June 19th, 2014

Henti draf akta keharmonian

NUCC kena sedia Kertas Putih, perjelas sebab undang-undang baharu perlu digubal

Pada 6 Jun lalu, saya menghadiri majlis konsultasi Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC). NUCC harus dipuji kerana komitmennya untuk mendapatkan pandangan rakyat. Amanah dan harapan yang diberikan kepadanya amat penting dan besar.

Namun, satu daripada jawatankuasa NUCC melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan usaha majlis itu ditolak rakyat, iaitu membentangkan tiga draf undang-undang baharu tanpa menjelaskan terlebih dahulu mengenai visi, matlamat dan perancangan mereka. Tanpa memberikan latar belakang, dengan tidak semena-mena jawatankuasa ini menerbitkan draf tiga akta berkenaan.

Pada konsultasi itu, saya menggesa agar proses menyediakan draf akta itu diberhentikan. Saya meminta NUCC menyediakan terlebih dahulu Kertas Putih untuk memberikan gambaran apa yang mereka sedang usahakan.

NUCC mengeluarkan kenyataan pada 9 Jun 2014 yang antaranya turut menjawab cadangan saya. Ia menyatakan penyediaan Kertas Putih adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan bukan amalan biasa di negara ini. Namun, NUCC bersetuju menyediakan kertas yang akan menjelaskan sebab undang-undang baharu itu diperlukan dan bagaimana ia akan menyumbang ke arah pengukuhan keharmonian sosial.

Alasan bukan amalan kebiasaan

Tindakan NUCC memberikan alasan Kertas Putih bukan kebiasaan di negara ini adalah dikesali. Ramai ahlinya adalah daripada masyarakat sivil yang banyak memberi pandangan berkaitan penambahbaikan proses tadbir urus negara. Mereka seharusnya merebut peluang yang amat jarang ini untuk mempraktikkan apa yang mereka tuntut.


Seharusnya mereka mencipta contoh terbaik untuk pembuat dasar lain, bukannya menjadikan amalan biasa sebagai helah untuk tidak berubah. Seharusnya merekalah yang menasihatkan Perdana Menteri dan menyediakan draf Kertas Putih untuk diterbitkan terlebih dahulu, bukan mencuci tangan begitu sahaja.

NUCC adalah usaha murni Perdana Menteri untuk mencapai hasrat melahirkan Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Ia selaras dengan Rukun Negara dan juga yang dicita-citakan dalam Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, yang mana masyarakat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan agama dalam keadaan semuanya meletakkan kesetiaan penuh kepada negara.

Malangnya, tatkala NUCC diwujudkan untuk memberi nasihat kepada Perdana Menteri bagaimana untuk mencapai semua visi murni itu, mereka menghadapi tentangan sejak mula ditubuhkan.

Ada pertubuhan Melayu Islam yang ragu dengan niat sebenar NUCC. Mereka mendakwa hasil kerja NUCC nanti akan mencabar kedudukan orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan pandangan agak keras. Menurut beliau, tiga draf undang-undang dicadangkan itu tidak akan menghasilkan kesaksamaan atau keadilan.

Kritikan itu tidaklah mengejutkan. Sebenarnya semuanya memang boleh dijangka. Sejak awal penubuhan NUCC, anak Dr Mahathir, Datin Paduka Marina, mengatakan NUCC perlu memahami cabaran paling besar mereka ialah defisit kepercayaan rakyat. Defisit kepercayaan inilah yang membawa kepada kritikan terhadap NUCC.

Marina, seorang daripada ahli NUCC turut mengatakan, untuk berjaya NUCC perlu inovatif dan proaktif. Malangnya, jawatankuasa yang menyediakan tiga draf undang-undang itu tidak menghiraukan pandangan itu dan mengekalkan cara kerja lapuk. Mereka tergesa-gesa dan gagal merancang dengan teliti cara mengecilkan defisit kepercayaan rakyat terhadap mereka terlebih dahulu.

Rakyat berasa sangsi

Akibat kegelojohan jawatankuasa kecil ini, NUCC keseluruhannya ditolak oleh akar umbi yang mana kebanyakannya kerana rakyat tidak tahu apa sebenarnya wawasan NUCC dan di mana letaknya akta baharu ini dalam kerangka kerja NUCC. Kesangsian yang wujud menyebabkan amanah diberikan kepada NUCC oleh Perdana Menteri menjadi lebih sukar untuk dipenuhi jika tidak diperbaiki.

Perlu disebutkan tidak ada jaminan akta baharu akan memperbaiki keadaan. Malah, mengikut penyelidikan Pusat Kajian Berkley Mengenai Agama, Keamanan dan Hal Ehwal Antarabangsa yang berpusat di Georgetown University, Amerika Syarikat, ada kalanya undang-undang boleh menyebabkan keharmonian nasional menjadi lebih tergugat.

Maka NUCC perlu menjelaskan kajian manakah yang mereka rujuk sehingga mahu memperkenalkan bukan satu, tetapi tiga akta baharu. Jawatankuasa ini perlu bertanggungjawab. Mereka perlu meminta maaf atas kesilapan besar ini agar kredibiliti NUCC tidak terus tergugat. Mereka perlu menarik balik draf undang-undang berkenaan dan memperbaiki kaedah kerja.

NUCC perlu mendrafkan dahulu Kertas Putih yang menggariskan gambaran besar keharmonian nasional yang mereka mahu usahakan. Penerangan perlu diberikan dan memasukkan hasil perbincangan empat jawatankuasa lain dalam NUCC. Mereka perlu menjelaskan jika ada undang-undang baharu yang perlu diperkenalkan dan kenapa ia boleh membantu meningkatkan keharmonian. Langkah lain juga perlu diterangkan agar rakyat memahami cadangan NUCC secara holistik.

Setelah itu barulah rakyat boleh memberikan pandangan lebih jitu. Tanpa maklumat penuh, semua komen yang diberikan adalah bersifat teoretikal.

Jika NUCC tidak mahu menerbitkan Kertas Putih, panggillah ia dengan apa-apa nama yang sesuai sekali pun. Yang penting rakyat perlu mendapat satu dokumen yang menggariskan latar belakang dan gambaran penuh idea yang mahu dibawa oleh NUCC. Jangan biarkan kesilapan ini merosakkan agenda kesatuan nasional yang lebih besar.


Wan Saiful Wan Jan Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Berita Harian Rencana 2014/06/19 - 00:28:44 AM

Isu-Isu Akhbar Cina ~ PKR dan Kewarganegaraan

PAKATAN RAKYAT HILANG ARAH

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 13 Jun 2014 menyiarkan artikel kelangsungan politik Pakatan Rakyat berikutan kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.

Artikel bertajuk ‘Ke manakah hala tuju Pakatan Rakyat?’ yang ditulis Ketua Fakulti Budaya Hakka, Universiti Perguruan Kao Shiong Taiwan, Lee Liang Shi disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Kegagalan DAP mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan setelah kalah tipis kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRK pada 31 Mei lalu mendedahkan kepincangan Pakatan Rakyat sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Antaranya, persoalan menjurus sekiranya kekalahan itu akibat penyokong Pakatan Rakyat yang telah mula kembali kepada BN? Adakah ia petanda gelombang ‘Ubah’ diumumkan Pakatan Rakyat pada 5 Mei 2013 makin lemah?

Tidak dinafikan kebenaran segelintir pengundi kembali menyokong BN selain dikatakan nisbah pengundi khususnya dalam kalangan penyokong DAP yang menurun dan jika tidak, pastinya DAP dapat mengatasi undi BN yang menang tipis.

Peralihan sokongan itu dipercayai kerana rakyat sudah kecewa dengan konflik dalaman Pakatan Rakyat yang dilihat tidak berkesudahan, malah semakin menampakkan perpecahan terutama antara Pas dan DAP.

Antara isu yang dikatakan menyumbang kepada kekalahan itu ialah pertelagahan Pakatan Rakyat yang berlaku di negeri Selangor serta perbezaan pendapat berhubung cadangan pelaksanaan hudud Pas yang ditentang DAP.

Lebih memburukkan keadaan, UMNO mengambil kesempatan itu untuk berpihak kepada Pas (dalam isu hudud) dan ternyata taktik itu memecahbelahkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan mereka hilang punca dan langkah.

Sejak tsunami politik Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, semangat Pakatan Rakyat dilihat berkobar-kobar apatah lagi laungan ‘Ubah’ kerajaan pada PRU 2013 mendapat sokongan rakyat yang yakin mereka dapat menggantikan kerajaan BN.

Pada hemat penulis, keadaan politik pada masa itu tidak memungkinkan Pakatan Rakyat melepasi struktur kumpulan politik BN apatah lagi parti komponen itu menguasai tiket undi dan penyokong dari Sabah dan Sarawak.

Hakikatnya, bukan mudah untuk tumbangkan tiket ‘deposit’ BN yang begitu kukuh di Sabah dan Sarawak dan Pakatan Rakyat dilihat hanya boleh meraih 89 kerusi berbanding 95 kerusi, iaitu had paling maksimum mampu diperoleh mereka.

Penulis juga membayangkan, BN berkemungkinan besar dapat menguasai majoriti 2/3 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang sekiranya Pakatan Rakyat tidak bertindak sesuatu untuk memulihkan pergolakan dalaman mereka.

BN pula kata penulis, jika mahu mengekalkan kuasa perlu bekerja keras memulihkan ekonomi negara sekali gus memberi kemakmuran kepada rakyat, justeru tidak ada sebab suara Pakatan Rakyat terus relevan di negara ini.

PEMUDA UGUT LEPAS KEWARGANEGARAAN

ARTIKEL mengenai hasrat seorang pemuda anak kacukan untuk menukar nama Islamnya yang masih tidak kesampaian disiarkan dalam akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 10 Jun 2014.

Artikel bertajuk ‘Tidak terima jadi status beragama Islam’ itu disiarkan di muka hadapan akhbar berkenaan.

Dalam temuramah di Pulau Pinang pada 9 Jun lalu, pemuda bernama John menyatakan kekecewaan kerana permohonan untuk menukar nama Islamnya dalam kad pengenalan tidak dilayani Jabatan Pendaftaran.

Malah, kenyataan berbaur ugutan turut dinyatakan kepada wakil akhbar berkenaan bahawa dia akan melepaskan kewarganegaraan Malaysia sekiranya permohonan yang dibuat sekali lagi masih gagal!

Menyelami dilema, John, 32, mendakwa Pejabat Pendaftaran Pulau Pinang telah melakukan kesilapan apabila dia terpaksa menanggung beban menggunakan nama Melayu selama lebih 20 tahun lalu.

Berdasarkan dokumen, John, ketika memohon Mykad pada usia 12 tahun telah didaftarkan atas nama Johann Lim Noordin, namun telah diubah kepada Johann Lim Noordin Bin Billy Noordin oleh pejabat pendaftaran berkenaan.

Perubahan itu dibuat berdasarkan pertimbangan pihak berkenaan bahawa rupa John tidak seperti Cina selain nama bapanya ialah Billy Noordin.

Memandangkan dirinya bukan beragama Islam, John tidak sanggup melalui proses pertukaran status dokumennya diputuskan oleh Mahkamah Syariah, setidak-tidaknya itulah prasyarat akhir ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran.

Apa yang dikesali John, dia sama sekali tidak faham kenapa harus menanggung beban akibat kesalahan Jabatan Pendaftaran dan perlu berhadapan dengan kesukaran mendapatkan kelulusan daripada Mahkamah Syariah pula.

Lebih merisaukannya, dokumen sebelum ini juga membuktikan Mahkamah Syariah Pulau Pinang belum pernah ada rekod mahu melepaskan permohonan menggugurkan status agama Islam setakat ini.

Dalam usaha mendapatkan maklumat dari pihak Pejabat Pendaftaran di Pulau Pinang, wartawan Nanyang Siang Pau mendapati kes John itu telahpun dibawa ke Pejabat Pendaftaran Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.

Isu berkenaan kini semakin hangat diperkatakan dalam laman sesawang sekali gus tersebar di seluruh dunia. Keadaan ini telah menyebabkan sesetengah pengguna Internet menyalahtafsirkan perkara tersebut.

Sebahagian besar mereka telah mempertikaikan sikap tidak bertanggungjawab pejabat pendaftaran itu yang seolah-olah melepaskan tengkuk dan menyerahkan kesilapan mereka kepada Mahkamah Syariah.

Salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Alvin pula menyeru semua pengguna Internet agar menyebarkan kepincangan sistem birokrasi kerajaan Malaysia sekiranya isu John masih tidak diselesaikan dengan baik.   Utusan/Rencana/20140619

Kerjasama dinamik SPRM perangi rasuah

LAPORAN Penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC) ke atas Malaysia berhubung pematuhan Konvensyen PBB Bagi Pencegahan Rasuah (UNCAC), antara lain mengiktiraf kerjasama dan sumbangan yang diberikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam.

Ia salah satu daripada 23 kejayaan dan amalan baik Malaysia dalam usaha mencegah rasuah diiktiraf oleh UNODC.  

Laporan itu, yang dikeluarkan oleh UNODC pada Mei 2013, menyebut bahawa "penggunaan (pendekatan) siasatan bersama dan kumpulan kerja operasi bersama Brunei Darussalam merupakan contoh kerjasama penguatkuasaan undang-undang di kalangan negara (di kedua-dua) peringkat dasar dan operasi." Kandungan laporan itu dibentangkan kepada umum di Kuala Lumpur awal tahun ini.

Selain itu, laporan UNODC juga memuji kejayaan dan amalan baik Malaysia dalam melaksanakan Bab IV UNCAC di mana negara anggota bertanggungjawab untuk membantu negara lain dalam setiap usaha mencegah rasuah termasuk pencegahan, penyiasatan dan pendakwaan.

Selain Brunei, SPRM telah membentuk kerjasama dua hala dengan ICAC Hong Kong, Indonesia, Mesir, Kyrgyzstan, Thailand, Vietnam, Ghana dan Austria, selain peringkat agensi iaitu Interpol dan Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA).

Di sebalik pengiktirafan agensi antarabangsa ini, Malaysia dan Brunei bertemu di ibu negara selama dua hari mulai hari ini bagi menghalusi usaha bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala memerangi rasuah. Pertemuan kali ini merupakan Mesyuarat Bilateral Kali Ke-10 membabitkan SPRM dan BMR dan yang pertama sejak laporan UNODC diumumkan kepada umum di Kuala Lumpur.

Kedua-dua SPRM dan BMR mengadakan Mesyuarat Tahunan Kerjasama Dua Hala yang pertama pada Julai 2002. Ketika itu, SPRM dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR). Pada mesyuarat tersebut, kedua-dua agensi ini telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang siasatan, perisikan, perundangan, pencegahan, pemeriksaan dan perundingan, serta latihan.

SPRM dan BMR mengorak langkah itu, lebih sedekad yang lalu, atas dasar bahawa sebarang perancangan dan pelaksanaan agenda integriti nasional dan usaha serta gerakan pencegahan dan pembanterasan jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa merupakan gagasan penting ke arah memartabatkan negara bangsa yang mulia dan berdaya saing.

Kedua-dua agensi ini juga berpegang bahawa penguatkuasaan dan pelaksanaan operasi dalam gerakan pencegahan dan pembanterasan rasuah memerlukan penggemblengan daya dan usaha semua pihak. Ia melangkaui sempadan dan batas antarabangsa. Ini merupakan prasyarat dan landasan yang kukuh untuk negara memperkukuh kekuatan dalaman dengan sokongan dan dukungan rakan-rakan agensi penguat kuasa pencegah rasuah di peringkat antarabangsa.

Malah, atas kefahaman, kesedaran dan keinsafan ini, gerakan memperkukuh jaringan kerja bersama agensi penguat kuasa pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa dibentuk dan diperkukuhkan.

SPRM dan BMR juga berpendirian bahawa sebarang rintangan dan apa jua halangan yang mungkin dihadapi atau dilalui antara dua negara dalam aspek penguatkuasaan dan operasi pencegahan rasuah diselesaikan melalui rundingan dan kerjasama dua hala.

Kerjasama erat yang dijalin antara SPRM dan BMR telah memberi satu bentuk keberhasilan gabungan merentasi sempadan negara.

Batasan persempadanan dirungkaikan dalam menentukan penguatkuasaan dan menentukan rancangan dan rangsangan pelaksanaannya.

Laporan Khas 10 Tahun yang dikeluarkan pada 2012 menekankan bahawa jalinan kerjasama yang amat baik di peringkat dasar dan pelaksanaan operasi SPRM-BMR telah berjaya memecah tembok persempadanan dan lebih penting, mempermudah haluan kerja, menyelesaikan keterbatasan akibat kuasa-kuasa perundangan, di samping mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan.

Malah laporan itu menyebut bahawa "natijah keberkesanan hubungan kerjasama dua hala ini terpancar dengan keberhasilan output dan impak, khususnya dalam aspek operasi iaitu siasatan dan perisikan."

Pembentukan Mesyuarat Bilateral Antara SPRM-BMR Brunei, yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah BMR, memperlihatkan komitmen dan azam serta iltizam kedua-dua agensi. Ini disusuli dengan penubuhan Mesyuarat Pasukan Kerja yang dipengerusikan bersama oleh Pengarah Bahagian Siasatan SPRM dan Ketua Bahagian Penyiasatan BMR Brunei.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena mesyuarat dua hala tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, rangkaian kerjasama telah diguna sepenuhnya bagi membincangkan perkongsian kaedah penyiasatan dan transformasi positif ke arah memantapkan keupayaan agensi-agensi pencegahan rasuah terutama sekali yang melibatkan jenayah merentas sempadan.

"Pelaksanaan penyiasatan secara usahasama dan satu kumpulan kerja operasi antara BMR dan SPRM merupakan satu contoh baik bagaimana kerjasama penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan peringkat polisi antara dua negara ini dilaksanakan," kata beliau.

Dalam kenyataan itu, Pengarah BMR, Datuk Muhammad Juanda A Rashid telah melahirkan penghargaan kepada SPRM kerana membantu dalam aspek operasi dan latihan secara berterusan kepada pegawai-pegawainya.

Tahun lalu, SPRM juga berkongsi pengalaman tentang program transformasi yang sedang giat dijalankan ke arah menjayakan inisiatif pencegahan rasuah yang kolektif dan dinamik. Selain itu, soal peluang-peluang latihan, penempatan pegawai-pegawai SPRM dan BMR untuk mendalami usaha penguatkuasaan undang-undang, pencegahan dan pendidikan antirasuah akan dapat diteruskan di masa-masa akan datang dalam bidang-bidang khusus bagi meningkatkan kapasiti pegawai-pegawai kedua-dua agensi pencegahan rasuah juga dibincangkan.

Apa yang penting dan signifikan ialah pewujudan dua mekanisme dan terma rujukan khusus dalam hubungan kerjasama di peringkat dasar dan operasi, yang membolehkan perancangan teliti dan penentuan pelaksanaan dijayakan dan dipantau.

Rancangan kerja yang dibentuk dan dilaksanakan khususnya dalam bidang penyiasatan, perisikan berserta dengan aspek latihan, membolehkan kedua-dua SPRM dan BMR memanfaatkan perkongsian maklumat, pengalaman, kerjasama dalam aspek siasatan dan perisikan serta kajian kes.

Kerjasama SPRM dan BMR ini harus dilihat dari sudut yang lebih besar. SPRM juga telah mewujudkan kerjasama erat secara langsung dan tidak langsung dengan negara-negara anggota ASEAN.

ASEAN Political-Security Community Blueprint yang dikeluarkan menjelang kelahiran Komuniti ASEAN 2015 juga menggalakkan negara-negara yang memeterai UNCAC agar meratifikasikan konvensyen tersebut dan mempromosikan amalan-amalan baik, mengadakan perkongsian idea dan menganalisis isu-isu yang berhubung kait dengan nilai, etika dan integriti menerusi ruang-ruang yang sesuai dan relevan.

Sejak 2003, jalinan kerjasama kedua-dua SPRM dan BMR telah membawa kepada sekitar 100 bantuan yang memanfaatkan kedua-dua Malaysia dan Brunei. Manfaat ini sudah pasti akan membawa impak menyeluruh merentasi sempadan rantau lain memandangkan lebih banyak negara menunjukkan minat ke arah pembentukan kerjasama dua hala. Yang terbaru ialah Austria, yang menandatangani memorandum persefahaman dengan SPRM di Kuala Lumpur bulan lalu.

* DR. G. MANIMARAN kini berkhidmat sebagai tenaga pakar komunikasi strategik SPRM Utusan/Rencana/20140619

Terasa berada di negara dunia ketiga

AMAT mengecewakan melihat kerajaan sekarang tidak ambil berat isu lambakan pekerja asing dan PATI walhal perkara ini sering disuarakan rakyat melalui pelbagai medium termasuk komen SMS dalam akhbar dan di laman sosial.

Malaysia yang sekarang bukan sama seperti era Tun Dr. Mahathir. Pada zaman Dr. Mahathir, projek pembangunan juga hebat dengan pelbagai projek mega tetapi jumlah pekerja asing masih terkawal.

Tetapi sekarang hendak berjalan-jalan di Kuala Lumpur pada hujung minggu pun terasa seperti berada di negara dunia ketiga dengan ribuan warga asing berkumpul di sana sini.

Bukan sahaja Kuala Lumpur malah bandar-bandar lain seperti Klang, Cameron Highlands, Batu Pahat, Ipoh dan lain-lain turut mengalami situasi yang sama.

Memanglah pekerja asing penting demi pertumbuhan ekonomi negara tetapi kerajaan tidak sedarkah ramai di antara mereka ini membuat negara ini seperti milik mereka?

Jika kita lihat sekarang, warga asing bukan sahaja diambil bekerja untuk jenis pekerjaan yang berat, kotor dan susah malah sektor lain seperti di pasar raya, hotel dan restoran juga lebih mengutamakan pekerja asing berbanding rakyat tempatan.

Tetapi kerajaan seperti biasa ghairah mengejar angka pertumbuhan tinggi tanpa memikirkan perasaan dan kebajikan rakyat sendiri yang terpaksa hidup bersama-sama dengan warga asing di kawasan perumahan, berkongsi sistem pengangkutan awam dan bersaing dengan mereka dalam dunia pekerjaan.

Utusan/Forum/20140619

Laporan Audit: Tidak adil salahkan kerajaan

LAPORAN Audit datang lagi. Seper­ti biasa dan akan menjadi kebiasaan sampai bila-bila adalah pembaziran, wasangka rasuah, salah guna kuasa, wasangka gagal menjalankan tugas dengan amanah serta kegagalan menunaikan tanggungjawab secara jujur menjadi kemestian setiap kali laporan audit dibentangkan.

Malangnya, kelemahan ini tidak akan dapat dikenal pasti kerana kega­galan kita mengenal pasti masalah. Kalau sudah masalah tidak dapat dikenal pasti, bagaimana boleh diselesaikan jauh sekali diperbaiki.

Menjadi kebiasaan rakyat Malaysia termasuk yang beragama Islam akan menuduh dan menuding pada Barisan Nasional, UMNO, Perdana Menteri, menteri malahan mantan Perdana Menteri yang sudah lama bersara juga pun diheret sama. Diri sendiri sahaja betul orang lain salah.

Untuk rekod, sejumlah 1.4 juta rakyat Malaysia yang 90 peratus orang Islam merupakan penjawat awam yang bersama-sama bertanggungjawab dalam ketirisan perjalanan operasi kerajaan termasuk belanjawannya.

Tidak adil untuk menyalahkan parti pemerintah kerana majoriti penjawat awam juga merupakan penyokong kepada pembangkang. Seramai 4,402 pengundi Putrajaya yang 90 peratus bekerja dengan kerajaan mengundi calon luar Husam Musa daripada Pas.

Bilangan kakitangan awam seluruh Malaysia termasuk polis, tentera malahan GLC seperti TNB, Tele­kom juga ramai yang menyokong pembangkang. Jelaslah, jika permainan tuding menuding diadakan dalam pembaziran wang kerajaan ini, maka pemenangnya adalah pengadil sama seperti kisah tinju dalam filem Labu Labi.

Sebagai umat Muhammad SAW yang baik, haruslah kita berhenti menuding jari dan muhasabah diri apatah lagi sebagai penjawat awam yang menerima gaji dari duit pembayar cukai. Jika kita adalah pembuat keputusan ingatlah Allah Maha Melihat dan waima kita hanya kuli yang mengikut arahan, kita juga mampu melakukan perubahan.

Hentikan guna kertas kerajaan, mesin cetak dan photostat kerajaan untuk tujuan peribadi, hentikan masa minum luar masa kerja, jangan curi tulang, jangan bawa kertas kerajaan balik, kurangkan jamuan mesyuarat, ganti masa yang diambil untuk solat fardu zohor dan asar dengan balik 20 minit lewat, peganglah amanah, laksanakan tugas dengan jujur dan berserah pada-Nya dan paling penting, takutlah pada Allah seolah-olah Tuhan berada di sebelah kita sepanjang masa.

Insya-Allah dengan berhenti menyalahkan orang lain, mencari salah diri sendiri dan perbaikinya, umat Islam atau hampir 1.4 juta penjawat awam mampu merubah laporan audit akan datang lebih lagi dapat menaikkan imej agama Islam sebagai agama paling suci. Jom Ubah, Jom Jihad!

Mustaqim Abdul Rahman Utusan/Forum/20140619

Memahami tindakan Ketua Polis Negara

SELAIN daripada bertekak pasukan manakah yang bakal menjuarai Piala Dunia, penulis lebih tertarik dengan isu Deepa lawan Izuan Abdullah iaitu kes tentang soal hak penjagaan anak yang membabitkan keputusan berbeza antara mahkamah syariah dan sivil.

Isu ini terus menjadi perbualan antara kami walaupun aksi bola sepak Piala Dunia begitu sengit di televisyen.

Dan pastinya persoalan yang dibincangkan ialah pihak manakah yang mempunyai kuasa memutuskan hak penjagaan anak? Mahkamah syariah atau sivil?

Dan adakah mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berkenaan untuk si isteri yang bukan Islam apabila si suami telah memeluk Islam?

Dan bagaimana pula dengan status dan pertukaran pertukaran agama kanak-kanak tersebut. Adakah ia sah dan mengikut undang-undang?

Ini adalah persoalan yang biasa kita bincangkan apabila kes seperti ini berlaku.

Kes ini terus menarik perhatian ramai apabila ada pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang terus mempertahankan tindakan dan kenyataannya bahawa polis akan menempatkan anak-anak dalam kes hak penjagaan membabitkan mahkamah syariah dan sivil, di pusat penjagaan.

Khalid berkata polis mengambil jalan tengah dalam soal hak penjagaan anak yang membabitkan keputusan berbeza mahkamah syariah dan sivil, tanpa menguatkuasakan perintah mana-mana mahkamah.

Ramai di antara kami yang berpendapat ini adalah langkah yang adil dan perlu dilaksanakan walaupun boleh dipertikaikan dari segi perintah yang sudah dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Itu sebabnya bagi yang tidak bersetuju dengan tindakan KPN telah mendakwa KPN tidak menghormati undang-undang yang diperintahkan oleh mahkamah.

Apa yang pasti, kes ini mengundang semula satu isu tentang perundangan syariah yang sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama yang melibatkan pertindihan bidang kuasa dengan mahkamah sivil.

Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan setakat mana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di negeri-negeri Melayu. Perkara ini cukup jelas yang mana telah memberikan kuasa kepada negeri untuk menjalankan pentadbiran undang-undang Islam.

Itu sebabnya kita perlu merujuk pada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada mahkamah syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam. Prinsip yang terkandung dalam Perkara 121(1A) merupakan salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah dalam negara. Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan ini juga secara dasarnya telah meletakkan kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil.

Selain itu, kita juga perlu meneliti Perkara 12(4) perlembagaan Persekutuan yang juga memperuntukkan agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Mahkamah Tinggi (Sivil) Seremban mengeluarkan perintah hak jagaan pada 7 April lalu sedangkan Mahkamah Syariah Seremban sudah pun mengeluarkan perintah sama pada 19 Mac tahun lalu dan perlu diingatkan bahawa perintah itu tidak pernah dibatalkan.

Bahkan ada antara kami berpendapat keputusan itu seperti tidak menghormati bidang kuasa mahkamah syariah serta menafikan keistimewaan mahkamah syariah dalam membicarakan kes yang tidak boleh dicabar oleh mahkamah sivil.

Namun, tindakan yang dilakukan plaintif disebabkan Senarai 2(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang yang menganut agama Islam dan ini memberi peluang yang kes ini juga boleh diputuskan oleh mahkamah sivil?

Dan kita akan berbalik kepada persoalan asas, iaitu bagaimana pula dengan status si suami yang sudah memeluk agama Islam? Bukankah orang yang sudah menganut agama Islam tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah juga?

Bagaimana pula dengan pindaan Perenggan 1A dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Di sinilah terdapatnya garis pemisah antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Daripada pemahaman kami, Perenggan 1A ini menjelaskan bahawa mahkamah sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Dengan itu, peruntukan ini telah mengeluarkan mahkamah syariah dari kekuasaan mahkamah sivil.

Perlu diingatkan bahawa sebelum pindaan itu terdapat beberapa kes yang mana setelah mahkamah syariah membuat keputusan, pihak yang kalah akan memohon kepada mahkamah sivil untuk membuat keputusan sebaliknya, khasnya dalam kes penjagaan anak.

Itu sebabnya ada beberapa kes yang mana kedua-dua mahkamah mengeluarkan keputusan berbeza. Jadi, pindaan pada Perenggan 1A ini dibuat bertujuan untuk mewujudkan kata sepakat supaya keputusan kedua-dua mahkamah dihormati.

Namun, apa yang berlaku dalam kes Deepa lawan Izuan Abdullah adalah sebaliknya.

Saya yakin kes Deepa lawan Izuan Abdullah bukanlah kes terakhir tentang isu penjagaan anak oleh ibu bapa berbeza agama. Saya pernah terbaca, terdapat lebih daripada 40 kes yang pernah dibicarakan yang melibatkan bidang kuasa antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Saya juga tertarik dengan saranan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Siti Zubaidah Ismail yang menegaskan bahawa sudah sampai masanya pihak kerajaan menimbang keperluan penggabungan mahkamah sivil dan mahkamah syariah bagi kes tertentu melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Menurut beliau, pendekatan yang boleh diambil ialah dengan menggunakan kaedah mediasi dan mahkamah syariah juga perlu bersedia untuk menghadapi cabaran penggabungan kepakaran bagi merealisasikan keadilan kepada pihak yang memohon.

Cadangan itu membawa kita kepada kemungkinan pembentukan sebuah mahkamah khas yang mengendalikan kes yang tertakluk kepada mahkamah syariah dan sebahagian lagi kepada mahkamah sivil.

Dan mahkamah khas ini mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan kes-kes seperti Deepa lawan Izuan Abdullah.

Mungkin apa yang dicadangkan oleh Dr. Siti Zubaidah Ismail tentang penggabungan dua mahkamah itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana pensyarah kanan itu juga menegaskan yang idea ini pernah diutarakan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Dan jika saya tidak silap Tokoh Undang-Undang negara, Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim juga pernah mencadangkan percantuman beberapa bahagian khusus antara mahkamah syariah dan sivil.

Sudah sampai masanya jalan penyelesaian yang muktamad diambil agar kita tidak terus dibelenggu dengan masalah seperti ini. Walaupun kita berhadapan dengan suatu masalah yang sangat serius, namun masih terdapat jalan penyelesaian melalui rundingan.

Shahbudin EmbunKuala Lumpur Utusan/Forum/20140619

Malaysia gagal lagi masuk senarai 100 universiti awam terbaik Asia

Kejatuhan Malaysia dalam ranking universiti awam global berterusan, kali ini dalam Times Higher Education Asia University 2014 yang dikeluarkan hari ini di mana tiada universiti tempatan masuk dalam senarai 100 terbaik.

Lima universiti yang masuk dalam senarai 10 universiti Asia terbaik adalah – Jepun, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan China. India meningkat kedudukannya apabila 10 daripada institusinya masuk dalam senarai 100 terbaik berbanding hanya tiga tahun lalu.

Negara timur tengah seperti Iran, Israel, Lubnan, Arab Saudi dan Turki turut tersenarai.

Thailand turut berjaya, “tetapi tiada tempat bagi Malaysia”, yang dianggap oleh Times Higher Education sebagai negara Asia Tenggara yang mempunyai industri pengajian tinggi besar.

Universiti Kebangsaan Malaysia yang berada di tempat 87 tahun lalu terkeluar dalam senarai tahun ini.

Universiti Tokyo menjadi universiti Asia terbaik diikuti oleh Universiti Kebangsaan Singapura.

Universiti Hong Kong, Universiti Kebangsaan Seoul dan China Peking Universiti berada di tempat ketiga, keempat dan kelima.

Thailand mempunyai dua universiti yang masuk dalam senarai iaitu King Mongkut’s University of Technology, Thonburi yang naik lima anak tangga dan berada di kedudukan ke-50 dan Universiti Mahidol – jatuh 21 anak tangga ke tempat 82.

Singapura juga mempunyai dua universiti yang masuk dalam senarai iaitu NUS di tempat kedua dan Nanyang Technological Universiti di tempat ke-11.

Hong Kong dinamakan sebagai bintang oleh THE kerana walaupun bersaiz kecil tetapi mempunyai enam universiti dalam senarai 50 terbaik.

Pada April, universiti awam Malaysia turut gagal tersenarai dalam 100 universiti terbaik Times Higher Education bagi universiti di bawah 50 tahun.

Empat universiti Asia yang berjaya masuk dalam senarai 10 universiti “muda” terbaik dunia termasuk Pohang University of Science and Technology Korea Selatan yang mendapat tempat teratas, Hong Kong University of Science and Technology (4) dan Nanyang Technological University, Singapore (5).

Malaysia gagal untuk tersenarai bagi tahun kedua. Dalam ranking pertama pada 2012, Universiti Kebangsaan Malaysia berada di tempat ke-98.

Malaysia turut gagal tersenarai dalam ranking Reputasi Dunia Times Higher Education – yang dikeluarkan pada Mac, berada di belakang negara Asia Tenggara lain.

Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan kemerosotan kedudukan universiti awam di Malaysia bukan menggambarkan keseluruhan pencapaian universiti sebaliknya proses pembelajaran perlu diutamakan.

Menteri pendidikan II itu berkata, universiti awam di Malaysia masih dalam lingkungan usia yang muda dan pencapaian ditetapkan perlu berada pada tahap realistik.

"Ranking tidak menggambarkan segalanya tetapi kita boleh tingkatkan. Kita perlu realistik dalam mencapai kedudukan,” katanya.

Kegagalan demi kegagalan ini menyebabkan pihak pembangkang mengkritik kerajaan.

Kementerian Pendidikan menerima RM38.7 bilion pada 2013 dan ditingkatkan kepada RM54 bilion tahun ini, bajet terbesar yang pernah diterima dalam sejarah kementerian itu. – The Malaysian Insider 19 Jun, 2014.

Man discovers cheating wife, thanks to World Cup

ALOR STAR: A man's wish to watch the FIFA World Cup match between Brazil and Mexico at home in Jalan Langgar early today turned into a bloody affair when he found his wife naked with a youth in their bedroom.

In a fit of anger, the 28-year-old fried kue teow seller grabbed a parang and attacked his 32-year-old wife and the 19-year-old stall helper in the 2am incident.

It was learnt that the man had literally caught the duo with their pants down when he returned home earlier than usual.

The man had apparently extended his business hours up to 4am since the World Cup tournament started last Friday and he was not expected to return home when the youth sneaked into the house to be with the wife.

A source said the man's wife suffered serious slash wounds on her thigh while the youth almost had his left hand severed.

"Both have been admitted to the Sultanah Bahiyah Hospital while the suspect had turned himself to the police after the incident."

Kota Star police chief Assistant Commissioner Adzaman Md Jan confirmed the incident and said police had classified the case under Section 326 of Penal Code for causing grievous hurt.

Police obtained a week-long remand order against the suspect beginning today.   New Straits Times By Adie Suri Zulkefli

Perjalanan masih jauh

Putrajaya: “Biarpun beberapa kejayaan awal sudah dicapai bagi tahun pertama pelaksanaan PPPM, namun warga kementerian diingatkan supaya tidak leka atau berpuas hati,” kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Laporan Tahunan 2013 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1) di sini, semalam.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk berpuas hati dengan pencapaian itu kerana banyak cabaran khusus perlu ditangani terutama bagi merapatkan jurang pencapaian murid dan prestasi sekolah bandar dan luar bandar.

FotoFlexer_Photo_inisiatif_pppm

“Selain daripada jurang pencapaian, masih wujud jurang digital; status sosial ekonomi antara kaum dan jurang lokasi yang perlu diatasi supaya hasrat PPPM untuk memperluaskan akses; memperkukuhkan perpaduan; meningkatkan ekuiti; kualiti dan keberkesanan sistem pendidikan negara dapat dicapai. “Melangkah ke 2014, kementerian akan meneruskan lagi usaha bagi mencapai aspirasi seperti ditetap dan dihasratkan dalam PPPM seperti peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru dan murid,” katanya.

Muhyiddin berkata, tahun ini juga kementerian meletakkan sasaran 100 peratus pengetua dan guru besar yang berpotensi tinggi untuk mengisi kekosongan jawatan dengan menggunakan syarat baru dan sasaran pencapaian 31 peratus sekolah berada dalam Band 1 dan 2.

Beliau berkata, setiap program transformasi menjanjikan perubahan, justeru, sebarang perubahan yang dilaksanakan pada 2014 adalah merentasi sistem pendidikan negara namun, guru masih menjadi tumpuan utama iaitu menjadi pemimpin dalam kelas.

“Pada masa sama, pengurusan sekolah perlu meluangkan lebih banyak masa melatih guru; menjadi ejen perubahan di sekolah dan komuniti manakala, pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula boleh menjadi pembimbing termasuk kerap mengadakan lawatan kerja ke sekolah,” katanya.

Mengikut kajian, katanya, kira-kira 80 peratus transformasi berskala besar gagal mencapai hasil diharapkan dan ini bermakna, transformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan kementerian kini perlu membabitkan perubahan amalan dan keupayaan mengurus perubahan.

Justeru, beliau menyeru semua barisan pemimpin baik di peringkat kementerian; JPN; PPD dan sekolah serta semua pihak berkepentingan supaya menjadikan PPPM sebagai keutamaan, satu agenda dan satu impian. Harian Metro Setempat 18 Jun 2014

Demam Piala Dunia Kembali Lagi

Rentak samba kembali lagi

Demam Piala Dunia kembali lagi dan seluruh rakyat Malaysia kini meraikannya. Jika tidak di Brazil, pasti anda akan berada di hadarapn skrin TV di rumah atau di mana sahaja.

Ini lah masanya peminat akan terpaku di tempat duduk menyaksikan perlawanan bola yang mendebarkan ini. Terlalu banyak aksi menarik yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja walaupun terpaksa menonton melalui saluran tertangguh.


FotoFlexer_Photo_Tahukah Anda

FotoFlexer_Photo_Penjimatan

FotoFlexer_Photo__Cara_Mudah

Sumber: Harian Metro Setempat Rabu 18 Jun 2014