June 17th, 2014

Penyelewengan baucar buku jejas usaha bentuk minda terbuka

Skim Baucar Buku 1Malaysia telah memasuki tahun ketiga, dengan peruntukan RM325 juta. Jika jumlah ini dicampur dengan jumlah pada tahun pertama dan kedua, mungkin sekitar RM1 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada para pelajar IPT untuk membeli buku. Tetapi, benarkah para pelajar menggunakannya untuk membeli buku?

Sudah menjadi rahsia umum, tidak semua pelajar menggunakan baucar yang mereka terima untuk membeli buku. Ada cakap-cakap yang menyebut, pelajar menukarkannya dengan wang tunai, walaupun jumlahnya kurang sedikit, kerana orang tengah juga perlu mendapat sedikit untung. Dengan wang tunai di tangan, pelajar bebas menggunakan untuk sebarang tujuan.

Terdapat juga cerita yang pelajar menggunakan baucar itu untuk menambah nilai kad prabayar telefon bimbit mereka. Ada juga yang menggunakannya untuk membeli pencetak, pakaian dan sebagainya.

Khabarnya pihak industri buku mempunyai beberapa bukti kukuh penyelewengan yang dilakukan oleh sebahagian penerima baucar, serta orang tengah. Kita berharap penyelewengan tersebut dapat didedahkan pada masa terdekat, agar pada masa hadapan, baucar buku hanya digunakan untuk membeli buku.

Memang agak sukar untuk membuktikan penyelewengan orang tengah, yang menukar baucar buku kepada wang atau peralatan lain, dan memberikannya kepada pelajar IPT. Orang tengah ini secara licik mungkin menyediakan salinan resit palsu yang menyebut bahawa sejumlah buku dengan harga sekian telah dibekalkan kepada pelajar tersebut.

Baucar Buku 1Malaysia memperlihatkan hasrat murni kerajaan untuk melihat pelajar IPT memiliki buku yang mereka perlukan, dalam upaya membentuk generasi muda yang berilmu pengetahuan. Di samping itu kerajaan ingin melihat industri buku negara berkembang lebih rancak, kerana kuasa beli melalui ratusan juta ringgit sedia disalurkan ke pasaran pada setiap tahun.

Malangnya hasrat murni itu belum menjadi kenyataan, akibat kelemahan dalam aspek pengendalian tuntutan, serta sikap pelajar sendiri yang tidak mementingkan buku sebagai sumber yang boleh memperkasa diri dan masa depan mereka.
Dengan ketirisan yang wujud, impak terhadap industri buku tidak dapat dirasakan. Ini kerana pemain industri buku belum dapat mengesan faedah ekonominya secara nyata.

Wujud mekanisme

Menyedari ketirisan yang wujud, pihak kerajaan telah mula mengambil langkah agar baucar buku hanya digunakan untuk membeli buku. Akan tetapi secara praktikalnya ia masih memerlukan kaedah modus operandi serta pengendalian tuntutan yang lebih jelas dan bertanggungjawab.

Dalam hal ini harus diwujudkan mekanisme mengawal transaksi yang berkesan, antara pelajar dengan pihak institusi, peruncit, serta Bank Simpanan Nasional yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan tuntutan.

Pihak NGO yang mewakili pemain industri buku negara harus tampil membantu kerajaan menyekat ketirisan skim baucar buku ini. Mereka harus berganding bahu membanteras penyelewengan, kerana gejala ini memberi akibat langsung kepada ekonomi mereka.

Kita berharap apabila skim baucar buku ini diteruskan pada tahun keempat, semua baucar akan digunakan sepenuhnya untuk membeli buku ilmu pengetahuan. Ini akan dapat membentuk generasi pelajar IPT kita yang lebih pandai, dan dalam jangka pendek serta panjang akan mampu bersaing dengan angkatan mereka pada peringkat rantau dan antarabangsa.

Penggunaan baucar buku yang betul juga akan merancakkan industri buku negara, di mana lebih banyak buku bermutu akan dapat dikeluarkan untuk pilihan pembeli. Ia boleh memacu ke arah sasaran menerbitkan kira-kira 28,000 judul buku baharu setahun.

Jika ketirisan baucar buku ini masih berterusan, eloklah pemberiannya dikaji semula. Ini termasuklah menyalurkan peruntukan itu langsung kepada Perpustakaan Negara Malaysia atau mana-mana agensi kerajaan yang bertanggungjawab, agar peruntukan berkenaan boleh digunakan untuk membeli buku dan mengembangkan industri perbukuan negara.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA. Berita Harian Kolumnis 2014/06/17 - 00:17:03 AM Dr Anwar Ridhwan

Besarnya pengaruh bola sepak

Rutin hidup, urus niaga turut berubah

Walaupun baru memasuki hari keempat, Piala Dunia Brazil 2014 sudah mencatat kejutan yang bukan sahaja menyaksikan pasukan pilihan diaibkan oleh lawan lebih kecil, malah juara bertahan dikalahkan dengan teruk. Pagi semalam, Costa Rica, sebuah negara kecil yang jarang diberi perhatian, menumbangkan pasukan pilihan, Uruguay 3-1, dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Kumpulan D.

Walaupun dibarisi pemain kurang ternama, Costa Rica, yang ketinggalan menerusi sepakan penalti, bangkit pada separuh masa kedua untuk menewaskan lawan. Uruguay menjadi pilihan kerana ia berjaya ke peringkat separuh akhir pada Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, kejutan pertama Piala Dunia 2014 pastinya kekalahan juara bertahan, Sepanyol, 1-5 kepada Belanda pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, kelmarin. Keputusan itu umpama kejayaan Belanda membalas dendam atas kekalahannya 0-1 kepada Sepanyol pada final tahun 2010.

Kali terakhir juara bertahan kalah dalam perlawanan pembukaan adalah Perancis apabila diaibkan oleh Senegal pada tahun 2002, tetapi belum pernah ada penyandang juara dibelasah teruk seperti Sepanyol. Ia juga kekalahan teruk Sepanyol dalam tempoh 51 tahun selepas tewas 2-6 kepada Scotland pada tahun 1963.

Ini adat perlawanan. England yang terkenal dengan liga bola sepaknya, hanya sekali menjadi juara dan tewas 1-2 kepada Itali, semalam walaupun bermain dengan baik.

Seperti setiap musim kejohanan bola sepak Piala Dunia, rutin hidup sebahagian besar rakyat juga berubah. Musim Piala Dunia adalah masa terbaik untuk mereka melupakan prestasi pasukan negara yang bagaikan tiada masa depan.
Besarnya pengaruh bola sepak di negara ini mendorong beberapa agensi memberi ingatan atau mengeluarkan amaran supaya rakyat mengelakkan gejala biasa berlaku ketika musim Piala Dunia.

Tidur lewat jejas prestasi kerja

Kesatuan Kakitangan Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) minggu lalu mengeluarkan kenyataan menasihatkan penjawat awam supaya memastikan mereka tetap segar dan cergas bekerja walaupun menonton siaran langsung perlawanan bola sepak itu pada waktu dinihari.

Presidennya, Azih Muda berkata, penjawat awam yang mahu menonton perlawanan siaran langsung selepas jam 3 pagi, seharusnya memilih tidur malam lebih awal kerana perbezaan waktu antara Brazil dengan Malaysia, menyebabkan kebanyakan perlawanan ditonton pada 3 pagi atau 6 pagi waktu tempatan.

Pengalaman ketika Piala Dunia lalu, terutama apabila negara tuan rumah mempunyai perbezaan waktu yang panjang dengan Malaysia menunjukkan produktiviti pekerja awam dan swasta menurun, manakala penggunaan cuti sakit meningkat.

Gurauan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui laman Facebook mereka selepas perlawanan pembukaan Jumaat lalu, membuktikan kepemimpinan negara juga menyedari gejala negatif itu ketika musim Piala Dunia.

Namun, gejala paling buruk setiap kali musim kejohanan bola sepak terbesar dunia ialah perjudian/pertaruhan. Malah, Malaysia walaupun tidak pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia, sering menjadi perhatian kerana bookie pertaruhan membabitkan rakyat negara ini.

Pada musim Piala Dunia 2010, jumlah pertaruhan membabitkan 143 individu berusia lingkungan 15 hingga 73 tahun yang ditahan di seluruh negara mengikut Akta Pertaruhan 1953 ialah RM437.9 juta. Jumlah itu dijangka meningkat berikutan penggunaan media sosial/internet sekarang yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

Bukit Aman menubuhkan pasukan khas bagi memantau kegiatan perjudian bola sepak sepanjang musim Piala Dunia 2014. Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik, berkata pasukan khas itu bukan sahaja memantau, malah akan menahan sindiket terbabit.

Menurutnya, jenayah rentas sempadan itu membabitkan jaringan dengan laman web luar negara, manakala sebahagian transaksi hasil pertaruhan disalurkan masuk dan keluar negara. Server (pelayan) bagi laman web perjudian itu biasanya berada di luar negara.

Pasaran saham sepi

Sepanjang sebulan demam Piala Dunia ini mungkin memberi kesan kepada prestasi urus niaga pasaran saham. Berdasarkan rekod, pasaran saham lazimnya agak sepi dan mempamerkan prestasi lemah kerana tumpuan dan minat pelabur beralih kepada acara berkenaan.

Nilai pertaruhan tinggi terhadap perlawanan menjadi pendorong utama perhatian pelabur tertumpu kepada perlawanan, terutama yang gemar meraih keuntungan dalam tempoh singkat.

Begitupun, Piala Dunia turut menjana ekonomi kepada pemilik restoran dan kedai makan. Kebanyakan kedai mamak dan warung kopi yang sebelum ini tutup jam 12, beroperasi 24 jam sejak Jumaat lalu.

Namun, Piala Dunia juga menimbulkan hubungan kurang enak antara pasangan suami isteri atau antara isi rumah. Pelbagai pesanan berunsur jenaka, kononnya dari isteri dan suami tersebar luas menjelang Piala Dunia, pastinya berdasarkan pengalaman dalam rumah tangga setiap empat tahun sekali itu.

Yang pasti, sepanjang sebulan ini atau hingga ke pertengahan Ramadan nanti tumpuan ialah Piala Dunia 2014. Barangkali inilah ketikanya golongan tertentu yang gemar mencari isu untuk kepentingan politik masing-masing, boleh berehat seketika. Rakyat lebih gemar bercakap mengenai bola sepak daripada mendengar cakap mereka, yang bagaikan tiada kesudahan.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my Untuk berkongsi pendapat anda. Berita Harian Kolumnis 2014/06/17 - 00:32:34 AM Manja Ismail

Meletak universiti negara di persada dunia

PANDANGAN Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa universiti di negara ini memerlukan model baharu dalam pengurusan dan pentadbirannya adalah tepat pada masanya dan harus dilihat dengan terbuka dan mendapat input dari pelbagai pihak yang terlibat dengan pengajian tinggi.

Kata Idris, bukan sahaja dalam kalangan universiti, malah mereka yang berada di Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi berkaitan juga perlu melakukan perubahan dan sudut pandangan baharu dalam memastikan universiti terus relevan dan bersedia menghadapi cabaran di seluruh dunia.

Idris yang melihat dari dekat pelbagai produk penyelidikan yang dihasilkan oleh lima buah Universiti Penyelidikan di negara ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Pulau Pinang Sabtu lalu turut mendengar pandangan wakil industri dalam forum yang masing-masing berpandangan bahawa universiti, industri dan penyelidikan yang dilakukan perlu lebih memahami dan mencari pendekatan yang paling berkesan dalam memanfaatkan kepakaran dan hasil penyelidikan yang begitu banyak dan boleh saling membantu.

Pada masa ini, kelima-lima Universiti Penyelidikan negara berada dalam kedudukan antara 200 terbaik mengikut ranking dunia dalam bidang-bidang Kejuruteraan dan Teknologi. Dalam bidang Kejuruteraan Kimia misalnya UM dan USM berada pada kedudukan di antara 51-100, manakala UTM, UKM dan UPM pada ranking 101 - 200.

Begitu juga kedudukannya dalam bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Struktur, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik malah juga Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautikal dan Pengeluaran. Sementara itu, USM juga tersenarai pada kedudukan Ke-28 dalam QS World Ranking 2014 dalam bidang Sains Persekitaran.

Semua ini membuktikan kemampuan universiti kita berada dalam kalangan yang terbaik di dunia, walaupun hakikatnya itu bukanlah matlamat sebenar universiti. Paling tidak universiti negara ini sebenarnya berupaya berada dalam persada dunia terutamanya bagi menyokong usaha negara mencapai status negara maju dengan penghasilan kepakaran dalam bidang-bidang utama sains dan teknologi.

Usaha seterusnya ialah mewujudkan kepimpinan dan sistem sokongan yang kuat dalam meneruskan usaha yang mula menampakkan hasilnya ini. Misalnya bagaimana untuk masyarakat merasai kewujudan universiti melalui hasil-hasil kajian yang dilakukannya. Bagaimana bahan-bahan tempatan, termasuk bahan buangan daripada pertanian dan fundamental yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan kekayaan kepada negara.

Sebenarnya terdapat begitu banyak penyelidikan universiti negara ini yang seharusnya dapat diketengahkan dalam masyarakat dan membantu menyelesaikan pelbagai isu yang ada sama ada pembangunan ekonomi, perumahan, industri, alam sekitar, malah juga sosio budaya. Kajian-kajian yang dibuat sesetengahnya boleh diaplikasikan terus untuk faedah masyarakat.

Misalnya kajian-kajian yang menggunakan bahan tempatan seperti pisang yang boleh dimajukan sebagai industri hiliran dan industri kampung secara langsung. Penghasilan produk melalui teknologi makanan seperti serbuk teh dan cendawan yang dijadikan biskut berkhasiat, mee untuk kesihatan dalam pengurusan berat badan dan banyak lagi yang dihasilkan di makmal tetapi belum dipasarkan secara meluas.

Bagaimana pula universiti dapat menggembleng tenaga bersama-sama industri untuk memanfaatkan sumber dan kepakaran untuk bersaing di pentas dunia? Cabarannya ialah bagaimana untuk kedua-dua pihak duduk bersama dan mencari jalan penyelesaian dalam memanfaatkan usaha ini.

Siapa yang boleh menjadi orang tengah untuk memadankan dua pihak untuk memanfaatkan teknologi yang ada, seperti mana yang dilakukan oleh Pusat Kolaborasi Penyelidikan Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) yang baru beroperasi dengan agresif dalam memanfaatkan usaha di antara universiti dengan industri terutamanya di Pulau Pinang?

Universiti bukan lagi menara gading yang jauh dari masyarakat dan hanya berteras idealisme. Universiti adalah menara ilmu yang sepatutnya memanfaatkan ilmu pengetahuan yang sentiasa relevan untuk masyarakat, negara dan dunia.

Mahasiswanya bercakap tentang ilmu dan bagaimana memanfaatkan ilmu untuk tujuan yang sama. Para profesor, pensyarah, penyelidik dan pengurus mahu pun pentadbirnya sentiasa membina upaya untuk membolehkan masyarakat memahami apa yang dibuat dan merasai apa yang terhasil dari makmal mahu pun ilmu pengetahuan yang dijana dan diperkasakan secara berterusan. Setiap mereka yang terlibat dengan pengajian tinggi turut memahami kepentingan budaya ilmu dan bagaimana ia perlu diinterpretasi dan dibawa faedah semua pihak.

Tugas meletakkan universiti negara ini di persada dunia bukanlah mudah. Ia harus bermula dari dalam kalangan masyarakat yang ada dan semua yang terlibat dengan pengajian tinggi.

Walaupun dana bukanlah segala-galanya, namun ini akan membantu universiti-universiti untuk terus berusaha keras menjadikannya terus relevan dengan pelbagai cabaran yang ada.

Universiti-universiti di negara ini juga tidak lagi boleh bergerak secara "silo" atau bersendirian, sebaliknya bekerjasama dan berusaha memanfaatkan pelbagai disiplin ilmu, kepakaran dan kekuatan bagi melonjakkan nama universiti negara ini secara bersama sebagai satu jenama universiti Malaysia.

Mohamad Abdullah ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia.   Utusan/Rencana/20140617

Ke mana hilangnya budi bahasa orang muda?

Cadangan Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim agar mata pelajaran budi diwujudkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan rakyat negara ini bertamadun dan mengamalkan nilai murni serta sahsiah budaya yang disegani perlu diberi perhatian.

Rais berkata, perkara itu penting kerana masyarakat kini dilihat semakin hilang punca terutama dalam aspek berkaitan budaya dan budi bahasa.

Memberi contoh perkara berkaitan kematian, ada sesetengah pihak yang tidak tahu bagaimana bentuk bahasa yang hendak digunakan, mereka sewenang-wenangnya menggunakan perkataan kesat dan tidak disenangi masyarakat lain.

Katanya, masalah ini berlaku disebabkan kurangnya aspek pendidikan berkaitan budi bahasa dalam kalangan masyarakat yang jika tidak dilakukan sesuatu pada hari ini, tamadun Malaysia pasti akan hilang.

Jelasnya lagi, silibus berkenaan tidak semestinya dijadikan subjek tetap, sebaliknya cukup dengan guru-guru atau cendekiawan bidang berkenaan yang boleh mendidik dan menanam nilai tersebut dalam masyarakat.

Di dalam zaman teknologi perhubungan dan komunikasi (ICT) semakin berkembang kita semakin lupa meluangkan masa mengajar anak-anak kita erti budi bahasa hingga kita sendiri kadang kala memberi arahan kepada anak-anak ala tentera di kem.

Di zaman ini golongan muda kurang bijak menzahirkan rasa hormat kepada orang lebih tua hinggakan perilaku yang dianggap mereka sopan sebenarnya tidak mencerminkan sikap yang sebenar.

Jika kita pergi ke sebuah restoran yang menghidangkan makanan barat, kedatangan dan kepulangan pelanggan akan disapa sila masuk dan selamat tinggal dan datang lagi dalam Bahasa Inggeris.

Sedangkan yang disapa dan menyapa adalah orang Islam. Sepatutnya pemilik restoran perlu bersikap masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Berpijaklah di bumi nyata.

Jika mata pelajaran yang mempamerkan kemahiran diri (soft skill) ini tidak dipupuk di peringkat sekolah dibimbangi kita akan mencipta robot bukannya manusia. Diprogramkan mengikut situasi bukannya mempunyai jati diri yang bersifat anti virus yang kuat yang kekal kukuh dalam sistem pemikiran dan dalam tindakan.

Selain bahasa mesej pesanan ringkas (SMS) yang ringkas dan entah apa-apa maknanya, remaja hari ini terlalu didedahkan dengan teknologi hari esok hingga langsung tidak mahu melihat sejarah kewujudan negara dan mengapa orang Melayu dan bumiputera dilindungi hak-hak istimewa mereka.

Hingga sampai satu tahap graduan yang dilahirkan di institut pengajian tinggi awam negara ini boleh berkata sejarah tidak penting, kerana ia telah berlalu dan tidak relevan dengan perancangan hari esok.

Mutakhir ini orang Melayu harus bangkit dan mendidik anak-anak di rumah agar lebih menjadi Melayu dan bukan semakin Melayu diperbodohkan 'orang' lain yang tidak bersyukur dengan keterbukaan orang Melayu menerima mereka atas prinsip 1Malaysia.

Sebagai bangsa Melayu mereka harus melihat kepentingan mereka dilindungi terus oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 160.

Di dalam subjek budi bahasa yang perlu diwujudkan segera anak-anak kita perlu diterapkan nilai cintakan bangsa dan agama yang dianuti.

Sikap menghormati antara satu sama lain yang mendasari penubuhan Malaysia perlu dididik untuk diteruskan sehingga kiamat. Hari ini rasa hormat hilang disebabkan fitnah oleh pemimpin-pemimpin yang tidak dapat menerima kekalahan mereka semasa pilihan raya.

Justeru, cadangan bernas Rais perlu dilihat secara tersurat dan tersirat. Kita melihat bibit-bibit menakutkan melanda negara ini apabila ada yang menganggap kemakmuran yang dinikmati datang secara tiba-tiba tanpa melalui proses yang panjang.

Cukup-cukuplah negara ini cuba diruntuhkan dengan siri-siri perhimpunan haram yang melibatkan kanak-kanak atas nama kebebasan pilihan raya, LGBT, GST dan entah apa alasan lagi sikap tidak berbudi bahasa ini. Kementerian Pendidikan perlu bertindak segera kerana jika adat sudah mati ada anak berdozen pun sudah tidak berguna lagi.   Utusan/Rencana/20140617   Abdul Razak Idris  

Kualiti guru IPG capai tahap tertinggi

PUTRAJAYA 15 Jun - Kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berkait rapat dengan proses pembentukan warga perguruan yang mampu memacu kualiti pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

Lantaran itu, sebanyak 27 buah institut pendidikan guru (IPG) yang bermula sebagai maktab perguruan kini dinaik taraf sebagai universiti yang menawarkan 17 kursus ijazah sarjana muda dan satu praijazah kepada bakal-bakal guru.

Dengan sasaran itu, Timbalan Rektor Insitut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr. Lee Boon Hua berkata, di bawah Anjakan Ke-4 PPPM mentransformasi perguruan menjadi profesion pilihan, operasi kesemua IPG kini ditumpukan kepada tujuh agenda penting yang terdiri daripada:



DR. LEE BOON HUA Timbalan Rektor IPGM
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR Gambar SHAH JEHAN

* Memperkukuhkan saluran pengambilan guru terlatih

* Memantapkan kurikulum

* Meningkatkan kualiti pensyarah

* Meningkatkan kualiti prasarana.

* Meningkatkan kualiti kepimpinan

* Membangunkan aktiviti penyelidikan dan inovasi

* Membangunkan profil 27 buah cawangan IPG di seluruh negara.

Katanya, ketujuh-tujuh agenda itu menerapkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam kalangan bakal guru dengan kaedah Kemahiran Abad Ke-21.

Beliau kemudian mendefinisikan takrifan Kemahiran Abad Ke-21 itu sebagai menggunakan kaedah pembelajaran dan pengajaran menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Oleh itu, Pusat Pembangunan Kurikulum IPG bertanggungjawab meneliti semula skop akademik institut berkenaan dengan pemantauan dan kelulusan Majlis Senat agar bakal guru dilengkapi teori dan pengetahuan sebelum mengajar di sekolah-sekolah.

"Antara perubahan itu adalah memanjangkan tempoh praktikal mengajar di sekolah daripada lapan minggu kepada 24 minggu dengan dibahagikan kepada dua semester.

"Perkara ini bertujuan memastikan bakal-bakal guru benar-benar bersedia dan mampu menjadi warga pendidik sebenar seperti yang diimpikan dalam visi dan misi negara," katanya.

Boon Hua berkata, IPG turut menyasarkan semua pensyarah sekurang-kurangnya berkelulusan tahap sarjana dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Dalam merencanakan matlamat itu, beliau berkata, institut berkenaan sedia menawarkan biasiswa kepada para pensyarah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Kini, IPG mempunyai sebanyak 95.3 peratus pensyarah berkelulusan sarjana dan 9.5 peratus ijazah doktor falsafah," ujarnya.

Dalam pada itu, Boon Hua berkata, IPG juga mengadakan kerjasama dengan universiti dan kolej terkemuka United Kingdom, Australia dan New Zealand bagi melahirkan guru-guru berkualiti.

"Hasil kerjasama itu telah mengangkat imej IPG apabila universiti dan kolej di ketiga-tiga negara berkenaan mengiktiraf kualiti akademik dan kokurikulum di IPG,'' katanya lagi.

Boon Huan amat berharap hala tuju institut yang dirancang sebelum ini dapat digerakkan sekali gus mempengaruhi hasil pelaksanaan PPPM dalam usaha menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.

"Kita percaya menjelang tahun 2025, kualiti guru dan sistem latihan perguruan di Malaysia akan mendapat pengiktirafan dunia sekiranya setiap pelaksanaan berjalan lancar," katanya.

Mengulas tentang penstrukturan semula semua IPG, Boon Hua berkata, latihan bagi guru pelatih itu diterjemahkan dalam satu modul pembelajaran baharu untuk diselaraskan di seluruh negara.

IPGM, jelas beliau, bertindak sebagai badan induk yang menyelia setiap modul latihan dan kokurikulum guru pelatih, selain menentukan dasar serta hala tuju di setiap kampus IPG untuk mengimbangi kesaksamaan kualiti latihan guru pelatih.

"Selain mengguna pakai input daripada pensyarah di Pusat Pembangunan Akademik (PPA) di IPGM, kita turut mendapat pandangan serta kepakaran pensyarah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta," katanya.

Tambah beliau, ia bagi memastikan perkembangan berterusan pembangunan kokurikulum modul latihan guru pelatih untuk diselaraskan di seluruh kampus IPG.

"Ini membuktikan IPGM benar-benar serius untuk memastikan 45,000 guru pelatih yang sedang mendapat latihan di IPG menjadi model guru berkualiti," ujar beliau.

Boon Hua berkata, selain terlibat dengan minggu orientasi sekolah, guru pelatih didedahkan dengan kemahiran mengurus dan memimpin pelbagai program di peringkat sekolah merangkumi aktiviti kokurikulum.

"Pendedahan ini berupaya mewujudkan satu budaya dan aktiviti yang melengkapkan struktur organisasi yang baik di sekolah.

"Kita percaya, dengan penambahbaikkan program praktikal bagi guru pelatih di sekolah, bakal guru ini akan lebih bersedia pada hari pertama lagi untuk merealisasikan PPPM," katanya.

Kata Boon Hua, pemantauan yang dilakukan sejak dua tahun lalu bagi memastikan modul yang diterapkan di IPG mampu diterjemahkan oleh guru kepada pelajar termasuk kemahiran penggunaan teknologi maklumat (ICT), mempraktikkan konsep KBAT serta kerjasama berpasukan pada peringkat sekolah.

Dengan dengan kira-kira 11,500 lepasan baharu IPG, Boon Hua mahu dasar PPPM tidak saja berakhir pada tahun 2025, sebaliknya sasaran yang lebih besar adalah untuk menghasilkan guru yang boleh melaksanakan pembelajaran serta pengajaran yang akhirnya memberi manfaat kepada para pelajar.   Utusan/Pendidikan/20140616

IPGM medan persiapkan bakal guru

Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) berjaya mempersiapkan bakal guru menempuhi kehidupan sebagai seorang guru walau di mana saja mereka ditempatkan.

Ilmu pengetahuan yang dibekalkan bukan sahaja dapat menjadikan guru-guru muda lebih cekal, tetapi juga mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Saya percaya pendedahan yang diterima di IPGM menjadikan setiap guru cukup bersedia untuk berkhidmat di kawasan kampung atau pedalaman bagi membantu pelajar sekali gus mengurangkan jurang pendidikan luar bandar.

Kekurangan kemudahan pembelajaran daripada segi teknologi maklumat seperti Internet atau infrastruktur moden bukan satu masalah.

"Pelbagai cara boleh dilakukan antaranya kaedah pembelajaran di luar bilik darjah atau menggunakan bahan-bahan terpakai dan semula jadi untuk memudahkan pelajar faham.

"Saya akan sahut cabaran untuk bertugas di mana-mana sahaja termasuk di kawasan luar bandar. Inilah peluang untuk menimba pengalaman, tidak semua diberikan peluang keemasan sebegitu." IPGM medan persiapkan bakal guru Apa kata bakal guru Kursus-kursus yang diikuti di IPG banyak membentuk keperibadian bakal-bakal guru.

"Kami diberi suntikan motivasi, dilatih supaya bersedia daripada segi mental dan fizikal sebelum menyertai dunia perguruan sebenar.

Saya merasa sangat beruntung kerana berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang yang menjadi cita-cita saya sejak kecil lagi.

Segala ilmu yang diperoleh di sini menjadikan warga pendidik seorang yang berfikiran inovatif dan kreatif selain mempunyai jiwa yang lembut tetapi pada masa sama bersikap tegas ketika menggalas peranan agenda transformasi pendidikan negara.

"Kursus-kursus yang kami ikuti sepanjang menjadi pelajar di institut ini sedikit sebanyak berjaya membentuk keperibadian kami untuk memasuki persediaan ke alam perguruan sebenar."

Sulaiman Ali Bakal guru Utusan/Pendidikan/20140616

Bentuk keperibadian guru berjaya

Kursus-kursus yang diikuti di IPG banyak membentuk keperibadian bakal-bakal guru.

"Kami diberi suntikan motivasi, dilatih supaya bersedia daripada segi mental dan fizikal sebelum menyertai dunia perguruan sebenar.

Saya merasa sangat beruntung kerana berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang yang menjadi cita-cita saya sejak kecil lagi.

Segala ilmu yang diperoleh di sini menjadikan warga pendidik seorang yang berfikiran inovatif dan kreatif selain mempunyai jiwa yang lembut tetapi pada masa sama bersikap tegas ketika menggalas peranan agenda transformasi pendidikan negara.

"Kursus-kursus yang kami ikuti sepanjang menjadi pelajar di institut ini sedikit sebanyak berjaya membentuk keperibadian kami untuk memasuki persediaan ke alam perguruan sebenar."

Nurul Syamimi Azizan Pelajar semester tiga Pengkhususan Bahasa Inggeris IPG KIK, Cheras Utusan/Pendidikan/20140616