July 20th, 2014

Godaan politik 'awek cun' DAP

Dyana Sofya Mohd. Daud, selebriti 'cepat saji' DAP terus diusung untuk aktiviti promosi parti ini. Terakhir, gadis yang terbukti berkesan dalam mencetuskan fenomena baharu dalam politik DAP dijadual hadir untuk majlis berbuka puasa di Cheras, Rabu ini.

Bekas calon Pilihan Raya Kecil Teluk Intan berusia 27 tahun ini akan hadir bersama ADUN Balakong, Ng Tien Chee dan Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming. Umpama bintang baharu rancangan realiti, Dyana Sofya dijadikan gimik penting dalam majlis itu dengan poster bertajuk Buka Puasa Bersama Dyana Sofya.

Walaupun tidak mempunyai apa-apa jawatan parti, peluang yang jarang-jarang berlaku dan keistimewaan Dyana Sofya benar-benar dimanfaatkan malah terkesan dieksploitasi. Dalam aspek ini, DAP terlihat serius mahu mengubah wajah cauvinis Cina mahupun momokan sebagai parti komunis terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Mungkin akibat keghairahan tersebut, Roketkini sehingga tersasul apabila cuba mempromosikan seorang lagi gadis muda Melayu dalam parti itu, Syefura Othman sebagai awek cun. Portal rasmi dalam bahasa Melayu DAP itu kemudian meminta maaf atas 'kesilapan menggunakan ungkapan yang tidak begitu menyenangkan.'

Wawancara dua bahagian Roketkini dengan Syefura, 25, kemudiannya tersebar luas dalam media sosial dan dipetik oleh media-media propembangkang. Ada yang mengiktiraf Syefura yang menjadi ahli seumur hidup DAP bulan lalu itu sebagai jelitawan, gadis cantik, gadis menawan dan ikon muda. Persis ungkapan-ungkapan yang biasa didengar dalam rancangan realiti TV.

Tiba-tiba rupa paras menjadi ukuran penting kepada DAP. Tiba-tiba DAP begitu kemaruk untuk mengetengahkan ahli-ahli muda Melayu yang berwajah cantik. Tetapi semuanya komen memuji-muji DAP kerana menyediakan ruang untuk anak muda Melayu.

Tidakkah gadis-gadis cantik yang berfikiran terbuka dan berpendidikan tinggi ini sekurang-kurangnya mempunyai kritikan atau pandangan berbeza terhadap pendekatan atau perjuangan DAP? Umpamanya tentang dasar penghapusan pembahagian antara bumiputera dan bukan bumiputera dan pelaksanaan kesaksamaan etnik?

Sebelum ini DAP tidak pula mengagung-agungkan kecantikan gadis-gadis Cina ataupun India dalam parti itu, sedanglan banyak yang boleh dikategorikan sebagai cantik. Begitu sekalikah nilai seorang gadis Melayu pada kaca mata DAP? Barangkali gadis-gadis cantik Melayu ini perlu meluangkan sedikit waktu untuk bertemu dengan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim bagi mendapatkan gambaran yang lebih jujur dan ikhlas.

Bagaimana pula nasib gadis-gadis Melayu yang berasakan dirinya tidak cukup cantik setahap Dyana Sofya dan Syefura? Terpinggirkah mereka atau dilayan saksama dengan diketengahkan dalam majlis-majlis anjuran DAP?

Syerleena Abdul Rashid, 34, yang kini memegang jawatan Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera dalam reaksi terhadap wawancara tersebut menyatakan dia berasa terganggu dengan penggunaan istilah awek cun itu.

Kepada portal propembangkang dia meluahkan rasa bahawa banyak lagi sisi lain yang boleh dilihat daripada seorang wanita berbanding sama ada dia awek cun atau tidak. Istilah itu mengalihkan perhatian pembaca daripada melibat sumbangan sebenar wanita kepada parti dan masyarakat.

Apa pun DAP nampaknya semakin menggiatkan kempen mereka untuk menarik golongan muda Melayu sebagai ahli. Mungkin inilah satu-satunya tembok besar psikologi yang perlu dilepasi sebelum agenda lebih besar parti boleh dijayakan.

Selama ini mereka begitu mengharapkan aktivis sosial dan hak asasi manusia tetapi akhirnya mereka menjadi duri dalam daging, menyebut Tunku Abdul Aziz sebagai contoh. Strategi seperti itu tidak lagi menjadi, lantas dipancing pula gadis-gadis Melayu berparas cantik.

Barangkali ini juga sebagai respons terhadap parti-parti lain terutamanya BN yang aktif menarik sokongan orang muda. Program-program anjuran Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO telah menunjukkan reaksi positif.

Begitu juga dengan parti sekutu mereka. Pas dan PKR berlumba-lumba mendekati orang muda. Orang muda begitu menjadi perhatian kepada parti politik sekarang. Jika dahulu hanya UMNO, Pas dan PKR yang menggerakkan strategi menarik anak muda Melayu, sekarang DAP pun mahu bersaing dalam liga yang sama.

DAP seperti tidak boleh duduk diam dan melihat sahaja aset penentu kuasa masa depan itu dibolot orang lain. Barangkali kepada mereka, anak muda kaum lain tidak memerlukan jerat dan gula-gula untuk menyertai atau menjadi simpatisan parti itu. Hanya yang tinggal anak muda Melayu yang perlu didekati dengan cara lain. Cara paling mudah ialah menggunakan awek cun seperti Dyana Sofya dan Syefura. Tidak kisahlah ini cara yang bakal membawa DAP ke belakang dan stereotype.

Dalam masa terdekat atau sekurang-kurangnya pada pemilihan DAP akan datang, barangkali kita boleh melihat awek-awek cun DAP ini akan diberi jawatan penting sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

Jika DAP sanggup berkorban kerusi Parlimen Teluk Intan, rasanya tidak masalah untuk meletakkan anak-anak muda Melayu ini ke dalam jawatan-jawatan penting DAP. Tidak susah pun, sekali Lim Kit Siang atau anaknya, Lim Guan Eng berdehem, semuanya bakal terjadi.



Zulkiefli Hamzah Utusan/Rencana/20140720

Pemerkasaan pendekatan IPHRC

Suruhanjaya Tetap Bebas Hak Asasi Manusia (IPHRC) yang dianggotai 18 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah direalisasikan penubuhannya pada Jun 2011 bagi mencari langkah pemerkasaan hak asasi manusia dari perspektif Islam. Malaysia, selain Turki dan Indonesia, merupakan anggota yang aktif dan menonjol telah turut menyumbang secara berkesan daripada segi pendekatan yang berupaya meningkatkan taraf pencapaian hak asasi manusia dalam kalangan negara anggota OIC.

Sebagai salah satu langkah memulihkan peranan OIC melalui penggunaan mekanisme ke arah memperkukuh dan melindungi hak asasi negara anggotanya, IPHRC telah mencapai kata muafakat untuk memberi fokus utama terhadap perbincangan tentang tatacara prosedurnya, di samping memberi tumpuan terhadap isu kontemporari berkaitan agenda hak asasi manusia di peringkat sejagat.

Pada awal penubuhannya, IPHRC memutuskan bahawa hak daripada segi sivil, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan di negara anggota OIC, keadaan hak asasi manusia di Palestin dan wilayah Arab lain yang diduduki Israel pada 1967 dan isu hak asasi manusia dalam agenda OIC akan menjadi perkara tetap dalam agenda suruhanjaya itu.

Dalam syor yang dikemukakan kepada majlis Menteri-Menteri Luarnya, IPHRC menawarkan untuk membantu negara anggota, jika diminta berbuat demikian, dalam bidang penting seperti memenuhi keperluan mekanisme hak asasi manusia. Ini adalah peranan yang perlu diperkasakan, melihat pada cabaran semasa melibatkan pencabulan hak asasi manusia terhadap negara anggota OIC.

IPHRC juga menggalakkan setiap negara anggota memanfaatkan kepakaran yang dimiliki suruhanjaya itu dengan merujuk perkara berhubung hak asasi manusia dan undang-undang berkaitan kepadanya untuk mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat, selain turut membincangkan sumbangan nilai-nilai Islam terhadap hak asasi manusia yang diiktiraf sejagat serta mengiktiraf peri pentingnya kerjasama dalam kalangan negara anggota OIC, termasuk melalui perkongsian amalan baik.

Setelah kira-kira dua tahun mesyuarat rasmi pertama IPHRC berlangsung bagi memutuskan perkara-perkara tersebut, mesyuarat terkini pada 1-5 Jun 2014 yang lalu telah sekali lagi menyentuh isu keganasan Israel, selain mendalami perbincangan Islamophobia, impak negatif akibat sekatan ekonomi unilateral terhadap negara anggota, situasi minoriti Muslim Rohingya, situasi hak asasi manusia di Republik Afrika Tengah serta pembentukan mekanisme untuk memantau pencabulan hak asasi manusia dalam kalangan minoriti Muslim. Mutakhir ini dunia Islam kembali berdepan dengan pencabulan hak asasi manusia yang getir, khususnya serangan Zionis yang berleluasa terhadap masyarakat awam di Palestin, skala pembunuhan etnik Muslim Rohingya di Myanmar yang semakin serius dan penindasan kaum Uighur di China. Justeru kapasiti IPHRC perlu dinilai kembali agar lebih menyerlah peranan serta keberkesanan tindakannya terhadap isu-isu pencabulan hak asasi manusia masyarakat Islam.

Dalam hal ini, peranan Malaysia yang mempunyai kedudukan utuh peranan Islam perlu dioptimumkan bagi memimpin fokus dan arah tuju IPHRC. Keistimewaan kedudukan Islam melalui Perkara 3(1), Perkara 37(1) Jadual Keempat serta Perkara 12(2) di dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai jaminan undang-undang sama di peringkat pusat mahupun melalui Undang-undang Tubuh dan Enakmen-enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri memperkukuhkan kedudukan Malaysia untuk menyerlahkan model pencapaian hak asasi manusia dalam kalangan negara anggota OIC.

Keupayaan Malaysia membentuk pendekatan wasatiyyah dalam mentadbir sebuah masyarakat berbilang agama menerbitkan harapan dalam kalangan negara anggota OIC lain dan contoh ikutan bagi menzahirkan acuan hak asasi manusia mesra tamadun manusia tanpa meninggalkan kerangka Islam. Kepimpinan kerajaan bertunjangkan Melayu-Islam yang telah diuji ini perlu berperanan lebih jauh lagi bagi memaksimumkan peranan IPHRC sebagai platform membaiki pencapaian hak asasi manusia menurut acuan sendiri, tidak terikut dengan model liberal-sekular Barat yang memberi kebebasan hak asasi manusia tanpa batas.

Bagi menggarap harapan tersebut, Malaysia boleh menimbangkan perkara-perkara berikut melalui keahliannya dalam IPHRC sebagai pendekatan dan strategi jangka panjang:

"Mencipta rangkaian masyarakat sivil dengan pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) yang memfokus pada usaha meningkatkan pencapaian hak asasi manusia menurut kerangka syariah. IPHRC perlu mempunyai sayap masyarakat sivil yang tersendiri bagi berperanan menasihat serta berkongsi kepakaran dan pengalaman NGI dalam menangani situasi hak asasi manusia;

"Memfokus pada usaha melatih lebih ramai kalangan sarjana dan ilmuwan Muslim, di samping para aktivis NGI untuk turut didedahkan dengan mekanisme hak asasi manusia yang sedia berjalan di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), termasuk menguasai kefahaman dan kepakaran dalam instrumen-instrumen undang-undang antarabangsa dan di peringkat ASEAN dalam pelbagai aspek hak asasi manusia. Hal ini penting sekiranya IPHRC mahu mewujudkan mekanisme pemantauan pencabulan hak asasi manusia tersendiri.

Dalam keadaan semasa, sistem hak asasi manusia sejagat yang sedia ada dikuasai sifat imperalisme negara-negara Barat yang bertopengkan moralisme. Maka umat Islam dan negara-negara anggota OIC tidak harus terus meletakkan harapan pada sistem hak asasi manusia sejagat sedia ada untuk mencari jalan keluar menyelesaikan tragedi pembunuhan beramai-ramai, Islamophobia serta pelanggaran hak asasi manusia di kalangan masyarakat Islam.

Setelah lebih 60 tahun fahaman liberal-sekular melatari Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 dan akhir-akhir ini dikatakan semakin gagal menyelamatkan pelanggaran hak asasi manusia negara-negara anggota PBB sendiri, maka umat Islam tidak patut hanya menunggu tindakan melalui mekanisme hak asasi manusia badan dunia itu. IPHRC perlu mencetus pendekatan yang lebih dinamis dan bertenaga dalam melaksanakan tindakan menyelamatkan pencabulan hak asasi umat Islam. Utusan/Rencana/20140720

Demokrasi PKR yang tercalar

Aduan Bantahan Pemilihan Paling Banyak Dalam Sejarah Politik Malaysia

Jika pada pemilihan lepas terdapat 160 aduan rasmi daripada ahli dan pemimpin PKR sendiri maka pada kali ini angka ini meningkat dua kali ganda dengan 344 aduan bantahan.

Kehilangan Hak Calon Bertanding Paling Banyak

Sekitar 100 calon PKR yang bertanding telah dibatalkan kelayakan bertanding mereka oleh jawatankuasa pemilihan PKR sendiri.

Pembatalan Proses Pemilihan Paling Banyak

12 daripada 22 bahagian di Selangor sebelum ini telah dibatalkan proses pemilihan awal mereka. Angka ini belum lagi meliputi pembatalan proses pemilihan sekitar 17 lagi cabang di negeri PKR yang lain.

Pemusnahan Undi Pengundi Paling Banyak

Pengarah pemilihan PKR Cabang Tenom, Nazri Udoi menangguhkan mesyuarat dan menuduh pengarah pilihan raya negeri Sabah tersilap mengira jumlah perwakilan.

"Kami menerima 300 kertas undi, namun kira-kira 2,000 perwakilan hadir," kata Nazri, sambil menambah 300 kertas undi yang telah dibuang dimusnahkan di hadapan calon yang bertanding di pelbagai peringkat dalam Cabang Tenom.

Bagaimana terdapat 2,000 perwakilan tetapi pada akhirnya hanya 300 undi hanya diterima? Terdapat perbezaan yang amat ketara iaitu sebanyak 15 kali ganda daripada jumlah perwakilan yang hadir. Bagaimana pula 300 undi dibuang dan dimusnahkan dihadapan calon yang bertanding sedangkan dalam mana-mana pemilihan undi rosak tidak akan dibuang kertas undi mereka?

Pertikaian Pemilihan Paling Lama

Semuanya bermula kira-kira jam 6 petang apabila pihak JPP ingin membuat pengiraan undi di dalam bilik khas, di dewan JKKK Simpang Tiga, Nibong Tebal. Pertikaian tersebut kemudiannya berlarutan sehingga jam 10 malam apabila keputusan pengiraan diumumkan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun, Law Choo Kiang mendapati senarai daftar pengundi dan jumlah kertas undi yang diperolehi tidak sama. Difahamkan, jumlah kertas undi yang diterima ialah 838 berbanding senarai daftar undi sebanyak 671.

Pertikaian terhadap pemilihan PKR di Nibong Tebal telah bermula seawal 6 petang dan akhirnya berlanjutan lebih empat jam apabila sehingga jam 10 malam pertikaian tersebut masih belum lagi tamat dan belum ada penyelesaiannya.

Peratusan Pengundi Yang Paling Rendah

Pemilihan PKR Cabang Lembah Pantai mencatatkan kehadiran tidak sampai 10 peratus atau 445 pengundi daripada 5,720 ahli berdaftar sehingga pusat pengundian ditutup pada 5.15 petang pada 10 Mei 2014. Hanya 240 daripada 6,900 ahli terlibat dalam pemilihan di cabang Permatang Pauh dengan peratusan kehadiran hanya 4 peratus.

Peratusan Boikot Pemilihan Paling Banyak

Kira-kira 70 peratus ahli PKR Cabang Bagan Serai memboikot pemilihan PKR dan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) yang berlangsung pada 4 Mei lepas.

Naib Ketua PKR Cabang Bagan Serai, Abdul Malek Abdul Latif berkata, tindakan boikot tersebut disuarakan sebahagian besar ahli cabang itu dari kawasan luar bandar berikutan perasaan tidak puas hati mereka berhubung keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pusat yang menetapkan Dewan Arowana, Hotel Kelisa sebagai lokasi MATC dan pemilihan parti.

Magis Pemilihan Paling Hebat

Calon jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani, Arvind Kumar hanya mengetahui namanya tiada dalam kertas undi sewaktu tiba di pusat pengundian di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Wang, kira-kira 11 pagi pada 6 Mei 2014.

Susulan itu, penyokongnya mula bertindak mengadakan protes di luar dewan selepas 10 minit kemudian. Sementara seorang lagi calon jawatan itu, Simon Ooi diumumkan menang tanpa bertanding.

Pemecatan dan Penggantungan Ahli Paling Banyak

Pemilihan PKR 2014 yang bermula 25 April yang sepatutnya berakhir pada 11 Mei lalu menyaksikan parti setakat ini telah mengambil tindakan memecat keahlian lima individu dan menggantung keahlian 11 individu lain.

Penulis hendak mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Umum PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin-pemimpin, ahli dan penyokong parti PKR kerana telah berjaya menunjukkan kepada rakyat Malaysia apakah erti demokrasi dan pilihan raya bersih yang mereka laungkan kepada kita semua.

Terima kasih kerana menunjukkan satu model pemilihan dan pilihan raya contoh kepada seluruh rakyat Malaysia. Inilah yang dikatakan sebagai perubahan, UBAH dan Reformasi.

Akhirnya penulis baharu faham maksud tiga slogan tersebut melalui contoh dan teladan yang telah dilakarkan oleh PKR melalui pilihan raya mereka. Shen Yee Aun papashan88@outlook.com Utusan/Rencana/20140720

Tinggalkan politik demi seni

SAYA bersyukur kerana kesan positif saya tidak lagi terlibat dalam politik parti ialah dapat menumpukan masa dengan kegiatan penulisan dan kesenian umum". Itulah luahan Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah yang merupakan Pengarah galeri RA Fine Arts di Solaris, Dutamas, Kuala Lumpur.

Dalam perjalanan hidupnya, anak kelahiran Ipoh, Perak itu pernah memilih bidang politik sebagai kariernya. Jawatan yang disandangnya tidak kurang penting iaitu sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur pada 1990-an dan kemudian selaku Ketua Parti Keadilan Nasional Cabang Lembah Pantai pada 2002.

Walaupun telah begitu lama bergelumang dan masak dengan dunia politik, Raja Ahmad Aminullah merasakan bidang itu tidak dapat memberikan kepuasan seperti apa yang dirasainya berbanding aktiviti kesenian. Apatah lagi, kesibukan dalam politik menyebabkan masa untuk aktiviti kesenian yang mendarah daging dalam dirinya menjadi terhad.

"Selepas 2004, entah macam mana saya seolah-olah hilang minat dengan dunia politik khususnya dengan parti politik," kata Raja Ahmad Aminullah.

Menurut Raja Ahmad Aminullah, sebagai seorang yang tidak lagi terlibat dalam politik, beliau mengharapkan rakan-rakannya sama ada dalam parti kerajaan atau pembangkang supaya dengan penuh keinsafan dan kejujuran melakukan yang terbaik untuk masyarakat serta negara.

"Kalau ada perbezaan, anggaplah ia sebagai proses untuk menjaring rahmat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam konteks berlumba-lumba melakukan kebajikan. Sudah tentu bukan kerana kepentingan peribadi atau populariti semata-mata," kata bekas Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan itu.

Kecintaan mendalam Raja Ahmad Aminullah terhadap bidang seni tidak sukar untuk dimengertikan. Darah seni yang mengalir dalam dirinya diwarisi daripada bapanya yang pernah menjadi penerbit Warta Kinta iaitu sebuah akhbar harian dalam tulisan jawi di Lembah Kinta, Perak yang popular sekitar 1938 hingga 1941.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, Raja Ahmad Aminullah merupakan antara pengasas Yayasan Kesenian Perak pada 1996. Antara yang terlibat dengan beliau pada masa itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain, Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, Allahyarham Mohd Redza Piyadasa, A. Rahim Abdullah dan Siti Zainon Ismail.

Salah satu program besar yang dianjurkan oleh yayasan itu ialah Festival Antarabangsa Pekan Seni Ipoh yang menghimpunkan penyertaan daripada 10 buah negara luar termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Australia, Mexico, Iran, Bosnia dan Perancis.

Penglibatan Raja Ahmad Aminullah dalam kegiatan seni bermula sejak alam persekolahan lagi. Beliau menjadi ketua pengarang majalah-majalah sekolah semasa berada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak. Malah, beliau merupakan pelajar pertama di MCKK menganjurkan bengkel penulisan kreatif untuk pelajar tingkatan satu dan dua di sekolah tersebut.

Platform

"Mereka yang menghadiri bengkel penulisan kreatif itu kini banyak menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di pelbagai syarikat besar sekarang. Ini bermakna, berkesenian bukan sekadar untuk menjadi pelukis atau penulis tetapi ia sebenarnya bertujuan mewujudkan pemikiran yang menjurus kepada luar kotak," katanya.

Minat beliau terhadap dunia kesenian diteruskan semasa menuntut di sebuah universiti di United Kingdom. Di sana, Raja Ahmad Aminullah menerajui dua persatuan pelajar iaitu Kesatuan Melayu UK (KMUK) dan Majlis Persatuan-persatuan Pelajar Malaysia di UK dan Eire (kini digantikan oleh Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Ireland).

KMUK merupakan sebuah persatuan pelajar Melayu yang ditubuhkan sejak 1920-an dan banyak tokoh besar negara pernah memimpin persatuan itu. Antaranya, Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Muhammad serta dua bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein.

Sewaktu memimpin KMUK, Raja Ahmad Aminullah menganjurkan simposium tahunan yang menjadi platform kepada tokoh-tokoh intelektual termasuk Syed Muhammad al Naquib bin al-Attas membentangkan kertas kerja mereka.

"Di Majlis Persatuan-persatuan Pelajar Malaysia di UK dan Eire pula, saya menganjurkan konvensyen tahunan selama dua hari berturut-turut di London. Konvensyen ini dihadiri intelektual-intelektual terkemuka seperti penulis terkemuka dari Pakistan, Altaf Gauhar," tambah beliau.

Mengulas tentang minat beliau dalam bidang kesenian, Raja Ahmad Aminullah memberitahu, paling diminatinya ialah bidang penulisan kreatif bagi menerokai idea-idea baharu untuk membangunkan masyarakat yang dikasihinya.

"Sebagai seorang yang bergelut dengan dunia idea, saya anggap pembacaan dan hubungan dengan buku-buku tidak pernah terputus. Saya meminati buku karya penulis besar Nusantara seperti Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang lebih dikenali sebagai Hamka, Tengku Amir Hamzah, Chairil Anwar, Marah Roesli, Datuk Usman Awang, Harun Mohd. Amin (Harun Aminurrashid) dan Zainal Abidin Ahmad (Za'ba).

"Karya dunia luar yang saya baca pula termasuk Pablo Neruda, Federico Garcia Lorca, Gabriel Garcia Marquez, Milan Kundera dan William Shakespeare," ujarnya yang turut menulis dan menyusun beberapa buku seperti Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, Nuansa, Menyarung Jiwa, Nuansa Nusantara, Katahati dan Soulship.

Setiap orang mungkin mempunyai pandangan masing-masing tentang bidang seni tetapi bagi Raja Ahmad Aminullah, kegiatan kesenian lebih berpaksikan asas kemanusiaan atau bagi memanusiawikan manusia.

"Saya anggap kegiatan kesenian sebagai upaya merubah kemanusiaan. Kegiatan seni pada umumnya boleh mengurangkan sisi-sisi tajam dari kehidupan seharian. Kita belajar untuk lebih menghormati nilai-nilai asas," katanya.

Bercerita tentang galeri RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah memberitahu, ia merupakan galeri lukisan swasta bagi mempromosikan karya-karya seniman terutama generasi baharu yang mahu menjadi karyawan sepenuh masa iaitu pendapatan mereka bergantung kepada jualan lukisan.

Sebelum mengakhiri perbulan, insan seni itu berharap golongan seniman dihargai semasa hayat mereka dan bukan selepas mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini. Legenda seni ulung negara, Tan Sri Dr. P. Ramlee dan tokoh penting teater tempatan, Datuk Krishen Jit Amar Singh merupakan antara contoh seniman yang hanya menerima anugerah selepas kematian mereka.

"Sebagai contoh, pembikin filem Yassin Salleh yang filemnya, Dia Ibuku mendapat 10 anugerah dalam Festival Filem Malaysia 1981. Kenapa kita tidak dengar namanya sekarang? Soalan saya kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), pernahkah terfikir untuk menjemput seniman seperti Yassin bagi mengisi acara-acara Finas," katanya. AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI: Utusan/Rencana/20140720

Perspektif geopolitik tragedi MH370-MH17

Dua kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Julai 2014 tentang tragedi pesawat MH17 di wilayah Ukraine Khamis lalu, memanifestasikan ketegasan pemerintah Malaysia dalam mengendalikan musibah berkenaan berasaskan realiti geopolitik serantau dan sejagat.

Ini dicerminkan dengan ikrar bahawa pemerintah Malaysia akan merungkai tragedi tersebut secara bersungguh-sungguh, menerusi saluran diplomasi dua hala dan pelbagai hala, tanpa menuding jari kepada sesiapa, dan penyebab angkara itu wajar didedahkan serta dibawa ke muka pengadilan.

Hakikat Parlimen Malaysia akan menganjurkan sidang tergempar pada Rabu ini sempena tragedi tersebut pula memperkukuhkan lagi ketegasan berkenaan.

Ikrar dan tindakan di atas, bagaimanapun, boleh dijadikan asas pembentukan serta pelaksanaan strategi dan dasar keselamatan domestik dan keselamatan luar Malaysia yang bercorak jangka panjang, jika pentadbiran Najib bijak dalam menganalisis kedudukan geopolitik Malaysia berikutan tragedi MH370 dan MH17.

Ini kerana kedua-dua tragedi tersebut memanifestasikan percaturan mutakhir di mana Malaysia seakan-akan mahu dijadikan antara aktor kepada percaturan geopolitik global di Asia Timur yang melibatkan China, dan di wilayah berkonflik di Ukraine yang melibatkan Rusia.

Ini sebabnya tragedi MH370 seolah-olah mahu melaga-lagakan Malaysia dengan China, sementara tragedi MH17 seolah-olah hendak mengadu-dombakan Malaysia dengan Rusia.

Kedua-dua tragedi tersebut juga seakan-akan bermotif menjadikan Malaysia lebih bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) serta sekutu-sekutunya dalam mencari penyelesaian kepada musibah yang menimpa MAS mutakhir ini.

Tragedi MH370 dan MH17, oleh yang demikian wajar dianalisis oleh pentadbiran Najib menerusi perspektif AS selaku rakan dagang Malaysia yang terbesar di dunia, China selaku rakan dagang Malaysia yang utama di Asia, dan Rusia selaku antara rakan diplomatik Malaysia sejak era Perang Dingin.

Kedua-dua tragedi ini juga harus dianalisis berdasarkan hakikat bahawa AS adalah adikuasa global pada abad ke-21, sementara China dan Rusia adalah antara kuasa besar dunia yang berpotensi mempengaruhi kemunculan sistem antarabangsa yang dwipolar atau multipolar dan boleh menggugat keunggulan AS pada hari-hari mendatang.

Untuk mencapai matlamat ini, pentadbiran Najib juga wajar menerima hakikat bahawa geopolitik serantau dan sejagat pada era pasca Perang Dingin ialah berpaksikan pada realiti bahawa terorisme global merupakan musuh utama AS pada abad ke-21.

Intisari realiti persoalan terorisme ini, antaranya dihuraikan dalam kajian kumpulan Project for the New American Century (PNAC) dan kajian RAND Corporation.

Kajian PNAC memperakukan AS melibatkan diri dalam pelbagai peperangan utama dan perlu memenangi kesemua peperangan tersebut secara serentak; menyusun semula pasukan tenteranya sebagai respons kepada pelbagai realiti strategik pada abad ke-21 menerusi pemindahan pasukan tenteranya ke tenggara Eropah dan Asia Tenggara; dan menukar corak mobilisasi tentera lautnya untuk mencerminkan keprihatinan strategik AS di Asia Timur.

Beberapa perakuan PNAC ini menjadi sebahagian strategi keselamatan AS di era Pentadbiran Presiden George W. Bush seperti yang terkandung dalam The US Security Strategy 2002, yang menjadi sumber utama kepada perang terorisme, termasuk di Asia Tenggara. Strategi ini, yang diteruskan mutakhir ini, turut dihuraikan dalam analisis Tom Barry (2004), Daniel Twinning (2007), Herbert Docena (2007) dan Ruhanie Ahmad (2011).

Kajian RAND Corporation (1999:73-74) pula mencadangkan AS mengukuhkan kerjasama politik dan ketenteraannya dengan negara-negara ASEAN; menyesuaikan pasukan tenteranya dengan kemungkinan-kemungkinan tentang China; dan AS memperolehi akses kemudahan ketenteraan di Asia Tenggara.

Kajian RAND Corporation (2001:10-12) pula mencadangkan AS dan sekutunya di Asia Timur memberikan perhatian serius terhadap potensi ancaman yang boleh terjadi di Selat Melaka; dan supaya AS mengekalkan keupayaannya untuk menafikan kebebasan operasi pelayaran di perairan ini kepada pihak yang berpotensi menjadi musuhnya.

Pelaksanaan strategi berasaskan ketiga-tiga kajian tersebut diselindungkan menerusi tindakan AS memerangi terorisme global di Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara mulai akhir 2000.

Ini menyebabkan terorisme sejagat sebagai elemen yang mudah dijadikan kambing hitam untuk mengabsahkan sesuatu fenomena yang mengejutkan dunia, diselubungi misteri, dan dikaitkan dengan teori konspirasi, seperti tragedi MH370 dan MH17.

Oleh yang demikian, secara langsung atau sebaliknya, intisari ketiga-tiga kajian di atas adalah relevan kepada analisis geopolitik global dan serantau yang melibatkan Malaysia pada hari ini.

Intisari kepada ketiga-tiga analisis di atas juga boleh dijadikan petunjuk terhadap pelbagai ancaman yang boleh menggugat Malaysia dan perlu ditangani menerusi dasar luarnya, serta aneka keterdedahan yang dialami oleh Malaysia dan wajar ditangani menerusi dasar keselamatan domestiknya.

Ketiga-tiganya juga membolehkan Malaysia mengenal pasti kelemahan, kekuatan serta kepentingan strategiknya dalam menangani permasalahan serta persoalan geopolitik global dan serantau.

Berdasarkan kajian-kajian di atas, Pentadbiran Najib wajar merungkai permasalahan dan persoalan geopolitik Malaysia berikutan tragedi MH370 dan MH17, berasaskan perkembangan geopolitik di wilayah Ukraine; Mesir dan Libya; Jordan, Palestin dan Israel; Iraq; Afghanistan dan Pakistan; dan keakraban hubungan ketenteraan AS-India pada era pasca 11 September 2001 (9/11).

Pentadbiran Najib juga wajar menganalisis permasalahan dan persoalan perang terorisme di Asia Tenggara; minat AS yang tinggi untuk menguasai Selat Melaka, Laut China Selatan serta perairan Malaysia-Filipina di Kepulauan Sulu pada abad ke-21; pencerobohan Kiram; insiden-insiden penculikan di Sabah; kebangkitan China selaku kuasa ekonomi dunia; dan keprihatinan Australia terhadap Asia-Pasifik.

Persoalan utama kepada analisis di atas adalah: bagaimana dan sejauh manakah keterlibatan AS dalam perkembangan geopolitik di wilayah-wilayah terbabit; adakah keterlibatan ini secara langsung atau secara berproksi; dan bagaimanakah keterlibatan ini berkait dengan strategi besar AS terhadap Rusia dan China pada abad ke-21.

Menerusi persoalan-persoalan ini, pentadbiran Najib mampu merungkai strategi dan percaturan geopolitik yang menyelubungi misteri kehilangan pesawat MH370 serta menyelubungi identiti sebenar pembuat angkara tragedi MH17.

Pentadbiran Najib juga boleh menghindarkan Malaysia daripada dijebak oleh bahaya percaturan geopolitik serantau dan sejagat yang cuba menjadikan Malaysia antara aktor utamanya di Asia Tenggara.

Kesimpulannya, tragedi MH730 dan MH17 wajar dianalisis secara bijaksana dan dijadikan landasan dasar keselamatan luar dan keselamatan domestik Malaysia pada abad ke-21 supaya Malaysia terus berkecuali, berwibawa, aman, makmur dan bebas daripada kongkongan, manipulasi serta ancaman kuasa-kuasa besar. Datuk Ruhanie Ahmad ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, dan kini pelajar peringkat PhD. di Universiti Kebangsaan Malaysia. Utusan/Rencana/20140720

Apa sudah jadi, 7 DPMM berpecah !

Baru-baru ini saya hadir majlis berbuka puasa di sebuah hotel ternama di ibu negara. Selepas berbuka dan solat Maghrib, ada sesuatu yang kurang enak didengar.


Kisah dalam kelambu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dalam diam tak diam sudah tersebar dalam kalangan ahli perniagaan Melayu. Cerita tentang kekecohan kes mahkamah berkaitan pemilihan pucuk kepimpinan pada 2010 dan 2013 pun belum selesai, kini timbul pula kisah tujuh DPMM negeri dikatakan di ambang perpecahan. Malahan ada yang sudah ingin menubuhkan persatuan perniagaan yang baharu.

Apa nak jadi kepada peniaga Melayu kita?

Mereka sepatutnya tumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan dan peluang projek pembangunan untuk bantu ahli, tetapi sebaliknya mereka sibuk main politik dalaman.

Keadaan terumbang-ambing ini dikatakan berpunca sejak pemilihan pucuk kepimpinan DPMM peringkat negeri hingga pusat pada 2010 dan bertambah parah pada pemilihan pucuk pimpinan 2013.

Jangan pelik bila terdengar cerita kedua-dua belah kumpulan saling tuding-menuding tuduhan. Satu kumpulan didakwa mengambil alih kepimpinan DPMM negeri dengan cara tidak teratur, tak telus dan tidak sah di sisi undang-undang.

Malah sudah terdengar desas-desus dan kata-mengata yang kepimpinan hanya mengejar projek untuk syarikat sendiri sahaja.

Ada juga mendakwa barisan kepimpinan atasan DPMM negeri sekarang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan sehingga menyaksikan dewan gagal melaksanakan fungsi sebagai tempat ahli mengadu masalah berkaitan perniagaan. Mungkin kumpulan satu lagi akan mendakwa pihaknya bukan sebagaimana dituduh.

Paling mengecewakan apabila khabarnya ada pintu pejabat DPMM di Lembah Klang selalu dikunci. Dahulu di situlah tempat latihan, kursus dan taklimat peluang-peluang perniagaan, dialog usahawan dan lain-lain diadakan untuk peniaga Melayu.

Bertambah marah

Hal begini yang menyebabkan ahli-ahli DPMM bertambah marah. Di mana mereka ingin mengadu hal dan mohon bantuan? Maka ada yang mahu menubuhkan persatuan lain.

Jika begini caranya, apakah peranan sebenar DPMM dalam membantu peniaga-peniaga Melayu bagi menyelesaikan masalah mereka?

Tujuan asal DPMM ditubuhkan adalah untuk menyatupadukan dan membangunkan usahawan Melayu supaya kedudukan mereka selari dengan usahawan bangsa lain.

Tetapi sekarang, pemimpin ekonomi Melayu bergaduh sesama sendiri. Mereka sudah tak peduli agenda bangsa - yang diutamakan ialah kepentingan peribadi dan politik diri.

Nampaknya pemimpin ekonomi Melayu sendiri membawa persatuan perniagaan kembali bergerak dalam kegelapan. Teraba-raba mencari cahaya untuk memandu mereka keluar daripada kegelapan.

Kesan kecelaruan kepimpinan ini cukup ketara apabila tujuh DPMM negeri - Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor didakwa sudah tidak berfungsi. Ini merupakan perpecahan yang teruk apabila separuh daripada 14 DPMM negeri gagal berfungsi.

Hakikatnya pemimpin DPMM negeri juga ibarat pemimpin ekonomi Melayu bagi negeri-negeri berkenaan. Jika mereka berbalah dan pulau-memulau, mangsanya ialah ahli-ahli bawahan.

DPMM ialah simbol kekuatan ekonomi Melayu. Jika kepimpinannya bermasalah dan berpecah belah, yang rugi ialah Melayu sendiri.

Pada masa kini, Presiden DPMM yang menjadi Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia (DPM) yang turut dianggotai Dewan Perniagaan Cina Malaysia dan Dewan Perniagaan India Malaysia. Jika perkara ini berlarutan, tidak mustahil teraju DPM akan bertukar tangan. Bangsa lain yang akan membawa hala tuju ekonomi Malaysia pula.

Oleh itu tidak ada jalan lain lagi kecuali mencari orang tengah bagi menyelesaikan perpecahan dalam DPMM.

Selain DPMM, Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dilihat mempunyai pengaruh dalam kalangan persatuan perniagaan Melayu.

Gabem perlu diminta campur tangan demi ekonomi Melayu. Gabem di bawah pimpinan Tan Sri Rahim Thamby Chik dilihat patut memainkan peranan menyatukan pemimpin PPMM supaya bertaut kembali.

Kebanyakan kekalutan berpunca daripada isu individu dan merebut jawatan. Kalau dibiarkan, krisis kepimpinan ini boleh menjadi api dalam sekam.

Gabem boleh memanggil pemimpin DPMM yang masih berada dalam kepimpinan dan di luar kepimpinan untuk menjernihkan kekalutan selama ini. Kalau perlu boleh diajak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Penasihat Gabem, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis supaya duduk bersama dan berbincang demi mengembalikan kekuatan DPMM.

Langkah ini perlu segera digerakkan.   Azman Anuar: Utusan/Rencana/20140720

Israel, zionisme perkukuh kedudukan abad ke-21

Jurnal Israel Studies keluaran terbaru yang memberikan fokus khas bertajuk, Zionism in the 21st Century berada di tangan saya seminggu sebelum tentera Zionis melancarkan serangan roket ke Semenanjung Gaza pada 7 Julai. Sehingga semalam serangan itu mengorbankan 337 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak. Jurnal yang memuatkan wacana tentang politik, sosial dan budaya di Israel oleh sarjana-sarjana Yahudi berbeza dengan tingkah laku tentera Zionis dalam serangan itu.


Tentera Zionis mempamerkan perilaku yang angkuh dan hina, bukan sahaja kali ini tetapi sejak sebelum pembentukan negara Israel pada 1948 lagi. Sebaliknya wacana dalam jurnal ini memberikan yang baik-baik tentang ideologi Zionis. Tidak ada sebaris pun diungkapkan kehinaan penganut ideologi Zionis seperti yang sedang diperagakan di Gaza.

Antara dimuatkan dalam edisi khas jurnal ini ialah provokasi adakah Zionisme di Israel sudah tidak relevan selepas tertubuhnya negara Yahudi itu pada 15 Mei 1948? Ini kerana dalam kalangan Zionis ada menganggap mereka telah berjaya merampas tanah milik Palestin dan berdirinya negara Israel. Tetapi para sarjana yang menyumbangan wacana dalam jurnal ini mengingatkan bahawa cabaran Zionis pada abad ke-21 sangat hebat. Kegagalan Zionis menguasai ekonomi, budaya dan intelektual akan menjadi pemangkin kepada kejatuhan Zionis di Israel.

Selain wacana intelektual, jurnal ini juga meneroka pengalaman tokoh berinteraksi dalam budaya dan sosial di Israel yang secara tidak langsung membentuk perubahan politik yang dinamik di negara berkenaan. Walau apa sekalipun, jurnal yang dianggap memuatkan wacana intelektual ini tidak memberikan gambaran sebenar sikap Zionis Israel. Realitinya Zionis sejak 1948 mempunyai gagasan yang jitu untuk mengusir dan merampas tanah milik rakyat Palestin.

Jurnal yang disunting oleh Ilan Troen, Pengarah Pusat Schusterman untuk pengajian Israel di Brandels University dan Donna Robinson Divin, profesor pengajian Yahudi di Smith College ini tidak lebih sebuah poskad yang memaparkan sudut-sudut yang indah tentang Zionisme di Israel kepada masyarakat dunia. Tetapi tidak dibincangkan tentang pembunuhan beratus-ratus kanak-kanak dan wanita di kem pelarian di Sabra dan Satila pada 1987 oleh tentera Zionis. Ternyata jurnal ini bukan cermin untuk melihat realiti pemikiran satu bangsa yang tidak bernegara kini menjadi hantu raya belaan Amerika Syarikat untuk mengawasi Asia Barat.

Dengan menggunakan kuasa intelektual, Israel cuba membina sisi putih lagi suci di mata masyarakat dunia. Salah satunya menerusi penerbitan berkala jurnal akademik Israel Studies ini. Siapa menyangka satu bangsa yang digambarkan mempunyai teras budaya intelektual yang tinggi menguasai ekonomi, sebenarnya satu bangsa yang paling hina. Penganut Zionisme hilang rasa kemanusiaan sesama manusia. Membunuh rakyat Palestin menjadi agenda kelangsungan Zionis Israel.

Serangan pada minggu pertama umat Islam berpuasa diiringi beribu-ribu roket ke Gaza. Lebih malang lagi Palestin berjirankan Mesir yang kini diterajui oleh proksi AS. Mesir menutup sempadan ke Palestin kerana hubungan baiknya dengan Israel.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi alasan serangan itu ditujukan kepada Hamas yang dituduh menculik tiga remaja Israel. Tetapi yang terkorban bukan anggota Hamas sebaliknya orang awam termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa. Tentera Zionis berkata mereka melancarkan serang balas terhadap kubu Hamas tetapi yang runtuh adalah masjid dan premis awam.

Daripada imej yang disiarkan menerusi televisyen dan Internet, Gaza telah hancur. Bangunan dan tempat tinggal runtuh, kenderaan terbalik dan cerucuk besi di sana sini menunjukkan dahsyatnya kekejaman Zionis terhadap Gaza. Mayat kanak-kanak bergelimpangan dan hospital melimpah dengan mangsa yang cedera parah. Tetapi sehingga kini negara polis dunia AS seperti acuh tidak acuh mengarahkan Zionis menghentikan serangan. Zionis Israel dipelihara AS untuk menjadi kuasa penimbang dengan dunia Arab di Asia Barat.

Dalam satu sidang akhbar di White House beberapa hari lalu, Presiden Barack Obama berlakon melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa yang parah dan terkorban dalam kalangan rakyat Palestin di Gaza. Tetapi presiden yang sangat disanjungi oleh pihak tertentu di negara kita menekankan bahawa tentera Zionis mempunyai hak untuk "mempertahankan diri" daripada diserang oleh Hamas.

Anehnya Israel yang didakwa diserang oleh pejuang Hamas tetapi tidak ada seorang pun yang terkorban berbanding beratus-ratus rakyat Palestin yang menjadi mangsa. Semua ini tidak akan dibincangkan dalam jurnal Israel Studies.

Kekejaman Zionis ditutup oleh Obama. Inilah wajah sebenar Obama yang merestui pembunuhan kanak-kanak dan orang tidak berdosa untuk memberi 'keadilan' kepada Zionis Israel.

Dengan dokongan kuasa besar seperti AS, Zionis akan terus berkuasa. Ditambah pula dengan penonjolan sisi putih oleh sarjana Yahudi yang sedaya mungkin tidak disekutukan dengan kekejaman walaupun sebenarnya kejam. Zionisme pun menjadi ideologi yang agung. Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140720

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Ujian buat negara

Tidak sampai empat bulan selepas dunia digemparkan dengan kehilangan misteri pesawat Penerbangan Malaysia MH370 pada Mac lalu yang sehingga hari ini masih belum ditemui, Malaysia diuji dengan satu lagi nahas melibatkan pesawat MH17.

Tragedi terbaharu ini mengejutkan masyarakat antarabangsa apabila pesawat Boeing 777-222 ditembak jatuh di Ukraine, dipercayai oleh puak pemisah pro-Rusia. Sebanyak 298 penumpang dan anak kapal yang tidak berdosa terkorban. Ketika urusan siasatan dan pencarian MH370 terus dilakukan, Malaysia terpaksa menangani krisis baharu yang cukup mencabar berikutan insiden ke atas MH17.

Rakyat Malaysia sekali lagi dirundung kesedihan. Belum ada negara yang ditimpa dugaan besar ini dalam industri penerbangan mereka. Dua kejutan nahas dalam tempoh yang pendek pada tahun ini. Kebetulan kedua-duanya melibatkan pesawat Boeing. Ada elemen kebetulan yang lain menjadi bahan perbualan iaitu 7. Pesawat MH17, kejadian pada 17 Julai, 7 (Julai), pesawat Boeing 777, penerbangan pertama 17 Julai 1997 dan usia khidmat penerbangan 17 tahun.

Awang simpati ke atas nasib MAS yang bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Takziah juga kepada seluruh keluarga mangsa MH17 atas kehilangan insan tersayang. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tabahlah menghadapi dugaan yang berat ini, yang sudah menjadi ketentuan takdir. Tiada siapa menduga pesawat MH17 menjadi mangsa konflik geopolitik antara Rusia dengan Ukraine. Ia mengingatkan kita kepada insiden pesawat Korea Airlines pada 1 September 1983 yang ditembak oleh pesawat pejuang Rusia ketika konflik dalam era Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.

Sejumlah 269 penumpang dan anak kapal terbunuh. Dalam kejadian menimpa MH17, Rusia dan Ukraine saling menuding jari. Apa pun, Malaysia menerusi Perdana Menteri, Najib Tun Razak telah menyatakan pendirian tegas mahukan pihak yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan dan dihukum.

Sebagai rakyat Malaysia, Awang berharap Rusia atas pengaruhnya memainkan peranan lebih besar untuk membantu Malaysia dalam apa sahaja bentuk meliputi menjaga bahan bukti hinggalah memberkas siapa yang bersalah. Jika benar militia pro-Rusia pimpinan Igor Strelkov menembak jatuh MH17, beliau tidak harus dilindungi oleh Rusia. Sekiranya berlaku kesilapan, segera akui dan ambil tanggungjawab. Menembak jatuh pesawat awam adalah perbuatan paling keji dan tidak bertamadun. Tiada siapa boleh terlepas.

Gelombang simpati dan takziah daripada seluruh dunia kepada Malaysia semasa insiden MH370 berulang lagi dalam kes MH17. Ini termasuk para pemimpin kuasa besar yang komited untuk membantu negara kita dalam menangani kejadian tersebut. Ulama dunia turut mendoakan termasuk Mufti Zimbabwe, Ismail Menk yang meminta rakyat Malaysia bersabar dengan ujian yang hebat daripada Allah SWT.

Di tanah air, rakyat bersatu memberikan sokongan kepada negara dan MAS bagi menghadapi saat-saat getir ini sebagaimana terserlah menerusi reaksi dalam laman sosial. Seperti juga beberapa komen, Awang akan terus menjadi pelanggan setia MAS. Tragedi melibatkan MH370 dan MH17 adalah kejadian terpencil. Keyakinan para penumpang seluruh dunia terhadap kualiti dan layanan MAS menjadikan syarikat penerbangan itu pilihan ramai sebagaimana terbukti dalam senarai penumpang asing dalam pesawat MH17.

Dalam pada itu, walaupun berdepan dengan satu lagi ujian buat negara, Najib tetap tenang. Sebaik sahaja mendapat maklumat MH17 ditembak jatuh, beliau bertungkus lumus bekerja tanpa mengira waktu sahur mahupun berbuka puasa. Dalam berdepan dengan krisis, sekali lagi faktor kepimpinan menjadi sandaran, yang setakat ini Najib tidak mengecewakan.

Ketika bersama keluarga mangsa, keprihatinannya terserlah, beberapa kali Najib sebak. Apabila berurusan dengan Presiden Vladimir Putin dan Ban Ki-moon, beliau tegas memberikan mesej. Sambil itu beliau boleh melayani anak-anak kecil dengan kemesraan dan senyuman pada majlis berbuka puasa biarpun kelihatan penat dan banyak perkara mendesak bermain di fikiran.

Tenang, tabah dan fokus, itulah yang boleh dirumuskan pada setiap kali beliau menangani krisis.

Awang secara peribadi bersimpati dengan situasi yang dialami oleh Najib. Sebagai pemimpin nombor satu negara, beban terpikul di bahu beliau. Tetapi percayalah, pemimpin yang menempuh banyak liku dan dugaan akan menjadi lebih kuat selepas ini, begitu juga negaranya.

Teruskan Tan Sri

Pergolakan dalam PKR makin panas. Sudahlah dibelenggu masalah pemilihan parti terutama penipuan dan pergaduhan yang masih gagal ditangani, isu kedudukan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, kini bagai bom jangka menanti ledakan.

Khalid nampaknya bertegas enggan tunduk dengan desakan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Azmin Ali supaya berundur. Dalam kenyataannya baru-baru ini, Khalid mengisytiharkan akan terus menjadi Menteri Besar sehingga tamat penggal pentadbiran 2018.

Beliau juga makin berani bersuara mengkritik Anwar.

Difahamkan malam semalam, Anwar dalam tindak balasnya memanggil mesyuarat melibatkan ketua cabang dan Wakil Rakyat PKR Selangor dengan mesej Khalid tetap akan diganti.

Beliau menamakan isterinya, Wan Azizah Ismail yang juga presiden boneka parti itu dan ADUN Kajang sebagai pengganti Khalid. Awang hanya senyum, Anwar lebih percayakan isterinya berbanding pemimpin PKR lain. Persoalannya mampukah PKR menyingkirkan Khalid?

Atas kertas beliau mendapat sokongan rakyat Selangor. Malah Khalid lebih popular berbanding Anwar, Wan Azizah dan Azmin di negeri itu. Dari segi integriti, reputasi dan akhlak pemimpin, Menteri Besar Selangor itu lebih diyakini.

Lagipun makin ramai pemimpin pembangkang termasuk PKR tidak gentar kepada Anwar yang sudah lemah cengkaman. Ini kerana beliau sendiri adalah liabiliti kepada PKR dan pakatan pembangkang. Maka Awang yakin Khalid tidak makan dibuli oleh Anwar.

PKR boleh kehilangan Anwar tetapi implikasi besar menanti jika ketiadaan Khalid di Selangor sebelum waktunya. Teruskan mentadbir Tan Sri, rakyat Selangor bersama anda.

Selamatkan Palestin

Selepas 12 hari serangan tentera Israel ke atas Gaza yang mengorban 337 orang dan ribuan cedera, menyedihkan dunia hanya mampu mengutuk negara penjenayah itu. Paling meloyakan sikap negara-negara Arab di sekeliling yang lebih mahu menjaga kepentingan masing-masing sehingga sanggup melihat rakyat Palestin terus menjadi korban. Amerika Syarikat (AS) lagi tidak boleh diharapkan walaupun kuasa besar itu boleh menghentikan keganasan Israel jika benar-benar mahu. Seperti Presiden AS yang lain, Barrack Obama lebih beretorik apabila melibatkan Israel.

Apa sekalipun keterbatasan kita sebagai warga dunia dan orang Islam, kekejaman tersebut tidak boleh dibiarkan. Lakukan apa sahaja yang termampu - doa, solat hajat, sumbangan kemanusiaan malah memboikot semua produk yang ada kaitan dengan negara tersebut. Senjata ekonomi harus digunakan bagi membantu menyelamatkan Palestin kerana ia boleh memberi kesan.

Awang sudah lama tidak mengunjungi kafe dan restoran makanan segera tertentu sebagai bantahan terhadap Israel. Minum kopi di premis itu seumpama menghirup darah kanak-kanak Palestin. Jihadlah dengan cara masing-masing termasuk sebagai kuasa pembeli dalam melawan kekejaman negara Yahudi yang angkuh, jahat dan hina.

Dalam kita berdepan dengan ujian pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine yang kini menjadi tumpuan besar, jangan lupakan nasib rakyat Palestin. Apalah erti kehidupan ini jika kita tidak membela pihak yang sudah lama dizalimi dan teraniaya.

Cukuplah Khalid

Dalam apa yang disifatkan jarang berlaku, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kemurkaan ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Baginda tanpa berlapik menyebut nama Khalid, yang mencadangkan kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Bukan itu sahaja Khalid disifatkan sebagai biadap dan jahil tentang peranan MAIS membantu baginda menjalan kuasa sebagai Ketua Agama Islam Selangor. Pada Awang, memang patut beliau ditegur kerana bukan kali pertama pemimpin Pas itu mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS.

Sebelum ini ramai yang geleng kepala terhadap kenyataan-kenyataan kontroversi beliau yang berkaitan kepentingan Islam. Ada yang tertanya-tanya mengapa beliau suka menekan MAIS? Apakah kerana mahu mempertahankan penerbitan dan pengedaran Bible versi bahasa Melayu?

Sebahagian pemimpin dan ahli Pas sendiri tidak selesa dengan Khalid kerana pendiriannya selari dengan agenda DAP. Ini antara lain dinyatakan oleh Ahli Pas Gombak, Mohamed Nabi Bux yang mahu beliau bertaubat jika benar mempunyai niat mahu mengizinkan penggunaan Bible bahasa Melayu.

Awang berharap Khalid bukan sahaja patut memohon maaf kepada Sultan Selangor malah ahli-ahli Pas dan umat Islam. Ini kerana pendirian beliau dalam beberapa isu menjejaskan imej Pas selain membawa mudarat terhadap kepentingan Islam.

Dalam soal keberatan beliau untuk memohon maaf kerana mahu menghadap baginda terlebih dahulu, Awang tidak terkejut. Malah Khalid menyatakan setahu beliau, tiada kata-katanya yang biadap dan jahil, seolah-olah kesilapan atau silap faham di pihak Sultan Selangor. Ada seorang teman Awang dalam Pas berkata, reaksi Khalid itu bukan 'cara' Pas tetapi lebih kepada budaya DAP.

Awang sebenarnya kasihani Khalid yang selalu tunjuk pandai dan pamer taring sedangkan tanpa disedarinya ramai yang meluat. Ambillah iktibar teguran Sultan Selangor. Cukuplah. Utusan/Rencana/20140720

Tingkatkan keupayaan risikan

Baru-baru ini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor membayangkan terdapat kemungkinan kumpulan yang setia dengan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari terlibat dalam insiden serangan dan penculikan anggota polis marin di Pulau Mabul, Semporna, Sabah pada 12 Julai lalu. Perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Menurut beliau, Nur Misuari cuba mendapatkan semula pengaruh di selatan Filipina dan menggunakan taktik menculik bagi mendapatkan dana daripada tebusan semata-mata untuk menghidupkan semula pasukan tentera upahannya. Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurugambar, ZAINI HUSIN di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Abdul Rahim menyatakan pandangannya tentang kaitan antara Nur Misuari dengan ancaman keselamatan di timur Sabah.

MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri boleh melihat kaitan antara Nur Misuari dengan insiden pembunuhan serta penculikan anggota-anggota polis marin di Pulau Mabul, Semporna, Sabah baru-baru ini?

ABDUL RAHIM: Sebahagian besar maklumat tentang kegiatan Nur Misuari dan pengikut-pengikutnya diperolehi melalui risikan yang dijalankan oleh Cawangan Khas semasa saya berkhidmat sebagai pengarahnya dan sebagai Ketua Polis Negara dahulu. Seperti yang diketahui umum, Nur Misuari pernah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Gabenor Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM) pada 1996 hingga 2002. Namun, lantikan itu menyebabkan pengaruh Nur Misuari dalam kalangan masyarakat Islam di selatan Filipina semakin merosot. Ramai yang kesal dengan perubahan sikap beliau daripada seorang revolusioner kepada birokrat. Nur Misuari dilihat agak selesa dengan gaya kehidupan yang mewah dan bersenang-lenang dengan kedudukannya. Malah, sebahagian pengikutnya menganggap Nur Misuari sudah lupa daratan.

Nur Misuari semakin kurang pengaruhnya setelah Murad Ebrahim keluar daripada MNLF dan menubuhkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada 1982 selain kemunculan kumpulan militan Abu Sayyaf sekitar lewat 1980-an. Kejayaan proses rundingan damai antara MILF dengan kerajaan Filipina sehingga membawa kepada kewujudan wilayah autonomi Bangsamoro menambah lagi kejengkelan Nur Misuari. Lebih-lebih lagi apabila merasakan dirinya dipinggirkan daripada proses rundingan damai yang menyaksikan peranan Malaysia sebagai fasilitator. Sebagai seorang individu yang sentiasa merasakan dirinya hebat, agak sukar bagi Nur Misuari untuk menerima hakikat bahawa beliau diketepikan.

Kita masih ingat lagi Nur Misuari pernah memberi amaran akan bertindak balas terhadap Malaysia di atas kematian setiap anggota kumpulan pengganas Kiram dalam Op Daulat yang dilancarkan oleh pasukan keselamatan kita pada awal tahun lalu. Saya juga pernah menyatakan dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia tahun lalu bahawa serangan mereka tidak akan berhenti selepas Op Daulat berakhir. Mereka akan meneruskan dengan tindakan-tindakan seperti menculik, melanun dan sabotaj terhadap aset-aset negara termasuk pelantar minyak di perairan Sabah. Apa yang saya jangkakan pada ketika itu kini menjadi kenyataan.

Terdapat kemungkinan kumpulan yang menyokong Nur Misuari melakukan kegiatan menculik dan melanun bagi mengembalikan pengaruh mereka dalam kalangan masyarakat Sulu, selain untuk mengumpul dana. Mereka ini sememangnya licik dan tindak-tanduk mereka sukar difahami. Oleh sebab itu, ahli-ahli politik kita jangan sesekali cuba mendampingi mereka kerana perbuatan itu lambat-laun akan mengakibatkan kesulitan pada masa hadapan. Malah, melihat apa yang berlaku sekarang, perbuatan membantu mereka tidak ubah seperti melepaskan anjing yang tersepit.

Mungkin Tan Sri sendiri ada pengalaman secara langsung dalam menangani kegiatan kumpulan Nur Misuari?

ABDUL RAHIM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah mewujudkan zon keselamatan wilayah timur (Eastern Command) nun di sekitar pantai timur Sabah dan lain-lain kegiatan jenayah di kawasan berkenaan. Inisiatif yang dimulakan semasa saya menjadi Pengarah Cawangan Khas dan Ketua Polis Negara beberapa tahun lalu telah menunjukkan keberkesanannya. Malah kita tahu secara terperinci bila dan di mana lanun-lanun akan menjalankan kegiatan mereka. Kita mempunyai kaedah tersendiri bagi memperolehi maklumat serta melumpuhkan kegiatan lanun.

Semua sumber yang dimiliki PDRM sentiasa digemblengkan menerusi Eastern Command untuk menumpaskan kegiatan melanun dan jenayah rentas sempadan di kawasan timur Sabah. Sentiasa ada perbincangan membabitkan pelbagai jabatan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah. Saya difahamkan, zon keselamatan Eastern Command wilayah timur Sabah masih wujud lagi sehingga hari ini dalam struktur kepolisan Sabah. Sebab itulah saya menyatakan seolah-olah berlaku keadaan 'satu kapal dua nakhoda' di Sabah.

Saya pernah menyuarakan kepada kerajaan kira-kira dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, keadaan 'satu kapal dua nakhoda' ini akan berlaku jika IPK Sabah tidak dimasukkan ke dalam struktur Esscom. Semacam ada dua IPK iaitu satu di Kota Kinabalu dan satu lagi 'IPK' di Lahad Datu khusus untuk 10 daerah yang bersempadan dengan selatan Filipina. Walaupun cantik di atas kertas dan ada 'bintang-bintang bertaburan' di Esscom, apakah peranan mereka?

Di samping itu, selain pegawai kanan polis dan tentera, ada juga pegawai-pegawai bertaraf sama daripada perkhidmatan awam di Esscom. Malangnya, mereka tidak mempunyai 'bala tentera.' Para pegawai dan anggota polis yang bertugas di 10 daerah polis dalam wilayah Esscom tak dapat tidak akan terdedah kepada 'suruhan' dan 'arahan' daripada Esscom, walhal mereka secara hakikinya kena melapor kepada IPK Sabah. Maka, kelam kabutlah keadaan di bawah, apabila mereka menghadapi keadaan wujud dua 'IPK' ini. Kerajaan mungkin tidak dapat melihat perkara ini. Esscom pula terpaksa bergantung kepada maklumat risikan daripada IPD-IPD.

Kerana itulah, saya telah menyarankan agar Komander Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun, dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang kedua. Langkah ini untuk memastikan Esscom tersepadu dengan IPK Sabah secara langsung. Pada masa yang sama, pegawai-pegawai tinggi tentera dalam Esscom boleh dikekalkan. Memang pun mereka diperlukan. Akta Polis 1967 tidak menyekat kewujudan dua Timbalan Ketua Polis bagi mana-mana negeri. Menyekutukan Esscom kepada IPK Sabah akan memastikan seluruh kepakaran dan aset kepolisan Sabah boleh digembleng untuk tujuan Esscom.

Tan Sri dapat meramalkan situasi di timur Sabah secara tepat namun perkara yang serupa tidak berlaku dalam Esscom. Pandangan Tan Sri?

ABDUL RAHIM: Sebenarnya, kegiatan risikan di Sabah turun temurun telah dikendalikan oleh pihak polis sejak dari zaman penjajahan British lagi. Polis tahu apa yang berlaku di Sabah dan kawasan sempadan. Apabila IPK Sabah diketepikan, siapa yang boleh mendapatkan akses kepada segala 'khazanah' maklumat risikan di IPK Sabah? IPK Sabah boleh menyalurkan sebarang maklumat risikan secara langsung sekiranya ia dilibatkan dalam Esscom.

Dalam keadaan sekarang, semua aset negara di Esscom perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan. Saya percaya Nur Misuari turut mengembleng kumpulan Abu Sayyaf dalam perancangannya untuk menimbulkan kekacauan di timur Sabah. Insiden bunuh dan culik melibatkan dua anggota polis marin itu menunjukkan berlaku kelemahan. Mereka tidak cemburu atau risau sesuatu yang buruk akan berlaku secara tiba-tiba.

Memang ada penambahan aset tetapi sikap dan tahap kesiapsiagaan di takuk lama. Sikap ini mesti berubah walaupun kerajaan tidak mengisytiharkan keadaan darurat. Setiap anggota tentera atau polis di Esscom, waktu siang atau malam, mesti sentiasa mengamalkan sikap bimbang bahawa musuh akan timbul secara tiba-tiba. Pegawai-pegawai mesti siang dan malam mengingatkan mereka tentang hal tersebut. Mereka tidak boleh leka sama sekali.

Bagaimana pula dengan prosedur operasi standard (SOP) melepaskan tembakan bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)?

ABDUL RAHIM: Menurut saya, apa sahaja SOP yang diputuskan tentang penggunaan senjata api melibatkan aset-aset bukan polis di Esscom iaitu TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hendaklah mengambil kira bahawa tiada perintah darurat di bawah Perlembagaan dikeluarkan di Esscom. Malaysia juga bukan dalam perang dengan negara Filipina. Berbeza dengan polis, mereka mempunyai SOP dalam hal ini. Pokoknya, bukan untuk membunuh tetapi menghalang suspek daripada melarikan diri. Aset tentera boleh menggunakan peruntukan citizen's arrest untuk menahan suspek, kemudian menyerahkan mereka kepada polis. Tentang SOP melepaskan tembakan ini, saya fikir pihak Jabatan Peguam Negara boleh merangkanya dari segi undang-undang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan agar kampung air di Sabah ditempatkan semula ke lokasi-lokasi lain sebagai salah satu cara menangani ancaman kumpulan pengganas di negeri itu. Komen Tan Sri?

ABDUL RAHIM: Saya menyokong sepenuhnya cadangan ini. Saya sebetulnya pernah membuat cadangan serupa bagi menangani pelanunan dan jenayah rentas sempadan di timur Sabah. Pihak berkuasa sukar mengesan mereka selepas mereka menyusup masuk ke dalam kawasan kampung air. Boleh dikatakan sulit untuk menjejaki penjenayah dengan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah. Silap-silap polis akan diserang hendap. Itu yang berlaku kepada enam anggota polis yang terkorban semasa dalam waktu senja cuba memasuki kampung air di Semporna semasa pencerobohan kumpulan pengganas Kiram tahun lalu. Kita yang berasal dari Semenanjung Malaysia sukar untuk membayangkan situasi masyarakat kampung air di Sabah.

Waktu saya dahulu, ada sesetengah pemimpin politik di Sabah kurang bersetuju dengan cadangan ini. Ia melibatkan kos yang cukup tinggi. Mereka bimbang kesan negatif dari sudut politik lebih-lebih lagi memikirkan pihak pembangkang boleh mempolitikkan isu tersebut. Sering saya katakan ini "The political cost of uprooting the 'kampung air' people". Namun, kerajaan sekarang perlu bersedia menanggung kos politik ini.

Saya percaya, jika penjelasan yang diberi meyakinkan, mereka boleh menerimanya. Ia boleh dilaksanakan secara berperingkat. Saya menjangka kira-kira 50 peratus isu jenayah dan keselamatan di timur Sabah dapat diselesaikan jika penduduk kampung air dipindahkan. Saya juga tidak fikir ketiadaan kampung air akan terjejas dengan parah daya tarikan pelancongan timur Sabah.

Langkah penempatan semula kampung air boleh mengambil contoh pelaksanaan Rancangan Briggs yang diperkenalkan kerajaan British di Tanah Melayu pada Jun 1950. Pada masa itu, orang Cina yang tinggal berselerakan di pinggir hutan telah ditempatkan semula di kampung-kampung baharu bagi memastikan pengganas komunis tidak mendapat bekalan makanan, penyokong, maklumat dan menghalang mereka menyebarluaskan fahaman komunis. Tindakan cukup berkesan, malah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng, pernah mengakui antara punca utama kegagalannya ialah Rancangan Briggs. Ini disebut dalam bukunya My side of history. Jika kita gunakan kaedah yang serupa dengan Rancangan Briggs dengan beberapa penambahbaikan, saya yakin kita dapat melihat keberkesanannya dalam mematahkan kegiatan jenayah rentas sempadan di Esscom.

Adakah Tan Sri melihat pasukan keselamatan mempunyai persediaan mencukupi dari segi latihan dan pengalaman untuk berdepan dengan kumpulan Nur Misuari?

ABDUL RAHIM: Saya percaya pihak polis mempunyai keupayaan 'menyusup' ke dalam gerakan mereka untuk mencungkil maklumat yang diperlukan. Kita mesti kreatif dalam memikirkan kaedah-kaedah untuk melakukan penyusupan ke dalam kumpulan-kumpulan mereka. Langkah ini juga memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Aspek risikan mesti sentiasa diberi keutamaan kerana risikan yang bermutu tinggi membolehkan pasukan keselamatan berada lebih dari setapak ke hadapan kumpulan Nur Misuari.

Soalan seterusnya agak keluar dari topik iaitu tentang insiden pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai lalu. Mungkin Tan Sri boleh berkongsi pandangan tentang insiden berkenaan?

ABDUL RAHIM: Pesawat itu telah terkena 'peluru sesat.' Maksud saya ialah perbalahan antara dua negara yang pernah bersaudara semasa menganggotai Kesatuan Soviet iaitu Rusia dan Ukraine. Semasa era Kesatuan Soviet, Rusia melaksanakan dasar transmigrasi penduduknya ke negeri-negeri gabungan Soviet termasuk Ukraine. Selepas Kesatuan Soviet berpecah, timbul masalah baharu. Di wilayah Crimea dalam negeri Ukraine, terdapat ramai orang Rusia, iaitu kesan langsung daripada dasar transmigrasi itu.

Penduduk etnik Rusia di Ukraine tidak menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk. Mereka ingin berpisah dan menubuhkan republik sendiri. Campur tangan Rusia dalam konflik itu sukar difahami kerana Crimea sudah menjadi wilayah Ukraine. Yang saya persoalkan ialah sokongan peribadi Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada kumpulan pemberontak Crimea, termasuk memberi bekalan senjata, kereta kebal dan pelancar peluru berpandu permukaan ke udara (SAM). Walaupun Ukraine sekarang ingin menyertai pihak Barat tetapi ini adalah atas kemahuan rakyat Ukraine sendiri.

Tindakan Putin menyalahkan Ukraine dalam insiden itu saya anggap sesuatu yang bodoh. Beliau semacam tidak nampak dasar Rusia yang menyokong kumpulan pemberontak Crimea. Saya berharap siasatan bagi insiden ini tidak mengetepikan perlunya mencari bukti keterlibatan Putin secara peribadi. Putin ialah bekas pegawai KGB yang berpengaruh satu ketika dahulu. Saya boleh faham sikap Putin yang banyak pengalaman semasa Perang Dingin di zaman era Soviet dahulu. Utusan/Rencana/20140720

Mangsa konflik Ukraine - Rusia

Angkara siapakah di sebalik tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh pada Khamis lalu yang mengorbankan 298 orang, termasuk 15 anak kapal di wilayah bergolak di timur Ukraine dekat sempadan Rusia. Pihak yang terbabit masih menjadi misteri dan terus menjadi tanda tanya.

Setakat ini, tidak ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan jenayah itu, sama ada tentera Ukraine, pemberontak pro-Rusia mahupun kerajaan Rusia.

Ketika nahas itu berlaku, pesawat MH17 itu dilaporkan sedang terbang di lokasi kemalangan pada pukul 1415 GMT (pukul 10.45 malam waktu Malaysia), dan kira-kira dua jam selepas itu pesawat lain yang dinaiki Presiden Rusia, Vladimir Putin turut terbang di laluan yang hampir sama pada pukul 1621 GMT (pukul 12.21 tengah malam waktu Malaysia).



SIASATAN tragedi pesawat MAS MH17 yang mengorbankan 298 orang telah bermula. Pihak yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.

Apa yang menariknya ialah warna kedua-dua pesawat tersebut dan saiznya hampir sama, menimbulkan persoalan apakah pesawat yang dinaiki Putin yang sebenarnya menjadi sasaran penyerang dan bukan MH17.

Namun, hakikatnya pesawat MAS, MH17 yang menjadi mangsa terkena tembakan peluru berpandu oleh pihak yang masih tidak diketahui siapakah mereka dan apakah motif mereka.

Persoalannya, apakah benar, pesawat yang dinaiki Putin yang menjadi sasaran. Jika benar mengapa?

Itu adalah beberapa kemungkinan yang dikaitkan dengan tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di kawasan zon perang di wilayah bergolak Donetsk. Kumpulan pemberontak pro-Rusia pada 25 Mei lalu mengisytiharkan Donetsk keluar daripada Ukraine dan membentuk Republik Rakyat Donetsk, diikuti sebuah lagi wilayah iaitu Lugansk bertindak serupa keluar daripada Ukraine membentuk Republik Rakyat Lugansk.

Sebelum itu, pada 6 Mac 2014, semenanjung Crimea dan Sevastopol telah mengisytiharkan keluar daripada Ukraine dan menyertai Persekutuan Rusia apabila Parlimen Crimea mengundi menyokong usul untuk menyertai Rusia dan diikuti dengan pungutan suara bagi mendapatkan mandat penduduk Crimea, sama ada mahu menyertai Rusia atau kekal sebagai sebahagian wilayah Ukraine.

Sebenarnya, krisis politik di Ukraine telah bermula sejak November tahun lalu, selepas Presiden Viktor Yanukovych mula 'menjauhkan diri' enggan menandatangani perjanjian kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU), sebaliknya menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan Moscow.

Gelombang kebangkitan rakyat Ukraine itu melarat pada 16 Januari 2014, sehingga mencetuskan keganasan berdarah mengakibatkan 98 orang terkorban dan kira-kira 1,500 lagi cedera serta 100 yang lain dilaporkan hilang.

Protes

Ekoran protes ganas pada 22 Februari lalu, Parlimen Ukraine mendapati Yanukovych gagal melaksanakan tugasnya dengan berkesan, dan Parlimen melaksanakan kuasa Perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya baharu Presiden pada 25 Mei lalu yang dimenangi calon pro-EU, Petro Poroshenko menewaskan lawannya Yulia Tymoshenko.

Namun, kemenangan Poroshenko memburukkan lagi krisis politik di Ukraine apabila aktivis pro-Rusia di wilayah Crimea, Donetsk, Lugansk dan beberapa bandar lain membentuk kumpulan militia dan bangkit memberontak.

Tentera Rusia mula masuk ke Crimea pada 28 Februari lalu dan pada bulan Mac, Presiden Ukraine dalam buangan, Yanukovych meminta Rusia menggunakan pasukan tentera untuk mengembalikan kedaulatan, keamanan, undang-undang, kestabilan dan mempertahankan penduduk Ukraine.

Pada hari yang sama, Presiden Rusia, Vladimir Putin meminta Parlimen Rusia meluluskan usul menghantar tentera ke Ukraine dan sehari selepas itu mengambil alih kuasa di semenanjung Crimea. Rusia mendakwa tindakannya itu adalah bagi mempertahankan kawalannya ke atas pelabuhannya di Laut Hitam di Crimea.

Seperti di Crimea, keganasan di wilayah Donetsk dan Lugansk bertukar menjadi pemberontakan apabila aktivis pro-Rusia membentuk pasukan militia dan bertindak menawan bangunan-bangunan kerajaan dan balai polis.

Tindakan Poroshenko menghantar pasukan tentera bagi menamatkan pemberontakan bersenjata di wilayah Donetsk dan mengembalikan kedaulatan Ukraine di Crimea telah memburukkan keadaan apabila keganasan bertukar menjadi perang saudara dan wilayah itu menjadi zon perang.

Rundingan di Geneva antara EU, Rusia, Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) diadakan bagi mencari penyelesaian kepada konflik di timur Ukraine, bagaimanapun tiada kemajuan dicapai setakat ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 110,000 pelarian Ukraine melarikan diri ke Rusia ekoran konflik politik di timur Ukraine dan 54,000 lagi melarikan diri ke wilayah Ukraine yang lain.

Berbalik kepada misteri siapakah yang menembak jatuh pesawat MH17? Selain Rusia, dua lagi pihak yang paling kuat disabitkan dengan insiden itu ialah Ukraine dan pemberontak pro-Rusia.

Jika pesawat yang dinaiki Putin benar-benar menjadi sasaran serangan, tidak mungkin tentera Rusia mempunyai agenda untuk menembak jatuh pesawat yang dinaiki Presidennya sendiri.

Dalam hal ini, tentera Ukraine mempunyai alasan kuat untuk melancarkan serangan peluru berpandu itu, tetapi persoalannya ialah pemberontak pro-Rusia tidak mempunyai pesawat pejuang mahupun helikopter tempur.

Maka, tidak ada alasan untuk tentera Ukraine menggunakan peluru berpandu untuk menyerang aset tentera milik pemberontak pro-Rusia yang kesemuanya berada di darat.

Kini dakwaan yang cukup kuat ditujukan kepada pemberontak pro-Rusia yang mungkin bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 setelah tersalah anggap pesawat itu sebagai pesawat pejuang Ukraine.

Namun, berbalik kepada andaian awal pesawat Putin adalah sasaran penyerang, sekali lagi, tidak mungkin pemberontak pro-Rusia ingin menembak jatuh pesawat Presiden Putin yang banyak memberi sokongan dan bantuan ketenteraan kepada kumpulan pemberontak pro-Rusia.

Bukti rakaman

Setakat ini, bukti rakaman perbualan telefon bimbit ketua militia pro-Rusia, Igor Strelkov semasa serangan itu berlaku yang dipintas oleh risikan Ukraine, sedikit sebanyak menyokong dakwaan pemberontak pro-Rusia terlibat dalam serangan ke atas MH17.

Malahan perisikan AS turut mendakwa pemberontak pro-Rusia menerima bantuan teknikal daripada pakar-pakar tentera Rusia untuk mengendalikan peluru berpandu SAM yang dibekalkan oleh Rusia menggunakan sistem peluru berpandu BUK 9K37.

Selain itu, perlu diketahui AS sendiri mempunyai sistem pertahanan peluru berpandu yang dikenali sebagai Ballistic Missile Defence European Capability (BMD) di rantau itu yang digunakan untuk memantau sistem peluru berpandu Iran. AS merahsiakan tentang sistem peluru berpandu BMD itu yang kemudian digantikan dengan Aegis Ballistic Missile Defence System bagi mengelak musuh mengetahui kemampuannya.

Insiden pesawat MAS MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine adalah satu insiden yang malang.

Namun, tragedi itu sedikit pun tidak menjejaskan MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan yang berwibawa, lebih-lebih lagi nahas terbaharu ini berlaku selepas lebih empat bulan sebuah lagi pesawat MAS, MH370, diisytiharkan berakhir di Lautan Hindi selepas hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu.

Aset MAS tidak harus dipertikaikan kemampuannya dan kecemerlangan perkhidmatan MAS tidak harus dipersoalkan kerana kedua-dua nahas tersebut sedikit pun tidak membabitkan masalah jentera mahupun kemampuan anak kapalnya.

Jika diambil tiga nahas yang melibatkan pesawat MAS setakat ini, yang pertama nahas pesawat MAS di Gelang Patah, Johor pada 1977 (93 penumpang dan 7 anak kapal terkorban), kehilangan pesawat MH370 (227 penumpang dan 12 anak kapal terkorban) di Lautan Hindi dan yang terbaharu kemalangan pesawat MH17 (283 dan 15 anak kapal terkroban), kesemuanya tiada kaitan dengan aset MAS atau perkhidmatannya.

Nahas pesawat MAS di Gelang Patah melibatkan serangan pengganas, nahas pesawat MH370 pula merupakan satu kehilangan misteri penuh kontroversi dan nahas ketiga MH17 pula akibat ditembak jatuh oleh pihak yang masih tidak diketahui, dan bukan disebabkan masalah teknikal atau masalah juruterbang.

Langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)mahu menubuhkan pasukan penyiasat antarabangsa bagi menyiasat insiden pesawat MH17 ditembak jatuh diharap akan dapat merungkai misteri tentang angkara siapa di sebalik jenayah itu.

Lebih tepat lagi, pihak yang terlibat perlu dikenakan hukuman yang setimpal.   MUSTAFA KAMAL BASRI Utusan/Rencana/20140720

Perspective: Ranking needs context

THE beautiful and entertaining 2014 FIFA World Cup final between Germany and Argentina leading to an almost scoreless draw highlighted the strategy of each country.

Each team tried to creatively out-manoeuvre its counterpart. It takes mental strength and quick-thinking to score goals. This year’s World Cup will be remembered for these traits.

Both teams seemed to be on equal footing when it came to unleashing their creative talent during the final, yet the differences between them could not be more diverse.

For example, one team treated football with cultural reverence; the other, a religion, almost. One found comfort in the familiar South American milieu, the other had to contend with playing thousands of kilometres away from home.

In fact there are others who “used” the pope to differentiate between the two teams — one from Argentina, the other, Germany. One is a developing country, the other a highly industrialised one.

Most of the controversies tend to be focused on the economies of the countries. A greater amount of resources is a necessary, though not sufficient, condition to make a difference between winning and losing.

In this regard, the CNN creative interjection seems to be an ingenious way of re-establishing the standing of each football team participating in the World Cup. Indeed, all other championships for matter.

Rather than pitting the teams against one another based on a one-size-fits-all measure (not unlike the criteria devised for university league tables — forcing an even closer analogy with football leagues), CNN is sensitive enough to recognise the diverse context of the origin of each team. Taking these into consideration makes the assessment fairer.

One factor is the country’s population, another is the range of salaries of the coaches. It is reasoned that the more populous a country, the larger pool of talent to draw players from, giving it an unfair advantage compared to lesser populated nations.

United States, reportedly, was the biggest country to qualify, followed by Brazil, Nigeria, Russia and Japan, while Bosnia-Herzegovina and Uruguay were the smallest, with populations under four million each. It is important to reflect the difference in the ultimate assessment.

Similarly, let us assume that there is a correlation between annual salary of coaches and performance.

Based on this, except for Brazil, the top 10 best paid coaches are from developed countries, with Russia coach Fabio Capello earning the highest (more than £6.5 million/RM35 million per year), followed by England and Italy. Yet all three teams fared very badly. The US coach is the lowest paid (about £1.5 million) from among the 10, but better that the rest (less than £1 million).

On the contrary, the 10 worst paid coaches are from developing countries with the exception of South Korea (at £0.5 million, slightly less than that for Argentina). The Mexican coach is the lowest paid (£0.25 million — close to half that of Costa Rica).

Recomputing these two factors into the FIFA “stereotyped” ranking numbers is enough to change the results quite dramatically, namely while Brazil was expected to be numero uno (they managed only the fourth position); Germany was slated to be second (but became champion); Spain, the former champion was predicted at number three (ended at 23rd placing); and Costa Rica was at 27th overall (finished at 8th place). Unlike Brazil which conceded 10 goals in their last two matches, Costa Rica conceded the fewest goals in the entire championship.

If the nationality of coaches is also taken into consideration, Russia, Japan and some African countries lose out even more since they hired non-nationals for their teams. Curiously, this is yet another reason why "ranking" exercises must be taken with scepticism as long as they ignore the need to account for “differentiated” factors in assessing institutions ranging from those involved in football to education.

As illustrated by CNN, ranking fails to present a realistic and constructive picture for a particular institution when context is sacrificed.

It invariably dismisses the importance of diversity in education, or even football, if framed in a run-of-the-mill way.

(The picture on the cover in relation to this article is courtesy of registrarism.wordpress.com) Dzulkifli Abdul Razak NST Learning Curve 20 JULY 2014 @ 8:04 AM

The man who wore many hats

IN a quiet street near the literal centre of London is an unassuming house built in the typical Georgian style of the 18th century. A banner proclaims to beholders, Benjamin Franklin House, in big letters. In some literature. the proclamation is more dramatic, “the only Benjamin Franklin House in the world”.

The Franklin who stayed in the house is better known now as one of the drafters of the American Declaration of Independence and a Founding Father, and his country’s distinguished ambassador to France.

But in life, Franklin was variously an inventor, writer, dabbler in electricity (many terms now connected to electricity were coined by him), discoverer of the Gulf Stream and a nuisance to neighbours who must have occasionally seen him standing or sitting in the raw. To improve the powers of sight, he invented the bifocals.

So, there he was, of a morning, sitting at his desk with a book and poring through pages and pages with the aid of his home-made spectacles. In days when the staleness of the atmosphere did not cause so much as a ripple, Franklin believed in the restorative powers of fresh air.

“I rise early almost every morning,” he wrote to his French friend Jacques Barbeu-Dubourg, a physician, “and sit in my chamber, without any clothes whatever, half an hour or an hour, according to the season, either reading or writing.”

And he would have spent many, many hours doing so.

The man who was partly responsible for the Declaration of Independence came to writing through a hard slog, as he explained in his autobiography. He first looked for a role model, and then he would sit down and copy down every word written by his admired author,
absorbing every word as he re-wrote, taking in the arguments,
the nuances and the way the story was told.

His father once ticked him off for being “ineloquent”, but, being a resourceful man, he taught himself how to learn to write. In this route Franklin made use of most of his mental faculties: imagination, feeling and memory. In recent studies it was found that when you handwrite, a process known as haptics takes place between hand and brain that somehow develops the latter. This may have come into play too as many teachers in the past advocated this route to learn the skill. Copy but be aware of what you copy.

In his path to learning Franklin went even further. In the days that followed his copying of the piece he would come back, write an outline of the article, rewrite the ideas expressed by the writer, imitate the style and then write a piece that countered the arguments proposed by the author.

The idea behind Franklin's way is almost similar to one now proposed by one of the leading lights of our day in the field of language and cognition, Steven Pinker. In his forthcoming book, The Sense of Style, Pinker talks about the reverse engineering involved in writing. To write you must know about writing, you must learn to savour the good prose of others. You need imagination too, and what's worse, we have lost the sense of knowing what not knowing is like.

Why should we know what it is like to be in a position of not knowing? For a writer this is a position of utmost importance, because reading is discovering and to lead someone into this alley you need to know the way to get there. Imagination, says Pinker, is what will take them there, yours and the reader's. The writer needs to imagine and maintain the illusion. It requires an act of imagination: maintaining the illusion that one is directing a reader’s gaze to something in the world, the blurb to his book says.

In any writing manual and you'll find the author almost hectoring you not to write. Don't do this, split infinitives, speak in the passive. And something that I have always found to be extremely baffling: show, don't tell. I have read many good writers who show and I have read many good writers who tell.

We all write in our own way, but learning those first steps from another, especially someone you admire, is a good and safe route there. Benjamin Franklin sweated himself over this, though he quickly learned how to keep himself cool. I am not now recommending that you sit yourself bare in your comfortable chair, but take it slowly, do it decently and copy and copy until good writing becomes for you, second nature.

It is the imagination that feeds both reading and writing. Many writers who write with imagination have flouted the rules of writing, though understanding how sentences complement one another and how syntax works are all essential skills. Grammar is essential, though Pinker, a Canadian, dismisses many English grammar rules as classist anachronisms invented in 18th century Britain.

Do not be obscure, advises Pinker. Be clear. Make yourself understood to the reader. In an interview with CBSnews, Janice Stein of Toronto University gives this valuable advice, write in a language that even your family can understand. WAN A. HULAIMI - NST Columnist 20 JULY 2014 @ 8:19 AM