July 22nd, 2014

Manfaat buah tembikai susu

22 Jul – Umum memang sudah mengetahui buah tembikai mempunyai banyak khasiat yang baik untuk tubuh badan. Tetapi tahukah anda tembikai susu juga mempunyai banyak manfaat untuk tubuh badan?

Tembikai susu terdapat dua jenis utama iaitu yang berwarna kuning pucat dan kuning. Oleh itu kali ini kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang khasiat buah tembikai susu yang dipetik dari Wanista.

Baik untuk kulit
Tembikai susu kaya dengan Vitamin A, B Komplek dan C yang menjadikan ia makanan paling sesuai untuk menjaga kesihatan kulit dan saraf. Amalan memakan tembikai susu pada setiap hari akan menghasilkan kulit yang bersih dan sihat.

Menghindarkan barah
Kajian menunjukkan tembikai susu mengandungi carotenoid, salah satu daripada zat-zat makanan yang boleh menghindarkan barah. Pengambilan tembikai susu dapat memberi perlindungan daripada barah tujuh kali lebih baik daripada pemakanan yang yang mengandungi kandungan karotena yang rendah.

Menurunkan berat badan
Bagi mereka yang berhasrat untuk menurunkan berat badan, tembikai susu adalah antara makanan yang sesuai diamalkan pada setiap hari kerana ia mempunyai kandungan air dan serat yang tinggi manakala kalorinya rendah.

Mengawal tekanan darah
Tembikai susu adalah sangat berkesan untuk menangani masalah darah tinggi kerana tembikai susu mengandungi potassium. Pottasium mampu mengawal serta mengekalkan paras darah yang sihat dalam tubuh.

Merawat penyakit Hepatitis
Tembikai susu adalah antara ramuan utama yang sangat popular dalam dunia perubatan Cina untuk merawat penyakit hepatitis. Di Filifina pula ianya digunakan sebagai ramuan utama untuk merawat mereka yang menghadapi masalah pengaliran darah haid yang tidak lancar manakala di India ianya digunakan untuk mengubati kebengkakan dan ketumbuhan. Azwa Iela | Tupai  22 Jul 2014 – 10 hours ago

Petua hilangkan hanyir ikan

22 Jul – Kini ramai wanita atau suri rumah yang tiada masa untuk memasak dan mengambil jalan senang dengan menyimpan barang-barang basah di dalam peti untuk satu jangka masa yang agak lama.

Tahukah anda apabila anda menyimpan barang basah contohnya seperti ikan untuk seminggu dua, ia akan berbau hanyir apabila dibiar seketika di luar peti.

Oleh itu kali ini kami ingin berkongsi beberapa petua berguna untuk menghilangkan hanyir ikan.

Pertama, setelah ikan siap di siang dan dipotong, basuh dengan bersih kemudian toskan air basuhan ikan. Lumurkan ikan dengan asam jawa dan biarkan seketika. Selepas itu cuci bersih dan bolehlah memulakan proses memasak.

Kedua, sama sahaja seperti cara satu, tetapi cuma gantikan asam jawa dengan perahan limau nipis, lumurkan ikan dengan perahan limau nipis, perah sampai tinggal hampas limau nipis pada ikan dan biarkan seketika. Kemudian cuci bersih.

Cara ketiga, lumurkan ikan yang dah disiap siang dan dipotong tadi dengan tepung jagung dan letakkan air sedikit. Pastikan tepung jagung kena pada semua bahagian ikan dan biarkan seketika.

Selamat mencuba!
Azwa Iela | Tupai 22 Julai 2014 –