May 27th, 2014

Sikap positif jana kreativiti, dorong inovasi

"KALAU awak fikir positif, maka positiflah jadinya. Sebaliknya, jika berfikiran negatif, negatiflah jadinya".

Kata-kata itu sering diperkatakan untuk memotivasikan diri kerana dengan pemikiran yang positif boleh melahirkan idea-idea yang kreatif dan inovatif untuk menjadi sebuah negara yang maju bertaraf antarabangsa.

Kreativiti dan inovasi amat dituntut bagi melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini untuk bersaing dalam era alaf.

Dr. Edward de Bono mendefinisikan kreatif dan kreativiti sebagai, "At the simplest level creative means bringing into being something that was not there before."

Berfikir di luar kotak adalah satu kreati­viti proses pemikiran yang mendorong generalisasi idea baharu. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang baharu.

Inovasi pula adalah suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baharu dan yang lebih baik.

Maka, manusia yang kreatif dapat menghasilkan sesuatu yang inovatif dengan membina trend baru dan menggunakan peluang maksimum dengan pelbagai persaingan.

Telefon bimbit yang dihasilkan kini penuh dengan kreativiti sebagai alat perhubungan tetapi dengan adanya inovasi maka telefon bimbit digunakan sebagai alat hiburan, Internet, kamera, penyampai maklumat, memberi pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.

Semua pihak perlu berfikiran positif dengan menyokong segala usaha melahirkan insan yang kreatif dan inovatif. Pendi­dikan yang kreatif dan inovatif amat penting dengan memfokuskan kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau high order thinking skills.

Guru perlu sentiasa penuh kreativiti dan inovasi tetapi bolehkah mata pelajaran kreativiti dan inovasi diwujudkan atau sebagai aktiviti kokurikulum?

Adakah pendekatan pengajaran yang berpusat kepada murid perlu mempunyai keupayaan berfikir? Murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan, mempunyai jati diri untuk menghadapi cabaran masa depan dan tidak mudah dipengaruhi dengan anasir negatif apabila berjaya kelak.

Pelbagai aktiviti pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah mampu mendidik anak-anak kita berfikir di luar kotak. Aktiviti tersebut akan menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan menghasilkan tugasan tersebut.

Ini akan menggalakkan percambahan idea dan dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan murid.

Belia pada hari ini kurang berkomunikasi dan apabila melangkah ke dunia pekerjaan tidak dapat menjawab soalan-soalan khususnya isu-isu semasa. Kemahiran tinggi diperlukan dengan melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik agar menguasai pelbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.

Peranan pengurusan sekolah tidak kurang pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kala­ngan warganya. Pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat.

Sikap terbuka dan mesra akan menjadikan guru dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pem­belajaran.

Budaya sekolah yang positif menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi dalam kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik. Bagi mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.

Keberkesanan sekolah akan terserlah jika mereka dapat menggunakan teknologi dalam pengurusan dan bilik darjah. Teknologi tidak harus dilihat sebagai alat semata-mata yang banyak membawa pe­ngaruh negatif tetapi jika dilihat secara positif ICT amat perlu untuk menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan. Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif.

Usaha melahirkan rakyat Malaysia yang kreatif dan inovatif oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan menganjurkan Pertan­dingan Reka Cipta Logo Hari Kemerdekaan Ke 57 harus dipuji. Namun kejayaan hasil kreativiti kadang-kadang dilupakan begitu sahaja.

Pastikan segala hasil kreativiti terutama yang memenangi anugerah dipatenkan dan dikongsi bersama dengan penuh positif. Salam 1Hati.

DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Utusan/Rencana/20140527

Membudayakan pelbagai ilmu ke arah menjadi negara maju

KEMAJUAN dunia adalah hasil daripada penguasaan ilmu. Maka pada hari ini manusia berusaha mencari ilmu di merata tempat tanpa batasan geografi. Ini jelas menunjukkan budaya ilmu adalah budaya manusia sejagat yang mampu membawa kepada ke­sejahteraan hidup.


Globalisasi bukan sahaja tertumpu pada soal perhubungan dan komunikasi. Malah meliputi aspek-aspek lain berkaitan ilmu seperti politik, sosiobudaya, ekonomi, dan pendidikan. Ia juga meliputi cara berfikir, bertindak dan pelbagai kegiatan yang dilakukan. Budaya ilmu akan mengarah kepada masyarakat yang maju dalam segala bidang.

Masyarakat di negara ini sedang menuju ke arah mempraktikkan budaya ilmu dalam setiap aktiviti kehidupan mereka bagi me­nu­ju ke arah negara maju. Ilmu bukan sahaja dapat diperoleh melalui pendidikan malah melalui pembacaan, perbincangan dan melayari Internet. Ilmu juga berkembang melalui pengalaman yang menjadi pengajaran dalam diri dan juga orang lain.

Cabaran semasa pada masa kini adalah kesan globalisasi, masalah sosial dan kecelaruan budaya. Globalisasi merujuk kepada proses penyingkiran batasan dan sekatan kerajaan mengenai pergerakan antara negara supaya mewujudkan satu ekonomi dunia yang terbuka dan tanpa sempadan. Hanya dengan ilmu, ketiga-tiga permasalahan ini dapat diatasi.

Oleh itu, pendidik di sekolah rendah dan menengah pada masa kini cuba memastikan setiap murid menguasai ilmu dan kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, selain digalakkan mempelajari bahasa tambahan. Kelemahan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kala­ngan siswazah adalah satu daripada lima isu yang sering dihadapi majikan di Malaysia sejak 2006 bagi menghadapi persaingan globalisasi.

Seterusnya, globalisasi juga membawa perubahan besar terhadap penerokaan ilmu dalam bentuk dunia baharu. Manusia sekarang berhadapan dengan dunia yang berbeza daripada apa yang terdapat dahulu. Nilai dan etika turut berubah. Hanya dengan ilmu manusia dapat memahami segala perubahan ini.

Fenomena pada masa kini manusia menghadapi krisis identiti, kecelaruan budaya, tamak untuk menjadi cepat kaya, sanggup membunuh, mengikut fahaman agama yang salah, mudah terjebak dengan pelbagai jenayah dan akhirnya menjadikan masyarakat berpecah-belah.

Kalangan yang tidak berilmu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah dan fahaman mereka. Ilmu pengetahuan tentang Islam dapat membetulkan pemesongan tersebut.

Tokoh ulama Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi menjelaskan hanya dengan kekuatan dan kefahaman ilmu umat Islam dapat mena­ngani cabaran dan tentangan zaman. Me­nurutnya, terdapat fahaman menolak sunah dan mendustakan kebenaran. Perkara-perkara tersebut merupakan cabaran yang harus kita tentang serta tangani.

Katanya, kini zaman semakin maju ke depan meninggalkan hari-hari berlalu, sudah sampai masanya untuk umat Islam mengorak langkah ke arah kemajuan menentangnya.

Walau bagaimanapun, ilmu tidak dapat membentuk manusia dengan nilai kemanusiaan. Hanya keimanan dapat mendidik manusia berperikemanusiaan. Sebagai contoh nilai kemanusiaan yang unggul menjaga akhlak dan kehormatan diri seperti tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah, zina, judi, menipu, khianat, zalim dan sebagainya.

Justeru, ilmu amat penting dalam kehidupan manusia. Ilmu yang merangkumi ilmu adab, akhlak, sahsiah dan siasah sehinggalah ilmu yang berasaskan akal yang lain, semua­nya penting dalam pembinaan diri, negara dan tamadun bangsa. Ilmu tanpa agama, se­perti kapal terumbang-ambing.

Tokoh Islam, Ibnu Khaldun membicarakan bidang ilmu itu pada dua fasal. Pertama ilmu kalam iaitu sejarah pertumbuhan ilmu, masalah yang berkaitan dengan ilmu, keimanan Islam dan sifat-sifat Allah. Fasal kedua, perbahasannya tentang teologi yang berkaitan kitab tauhid.

Begitulah budaya ilmu tumbuh dan berkembang sekitar 732 hingga 751 Hijrah iaitu 1332 hingga 1350 Masihi semasa hayat Ibnu Khaldun. Pelbagai bidang ilmu sudah berkembang pada zaman itu dan sebe­lumnya antaranya ilmu berkaitan matematik, bahasa, demografi, evolusi sosial, falak, falsafah, fizik, hadis, kalam, kedoktoran, kimia, kehidupan manusia dan masyarakat, pendidikan, ilmu bintang, politik, retorik, sejarah, sosial, tasawuf, tenun, ukur, urai tubuh, usul fikah dan lain-lain.

Sebagai contoh, berpolitik juga mestilah berilmu, tanpa ilmu, politik yang diperjuangkan tidak kekal lama. Pada asasnya politik mestilah untuk membangunkan kehidupan rakyat dan pengundi yang memilih pemimpin mereka. Justeru, semua bidang seperti pendidikan, ekonomi, politik, sastera, agama dan budaya mestilah bertunjangkan ilmu dan dibangunkan melalui akal budi manusia.

Melalui pengalaman dan pemerhatian tokoh-tokoh politik Barat menyatakan se­perti kata-kata Carrol M. Frederick: Buka mata kepala dan mata hati kita dalam menghadapi politik ekonomi bagi mereka yang menghalalkan segala cara bagi mencapai tujuannya.

Sementara Ronald Reagan berkata; Saya pernah berkata, politik adalah profesion kedua tertua di dunia, dan saya baru tahu bahawa ia juga hampir sama buruknya de­ngan yang pertama. Fikirkan yang pertama?

Pewujudan kesedaran sangat penting iaitu apa juga bidang yang kita perjuangkan mestilah berlaku transformasi iaitu berteraskan dan berlandaskan ilmu yang dapat membawa kepada kebaikan diri sendiri dan ummah. Masyarakat yang berilmu tidak mudah dipesongkan pegangan agamanya, tidak mudah terjebak dengan gejala sosial, kecelaruan budaya dan pelbagai jenayah.   DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media, berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Utusan/Rencana/20140527

Antara manifesto Rais dan Jokowi

SEHARI setelah Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyampaikan ucaptama berjudul "Pengukuhan Budaya dan Identiti Nusantara" dalam seminar di Universitas Andalas, Padang baru-baru ini tersiar pula satu rencana oleh seorang calon Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo (lebih terkenal dengan panggilan Jokowi) dalam harian Kompas yang berjudul Revolusi Mental.

Karangan Jokowi itu boleh dianggap sebagai satu manifesto politik dalam usahanya berkempen merebut jawatan presiden negara itu dalam pilihan raya presiden Julai depan. Manakala ucaptama Rais dapat pula dilihat sebagai manifesto kebudayaan dalam usahanya memperkasa identiti Nusantara berdasarkan semangat serumpun umat Melayu-Islam di gugusan kepulauan Melayu.


DARI KIRI: Rais Yatim, Joko Widodo

Barangkali satu kebetulan, tetapi sema­ngat dan kandungan ucaptama Rais di kampus Universiti Andalas dan karangan Jokowi dalam harian Kompas itu mempunyai beberapa persamaan yang menarik. Jika hendak diungkapkan secara puitis dan berkias, inti pati pesanan kedua-dua tokoh ini adalah kembalilah ke akar untuk memperkasa akal demi kegemilangan Nusantara.

Mereka mengingatkan supaya bangsa Indonesia dan pelbagai suku masyarakat Nusantara jangan terlalu terpedaya dan membiarkan diri hanyut dalam arus globalisasi. Sebaliknya globalisasi wajiblah ditapis dan untuk itu nilai-nilai unggul dan luhur yang terkandung dalam budaya masyarakat Nusantara itu wajiblah digali dan dipugar kembali.

Lenggang-lenggok bahasa beserta pantun dan pepatah petitih yang digunakan oleh Rais dalam ucapannya mengingatkan kita kepada cara tokoh-tokoh Minangkabau berpidato. Manakala ungkapan "Revolusi Mental" yang menjadi judul karangan Jokowi mengingatkan kita kepada gerakan revolusi mental yang diketuai oleh Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman di peringkat awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Malaysia kira-kira 45 tahun lalu.

Ertinya, tanpa disedari dan tanpa dirancang berlaku proses pinjam meminjam atau saling bertukar gaya berpidato dan penggunaan istilah serta pertukaran pengalaman negara masing-masing antara kedua orang tokoh ini.

Semua itu dapat dianggap atau ditafsirkan sebagai terdapatnya persamaan atau cara berfikir dan persamaan keprihatinan antara mereka terutama mengenai hal eh­wal yang berhubung kait dengan jati diri dan keperibadian bangsa.

Visi Jokowi dapat dilihat lebih jelas me­lalui petikan perenggan berikut dari kara­ngannya berbunyi: Dalam pembangunan bangsa, saat ini kita cenderung menerapkan prinsip-prinsip fahaman liberalisme yang jelas tidak sesuai dan kontradik de­ngan nilai budaya, dan karakter bangsa Indonesia. Sudah saatnya Indonesia melakukan tindakan korektif dengan mencanangkan revolusi mental, menciptakan paradigma, budaya politik dan pendekatan nation building baru yang lebih manusiawi, sesuai dengan budaya Nusantara, bersahaja, dan berke­sinambungan.

Jokowi mengakui gagasan revolusi mental yang dicanang itu diilhamkan oleh konsep Trisakti ciptaan Presiden Sukarno lebih 50 tahun lalu. Dalam pidato pentingnya pada 1963, Sukarno memperkenalkan konsep Trisakti sebagai pedoman utama membangun negara bangsa Indonesia.

Konsep Trisakti membayangkan kewujudan Indonesia yang hendak dibangun itu dari tiga dimensi: (a) Indonesia yang berdaulat dari segi politik, (b) Indonesia yang mandiri secara ekonomi dan (c) Indonesia yang berkeperibadian secara sosial-budaya.

Khusus mengenai dimensi ketiga (dia menggunakan istilah 'pillar' yang bererti 'tiang' atau 'tonggak'), Jokowi berkata: Pillar ketiga Trisakti ialah membangun keperibadian sosial dan budaya Indonesia. Sifat keIndonesiaan semakin pudar kerana derasnya arus globalisasi. Indonesia tidak boleh membiarkan bangsanya larut dengan arus budaya yang belum tentu sesuai de­ngan nilai-nilai luhur bangsa kita.

Rais berucap panjang lebar tentang krisis jati diri yang berlaku di Nusantara kini terutama di kalangan generasi muda. Kecen­derungan meniru Barat secara membuta tuli, semakin menjadi-jadi. Hampir setiap aspek kehidupan Barat sekarang hendak ditiru termasuk menu makanan, selera seni, tata pergaulan sosial serta cara berpakaian.

Secara tidak langsung Rais menegur (menyindir?) kecenderungan sesetengah pihak mengunakan nama-nama Barat sebagai nama peribadi yang tidak mempu­nyai ciri-ciri tempatan sama sekali. Memang di Minangkabau kini terdapat ramai yang menggunakan nama Barat.

Hal ini semakin jelas kepada orang luar yang melihat poster dan sepanduk yang mempromosikan calon-calon dalam pilihan raya legislatif bulan lalu. Terdapat dalam kalangan calon tersebut yang menggunakan nama Barat seratus peratus.

Fenomena tersebut kini semakin me­runsingkan, malah menakutkan, dengan semakin agresifnya gerakan untuk mengkristiankan umat Melayu Nusantara yang sekian lama menganut agama Islam. Malah di Minangkabau sendiri yang terkenal sebagai salah satu kubu utama Islam di Nusantara, gerakan "Kristianisasi" itu sudah semakin berani , malah boleh dikatakan bersikap "angkuh" dengan pelbagai sumber ekonomi dan jaringan antarabangsa yang mereka punyai.

Bila Rais menyebut "pengkristianan dilaporkan berlaku dengan tempoh yang lebih tersusun dan terancang", tentu itu mengingatkan kita terhadap fenomena yang sama di Malaysia, walau pun berlangsung secara berselindung.

Pelbagai pandangan dan cabaran yang dilontarkan oleh Rais itu, kemudian dihuraikan lebih lanjut oleh penulis-penulis kertas kerja dari Ma­laysia dan Indonesia, termasuk Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan dan Ketua Satu Gapena, Profesor Datuk Abdul Latif Bakar.

Turut membentangkan kertas kerja ialah seorang ahli sosiologi Indonesia yang terkenal Dr. Mochtar Naim yang secara khusus menyebut nama Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad atas ketegasan dan jasa mereka berdua 'memberi peluang besar kepada bumiputera Melayu untuk berkiprah meng­angkat diri dari keterbelakangan'. Beliau menyeru pemerintah Indonesia agar mencontohi Tun Razak dan Tun Mahathir yang mendahulukan kepentingan pribumi dalam mengejar segala ketertinggalannya.

Manakala Awang dalam kertas kerjanya bertajuk Pembangunan berbasis budaya dalam konteks kesinambungan perjuangan Melayu menimbulkan isu "kontrak sosial" yang menjadi asas kerjasama antara kaum di Tanah Melayu pada tahun-tahun menjelang Tanah Melayu/Malaysia mencapai kemerdekaan dahulu. Katanya: Kontrak sosial yang menjadi asas pembinaan negara ini dahulu, sekarang kian luntur dan malah dicabar oleh kalangan tertentu.

Sehubungan itu Awang berkeluh kesah lagi (atau mungkin meratap?) kerana citra kebudayaan Melayu kian kabur dalam Ins­titusi Kerajaan.

Yang ironis di sinilah ialah sementara orang luar (seperti Dr. Mochtar Naim) memuji usaha Tun Abdul Razak dan Tun Mahathir mengibarkan bendera Melayu, dalam negeri sendiri kesedaran dan inisiatif kedua-dua bekas Perdana Menteri Malaysia ini kelihatan seakan-akan tidak mempu­nyai kesinambungan lagi sejak akhir-akhir ini atau kian kabur, menurut istilah Awang.

Pembentang kertas kerja lain ialah Profesor Suwardi dari Riau, Profesor Nurhayati Rahman dari Makasar dan Profesor Bambang Wibawarta dari Universitas Indonesia, Jakarta. Saya sendiri turut membentangkan kertas yang berjudul Memugar Kembali Warisan Yang Pudar.

Seminar ini dianjurkan oleh Yayasan Ikatan Rakyat -Malaysia-Indonesia (YIRMI) dengan kerjasama Fakultas Sosio Budaya, Universitas Andalas sebagai salah satu ke­giatan YIRMI untuk menggelorakan persaudaraan Nusantara dan memupuk semangat serumpun dalam kalangan umat Melayu-Islam di Asia Tenggara ini. Sebelum ini YIRMI di bawah pimpinan Rais dan sokongan Yayasan Albukhary dan Yayasan Warisan Negara menganjurkan pertemuan dalam kalangan pengamal media massa di kedua negara.

Tetapi saya menganggap seminar YIRMI dengan kerjasama Universitas Andalas ini mempunyai signifikan atau keistimewaan tersendiri kerana pada hujung minggu yang sama, keprihatinan budaya yang disuarakan oleh Rais disuarakan pula oleh seorang tokoh politik dan calon presiden yang semakin masyhur di Indonesia, Jokowi.

Dan saya rumuskan ini sebagai gabu­ngan manifesto politik Joko Widodo dan manifesto kebudayaan Rais. Dapatkah ini dianggap sebagai tiupan angin segar di cakerawala politik dan kebudayaan Nusantara? Mudah-mudahan.

SENATOR Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Guru Besar Tamu (Profesor Pelawat) di Fakultas Hukum, Universitas Andalas, Padang. Utusan/Rencana/20140527