July 7th, 2014

Kemahiran bahasa satu nilai tambah

Semua orang pasti kagum dengan kebolehan berbahasa seseorang itu malah boleh menjadi satu bonus kepadanya. Dalam konteks pelajar, graduan yang memiliki kemahiran ini mempunyai peluang besar apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

Graduan yang mendapat segulung ijazah pasti mengidamkan kerjaya yang baik untuk masa depan. Bagaimanapun, mengapa ramai graduan kita masih menganggur walaupun sudah mempunyai segulung ijazah?

Salah satu sebab­nya kerana mereka tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik selain perlu memper­baiki kelemahan bahasa Inggeris.

Ketua Penyelaras Unit Bahasa Arab Fakulti Pe­ngajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohamed Ibrahim berkata, kemahiran berbahasa amat penting untuk graduan apabila berada di alam pekerjaan.


Graduan perlu belajar untuk memupuk keinginan belajar menguasai bahasa terutama bahasa Inggeris untuk memudahkan mereka memperoleh pekerjaan. Selain itu, mereka juga jika mampu perlu menguasai bahasa lain yang mungkin berguna ketika menjalankan tugas kelak.


Kemahiran berbahasa sangat penting dalam membentuk keyakinan graduan ketika menghadiri sesi temu duga.

Apabila mahir berbahasa, kita akan lebih yakin de­ngan pencapaian diri sendiri. Ini menjadi satu bonus bagi mereka yang mempunyai kemahiran ini dan bagi yang tiada kemahiran ini, berusahalah untuk memperbaiki diri. Apabila graduan mempunyai kemahiran ini, pasaran kerja pastinya terbuka luas buat mereka.

Graduan perlu bersiap sedia dari segala aspek untuk menempuh alam pekerjaan. Selain kelulusan cemerlang, mereka mesti ada kemahiran menguasai pelbagai bahasa bagi melonjakkan kemampuan diri di pasaran kerja.


Nor Hasaniah Muhammad Yusoff ialah siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Warga kampus yang ingin berkongsi penulisan mengenai isu semasa boleh menghantarnya kepada ruhaizarusmin@mediaprima.com.my atau rencana@mediaprima.com.my . myMetro Bestari 30/06/2014

Manfaatkan peralatan terkini

Kali pertama penulis mengenali pro­ses pembelajaran menggunakan soko­ngan teknologi ialah pada 1993.

Ketika itu buat pertama kalinya penulis dan rakan seangkatan memegang komputer sehingga ada dalam kalangan kami dihimpit pelbagai perasaan.

Ada yang kelihatan cukup teruja malah ada yang kelihatan takut-takut. Pendek kata, pembelajaran menggunakan sokongan alat pembelajaran berteknologi ketika itu memang janggal.

Namun, dunia pembelajaran pelajar kini berubah dengan penggunaan teknologi seperti komputer, Internet dan pelbagai medium alam maya lain.

Bukan saja pelajar yang baru berusia setahun jagung menjadi pakar, malah sekolah tidak ketinggalan menikmati pel­bagai kemudahan bagi melancarkan proses pembelajaran sedia ada.


TIADA siapa dapat menafikan proses pembelajaran yang dilakukan dengan sokongan teknologi sangat menyeronokkan tetapi ia memerlukan komitmen daripada semua pihak agar kemudahan sedia ada mencapai objektifnya. - Gambar hiasan


Walaupun pengenalan teknologi dalam sistem pendidikan negara memberi pelbagai kebaikan, namun faktor lain tidak boleh diketepikan.


Ketaasuban pelajar misalnya boleh menyebab­kan terhakisnya konteks hubungan sosial dengan persekitaran secara tidak langsung.

Malah, ada pelajar ketagih sehingga tidak menghiraukan kepentingan lain yang perlu ­dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Justeru, apa­kah lang­kah wajar bo­leh diambil bagi memastikan penggunaan teknologi dalam kehidupan pelajar mampu dimanfaat­kan de­ngan sewajarnya dan tidak memberi impak negatif dalam jangka panjang?

Pengarah Institut Global dan Pendidikan Dalam Talian, Kolej Pendidikan University of Oregon, Amerika Syarikat, Dr Yong Zhao berkata, masyarakat perlu mengakui penggunaan teknologi dalam dunia pembelajaran antara kepentingan utama hari ini.

Beliau berkata, ia perlu dilaksanakan dalam bentuk pengawalan bagi mengelak pelajar dimanipulasi teknologi hingga menyebabkan mereka menjadi antisosial dan mengganggu pola sistem hidup bermasyarakat.

“Ada pelbagai impak akibat penggunaan teknologi dalam dunia pendidikan hari ini yang boleh memberi pelbagai kemungkinan.

“Ada kemungkinan positif seperti mereka (pelajar) akan celik teknologi dan rasa seronok belajar.

“Tapi, ada juga kemung­kinan negatif kerana sifat teknologi yang sangat pantas berkembang mampu mempengaruhi aspek kehidupan manusia hingga melupakan keperluan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, usaha semua pihak di seluruh dunia memperkasakan penggunaan teknologi dalam sistem atau silibus pendidikan mereka sangat dialu-alukan.

“Ia adalah usaha proaktif bagi melonjakkan lagi pengaksesan maklumat tanpa sempadan kepada pelajar agar mereka dapat melihat dunia baru.

“Namun, jika ia dilakukan tanpa kawalan tertentu, apa yang diperoleh itu boleh menjadi ‘bencana’ kepada sistem sosial sedia ada.

“Sedangkan sistem sosial, pendidikan, budaya dan apa juga yang ada perlu berlangsung seiring dan seimbang bagi menjamin kelangsungan manusia berada tetap pada landasan sebenar,” katanya ketika berkongsi pendapat pada seminar The Digital Education Show Asia di ibu kota, baru-baru ini.


SISTEM pendidikan yang dilaksanakan menggunakan sokongan teknologi mempunyai pelbagai kemungkinan sama ada memberi impak positif atau negatif kepada pelajar, justeru pengawalan secara berterusan sangat diperlukan. - Gambar Google


Menurutnya, teknologi maklumat yang digunakan tanpa pengawalan atau susun atur yang betul boleh memberikan impak sosial dalam jangka panjang terhadap pembangunan minda dan emosi generasi muda.

“Generasi muda itu pula sebahagian besarnya adalah pelajar. Justeru, pengawalan tanpa bimbingan dikhuatiri boleh melahirkan golongan pasif serta kurang peka.

“Sememangnya, kita tidak boleh menolak kepentingan teknologi itu. Ia (bagus) dalam memberikan kemudahan untuk proses pembelajaran.

“Namun, jika terlalu taasub pula akan mengakibatkan mereka menjadi terlalu lemah dengan diri sendiri. Mereka mungkin hebat menggunakan komputer tapi kebarangkalian untuk menjadi antisosial dengan persekitaran tetap ada,” katanya.

Beliau tetap beranggapan, penggunaan keterlaluan boleh mendatangkan kesan buruk biarpun tujuannya baik.

“Apa yang penting ialah tahap kesedaran dan pe­ngawalan penggunaan teknologi itu dalam sistem pendidikan sedia ada juga sistem lain yang berkaitan.

“Tidak salah jika kita membenarkan pelajar atau guru meneroka segala maklumat atau cara penggunaan. Buatlah asalkan ia baik dan bermanfaat.

“Namun jangan lupakan juga kepentingan lain seperti nilai pemantapan akhlak ­sebagai manusia kerana proses pembelajaran turut merangkumi aspek ini,” katanya.

Pakar neurologi, psikologi dan psikiatri yang juga Pengarah Pusat Neurosains, University of California, San Francisco, Profesor Madya Dr Adam Gazzaley berkata, walaupun teknologi seperti komputer mampu membuat segala kerja, namun ia ha­nyalah sebuah mesin yang diprogramkan.

Menurutnya, keupayaan mesin tertakluk kepada apa yang sudah diprogramkan dan ia tidak mampu ‘berfikir’ sebagai manusia.

“Sedangkan sekolah atau institusi adalah tempat untuk memberi dan mencari ilmu secara menyeluruh. Di sini, pelajar dididik untuk menjadi manusia, bukan robot.

“Dari sudut psikologi, nilai kemanusiaan perlu diserapkan dengan sentuhan emosi dan kata-kata dari­pada manusia, bukan mesin.

“Proses pembelajaran yang bergantung secara ­keterlaluan pada sokongan teknologi dan mengetepikan elemen psikologi manusia sangat berbahaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru kepada ibu bapa agar sama-sama memantau ketaasuban anak terhadap penggunaan teknologi.

Menurutnya, adalah sa­ngat menyedihkan apabila sistem interaksi terganggu kerana masing-masing lebih mementingkan interaksi bersama alam maya.

“Saya tidak kata kita perlu menghalang proses pembelajaran atau penerokaan cara ini, tapi pada masa sama perlu mengutamakan keperluan lain juga.

“Ibu bapa perlu tegas bukan saja pada anak tapi diri sendiri agar tidak terlalu fokus atau fanatik dengan tarikan teknologi.

“Berinteraksi sebagai manusia yang hidup dan jangan asyik melayan interaksi sosial yang kaku. Ia seolah-olah menafikan keistimewaan kita yang mempunyai pelbagai emosi serta perkara menarik yang boleh dilakukan,” katanya. myMetro Bestari 30/06/2014

Perkhidmatan awam dan rasuah

Tulisan ini merungkai persoalan bagaimanakah kecekapan perkhidmatan awam boleh menjamin amalan anti-rasuah, dan sama ada kecekapan di sektor ini boleh disinonimkan dengan tahap amalan rasuah yang rendah.

Rasuah adalah "pengkhianatan kepercayaan yang membawa pengaruh buruk kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, institusi swasta atau masyarakat umum" (Syed Hussein al atas 1995).

Rasuah juga adalah "perilaku yang melanggar undang-undang, regulasi dan peraturan yang lazimnya dilakukan secara rahsia. Rasuah juga adalah penyalahgunaan kuasa dan mandat awam untuk memperolehi keuntungan kewangan dan material." (Bernveniste 1997).

Selain itu, rasuah adalah "tingkah laku yang menyimpang dari tugas-tugas rasmi sebuah jabatan negara kerana keuntungan status atau wang yang menyangkut peribadi, atau (perbuatan) melanggar aturan-aturan pelaksanaan beberapa tingkah laku peribadi." (Klitgaard 2001).

Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan pula mendefinisikan perkhidmatan awam sebagai Angkatan Tentera, perkhidmatan kehakiman dan undang-undang, perkhidmatan awam am Persekutuan, pasukan polis, perkhidmatan awam bersama, perkhidmatan awam negeri, dan perkhidmatan pelajaran.

Berdasarkan definisi rasuah dan takrif perkhidmatan awam di atas, benarkah rasuah berleluasa dalam sektor awam di Malaysia kerana ketiadaan hukuman mati terhadap perasuah seperti yang dikenakan terhadap pengedar dadah?

Persoalan ini diketengahkan kerana rasuah di Malaysia hanya tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009; Ordinan 22 Darurat 1970; Akta Kastam 1967 (Disemak 1980); Kanun Keseksaan (Akta 574); Akta kesalahan pilihan raya 2009; dan Akta pengubahan wang haram 2001.

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sidang akhbar selepas mendengar pembentangan jemaah menteri
berhubung enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada Disember 2009 di Kuala Lumpur. Turut sama Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (kiri) dan Datuk Seri Idris Jala. Najib berkata beliau
secara umumnya berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan enam NKRA. Berikutan itu enam menteri kanan
dilantik menerajui NKRA itu bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) secara lebih berkesan. – BERNAMA

Undang-undang di atas menggambarkan rasuah di Malaysia disifatkan sebagai jenayah yang tidak mempunyai kesan terhadap kesejahteraan, keselamatan dan kelangsungan nasional Malaysia.

Lantaran itulah pemerintah Malaysia tidak mengklasifikasikan rasuah sebagai ancaman keselamatan, dan rasuah di sektor awam pula ditangani menerusi peningkatan mutu, produktiviti, dan kecekapan kakitangan awam.

Contohnya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (1991) menyatakan, kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha memupuk serta menerapkan budaya kerja cemerlang dengan menekankan kepada nilai-nilai murni, disiplin, kualiti, produktiviti, akauntabiliti, dan amalan bersih daripada rasuah.

Pada 19 Mac 1983, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan kempen Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan, berlandaskan konsep Bersih Cekap, Amanah (BCA), yang antara matlamatnya adalah melahirkan warga pentadbiran awam "yang mempunyai moral yang tinggi, bertatatertib, berdisiplin, tidak menyeleweng, dan tidak rasuah."

Pada 23 April 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melancarkan Pelan Integriti Negara (PIN) yang sasaran utamanya adalah "mengurangkan gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan secara berkesan."

Pada awal 2009, Parlimen Malaysia pula meluluskan kewujudan instrumen perundangan serta institusi anti-rasuah yang baru menerusi kewujudan SPRM, dengan harapan kedua-duanya akan memperhebatkan pembanterasan rasuah di sektor awam dan sektor swasta.

Pada 28 April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengisytiharkan pelaksanaan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam. Pada 27 Julai 2009, Najib pula mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau National Key Results Area (NKRA) yang antara sasarannya adalah membasmi rasuah.

Kesemua program dan tindakan di atas memanifestasikan komitmen pemerintah Malaysia untuk meningkatkan mutu serta kecekapan pentadbiran awam sebagai antara strategi membanteras rasuah.

Namun bagaimanakah inisiatif tersebut menepati jangkaan bahawa pentadbiran awam Malaysia yang cekap adalah bebas daripada rasuah? Persoalan ini diketengahkan kerana usaha mengukur prestasi dan kecekapan sektor awam "tidak mempunyai satu indikator prestasi yang khusus seperti di sektor swasta." (Mukherjee 2000).

Ini disebabkan "penilaian prestasi dan kecekapan sektor awam hanya menitikberatkan matlamat teknikal dan pengurusan organisasi terutama sekali untuk memberikan motivasi kepada warga pentadbiran awam di samping memastikan soal-soal kenaikan gaji dan pangkat." (Klingner & Nalbandian 2003).

Ini bermakna sistem penilaian prestasi tidak boleh dijadikan pengukur kepada kecekapan perkhidmatan awam, apatah lagi untuk mengukur kadar amalan rasuah di kalangan penjawat awam.

Huraian di atas diperkukuhkan oleh kajian oleh Antonio, Schuknecht & Tanzi (2003) yang mendapati bahawa kecekapan sektor awam adalah tidak sinonim dengan tahap kerendahan amalan rasuah di sektor tersebut.

Contohnya, "negara yang mempunyai tahap kecekapan yang tinggi di dunia adalah Jepun, Luxembourg, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland" . Tetapi, Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang diterbitkan oleh TI pada 2006, menunjukkan Switzerland menduduki tangga ke-7, Australia di tangga ke-9, Luxembourg di tangga ke 11, Jepun di tangga ke-17, dan AS di tangga ke-20.

IPR 2007 meletakkan Switzerland di tangga ke-5, Australia di tempat ke-11, Luxembourg di tahap ke-12, Jepun di peringkat ke-17, dan AS di tangga ke-20. IPR 2008 pula memposisikan Switzerland di tangga ke-5, Australia di tangga ke-9, Luxembourg di tangga ke 11, Jepun dan AS di tangga ke-17.

IPR di atas menunjukkan pentadbiran awam yang cekap tidak sinonim dengan tahap rasuah yang rendah; atau tahap kecekapan perkhidmatan awam tidak memberikan korelasi positif kepada kadar rasuah dalam organisasi berkenaan.

Ini sebabnya "rasuah hanya akan terhapus jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab membanteras rasuah tidak boleh dirasuah oleh sesiapa. Situasi seperti ini wujud jika badan berkuasa berkenaan mempunyai komitmen kepada ideologi perjuangan negara dan komitmen kepada profesionalisme kerjaya" (Benveniste 1997).

Rasuah juga boleh dihapuskan jika "warga perkhidmatan awam mengamalkan sistem etika dan tanggungjawab moral yang murni serta menginsafi bahawa mereka berkhidmat untuk negara dan kesejahteraan rakyat.

Namun "jika penjawat awam hanya mementingkan keselesaan peribadi, mereka akan berleluasa tanpa mengambil kira hak-hak rakyat serta integriti perlembagaan negaranya" (Dobel 1999).

Jika penjawat awam mengenepikan huraian di atas, kajian oleh Boniolo & Elbert (2005) menegaskan bahawa "rakyat Argentina mendefinisikan rasuah sebagai kerenah dan perilaku individu besar dan kecil dalam perkhidmatan awam."

Rakyat Argentina memberikan definisi sedemikian rupa kerana "rasuah memusnahkan demokrasi di Amerika Latin [menjejaskan] prestasi institusi ekonomi di negara-negara terbabit [dan] menyebabkan rakyat jelata di negara-negara terbabit hilang keyakinan kepada institusi kerajaan mereka" (ibid).

Kesimpulannya, kecekapan pentadbiran awam tidak mewujudkan tahap rasuah yang rendah di sektor awam, sementara rasuah di sektor awam hanya boleh dibanteras jika kakitangan awam "menginsafi bahawa mereka berkhidmat untuk negara dan kesejahteraan rakyat,"

Akhir sekali, adalah dirumuskan rasuah yang bermaharajalela di sektor awam di sesebuah negara "menyebabkan rakyat jelata di negara terbabit hilang keyakinan kepada institusi kerajaan mereka."

Lantas bagaimanakah penjawat awam Malaysia bertindak balas kepada rumusan di atas, dan perlukah pemerintah Malaysia mengklasifikasikan rasuah sebagai ancaman kepada kesejahteraan, keselamatan dan kesejahteraan nasional?

* Datuk Ruhanie Ahmad ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, dan kini pelajar peringkat PhD. di Universiti Kebangsaan Malaysia.  

Menteri jangan politikkan isu pendidikan demi kaum tertentu

SAYA tertarik dengan kenyataan Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Datuk Dr. Liow Tiong Lai berkaitan dengan Penempatan 51 guru Bahasa Cina daripada UPSI di Sekolah Berasrama dan Sekolah Vokasional dalam surat khabar The Star yang dikeluarkan pada Isnin, 30 Jun 2014.

Sebagai seorang bekas guru yang telah mengajar lebih 10 tahun di pelbagai posisi di Kementerian Pendidikan saya terpanggil untuk mengulas kenyataan pemimpin tersebut.

Bagi saya bakal-bakal guru ini adalah mereka yang tidak berterima kasih dengan sistem pendidikan yang ada dan wajar jika mereka ini tidak ditempatkan langsung mengajar di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia manakala pemimpin yang menimbulkan perkara ini seolah-olah menangguk di air keroh dan seperti gunting dalam lipatan.

Sedarkah mereka dasar pendidikan Malaysia adalah berasaskan kepada tolak ansur dan kerjasama semua kaum. Dewasa ini tiada lagi negara di dunia ini yang sekolahnya masih dipisahkan oleh aliran mengikut bangsa.

Sedarkah mereka juga daripada awal kemerdekaan guru-guru dari bangsa lain terutama bangsa Melayu tidak pernah gagal untuk ditempatkan di SRJKC mengajar di serata Malaysia.

Walaupun mereka ditempatkan dengan hati yang berat namun demi tugas dan tanggungjawab mereka teruskan jua mengajar di SRJKC dan SRJKT. Akhirnya lahirlah ramai bangsa Cina dan India yang memenuhi hampir separuh universiti terkemuka Malaysia termasuklah universiti swasta.

Dasar pendidikan Malaysia adalah satu dasar unik, dibentuk bagi melahirkan warga Malaysia harmoni dan bertoleransi. Janganlah kerana politik sempit ini menjadikan dasar ini diketepikan.

Andaikan jika semua guru Melayu di SRJKC menarik diri, mohon tidak mahu mengajar di SRJKC atas alasan yang sama.

Alasan Guru Melayu ini ialah mereka tidak berpuas hati mengajar Bahasa Melayu di SRJKC sebab sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu UPSR di SRJKC lebih mudah dan tidak mengikut sukatan pelajaran murid SK. Apa akan jadi di SRJKC? Ada kemungkinan SRJKC yang ada di Malaysia boleh di tutup. Adakah kaum Cina rela SRJKC ditutup sebab masalah kekurangan guru kerana dari pemerhatian saya rata-rata guru-guru yang mengajar di SRJKC bukan sahaja mengajar Bahasa Melayu tetapi mengajar juga mata pelajaran yang lain. Malahan dari pemerhatian saya ramai juga guru-guru Melayu yang mengajar di SRJKC.

Dalam situasi sekarang, penempatan guru adalah sukar berikutan kekurangan tempat. Beribu lagi guru belum ditempatkan di sekolah akibat kekurangan penempatan di sekolah.

Mereka telah terpilih untuk ditempatkan malahan bukan di pedalaman tetapi di sekolah-sekolah di tengah pekan dan di tengah bandar.

Dari aspek mengajar tidak mengikut sukatan. Itu bukan isu sebetulnya. Sebagai guru yang baru ditempatkan dengan pengalaman yang kurang jika beliau mengajar Bahasa Cina di sekolah lain pun belum tentu mereka akan mengajar mengikut apa yang mereka kehendaki.

Saya masih kurang faham kehendak guru-guru ini atau mereka sebetulnya dipergunakan oleh puak tertentu bagi melayan hasrat mereka.

Saya mohon janganlah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda politik mereka. Selama lebih 50 tahun kita merdeka sistem pendidikan telah berjalan dengan sempurna tanpa ada perselisihan yang teruk antara kaum.

Jangan kerana isu seperti ini ia menjadi onar dalam sistem kita. Saya juga ada kebimbangan, adakah politik sebegini yang diharapkan oleh YAB Perdana Menteri menarik pemimpin MCA ke Kabinet.

Baru berapa hari di Kabinet, isu sebegini ditimbulkan. Dan implikasinya jika isu sebegini terus ditimbulkan, kaum Cina tidak akan menyokong BN kerana MCA kalahpun kerajaan masih beri apa yang mereka minta, manakala sokongan Melayu pada BN pun akan jatuh kerana merasa diri tertindas. Marissa Abdullah Utusan/Forum/20140707