June 28th, 2014

Hiburan ringan punca Melayu leka, mundur

Ibu bapa wajar pupuk intelektualisme

Kalau kita lihat jumlah permit penerbitan majalah di negara ini yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita boleh membuat penilaian tentang kecenderungan psikologi kebanyakan orang Melayu. Sebagai contoh, terdapat 27 majalah hiburan dalam bahasa Melayu, sementara hanya 11 dalam bahasa Inggeris.

Memang benar jumlah 11 majalah hiburan tempatan dalam bahasa Inggeris tidak memberi gambaran sebenar, kerana ada ratusan majalah hiburan yang diimport khususnya dari Amerika Syarikat dan Britain. Tetapi oleh sebab pembaca Melayu juga terdedah kepada majalah hiburan asing, maka pada teorinya pembaca Melayu juga mempunyai sumber hiburan yang lebih banyak.

Hiburan ringan mencandui kehidupan kebanyakan orang Melayu. Program televisyen tempatan hampir semuanya dipenuhi hiburan ringan, terutamanya yang berbentuk komedi atas pelbagai jenis nama. Ini sealiran dengan penerbitan majalah hiburan ringan yang banyak di negara kita, khususnya untuk bangsa Melayu.

Senarai jualan tertinggi

Mendahului senarai jualan tertinggi bagi majalah hiburan tempatan ialah Mastika, diikuti Mangga, Mingguan Wanita, Remaja, URTV, Wanita, Seri Dewi Keluarga, Hai (Hiburan, Aksi dan Informasi), serta Jelita. Turut tersenarai adalah Anjung Seri, yang agak berbeza daripada majalah hiburan ringan yang lain.

Beberapa majalah di atas ditujukan kepada pembaca wanita. Di negara ini ada 24 majalah wanita dalam bahasa Melayu, berbanding 12 dalam bahasa Inggeris. Majalah untuk wanita Melayu dan majalah hiburan Melayu yang berjumlah 27 berbanding 11 dalam bahasa Inggeris, mengungguli carta jumlah majalah terbesar di negara kita.

Apabila menyentuh bidang yang lebih serius dan lebih komersial, jumlah majalah Melayu mengecil atau sifar, berbanding yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, tiada majalah Melayu dalam bidang pertanian (tiga Inggeris) serta perdagangan (15 Inggeris).

Berikut adalah perbandingan kategori majalah dan jumlah judul penerbitannya dalam bahasa Melayu (jumlah majalah bahasa Inggeris diletak dalam tanda kurungan): Auto, 3 (12); Ekonomi, 2 (15); Komputer, 1 (8); Pendidikan, 6 (10); Perubatan, 1 (11); Dekorasi, 2 (8); Sukan, 3 (9); dan Pelancongan, 1 (13).

Jumlah dalam kategori pendidikan memberikan gambaran umum tentang kedudukan bangsa Melayu, yang masih ketinggalan berbanding bangsa lain di negara ini. Ekoran daripada hakikat tersebut, bangsa Melayu juga agak terkebelakang dalam sektor automotif, ekonomi, teknologi komputer, perubatan, dekorasi, sukan dan pelancongan.

Adakah bangsa Melayu berasa gembira dengan hakikat kemundurannya, dan rela terus menghanyutkan diri serta generasi mereka ke gelombang hiburan? Tampaknya inilah yang sedang berlaku. Media elektronik makin galak menghidangkan kepada khalayak Melayu pelbagai program realiti, komedi dan segala macam yang ringan-ringan. Penerbitan majalah hiburan terus mendapat sambutan. Filem kita juga masih sendat dengan tema murahan tentang hantu, cinta dan gangster.

Dasar komersialisme Barat

Penerbitan filem ringan, seperti juga penerbit rancangan hiburan murahan, mungkin meletakkan keuntungan serta pemeringkatan (rating) yang tinggi sebagai objektif nombor wahid mereka. Ini memang dasar komersialisme Barat tanpa jiwa. Melanggan dasar ini bagi sebuah masyarakat Malaysia yang relatif masih muda, hanya akan mempercepat kelemahan dan kehancuran generasi muda kita. Itulah yang menjadi sasaran utama musuh kita yang tidak berwajah.

Situasi ini sewajarnya menyedarkan orang Melayu khususnya, untuk mengubah diri, keluarga dan masyarakat menjadi insan dan umat yang lebih baik. Membiarkan generasi muda kita hanyut dalam gelombang hiburan ringan, akhirnya akan melemaskan bangsa.

Dalam hubungan ini, peranan rumah tangga dan pendidikan formal begitu penting sekali. Jika ibu bapa mempunyai kesedaran untuk membina generasi pelapis yang mantap daripada aspek akhlak dan ilmu, mereka boleh mendidik anak-anak untuk lebih berserius dalam kehidupan. Ertinya berserius dalam mendalami ilmu pengetahuan agama, duniawi dan mendapatkan sumber hiburan yang bermanfaat.

Usaha murni ini wajar pula disambung pada peringkat pendidikan formal, di sekolah rendah dan menengah terutamanya. Apabila kita dapat membentuk generasi muda yang lebih berkualiti, dasar penawaran-permintaan teori ekonomi, akhirnya akan menyesuaikan diri dengan cita rasa dan intelek anggota masyarakatnya.

Dr Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA. Berita Harian Agama 2014/06/28 - 09:14:02 AM

'Kemenangan besar' Jepun di Piala Dunia 2014

Pasukan bola sepak Jepun sudah tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung. Seperti dijangka, Jepun menyertai tiga lagi wakil Asia iaitu Australia, Iran dan Korea Selatan 'balik awal.' Daripada tiga perlawanan, juara Asia itu sekadar mengutip satu mata sahaja.


Para penyokong skuad Samurai Biru yang menggalas cabaran Asia di Brazil, sudah pasti kecewa. Walaupun terkeluar, Jepun sebenarnya pasukan paling awal mencatat 'kemenangan' di kejohanan berprestij itu.

Pasukan Jepun menjadi tumpuan satu dunia apabila para penyokongnya mempamerkan satu sikap budiman yang jarang dapat dilihat dalam mana-mana perlawanan bola sepak.

Ketika kalah 1-2 kepada Ivory Coast pada perlawanan pertama mereka, sekumpulan penyokong tegarnya tidak berdukacita atau marah, jauh sekali 'memberontak' - satu perbuatan yang sangat biasa dilakukan oleh penyokong pasukan yang tewas, apatah lagi jika kalah tipis.

Sewaktu para pemain Jepun berbaris di tengah padang sambil menundukkan kepala sebagai tanda terima kasih kepada para penonton di Arena Pernambuco di Recife, para penyokongnya pula bergotong-royong membersihkan kawasan tempat duduk mereka.

Berbekalkan beg plastik sampah, mereka mengutip segala sampah sarap di situ. Gambar sikap mulia para penyokong pasukan itu dirakam dan menjadi viral di internet. Foto tersebut mencetuskan perbualan hangat di laman-laman media sosial dengan sebahagian besarnya memuji sikap penyokong pasukan tersebut.

Perbuatan sedemikian sangat jarang dapat dilihat dalam mana-mana perlawanan bola sepak atau acara sukan. Biasanya stadium atau venue adalah 'lapangan membuang sampah terbuka.' Penonton yang hadir tidak ada masa mencari tong sampah. Sisa-sisa makanan, bekas dan kertas pembalut makanan, botol-botol minuman, beg plastik serta macam-macam jenis sampah lagi dibuang ke lantai begitu sahaja.

Walaupun tong sampah ada disediakan, sampah tetap dibuang merata-rata. Alasan biasa, mungkin kerana tong sampah terlalu kecil atau kedudukan tempat membuang sampah terlalu jauh dari tempat duduk penonton atau memang sudah ada sifat pengotor semula jadi.

Kerja-kerja membersihkan stadium setiap kali berakhir satu-satu acara sukan khususnya bola sepak kadang kala memakan masa berhari-hari. Apatah lagi kalau stadium itu berupaya mengisi sehingga ratusan ribu penonton!

Apa yang dilakukan peminat bola sepak Jepun itu sangat kontras dengan apa yang sering dilihat dalam kebanyakan perlawanan bola sepak. Kalau pun ada yang prihatin pasal kebersihan stadium, jumlahnya sangat sedikit. Stadium biasanya ditinggalkan dalam keadaan yang sama seperti mana pasar malam selepas waktu perniagaan. Mengambil cakna tentang kebersihan stadium, jauh sekali. Mana ada stadium atau venue sukan yang dibersihkan peminat atau penonton setiap kali berakhir satu-satu acara besar.

Lebih teruk, pihak yang tewas biasanya memberontak sehingga berlaku pergaduhan dengan penyokong pasukan lawan. Insiden seperti itu adalah satu pemandangan biasa. Boleh dikatakan berlaku pada setiap perlawanan bola sepak. Malaysia pun tidak terkecuali.

Walaupun apa yang dilakukan oleh para penyokong Jepun itu seperti sesuatu yang 'ganjil,' di mata dunia luar, perbuatan itu bukan sesuatu yang luar biasa di Jepun. Itu adalah antara budaya murni peminat bola sepak dan sukan-sukan lain di Jepun. Mereka melakukan perkara yang sama pada penghujung satu-satu perlawanan bola sepak liga tempatan atau acara-acara besar mahu pun majlis-majlis kecil lain. Malah pada satu peringkat, khabarnya mereka sanggup membawa pulang sampah yang dikutip itu jika tong sampah sudah penuh atau tidak ada tempat membuang sampah.

Amalan ini sudah menjadi budaya turun temurun dan diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi lain. Tidak hairanlah amalan ini terbawa-bawa ketika mereka berada di luar negara.

Para peminat sukan di Malaysia boleh mengambil sedikit iktibar dan mencontohi sikap peminat bola sepak Jepun. Mereka menikmati keseronokan pasukan kebangsaan berlawan secara sihat. Mereka juga tampil dengan pelbagai gimik dan gaya menarik sebagaimana dilakukan penyokong pasukan lain tetapi pada masa yang sama mereka sangat menjaga tingkah laku.

Mereka tidak terikut-ikut dengan perangai buruk segelintir penyokong pasukan lain yang bertanding. Orang Jepun membawa imej negara maju yang masih menitikberatkan tata susila masyarakat timur. Mereka juga sangat menjaga kebersihan. Apa yang mereka lakukan, bukan sengaja dibuat-buat untuk menunjuk-nunjuk tetapi datang secara semula jadi.

Peminat dan penyokong pasukan tempatan yang bertandang ke stadium juga boleh melakukan perkara yang sama mulai hari ini. Mereka hanya perlu memastikan kawasan tempat duduk masing-masing bersih sebelum meninggalkan stadium.

Perkara ini tidak mustahil boleh dilakukan dan tidak perlu merasa malu melakukannya kerana perbuatan itu mulia. Lebih mudah lagi kerana pada masa ini setiap pasukan mempunyai pelbagai kumpulan sorak, penyokong atau 'ultras' tersendiri. Kesedaran ini mungkin boleh digerakkan menerusi 'ultras' masing-masing.

Jika ini berlaku, ia sudah pasti menjadi satu anjakan sikap baharu dalam kalangan pencinta sukan negara yang berkunjung ke stadium. Mereka sudah banyak meniru perilaku orang Barat bersukan dan menonton sukan. Tidak salah kali ini mencontohi pula apa yang orang Jepun sudah lama lakukan. Rozaman Ismail Utusan/Rencana/20140628

Pertingkat semua dimensi

Pelajar tingkatan tiga tahun 2014 menjadi perintis kepada kaedah atau bentuk penilaian baru dinamakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ikuti temu bual wartawan Harian Metro Rosyahaida Abdullah bersama Timbalan Pengarah (Operasi) Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Dr Sulaiman Hashim mengenai PBS dan PT3.

S: Boleh Dr jelaskan secara ringkas apa itu PBS?

J:
PBS adalah satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik di mana ia menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor murid. Ia dikendalikan sendiri oleh pihak sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh LP.


S: Apakah kandungan utama PBS yang membuktikan pentaksiran ini bersifat holistik?


J: Terdapat empat komponen utama dalam PBS merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) serta Pentaksiran Pusat (PP).

Melalui keempat-empat komponen ini, potensi murid dalam empat dimensi iaitu intelek, emosi, rohani dan jasmani diukur sebelum dibangunkan secara menyeluruh serta bersepadu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Penilaian berorientasikan peperiksaan semata-mata tidak lagi berlaku memandangkan guru mata pelajaran akan mentaksir murid secara berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) harian.


S: Adakah PBS ini konsep yang baru diperkenalkan Kementerian Pendidikan atau ditambah baik daripada sistem pentaksiran lama?

J:
PBS bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya ia sudah lama dilaksanakan oleh guru di sekolah melalui pelaksanaan kuiz, projek, soal jawab, malah kerja rumah yang diberikan kepada pelajar. Cuma ia ditambah baik dengan memperincikan lagi pentaksiran merangkumi bidang akademik dan bukan akademik.

Matlamatnya supaya segala kelemahan murid dalam apa saja bidang dikenal pasti lebih awal untuk membolehkan intervensi dilakukan terhadap mereka, seterusnya dibangunkan mengikut potensi diri masing-masing.


S: Bilakah penambahbaikan PBS ini mula diperkenalkan?

J:
Bagi peringkat sekolah rendah, PBS dimulakan dengan murid tahun satu pada 2011 yang akan menyaksikan penambahbaikan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diduduki mereka pada 2016 nanti.

Pada peringkat menengah rendah pula, PBS mula dilaksanakan pada 2012 membabitkan pelajar tingkatan satu. Perbezaannya dapat dilihat melalui penambahbaikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini yang dikenali sebagai Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).


S: Apakah perbezaan PAJSK dan PPsi?

J:
Saya mulakan dengan PAJSK. Ia adalah satu bentuk pentaksiran yang menilai murid dari aspek psikomotor atau jasmaninya. Dalam h al ini, melalui PdP, mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah serta penyertaan murid itu dalam aktiviti sukan dan kokurikulum baik di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan mahupun negara, semuanya diukur sebelum dikeluarkan pelaporannya pada akhir tahun persekolahan.

Berlainan pula dengan PPsi yang menilai aspek efektif murid iaitu emosi dan rohani. PPsi akan dikendalikan di sekolah oleh guru bimbingan dan kaunseling dua tahun sekali dan keputusannya turut dikeluarkan dalam bentuk pelaporan.


S: Bagaimana pula dengan PS dan PP? Kedua-duanya kelihatan seakan sama?

J:
Ya, PS dan PP memang sama dari segi skop pentaksiran di mana kedua-duanya menilai keupayaan kognitif murid iaitu dari segi intelektualnya. Namun, ada juga perbezaan besar antara PS dan PP.

PS lebih kepada pentaksiran yang dilakukan sepenuhnya oleh guru di sekolah secara berterusan melalui dua bentuk pentaksiran iaitu formatif dan sumatif. Semua soalan untuk pentaksiran ini disediakan pihak sekolah malah pemarkahan juga diberikan guru di sekolah itu sendiri.

Sementara bagi PP pula, ia hanya berbentuk sumatif dan dibuat secara berpusat. Bagaimanapun, PP juga bukanlah peperiksaan awam yang dilalui serentak di seluruh negara sebaliknya hanya menggunakan pilihan set soalan serta panduan pemarkahan yang disediakan LP.

Dalam hal ini, tarikh yang sesuai untuk PP juga ditentukan pihak sekolah malah guru sekolah akan menanda sendiri kertas jawapan murid mereka. PP ini dibuat hanya sekali di peringkat sekolah rendah dan sekali di menengah rendah iaitu pada akhir tahun enam dan tingkatan tiga. Tiada sijil akan dikeluarkan, hanya pelaporan disediakan.


S: Boleh Dr jelaskan secara lebih lanjut mengenai pentaksiran formatif dan sumatif?

J:
Memantau dan merekodkan perkembangan murid dari semasa ke semasa untuk merancang PdP yang lebih berkesan, itulah pentaksiran formatif.

Melalui pentaksiran ini, guru melihat perkembangan murid dari hari ke hari untuk mengetahui sejauh mana murid terbabit menguasai sesuatu tajuk yang diajar. Segala kelemahan dan kelebihan mereka dikenal pasti dan langkah diambil untuk membantu murid terbabit meningkatkan tahap penguasaan dalam subjek berkenaan.

Pentaksiran sumatif pula, ia merujuk kepada ujian bulanan, pertengahan tahun dan akhir tahun yang biasa dilakukan di sekolah. Pentaksiran ini lebih kepada penilaian yang dibuat selepas suatu tempoh atau tamatnya sesuatu tajuk yang diajar. Ia digunakan dalam PS serta PP.


S: Boleh Dr nyatakan contoh instrumen yang digunakan dalam PS?

J:
Pelbagai instrumen digunakan untuk tujuan ini seperti pemerhatian, persembahan, projek, produk, amali, tugasan bertulis, lembaran kerja, soal jawab, kuiz, senarai semak dan kerja rumah.


S: Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?

J:
Guru adalah orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka boleh memantau perkembangan murid secara berterusan, memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid, lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid serta menilai dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi. Setiap guru bukan saja mempunyai asas PdP, malah diberi pendedahan semula mengenai PBS untuk menjayakan lagi pelaksanaannya.


S: Bagaimanakah PBS memberi manfaat kepada murid, guru, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain?

J:
Secara jelasnya, apabila kekurangan dan kelebihan diri diketahui lebih awal, murid dapat mengetahui bidang yang perlu diperbaiki atau diberi lebih tumpuan. Bagi guru, program intervensi dapat dilakukan terhadap murid yang kurang menguasai sesuatu subjek malah dalam situasi tertentu, guru juga boleh memanfaatkan murid yang lebih ke depan untuk membantu murid terkebelakang.

Melalui pentaksiran berterusan, ibu bapa juga memperoleh manfaatnya apabila mereka boleh mengetahui sebarang masalah yang mungkin wujud pada anak di sekolah. Seperti mana dilakukan guru, ibu bapa juga boleh mengenali potensi anak dan bersama membangunkannya di rumah.

Pada akhirnya, transformasi yang dibuat dalam PBS ini akan membantu negara menghasilkan modal insan bertaraf dunia yang memenuhi keperluan industri, sekali gus mampu menghadapi cabaran alaf baru dan akan datang.

myMetro Setempat 28/06/2014