July 3rd, 2014

Salah Presiden Petronaskah?

PENULIS sebenarnya agak terkejut dengan respons ekstrem, sedikit melampau dan beremosi beberapa pihak dengan kenyataan Presiden Petronas baru-baru ini. Pada pandangan penulis, pandangan sesiapapun, baik beliau merupakan seorang Presiden sebuah syarikat minyak yang kita bangga-banggakan, mahupun pandangan seorang pemandu teksi, ia perlu diraikan sebagai 'pandangan' dan pendapat semata-mata.

Apakah kita ini sudah menjadi masyarakat yang begitu sensitif dengan kenyataan yang bersifat umum dan ikhlas? Apakah kita sama sekali tidak boleh berbeza pandangan dalam semua perkara? Sampai bila kita mahu menjadi masyarakat yang menerima semuanya sebagai betul dan tepat pada mata kita, sekali gus tidak meraikan pandangan orang lain?

Sebagai seorang yang diberikan amanah untuk menjaga amanah negara, Presiden Petronas selayaknya diberikan sedikit ruang untuk memberikan pandangan dan pendapat. Mungkin, adakalanya kenyataan yang diberikan agak kasar, namun itu sahajalah mungkin caranya untuk memberikan sedikit kesedaran bahawa mengurus Petronas bukan semudah mengurus sebuah NGO!

Sebagai seorang Melayu, penulis merasakan maki-hamun dan celaan bukanlah penyelesaian masalah. Memang penyakit orang kita, ada sedikit masalah, orang tersebut mesti meletakkan jawatan. Kalau beberapa minggu lalu pentadbiran Esscom menjadi sasaran, beberapa hari kebelakangan ini, CEO Petronas pula menjadi mangsanya.

Pemimpin Perkasa dan khususnya Ketua Kluster Minyak dan Gasnya patut bertanya pada diri mereka sendiri, apakah mereka sudah menyumbang membina spill-over effect kepada usaha membangun ekonomi Melayu? Setakat mana? Mohon dinyatakan berapa syarikat yang benar-benar sudah dibangunkan Perkasa dengan jayanya di peringkat dunia, kalau tidak pun di dalam senarai Fortune 500.

Membangunkan ekonomi Melayu bukan dengan gegak gempita 'kenyataan akhbar' yang longgar adab dan adat Melayu. Mempermainkan perkataan 'ini bukan bapak dia punya', hanya menampilkan akhlak yang rendah dan perjuangan tanpa fakta dan asas.

Penulis secara kebetulan pernah diberikan ruang yang sekejap untuk bertugas di Petronas. Pemikiran penulis mengenai daya pengurusan, tahap profesionalisme, kesungguhan, ketajaman akal anak Malaysia di dalam Petronas adalah di tahap yang hampir luar biasa. Untuk Petronas mengekalkan tempatnya di senarai syarikat terbaik dunia tidak datang dengan 'kenyataan akhbar' Perkasa.

Harus penulis 'garis-bawahkan' perkataan 'anak Malaysia' itu agar kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama Melayu atas nama keyakinan yang melampau-lampau. Ya, Petronas dibangunkan oleh anak Malaysia. Kalaupun ada kakitangan berbangsa bukan Melayu di Petronas, mereka meletakkan 'Malaysia' sebagai keutamaan. Minyak dan gas adalah 'sumber nasional' (national resource).

Merujuk kejayaan Petronas selama ini sebagai kehebatan Melayu dan bumiputera juga perlu diperhalusi sebaiknya. Ramai sahaja anak-anak Malaysia pelbagai keturunan, baik dari Sabah dan Sarawak yang menyumbang kepada kejayaan Petronas selama ini. Kehadiran mereka juga memberi makna kepada pengukuhan Petronas di segenap peringkat.

Pada pandangan penulis, kenyataan Presiden Petronas tempoh hari itu bukan berniat menidakkan Melayu. Ia hanya ingatan kepada ahli ekonomi dan usahawan Melayu bahawa mereka perlu bersaing di pentas yang terbuka. Petronas mesti diberikan 'kemerdekaan' untuk membuat keputusan pelaburan yang dirasakan tepat dan mendatangkan 'nilai jangka panjang' kepada syarikat dan akhirnya negara secara keseluruhannya.

Komitmen Perdana Menteri untuk membenarkan Petronas diberikan ruang sebagai entiti ekonomi sebenar ini diberikan dalam pertemuan dengan kakitangan sebelum PRU yang lalu. Seingat penulis, Perdana Menteri sendiri mahukan 'keputusan profesional' dilakukan oleh mereka yang berada di dalam bidangnya.

Kita boleh memberikan pandangan mengenai kelemahan Petronas, khususnya dalam membina usahawan dan pemain ekonomi Melayu. Apakah 'persepsi' itu tepat dan betul? Pernahkah kita bertanya bagaimana Program Pembangunan Vendor (VDP) membina kumpulan usahawan Melayu yang berwibawa? Apakah kita ada angka yang tepat dan sahih?

Menyerang dengan persepsi memang mudah. Memaki hamun dan mencela tanpa asas juga perkara mudah. Membuat page untuk mendesak Presiden Petronas pun bukannya kerja susah. Jagoan siber berbayar mampu melakukannya sekelip mata. Tapi apakah ada untungnya kepada jatidiri orang Melayu dan anak Malaysia? Puaskah hati kita apabila melihat seorang lagi profesional Melayu diserang tanpa had dan tanpa batas?

Industri minyak dan gas adalah salah satu teras NKEA Malaysia. Industri bukan industri ribuan dan jutaan. Secara keseluruhan, industri minyak dan gas dijangka mendatangkan Pendapatan Kasar Nasional (GNI) sebanyak RM131.4 bilion pada tahun 2020. Jika industri paling strategik seperti ini mahu dijadikan sebagai 'alat NGO', kita sebenarnya sedang berada di dalam pengurusan ekonomi yang sukar.

Petronas mungkin satu-satunya syarikat minyak dan gas di dalam senarai Fortune 500 yang perlu mewujudkan keseimbangan di antara melakar kejayaan besar ekonomi - dan menjaga 'sensitiviti' kenegaraan yang ada bersamanya. Mungkin. Syarikat seperti Shell, ExxonMobil, Sinopec, CNPC, Gazprom, Chevro, ConocoPhillips - hanya punya satu tujuan, membuat keuntungan maksima. Angkubah 'bina negara' tidak ada pada mereka.

Apa salahnya kita memberikan sedikit ruang untuk mereka yang profesional memberikan pandangan menurut perspektif mereka. Janganlah menganggap kenyataan yang tidak sealiran dengan kita sebagai 'pemikiran songsang' yang tidak patritotik dan menjatuhkan negara.

Penulis boleh bersetuju bahawa Fortune 500 bukanlah satu-satunya angkubah menilai kejayaan Petronas. Namun kita juga harus mengakui, cabaran mewujudkan keseimbangan di antara usaha memperkasa syarikat, memaksimumkan nilai minyak dan gas; dengan cabaran mengurus sensitiviti masyarakat itu bukanlah usaha yang mudah.

Petronas perlu menempuh banyak lagi cabaran masa hadapan, khusus untuk memastikan sumber semulajadi Malaysia diurus dengan sebaiknya. Cabaran teknologi industri minyak dan gas juga bukanlah perkara yang boleh diusahakan sekelip mata. Komitmen mengeluarkan nilai daripada medan-medan minyak kecil memerlukan pelaburan yang bukan sedikit.

Penulis sama sekali tidak mempertahan Petronas di atas semangat sentimental bekas kakitangan. Itu bukan isu. Yang lebih penting adalah keperluan kita menilai isu dengan lebih jujur dan tidak beremosi. Ruang berbeza pendapat tidak semestinya diakhiri dengan 'engkau mesti letak jawatan'.

Pasti ada kaedah lebih baik dalam kita menyantuni isu dan permasalahan. Berikan merit kepada setiap yang diperkatakan dengan hati yang terbuka. Jaga adab dan tatasusila. Jangan sampai kita memalukan bangsa dengan kecenderungan maki-hamun seolah-olah kita yang paling bijak dan pejuang sebenar Melayu. Zaman sudah berubah. BEKAS KAKITANGAN PETRONAS, Keramat, Kuala Lumpur Utusan/Forum/20140702

"Saya tidak mahu jadi pengkhianat"

JIKA ada satu keputusan yang saya buat dalam beberapa bulan lepas yang semakin terbukti betul, adalah keputusan saya untuk menolak tawaran menjadi Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau dalam bahasa Inggerisnya, National Unity Consultative Council (NUCC).

Saya menolak tawaran itu kerana khuatir akan menjadi alat bagi memanjangkan tuntutan-tuntutan pihak tertentu yang sentiasa mencari peluang menguatkan kedudukan mereka dengan menghakis hak-hak orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan agama Islam, sambil mengekalkan hak-hak mereka.

Saya takut sekiranya saya akan menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dan agama Islam. Saya berbuat demikian sebelum saya mengetahui komposisi dan nama ahli-ahli MKPN. Apabila saya melihat komposisi dan nama ahli-ahli MKPN, saya lebih yakin bahawa keputusan saya itu adalah betul.

Besar kemungkinan MKPN akan menjadi saluran untuk pihak yang mendukung program parti pembangkang terutama DAP dan PKR (manakala Pas, seperti biasa akan menurut sahaja) dan ahli-ahli Melayu/Islam tidak akan dapat mempertahankan kedudukan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ada yang tidak akan mempertahankannya kerana fahaman mereka yang liberal itu.

Ahli-ahli yang terdiri daripada anak negeri Sabah dan Sarawak terutama beragama Kristian, yang kurang senang dengan isu kalimah Allah, juga akan bersekongkol tanpa menyedari hak-hak mereka juga akan terhakis.

Siapakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar MKPN? Pengerusinya ialah Ahli Parlimen Pas Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Timbalan Pengerusinya ialah bekas Presiden Majlis Peguam, Lee Chee Wee.

Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), secara sengaja atau tidak, sedar atau tidak, telah menyerahkan tugas menetapkan dasar dan menyediakan draf rang-rang undang-undang berikut kepada pembangkang: Racial and Religious Hate Crime Billl; National Harmony and Reconciliation Bill; dan National Harmony and Reconciliation Commission Bill.

Mengapa saya kaitkan Majlis Peguam dengan pembangkang? Semua orang tahu pendirian Majlis Peguam mengenai politik tanah air. Tidak perlu saya menghabiskan ruang untuk menurunkan fakta-fakta menyokong kenyataan ini. Bagaimanapun saya akan ceritakan satu peristiwa yang berlaku semasa menjadi Ketua Hakim Negara.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Majlis Peguam mengadakan Majlis Makan Malam Tahunan. Untuk menjaga hubungan baik di antara badan kehakiman dan Majlis Peguam, saya hadir. Majlis itu tidak ubah seperti majlis menyambut kemenangan parti pembangkang. Antara lain, Datuk S. Ambiga berkata; "Akhirnya para pengundi telah matang". (Soalan saya: Adakah pengundi hanya matang apabila mereka mengundi pembangkang, khususnya DAP dan PKR?)

Cecil Rajendra, peguam-penyair dari Pulau Pinang pula menulis puisi memuji peguam-peguam yang memenangi pilihan raya atas tiket DAP dan PKR. Sebelum membaca puisinya, beliau memanggil mereka naik ke pentas dan mengisytiharkan sebagai, 'our heroes'.

Itulah majlis rasmi Majlis Peguam yang menjemput Ketua Hakim Negara sebagai dif kehormat! Saya berfikir sama ada hendak meninggalkan majlis itu atau tidak, tetapi kerana tidak mahu membuat heboh, saya sabar. (Mungkin itu salah satu kelemahan orang Melayu, terlalu sensitif terhadap perasaan orang lain sehingga orang lain tidak perlu sensitif terhadap perasaan mereka.)

Saya difahamkan Chee Wee dan Andrew Khoo (Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam dan seorang aktivis Comango) terlibat menyediakan draf ketiga-tiga rang undang-undang itu. Naskhah awal yang saya terima melalui e-mail tertera kata-kata 'Prepared by Bar Council'. Saya juga membandingkan kedua-dua set rang-rang undang-undang itu. Banyak peruntukan serupa, seksyen demi seksyen.

Apa salahnya jika pembangkang dilantik menjadi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa itu? Ia bererti, paling kurang setelah BN berhempas-pulas untuk memenangi PRU-13, ia mengetepikan para pengundinya untuk mengambil hati pembangkang.

Jika demikian untuk apa penyokong-penyokong BN terutama sekali UMNO bekerja keras memberi kemenangan kepada UMNO dan BN? Pembangkang pula tidak perlu bekerja keras untuk menang, sebab jika kalah sekalipun tetap dapat menyerapkan rancangannya untuk dilaksanakan juga.

Apa salahnya jika Majlis Peguam yang menggubal draf awal? Saya katakan, apabila diberi peluang Majlis Peguam semestinya akan menggubal seperti yang dikehendakinya, sesuai dengan kehendak parti-parti yang disokongnya iaitu DAP dan PKR.

Hal seperti ini pernah berlaku semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara. Majlis Peguam telah menggubal Rang Udang-Undang Pelantikan Hakim-Hakim. Draf itu dibawa kepada Perdana Menteri (pada masa itu) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (pada masa itu), Datuk Zaid Ibrahim. Oleh kerana ia melibatkan Badan Kehakiman, saya diberi satu salinan.

Ringkasnya, mengikut draf itu suruhanjaya akan menentukan siapa yang akan dilantik menjadi hakim dan siapa yang akan naik pangkat sehingga menjadi Ketua Hakim Negara. Dalam draf Majlis Peguam itu, majoriti ahli suruhanjaya itu adalah peguam. Ertinya peguam-peguamlah yang akan menentukannya. Saya membantahnya. Antara lain, saya berkata: "Jika Rang Undang-undang ini diluluskan, hakim-hakim akan melutut kepada peguam-peguam."

Akhirnya, rang undang-undang itu dipinda dan peruntukan mengenai ahli-ahli yang terdiri daripada peguam-peguam dikeluarkan. Tidakkah kita belajar daripada kesilapan itu? Atau, dalam hal ini, adakah ia disengajakan, cuai atau kerana tidak dapat berfikir?

Saya difahamkan bahawa Chee Wee, bersama-sama Christopher Leong (Presiden Majlis Peguam) dan Andrew Khoo telah pun turun padang untuk mempromosikan agenda mereka. Seperti yang ditegaskan oleh MKPN, rang-rang undang-undang itu berada di peringkat rundingan. Walaupun ia masih di peringkat rundingan, soalan saya mengapa pembangkang termasuk Majlis Peguam dan Comango diminta, dibenarkan, dibiarkan untuk menetapkan dasar dan menggubalnya, sedangkan mereka mempunyai agenda sendiri?

Mengikut amalan biasa, apabila kerajaan hendak membuat sesuatu undang-undang, kerajaan (kementerian atau jabatan) akan terlebih dahulu membuat keputusan dasar. Selepas itu kementerian/jabatan akan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (melalui pegawai-pegawainya di kementerian atau jabatan itu). Tugas Peguam Negara adalah untuk menggubal seperti yang dikehendaki oleh sesuatu kementerian atau jabatan. Mengapa amalan itu tidak diikuti?

Dalam hal ini, amat menghairankan mengapa jawatankuasa itu bukan sahaja diberi tugas untuk mendraf rang-rang undang-undang, bahkan menetapkan dasar mengenainya. Peguam Negara pun tidak diberi tugas seperti itu.

Perlu ditegaskan bahawa saya tidak menentang pihak pembangkang dirunding mengenai rang-rang udang-undang itu. Tetapi, janganlah sampai menyerahkan penentuan dasar dan penggubalan kepada mereka. Mereka tentu sekali akan menetapkan dasar dan menggubal mengikut kehendak mereka. Ini kita dapat lihat daripada kandungan draf rang-rang undang-undang tersebut.

Kerajaan BN, terutama sekali UMNO dan juga Pas akan bertanggungjawab jika undang-undang itu diluluskan dan ia akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Pemimpin-pemimpin anak negeri Sabah dan Sarawak juga tidak akan terlepas daripada tanggungjawab itu. Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara. Utusan/Rencana/20140702

Isu-Isu Akhbar Cina ~ MCA , PTPN

PELUANG TERAKHIR MCA


AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 30 Jun 2014 meramalkan masa depan MCA akan musnah sekiranya parti itu tidak memanfaatkan dengan sebaik-baiknya peluang menyertai semula barisan Kabinet.

Artikel bertajuk 'Peluang terakhir untuk MCA' yang merupakan pandangan pengarang akhbar berkenaan disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Dua hari selepas menyertai semula Kabinet, kekecohan berlaku dalam MCA apabila Presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik sebagai Menteri Pengangkutan baharu dijadikan sasaran serangan oleh bekas Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Dalam satu perjumpaan dengan perwakilan MCA Bahagian Batu Pahat, Johor pada 27 Jun lalu, Soi Lek menuduh Presiden enggan memperkenan anaknya yang juga Naib Presiden parti, Datuk Chua Tee Yong untuk berada dalam barisan Kabinet.

Soi Lek menafikan sama sekali portfolio Timbalan Menteri Kewangan yang kini disandang Tee Yong adalah hasil cadangan nama diberikan Tiong Lai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ramai melihat tuduhan yang dilemparkan Soi Lek terhadap Tiong Lai ini tidak lebih sekadar satu usaha untuk menimbulkan semula perbalahan dalaman MCA.

Turut meluahkan perasaan tidak berpuas hati ialah bekas ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, Loh Seng Kok yang mahu Tiong Lai secara terbuka menjelaskan pertukaran beberapa jawatan dalam parti yang dibuat tanpa perbincangan dan pengetahuan individu berkenaan.

Ia termasuk pertukaran jawatan Seng Kok sendiri sebagai Setiausaha Agung Koperasi MCA dan jawatan Koh Nai Kwong daripada ahli CC ke jawatan timbalan naib presiden.

Seng Kok mendakwa, setiap kali rombakan dilakukan biasanya akan dibincangkan di peringkat dalaman, namun kepemimpinan sekarang langsung tidak memaklumkannya termasuk menukar beberapa juruaudit profesional MCA.

Tenteramkan dahulu isu dalaman MCA, barulah parti boleh mengorak langkah keluar untuk menghadapi musuh.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan PRU 2013, MCA tewas teruk umpama sebuah gunung yang tumbang.

Perebutan kuasa dalam MCA dikenal pasti punca sebenar kenapa parti itu kalah teruk ketika dua PRU sebelum ini. Sekarang MCA masih lagi mahu bercakaran sesama sendiri. Adakah pada PRU akan datang parti itu masih berpeluang untuk bangkit kembali?

Ketika zaman kegemilangannya, MCA mempunyai empat jawatan menteri dan 13 jawatan timbalan menteri, tetapi kini merudum apabila hanya tinggal dua jawatan menteri dan tiga jawatan timbalan menteri.

MCA kini berada dalam kedudukan yang amat genting. Jika ia masih dibelenggu dengan sifat tidak sedarkan diri, sudah pasti parti berkenaan akan jatuh lebih teruk. Orang Cina yang akan menyokong MCA akhirnya tidak sampai 15 peratus.

Penyelesaian terbaik ialah kepemimpinan MCA perlu bersatu hati. Seperti pepatah Cina menyebut, sudah tahu bersalah mengaku sahajalah.

PRU akan datang adalah peluang terakhir MCA. Jika dalam parti masih berpuak-puak, sudah pasti tidak lama lagi MCA akan menjadi sebuah kata nama dalam buku sejarah. Tidak akan lagi ada orang yang memandang MCA dengan perasaan simpati.

Semasa Najib umumkan tambahan anggota Kabinet, beliau secara berterus-terang berkata, langkah itu bertujuan membawa masuk wakil MCA walaupun bilangan jawatan menteri yang parti itu peroleh tidak begitu memberangsangkan.

MCA sendiri telah memilih jalan untuk masuk ke dalam Kabinet. Buatlah bersungguh-sungguh yang mana patut dan jangan hampakan tanggungjawab yang diberikan.

HUKUM PEMINJAM TIDAK BAYAR HUTANG

ISU 180,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih lagi tidak membayar hutang mereka setelah mendapat pekerjaan turut diulas akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 25 Jun 2014.

Artikel yang merupakan pendapat pengarang akhbar itu bertajuk 'Hukuman keras terhadap mahasiswa tidak bayar hutang pinjaman' disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Menurut satu bidalan, mereka yang memulangkan pinjaman ialah manusia mulia, manakala mereka yang tidak membayar pinjaman ialah manusia licik.

Mereka yang tidak memulangkan wang yang dipinjam daripada agensi kerajaan sudah pastinya manusia yang sangat licik.

Hari ini, ramai cerdik pandai setelah berjaya menamatkan pengajian dengan pinjaman PTPTN cuba mencari pelbagai alasan untuk tidak memulangkan wang berkenaan sehingga menjejaskan peluang orang lain untuk membuat pinjaman.

Cerdik pandai yang bersikap seperti ini boleh diumpamakan seperti mereka yang menuntut ilmu sampah dalam longkang!

Menurut laporan PTPTN, jumlah keseluruhan wang yang belum dibayar adalah sebanyak RM1.3 bilion yang melibatkan 19 peratus daripada keseluruhan peminjam.

Sikap graduan tidak mahu melunaskan bayaran pinjaman menyebabkan enam bulan terakhir tahun ini, lebih 50,000 mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak akan mendapat wang pinjaman PTPTN.

Sebenarnya isu ini telah berlarutan begitu lama. Sebelum ini pihak PTPTN pernah mencadangkan supaya pelajar yang tidak membayar kembali pinjaman disenaraihitamkan dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) bagi memaksa mereka melunaskan hutang.

Bagaimanapun, kerana pelbagai sebab kerajaan mengabaikan cadangan itu sehingga menyebabkan PTPTN berada dalam keadaan yang meruncing sekarang.

Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan alternatif lain bagi membantu PTPTN termasuk mengkaji cadangan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) agar majikan dibenarkan memotong gaji pekerja setiap bulan bagi melunaskan hutang berkenaan.

Sudah sampai masanya PTPTN menyenaraikan di dalam CCRIS dan menghadapkan ke mahkamah peminjam yang masih liat membayar hutang walaupun telah mendapat pekerjaan.

Kita tidak boleh berlembut dengan orang yang mempermainkan tanggungjawab mereka untuk membayar kembali pinjaman kerana tindakan itu telah menjejaskan hak pemohon baharu.

Jika kita terus memanjakan individu yang liat untuk membayar hutang, lebih banyak lagi hak orang lain yang mereka akan rampas.

Kepada peminjam yang benar-benar tidak mampu, mereka hendaklah diberi peluang untuk membayar balik hutang dalam jumlah paling minimum setiap bulan walaupun tempoh pembayaran balik pinjaman akan menjadi lebih panjang. Utusan/Rencana/20140703

Peranan stake holders dalam PBS

KUALA LUMPUR 27 Jun - Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) perlu dihayati semua stake holders yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaannya bagi mereali­sasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan berdaya saing dan holistik.

Menurut Ketua Sektor, Sektor Pengen­dalian Peperiksaan Menengah Rendah, Johara Abdul Wahab, pihak terbabit dimaksudkan termasuk pentadbir sekolah, guru sekolah, ibu bapa, pihak berke­pentingan selain murid sendiri.

“Setiap daripada mereka mem­punyai peranan masing-masing dalam memastikan PBS dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan optimum," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi pentadbir sekolah kata Johara, peranan mereka dilihat penting dalam menyokong program pembangunan staf secara berterusan yang merangkumi aspek pengetahuan dan kaedah pelaksanaan Pentaksiran Sekolah.

Selain itu katanya, pentadbir sekolah perlu menyediakan peralatan dan bahan selain kemudahan kepada guru seba­gai sokongan moral kepada mereka untuk melaksanakan Pentaksiran Sekolah.

“Pentadbir sekolah merujuk guru besar dan pengetua perlu menjalankan pementoran, pemantauan, penyelarasan dan pengesanan agar guru melaksanakan PBS mengikut garis panduan yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan, ‘‘ katanya.

Sementara itu, Johara berkata, Pentaksiran Sekolah yang dilaksanakan sepenuhnya oleh guru berperanan memantau, mentaksir dan me­lapor perkembangan pembelajaran setiap pelajar.

Antara tugas penting guru katanya, mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar dalam pembelajaran untuk tindakan susulan yang berkesan.

“Guru perlu mendapatkan profil murid atau gambaran tentang perkembangan pembelajaran pelajar bagi membolehkan mereka merancang pengajaran yang lebih berkesan melalui program intervensi atau pemulihan.

Dalam hal ini, katanya, pihak berkepentingan perlu mengetahui dan memahami transformasi pendidikan dalam aspek pentaksiran.

Sebagai ibu bapa kata Johara, mereka perlu menggalakkan anak-anak mengambil bahagian dalam aktiviti PBS selain memastikan mereka bertanggungjawab melaksanakan tugasan pentaksiran mengikut prosedur ditetapkan.

“Paling penting, ibu bapa harus bersikap terbuka terutama dalam memahami dan mengiktiraf kewujudan perbeza­an individu yang membabitkan anak mereka.

“Selain itu, ibu bapa juga tidak boleh alpa sebaliknya harus mengambil tahu perkembangan pembelajaran anak me­lalui komunikasi dengan mereka," katanya.

Menurut Johara, pelaksanaan PBS ternyata memberi fokus kepada pelajar yang mana mereka adalah ‘komponen’ terpenting dalam melibatkan diri dengan aktiviti pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran.

“Sebaiknya pelajar melaksa-nakan tugasan pentaksiran mengikut kemampuan ma­­­sing-masing selain mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri berdasarkan maklum balas daripada guru dan memperbaiki prestasi.

“Mereka harus mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada guru atau rakan sebaya cara memperbaiki pembelajaran dan prestasi," katanya.

Utusan/Pendidikan/20140628

PBS lengkapi pelajar depani globalisasi

PELAKSANAAN Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bermula 1 April lalu di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan termasuk sekolah swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan.

Ia dilaksanakan setelah Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2010 bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan.



Dr. Sulaiman Hashim
Timbalan Pengarah (Operasi) Lembaga Peperiksaan

Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah pada sesi persekolahan tahun 2012.

Ketika awal, pelaksanaan PBS mencetus keresahan di kalangan masyarakat khususnya guru dan ibu bapa yang masih belum yakin selain tidak jelas hala tuju PBS pada masa depan.

Wartawan Utusan, RAJMAH HASAN dan jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON menemu bual Timbalan Pengarah (Operasi) Lembaga Peperiksaan, Dr. Sulaiman Hashim bagi mendapatkan gambaran sebenar penerimaan PBS setakat ini.

UTUSAN: Apa itu PBS dan bagaimana ia beroperasi?

DR. SULAIMAN: PBS adalah dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistic) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).

Menerusi komponen PS, pentadbiran dilaksana guru sebagai sebahagian daripada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah. Ia melibatkan pentaksiran sebagai pembelajaran, pentadbiran untuk pembelajaran dan pentaksiran tentang pembelajaran.

Ia boleh dilaksanakan menerusi pemerhatian atau kajian berbentuk bulanan, penggal dan tahunan termasuk apa-apa bentuk pentaksiran yang menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, projek, persembahan, demonstrasi, kajian lapangan atau kajian kes.

Dari aspek pentaksiran PAJSK pula, pentadbiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru untuk mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum.

Pentaksiran PPsi yang dilaksanakan di peringkat sekolah untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

Bagi aspek PP pula, pentaksiran yang mana pihak sekolah mentadbir instrumen serta mentaksir, memberi skor terhadap respons murid berdasarkan instrumen dan panduan penskoran yang setara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan.

Pendek kata, PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.

Benarkah ketika awal pelaksanaan PBS mendapat tentangan daripada guru. Dan apa yang telah dilakukan bagi meningkatkan keyakinan mereka menjayakan PBS?

DR. SULAIMAN: Tidak dinafikan ada sedikit kelonggaran di sana sini ketika awal pelaksanaannya.

Bagi memantapkan pelaksanaan PBS, kita telah melaksanakan kajian semula serta melakukan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaannya agar menjadi lebih mesra guna.

Antara penambahbaikan yang dilakukan termasuk Dokumen Standard Prestasi (DSP) diganti menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid yang lebih fleksibel bagi membantu guru untuk beri fokus terhadap PdP serta merancang pentaksiran se-suai untuk murid.

Menerusi DSP ini, guru hendaklah mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid.

Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.

Seterusnya penambahbaikan Fail Perkembangan Murid (FPM), Fail Showcase (FS) dan Rekod Transit yang mana guru tidak perlu lagi menyediakan FPM, FS dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut keperluan kreativiti dan kesesuaian masa guru.

Penambahbaikan juga dibuat daripada aspek Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang mana guru tidak lagi perlu mengisi data secara online yang menyukarkan mereka selama ini. Sebaliknya guru boleh merekod perkembangan pembelajaran murid secara offline atau secara normal mengikut ke­sesuaian guru.

Setakat ini kira-kira 6,000 guru telah mengikuti kursus latihan PBD anjuran Lembaga Peperiksaan dan kita sasarkan lebih 60,000 akan mengikuti kursus sama. Alhamdulillah setakat ini guru-guru mula menunjukkan reaksi positif untuk sama-sama menjayakan PBS biarpun masih ada beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan lagi dari semasa ke semasa.

Benarkah PBS tidak mementingkan pe­periksaan dan itu antara kerisauan ibu bapa?

DR. SULAIMAN: Tidak benar sama sekali. Biarpun tidak melaksanakan sistem peperik­saan awam berpusat seperti mana PMR, PBS sebaliknya menekankan pentaksiran pelajar yang dibuat secara berterusan dan tidak bersifat terlalu berorientasikan peperiksaan. Walaupun tiada peperiksaan awam sepanjang dua tahun semasa di tingkatan satu dan dua, setiap pelajar masih dinilai kemampuan mencerap ilmu berdasarkan kemampuan mereka memahami setiap topik diajar.

Di sini, tugas guru mengenal pasti jika ada antara pelajar yang tidak dapat mengikuti pembelajaran dan mereka akan diberi perhatian sama menerusi program intervensi atau pemulihan. Berbanding Penilaian Menengah Rendah (PMR), peperiksaan awam dibuat secara ‘bermusim’ dan pelajar cenderung untuk menghafal untuk berjaya.

PBS menekankan kemahiran komunikasi dan kemahiran. Hakikatnya, pelajar PBS daripada segi mental dan fizikal akan lebih bersedia untuk menghadapi dunia globalisasi pada masa depan.

Tidakkah tindakan memansuhkan PMR yang telah dilaksanakan dari tahun 1993 hingga 2013 itu satu usaha terburu-buru apabila menggantikannya dengan PBS yang hanya diperkenalkan dua tahun lalu?

DR. SULAIMAN: Kerajaan sebenarnya tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan se­suatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PMR dimansuhkan.

Hakikatnya, kajian mengenai PBS telah lama dibuat iaitu sejak tahun 2007 lagi kementerian sudah ada pasukan yang meneliti isu berbangkit.

Lagipun, jika melihat kepada perkembangan ilmu di dunia, banyak pakar mengatakan Malaysia sepatutnya sudah lama me­laksanakan PBS kerana sistem sama telah dilaksanakan oleh kebanyakan negara maju dan mereka telah lama menghapuskan peperiksaan berpusat yang mengukur pencapaian dalam pembelajaran bilik da­rjah untuk murid sekolah rendah dan menengah.

Jika mahu melahirkan modal insan berdaya saing pada masa depan, Malaysia harus nekad meneruskan PBS. Biarpun keberkesanannya masih belum terbukti, sekurang-kurangnya masyarakat perlu menyokong bagi menjayakan pelaksanaan PBS. Utusan/Pendidikan/20140628

PT3 bukan sekadar peperiksaan

MUNGKIN ada yang bertanya mengapa Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan. Persoalan dilontar setelah mengambil kira tempoh pelaksanaan sistem peperiksaan berpusat itu selama dua dekad bermula 1993. Persoalan itu diperjelaskan Ketua Sektor, Sektor Pengendalian Peperiksaan Menengah Rendah dan Rendah, Kementerian Pendidikan, Johara Abdul Wahab kepada wartawan Mingguan Malaysia, RAJMAH HASAN dan jurugambar SHIDDIEQIIN ZON dalam satu wawancara di ibu negara baru-baru ini.




Johara Abdul Wahab,  Ketua Sektor, Sektor Pengendalian Peperiksaan Menengah Rendah dan Rendah,
Kementerian Pendidikan,

UTUSAN: Boleh puan terangkan apakah itu Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)?

PT3 adalah satu daripada komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana murid ditaksir untuk menilai pencapaian akademik mereka di pe­ringkat menengah rendah iaitu di Tingkatan 3.

Soalan PT3 disediakan berasaskan sukatan pelajaran Tingkatan 1, 2 dan 3.

Bilakah pelaksanaan PT3 ini bermula?

Pelaksanaan PT3 dijalankan secara berperingkat seperti Jadual 2 berikut:

Apa kelebihan PT3 berbanding PMR sehingga sistem peperiksaan berpusat yang telah dilaksanakan 20 tahun lalu dimansuhkan?

JOHARA: PT3 yang dilaksanakan adalah satu komponen pentaksiran berasaskan sekolah, manakala PMR adalah peperiksaan berpusat yang dijalankan serentak di semua sekolah di seluruh negara.

PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan dari segi penyediaan kertas soalan, pentadbiran peperiksaan, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan.

Bagi PT3 Lembaga Peperiksaan menyediakan instrumen pentaksiran (soalan), pan­duan penskoran dan menetapkan tempoh pelaksanaan tetapi pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan dilakukan oleh pentadbiran sekolah.

Bukankah sistem peperiksaan berpusat selama ini telah berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang?

JOHARA: Memang benar sistem peperik­saan terbukti melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi intelek atau pencapaian akademik.

Tetapi hasrat sistem pentaksiran kini adalah lebih dari hanya memberi penekanan dan melaporkan pencapaian akademik murid .

Tujuan pentaksiran adalah lebih meluas lagi, kita harus mewujudkan pentaksiran yang dapat merubah teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan dan lebih yakin dengan potensi diri.

Perubahan ini perlu bagi menjayakan program transformasi pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.


Sejak PT3 diperkenalkan, antara kerisauan ibu bapa adalah anak mereka tidak lagi berpeluang memasuki tingkatan empat di sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah sukan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana tiada lagi Pernyataan Keputusan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR). Berasaskah kebimbangan ini?

JOHARA: Ia tidak benar. Biarpun tanpa Pernyataan Keputusan PMR, murid masih boleh menggunakan pelaporan PT3 untuk memasuki mana-mana sekolah termasuk SBP, sekolah menengah kebangsaan agama atau MRSM.

Malah melalui PBS, pelaporan peringkat menengah rendah memberi gambaran tentang kebolehan dan perkembangan potensi murid yang lebih menyeluruh kerana me­rangkumi empat pelaporan iaitu Pelaporan Perkembangan Pembelajaran Murid, Pelaporan PT3, Pelaporan PAJSK dan Pelaporan Pentaksiran Psikometrik.

Pelaporan ini juga dapat membantu murid membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan aliran pendidikan di peringkat menengah atas sama ada mahu memilih Aliran Sains, Sastera, Teknikal, Perakaunan dan sebagainya.

Melalui Ujian Psikometrik, akan dapat mengenal pasti kebolehan semula jadi dan kebolehan yang diperoleh murid daripada pengalaman dan persekitaran.

Maklumat tentang kecenderungan kerjaya murid pula boleh diperolehi melalui Inventori Minat Kerjaya dan maklumat tentang kecerdasan serta minat atau kecen­derungan murid diperolehi melalui Ujian Aptitud Khusus.

Sejauh mana relevan PT3 dengan pembangunan pendidikan ketika ini?

JOHARA: Biarpun PT3 tidak berasaskan peperiksaan berpusat, namun pelaporan PT3 akan digunakan sebagai salah satu pelaporan untuk menentukan kemasukan pelajar Tingkatan 4 sama ada di SBP, sekolah menengah kebangsaan agama, MRSM termasuk sekolah menengah teknik dan kolej vokasional.

Kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga akan menggunakan pelaporan PAJSK dan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan pelajar bersesuaian dengan kemampuan, minat dan potensi diri.

Jelaskan operasi PT3 yang berasaskan sekolah?

JOHARA: Melalui PT3, pihak sekolah akan menyediakan jadual pentadbiran, menguruskan pentadbiran pentaksiran, memeriksa skrip jawapan murid berpandukan panduan penskoran yang disediakan Lembaga Peperiksaan dan mencetak pelaporan PT3.

Jika PT3 berasaskan sekolah, apa pula fungsi Lembaga Peperiksaan (LP) dalam perkara membabitkan operasinya?

JOHARA: Dari segi pengoperasian, LP menyediakan jadual kerja, peraturan pentadbiran serta panduan penjaminan kualiti. LP serta personel pentaksiran yang dilantik akan menjalankan penjaminan kualiti bagi memastikan pentadbiran PT3 dan pemeriksaan skrip jawapan dilaksanakan mengikut peraturan pentadbiran, garis panduan dan panduan penskoran yang disediakan oleh LP. Pelaksanaan penjaminan kualiti adalah pen­ting bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan gred yang diterima murid.

Bagaimana Pelaporan Pentaksiran Psikometrik berfungsi membantu pelajar membuat pilihan aliran di tingkatan empat?

JOHARA: Laporan ujian psikometrik boleh digunakan dalam penempatan murid ke aliran yang sesuai dengan minat, bakat, potensi diri dan perancangan masa hadapan mereka.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pula melaporkan aktiviti jasmani, sukan, kokurikulum dan ekstra kurikulum seseorang murid. Laporan ini dapat memberi input tentang penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam sukan, permainan, kelab, persatuan, badan beruniform.

Tahap fizikal murid juga dilaporkan me­lalui Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Body Mass Index (BMI).

Laporan terperinci ini dapat memberi maklumat awal tentang bakat dan kebolehan pelajar dari aspek kepemimpinan, ke­­upayaan fizikal dan keunggulan sahsiah.

Memandangkan penilaian PT3 dibuat oleh sekolah masing-masing dan tidak lagi oleh Lembaga Peperiksaan, timbul kesangsian terhadap integriti guru yang membuat taksiran. Apa komen puan?

JOHARA: Bagi memastikan pengurusan PT3 ditadbir dengan berkesan, LP akan sentiasa memantau dan menilai pelaksana­annya.

LP telah menyediakan Panduan Penjaminan Kualiti bagi memastikan pentadbiran PT3 dan pemeriksaan skrip jawapan mematuhi garis panduan yang telah disediakan.

Lagipun kita akan pentaksir kawasan yang akan membuat semakan ke atas skor atau pemarkahan yang dibuat oleh guru-guru pentaksir sekolah.

Jadi tidak timbul soal guru pentaksir terlalu tegas atau terlalu lenient sebab mereka membuat taksiran mengikut garis panduan.

Oleh itu semua pihak tidak perlu bimbang atau sangsi dari segi kesahihan dan kebolehpercayaan pentaksiran itu kerana akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Adakah pelaksanaan PT3 akan dapat mengurangkan kritikan sesetengah pihak yang mengatakan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan?

JOHARA: Sudah tentu. Hal ini kerana dengan PT3, penekanan tidak lagi terhadap keputusan peperiksaan cemerlang semata-mata sebaliknya penglibatan pelajar menjawab soalan di dalam kelas, me­­nyiapkan kerja rumah selain penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum.

Matlamat pendidikan seharusnya se­perti yang termaktub dalam Falsafah Pendi­di­kan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan dan pa­da masa sama, dapat mengembangkan bakat dan potensi diri.

Penambahbaikan sistem pentaksiran ini dapat menyediakan warga negara yang akan berbakti dan memberi sumbangan bererti kepada agama, bangsa dan pembangunan negara. Utusan/Pendidikan/20140629

Ibu bapa yakin anak mereka lebih cemerlang

KUALA LUMPUR 29 Jun - Golongan ibu bapa rata-ratanya teruja dengan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai esok, kerana meyakini sistem penilaian pelajar yang baru diperkenalkan itu mampu membantu anak-anak mereka lebih berminat dengan pembelajaran.

DI ALOR SETAR, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sri Gunung, Zubair Hussain, 50, yakin pelaksanaan sistem pentaksiran baharu itu akan turut membangkitkan minat para pelajar yang lemah dalam bidang akademik untuk ke sekolah menuntut ilmu.



SITI Nur Zakirah Mohd. Zaki, pelajar SMK Perempuan Bandaraya (kanan), Chia Jun Hang, pelajar SMK Maxwell (tengah) dan Y. Vindhini dari SMK (P) Taman Petaling antara yang terlibat dengan pelaksanaan PT3.

"Daripada apa yang saya faham, para pelajar akan dinilai mengikut kemampuan mereka dalam bidang tertentu dan bukannya akademik semata-mata.

"Sudah tentu mereka akan berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang yang mereka minati untuk mendapat markah yang baik.

"Setidak-tidaknya mereka yang lemah dalam akademik tidak bosan untuk ke sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau seperti ibu bapa lain bagaimanapun berharap sesi penerangan mengenai konsep ini diperbanyakkan bagi menghilangkan keraguan terhadap kebaikan PBS.

Bagi kebanyakan generasi lama katanya, mungkin ada yang tidak bersetuju dengan PBS kerana beranggapan sistem penilaian pelajar berasaskan peperiksaan berpusat yang diamalkan selama ini merupakan cara terbaik untuk menilai pelajar.

"Namun kita perlu akur dengan peredaran masa. Apabila kementerian sudah buat keputusan begini yang tentunya dinilai oleh para pakar, saya fikir mereka perlu diberi peluang untuk membuktikannya," ujarnya.

Sementara itu, seorang bapa, Loganathan Rajendra, 44, turut bersetuju PT3 yang merupakan salah satu segmen pentaksiran di bawah Pentaksiran Bersepadu Sekolah (PBS) mampu mendidik individu menjadi lebih berkemahiran dalam menjalani kehidupan.

"Tidak guna kita melahirkan individu yang cemerlang di atas kertas peperiksaan tetapi akhirnya gagal berkomunikasi dengan baik. Saya fikir PBS dan PT3 mampu memberi jawapan kepada masalah itu selain mendidik anak-anak supaya kerap berfikir bagi menyelesaikan masalah dan isu.

"Namun cara bagaimana ia diimplementasi perlu diperjelaskan," katanya.

Di SARAWAK, seorang bapa, Abdul Aziz Harun, 49, berkata, dia memang teruja dengan pelaksanaan PBS dan PT3 setelah dimaklumkan sistem penilaian terbaru itu memberi banyak kebaikan kepada pelajar.

"Saya mempunyai seorang anak yang akan memasuki tingkatan tiga tahun depan dan menjadi antara kumpulan pelajar terawal di negara ini bakal menggunakan PBS dan PT3.

"Memandangkan saya sebagai ibu bapa belum memahami sepenuhnya sistem itu, saya berharap pihak sekolah dapat memberikan taklimat dan penerangan kepada ibu bapa agar lebih memahami PBS dan PT3," katanya.

Seorang ibu, Teo Siok Cheng, 36, turut menyokong penuh sistem penilaian baharu diperkenalkan itu kerana yakin mampu memberi kebaikan kepada anaknya dalam pembelajaran.

"Anak perempuan saya, Celine Chang Li Xin akan memasuki Tingkatan 3 tahun depan dan pasti dia berasa gembira kerana tidak perlu lagi berasa terbeban untuk menduduki PMR," katanya.

Di IPOH, pekerja swasta, Mardiati Rahim, 40, berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya yang PT3 ini lebih baik bukan sahaja kerana tidak lagi berorentasikan peperiksaan tetapi corak penilaiannya lebih mudah kerana memberi ruang dan peluang kepada pihak sekolah menilai sendiri pelajar mereka.

"Pada saya ia amat baik kerana sebelum ini ibu bapa memberi penekanan berlebihan terhadap peperiksaan menyebabkan aktiviti kokurikulum anak mereka terabai sedangkan sudah terbukti aktiviti tersebut dapat membentuk dan membina keupayaan pelajar selain mengembangkan bakat kepimpinan, membina sahsiah dan keperibadian mereka," katanya.

Pengurus Jualan, Nur Airini Norzid, 40, pula berkata, selain guru dan pelajar, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan seseorang pelajar tersebut.

Justeru, dia berharap ibu bapa didedahkan dengan setiap program yang diikuti pelajar di sekolah termasuk sistem baru yang ingin dilaksanakan kerajaan supaya golongan itu tahu peranan yang patut mereka laksanakan.

Di SHAH ALAM, seorang bapa yang mempunyai anak di Sekolah Menengah Seksyen 24 (2), Shah Alam, Dr. Faizal Md. Aris berkata, PT3 perlu diterima oleh semua ibu bapa kerana sistem pendidikan berubah selaras dengan perkembangan semasa.

Jelasnya, sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka perlu benar-benar memahami bagaimana perubahan sistem pendidikan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan mengikut keperluan dan tuntutan masa depan.

"Ada pihak yang masih keliru dengan perubahan dalam sistem penilaian pelajar tanpa peperiksaan berpusat seperti PMR kerana mereka sudah terbiasa dengannya.

"Di bawah PT3, bukan pemeriksa kertas peperiksaan PMR yang menilai prestasi pelajar Tingkatan 3 tetapi guru-guru mereka sendiri meliputi semua subjek termasuk Sivik dan Pendidikan Seni," ujarnya.

Tambahnya, ibu bapa harus memahami bahawa PT3 adalah peperiksaan di bawah PBS yang disediakan oleh pihak sekolah sebagai penilaian untuk memilih pelajar ke sekolah berasrama penuh selepas tingkatan tiga.

Di PULAU PINANG pula, peniaga kecil, Abdul Aziz Man, 54, yakin matlamat pelaksanaan PBS dan PT3 adalah untuk membantu meningkatkan mutu pendidikan negara.

Bapa kepada seorang anak yang bakal menduduki PT3 tahun hadapan ini berkata, sebagai rakyat, dia meletakkan kepercayaan penuh kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha mencorak dan memajukan taraf pembelajaran anak-anak generasi akan datang.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Azizi Jasa, 43, menyokong usaha kerajaan melakukan perubahan dalam sistem pendidikan yang disifatkan perlu ke arah mencapai negara maju pada 2020.



ANGELINA SINYANG, ROKIAH ABDULLAH, ABDUL RAZAK IDRIS, MOHD. SAHRUL MOHD. dan AZIZI MAJID Utusan/Pendidikan/20140630

PT3 menilai pelbagai potensi pelajar

KUALA LUMPUR 29 Jun - Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan memberi kelebihan kepada guru untuk menilai prestasi murid secara menyeluruh dan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) harian di sekolah.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah, Ampang, Norlilah Ismail berkata, pelaksanaan PBS yang telah ditambah baik sejak April lalu memberi ‘kuasa’ kepada guru-guru untuk mempelbagaikan teknik PdP di dalam kelas secara menyeluruh berdasarkan minat serta kecenderungan pelajar dari segi akademik, kemahiran atau kokurikulum.

"Pendekatan PBS juga berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra guru dan berfokuskan pengajaran dalam kelas. Di sini guru berperanan menilai dan mengesan penguasaan murid secara adil dan saksama berdasarkan perkembangan kemajuan serta pencapaian harian di dalam kelas mengikut pemerhatian secara lisan atau penulisan pelajar," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Di PUTRAJAYA, Pengetua SMK Presint 11 (1), Puan Sri Halimah Abdul Majid berkata, sistem PBS bentuk baharu ini dapat diterima oleh semua tenaga pengajar di sekolahnya.

Hal ini kerana, menurutnya, sistem berkenaan tidak lagi membebankan guru dengan kerja-kerja perkeranian sebaliknya memberi lebih masa kepada mereka untuk memberi tumpuan kepada pengajaran.

Mengenai ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), walaupun masih terlalu awal untuk membuat penilaian kerana ia baharu di peringkat permulaan, beliau pada dasarnya berpendapat sistem pentaksiran baharu itu mempunyai kelebihan berbanding Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Hal ini kerana, katanya, kaedah penilaian prestasi akademik pelajar tidak lagi dibuat ke atas kertas jawapan yang dihantar mereka di dalam dewan peperiksaan semata-mata.

Di IPOH, Guru Kanan Kemanusiaan, SMK Sultan Abdul Jalil Shah (SMKSAJS), Rohimah Zainudin berkata, dengan sistem baru itu, penguasaan pelajar terhadap pembelajaran tidak lagi dinilai semasa peperiksaan semata-mata seperti sebelumnya sebaliknya secara menyeluruh.

Di bawah PT3, beliau menjelaskan pelajar berpeluang melakukan tugasan berbentuk kajian lapangan untuk subjek tertentu antaranya Sejarah dan Geografi yang dijalankan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah (SMK) Seri Manjung, Rusnita Aziz berkata, sistem pentaksiran baharu itu akan memudahkan dan mengurangkan beban yang ditanggung guru selama ini.

Malahan, katanya, hubungan antara pelajar dan guru semakin erat kerana guru bertindak sebagai penyelia yang menyelia aktiviti pelajar berkenaan sepanjang PT3 dinilai.

Di SELANGOR, guru SMK Alam Desa Damai, Cheras, M. Somunaidu berkata, sistem PBS yang ditambah baik pada masa kini tidak lagi membebankan guru.

"Sistem offline yang digunakan sekarang sangat mudah dan tiada lagi rungutan daripada para guru mengenai sistem ini sekarang," katanya.

Somunaidu berkata, PT3 yang mula dilaksanakan tahun ini bagi menggantikan PMR juga menyebabkan para pelajar lebih tekun kerana di dalam PT3 tidak ada lagi soalan berbentuk objektif seperti sebelum ini.

"Dengan PT3 mereka perlu menjawab soalan di dalam bentuk subjektif. Mereka tidak lagi boleh main-main dan perlu mempunyai kemahiran untuk menjawab soalan dalam sesuatu subjek.

"Saya yakin PT3 akan menjadi satu sistem pendidikkan terbaik negara jika diaplikasikan dengan betul oleh semua pihak yang terlibat," jelasnya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, keputusan Kementerian Pendidikan melaksanakan PT3 dilihat satu tindakan tepat dalam meningkatkan sistem pendidikan negara sekali gus melahirkan pelajar berkebolehan tinggi.

Bagi guru SMK Putatan, Intan Hazani Md. Zin, 32, PT3 mampu membentuk pelajar menjadi lebih berketerampilan dan berkebolehan mengikut kemahiran yang dimiliki masing-masing.

"Keistimewaan PT3 adalah sistem ini mampu melonjakkan pelajar mengikut kebolehan masing-masing ke peringkat lebih tinggi dan pemantauan daripada guru-guru akan memastikan kebolehan tersebut dapat terus digilap seterusnya melahirkan seorang pelajar berketerampilan cemerlang dalam bidang yang diminati," katanya.

Norul Huda Huri, 30, pula berpendapat PBS yang diperkenalkan semula pada April lalu mampu mengurangkan tekanan pelajar yang masih muda daripada dibebani ujian atau peperiksaan seperti sebelum ini.

Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu berkata, kecemerlangan seseorang pelajar tidak patut dinilai berdasarkan peperiksaan sahaja kerana kebolehan lain yang dimiliki boleh menjadikan individu lebih berjaya pada masa hadapan.

Di KUCHING, Pengetua SMK Semerah Padi, Mohd. Bedrie Ali Akebar menggesa ibu bapa menyokong usaha Kementerian Pendidikan memperkenalkan penambahbaikan PBS dan ujian PT3.

Hal ini kerana katanya, PT3 mempunyai banyak kelebihan berbanding PMR dari segi menilai tahap pencapaian pembelajaran murid.

"Mungkin di peringkat awal terdapat beberapa masalah untuk mengguna pakai PBS dan PT3, namun kelemahan tersebut boleh diperbaiki dan diatasi dari semasa ke semasa," katanya.

Guru bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan (SK) Serayan/Keranji Lundu, Norizansa Rukut, 33, pula melihat PBS lebih mesra guru dan tidak membebankan disebabkan tidak perlu menggunakan sistem atas talian (online) untuk merekodkan pencapaian pelajar seperti sebelum ini.

"Selepas ini, pencapaian dan keputusan pelajar hanya direkodkan menggunakan sistem manual sebelum dihantar ke Jabatan Pendidikan untuk rujukan," katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, K. Devan, 28, berkata, PT3 meletakkan tanggungjawab kepada pihak sekolah mentadbir pentaksiran, mentaksir dan memberi skor terhadap respon (jawapan) pelajar berpandukan instrumen dan panduan penskoran setara yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP).

Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di SMK Batu Kikir itu menjelaskan bagaimanapun soalan PT3 masih disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan manakala pihak sekolah akan mentadbir peperiksaan.

Di ALOR SETAR, Zul Ahmad Tarmizi Hussain, 49, guru di SMK Kubang Rotan berkata, sistem pembelajaran pada masa dahulu hanya melahirkan pelajar yang diukur melalui pencapaian akademik.

Dengan pelaksanaan PBS, katanya, para guru mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti para pelajar.

"Sistem PBS ini membuatkan para guru lebih dekat dengan pelajar dan menyedari bakat-bakat yang ada dalam diri mereka. Ini membuatkan para pelajar di negara ini tidak hanya dinilai dalam bentuk peperiksaan sahaja," katanya ketika ditemui di Jalan Gunung Keriang.

Dalam pada itu, katanya, PT3 yang mula dilaksanakan tahun ini bagi menggantikan PMR adalah satu peperiksaan yang lebih terbuka namun masih dikawal oleh Lembaga Peperiksaan.

"Jika PT3 ini mampu dijalankan dengan baik saya yakin ia akan menjadi salah satu sistem terbaik dalam pendidikan negara ini," jelasnya.

Di JOHOR, Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Misli Rosbadi, yakin PT3 yang merupakan salah satu daripada empat komponen PBS mampu untuk melahirkan seorang pelajar yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

"PT3 mengkehendaki para pelajar membuat kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi berbanding ujian bertulis sebelum ini.

"Dengan ini, para pelajar tidak lagi terikat dengan pendekatan menghafal semata-mata sebaliknya perlu menggunakan pendekatan baharu untuk menyelesaikan kerja kursus tersebut,’’ katanya.

Menurut Misli, menerusi PBS, pencapaian para pelajar bukan hanya dinilai pada akhir tahun tetapi di peringkat awal tahun lagi dan para guru akan dapat mengetahui kekuatan serta kelemahan para pelajar masing-masing.

Dengan cara itu, katanya, pelajar yang didapati kurang menunjukkan prestasi yang cemerlang dapat dibimbing sejak awal lagi agar tidak keciciran daripada pelajar lain.

Menyentuh tentang penerimaan warga pendidik kepada kedua-dua sistem pentaksiran baharu itu, meskipun mendapat maklum balas berbeza pada peringkat awal namun ia dapat diatasi dengan adanya sesi penerangan oleh Kementerian Pendidikan.



Utusan/Pendidikan/20140630

Guru tidak rasa terbeban jika berprinsip

SENTIASA berpegang kepada prinsip melakukan kerja dengan ikhlas dan melebihi kemampuan perlu diamalkan oleh setiap guru demi mendidik anak bangsa dalam mendepani suasana dan persekitaran mencabar ketika ini, kata Tokoh Guru Kebangsaan 2012, Mohd. Azman Abdul Rashid.

Menurut bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teluk Pulai, Klang itu, beliau cuba melakukan yang terbaik biarpun tugasan diberikan di luar bidang kerjaya hakiki sebagai pendidik.

Jelas beliau, sekiranya nilai-nilai tersebut ada dalam diri setiap guru, beliau yang sudah bersara kira-kira tujuh tahun lalu itu percaya golongan pendidik tidak lagi akan rasa terbeban dengan kerjaya berkenaan.

“Sebagai seorang pekerja atau pendidik yang baik, mereka akan terima kerja itu sebagai peluang untuk mendapat ilmu dan meningkatkan prestasi.

“Jika mereka bersikap sedemikian, mereka akan bersedia untuk memberi lebih masa untuk kerjaya bukan sekadar kerja ikut masa sekali gus mereka tidak akan anggap kerja itu sebagai satu beban," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mohd. Azman pernah memberi sumbangan dalam aktiviti sukan seperti menjawat jawatan Pengurus Pasukan Sepak Takraw Malaysia dan terlibat dengan aktiviti kebudayaan dalam Festival Kanak-Kanak Sedunia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, sumbangan guru kepada organisasi amat penting kerana perkara itu mampu membentuk jati diri mereka termasuk mengasah keperibadian anak bangsa.

Jelas beliau, pelajar juga perlu diberi ruang dan peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di luar pembelajaran kerana perkara itu boleh membantu dalam memajukan diri mereka dan guru itu sendiri.



Utusan/Pendidikan/20140630

Guru perlu kuasai tiga elemen

SETIAP guru perlu menguasai tiga ele­men iaitu komited, sedia berkorban serta mengamalkan perkongsian intelektual jika mahu menjadi seorang pendidik yang cemerlang.

Itu pesanan Tokoh Guru Kebangsaan 2012, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib yang menegaskan, untuk menjadi seorang guru cemerlang, mereka perlu komited dan beri komitmen terhadap kerja serta sayang kepada kerjaya perguruan.

“Malah guru-guru juga perlu sedia berkorban tanpa mengira masa. Selain itu, mereka juga perlu bersedia mengamalkan perkongsian intelektual pengalaman masing-masing.

“Ketiga-ketiga elemen ini perlu ada kerana pengorbanan guru sangat besar terutama ketika berdepan dengan para pelajar. Mereka juga perlu mening­katkan ilmu pengetahuan disebabkan keperluan pendi­dikan sekarang berubah dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubu­ngi baru-baru ini.

Ahmad Azmey yang juga me­rupakan Tokoh Guru Pahang 2011 berkata, setiap guru juga perlu me­ningkatkan pengetahuan dan kreativi­ti masing-masing disebabkan bidang pendidikan yang sentiasa berubah setiap tahun.

“Guru-guru perlu sentiasa me­ning­katkan pengetahuan lebih daripada yang sering diajar di bilik darjah terutama dalam mengatasi sesuatu masalah kerana pelajar-pelajar sekarang lebih cerdik.

“Jadi guru perlu sentiasa mengikut perkembangan semasa. Guru-guru perlu tingkatkan pengetahuan kerana keperluan semakin berubah terutama dengan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi," katanya.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Menengah dan Rendah Felda berkata, golongan pendidik juga perlu mempunyai keupayaan untuk membentuk pelajar menjadi lebih kreatif dan holistik.

“Tidak kira guru dalam mata pelajaran apa sekalipun, mereka mesti memiliki keupayaan untuk membentuk individu (pelajar) yang holistik," jelasnya.

Tambah beliau, bidang pendidikan juga perlu tertumpu kepada pembangunan sahsiah, karakter serta intelektual yang mana guru-guru perlu menjalankan program-program yang boleh membantu dalam aspek pembangunan pendidikan.

“Pastikan para pelajar dapat membentuk sahsiah secara holistik. Ini le­bih penting daripada mengutamakan akademik semata-mata," katanya.



Utusan/Pendidikan/20140630