May 16th, 2014

Benarkah kita meluangkan masa untuk anak-anak?

SELALU sahaja kita mendengar rungutan yang anak tidak dapat berenggang dengan telefon pintar dan gajet elektronik.

Di dada akhbar pula, tersiar pelbagai rencana berkaitan keburukan masalah ini.

Dalam ceramah-ceramah keibubapaan, penceramah memberi tips bagaimana untuk anak-anak berenggang dengan telefon pinta dan gajet-gajet.

Tetapi, bagaimana pula dengan keta­gihan ibu bapa dengan telefon pintar? Ibu bapa dalam lingkungan 20an - 40an adalah mereka daripada generasi yang berada dalam parameter ledakan teknologi.

Sedari kecil ibu bapa generasi X dan Y kebanyakannya pandai mengetuk papan kekunci.

Generasi ini bukan lagi seperti dahulu “bangun pagi, gosok gigi cuci muka, minum roti".

Generasi ini ialah generasi “bangun pagi, check Facebook, rakam selfie, upload Instagram, having on-the-go coffee".

Generasi ini ialah generasi pantas, segalanya di hujung jari. Generasi ini dikatakan tidak mempunyai cukup masa, justeru masa berkualiti diperlukan apabila bersama keluarga. Benarkah?

Tetapi, bukankah apa yang terakam di pandangan kita dewasa ini adalah masa yang tidak dihargai oleh sesete­ngah ibu bapa yang obses dengan smartphone dan gajet ketika bersama yang tersayang?­

Jika anda di medan selera, perhatikan sejumlah keluarga yang duduk semeja, tetapi tidak bersama.

Si bapa menatap telefon pintar, memeriksa email agaknya. Si ibu pantas menaip di WhatsApp group rakan sekerja mungkin, si kakak pula asyik melihat Youtube - mempelajari gaya penataan shawl terkini agaknya. Si anak lelaki pantas mengkoordinasikan jari dan visual memicu sasaran di maya.

Perhatikan juga di padang-padang permainan. Si ibu mengekori anaknya bermain jongkang-jongkit, tetapi di tangan­nya, tidak henti-henti menaip dan tersenyum-senyum menilik telefon pintarnya.

Si bapa pula duduk di bangku di bawah pokok sambil menjerit kecil ‘ha…cuba panjat itu’, tetapi sambil gerak jarinya pantas menekan-nekat punat gajet.

Berapa ramai pula pasangan suami isteri di rumah duduk sebelah-menyebelah tetapi berkomunikasi lain-lain? Berapa ramai pula agaknya suami atau isteri yang cuba berbual dengan pasangannya tetapi hanya dibalas dengan jawapan “ya...saya dengar ni" sedangkan jari dan tangannya sibuk menari-nari di telefon pintar?

Inilah momen yang melingkari ibu bapa generasi X dan Y sekarang.

Layakkah kita mengharapkan anak-anak berhenti bergajet, jika perbuatan mereka itu hanya kerana meneladani kita?

Patutkah kita menegur anak yang tidak memandang kepada wajah kita ketika bercakap sedangkan ketika mereka hendak menunjukkan skil cilik di papan gelongsor, mata kita sibuk menyoroti gelongsoran WhatsApp?

Adilkah kita mengatakan anak kita tidak petah dan berkeyakinan di pengucapan awam jika masa terbatas yang mereka ada dengan kita, kita lebih sibuk memuat naik status FB ‘is spending time with my kids’ daripada berkongsi pe­rasaan nyata dengan mereka?

Pada sambutan Hari Ibu yang lepas kita imbas kembali sinar mata dan mi­mik wajah ibu bapa kita ketika kita gembira, menangis, ketika kita nakal menabur bedak umpama salji ke lantai atau ketika menangis mengada-ngada me­minta perhatian.

Diharapkan pada masa hadapan di minda anak-anak kita, mereka ‘melihat’ sinar itu di mata kita, bukannya sepasang kelopak mata kesibukan menunduk menatap telefon pintar ketika mereka memanggil kita, “Mama, lihat adik sudah besar!"

Simpanlah telefon pintar kita ketika bersama keluarga, nikmatilah, syukurilah kurniaan Allah SWT di hadapan mata kita.



Utusan/Rencana/20140516 EMA IZATI ZULL KEPILI

Memahami peranan dan tanggungjawab guru

SETIAP kali sambutan Hari Guru diadakan penulis teringat akan sebuah pantun yang berbunyi:

Berburu ke padang datar,

Dapat rusa belang kaki;

Berguru kepalang ajar,

Bagai bunga kembang tak jadi.

Secara tersiratnya, pantun ini memperlihatkan betapa pentingnya guru dalam memberi tunjuk ajar kepada pelajar manakala di pihak pelajar pula, mereka mesti belajar dengan bersungguh-sungguh kerana jika belajar alang kepalang, ilmu yang dicurahkan oleh guru tidak dapat diterima sepenuhnya.

Tugas guru akan menjadi lebih mudah jika para pelajar memberi tumpuan ketika kelas berlangsung. Ini menunjukkan bahawa usaha untuk mengangkat martabat pendidikan di sesebuah sekolah itu bukan hanya terletak kepada guru semata-mata tetapi tugas ini juga dipikul oleh para pelajar.

Di samping guru terpaksa berdepan dengan pelajar yang celik ilmu dan pelbagai teknologi maklumat, guru-guru juga terpaksa menghadapi kerenah para pelajar yang mampu menjejaskan imej sesebuah sekolah.

Masalah disiplin dalam kalangan pelajar adalah salah satu daripada masalah yang membelenggu institusi pendidikan negara. Isu ini bukanlah isu baharu kerana dari semasa ke semasa, pelbagai kejadian berlaku membabitkan institusi pendidikan terutamanya di sekolah.

Jika pada zaman dahulu, ketika pelajar sangat menghormati dan takut akan guru, jawatan atau khidmat kaunselor tidak diperlukan di sekolah tetapi sekarang kaunselor sudah diwujudkan semata-mata untuk menangani pelbagai masalah pelajar. Salah satu tugas kaunselor adalah untuk merungkai permasalahan pelajar berkaitan disiplin.

Tugas guru yang murni mesti difahami oleh pelbagai pihak apatah lagi ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa mesti memberi kerjasama kepada pihak guru dan sekolah untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka dan yang paling penting mereka mesti menyedari bahawa sekolah merupakan satu tempat untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka.

Ibu bapa mesti mengambil bahagian dalam setiap perjumpaan yang membabitkan mereka di sekolah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru [PIBG] merupakan satu wadah untuk memahami dengan lebih jauh pencapaian anak-anak mereka di sekolah, masalah anak-anak mereka di sekolah dan sebagainya.

Masyarakat sekeliling mesti memainkan peranan dengan cara memahami peranan dan tanggungjawab guru. Masyarakat sekeliling mesti membantu meringankan bebanan guru di sekolah dengan menjadi mata dan telinga terhadap salah laku pelajar sekolah di luar sekolah.

Sikap membiarkan salah laku atau bersekongkol dengan sebarang tindakan negatif pelajar di luar sekolah akan menjejaskan institusi pendidikan.

Ada pelajar sekolah yang terbabit dengan gangsterisme, pergaduhan, mat rempit, melepak dan sebagainya. Masyarakat yang peka akan masalah ini tidak akan membiarkan gejala ini berterusan, sebaliknya cuba membendung demi masa depan anak-anak bangsa.

Gejala-gejala negatif yang membabitkan pelajar sekolah memperlihatkan bahawa ada dalam kalangan pelajar sudah tidak menghormati guru dan ilmu yang diberikan kepada mereka. Malah, tujuan dan matlamat mereka memasuki sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan sudah terpesong jauh dari landasannya.

Sumbangan besar guru dalam mendidik setiap insan mesti dibalas dengan rasa hormat dan mengenang jasa-jasa guru yang telah memberi didikan semasa di sekolah. Mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan berbentuk wang ringgit , harta atau hadiah tetapi ingatan tulus ikhlas dan ucapan Selamat Hari Guru sudah memadai sebagai tanda ingatan sepanjang zaman.

Maka, kesempatan pada sambutan hari guru ini, eloklah kita mengenang jasa mereka, mendoakan kesejahteraan mereka atau menziarah mereka yang sudah bersara.

Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dalam sajaknya antara lain menyebut bahawa dengan gurulah lahir pemimpin, sasterawan terkenal, dan pelbagai jenis pekerjaan lain yang mengangkat kemajuan negara.



M. JASNI MAJED Utusan/Rencana/20140516

Prestasi positif pelan pendidikan

SEMPENA Hari Guru 2014 yang disambut hari ini, kita semua sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada cikgu yang telah mengerahkan keringat dan masa masing-masing untuk membolehkan kita menjadi insan berjaya.

Bagi individu yang berada dalam lingkungan umur 40-an, walaupun guru-guru disediakan kemudahan pengajaran yang serba kekurangan pada era 1970-an sehingga 1990-an, mereka tetap gigih untuk mengajar kita.

Itu adalah satu pengorbanan cukup tidak ternilai yang hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.

Kepada generasi muda yang sedang bersekolah sekarang, mereka cukup bertuah kerana disediakan kemudahan serba lengkap khususnya melalui transformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang.

Transformasi yang dijalankan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 melibatkan pendidikan dari peringkat prasekolah, menengah hinggalah pengajian tinggi.

Matlamat PPPM yang dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun adalah untuk memastikan prestasi sistem pendidikan Malaysia setaraf dengan di negara-negara maju.

Ia juga bertujuan memastikan setiap murid mempunyai enam ciri utama yang akan membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

Ciri pertama, mempunyai pengetahuan membaca, menulis, mengira dan menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains serta mempunyai pengetahuan kukuh mengenai Malaysia, Asia dan dunia.

Ciri kedua, mempunyai kemahiran berfikir yang akan membolehkan mereka menghasilkan idea-idea baharu dan ketiga, kemahiran memimpin bagi membolehkan mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Ciri keempat pula, mempunyai kemahiran dwibahasa sekurang-kurangnya bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Ciri kelima, etika dan kerohanian yang akan membolehkan segala tindakan generasi akan datang dibuat berasaskan pertimbangan moral dan akhlak.

Setiap murid juga disasarkan untuk mempunyai ciri keenam iaitu identiti nasional. Ini bermakna tanpa mengira agama, etnik atau status sosioekonomi, mereka tetap berbangga dikenali sebagai anak Malaysia.

Untuk mencapai matlamat tersebut, tumpuan tidak lagi kepada pembelajaran secara hafalan, sebaliknya murid akan belajar menerusi kaedah yang lebih interaktif di dalam kelas.

Mereka juga mempunyai lebih kawalan ke atas proses pembelajaran masing-masing dan akan lebih banyak terlibat dalam kerja berkumpulan dan kolaborasi dengan rakan sekelas.

Pelajar juga akan diberi ruang untuk mengembangkan bakat masing-masing dalam bidang yang diminati seperti seni, sukan, badan beruniform dan khidmat masyarakat.

Sekarang sudah masuk tahun kedua transformasi berkenaan yang telah dilaksanakan mulai Januari 2013. Berdasarkan laporan terkini, ia telah berjaya meningkatkan pencapaian pelajar di sekolah.

Menurut Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Padu), Dr. Habibah Abdul Rahim, antara strategi pelaksanaan adalah membuat transformasi di peringkat pejabat pelajaran daerah (PPD) dengan Kedah dan Sabah dipilih sebagai projek perintis.

Beliau berkata, transformasi itu melibatkan penempatan lebih 300 pegawai pembimbing di peringkat PPD yang berperanan membimbing guru, pengetua dan guru besar bagi memastikan prestasi sekolah meningkat dengan drastik.

“Hasilnya, pencapaian kedua-dua negeri ini adalah sangat baik khususnya dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dalam ketiga-ketiga peperiksaan awam berkenaan, ini kali pertama dalam tempoh 10 tahun pencapaian yang terbaik dicatatkan di Sabah dan juga Kedah.

“Ini adalah hasil inisiatif kita memberi sokongan yang lebih kepada guru yang memerlukan bantuan dalam bilik darjah bagi meningkatkan prestasi proses pengajaran dan pembelajaran," katanya ketika menjadi ahli panel pada Wacana Intelek PPPM 2013-2025 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya akan menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPPT) pada September ini yang akan menjadi pelengkap kepada PPPM.

“Ini akan membolehkan wujud integrasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan di negara ini dari peringkat prasekolah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi," jelasnya.

Sementara itu, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Sulaiman Wak berkata, salah satu prasyarat kejayaan transformasi pendidikan adalah guru yang mengajar perlulah benar-benar berkualiti.

Katanya, bagi memastikan hasrat itu tercapai, mulai tahun ini pihaknya mengenakan syarat ketat bagi kemasukan calon guru pelatih di IPGM iaitu sekurang-kurangnya mendapat minimum 5A dalam peperiksaan SPM.

“Walaupun kita mengenakan syarat ketat, jumlah pemohon yang memenuhi syarat ini yang telah membuat permohonan adalah seramai lebih 22,000 orang.

“Jumlah ini cukup besar berbanding bilangan guru pelatih yang akan diambil pada tahun ini iaitu seramai 3,000 orang," jelasnya.

Berikutan jumlah calon layak yang ramai, kata beliau, pihaknya juga mengadakan tapisan kedua yang dinamakan Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) bagi memastikan individu terbabit sesuai untuk menjadi seorang guru.

“Antara komponen dalam UKCG adalah ujian psikometrik bagi memastikan calon guru terbabit tidak mempunyai masalah mental.

“Satu lagi komponen adalah ujian kecergasan fizikal termasuk memastikan indeks jisim badan (BMI) adalah normal supaya mereka tidak menghadapi masalah di sekolah yang kini kebanyakan bangunannya lebih setingkat," katanya.

Menurutnya, selepas melepasi tapisan berkenaan, barulah calon guru terbabit dipanggil untuk sesi temu duga yang diadakan pada bulan ini.

“Walaupun ramai yang tidak lepas UKCG, tetapi bilangan yang ada masih cukup bagi membolehkan kita mengambil 3,000 calon guru untuk dilatih pada tahun ini," ujarnya.



Utusan/Rencana/20140516 NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my

Tema Sambutan Hari Guru 2014

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


DEFINISI: GURU PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI

GURU: Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara.

PENCETUS: Merujuk maksud peranan untuk menimbulkan sesuatu ilham/idea atau mengeluarkan sesuatu seperti ilmu. Guru bertindak sebagai pencetus idea kepada kreativiti dalam usaha melahirkan generasi intelek.

KREATIVITI: Didefinisikan sebagai penghasilan idea, kebolehan untuk mencipta atau proses pemikiran yang mendorong dalam pencetusan idea baru dan berdaya kreatif.

PENJANA: Merujuk maksud guru sebagai penggerak atau perantara yang paling penting dalam proses transformasi ke arah keberhasilan.

INOVASI: Didefinisikan sebagai pengaplikasian kreativiti, pembaharuan, modifikasi, kaedah dan sistem bagi mencari jalan untuk menghasilkan produk baru dan perkhidmatan yang lebih baik, bermakna dan bernilai.

Di sini saya sertakan tema-tema hari guru dari tahun 1972 - 2014

1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2007 Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2011 Guru penjana transformasi pendidikan negara
2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2013 Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda
2014 Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi