut kedatangan kawan rapatnya itu.

Menurut isteri Pak Sudin, Puteh Esmoon kalau tidak kerana Pak Aziz itu sahabat baik, suaminya itu memang tidak akan melayan tetamu yang tidak rapat dengannya sehingga ke dinihari. Malah, Pak Sudin juga menyuruh isterinya menyediakan minuman dan pisang goreng demi mahu melayan tetamu istimewa itu.

Daripada perjumpaan itu, penulis dapat melihat dua sahabat ini cukup serius sewaktu berbual-bual. Sedikit pun tidak nampak unsur komedi sama ada melalui gerak gaya ataupun butiran percakapan masing-masing.

Mereka saling bertanya khabar terma­suklah tentang rakan-rakan seangkatan yang ada antaranya masih menetap di Si­ngapura walaupun ramai yang telah berpindah ke Kuala Lumpur sewaktu era pembukaan Studio Merdeka di Hulu Klang, Selangor pada awal 1960-an.

Dua pelakon yang berketurunan Jawa ini mudah sebak sewaktu sesi perjumpaan itu walaupun ia cuma seketika. Malah, penulis turut menyaksikan sendiri Pak Aziz menitiskan air mata sewaktu membawa melawat ke Studio Malay Film Productions di Jalan Ampas sekitar Oktober 2010. Paling ketara raut sayu wajahnya itu sewaktu berada di depan bekas set tapak penggambaran filem-filem Bujang Lapok yang diadakan di studio tersebut.

Beza pelawak dulu, sekarang

Pada masa sama penulis lantas teringat akan kata-kata Pak Aziz sewaktu hadir dalam suatu majlis anjuran Persatuan Artis-Artis Veteran Malaysia yang turut disertai oleh Allahyarham di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

“Banyak beza antara pelakon komedi sekarang dan dulu. Pelakon komedi dulu hanya kelakar di atas pentas atau dalam filem. Tetapi pelawak lama kalau di luar kami macam orang biasa sahaja. Tidak macam pelawak sekarang yang lawak di dalam dan juga luar set pentas," ujarnya.

Pak Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia berhijrah ke Singapura bersama keluarganya ketika berusia tujuh tahun. Allahyarham telah melakukan pelbagai kerja sewaktu zaman remajanya termasuklah sebagai pemandu dan buruh kasar.

Sebelum menjadi pelakon, Allahyarham terlebih dahulu memulakan kerjayanya sebagai pengalih suara di Studio Malay Film Production hasil pertolongan pelakon Allahyarham Sharif Dol pada 1952. Difahamkan pengarah Datuk Jamil Sulong yang menukar nama Pak Aziz kepada Aziz Sattar biarpun sebelum itu Allahyarham telah menggunakan nama Aziz Jr.

Di kalangan artis veteran, Pak Aziz boleh dikatakan seorang yang tidak suka me­nyendiri. Jika ada majlis membabitkan artis-artis veteran beliau seboleh-bolehnya akan hadir. Tambah menggagumkan apabila Allahyarham semasa hayatnya masih boleh memandu kereta sendirian dengan baik walaupun pada usia 80-an.

Malah, sewaktu hayatnya sewaktu di luar pentas atau set penggambaran Pak Aziz berkelakuan secara selamba sahaja. Dia juga tidak sombong dan mudah bergaul bukan sahaja dengan wakil-wakil media massa tetapi juga di kalangan pelakon muda yang lain.

Sebagai antara pelakon yang rapat de­ngan P. Ramlee, Allahyarham banyak me­nyimpan kenangan bersama seniman le­­genda itu. Penulis yang banyak kali bersua muka dan menemu bual Pak Aziz sering melihat air matanya bergenang apabila dia bercakap tentang P. Ramlee.

Pada pertemuan di Pustaka Peringatan P. Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur pada September 2010, Pak Aziz menunjukkan satu-persatu barangan yang terdapat di pustaka tersebut. Antaranya prop yang telah dipakainya dalam filem-filem Bujang Lapok.

Sambil mengimbau nostalgianya itu, Allahyarham yang dikurniakan tujuh anak, 19 cucu dan lima cicit itu juga tidak lokek ilmu apabila berselang-seli mengungkapkan fakta yang mungkin jarang diketahui oleh para peminat P. Ramlee.

"Ramai orang tidak tahu ada tiga filem P. Ramlee yang tidak sempat disiapkannya iaitu Menanti Hujan Teduh, Bulan Sabit dan Hidayah kerana dia telah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung," kongsi arwah yang juga pernah menganggotai kumpulan Panca Sitara bersama antaranya Allahyarham Noormadiah dan Datuk Ahmad Daud.

Bagi melebarkan lagi perkongsian pengalaman hidupnya bersama P. Ramlee, Pak Aziz telah menulis sebuah buku yang diberi judul Tan Sri P. Ramlee Di Mana Kan Ku Cari Ganti beberapa tahun lalu.

Sepanjang 61 tahun menjadi pelakon, Allahyarham telah membintangi lebih 30 filem antaranya Arjuna, Iman, Kechewa, Kipas Hikmat, Bernoda, Hang Tuah, Ribut, Keluarga Tolol, Pancha Delima, Hantu Jerangkong, Taufan, Gergasi, Kaki Kuda, Hantu Kubur, Saudagar Minyak Urut, Raja Laksamana Bentan, Aneka Hiburan, Singapura Dilanggar Todak, Pilih Menantu, Siapa Besar, Pusaka Pontianak dan Aksi Kucing.

Allahyarham Pak Aziz yang juga seorang pengarah filem pernah mendirikan rumah tangga dengan Siti Rumina Ahmad, Dayang Sofia dan perkahwinan ketiganya dengan Hashimah Delan pada 16 Disember 2006 .

Antara filem arahannya berjudul Keluarga Si Comat, Prebet Lapok, Si Badol, Da Di Du, Darah Satria, Penyamun Tarbus, Setinggan, Tujuh Biang Keladi, Bujang Lapok Kembali Da, Perawan Malam, Tak Kisahlah Beb, Adek dan O.K.

Sebagai orang yang rapat dengan P. Ramlee, Pak Aziz banyak belajar daripada seniman itu. Paling membanggakan Allahyarham telah menjadi saksi dan dapat melihat sendiri hasil-hasil kerja seni P. Ramlee yang terus diminati para peminat dan tidak luput ditelan zaman sehingga kini.

“Arwah juga pernah bercakap kepada saya pada 1959, katanya 'Jis walaupun aku mati nanti tetapi aku akan hidup 1,000 tahun lagi'. Sekarang ia terbukti walaupun lebih 40 tahun dia meninggal dunia tetapi karyanya terus hidup," imbasnya lagi pada pertemuan dengan penulis tidak lama dulu.

Ternyata pelakon filem Ali Baba Bujang Lapok ini sempat melihat akan bukti dan kebenaran kata-kata P. Ramlee tersebut. Semoga Pak Aziz juga berpuas hati dengan bakat serta keringat yang telah dicurahkannya dalam bidang lakonan yang disertainya selama lebih separuh abad itu. Al-Fatihah. ABD. AZIZ ITAR aziz.itar@utusan.com.my Utusan Rencana 20140507

SOSMA dan ISA; syurga Evangelisme; oh bahasaku!

Benarkah undang-undang menggantikan ISA terlalu lembik?


Benarkah ada banyak kelompongan yang membebankan pihak keselamatan, terutamanya dalam menangani cabaran keganasan, kebencian kaum, sosial, agama yang semakin sofistikated?

Ada yang masih percaya walaupun ISA diwujudkan pada tahun 1960, namun ia masih mampu menangani cabaran semasa.

Jika pun dihapuskan ISA mengapa tidak diperkasakan SOSMA - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - sama ada setaraf atau lebih mantap?

Semasa pihak polis dalam proses membuat penahanan demi penahanan kumpulan militan berani mati sekarang, ke mana akhirnya mereka itu akan dihantar?

Jika didapati bersalah kelak, adakah mereka sekadar akan meringkuk dalam penjara?

Apakah ada proses pemulihan (rehabilitation) seperti dalam tahanan ISA dahulu?

Kumpulan militan tegar itu perlukan pemulihan ideologi dan psikologi serta akidah - bukannya diperap dalam penjara semata-mata.

Pihak Peguam Negara harus mengkaji lagi hal ini. Rujuk dengan pihak polis yang sudah mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun.

Dalam masa yang sama, apakah SOSMA ini setaraf ISA yang sepatutnya menjadi instrumen bagi mempertahankan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan?

Perkara 149 adalah perundangan bagi menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam:

(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau

(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau

(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau

(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau

(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau

(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya.

Persoalannya adakah SOSMA yang diwujudkan itu berperanan sama seperti ISA sebagai instrumen kepada Perkara 149 itu? Adakah SOSMA dan Perkara 149 berjalan seiring?

Jika tidak, adakah pemansuhan ISA itu sah?

Saya difahamkan ada pihak yang akan mencabar isu pemansuhan ISA itu ke mahkamah.

Benarkah? Siapakah mereka itu? Kita tunggu dan lihat.

BENARKAH Malaysia ialah syurga aktiviti ‘evangelist’ Kristian?

Saya menerima satu dokumen penyelidikan daripada seorang sahabat, bukan berbangsa Melayu, tetapi seorang Mat Salleh yang sudah menganut agama Islam. Biar saya rahsiakan identitinya.

Dia bekas pensyarah universiti dan seorang scholar atau sarjana yang tidak putus-putus menyelidik, membaca, menulis, melukis. Beliau ialah seorang Mat Salleh yang tipikal dan hidup dengan penuh kasih sayang bersama isterinya di sore hari.

Dia memberi penyelidikannya kepada saya untuk dibaca. Saya merasakan menjadi tanggungjawab saya untuk menulis di sini. Kerana penemuannya cukup memeranjatkan.

Aktiviti oleh aktivis evangelist Kristian ini umpama anai-anai yang memakan kayu secara senyap-senyap sehingga meranapkan keseluruhan rumah - atau dalam konteks ini meranapkan akidah orang Islam dan institusi itu sendiri.

Beliau menulis: Di antara kebanjiran pelancong beragama Kristian yang melawat negara ini, satu kumpulan cukup menarik perhatian: peserta persidangan. Sejak 2000, lebih 100 persidangan Kristian antarabangsa telah diadakan di Malaysia. (Beliau turut menyenaraikan satu-persatu daripada beratus persidangan itu).

Persidangan itu mewakili seluruh spektrum pergerakan evangelikal global daripada yang berhaluan karismatik radikal kepada gereja-gereja arus perdana tradisional dan individu kecil-kecilan, daripada pelbagai negara.

Banyak daripada persidangan ini dalam jumlah yang sederhana, namun ada antaranya yang besar - Perhimpunan WEF General Assembly 2001, misalnya, telah membawa lebih 600 pemimpin pendakwah Kristian dari 108 negara, dan 2013 World Pentecostal Conference telah mengumpulkan sebanyak 3,500 ahli.

Jadi amat mudah disebut, sejak 2000, lebih 10,000 aktivis Kristian telah datang ke Malaysia untuk tujuan yang besar iaitu menghadiri persidangan Kristian.

Untuk peserta persidangan (conference goers) ini, tujuannya hanyalah untuk berdakwah dan Malaysia ialah destinasi pilihan untuk tujuan keagamaan!

Beliau memetik satu carian internet (daripada banyak lagi): www.necf.org.my/newsmaster.cfm?&menuid=43&action=view&retrieveid=1344 berbunyi:

Malaysia... bukan sahaja sebuah makmal bagi pemuda-pemudi Barat merasai pertukaran-budaya Kristian (evangelizing). Malaysia juga pusat latihan dan sebagai sumber ‘pertukaran-budaya evangelist’ untuk seluruh dunia. David Demian, pengasas Watchmen for the Nations, berkata begini kepada peserta di KL:

“Malaysia adalah jambatan dalam menyediakan kemudahan bagi Gospel pulang semula ke Asia Barat berdasarkan negara ini yang pelbagai-budaya dan komposisi agama... Dalam permainan catur, walaupun peranan buah itu tidak penting ia harus digerakkan untuk menentukan (trigger) pergerakan yang lain. Jika Malaysia tidak bergerak, seluruh permainan akan terhenti."

Dokumen lengkap ini akan dimuat naik dalam bentuk pdf untuk bacaan umum tidak lama lagi.

Wahai umat Islam sekelian, bangkitlah dan bersatulah, sebelum kita diubah...

SEMASA menaip kolum ini menggunakan Blackberry, telefon itu tidak putus-putus bergema. Kumpulan-kumpulan whatsapp saya cukup-cukup aktif.

Salah satu kumpulan itu ialah Penasihat GPMS. Kebetu­lan saya juga salah seorang ahli kumpulan itu.

Berikut petikan perbincang­an itu yang saya mahu kongsikan dengan pembaca sekelian. Panjang sebenarnya, tapi saya pendekkan.

Sebenarnya soal perbahasan mengenai bahasa Melayu ini tak habis-habis lagi diperbincangkan. Mengapa ya? Apakah lemah sangat mutu bahasa Melayu ini? Atau mulai dipinggirkan? Sudah tidak dihormati? Atau sudah hilang daya saing?

Renung-renungkanlah...

SASTERAWAN NEGARA, Usman Awang tamat sekolah Melayu darjah 6; menulis dalam bahasa Melayu; karya dalam bahasa Melayunya diterjemahkan hampir dalam 10 bahasa.

Novel Salina ditulis oleh Samad Said dalam bahasa Melayu; turut diterjemahkan dalam 10 bahasa.

Paulo Coelho; menghasilkan pelbagai karya dalam bahasa Portugis. Novel tersohornya The Alchemist diterjemahkan ke dalam 67 bahasa mencapai jualan sekitar 150 juta naskhah seluruh dunia.

Kawan saya Mr. Katano cakap orang Melayu kurang berjaya sebab bila ada satu ilmu moden seperti kejuruteraan mahu disampaikan, maka orang Melayu majoriti tidak faham. Sebab Melayu yang tahu ilmu tersebut hanya boleh sampaikan dalam bahasa Inggeris kerana belajar di England.

Manakala orang Jepun yang pergi belajar di Jerman dan Amerika, apabila pulang mereka mengajar ilmu yang dipelajari dalam bahasa Jepun, maka majoriti orang Jepun fahamlah.

Kita sibuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu mahu dicampak ke mana?

Bimbang, bahasa Melayunya tidak mencecah bumi; bahasa asingnya tak sampai ke langit.

Saya sokong sepenuhnya memartabatkan bahasa Melayu. Kepada orang Melayu yang kurang fasih bercakap atau menulis bahasa Melayu kena belajar lagi. Kita mesti tunjukkan kepada orang bukan Melayu bahawa orang Melayu pun kena mencuba dan terus belajar menguasai Melayu. Jangan marah kalau terasa. Nanti kena jual.

Tidak salah belajar bahasa, jangan taksub dengan budaya mereka. Pejuang bahasa Melayu pun rata-rata Inggeris mereka hebat. Masalah kita adalah mengamalkan budaya mereka lebih daripada belajar bahasa.

Isu bahasa akan terus berlarutan lama lagi, selagi sistem pendidikan negara masih ada pelbagai cabang. Masing-masing kaum di Malaysia mengakui bahasa mereka lebih baik.

Mereka mendakwa, bahasa Cina dan India ditutur oleh berbilion orang. Siapa lebih hebat? Aduhai... Zaini Hassan Utusan Rencana 20140507

Transformasi sikap lengkapi ETP, PTP

DALAM keluaran terakhir Dewan Masyarakat (Mei 2014), Datuk Mohd. Noor Azam yang pernah menjadi Ketua Pengarang majalah itu kira-kira 30 tahun lalu dan kemudian pula menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah menimbulkan peri rendahnya pencapaian kita di bidang transformasi sosial berbanding dengan pencapaian di bidang transformasi politik dan ekonomi.

Tulisan Mohd. Noor itu mengingatkan saya tentang isu transformasi sikap yang sering saya timbulkan dalam pelbagai ucapan dan tulisan. Dan saya rasa perbincangan tentang `transformasi sikap’ itu perlu diteruskan dan diulang-ulang. Dan memang tiga orang Perdana Menteri kita yang terakhir, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dr. Mahathir, sering mengulang-ulang isu ini. Tetapi perancangan yang sistematik dan tindakan yang konkrit masih belum dapat kita lihat.

"Perubahan minda Melayu memerlukan satu tindakan yang menyeluruh, drastik, terancang, sistematik dan berterusan," demikian dilafazkan oleh Abdullah dalam Perhimpunan Agung UMNO yang ke-55 pada September 2004.

Kira-kira satu tahun sebelum Abdullah berkata begitu, Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebelum beliau, Dr. Mahathir pula mengakui bahawa selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, satu perkara yang menyebabkan beliau merasa terkilan ialah "kegagalan mengubah mindset atau sikap" masyarakat Melayu.

Mesej yang sama disuarakan pula oleh Najib apabila beliau menyarankan supaya dilakukan satu `transformasi budaya’ untuk mewujudkan satu generasi `Melayu glokal’.


Mohd. Ariffin Nordin mengetuai bacaan ikrar untuk menyokong dan menjayakan
transformasi negara serta taat kepada lima prinsip Rukun Negara pada Majlis Penutup Minggu Disiplin
Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman , Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

Jadi jelaslah bahawa tiga orang tokoh pemimpin tertinggi tersebut semuanya mahu supaya bangsa Melayu mengadakan `transformasi sikap’.

Semangat dan hasrat tiga orang pemimpin bangsa itu, saya suarakan kembali sewaktu memberikan ucapan penangguhan dalam ucapan saya pada sidang Dewan Negara sedikit masa lalu.

Saya merayu dan berseru supaya agenda atau program merubah sikap itu dijadikan sebagai satu agenda transformasi tersendiri untuk melengkapkan lagi agenda transformasi yang lain seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Kerajaan seperti yang telah digerakkan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Najib semenjak dua tiga tahun yang lalu.

Saya percaya kejayaan pelbagai program transformasi tersebut, sangatlah bergantung kepada sikap atau mindset segenap lapisan masyarakat yang terlibat. Kerana itulah maka sikap atau mindset perlu terlebih dahulu, atau setidak-tidaknya perlu serentak ditransformasikan, sesuai dengan tuntutan zaman atau keperluan semasa.

Sikap atau mindset yang ketinggalan zaman dan tidak mengikuti peredaran masa adalah penghalang utama kepada kemajuan atau kejayaan sebarang usaha.

Prestasi atau pencapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru yang berlangsung antara 1970 hingga 1990 itu, pada hemat saya, akan jauh lebih tinggi jika pelaksanaannya disertai dengan sikap atau mindset yang lebih sesuai dalam kalangan setiap pihak yang terlibat.

Ertinya, transformasi ekonomi melalui Dasar Ekonomi Baru itu, akan jauh lebih tinggi kadar kejayaannya jika pelaksanaannya dilakukan serentak dengan transformasi sikap dalam setiap lapisan masyarakat.

Kita juga boleh berhujah bahawa kebanjiran tenaga kerja asing ke negara kita semenjak beberapa tahun lalu mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan sikap masyarakat tempatan yang enggan melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh pendatang-pendatang asing itu. Kerana itulah maka kita perlu melakukan perubahan sikap.

Yang sebenarnya seruan untuk merubah sikap atau mindset ini telah berulang-ulang disuarakan oleh tokoh-tokoh pemikir bangsa dari semasa ke semasa, diperkatakan pada peringkat tinggi atau peringkat rendah.

Barangkali lebih awal dari zaman Abdullah Munsyi dan kemudian Syed Sheikh Al-Hadi, bangsa Melayu telah berkali-kali diseru supaya merubah sikap dan mentaliti.

Seruan itu diteruskan oleh puluhan atau mungkin oleh ratusan tokoh yang lain dengan berbagai-bagai cara melalui komunikasi lisan atau tulisan. Antara tokoh yang terbilang termasuklah Pendeta Za'aba, Isahak Haji Muhammad atau Pak Sako, Dr. Burhanuddin Helmy, Zulkifli Muhammad, Aminuddin Baki dan dilanjutkan oleh Dr. Mahathir dan kemudian diteruskan pula oleh Abdullah dan sejak akhir-akhir ini oleh Najib.

Mungkin masing-masing menggunakan gaya dan bahasa yang berbeza-beza, tetapi semuanya membawa mesej yang sama, iaitu untuk mencapai kemajuan, bangsa Melayu perlulah merubah sikap, cara berfikir dan minda, serta mentaliti.

Semua itu mendorong kita untuk bertanya: Sejauh manakah kejayaan yang telah dicapai dalam usaha merubah minda Melayu itu? Tentu kita tidak akan menafikan bahawa dari semasa ke semasa minda orang Melayu itu telah berubah. Tetapi kita juga ingin bertanya sama ada perubahan itu menghala ke arah yang positif sesuai dengan kehendak dan hasrat kita untuk maju dari segala segi tanpa mengorbankan identiti atau jati diri?

Daripada pengakuan secara langsung dan pernyataan kesal mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir dan puluhan ucapan Abdullah serta Perdana Menteri sekarang, Najib, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa perubahan minda Melayu itu belum lagi berlaku seperti yang kita kehendaki.

Semasa menjadi Perdana Menteri , Dr. Mahathir pernah menggubah sebuah sajak yang berjudul ‘Perjuangan yang belum selesai’ yang antara lain mencatatkan keluh-kesahnya kerana kemajuan orang Melayu tidak sepesat yang diharapkan hingga beliau merasakan banyak perjuangan yang belum selesai dan masih banyak yang masih terbengkalai.

Justeru, selaras dengan tindakan proaktif Najib melaksanakan pelbagai program transformasi sekarang, saya mencadangkan supaya kita menghayati dan mengambil langkah praktikal dan memberi pengisian terhadap harapan supaya dilakukan perubahan mindset. Transformasi sikap dan mentaliti perlu dilakukan secara sistematik, drastik, menyeluruh, terancang dan berterusan melalui satu agenda atau program khusus sejajar dan serentak bersama program transformasi yang lain dan dinamakan Program Transformasi Sikap.

SENATOR Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya. Sejak April 2014, beliau juga Guru Besar Tamu (Profesor Pelawat) di Universitas Andalas, Padang, Sumatera. Utusan Rencana 20140507

Datuk Abdul Aziz Sattar ikon seni sepanjang zaman

KUALA LUMPUR: Bagi peminat filem Melayu lama khususnya filem seniman agung Tan Sri P Ramlee, dialog "Walaupun rupamu tidak ku kenal, tapi lobang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku", pastinya mengundang ingatan kepada filem komedi 'Seniman Bujang Lapok'.

Dialog itu yang pernah menjadi ikutan ramai diungkap oleh watak yang dilakonkan oleh seniman serba boleh tanah air, Datuk Abdul Aziz Sattar atau nama sebenarnya Abdul Azeez Satta yang kembali ke rahmatullah awal hari ini.


Abdul Aziz yang mesra dengan panggilan Pak Ajis dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia sebelum dibawa berhijrah oleh ibu bapanya Satimah Jalal dan Satta Sawal ke Singapura ketika berusia tiga tahun.

Allahyarham yang dibesarkan di Kampung Panjang, Singapura hanya bersekolah setakat darjah lima di Sekolah Melayu Kota Raja dan bekerja sebagai pemandu lori untuk menampung kehidupannya.

Kehidupan awal beliau penuh onak dan ranjau, malah pernah ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun selepas dikatakan mencuri. Beliau juga pernah dimasukkan ke penjara bersama bapa seniwati Roseyatimah, dikenali Wak Jasni selepas disyaki terbabit dalam rusuhan 'Natrah'.

Kehidupan seniman ini mula berubah apabila beliau menjadi penterjemah di Studio Produksi Filem Melayu, Jalan Ampas selepas diajak oleh dua sahabat baiknya pelakon Salleh Kamil dan Shariff Dol.

Beliau yang pada masa itu aktif dalam Pancaragam Suara Hiburan Keroncong kemudian ditawar watak tambahan dalam filem 'Putus Harapan'.

Perjalanan kariernya semakin berkembang apabila dapat memegang watak utama dalam filem Arjuna (1954) diikuti siri Bujang Lapok (1957-1961) dan Aksi Kucing (1966).

Uniknya kebanyakan dialog dalam filem lakonan beliau diungkap secara spontan dan sering menjadi ikutan peminat filem-filem Melayu malar segar.

Melalui filem-filem ini jugalah beliau menjadi sahabat baik kepada Allahyarham P Ramlee.

Selain berlakon, Allahyarham juga pernah diberi kepercayaan mengarah filem selain menulis skrip antaranya filem 'Si Badol' (1979), 'Da Di Du' (1981), 'Setinggan' (1982), 'Darah Satria' (1984) dan Bujang Lapuk Kembali Da (1984).

Bakat seninya tidak dilupakan oleh penggiat seni era moden apabila sering diundang membintangi filem mereka antaranya 'Cicakman', 'Anak Halal', 'Setem' dan 'Pontianak Harum Sundal Malam'.

Kehebatannya sebagai anak seni diiktiraf menerusi beberapa anugerah antaranya Anugerah Seniman Veteran ketika Festival Filem Malaysia ke-11 (1994), Anugerah Seniman Veteran (Lelaki) ketika Anugerah Bintang Popular (2000) selain Anugerah Artis Sepanjang Zaman (Lelaki) pada Festival Filem Malaysia ke-25.

Allahyarham turut dianugerah Tokoh Budaya Kolej Burhanuddin Helmi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada 2007, beliau dikurnia Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Aziz, 89, dimasukkan ke Hospital KPJ Ampang dua hari lepas setelah mengadu sakit dada dan meninggal dunia 2 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan tujuh anak hasil empat perkahwinan sebelum berkahwin kali kelima dengan Datin Hashimah Delan pada 2006.

- BERNAMA Berita Harian Mutakhir 06/05/2014