July 26th, 2014

Marah bawa padah

ELAK pertengkaran dan pastikan anda tidak menjadi 'road bully' jika terlibat dengan kemalangan jalan raya untuk mengelak perlakuan amarah anda dirakam serta disebarkan dalam media sosial, sekali gus menjadi viral seperti insiden yang berlaku di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Kejadian 'road bully' atau pembuli jalan raya atau samseng jalan raya bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia. Sejak 1995, ia telah mula diperkatakan dan turut mendapat perhatian dalam kalangan wakil-wakil rakyat sehingga diperdebatkan dalam sidang Parlimen.

Polis Kuala Lumpur pada 1996 pernah mengemukakan kertas cadangan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Rahim Noor agar tindakan tegas dikenakan termasuk membatal atau menarik balik lesen pemandu yang bersalah dalam gejala samseng jalan raya.

Ini kerana golongan berkenaan lazimnya mengeluarkan senjata seperti pisau, kayu hoki, kayu besbol, kayu golf dan besi pengunci stereng kereta sebagai senjata, dan mereka tidak teragak-agak bertindak ganas jika tidak berpuas hati dengan pengguna kenderaan lain.

Kejadian terbaharu di Kuantan melibatkan seorang wanita muda yang mengamuk menggunakan besi pengunci stereng setelah kereta Peugeot 208 yang baharu dibelinya sebulan lalu dilanggar oleh seorang warga emas lelaki hanyalah picisan daripada 1,001 kisah pembuli jalan raya di negara ini.

Golongan yang tidak pernah pupus ini ternyata tidak mampu mengawal amarah dan bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan rasional perbuatan yang dilakukan walaupun kemalangan yang berlaku hanya melibatkan kerosakan kecil.

Tanpa mereka sedari, natijah yang terpaksa ditanggung akibat perlakuan 'kurang siuman' seketika itu lebih besar kesannya daripada kerosakan kenderaan yang mereka alami kerana negara ini mempunyai undang-undang yang tidak pernah melepaskan sesiapa sahaja yang gemar mengambil tindakan sendiri.

Perkara itu juga terpaksa ditanggung oleh Kiki atau nama sebenarnya, Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, 30, apabila dia telah dikenakan denda RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat sosial selama 240 jam dalam tempoh tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, baru-baru ini.

Dia terlebih dahulu telahpun menerima hukuman di 'mahkamah awam' apabila dilemparkan dengan pelbagai cacian dan kutukan setelah video sikap biadapnya terhadap lelaki tua terbabit yang secara tidak sengaja melanggar keretanya tersebar di media sosial sehingga turut mendapat perhatian KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Walaupun dia telah meminta maaf dan warga emas terbabit juga telah memaafkannya, namun segalanya telah terlambat, ibarat 'nasi telah menjadi bubur', Kiki terpaksa menanggung akibat daripada perbuatannya itu.

Sebelum ini, beberapa kes pembuli jalan raya turut mendapat liputan media massa dengan ada di antara mangsa di dalam kes tersebut bukan sahaja mengalami kecacatan kekal, malah ada yang maut. Berikut paparan kes-kes berkenaan yang dilaporkan berlaku di dalam dan di luar negara:

MALAYSIA

* 30 September 2013 - Pemandu teksi warga emas, Hiew Chen Guang, 66, mati setelah koma selama seminggu ekoran dibelasah teruk oleh seorang samseng jalan raya di Jalan Klang Lama selepas dikatakan terlanggar seorang penunggang motosikal di hadapan keretanya.

* 29 Jun 2012 - Hanya kerana membunyikan hon ke arah sebuah kereta yang menghalang laluan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, seorang nenek, Yap Kim Fatt, 55, ditumbuk bertubi-tubi oleh pemandu kenderaan terbabit.

* 26 Januari 2005 - Pembantu jurutera komputer, Mohd. Nazri Ismail, 28, maut setelah bertarung nyawa hampir 17 jam di Hospital Kuala Lumpur, dipercayai akibat dipukul dengan objek keras oleh tiga samseng jalan raya setelah dikatakan kenderaannya terlibat dalam satu kemalangan kecil dengan kereta suspek di Jalan Kewajipan, Subang Jaya, awal pagi, sehari sebelum itu.

* 22 November 2004 - Seorang anak tauke kedai ubat, Teo Kai Siang, 22, mati ditikam seorang lelaki selepas cuba mendapatkan penjelasan kenapa kenderaannya dihimpit dan dilanggar di kilometer 20 Jalan Johor Bahru-Pontian.

* 6 Julai 2004 - Seorang pemandu kereta mengugut seorang pengguna jalan raya dengan parang selepas mangsa enggan memberikan laluan di persimpangan lampu isyarat di Serdang, Selangor.

* 28 April 2004 - Seorang wanita, Young Chew Ha, 61, maut manakala anaknya, Chew Saw Bee, 26, parah selepas kereta mereka terbabas lalu terhumban ke dalam Sungai Kapar di Klang dipercayai ketika melarikan diri daripada samseng jalan raya.

* 15 Oktober 2003 - Seorang lelaki, Selva Kumar Alagesu, 27, diserang empat lelaki bersenjatakan parang selepas berlaku perlanggaran kecil di Jalan Bukit, Kajang. Mangsa dikatakan hilang dipercayai dibunuh dengan mayatnya tidak dijumpai.

* 26 September 2003 - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) nyaris maut apabila seorang lelaki dipercayai pembuli jalan raya menikam lehernya dengan pisau di Seksyen 14, Shah Alam.

* 24 Januari 1995 - Pasangan kelamin dari Singapura, Mohd. Rafi Mohd. Ibrahim, hilang mata kanan akibat dipukul, manakala isterinya, Khatijah Idoo yang ketika itu hamil empat minggu ditolak kasar oleh seorang pemandu bas ekspres serta pembantunya kerana berang apabila Mohd. Rafi memberi isyarat supaya memandu lebih berhati-hati.

BRUNEI

* 19 Mei 2014 - Kerana marah kereta dipintas, seorang lelaki tempatan yang bertindak ganas, dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret pada tarikh berkenaan. Tertuduh, Mohammad Hassanalhamizan Mohd. Ibrahim, 22, dikatakan merempuh kereta mangsa sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan kerosakan teruk di Jalan Jerudong pada 1 September 2011.

AMERIKA SYARIKAT

* 5 Disember 2005 - Dua waran dikeluarkan kepada bekas juara gusti dunia 16 kali, Ric Flair atau nama sebenar Richard Morgan Fliehr, 56, atas kesalahan ringan menyerang dan merosakkan harta peribadi seorang lelaki selepas keretanya kemalangan di Jalan I-485, Charlotte, North Carolina, pada 30 November 2005. Flair atau gelarannya 'The Dirtiest Player In The Game' dituduh melakukan jenayah itu setelah geram dengan sikap lelaki terbabit yang melengah-lengahkan pergerakan keretanya di jalan raya yang penuh sesak ketika itu. RAJMAH HASAN rencana@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140726

Penduduk menderita angkara komunis

DISEMBELIH hidup-hidup, ditembak berkali-kali , ditikam tanpa belas kasihan dan diperlakukan seperti haiwan. Itu merupakan antara bentuk kezaliman yang dilakukan komunis ketika bermaharajalela di Tanah Melayu pada zaman darurat.

Tidak cukup dengan penderitaan yang dialami, batang tubuh yang tidak berdaya untuk bergerak malah sudah tidak bernafas sekalipun dibakar dan dihumban sesuka hati.

Perbuatan kejam dan tidak berperikemanusian Parti Komunis Malaya (PKM) itu sudah cukup membuatkan rakyat ketika itu berasa gusar, tidak tenteram dan sentiasa hidup dalam ketakutan.

Ditambah lagi serangan komunis tidak mengenal dan mengira siapa. Bermula usia kanak-kanak sehingga golongan tua, sesiapapun berisiko menjadi mangsa sekiranya bertembung dengan pengganas tersebut.

Malah, wanita yang sarat mengandung juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran bedilan peluru komunis.

AWANG menunjukkan ke arah sebatang sungai yang menjadi tempat persembunyiannya
bersama dua adik-beradiknya ketika serangan pengganas komunis di Gua Musang.


Melalui pengalaman diserang komunis, Awang Awang Mohamed, 76, menceritakan detik-detik cemas ketika Gua Musang dikepung PKM yang juga dikenali Bintang Tiga.

Semasa kejadian dia dan dua adik-beradiknya dalam perjalanan menuju ke sungai untuk membuang air.

"Namun, situasi bertukar menjadi kelam kabut tatkala mendengar beberapa das tembakan dilepaskan dan jeritan penduduk yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.

"Kami adik beradik lantas terjun ke dalam sungai dan bersembunyi di sebalik pokok bagi mengelak dikesan oleh komunis," katanya yang terselamat daripada menjadi mangsa tawanan komunis.

Ramai yang menjadi korban ketika itu bukan saja dalam kalangan penduduk malah polis yang bertugas, termasuk anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan.

"Individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun turut dibunuh malah jika ada penduduk tempatan yang sebelum ini pernah berselisih faham dengan mereka juga menjadi mangsa," katanya.

Paling menghayat hati apabila seorang lelaki warga emas ditangkap dan diseksa di hadapan ramai penduduk kampung.

Dia bukan sahaja ditembak bertalu-talu malah ditikam beberapa kali. Namun, sangat menakjubkan apabila dia masih lagi bernyawa menyebabkan kumpulan komunis itu bertambah berang.

"Bermacam-macam cara dilakukan bagi membunuh lelaki tua tersebut sehinggalah mereka terpaksa menembak dari arah duburnya barulah dia meninggal dunia ketika dalam keadaan bersujud," katanya.

Nyawa penduduk bagai di hujung tanduk berikutan tindakan komunis yang sering menembak mangsa secara rambang.

"Jika penduduk ingkar terhadap arahan komunis, tembakan demi tembakan terus dilepaskan tanpa ada perasaan simpati. Malah, seorang bapa yang ingin menyelamatkan anaknya daripada terus diseksa turut dibunuh," ujarnya.

Selain itu, komunis juga sering merampas harta benda di samping memeras ugut penduduk bagi mendapatkan wang dan makanan. Utusan/Rencana/20140726

Bukti kekejaman pengganas komunis

PERJALANAN yang mengambil masa hampir lima jam dari Kuala Lumpur ke Gua Musang sememangnya amat meletihkan apatah lagi berada pada bulan Ramadan.

Namun, kepenatan itu tidak menghalang kru S2 untuk menjejaki satu-satunya kubur yang berada di dalam masjid sebaik sahaja tiba di daerah yang menjadi pintu masuk ke Kelantan dari arah selatan.

Penulis lantas menghubungi Setiausaha Masjid Razaleigh, Sukri Hassan untuk mendapatkan maklumat mengenai kedudukan kubur yang dianggap pelik bagi mereka yang baru pertama kali melihatnya.

Sebaik sahaja tiba di lokasi yang dijanjikan, Sukri membawa kami memasuki Masjid Razaleigh menuju ke ruang solat jemaah lelaki.

Walaupun terdapat usaha menyebarkan fahaman Parti Komunis Malaya,
namun perjuangan mereka tidak mendapat sokongan masyarakat umum.

Sukri kemudian membuka penutup bersaiz besar yang diperbuat daripada kayu dan menunjukkan kami sebuah kubur lama.

Tidak mengambil masa yang lama, penulis terus bertanyakan soalan kepada Sukri mengenai kubur siapakah itu. Namun, dia tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Sebaliknya dia membawa kami bertemu dengan Nik Hassan Nik Jaafar, 54, iaitu individu yang mengetahui serba sedikit mengenai kubur itu berdasarkan diari yang ditulis sendiri oleh arwah ayahnya, Nik Jaafar Nik Soh.

Di dalam diari tersebut mengandungi catatan perjalanan tugas Nik Jaafar sebagai penggawa termasuk mengenai sejarah serangan komunis di Gua Musang pada 1943.

Rentetan daripada catatan itu dan menerusi percakapan orang lama barulah diketahui rupa-rupanya kubur berkenaan merupakan kubur adik perempuan Nik Jaafar yang juga ibu saudara Nik Hassan iaitu Nik Mah yang dibunuh secara kejam oleh pengganas komunis.

"Berdasarkan isi kandungan diari tersebut, ayah saya ada mencatatkan peristiwa penduduk Gua Musang mula diserang komunis pada 1 Januari 1943 kira-kira pukul 6.30 pagi.

"Semua penduduk pada masa itu dalam keadaan panik dan lari bertempiaran menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman komunis.

"Ketika ramai penduduk yang menjadi mangsa bedilan peluru, ayah saya berjaya melepaskan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran masjid dan berselindung di sebalik pokok," katanya.

Bagi mengelak dikesan oleh pihak komunis, Nik Jaafar terpaksa berendam di dalam sungai dari awal pagi sehingga menjelang Maghrib.

Sempat juga sekumpulan pengganas melepaskan beberapa das tembakan ke arah sungai tempat persembunyian Nik Jaafar namun, mujur dia terselamat.

Ketika malam menjelma, barulah dia keluar dari tempat persembunyian dan berlari seorang diri menuju ke Bertam menerusi jalan darat yang terletak kira-kira 76 kilometer dari Gua Musang bagi mendapatkan bantuan di balai polis di situ.

Sekembalinya ke Gua Musang, dia melihat kebanyakan bangunan termasuk rumah penduduk, kuaters kereta api dan balai polis musnah dibakar komunis. Dua hari kemudian dia bersama sepasukan polis menuju ke Kampung Batu Papan bagi menemui isteri dan anak-anaknya termasuk penduduk kampung yang terselamat.

"Namun, Nik Mah bersama 26 penduduk Melayu yang lain telah mati dibunuh dalam serangan tersebut," katanya.

Difahamkan ketika komunis bermaharajalela, Nik Mah tidak dapat melarikan diri kerana sarat mengandung lapan bulan dan hanya sempat berselindung di dalam sebuah longkang berhampiran jalan menghala ke masjid .

Nik Mah bagaimanapun berjaya dikesan oleh sekumpulan komunis yang kemudian menembaknya sehingga mati.

Memandangkan ketika itu dalam keadaan darurat, jenazah Nik Mah dikebumikan bersebelahan madrasah yang dibina daripada kayu dan hanya mampu menampung kurang 100 jemaah.

Bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah, madrasah tersebut kemudian diubahsuai menjadi sebuah masjid menyebabkan kedudukan kubur tersebut berada di dalam ruang solat. Utusan/Rencana/20140726

Dr Mahathir tak gentar pertahan pendirian

Setelah lebih empat dekad, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kesal terhadap sikap kasarnya menghantar surat mengecam Perdana Menteri dan Presiden UMNO ketika itu Tunku Abdul Rahman. Ekoran keputusan Pilihan Raya Umum 1969 yang menyaksikan prestasi UMNO dan Perikatan merudum, Dr Mahathir menyelar pendirian Tunku dan dasar pentadbirannya berhubung kedudukan orang Melayu, prestasi sosioekonomi Bumiputera dan beberapa hal lain.

Kata Dr Mahathir: “Saya tidak sepatutnya bersikap kasar dan tidak sopan terhadap Tunku. Saya berasa kesal tapi perasaan saya sangat keras ketika itu. Saya berpendapat beliau telah melakukan kesilapan dan perlu diberitahu mengenainya. (Saya percaya) beliau tidak mendapat maklumat daripada akar umbi. Lazimnya, penyokong pembodek akan berada di sekelilingnya dan mereka akan memberitahu Tunku apa-apa yang suka didengar oleh beliau sahaja.” (Baca Jejak Seorang Pemimpin, MPH Group Publishing, Petaling Jaya, 2014 ms 11).


Buku setebal 184 halaman ini hasil empat temu ramah dengan Dr Mahathir oleh beberapa tokoh akademik pada Oktober 2006 dan Mac 2007. Ia sebahagian Program Sejarah Lisan Yayasan Kepimpinan Perdana yang dijalankan bersama Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, Universiti Utara Malaysia.


Perbezaan pendapat dan persepsi

Menurut Dr Mahathir lagi, ‘perbalahan’ beliau dengan Tunku bukan kerana ego atau personaliti, tapi perbezaan pendapat dan persepsi. Oleh kerana yakin Tunku mempunyai persepsi yang salah mengenai banyak perkara, Dr Mahathir berasa bertanggungjawab memperbetul-kannya. “Tunku daripada keluarga di-raja. Baginya tidak ada perbezaan yang dirasai beliau dengan penjajah. Mereka boleh bersama penjajah dan mereka tidak nampak apa-apa pun masalahnya kalau dijajah oleh pihak Inggeris. Tapi kita orang biasa mendapati bahawa penjajah adalah penindas.”

Menceritakan pengalaman hidupnya pada zaman penjajah, Dr Mahathir memberitahu: “Pada zaman penjajah, saya berasa dihina, ditekan dan tidak dihormati sama sekali. Justeru, saya ingin supaya bangsa dan saya sendiri dapat dihormati, bukan kerana saya menuntut supaya dihormati, tapi atas kebolehan ataupun kejayaan yang saya capai. Malah, ini juga ditujukan kepada bangsa saya sendiri. Kita tidak boleh menuntut orang lain supaya menghormati kita melainkan kita menunjukkan bahawa kita mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk mencapai matlamat kita. Ketika itu barulah tiada orang yang akan pandang rendah kepada kita dan menghina kita.”

Lancar dasar Buy British Last

Dr Mahathir memastikan dia buat apa yang dia cakap. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau melancarkan dasar Buy British Last ekoran keputusan kerajaan Margaret Thatcher menaikkan yuran ke atas pelajar Malaysia yang menuntut di universiti United Kingdom dan menerbangkan pesawat Concorde di ruang udara Malaysia tanpa memohon keizinan. “Pada pendapat British lama, Malaysia adalah sebuah negara jajahan dan sepatutnya menerima idea Britain. Saya perlu perbetulkan tanggapan yang salah itu. Saya perlu menegaskan bahawa Malaysia sebuah negara merdeka. Dia perlu melayan kita secara terhormat.

“Saya enggan membuat lawatan rasmi ke Britain. Apabila saya buat lawatan tidak rasmi ke Britain, Margaret Thatcher memberikan layanan agak baik. Beliau datang menemui saya di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia. Saya tidak mahu dilihat datang melawat beliau kerana yang demikian akan menjadikannya lawatan rasmi. Akhirnya beliau agak berminat mendengar pandangan kita.”

Mengenai Lee Kuan Yew, Dr Mahathir berkata pemimpin Singapura itu tidak diterima oleh orang Cina di Malaysia. Apabila partinya, PAP bertanding pada pilihan raya tahun 1964, ia hanya menang satu kerusi walaupun ramai yang menghadiri ceramah kempennya. Ini membuktikan tidak semua orang Cina Malaysia menerima konsep ‘Malaysian Malaysia’ DAP. Walaupun pada dasarnya, konsep ini menganjurkan kesaksamaan tapi majoriti rakyat sedar dengan kekayaan, dominasi ekonomi serta sikap perkauman mereka yang tebal, orang Cina boleh menguasai Malaysia. Inilah yang ingin disaksikan PAP dan DAP.

Dalam blognya chedet.com, Dr Mahathir menyambung ulasan. Katanya, jika Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia, PAP pasti memperkenalkan politik bukan perkauman (non-racial) kerana bersama Cina Malaysia, PAP akan mendominasinya secara etnik dan menguasai politik Malaysia. “Ketika itu, tiada penentang yang dibiarkan dan pastinya tiada siapa yang berani untuk bercakap apa-apa mengenai siapa yang memerintah negara itu,” ujarnya. Berita Harian Rencana 2014/07/26 - 08:34:28 AM Juhaidi Yean Abdullah