July 23rd, 2014

Facebook tonjolkan banyak wajah buruk penggunanya

KIRA-KIRA 10 tahun lalu sewaktu Mark Zuckerberg melancarkan Facebook, yang ketika itu dikenali sebagai thefacebook.com., mahasiswa tahun dua ini mencedok nama tersebut daripada sebuah penerbitan yang digunakan oleh para penuntut Universiti Harvard untuk berkenal-kenalan dan berhubungan sesama mereka menerusi Internet.


Sudah tercatat dalam sejarah, Facebook kemudiannya menjadi begitu popular sehinggakan dalam masa singkat, ia telah dibuka kepada penuntut kolej lain dan kemudiannya meluas kepada pelajar sekolah tinggi dan orang awam yang menggunakan Internet, asalkan berumur 13 dan ke atas.

Kini Facebook (FB) atau mengikut terjemahan penyanyi Najwa Latif, Muka Buku, sudah menjadi fenomena malah bagi sesetengah orang umpama habit atau tabiat yang tidak boleh ditinggalkan.

Ada yang sepanjang masa mengemas kini status FB. Ada yang tidak kerap namun konsisten memuat naik status akaunnya. Ada yang tidak memuat naik status sendiri tetapi sepanjang masa memberi komen, kongsi (share) atau like status orang lain.

Bahkan ada juga yang tidak ada status, tidak komen, tidak share atau like, namun sentiasa membaca notifikasi - tidak mahu ketinggalan dalam dunia perkongsian maya.

Sebagaimana asasnya dilahirkan Zuckerberg untuk mengenali sesama rakan universiti, begitulah natijahnya FB membuatkan kita mengenal wajah pengguna laman sosial ini.

Yang tak seronoknya bukan hanya sesama rakan FB, yang bukan rakan, orang kenamaan termasuk orang politik pun terserlah wajah masing-masing atau lebih tepat terbuka pekungnya di Muka Buku ini.

Watak sebenar di sebalik wajah pemilik akaun FB dengan mudah dibaca untuk dipuja atau dikutuk, hanya berdasarkan sebaris status yang dikongsi untuk tatapan umum.

Dua tragedi yang menimpa industri penerbangan Malaysia - MH370 dan MH17 - dalam tempoh tidak sampai empat bulan menjadi saksi dan prasasti kepada wajah-wajah sebenar di sebalik pengguna FB di negara kita.

Bukan rahsia lagi, ramai dalam kalangan kita yang bukan sahaja tidak prihatin, tiada belas bahkan celupar memberikan komen-komen yang menghiris hati waris mangsa, menghina usaha pihak berkuasa dan bersifat rasis.

Bayangkan kita pergi ke upacara pengkebumian bukan untuk menyampaikan simpati sebaliknya mencerca-nista si mati di hadapan ahli keluarganya. Apa agaknya reaksi yang kita harapkan?

Jawapannya, mungkin sahaja kita dijerkah, dihalau atau lebih teruk ditempeleng, bukan hanya oleh kaum keluarga atau sahabat-handai bahkan sesiapa jua yang berada di sekitar dan mendengar kata-kata tidak bertamadun daripada kita.

Justeru apa bezanya dengan memuat naik komen tidak sensitif dan kontroversi di FB? Hukumnya pada penulis tetap sama.

Lantas memang selayaknyalah kecaman yang diterima oleh dua anggota DAP, seorang bergelar Yang Berhormat dan seorang lagi isteri pemimpin parti itu yang tentu sahaja terhormat, apabila mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya berhubung tragedi MH17.

Dalam keadaan rakyat Malaysia khususnya mereka yang berkait langsung dengan anak kapal dan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu sedang berduka, gelagat ahli politik muka tembok yang mahu mempergunakan tragedi yang berlaku untuk meraih keuntungan politik sempit mereka memang cukup memalukan.

Tindak-tanduk ahli politik yang tidak layak bergelar Yang Berhormat (YB) ini, bak kata Naib Presiden Wanita MCA, Ong Chong Swen, merupakan 'satu lagi bencana kepada negara!'

Di saat-saat negara kita sedang menghadapi kejutan besar yang tak terduga dan rakyat secara umum masih terpempan dengan malang bertimpa, pemimpin politik tertentu usahkan hendak menghulur simpati, tergamak pula mengeluarkan kenyataan kontroversi.

Tidak perlu penulis ulas panjang lebar, rakyat Malaysia boleh menilai sendiri spesies macam manakah mereka ini?

Perumpaan menyebut, kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

Mungkin teruja dan terasuh minda dengan ungkapan tidak berhemah daripada pemimpin seumpama ini, ramai lagi warga FB yang lebih teruk sehingga sanggup menghina keturunan mangsa. Apa yang diungkapkan kadang-kala tak tercapai dek akal kita sebagai manusia namun itulah hakikatnya. Memang ada manusia sebegitu dalam kalangan kita.

Sepatutnya jika tidak mahu menghulurkan bantuan sekali pun, janganlah cuba mengambil kesempatan dengan mencari perbatuan politik daripada tragedi MH17.

Ini adalah detik menyedihkan dalam hidup ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa tragedi pesawat MH17, apa salahnya kita beri sokongan moral dengan menunjukkan simpati agar mereka diberi kekuatan untuk menghadapi saat mencabar ini.

Jika itu pun enggan kita lakukan, cukuplah dengan tidak berbuat apa-apa. Jangan komen, jangan share kenyataan, video atau gambar yang bukan-bukan, yang boleh mengguris perasaan mereka.

Jika terbukti benar bahawa MH17 ditembak jatuh, apa yang sepatutnya kita lakukan adalah mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pengganas yang tidak berperikemanusiaan itu. Bukannya mengutuk MAS yang menjadi mangsa konflik geopolitik dunia atau pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia yang bertungkus-lumus mahu 'menyelamatkan' jasad mangsa.

Dalam masa sukar ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengetepikan apa juga perbezaan dan bersatu menuntut keadilan buat mangsa-mangsa yang tidak berdosa dan ahli keluarga mereka dengan bersama-sama masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan terhadap pihak yang sebenar-benarnya bersalah.

Nasihat saya, tolonglah hormati waris mangsa kalau pun enggan membantu mahupun memberi sokongan moral kepada mereka.

Janganlah tragedi seperti ini pun hendak dipolitikkan. Janganlah tunjukkan wajah buruk kita kepada dunia! oretan Marhaen: Utusan/Rencana/20140722

Ikhlas di sebalik Najib, Dr. Mahathir

DARI WhatsApp, Facebook, blog sehinggalah Twitter, tidak kurang ungkapan kurang manis dan tidak menyenangkan dilemparkan terhadap tragedi menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.


Terkadang, kita terpaksa menarik nafas panjang dek kerana pelik mengapa dalam saat-saat krisis sebegini, masih ada pihak yang sanggup mentohmah dan mencerca.

Mohd. Ridzuan Abdullah, 45, antara rakyat Malaysia yang terpanggil menyuarakan kebimbangan akan suasana semasa yang agak `membingitkan' ini.

Mengetuai Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang dinaungi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau menarik perhatian perlunya seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani bukan sahaja insiden MH17 malah cabaran isu dan politik semasa.

"Kalau nak maju, negara kena stabil. Pertama, politik, kedua, ekonomi. Kalau politik hancur, negara akan runtuh. Kalau nak susun politik yang kukuh, perlu ada perpaduan utuh antara kaum.

"Ketiganya, keyakinan rakyat kepada pemimpin. Itu mustahak. Kalau benda ini kita tidak yakin, susahlah, sebab perkara ini bersangkut-paut dengan ekonomi," katanya.

Presiden Ikhlas itu percaya untuk memastikan politik dan ekonomi terus stabil, paling mustahak negara memerlukan seorang Perdana Menteri yang boleh menyandang jawatan paling kurang 10 tahun.

"Contohnya, selepas Najib mengambil alih kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, kita mula nampak trend politik yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri.

"Ada elemen siapa sahaja menjadi Perdana Menteri, akan ada pihak cuba mengucar-ngacirkan keadaan untuk menjatuhkannya," katanya.

Dalam hal ini, Ikhlas cukup yakin Dr. Mahathir yang berpengalaman selama 22 tahun mengetuai kerajaan dan masih memiliki hubungan akrab dengan para pemimpin dunia termasuk dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih mempunyai 'bisa' untuk memberi idea kepada kerajaan dalam mengharungi sepak terajang politik dan isu semasa.

"Kita boleh lihat dunia di luar sana masih boleh menerima Tun. Cuma, kenapa di Malaysia, sesetengah pihak kelihatan tidak bersetuju dengannya, tidak terima pakai cadangan dia?

"Di Jepun, negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Afrika, pandangan Tun dihargai. Mereka anggap pandangan Tun dapat membantu menyelesaikan masalah ekonomi, sosial dan politik," kata Mohd. Ridzuan.

Beliau bagaimanapun mengakui ada ketikanya teguran atau pandangan yang dilontarkan oleh Tun agak pedih untuk diterima pihak berkenaan.

"Sebenarnya teguran itu untuk perbetulkan keadaan dan berpandangan jauh. Kenapa Lee Kuan Yew masih menjadi penasihat Singapura? Singapura masih perlu teguran daripada Kuan Yew. Macam Indonesia juga, masih ada rakyatnya tidak dapat melupai Suharto kerana mereka masih memerlukan idea-idea daripada pemimpin ulung itu.

"Hari ini selepas Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menguasai rantau ini, yang tinggal masih belum dimasuki adalah Singapura dan Malaysia," kata Mohd. Ridzuan yang berpendapat tiada ruginya sehingga 2020, jika Dr. Mahathir diberi peluang dan ruang untuk bertindak sebagai penasihat ekonomi dan politik negara.

Menurut beliau, Ikhlas melihat sekiranya Perdana Menteri berganding bahu dengan Dr. Mahathir, Insya-Allah negara dari segi ekonomi, politik dan sebagainya akan nampak kemas.

Ikhlas juga percaya Perdana Menteri berupaya mentadbir negara sehingga maksimum lima penggal.

"Negara apabila sering bertukar Perdana Menteri tentu akan menghadapi masalah besar. Hari ini kita nampak negara terima pelbagai ancaman, boleh jadi ada ancaman sebelum tragedi menimpa MH370 dan kini MH17 pula," kata beliau.

Mengenai pakatan pembangkang, Mohd. Ridzuan berkata, mereka kini memperoleh 'kekuatan' kerana disokong dari luar.

"Sebab itu mereka terutama sebilangan kaum Cina berani protes terhadap kerajaan. Padahal mereka melalui MCA diberi peluang terlibat dalam pentadbiran negara selama setengah abad.

"Dalam hal ini, Ikhlas yakin ilmu untuk menarik balik sebilangan kaum Cina ini kepada kerajaan ada pada Dr. Mahathir," katanya.

Ikhlas berfungsi menjaga dan membela kebajikan usahawan-usahawan kecil. Dalam tempoh setahun ini, sebanyak tiga isu besar berjaya ditangani pertubuhan itu.

Antaranya, melibatkan sebilangan peniaga Melayu dalam BB Plaza, Kuala Lumpur. Disebabkan projek MRT sebelum ini, BB Plaza mahu dirobohkan. Setelah berhempas pula, Ikhlas berjaya menggagalkannya.

Kedua, isu Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail yang hendak dirobohkan untuk pembinaan kondominium. Hasil protes pertubuhan aktivis ini, perkara itu juga tidak kesampaian.

Ketiga pula, Ikhlas berjaya menyelamatkan Bangunan UDA di Bangsar yang hendak dirobohkan oleh UDA Holdings sedangkan premis terbabit terbukti menghasilkan peniaga-peniaga Melayu yang berjaya.

Semasa Ikhlas berdepan saman malu oleh UDA Holdings kerana cuba membela warisan Melayu di Central Market, Dr. Mahathir tampil membela Ikhlas. Proses saman terhenti di separuh jalan tahun lalu.

Kini, Ikhlas membuka lembaran baharu dengan mulai tahun depan melalui beberapa kedutaan Malaysia akan mewujudkan hubungan keusahawanan antarabangsa dengan negara-negara Asia seperti Vietnam dan Kemboja. Antaranya, mahu melahirkan usahawan tempatan sebagai pemborong dan pembekal dengan membawa masuk produk luar.

Mohd. Ridzuan, lulusan sarjana perniagaan dan pentadbiran dari sebuah universiti di California, Amerika Syarikat ini sudah 12 kali berjumpa Dr. Mahathir selaku Penasihat Ikhlas sejak 20 April 2011.

"Usia saya baru separuh daripada beliau (89 tahun). Saya dapat belajar banyak perkara dari segi pandangan dan nasihat serta nampak sendiri wawasan Tun. Kita selepas ini dalam tempoh 100 tahun, baru akan jumpa pemimpin sebegini," ujarnya. Zulkifli Jalil: Utusan/Rencana/20140723

Hebatnya Najib, Sultan Nazrin dan Tun Hamid ...

Syabas Najib!


GRUP-grup WhatsApp sibuk memuji PM Najib atas kejayaannya mengembalikan kotak hitam MH17 ke tangan kita; dan berjaya mengeluarkan mayat-mayat penumpang dari kawasan bergolak di Ukraine untuk dihantar pulang kepada keluarga masing-masing.

Malah, pujian juga dijulang atas kejayaannya berunding dengan ketua pemberontak Alexander Borodai yang menguasai kawasan nahas itu.

Najib juga dipuji kerana berjaya menggunakan diplomatik senyapnya berunding dengan Presiden Putin bagi memujuk kumpulan pemberontak menyerahkan aset negara itu.

Salah seorang rakan menulis: "PM Najib made it possible! That's why Najib avoids condemning Putin, quiet diplomacy gets result." (PM Najib berjaya melakukannya! Itu sebab Najib mengelak daripada menghentam Putin, diplomasi senyapnya beroleh kejayaan.)

Seorang lagi rakan menulis: "Tun Razak as PM of a democratic Malaysia surprised the world by visiting China in 1974 to be friendly with Communist China. Now in 2014, DS Najib speaks to Russian Communist Putin and pro-Russian Rebel Leader to solve MH17 issue of bodies and black box. He achieved what others failed. Orang Pahang hebat! DD"

(Tun Razak sebagai PM negara Malaysia yang demokratik mengejutkan dunia dengan melakukan lawatan ke China pada 1974 untuk bersahabat dengan komunis China. Sekarang 2014, Najib bercakap dengan Putin, seorang komunis Rusia dan dengan pemimpin pemberontak pro-Rusia bagi menyelesaikan isu kotak hitam dan mayat-mayat penumpang MH17. Beliau berjaya semasa orang lain gagal.)

Seorang lagi: "Fantastic work by PM. Direct nego with Borodai...the separatist leader...and clinched the deals. Now the bodies is on a train otw to Kharkiv. And blackbox is in Msian hands."

(Tugas hebat oleh Najib. Rundingan terus dengan Borodai...ketua pemisah... dan mencapai perundingan. Sekarang mayat-mayat di dalam kereta api dalam perjalanan ke Kharkiv. Dan kotak hitam dalam tangan Malaysia).

Satu lagi mesej: Akhbar New York Times melaporkan kejayaan PM Najib berunding dengan pemisah Ukraine serah mayat dan kotak hitam MH17. Kejayaan ini dianggap sesuatu yang gagal dicapai oleh negara-negara yang lebih berkuasa. Alhamdulillah pagi ini (waktu Malaysia) majlis serah kotak hitam MH17 kepada wakil Malaysia di Bandar Donetsk selamat dijalankan. Ketua Pemisah Ukraine, Alexander Borodai turut hadir menyaksikannya.

Syabas Najib!

Daulat Tuanku Sultan Perak!

PETANG Sabtu lepas, saya sekali lagi dijemput berbuka puasa di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Jika pada tahun lepas jemputan dibuat oleh Raja Muda Perak, tahun ini baginda sudah bergelar Sultan Perak, Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah.

Seperti biasa sebelum masuk ke dewan santapan untuk berbuka, kami - dalam kumpulan terdiri daripada orang media dan NGO yang terpilih, dititah menghadap baginda di dalam sebuah Bilik Mengadap serba merah, diberi jolokan Bilik Merah.

Tempat-tempat duduk telah ditetapkan dengan tanda nama masing-masing. Tuanku duduk di tengah-tengah bersebelahan dengan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Baginda bertanya khabar semua tetamunya. Sungguh berhemah baginda.

Kemudian kami semua berangkat ke Bilik Jamuan Negeri. Selepas berbuka dengan juadah ringan buah kurma, bubur lambuk, kuih Tokyo, cucur badak, karipap dan sirap cincau, kami bersolat maghrib berjemaah.

Ia diikuti dengan santapan makan malam - yang menunya nasi putih Basmathi, nasi beriani, ayam Vangge, kari ikan bawal, rendang Tok, sambal tumis, udang cili, ikan masin - yang cukup menyelerakan berserta pajeri nanas, acar buah, air asam dan sambal belacan serta minuman sirap cincau. Di meja santapan, masing-masing teruja dengan ayam Vangge dan perbincangan mengenainya bermula.

Tetamu kemudian bersolat isyak dan tarawih berjemaah bersama-sama Tuanku.

Suasana bersolat di dalam istana berusia 81 tahun itu, dibina pada tahun 1933 di tepi Sungai Perak, cukup syahdu sekali.

Tetamu kemudian dibawa ke dewan santapan sekali lagi untuk jamuan moreh berupa kuetiau goreng dan ketupat daun palas cicah serunding daging serta hirupan teh tarik.

Namun majlis belum selesai. Beberapa tetamu terpilih diminta sekali lagi tunggu dahulu dan diiring ke Bilik Merah sekali lagi.

Seketika menunggu, Tuanku pun masuk mengambil tempat. Kali ini baginda tidak diiringi oleh Raja Permaisuri Perak.

Tuanku Sultan memulakan cerita. Pemilihan Presiden Indonesia, "apa peluang Jokowi dan Prabowo?"

Maka, tetamu terpilih Tuanku itu pun mengulas, membuat pelbagai analisis, pendapat dan cadangan. Tan Sri Azman Mokhtar, orang kuat Khazanah turut memberi pelbagai perspektif dari segi politik dan kesan-kesan kepada ekonomi serta perniagaan serantau.

Tuanku mendengar dengan penuh analitikal dan kritikal. Pelbagai lagi pendapat yang dilontarkan secara naratif dan interpretatif.

Sebagai seorang yang cukup terpelajar - berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, baginda cukup tajam.

Soalan kemudian menjurus kepada satu lagi isu sensitif yang sedang berlegar dalam kalangan NGO Melayu sekarang iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Harmoni serta cadangan penghapusan Akta Hasutan 1948.

NGO Melayu yang turut di bilik itu iaitu Majlis Perundingan Melayu (MPM), yang sedang bersama-sama puluhan lagi NGO Melayu Islam membahaskan rang undang-undang 'berat sebelah' itu turut mengulas.

Dr. Hasan Mad selaku Setiausaha Agung MPM memberi pencerahan kepada Tuanku. Cadangan rang undang-undang itu yang disokong oleh Majlis Peguam - yang pada pandangan NGO Melayu Islam ialah ke arah untuk mengekang hak keistimewaan Melayu dibincangkan dengan mendalam.

Ada juga tetamu yang agak emosional semasa perbincangan. Namun Tuanku cukup tenang.

Seorang lagi berkata sebagai sultan yang baharu dilantik, Tuanku harus juga memberi tumpuan kepada isu pokok itu.

Sebaliknya Tuanku amat menitikberatkan agar Rukun Negara diterapkan di jiwa rakyat Malaysia.

Benar kekhuatiran baginda. Sudah jauh dari hati dan jiwa rakyat kepada ideologi kebangsaan Malaysia itu.

Rukun Negara diwujudkan setahun selepas tragedi berdarah perkelahian kaum 13 Mei 1969. Ia dijadikan satu ideologi kebangsaan, seperti Pancasila yang cukup dihormati di Indonesia sehingga kini.

Rakyat Malaysia sudah lupa kepada ikrar bahawa mereka sewajibnya menumpukan seluruh tenaga dan usaha untuk mencapai cita-cita nasional itu berdasarkan prinsip-prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Benar ingatan Tuanku itu. Rukun Negara harus dimartabatkan semula. Malangnya, kini tiang nasional itu sudah semakin melayu dan lesu. Asas-asas Perlembagaan juga harus diajar sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Ajar anak-anak kecil kita mengenai asas Perlembagaan dan di akhir tahun biar anak-anak itu sendiri melakonkan drama pementasan mengenai Rukun Negara dan Perlembagaan.

Biar semua ibu dan bapa menyaksikan pementasan anak-anak kecil itu. Biar semua kita menyelami erti pementasan itu, seperti mana pementasan oleh anak-anak sekolah rendah di Amerika Syarikat mengenai Declaration of Independence 9 Julai 1776 oleh Jeneral George Washington.

Wajibkan ia mulai sekarang.

Kami di dalam Bilik Merah itu tidak sedar jam sudah melepasi 1 pagi hari Ahad.

Tuanku akhirnya bertitah; "Masa sudah suntuk, anda semua perlu membuat perjalanan jauh. Terima kasih, satu perbincangan yang amat baik."

Daulat Tuanku!

Tun Hamid yang bijaksana!

KELMARIN, Isnin saya sempat hadir ke satu wacana Islam bagi membincangkan Cabaran Semasa anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Beberapa ahli panel memberi pendapat. Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan peguam Datuk Salehudin Saidin bercakap mengenai Cabaran Terhadap Keluhuran Perlembagaan: Isu-isu Keselamatan Negara, Islam dan Umat Melayu.

Kira-kira 300 orang hadir. Sesi kemuncak ialah ucapan dasar oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Saya telah mengikuti beberapa sesi perbincangan dan forum dengan Tun Hamid. Ternyata jati dirinya terlalu kental terhadap negara ini, rakyatnya dan bangsanya.

Selaku orang yang pernah berada di atas puncak Perundangan dan Keadilan negara, beliau tahu apa yang diperkatakannya.

Beliau cukup bimbang dengan usaha pihak-pihak tertentu yang mahu merubah peraturan negara ini.

Perumpamaannya: "Jika mahu tebuan duduk dalam sarangnya diam-diam, maka joloklah kuat-kuat sarangnya."

Itulah maksudnya apabila ada pihak yang mahu menghapuskan Akta Hasutan 1958.

Dalam usianya 85 tahun dan perlu berjalan dengan tongkat, dia masih menggagahkan dirinya untuk berdiri untuk berucap.

Penghapusan akta itu akan mencacatkan peraturan negara ini dan keharmoniannya. Tun Hamid tahu apa yang dicakapnya.

"Itu pasal saya kena tulis apa yang mahu diucap. Kerana dengan menulisnya ia akan lebih berhemah. Ia seperti menulis sesuatu penghakiman."

Ucapan penuhnya sila ikuti di sini: Mempertahankan Perlembagaan Sebagai Asas Perpaduan Negara http://www.alumniuitm.org.my/site/?p=4082.

Ringkas daripada ucapannya: "Mereka mahukan atau mahu menghapuskan apa yang ada pada orang Melayu tetapi mereka tidak mahu melepaskan apa yang ada pada mereka. Sanggupkah syarat kerakyatan dikaji semua? Sanggupkah syarikat-syarikat milik mereka dibuka kepada orang Melayu..."

"Maka kita perlu faham alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas langsung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang yang tidak sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap dengan helah seperti itu."

Tun Hamid sambil mentafsirkan orang Melayu, berkata:

"Saya amat sedih melihat orang Melayu dan Islam begitu naif (lurus bendul) sehingga begitu mudah diperalatkan sampai sanggup bertakbir dan bergolek di atas jalan raya sedangkan orang bukan Islam yang untung."

Ya Allah, panjangkanlah usia Tun Hamid!   Zaini Hassan: Utusan/Rencana/20140723