June 23rd, 2014

Malaysia, Piala Dunia dan dua teori

KEJOHANAN bola sepak Piala Dunia FIFA 2014 bakal memasuki pusingan kedua. Banyak perlawanan pusingan pertama telah berlangsung membabitkan pasukan ternama dunia seperti Brazil. Dalam pada itu, banyak juga kejutan telah dihasilkan.


Juara Piala Dunia, Sepanyol, tersingkir; pasukan kurang ternama dari benua Amerika Tengah, Costa Rica, berjaya menewaskan Uruguay, satu pasukan yang dikatakan setanding dengan Brazil dan Argentina; manakala Switzerland, satu pasukan yang pernah menjadi pasukan belasahan di Eropah pada suatu ketika dahulu berjaya menewaskan satu lagi pasukan terkuat dari benua Amerika Selatan, Ecuador.

Apa yang pasti, sepanjang kejohanan ini berlangsung, kita dapat melihat banyak keputusan yang mengejutkan dan di luar jangkaan. Mungkin juga takhta juara Piala Dunia FIFA bakal beralih tangan kepada negara kuasa bola sepak dunia yang baharu. Dalam bola sepak, tidak ada yang mustahil, 'bola itu bulat, apa sahaja boleh berlaku'.

Penyertaan sesebuah negara dalam kejohanan seperti Piala Dunia FIFA 2014 ini sesuatu yang sangat bermakna dan bernilai khasnya bagi sukan bola sepak di negara tersebut. Bagi sesetengah negara yang baharu pertama kali berjaya melayakkan diri, ia satu kejayaan besar dan membanggakan. Walaupun mungkin gagal memenangi sebarang perlawanan dalam kejohanan tersebut, kelayakan ke Piala Dunia sudah cukup untuk meletakkan sesebuah negara itu di satu tahap yang tinggi dalam ranking FIFA.

Inilah yang sangat diidamkan oleh banyak negara apabila bertanding dalam sebarang perlawanan kelayakan untuk ke Piala Dunia. Malaysia juga antara negara yang sudah pasti mempunyai cita-cita tersebut. Tetapi bagaimanakah Malaysia mencapai cita-cita tersebut? Ini kerana jalan menuju ke Piala Dunia khasnya bagi negara seperti Malaysia sangat berliku dan mencabar.

Terdapat dua teori yang boleh menerangkan kepada kita mengenai persoalan ini. Teori pertama mengatakan Malaysia boleh melayakkan diri ke Piala Dunia dengan menawarkan diri sebagai 'tuan rumah' kejohanan tersebut. Teori kedua pula mengatakan Malaysia boleh melayakkan diri menerusi saluran biasa iaitu dengan bertanding di peringkat kelayakan.

Teori pertama mungkin agak mudah dari segi penyediaan pasukan untuk ke Piala Dunia, tetapi agak 'berat' dari segi implikasi kewangan. Ini kerana penganjuran kejohanan besar seperti ini sememangnya memerlukan belanja yang sangat tinggi.

Dari segi ekonomi, penganjuran bola sepak Piala Dunia boleh diumpamakan seperti satu bentuk pelaburan jangka panjang. Hasil pelaburan ini bergantung sepenuhnya kepada perancangan yang dibuat beberapa tahun sebelumnya. Greece, sebagai contoh, dikatakan hampir bankrap selepas penganjuran Sukan Olimpik beberapa tahun dahulu.

Untuk menjadi penganjur kejohanan besar seperti Piala Dunia ini tidaklah mustahil sekiranya perancangan rapi dan teliti dilakukan sebelum menawarkan diri sebagai tuan rumah. Jepun dan Korea Selatan, membuktikan bahawa negara Asia juga mampu menjadi tuan rumah Piala Dunia menerusi kerjasama menganjurkan kejohanan tersebut beberapa tahun lalu.

Selepas tamatnya kejohanan di Brazil ini, satu lagi negara Asia, Qatar, bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2018.

Apakah negara ini mampu membiayai kejohanan besar seperti Piala Dunia ini? Sejauhmanakah pasukan bola sepak Qatar mampu mengharungi kejohanan tersebut? Persoalan yang pertama sangat mudah untuk dijawab. Ini kerana Qatar dikenali sebagai antara negara terkaya di dunia.

Persoalan kedua pula, agak sukar untuk dijawab. Ini kerana prestasi pasukan bola sepak Qatar sendiri tidak konsisten dan mungkin hanya bertaraf Asia sahaja.

Malaysia pada suatu ketika dahulu pernah dipilih sebagai tuan rumah kejohanan Piala Dunia Remaja. Tetapi pengendalian kejohanan besar seperti Piala Dunia FIFA ini sangat berbeza dan pasti memakan kos yang sangat tinggi. Persoalannya, jika Malaysia ingin membida sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA, sebagai satu jalan 'singkat' ke Piala Dunia, apakah Malaysia mampu menanggung semua kos tersebut?

Mungkin teori kedua iaitu layak ke Piala Dunia menerusi saluran biasa - bertanding dalam perlawanan kelayakan - lebih sesuai bagi Malaysia ketika ini. Pun begitu, satu lagi persoalan di sini, apakah Malaysia sudah bersedia ke Piala Dunia FIFA, mungkin dalam masa lima atau 10 tahun dari sekarang?

Sukan bola sepak sudah bertapak di Malaysia sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi. Kejohanan bola sepak tempatan merebut Piala HMS Malaya pernah diadakan di negara ini. Begitu juga kejohanan besar tempatan seperti Piala Malaysia.

Pasukan bola sepak Malaysia juga tidak pernah terkecuali daripada menyertai perlawanan kelayakan pra-Piala Dunia sejak selepas merdeka hingga sekarang. Tetapi semua percubaan tersebut gagal.

Kejayaan paling membanggakan bagi pasukan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa ialah melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman, pada 1970 dan Sukan Olimpik di Moscow pada 1980. Malaysia bagaimanapun memboikot Sukan Olimpik di Moscow atas sebab-sebab politik berikutan isu campur tangan bekas Soviet Union di Afghanistan. Selain itu, pasukan bola sepak Malaysia bertanding dalam beberapa kejohanan di peringkat Asia dan Asia Tenggara sahaja.

Walaupun selalu gagal dalam perlawanan di peringkat kumpulan untuk pra-Piala Dunia, hasrat dan cita-cita tersebut secara umumnya tidak pernah padam. Malaysia dan seluruh rakyat serta mereka yang berkecimpung dalam sukan bola sepak masih percaya bahawa satu hari nanti pasukan negara bakal beraksi di Piala Dunia FIFA.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) beberapa tahun lalu menyasarkan 2014 sebagai tahun untuk Malaysia layak ke Piala Dunia FIFA. Kini, ternyata pasukan bola sepak Malaysia masih gagal ke Piala Dunia FIFA. Menteri Belia dan Sukan menyatakan dengan jelas di Parlimen bahawa antara punca kegagalan itu ialah kekurangan peruntukan untuk pembangunan aktiviti bola sepak sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Menurut beliau, majoriti peruntukan kewangan bagi pengurusan bola sepak di Malaysia dan di negeri-negeri habis untuk membayar gaji dan elaun anggota pengurusan persatuan bola sepak, pemain-pemain senior negara, jurulatih serta pemain import.Sekiranya kenyataan ini benar, maka tidak ada maknanya Malaysia menyimpan hasrat dan cita-cita tinggi untuk ke Piala Dunia FIFA kerana kosnya terlalu mahal.

Apakah aspek bola sepak bertaraf dunia yang mampu dibangunkan oleh Malaysia dengan hanya berbekalkan peruntukan kewangan yang sedikit? Kita semua harus sedar bahawa untuk ke Piala Dunia, ia memerlukan bukan sahaja pengorbanan masa dan tenaga, tetapi juga wang ringgit. Perancangan yang rapi dan teliti juga perlu bagi memastikan negara berjaya mencapai matlamat tersebut.

Malaysia boleh mengambil contoh Jepun dan Korea Selatan yang mempunyai sistem dan rancangan pembangunan bola sepak antara yang terbaik di dunia atau setidak-tidaknya, terbaik di Asia.

Pasukan bola sepak Korea Selatan untuk ke Piala Dunia FIFA pada 1990, dibentuk sejak awal 1980-an lagi. Mereka ini mula diketengahkan dalam kejohanan Sukan Asia 1986 dan Sukan Olimpik 1988. Malaysia juga sebenarnya turut mempunyai satu pasukan bola sepak yang setanding dengan Korea Selatan.

Pada awal 1980-an, satu pasukan yang dikenali sebagai skuad Harimau Malaysia telah dibentuk khas bagi menghadapi beberapa kejohanan serantau dan antarabangsa tetapi program pembangunan pasukan tersebut selepas beberapa tahun telah 'diabaikan' oleh pihak pengurusan bola sepak negara. Jika tidak, mungkin kita sudah mampu beraksi di Piala Dunia FIFA pada tahun ini.

Pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam sukan bola sepak di Malaysia perlu bersikap lebih realistik dalam merancang program-program bagi tujuan peningkatan mutu bola sepak tempatan. Ketika ini, sangat tidak masuk akal untuk pemain bola sepak Malaysia beraksi dalam EPL kerana ranking FIFA pasukan Malaysia yang kurang memberangsangkan.

Sementara kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2014 sedang berlangsung, ada baiknya pihak pengurusan bola sepak di Malaysia termasuk di negeri-negeri berfikir sejenak bagaimana melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA dalam edisi akan datang. Pengurusan tertinggi FAM pula, kurangkanlah 'berpolitik' demi bola sepak negara. Kita tidak ada sumber kewangan yang banyak seperti Korea, Jepun dan Qatar. Tetapi kita ada akal fikiran dan sumber tenaga manusia yang boleh digembleng.

Hidup bola sepak Malaysia! Hidup Harimau Malaya!

MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK pengarang@utusan.com.my   ialah pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM). Utusan/Rencana/20140623

Tanpa kuat kuasa, pewartaaan sekadar tempelan

ENTAH premis yang ke berapa kawasan berbumbung dan tertutup sekitar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Boleh dikatakan saban tahun ada sahaja premis baru diwartakan. Difahamkan Kementerian Kesihatan sehingga kini mewartakan 20 kategori tempat awam yang dilarang merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Selain itu, kementerian dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri juga mewartakan zon-zon larangan merokok yang khusus di negeri-negeri, terutama di kawasan tumpuan pelancong dan orang awam. Langkah itu adalah bagi melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap tembakau. Harus diingat bahawa pendedahan kepada asap rokok, boleh menyebabkan kesan kesihatan yang buruk, sama seperti tabiat merokok.

Ketika kawasan larangan yang diwartakan semakin bertambah, adakah jumlah perokok berkurangan? Ketika ini, jumlah perokok dalam negara mencecah 4.7 juta orang atau 23.1 peratus daripada populasi penduduk. Kos rawatan bagi penyakit utama akibat merokok adalah sebanyak RM3 bilion setahun iaitu koronari jantung (RM545 juta), kanser paru-paru (RM133 juta) dan penyakit paru-paru kronik (RM2.247 bilion). Harga rokok pula terus meningkat tetapi perokok tidak peduli. Soal harga letak sebelah. Fatwa haram juga tidak dipedulikan. Mereka hanya 'melompat' apabila makanan itu dicemari DNA babi, marah ayam di pasar tidak disembelih dengan sempurna dan membantah jualan arak di kedai 24 jam. Begitulah pengertian haram dan halal. Seolah-olah haram jatuh status makruh apabila manusia memerlukannya. Jika fatwa agama tidak mampu diikuti adakah undang-undang buatan manusia akan dipatuhi?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan enam juta orang mati setiap tahun akibat rokok. Jumlah itu dijangka meningkat kepada lapan juta pada tahun 2030 disebabkan tembakau ini. Paling mendukacitakan daripada enam juta orang itu, lebih 600,000 adalah bukan perokok. Mereka mati akibat terdedah kepada asap rokok sekunder. Kepada perokok, adakah anda bersedia menerima tanggungjawab sebagai penyebab kepada rakan-rakan yang tidak merokok menanggung derita penyakit yang disenaraikan tadi? Berbalik kepada pewartaan kawasan, isu premis larangan merokok ini adalah perkara lama. Cuma diperingatkan kembali selepas kawasan baru diwartakan. Iklan, poster larangan merokok memang mudah dilihat di kawasan yang diisytiharkan. Kadang-kadang perokok selamba sahaja menghisap rokok di bawah tanda larangan itu.

Elok diselak kembali sepintas lalu kawasan yang diwartakan sebagai zon larangan merokok termasuk di lobi hotel, ruang pejabat berhawa dingin, pusat hiburan, hospital atau klinik, lif awam, kenderaan awam, tempat makan berhawa dingin, lapangan terbang (kecuali kawasan yang dikhaskan), premis kerajaan, dewan dan institusi pendidikan tinggi, tadika, taman asuhan kanak-kanak, hentian pengangkutan awam, sekolah, kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan. Begitu juga kawasan Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Bhd. dan Pos Malaysia Bhd., kompleks membeli-belah, kompleks sukan, stadium, stesen minyak dan macam-macam lagi. Zon larangan ini terus diperluaskan bagi memastikan perokok tegar tidak mengganggu dan menjejaskan kesihatan mereka yang tidak merokok.

Malangnya peraturan itu sekadar di atas kertas. Perokok bebas merokok dalam restoran yang diwartakan kawasan larangan. Mereka tidak peduli asap rokok itu mengganggu keselesaan pelanggan (bukan perokok) terutama yang membawa anak-anak dan isteri yang sedang menjamu selera. Sesetengah restoran membahagikan ruang merokok dan tidak merokok. Kalau restoran diisytiharkan kawasan larangan merokok kenapa perlu ada pembahagian ruang? Ada juga bahagian yang dipisahkan dibuat secara terbuka, bermakna asap rokok bebas memasuki kawasan larangan merokok. Inilah peraturan yang dianggap tidak serius.

Sebut pasal restoran, dulu di medan selera KL Sentral ada ruang makan khas untuk perokok, tertutup di dalam 'akuarium'. Kini kawasan itu dimansuhkan dan disediakan 'akuarium khas' yang kecil untuk merokok sahaja. Ini satu perkembangan yang baik. Peraturan larangan merokok di kawasan yang diwartakan adalah undang-undang yang boleh dilanggar kerana ia tidak sama apabila kita 'melanggar' lampu isyarat atau kamera AES atau tidak menjelaskan bayaran tempat letak kereta. Jarang kita dengar atau terbaca perokok yang didakwa atau didenda kerana melanggar peraturan berkenaan. Untuk makluman, mereka yang melakukan kesalahan di kawasan larangan ini boleh dikompaun RM250 atau didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Tidak ada juga kumpulan manusia yang selalu bercakap hak asasi manusia memberi perhatian terhadap isu ini. Seolah-olah bukan perokok tidak mempunyai hak untuk menyedut udara bersih dan segar tanpa asap rokok. Pemilik premis boleh mengeluarkan pekeliling berjela-jela dan menampal pelbagai poster larangan tetapi akhirnya undang-undang itu tinggal sebagai pekeliling dan tempelan. Sekadar hiasan. Memang sukar untuk menyedarkan perokok. Mereka tahu bahaya merokok kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Mereka tahu asap rokok mengganggu keselesaan orang lain sehingga rambut, baju orang yang berhampiran mereka berbau asap rokok. Cuba masuk tandas selepas perokok 'menunaikan hajatnya' sambil merokok. Pastinya pakaian anda akan turut dipalit bau busuk asap rokok. Begitu juga di dalam kereta perokok. Baunya melekat dan mengganggu bukan perokok. Perokok juga tahu bau yang keluar daripada mulut mengganggu keselesaan makmum di kiri kanan mereka ketika solat berjemaah. Sama baunya selepas memakan durian, petai atau jering. Mereka tahu semuanya itu mengganggu keselesaan. Tetapi peduli apa?

Begitulah undang-undang atau larangan merokok di kawasan berkenaan. Pihak berkuasa tidak berupaya untuk menguat kuasakannya. Sekali sekala, adalah penguatkuasaan. Bayangkan jika penguatkuasaan benar-benar mengambil tempat dalam kawasan larangan merokok ini. Cukuplah kompaun RM50 seorang. Memang sukar untuk mendidik perokok menghormati orang lain. Perokok ada pendirian sendiri dalam bab ini. Kalau bab lain mungkin boleh patuh dan ikut tetapi kalau pasal rokok, susah. Contohnya orang politik. Mereka sedia menerima pandangan pemimpin dalam beberapa perkara tertentu dan akan akur tetapi kalau pemimpin bercakap pasal rokok dan terkena pada batang hidung sendiri, mereka diam membisu. Mereka sedia digelar apa sahaja asalkan bebas merokok.

Lebih memalukan apabila sikap perokok yang suka membuang puntung rokok di merata tempat, di dalam sinki tandas, di atas lantai dan di tangga. Samalah seperti orang yang suka membuang sampah di merata-rata tempat walaupun tong sampah disediakan. Kerajaan boleh mewartakan seberapa banyak kawasan larangan merokok tetapi pewartaan tanpa kuat kuasa hanya membuang masa, tenaga dan wang untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai kawasan Dilarang Merokok! Hassan Mohd. Noor Utusan/Rencana/20140623

PTPTN realisasi hasrat pelajar miskin ke IPT

Ketika dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1978, saya berdepan dengan masalah besar. Dengan pendapatan keluarga yang hanya bergantung kepada rumbia, ternyata itu cabaran besar pertama yang perlu saya hadapi. Dengan harga sekerat rumbia hanya 70 sen, bagaimana mungkin keluarga saya dapat mengumpul walau RM100?

Nasib ada seorang saudara kami yang baik hati bekerja dengan syarikat Shell di Miri. Tanpa pilihan, dengan rasa malu abang saya menghubungi saudara saya itu untuk meminjam RM700 dan beliau bersetuju memberi pinjaman. Jika tidak, mungkin hasrat menjejakkan kaki di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak kesampaian. Sebab kos penerbangan saja begitu mahal kerana saya perlu menaiki tiga pesawat berlainan. Ada pelajar miskin terutama dari kawasan luar bandar dan pedalaman terpaksa membenamkan saja cita-cita mereka hanya kerana keluarga tidak mampu.

Sejak pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwujudkan pada tahun 1997, penderitaan pelajar miskin dapat dikurangkan.

Ada pihak yang tidak setuju dengan inisiatif kerajaan itu, meskipun hakikatnya begitu ramai pelajar menerima pinjaman dan mampu mengubah nasib diri serta keluarga. Jika tidak, kemungkinan ada yang terus dicengkam kemiskinan.

Dengan adanya skim pinjaman itu, lebih ramai pelajar dapat dibantu berbanding sebelumnya. Sebelum itu kerajaan hanya mampu menyediakan 26,000 biasiswa kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran setahun. Tanpa memilih bulu atau ideologi politik, pelajar daripada keluarga yang memenuhi syarat, biasanya diberi pinjaman.


227,209 peminjam pada tahun 2011

Misalnya, pada tahun 2011, sebanyak 227,209 pelajar mendapat manfaat daripada tabung itu. Sudah pasti keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan menarik nafas lega kerana mereka tidak perlu pening kepala lagi ekoran cek RM1,500 sampai di tangan sebelum anak mereka bertolak ke universiti.

Setidak-tidaknya, wang berkenaan dapat digunakan untuk pelbagai keperluan. Bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung dan pelajar Semenanjung yang menuntut di dua negeri itu, wang berkenaan dapat digunakan membeli tiket penerbangan.

Bagi sebahagian besar pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), wang itu amat bermakna kerana 70 peratus pinjaman digunakan untuk menampung kos sara hidup, manakala 30 peratus lagi membayar yuran.

Tidak dinafikan terdengar dakwaan ada pelajar menyalahgunakan wang itu untuk membeli telefon bimbit, motosikal dan barangan yang tiada kaitan dengan pengajian, namun pada keseluruhannya, pelajar menggunakannya untuk tujuan yang betul. Pelajar diingatkan wang itu perlu digunakan dengan rasa tanggungjawab, bukannya boros berbelanja.

Dilaporkan 50,000 pelajar baharu yang bakal melanjutkan pelajaran ke IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi sesi akan datang berdepan kemungkinan tidak mendapat pinjaman PTPTN.

Puncanya kerana kebanyakan peminjam gagal membayar balik pinjaman sehingga agensi itu berdepan kekurangan dana yang teruk, sekali gus tidak dapat membuat pusingan semula untuk diagihkan kepada pelajar baharu.


Bantuan kerajaan RM4 bilion

Hakikatnya Kementerian Kewangan meluluskan dana RM4 bilion untuk tahun ini, namun jumlah itu hanya cukup membiayai 75 peratus peminjam baharu dan sedia ada, manakala baki 25 peratus lagi tidak akan mendapat pinjaman.

Pihak PTPTPN mengambil pelbagai langkah termasuk memberi potongan, selain memperkenalkan sistem penukaran pinjaman tiga peratus kepada pembiayaan ujrah satu peratus, namun masih ada yang liat melunaskan hutang.

Benarkah pengangguran dan pendapatan tidak setimpal dengan kelayakan menjadi punca? Benarkah kos sara hidup tinggi dipikul peminjam menyebabkan mereka tidak mampu membayar balik?

Hakikat ada daripada siswazah dibayar gaji kurang daripada RM1,500, dapat difahami bahawa kehidupan mereka tersepit. Wang sebanyak itu digunakan untuk membayar rumah, belanja dapur dan untuk membayar tambang ke tempat kerja atau semuanya bertolak daripada sikap yang tidak betul?

Sebahagian mereka endah tak endah meskipun notis amaran diberikan. Ada peminjam tidak ada niat hendak lari daripada tanggungjawab, namun memang ada langsung tidak bertanggungjawab. Kepada golongan ini, tindakan tegas perlu diambil termasuk menyekat mereka daripada keluar negara dan mengenakan tindakan mahkamah.

Sebagai individu yang memperoleh nikmat daripada pinjaman berkenaan dan membantu meringankan beban kewangan ketika belajar, mereka perlu mempunyai kesedaran dan rasa tanggungjawab yang tinggi untuk melunaskan hutang walaupun dengan jumlah minimum sesuai dengan tuntutan etika mahupun agama.


Jeniri Amir ialah Pensyarah di Universiti Malaysia SarawakBerita Harian Kolumnis 2014/06/23 - 18:09:25 PM

Sengkek sangatkah peminjam nak bayar PTPTN?

Melihat tunggakan pinjaman yang belum dapat dikutip Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah lebih RM1.3 bilion, kita tertanya-tanya kenapalah liat sangat peminjam hendak membuat pembayaran balik?

Mengikut laporan, tunggakan itu membabitkan lebih 183,000 peminjam yang dikategorikan sebagai ‘tegar’ yang sepatutnya membuat bayaran balik mulai tahun 1998 hingga tahun 2010.

Setahu kita, PTPTN sudah melakukan pelbagai cara untuk memudahkan urusan pembayaran balik termasuk menggunakan online, membuka kaunter di seluruh negara dan melantik bank sebagai ejen.

Malah, peminjam tegar ini juga berulang kali dinasihatkan supaya berunding dengan PTPTN bagi membuat bayaran bulanan mengikut kemampuan mereka.

Namun, nasihat itu bagai ‘mencurah air di daun keladi.’ Sengkek sangatkah mereka ini hingga tidak boleh bayar langsung pinjaman PTPTN?

Kalau mereka belum bekerja, kita fahamlah. Tetapi kita percaya ramai sudah bekerja atau berniaga kerana paling kurang sudah empat tahun mereka keluar universiti.

Mengikut laporan BH semalam, ada peminjam beri alasan kos sara hidup tinggi, tetapi ironinya mereka boleh pula beli kereta, sering bertukar telefon bimbit canggih, melancong atau kumpul duit untuk berkahwin.

Sebab itu ada yang cadangkan supaya peminjam terbabit disenarai hitam saja supaya tidak boleh buat pinjaman bank atau ke luar negara.

Ada juga secara berseloroh sarankan PTPTN minta jabatan agama syaratkan bakal pengantin kemukakan surat pengesahan PTPTN sebelum dibenarkan berkahwin.

Tak tahulah sama ada saranan ini boleh dibuat, tetapi mesejnya cukup jelas, PTPTN kena lebih tegas dan tidak boleh berlembut lagi. Tunggakan pinjaman itu sepatutnya boleh membiayai lebih 50,000 peminjam baharu.

Kalau hendak dengar alasan peminjam tegar ini, macam-macam sebab boleh diberi. Memanglah kos sara hidup sekarang agak tinggi, tetapi itu bukanlah masalah yang menyebabkan mereka tidak boleh membayar balik pinjaman. Masalah sebenarnya ialah gaya hidup mereka.

Jadi ini berkaitan soal sikap. Kalau peminjam itu bertanggungjawab, sudah tentu mereka boleh melangsaikan pinjaman PTPTN.

Bak kata pepatah kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Kalau ramai peminjam lain boleh bayar balik hutang PTPTN, tidak ada sebab peminjam tegar ini berdolak-dalik lagi.

Barangkali juga mereka ini sengaja tidak mahu membayar balik kerana terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang dalam kempen Pilihan Raya Umum lalu berjanji untuk menghapuskan pinjaman PTPTN.

Kita percaya ramai peminjam tegar ini juga orang Melayu dan beragama Islam. Jadi, renung-renungkanlah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.” Wallahualam.   Berita Harian Kolumnis 2014/06/23 - 18:13:03 PM Mahfar Ali

Suis dan kabel dalam perniagaan

Kunta Kinte minta izin sambung sikit lagi cerita tauke YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh Siok Ping, nafi dia kroni Tun Dr Mahathir Mohamad. Dia didakwa kata, kerana kerajaan utamakan Bumiputera, usahawan kecil dan sederhana Cina tak dapat pinjaman awam.

Berkenaan pinjaman kerajaan kepada usahawan kecil dan sederhana, Kunta Kinte dah cerita dalam ruangan minggu lepas iaitu hanya 31% pinjaman SME dibagi kepada usahawan Bumiputera tahun lalu. Yang lain kepada bukan Bumiputera. Kalau tolak pinjaman mikro oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, pinjaman SME kepada Bumiputera hanya 15%.


Walaupun Siok Ping dah minta maaf terbuka, banyak pihak tak puas hati juga. Di Tenaga Nasional Berhad, kesatuan sekerja tunjuk perasaan gesa tamatkan semua urusan perniagaan dengan YTL. Di tempat-tempat lain pula, perniagaan YTL mula diteliti dan dihalusi oleh orang ramai. Dah tak boleh main kayu tiga dan cakap besar lagi.

Kunta Kinte ada baca sebuah simpulan bahasa Cina yang bunyi huo cong kou chu atau lebih kurang macam tulah. Ertinya lidah yang tak terkawal boleh sebabkan banyak masalah. Lebih kurang sama dengan kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa dalam bahasa Melayu. Kalau tak tepat Kunta Kinte minta ampun.

Kunta Kinte tak tahulah sama ada tauke YTL itu tahu atau sedar adanya simpulan bahasa macam itu dalam bahasa Cina pasal sepanjang yang Kunta Kinte tahu, dia ni berpelajaran Inggeris di luar negara. Dalam Siok Ping dok nafi dia bukan kroni kerajaan dan YTL maju sebab pandai berniaga, kita dengar syarikat anak-beranak itu dapat satu lagi konsesi IPP di Johor secara usaha sama dengan sebuah syarikat nama SIPP Energy Sdn Bhd dan TNB. YTL dah ada sebuah IPP di Pasir Gudang.

Alasan yang Kunta Kinte baca dari surat khabar bunyi sama dengan bila YTL dibagi kontrak pertama bina IPP di Paka, Terengganu pada tahun 1993. Projek itu diswastakan kepada YTL atas alasan hendak disiapkan dengan cepat.

Kunta Kinte tak berapa faham apa yang nak dicepatkan kerana Kunta Kinte tak dengar pula berita kita kurang bekalan elektrik.
Tak tahulah kalau cepat itu ertinya tak payah susah-susah buat kajian itu dan ini dan tak perlu patuhi syarat itu dan ini. Bila projek yang selalunya ambil masa untuk dirancang dan dilaksanakan tapi dok tak dok boleh dibuat dengan cepat dan diam-diam ia tentulah akan cetus tanda tanya. Misalnya, adakah ia jadi cepat dan segera sebab ada orang istimewa yang terbabit atau campur tangan?

Yang Kunta Kinte dengar dan baca dari media massa, sekarang ini kontrak besar akan dibagi ikut tender terbuka. Satu lagi khabar yang Kunta Kinte kira tak masuk akal ialah YTL terbabit dalam rancangan ambil alih syarikat Kulim (Malaysia) Berhad milik Perbadanan Johor (Johor Corp.)

Kunta Kinte kata tak masuk akal sebab kita tak dengar pula Kulim ada masalah kewangan yang teruk dan YTL pula tak pernah terbabit dengan perladangan. Kulim ni syarikat ladang dan makanan.


Elok berjaga-jaga

Tapi Kunta Kinte rasa kena sebut juga sebab dah banyak hal dan perkara yang kita tak sangka atau tak masuk akal tiba-tiba berlaku. Jadi eloklah kita berjaga-jaga. Tapi kalau tak betul, Kunta Kinte minta maaf.

Kunta Kinte dengar FELDA dan Sime Darby pun minat nak beli Kulim. Kalau antara YTL, FELDA dan Sime Darby, Kunta Kinte kata eloklah FELDA yang memang pun agensi perladangan dan Sime Darby yang asal usulnya perladangan juga. Lagi pun kalau jual kepada FELDA atau Sime Darby, tak timbullah tuduhan kroni yang Siok Ping benci sangat tu.

Yang terbaru Kunta Kinte baca dalam surat khabar ialah YTL dah tarik diri daripada projek IPP di Johor. Laporan dalam surat khabar kita semalam kata, YTL tarik diri kerana “salah anggap terhadap projek terbabit serta keraguan terhadap komitmen kerajaan dalam memupuk ketelusan dan pentadbiran yang baik.”

Nak salahkan usahawan Cina dan India pun susah juga. Mereka pandai cari suis untuk dipetik dan kabel untuk ditarik bila mereka mahu sesuatu daripada kerajaan. Bukan perkara baru pun. Sejak zaman empayar Melayu lagi mereka dah berjaya. Kalau tak boleh guna raja mereka guna bendahara, laksamana dan syahbandar. Dalam istana ada watak-watak macam Raja Mendaliar dan si Kitol.

Tapi orang Melayu susah nak tiru sebab ada haram dan halal, dosa dan pahala. Ada rasa malu dan segan. Rasa hormat dan taat. Nak bagi hadiah, sagu hati dan belanja melancong apatah lagi rasuah rasa bersalah kerana budi dan iman. Yang berani atau baik sangat dengan istana silap-silap kena fitnah.

Kunta Kinte dengar ada pembesar Melayu yang marah dan tuduh usahawan Melayu cuba nak sogok mereka melalui derma dan sedekah. Tapi tak malu dan tak marah bila peniaga Cina dan India bagi habuan. Wallahuaklam. Berita Harian Kolumnis 2014/06/23 - 18:08:01 PM Kunta Kinte