August 8th, 2014

Perbezaan politik gugat semangat perpaduan rakyat

Ogos menjengah lagi. Saban tahun, bulan Ogos menjadi tumpuan kerana semangat merdeka di dalamnya. Namun, bukan bermakna hanya Ogos sahaja yang perlu disambut semangat merdeka itu. Semangat merdeka, yang dalamnya turut terkandung kedaulatan negara, adalah semangat yang sepatutnya hijau dan melata pada sepanjang masa dan ketika; tidak kira bulan atau ketika.

Pada bulan ini Tanah Melayu, yang terdiri daripada sembilan buah negeri Melayu dan dua tanah jajahan British, berjaya mencapai kemerdekaan dengan semangat perpaduan dan setia kawan. Teringat kata-kata British bahawa Malaya tidak akan merdeka jika orang Malaya tidak bersatu dan tidak ada semangat setia kawan antara satu sama lain.

Saya tidak begitu gemar perkataan ‘Malaya’, saya lebih suka Tanah Melayu kerana Malaya itu adalah nama yang diberikan British kepada kita sedangkan nama sebenar tanah air kita ini ialah Tanah Melayu.

Berbalik kepada semangat perpaduan dan setia kawan, jelas kepada kita ia adalah faktor yang membolehkan kita merdeka.

Semangat perpaduan dalam kalangan bangsa Melayu sendiri dan semangat setia kawan kaum lain menjadikan kemerdekaan itu benar-benar bermaksud bebas dan berdaulat daripada pentadbiran serta kawalan kuasa lain.


Perasaan curiga makin terserlah

Persoalan besar sekarang. Adakah perpaduan dan setia kawan itu masih ada? Ketika ini kita banyak mendengar semangat untuk kelangsungan kemerdekaan dan kesejahteraan negara. Kita mendengar banyak pihak, termasuk kumpulan dan individu menyuarakan hasrat menjaga kemerdekaan dan kedaulatan negara. Tetapi soalan besar saya di atas itu masih lagi belum mendapat jawapan yang positif. Dengan tindakan dan aktiviti pihak tertentu, perasaan curiga tidak boleh dinafikan semakin hari semakin boleh dilihat.

Hakikatnya, dalam kalangan khalayak, ada kekeliruan. Keliru kerana pelbagai perkara yang nampaknya seolah-olah mencabar kesejahteraan dan semangat kemerdekaan kita. Mencabar semangat perpaduan dan setia kawan. Pernyataan dan peristiwa banyak yang menggugat. Pernyataan perkauman ternyata begitu ghairah di laman maya dan laman sosial.

Kebebasan dalam laman sosial pula jarang digunakan untuk menghayati perpaduan dan setia kawan. Kebebasan itu bukan lagi semakin beradab. Ia bukan ada susila. Ini bukan lagi rahsia. Malah, jika dikumpulkan semuanya, ia sudah berlambak, ia juga sudah parah.

Sementara itu perasaan tidak puas hati atau perasaan sakit hati sudah begitu jelas dan begitu terserlah. Ini membimbangkan kerana ia bukan menunjukkan kematangan dalam semangat kemerdekaan, perpaduan atau setia kawan. Tetapi ia lebih menggambarkan perasaan tidak tenang dan sudah melahirkan bibit-bibit keresahan dalam kalangan kita.


Cabar perpaduan

Selain daripada hal kebebasan ini, hal-hal dan pernyataan berkaitan politik, termasuk fahaman dan parti politik juga sudah tentu antara perkara utama yang mencabar semangat perpaduan dan setia kawan. Ada yang sudah berani secara terang-terang meletakkan, sebagai contoh, undang-undang Islam dan sosialis dalam satu baris atau meletakkan undang-undang sosialis sebagai satu pilihan kita di Malaysia selain daripada undang-undang Islam.

Jika kita lihat sejarah, parti politik boleh dijadikan faktor untuk kita kembali kepada semangat kemerdekaan. Jika dahulu perpaduan parti politiklah yang menjadi penggerak kepada kemerdekaan, maka kini, kita sepatutnya sudah lebih matang dalam mengenali pakaian politik.

Dalam satu dokumen kemerdekaan, ada disebut oleh seorang ahli Suruhanjaya Reid bahawa tidak mungkin penduduk Tanah Melayu akan terus berpolitik mengenai semua perkara. Maksudnya ahli Suruhanjaya Reid itu mengandaikan kita orang Tanah Melayu akan kurang berpolitik. Tetapi sejak akhir-akhir ini soal politik menjadi faktor perpecahan. Andaian ahli Suruhanjaya Reid itu tidak tepat.

Dalam banyak perkara perlu kita nilaikan kembali semangat kemerdekaan; kita semak perpaduan kita; kita periksa setia kawan kita. Kita cari punca masalah dan kita selesaikan. Kita perlu bersungguh dan mesti tegas.

Sesungguhnya bangsa yang cerdik ialah bangsa yang tidak pernah lupa akan sejarahnya. Bangsa yang cerdik itu mengkaji, mencari punca kepada segala macam perkara yang boleh menjatuhkan bangsanya. Bangsa yang cerdik itu menyelesaikan punca permasalahan, bukan menjadi pencetus kepada masalah. Bangsa yang cerdik juga tidak berdiam diri.
Shamrahayu A Aziz ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM Berita Harian Rencana 2014/08/06 - 07:51:38 AM

Bahasa Melayu cerminkan sifat masyarakat Malaysia

Bahasa didapati berjaya menunjukkan sifat sebenar masyarakat. Bahasa, khususnya cara ia diperlaku oleh masyarakat yang diwakilinya, boleh memberi gambaran jitu tentang keadaan yang berlaku dalam masyarakat itu.

Ini benar sekali untuk semua bahasa di dunia tanpa mengira tinggi ataupun rendah martabatnya. Bahasa Melayu tidak terkecuali dalam hal ini. Cara kita memperlaku bahasa Melayu bukan sahaja dapat memberi gambaran tepat mengenai status penggunaannya, malah ia dapat membekalkan kenyataan persis tentang pandangan, sikap, dan nilai kita terhadap bahasa Melayu.


Sehubungan ini, kita tidak dapat menyangkal pihak yang memerhati kita bahawa kita sebetulnya tidak bangga, sayang dan taat kepada bahasa Melayu, walaupun ia bahasa negara kita.

Sudah tentu ini merupakan satu perkara yang malang, yang sepatutnya tidak boleh pun berlaku kepada bahasa negara. Ini kerana ia adalah lambang kepada kita sebagai rakyat Malaysia dan juga untuk negara Malaysia itu sendiri, pada pemerhatian dunia.

Namun ia berlaku di hadapan mata kita sendiri dan ia pula merupakan bikinan kita sendiri. Ia berlaku kerana kita tidak menyedari bahawa menerusi bahasa Melayu yang merupakan semacam tingkap yang selalu terbuka, seluruh dunia dapat memerhatikan cara ia diperlaku di negara ini.

Hal malang ini juga berlaku kerana kita tidak menyedari peranan pentingnya bukan sahaja sebagai petanda kepada nasionaliti kita, khususnya dalam menghubungkan diri kita dengan negara ini. Ia juga merupakan asas penting dan kuasa kuat nasionaliti Malaysia itu sendiri.

Pelihara keutuhan bahasa

Semua ini sebetulnya diperlihat dengan jelas dan dilindungi sebaik-baiknya oleh bahasa Melayu. Peranan ini dapat didukungnya dengan bestari selagi ia berada dalam bentuk utuh.

Oleh itu, kita hendaklah memastikan keutuhannya senantiasa dijaga. Ini hendaklah dilakukan seperti kita menatang minyak yang penuh. Dalam hal ini, kita harus menyayanginya dengan penuh jiwa raga dan menjaganya dengan sempurna sekali. Malangnya hanya perkara yang sebaliknya berlaku. Ia boleh dikatakan dilacur dari segenap sisi.

Sebagai bahasa kebangsaan, ia tidak dihirau langsung sebagai alat penyatupaduan yang penting. Ini boleh dilihat apabila kita tidak mahu menerima peranannya ini dalam sistem pendidikan negara. Ini berlaku semasa sesetengah daripada kita menolak penggunaannya sebagai lambang negara, untuk mata pelajaran Malaysia Negaraku dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

Selaku bahasa rasmi, ia juga tidak dapat digunakan sepenuhnya sebagai satu-satunya bahasa perhubungan antara kerajaan dengan rakyat. Ini kerana masih terdapat ramai daripada golongan tertentu yang tidak mengetahui bahasa Melayu dengan baik, walaupun merupakan warganegara Malaysia.

Sebenarnya penggunaan satu bahasa sahaja untuk urusan kerajaan bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan negara. Yang lebih penting lagi ia dapat membekalkan persada bersama, iaitu berkongsi satu bahasa yang sama, yang sangat diperlukan dalam masyarakat majmuk.


Campur aduk bahasa

Dari segi penggunaannya oleh masyarakat, ia banyak sekali dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris secara sewenang-wenangnya. Ini dilakukan dengan sengaja pula sebagai strategi komunikasi untuk menaikkan status seseorang itu.

Kini cara berbahasa Melayu ini berleluasa dan sudah pun menjadi budaya nasional, khususnya dalam kalangan golongan Melayu sendiri. Ini bukan sahaja fenomena luar biasa yang memperlihat kesanggupan penutur jati mencemari bahasa leluhurnya sendiri.

Musibahnya yang lebih dahsyat ialah cara berbahasa Melayu ini langsung tidak dapat melindungi identiti budaya Melayu dalam bentuknya yang utuh. Ini kerana bahasa Melayu yang rosak itu tidak berupaya menjulang budaya Melayu yang utuh.

Keengganan golongan bukan Melayu menguasai bahasa Melayu dengan baik, dengan memberi pelbagai alasan, bukan sahaja menimbul beberapa persoalan nasional yang serius. Antaranya ialah sejauh manakah mereka percaya dengan perkongsian bersama sejarah peribumi, lambang watan dan bahasa Melayu untuk mendukung identiti nasional.

Keengganan ini boleh ditafsirkan juga sebagai perasaan tidak suka kepada bahasa Melayu, meskipun ia bahasa negara. Ini pula mempunyai kaitan dengan persoalan nasionalisme, yakni sikap yang patut diperlihat warganegara dalam mendukung semangat kebangsaan.

Semua kisah bahasa Melayu ini adalah cerminan perkara yang berlaku dalam masyarakat kita. Antaranya kita belum pun merupakan komuniti nasional walaupun sudah sekian lama merdeka. Teo Kok Seong ialah Profesional Bahasa Melayu   Berita Harian Rencana 2014/08/07 - 09:09:50 AM

Mengintegrasi isu Gaza dalam proses pembelajaran

Hujan baru reda. Lantai simen kaki lima dewan kelihatan basah. Saya memandang ke luar dewan sambil mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana menurunkan hujan rahmat pada hari-hari terakhir penghujung Ramadan ini.

Kelihatan kumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Hartamas, Kuala Lumpur, sudah memenuhi dewan. Saya dijemput oleh sekolah ini bagi menyempurnakan majlis pelancaran Tabung Kemanusiaan Gaza yang diuruskan oleh Viva Palestina Malaysia (VPM).


Sebelum acara pelancaran, Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Nordin diberi peluang berucap untuk berkongsi pengalaman VPM semasa bertugas di bumi Palestin. Nasib saudara kita di Gaza diperincikan satu demi satu oleh Dr Musa dalam ucapannya yang menyentuh hati. Beliau berkongsi pengalaman VPM membantu rakyat Palestin termasuk usaha mereka mendirikan sekolah serta memberi rawatan perubatan kecemasan.

Tindakan tidak berperikemanusiaan Rejim Zionis di wilayah Palestin sudah banyak terpampang di media massa, sama ada bercetak ataupun elektronik. Pasti banyak pihak yang tersentuh hati apabila melihat anak-anak kecil berlumuran darah ekoran tindakan Zionis membedil penempatan awam di Semenanjung Gaza.


Pengalaman jadi panduan

Pasti ramai yang bersimpati melihat ibu-ibu menangis kesedihan di sisi mayat suami dan anak mereka yang terkorban akibat bom yang dilancarkan oleh Israel. Ketika Dr Musa menceritakan pengalaman peribadinya melihat sendiri semua kekejaman itu di depan matanya, pelajar yang memenuhi Dewan SMK Hartamas terdiam memberikan perhatian.

Apabila saya menoleh sebentar ke arah kumpulan pelajar yang khusyuk mendengar ucapan Dr Musa, saya terfikir; “Apakah agaknya yang sedang mereka gambarkan? Adakah semua perkara ini menimbulkan kesan kepada mereka? Adakah maklumat yang sebelum ini mereka terima di media sosial selari dengan maklumat sebenar yang disampaikan oleh Dr Musa?” Bagi saya, majlis pada pagi itu bukan setakat melancarkan sebuah tabung dana kemanusiaan, tetapi peluang yang baik untuk mendidik.

Hakikatnya, pendidikan perlulah menjangkaui buku teks. Pengalaman hidup adalah panduan yang baik untuk mematangkan setiap insan. Saya sentiasa percaya bahawa pelajar yang berupaya memahami apa yang berlaku di sekelilingnya pasti akan dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran formalnya, sekali gus meluaskan pandangannya terhadap dunia.

Sebagai contoh, dari sudut pandangan sejarah, pelajar akan diajar latar belakang permulaan konflik Israel-Palestin yang tercetus sebelum tahun 1948. Lantas, perbincangan dalam konteks perkembangan semasa konflik panjang itu membolehkan pula pelajar mendalami skop isu keselamatan, kemanusiaan dan geopolitik yang melampaui sentimen agama yang biasa diterima.

Saya juga sentiasa percaya bahawa keupayaan pelajar mengumpul, menyusun dan menganalisis maklumat yang terkandung dalam buku teks, kemudian disesuaikan dengan maklumat perkembangan semasa yang mereka peroleh di media sosial akan mendorong mereka mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), seperti yang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan. Lantaran itu, pelajar akan lebih menghargai ilmu pengetahuan dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya dari pelbagai sudut pandangan. Setiap perkara yang mereka pelajari di sekolah akan menjadi lebih nyata dan relevan.


Ibu bapa beri sokongan

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Hartamas memainkan peranan penting untuk menjayakan majlis itu. Saya dapat melihat kesungguhan ibu bapa mengendalikan pameran serta menjual cenderamata Palestin dalam usaha mereka mengumpul derma. Terdapat juga ibu bapa tanpa mengira bangsa dan agama hadir sebagai penonton demi menunjukkan sokongan kepada usaha anak-anak mereka menjayakan usaha murni itu.

Saya gembira melihat kesedaran ibu bapa yang berusaha mendedahkan anak-anak kepada projek amal sebegitu. Saya faham memang bukan mudah untuk membenarkan anak-anak menghadapi realiti semasa dunia yang kadang kala sukar dipertimbangkan nilai moralnya. Namun, saya percaya bahawa sikap terbuka dan jujur ibu bapa SMK Seri Hartamas ini pasti membawa kebaikan kepada anak-anak mereka dalam jangka panjang.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada SMK Seri Hartamas, terutama Pengetuanya, Asiah Husin; Ahli Jawatankuasa PIBG; Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Nawal Salleh, serta VPM sebagai tulang belakang menjayakan majlis itu.

Saya amat menggalakkan inisiatif dan projek amal yang membabitkan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dengan badan bukan kerajaan. Saya percaya pendidikan secara menyeluruh membabitkan kerjasama daripada semua pihak.

Selari dengan usaha sebegini, saya amat menggalakkan guru mengintegrasikan isu semasa dalam konteks pembelajaran seharian di sekolah. Selain memupuk KBAT, guru juga boleh membimbing pelajar untuk memahami pelbagai isu semasa dalam kerangka pemikiran yang sepatutnya.
Mahu atau tidak mahu, kita harus akui bahawa anak-anak kita sekarang mencari dan memperoleh maklumat dengan hanya menggunakan hujung jari mereka. Namun, timbul banyak masalah apabila lambakan maklumat yang mereka peroleh itu bercampur-campur antara yang sahih dengan rekaan ataupun antara yang mentah dengan bertapis.

Misalnya, tragedi misteri kehilangan pesawat MH370 dan terhempasnya pesawat MH17 menjadi topik perbualan hangat di laman-laman sosial. Walaupun tidak dinafikan ada maklumat yang positif berkenaan dua tragedi menyayat hati itu di laman sosial, tidak kurang juga lambakan teori dan pandangan berniat jahat tanpa sebarang sekatan. Semua itu adalah peringatan kepada kita tentang betapa hebatnya impak laman sosial dan kepentingan semua pihak untuk lebih bertanggungjawab menggunakan medium baharu ini.


Bincang isu semasa

Guru mahupun ibu bapa sewajarnya memberikan peluang kepada pelajar mahupun anak-anak membincangkan isu-isu semasa secara konstruktif dan terbuka. Percayalah peluang sebegini amat besar impaknya. Jangan biarkan pemikiran pelajar dan anak-anak ini dipenuhi maklumat yang mereka peroleh di laman sosial yang belum tentu betul hujung pangkalnya. Pendidikan tidak seharusnya disempitkan ruang lingkupnya, sebaliknya meliputi semua ilmu yang baik, dan proses pencarian ilmu ini memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak.

Secara peribadi saya menganggap usaha VPM melancarkan Tabung Kemanusiaan Gaza amat mulia demi mengumpul dana untuk membeli bekalan perubatan bagi membantu saudara kita di Gaza. Saya dimaklumkan VPM ialah salah satu daripada hanya beberapa buah organisasi antarabangsa bebas yang dibenarkan memasuki Gaza untuk menghantar bekalan bagi membantu penduduk Palestin. Kebenaran ini diperoleh VPM ekoran reputasi baik mereka selama bertahun-tahun membantu penduduk di sana.

Saya doakan mereka berjaya dan sampaikan pesan kepada saudara kita di Palestin bahawa walau sehebat mana pun cabaran yang mereka hadapi untuk meneruskan hidup, kita sentiasa bersama mereka dan sedia menghulurkan tangan untuk membantu mereka tanpa mengira masa. Akhir sekali, ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Bagi mereka yang berminat menderma atau ingin mengetahui maklumat lebih lanjut bolehlah melayari laman sesawang VPM: www.vpm.org.my.
Idris Jusoh ialah Menteri Pendidikan Kedua. Beliau boleh dihubungi melalui Twitter di @idrisjusoh ataupun Facebook di facebook.com/datoseriidrisjusoh Berita Harian Rencana 2014/08/07 - 09:11:40 AM

Jadi kaya untuk kelangsungan ekonomi, bangsa

Pelbagai cerita di laman sosial dan cabaran besar dalam isu Gaza mengingatkan penulis kepada pentingnya kita mengukuhkan ekonomi dan mempunyai ramai yang berjaya dan kaya. Malangnya sejak zaman filem hitam putih sehinggalah sekarang, kita sering dimomokkan dengan watak orang kaya dengan pandangan negatif dan sentiasa mempunyai sisi gelap yang memualkan.

Kita dibesarkan dengan perwatakan sedemikian sehingga wujud semacam stigma dan persepsi yang mengatakan orang kita tidak boleh kaya kerana apabila menjadi kaya raya akan menyebabkan kita lupa diri dan menindas orang lain.

Kerana itu agaknya sehingga kini, setiap kali ada saja dalam kalangan orang kita yang lebih sedikit daripada orang lain, apatah lagi jika kaya raya, menjadi tokoh korporat besar dengan harta yang banyak, maka banyaklah cubaan untuk memberi persepsi negatif terhadapnya dan membunuh wataknya, termasuk membawa ke peringkat setinggi mungkin dan akar umbi.

Lalu keluarlah segala macam pendedahan kononnya kekayaannya adalah disebabkan oleh amalan kronisme, dilakukan dengan cara yang tidak wajar, rasuah atau apa saja yang boleh menimbulkan keraguan sehinggakan kadang-kadang kita terfikir yang orang kita tidak mungkin boleh kaya dan mempunyai banyak harta.

Didik masyarakat jadi kaya

Sudah sampai masanya kita mendidik masyarakat kita untuk sentiasa mengimpikan menjadi kaya dan menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Penulis menyentuh perkara ini kerana masih terbayang layanan tokoh korporat negara, Tan Sri Mustapa Kamal Abu Bakar ketika membawa rombongan Universiti Sains Malaysia (USM) melihat dari dekat usaha penyelidikan yang dilakukannya dalam memulihara orang utan sebagai khazanah utama negara dan bagaimana penyelidik universiti boleh membantu dalam meningkatkan usaha ini, bukan saja di Bukit Merah, Taiping tetapi juga di Hutan Hujan Belum dan Tasik Banding pada Ramadan lalu.

Kebetulan pula kami dibawa melihat sendiri bagaimana beliau melalui syarikatnya berusaha memajukan masyarakat terpinggir yang dianggap ketinggalan daripada arus pembangunan di Kampung Selamat berhampiran Bukit Merah. Dahulunya amat sukar untuk melihat budak kampung itu berjaya dalam akademik, tetapi kini beberapa orang pelajar mencapai kecemerlangan sehingga ke luar negara. Kisah kejayaan itu diceritakan sendiri oleh orang kampung itu.

Malah penulis berpeluang melihat melihat usahanya menubuhkan kolej pengajian yang menawarkan pendidikan kepada sebahagian besarnya kumpulan yang dianggap ketinggalan dalam pendidikan, di samping mewujudkan pusat hemodialisis untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Kegigihan, minat dan sumbangan tokoh seperti ini jarang diketahui umum selain daripada kejayaan perniagaannya kerana selalunya mereka ini kurang selesa untuk bercakap mengenai apa diberikannya kepada masyarakat, walaupun kita tahu ada ramai lagi dalam kalangan kumpulan dianggap mempunyai harta yang besar dalam masyarakat di negara ini sudah menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat. Hakikatnya, kita perlukan kekayaan ekonomi jika ingin menjamin kelangsungan masa hadapan dan tidak mudah diperkotak-katikkan.

Orang kita, terutama anak muda perlu didorong untuk berusaha dan menguasai kekayaan negara, pada masa sama mereka yang berjaya harus menjadi ikon untuk menjadi dorongan kepada lain. Anjakan pemikiran, tindakan Pendidikan di universiti juga sepatutnya mendidik agar siswazah lebih kreatif dan inovatif dalam menjana kekayaan secara beretika melalui ilmu pengetahuan, di samping sumbangan untuk pembangunan masyarakat.

Agak malang apabila sesetengah anggota masyarakat hari ini yang hanya tahu mencari kesalahan dan segala yang buruk, dan disebarkan melalui media sosial apatah lagi tuduhan kononnya kerajaan berat sebelah dalam membantu melahirkan kumpulan yang berjaya dengan segala label negatif sedangkan bilangan yang menguasai harta amat sedikit seperti yang saban tahun dapat kita lihat daripada senarai terkaya negara.

Negara memerlukan lebih ramai tokoh seperti Mustapa Kamal mahu pun nama besar lain jika kita bersungguh-sungguh ingin keluar daripada kebergantungan kepada pihak yang kita anggap menyokong kumpulan tidak sewajarnya, termasuk di pentas antarabangsa.

Apa juga yang dilakukan dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan, hanya berjaya direalisasikan melalui anjakan pemikiran dan tindakan, di sini mahu pun di mana saja demi kelangsungan masa hadapan bangsa dan negara. Apatah lagi untuk generasi kini dan masa hadapan menyedari pentingnya menjadi orang yang kaya dan berjaya demi kemashlahatan masyarakat seluruhnya. Mohammad Abdullah ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor USM Berita Harian Rencana 2014/08/08

Kemerdekaan medan perbaharui patriotisme

Sambutan merdeka mesej cinta negara

Tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 tahun ini ialah ‘Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’. Tema itu dipetik daripada lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Mengikut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, tema itu diharapkan akan melahirkan semangat kecintaan yang mendalam terhadap negara yang tercinta ini.

Beliau berharap sambutan kemerdekaan perlu menjadi jenama popular yang melekat di hati setiap rakyat. Justeru, rakyat di negara ini wajar melihat sambutan hari kemerdekaan secara positif, iaitu sebagai acara tahunan negara yang dapat menyemarakkan dan meningkatkan semangat patriotisme rakyat pelbagai kaum.

Mesej utama tema kali ini ialah ‘kecintaan terhadap negara’. Kecintaan (patriotisme) terhadap negara adalah satu semangat yang menuntut tanggungjawab, ketaatan dan pengorbanan. Sebagai sebuah negara tempat ‘hidup dan mati’ kita, maka soal kecintaan terhadap negara menjadi prasyarat penting untuk mempertahankan tanah air.

Walaupun semangat patriotisme itu bukannya bersifat bermusim, tetapi dengan adanya acara sambutan hari kemerdekaan pada saban tahun, maka ia mampu melonjakkan atau sekurang-kurang memperbaharui semangat patriotisme kita terhadap negara.

Peristiwa jadi pengajaran

Kejadian pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada awal tahun 2013 yang mengorbankan 10 perajurit tanah air jelas menuntut rakyat mesti memiliki semangat patriotisme yang tinggi bagi mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh. Peristiwa pencerobohan berdarah itu wajar dijadikan pengajaran kepada kita supaya sentiasa mempertingkatkan semangat cintakan negara.


Demikian juga dua peristiwa berkaitan pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS), iaitu kehilangan pesawat MH370 dan peristiwa MH17 ditembak jatuh di wilayah bergolak Ukraine mempunyai elemen ancaman musuh terhadap negara ini dan ia menuntut semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyat kita.

Terbaharu, tuduhan Israel bahawa Malaysia menjadi tempat melatih pejuang Hamas dari Palestin memerlukan kita berwaspada terhadap ancaman kedaulatan negara yang tidak diduga.

Sesungguhnya, kemerdekaan yang kita kecapi selama ini tidak datang secara bergolek tetapi ia dicapai dengan perjuangan anak bangsa yang berjuang dengan darah dan nyawa untuk membebaskan bumi bertuah ini daripada cengkaman penjajah.

Penjajah melakukan kekejaman dan penindasan ke atas anak bangsa yang mahukan tanah air ini bebas daripada penguasaan dan cengkaman penjajah. Semua penderitaan itu ditanggung oleh mereka semata-mata kerana mereka mahu melihat tanah air tercinta ini bebas daripada cengkaman penjajah.

Perjuangan yang bermula dengan semangat patriotisme dan nasionalisme Melayu, dan kemudiannya berkembang sebagai nasionalisme rakyat Malaysia akhirnya membuahkan hasil yang dihasratkan. Hasil daripada gandingan bahu pemimpin Melayu, Cina dan India serta disokong semangat patriotisme yang kuat dalam kalangan rakyat, maka negara kita berjaya dibebaskan daripada cengkaman penjajah.

Pada 20 Februari 1956 laungan ‘Merdeka’ bergema di Padang Pahlawan Bandar Hilir Melaka sekembalinya Tunku Abdul Rahman dari London dan mengumumkan tarikh kemerdekaan negara, iaitu pada 31 Ogos 1957.

Syukuri nikmat kemerdekaan

Hakikatnya, kemerdekaan adalah hasil perjuangan pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambungan sehingga ke hari ini dan akan berterusan sampai bila-bila.

Kemerdekaan menyebabkan tegaknya kedaulatan dan maruah bangsa. Justeru, kita wajib bersyukur di atas nikmat kemerdekaan yang kita nikmati sejak 57 tahun yang lalu selama ini. Tanda bersyukur ialah kita sayang dan cintakan negara ini.

Kita juga harus mengambil iktibar bahawa konflik yang melanda di beberapa negara sudah mengancam kestabilan dan solidariti masyarakatnya. Nikmat kemerdekaan mereka sudah hilang dan negara mereka terdedah kepada percaturan kuasa asing. Tidak mustahil kita menjadi seperti itu jika ada golongan yang tidak setia kepada negara ini.

Justeru, kita berharap tidak ada dalam kalangan rakyat, termasuk dalam kalangan ahli politik di negara ini yang menjadi batu api, kaki cucuk, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang lidah bercabang yang gemar membangkitkan isu-isu sensitif sehingga boleh menghuru harakan negara ini.

Kenangkan kembali bagaimana pemimpin terdahulu memperjuangkan kemerdekaan dan meletakkan asas-asas berkaitan ‘kontrak sosial’ yang dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Melalui semangat Perlembagaan mereka menggariskan bagaimana hubungan kerukunan hidup bermasyarakat itu mesti dijaga dan dipelihara dengan mengelakkan daripada menyentuh isu-isu sensitif.

Perlembagaan yang dibentuk itu juga melambangkan wujudnya satu bentuk ‘kompromi politik’ atau ‘politik permuafakatan’ yang selama ini berjaya membentuk politik ‘persetiaan murni’ antara kaum sehingga berjaya memperkukuhkan semangat patriotisme dan perpaduan dan integrasi nasional. Semuanya mereka lakukan kerana cintakan negara ini.

Mohd Ayob Abd Razid ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia Berita Harian Rencana 2014/08/08 - 03:29:02 AM

Benarkah SJKC yang 'baharu' diwujudkan mampu gugat perpaduan?

MEMANG ketika ini semakin bercambah kewujudan pelbagai sekolah vernakular, dan perkembangannya semakin menggusarkan dalam 10 tahun kebelakangan ini.

Ia tumbuh dengan kurikulum, falsafah negara dan pedagogi, sistem, struktur organisasi dan kewangan diberi status urus tadbir sendiri.

Tetapi malangnya, desakan sama rata dari aspek sistem persekolahan, bahasa pengantar, sukatan pelajaran, kokurikulum, kemudahan prasarana, tenaga pengajar dan jenis sekolah menjadi hakikat melebarkan jurang perpaduan.

Lebih dibimbangi lagi, dijadikan alat pula untuk mendesak pemerintah. Ini selagi setiap dalam tempoh lima tahun belum diumum pembubaran Parlimen, selagi itulah bermacam-macam tuntutan termasuk tidak munasabah dan terdesak akan berlingkar. Ini terutama dalam tempoh beberapa bulan kritikal menjelang mandat kerajaan berakhir.

Kerana itu penulis cukup faham mengapa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim membangkitkan isu sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu.

Beliau telah nampak impak tidak sihat pembinaan SJKC yang baharu kerana kewujudannya memang tidak akan menyumbang apa-apa kepada perpaduan nasional, bahkan mampu meretakkan hubungan antara kaum. Razali dalam usia matang 40-an ini sudah mencium kesan tidak baik kepada negara dalam 10 tahun mendatang, justeru berpendapat sudah tiba masanya perkara itu dipertimbangkan memandangkan keharmonian antara kaum ketika ini semakin renggang dengan pelbagai isu.

Bukan kerana mahu popular memandangkan penulis yakin kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 pun tarikhnya masih jauh tiga tahun lagi. Tetapi sebaliknya anak kelahiran Johor ini percaya selagi permohonan menambah SJKC ditunaikan, maka semakin retak hubungan kaum dan akhirnya akan menggagalkan usaha memupuk perpaduan nasional.

Katanya, pembentukan perpaduan antara kaum perlu dilakukan di peringkat sekolah rendah. Dan ini perlu dilakukan di Sekolah Wawasan iaitu sekolah rendah berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama.

Ironisnya, hanya Malaysia satu-satunya di dunia yang ada sekolah vernakular. Di negara lain tidak ada. Di Singapura tidak ada sekolah Cina pun. Kerajaan yang ada di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup adil - tidak pernah menganaktirikan SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk SJKC dan RM600 juta bagi SJKT untuk membiayai gaji guru-guru sekolah terbabit di seluruh negara.

Dalam konteks ini, bahasa Cina sebenarnya pun bukanlah bahasa kebangsaan. Tindakan pertubuhan cauvinis Cina, Dong Zong yang obses memperjuangkan kecinaan dalam pendidikan termasuk 'isu-isu remeh' di SJKC hanya akan menggugat perlahan-lahan keharmonian masyarakat majmuk.

Apa yang Razali bangkitkan mengenai kesan buruk kewujudan 'SJKC yang baharu', boleh diterimapakai hujahnya. Sama ada mahu diakui atau tidak, masih ramai dalam kalangan masyarakat Cina tidak mahir bertutur dan tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam majlis bersifat formal. Apalagi dalam program anjuran pihak swasta dan perniagaan.

Benar! kaum-kaum lain juga ada hak membela kepentingan dan kebajikan masing-masing, meskipun masyarakat Melayu dilihat mengalah dengan nilai tolak ansur dan kekitaan cukup tinggi.

Apa yang dibimbangi Razali adalah kemungkinan tiap-tiap kaum akhirnya akan duduk berasingan dan hanya bercampur-gaul sesama sendiri. Hal ini ini memang ketara sekarang, cuma khuatir memburuk dalam sedekad ini.

Realitinya di China sendiri tidak akan ada tuntutan-tuntutan yang dilakukan oleh Dong Zong. Cuba buktikan secara fakta. Apa yang ditetapkan oleh kerajaannya, itulah juga dasar kebangsaan yang mesti dipatuhi. Singapura pun begitu juga. Tetapi di sini, Malaysia, lain.

Ketika ini, terdapat kira-kira 1,300 buah SJKC di seluruh negara termasuklah sekolah SJKC baharu dibina di Puchong, Serdang, Kuala Lumpur dan Johor. Daripada jumlah 1,300 sekolah ini, sebanyak 455 adalah sekolah kurang murid (kurang 150 murid).

Renung-renungkanlah. Zulkifli Jalil Utusan/Rencana/20140808