August 10th, 2014

Iraq kembali jadi percaturan AS

Tuduh ISIL pembunuh tapi biarkan Israel ganyang Palestin

Selepas sebulan kita disajikan dengan perkembangan konflik di Gaza, sedikit pun Amerika Syarikat (AS) tidak melihatnya sebagai krisis kemanusiaan meskipun lebih 1,800 penduduk Palestin terbunuh. Mengikut Al-Jazeera, 80 peratus adalah orang awam termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak.


Tidak ada suara dari AS menyatakan pembunuhan kaum, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang dilakukan Israel. Ketika pihak perunding bersama wakil Israel dan Hamas berunding untuk melanjutkan proses gencatan senjata, AS kelmarin mengumumkan akan melakukan serangan udara ke atas pejuang Pergerakan Negara Islam Iraq dan Leviant (ISIL) di utara Iraq dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang terperangkap dalam pertempuran antara pejuang ISIL dengan tentera Iraq serta pejuang Kurdish. AS menuduh ISIL melakukan jenayah pembunuhan kaum dan jenayah kemanusiaan.

ISIL kuasai banyak wilayah

Pengumuman Presiden Barack Obama itu sebenarnya tidak mengejutkan kerana beliau didesak oleh pemimpin Iraq yang berasa terancam oleh penguasaan wilayah oleh pejuang ISIL. Kini ISIL menguasai banyak wilayah, terutama di utara dan berdekatan Baghdad.

Obama didesak rakyat AS dan pemimpin parti Demokrat seperti bekas Setiausaha Kerajaan AS, Hillary Clinton untuk tidak terbabit secara ketenteraan walaupun pemimpin parti Republikan bersetuju menghantar semula tentera ke Iraq. Sebelum ini Obama meminta diwujudkan kerajaan gabungan sebenar antara pihak Syiah, Sunni dan Kurdish di Iraq.

Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki dilihat berat sebelah mengutamakan penduduk Syiah dan meminggirkan pemimpin dan penduduk Sunni. Ini menjadikan ISIL popular dalam kalangan penduduk Sunni. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengeluarkan kenyataan ketiganya dalam tempoh 10 hari menghentam tindakan perluasan wilayah ISIL dan serangan terhadap penduduk awam di Iraq.

Tindakan terbaharu Obama ini sebenarnya sedikit sebanyak disebabkan kemaraan pejuang ISIL yang mula menyebabkan penduduk Kristian Iraq, terutama di Nineveh dan beberapa kawasan berdekatan Mosul menjadi pelarian.

Ada 30,000 penduduk Kristian di Tel Keif menjadi pelarian. ISIL menguasai dua bandar Kurdish di Makhmour dan Gwair berdekatan Erbil. Ketakutan sebenar AS dan Kerajaan Iraq ialah kejayaan pejuang ISIL dibantu pejuang dan penduduk Sunni Iraq yang menentang polisi berat sebelah Kerajaan Iraq menguasai empangan Mosul dan telaga minyak di Ain Zalah serta Batma. Ini adalah kejayaan strategik ISIL.

Dua perkara yang sedang difikirkan ISIL untuk menguasai Iraq ialah dengan menguasai sumber minyak dan air yang menjadi nadi kepada penduduk dan kerajaan. Empangan Mosul diisytiharkan sudah dikuasai oleh ISIL walaupun dinafikan pejuang Peshmerga Kurdish yang menguasai empangan itu sebelum ini.

Ancaman terhadap Baghdad

Jika betul pejuang ISIL menguasai empangan Mosul, ia memantapkan penguasaannya ke atas Mosul, malah akan memberikan ancaman kepada Baghdad. Pengaliran Sungai Tigris dan pembangunan kawasan sekitarnya banyak bergantung kepada empangan itu. Jika pecah, ia boleh menenggelamkan bandar Mosul dan menjejaskan kawasan Baghdad dengan Sungai Tigris mengalir melaluinya sejauh 300 batu. Empangan Mosul juga bertindak sebagai empangan jana kuasa elektrik dan sumber air bersih kepada penduduk Mosul dan kawasan sekitar.

Penguasaan ke atas telaga minyak Ain Zalah dan Batma membolehkan ISIL menguasai sumber utama minyak yang mengeluarkan 30,000 tong sehari. Kejayaan ISIL menguasai dua kawasan minyak itu membimbangkan Organisasi Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) mengenai terjejasnya pasaran minyak global.

Walaupun Washington mengumumkan tindakan ketenteraan AS terbatas kepada serangan udara, AS menolak kemungkinan penghantaran tentera daratnya. Ia bimbang kos kewangan dan kematian pihak tenteranya jika melakukan penjajahan semula ke atas Iraq. AS kini agak lemah dan bimbangkan ekonomi domestiknya serta tidak mampu memulakan satu lagi peperangan di Asia Barat.

Tindakan terkini yang akan dilakukannya ialah memperkuatkan persenjataan kepada tentera Iraq dan pejuang tempatan untuk menghadapi ISIL. Ia kini dilihat cuba memberikan bantuan senjata kepada pejuang Peshmerga Kurdish di utara Iraq. Meskipun hanya serangan udara yang dilakukan, AS bimbang kemampuan pejuang ISIL yang dikatakan miliki kelengkapan senjata canggih, termasuk peluru berpandu darat ke udara yang boleh menjatuhkan pesawat dan helikopter tenteranya.

Kejayaan peluasan wilayah oleh pejuang ISIL, walaupun dikutuk kekejaman yang dilakukan ke atas musuhnya, memberi impak baharu kepada politik di Asia Barat. Perdebatan isu sempadan negara di Asia Barat yang akan dilukis semula.

Sempadan negara yang dibentuk sebelum ini oleh bekas penjajah seperti United Kingdom dan Perancis menjadi semakin tidak relevan di Asia Barat kerana ia tidak mengambil kira pembahagian kawasan mengikut agama, bangsa dan kabilah.

Walaupun terlalu awal meramalkan penguasaan dan kekuatan ISIL, sedikit sebanyak ia menggoncangkan Asia Barat yang dikuasai pemimpin yang autokratik belaan pihak Barat. Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.   Berita Harian Rencana Kolumnis 2014/08/10 - 02:33:14 AM

Langkah Khazanah ambil alih MAS pulih imej syarikat

Khazanah Nasional Bhd semalam mengemukakan cadangan untuk mengambil alih sepenuhnya pemilikan dalam Penerbangan Malaysia (MAS), seterusnya mengeluarkan syarikat penerbangan kebangsaan itu daripada penyenaraiannya di Bursa Malaysia. Ia akan dilakukan oleh syarikat pelaburan kerajaan itu menerusi pembayaran balik modal kepada pemegang saham minoriti MAS membabitkan 27 sen sesaham, iaitu 12.5 peratus lebih tinggi daripada harga penutup saham syarikat penerbangan itu pada Khamis lalu dan 29.2 peratus berbanding harga puratanya bagi tempoh tiga bulan lalu. Keseluruhannya, Khazanah yang kini memiliki hampir 70 peratus saham MAS akan membelanjakan RM1.38 bilion untuk pengambilalihan itu.

Mengikut Khazanah, langkah yang dicadangkannya itu adalah peringkat pertama skim penyusunan semula MAS yang diumumkan pada Jun. Kita melihat langkah yang diambil oleh kerajaan menerusi Khazanah itu adalah satu langkah yang tepat dan perlu mendapat sokongan padu semua pihak. Bagi kita walau apa pun cakap-cakap di sebalik masalah dialami MAS, syarikat penerbangan kebangsaan itu perlu dipulihkan kerana ia bukan sebarang syarikat tetapi organisasi yang membawa nama dan bendera Malaysia.


Sebarang pelan pemulihan yang mahu dilakukan semestinya agak sukar dilakukan secara bebas dan segera jika ia masih disenaraikan kerana sebagai syarikat senaraian awam ia perlu melalui proses agak panjang. Langkah menjadikan MAS sebuah syarikat milik penuh kerajaan, dalam hal ini dibuat menerusi Khazanah dan mengeluarkannya dari Bursa Malaysia adalah sangat perlu. Kita juga bersetuju jika kerajaan memutuskan untuk terus mengekalkan MAS sebagai syarikat milik penuhnya kerana sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, ia sebenarnya turut memikul tanggungjawab sosial. Dengan peranannya membawa penumpang di dalam negara dan juga penumpang yang keluar dan masuk ke negara ini, MAS sebenarnya berfungsi sama seperti aset prasarana yang lain, iaitu sebagai penyokong kepada pelbagai kegiatan ekonomi dalam negara. Justeru, sudah tentunya tidak adil jika prestasinya diukur semata-mata dari sudut keputusan kewangannya - untung atau rugi.

Walaupun begitu, kita juga memahami bahawa kerajaan perlu mendapat pulangan daripada pelaburannya dalam MAS kerana ia membabitkan wang rakyat, justeru ia perlu memastikan MAS dapat meraih keuntungan. Inilah juga matlamat utama pelan pemulihan yang akan dilakukan. Sudah tentunya tugas untuk menyeimbangkan antara tanggungjawab sosial dengan meraih keuntungan itu adalah satu tugas berat, tetapi kita harap ia dapat digalas dengan penuh bertanggungjawab oleh kedua-dua pengurusan Khazanah dan juga MAS. Minda Pengarang Berita Harian Rencana Kolumnis 2014/08/10 - 02:37:56 AM

Kang Sheng bawa 'Bencana Yezhovshchina'

Seperti diceritakan dalam coretan saya minggu lalu, Mao Tse-tung bukan sahaja tidak mahu tunduk kepada keputusan-keputusan sebulat suara persidangan Parti Komunis China (PKC) yang dinamakan Conference of The Seven Thousand Cadres yang diadakan dalam bulan Januari/Februari 1962 - yang mahu memberhentikan serta-merta dasar-dasar Mao yang menzalimi rakyat China - malah dia merancang hendak bertindak balas untuk menghapus pemimpin-pemimpin kanan parti yang menentangnya. Dia juga mahu membersihkan PKC yang dianggapnya berselaput dengan unsur-unsur anti-Mao. Dia tidak akan keseorangan dalam mengambil langkah itu yang dikenali sebagai Revolusi Kebudayaan (Cultural Revolution).

Saya menyimpulkan bahawa strategi Mao mengatur gerakan Revolusi Kebudayaan 1966-1976 itu adalah dengan menggembleng tenaga dan pemikiran enam orang individu utama iaitu Kang Sheng, Lin Biau dan 'Gang Of Four' terdiri dari Jiang Qing (isteri Mao), Chang Chun-qiao (yang digelar Ular Tedung), Yao Wen-yuan (Ketua Propaganda) dan Wang Heng-wen (Protégé Mao yang dibawa dari Shanghai). Mengikut pengarang Jung-Halliday, "Mao regarded the Cultural Revolution as his greatest achievement since taking power in 1949…..and that Mao (himself) dubbed 'the Gang of Four' (halaman 637 dalam buku mereka)."

Nikolai Yezhov (kiri) ketua NKVD iaitu jabatan keselamatan dan risikan negara Kesatuan Soviet semasa
pemerintahan Stalin, dan Kang Sheng (kanan) ketua jabatan yang sama di China semasa pemerintahan Mao Tse-tung.

Saya akan menceritakan lebih meluas tentang kisah-kisah yang sangat menyedihkan semasa gerakan Revolusi Kebudayaan dilaksanakan di China dalam coretan-coretan akan datang. Ia telah menyulitkan lagi kehidupan rakyat China yang sebenarnya masih belum pulih daripada kesengsaraan semasa mengharungi gerakan Great Leap Forward 1958-1962. Saya berhasrat mendedahkan terlebih dahulu enam individu dimaksudkan.

Untuk Revolusi Kebudayaan, Kang Shang saya anggap pakar strategi terulungnya. Dia lahir tahun 1898 di Zhucheng, provinsi Shandong dan menjadi anggota PKC sejak awal 1920-an. Sumbangan terbesarnya kepada parti ialah merancang dan menyelia hal-hal keselamatan dan risikan untuk parti dalam tahun 1940-an dan selanjutnya semasa Revolusi Kebudayaan 1966-1976. Peranan ini seperti telah dirancang oleh parti. Pada awal tahun 1930-an, dia dihantar ke Moscow khusus untuk mempelajari selok-belok jabatan keselamatan dan risikan Soviet atau dikenali NKVD. Negara Soviet waktu itu di bawah Stalin yang telah saya kisahkan sebelum ini. Pemerintahan Stalin termasyhur dengan pembunuhan berjuta-juta rakyat Soviet yang diakui sendiri oleh Khruschev, pengganti Stalin, dalam ucapan yang terkenalnya pada Julai 1957 di depan perhimpunan Parti Komunis Kesatuan Soviet. Jabatan NKVD yang telah digunakan oleh Stalin dalam tahun 1930-an untuk merancang dan menghapuskan penentang dan musuh-musuh politiknya. Semasa berjalannya Great Purge di Soviet itu, ketua NKVD ialah Nikolai Yezhov.

Yezhov begitu hebat 'kecekapannya' sehingga sampai sekarang orang Rusia mengaitkan zaman gelap Great Purges itu sebagai Bencana Yezhovshchina. Saya mengaitkan Bencana Yezhovshchina ini bukan kerana apa - kerana Kang Sheng, semasa berada di Moscow pada awal 1930-an itu dan sepenuh masa di bawah kawalan dan penyeliaan Nikolai Yezhov. Sejarah telah menentukan, jika di Kesatuan Soviet, Yezhov yang bertanggungjawab mengisi perincian dan pelaksanaan, tetapi Stalinlah yang menentukan the general outlines for the purges and the dimensions of the operations, di China pula Kang Sheng 'Yezhovnya', sementara Mao ialah 'Stalinnya'. Mao Tse-tung mengulangi kejahatan dan kezaliman Stalin tiga puluh tahun selepas kematian Stalin.

Kang Sheng pulang ke China pada penghujung tahun 1937. Dia terus mendampingi Mao yang pada masa itu sedang bertapak di Yan'an, barat daya China setelah menamatkan perjalanan empat tahun Long March (1932 - 1936) bermula dari provinsi Jiangxi selatan China. Di Yan'an, Kang berbaik-baik dengan Jiang Qing (bakal dikahwini Mao). Menurut Jung-Halliday, Kang Sheng pernah menjalin cinta dengan Jiang Qing di Shanghai dalam tahun 1920-an semasa Kang Sheng bertugas dalam parti komunis di Shanghai, sedangkan Jiang Qing ialah seorang pelakon dan penyanyi popular.

Semasa di Shanghai itulah Kang Sheng sangat mengetahui latar belakang peribadi Jiang Qing serba-serbinya. Apabila Mao, secara terbuka menunjukkan hubungan intimnya dengan Jiang Qing, ramai pemimpin parti di Yan'an tidak bersetuju dengan kelakuan Mao. Mereka semua tahu siapa Jiang Qing. Minat Mao untuk mengahwini Jiang Qing - yang telah pun berkahwin tiga kali sebelum itu - bertambah tinggi apabila isteri ketiga Mao pada masa itu, Gui-yuan, pergi ke Rusia atas sebab kesihatan.

Menurut Jung-Halliday, "The couple (Mao and Jiang Qing) began to appear in public together. This caused a scandal, as she was a woman with a past. She had already been married to or lived, with four men, and had left a trail in the Shanghai gossip columns. Her stormy relationship with one of her husbands had provided fodder for the tabloids, especially after he tried to commit suicide by gulping down a bottle of surgical spirit with crushed match heads in it (halaman 205)."

Menurut Jang-Halliday lagi, "For the Party, there was a more serious concern. Jiang Qing had once been imprisoned by the nationalists (Kuomintang) as a communist suspect, and had got out by signing recantation - an act that the Party considered as 'betrayal'. Moreover, there were allegations that she had entertained her jailers by being their dinner - and even their bed - companion. Underground organisations in Shanghai and other areas wired Yenan with formal complaints that she was 'unsuitable to marry Chairman Mao (halaman 205)."

Anehnya, walaupun ada pandangan-pandangan seumpana itu daripada sumber-sumber dalaman parti, Mao masih mahu meneruskan hasratnya. Dia memilih Kang Sheng semacam untuk 'menjamin' bagusnya keputusannya untuk memperisterikan Jiang Qing. Menurut Jung-Halliday, "Although Kang had proof that Jiang Qing's conduct while in prison had been dubious, he provided Mao with an official verdict which cleared her by saying that 'her past is no problem politically'. In fact, Mao knew that the charges (against her) were true, as he (Mao) acknowledged near his death. But he did not care. He wanted her (halaman 206)."

Menurut saya pula, Mao mempunyai muslihat terpendam kenapa dia memilih Kang Sheng untuk 'menjamin' kesesuaian Jiang Qing dijadikan isteri keempatnya. Demikian juga bagi pihak Kang Sheng. Dia juga semestinya mempunyai muslihat tersendiri apabila dia menyokong Mao memperisterikan Jiang Qing. Ini ada pertaliannya dengan Revolusi Kebudayaan yang bakal dimulakan tidak berapa lama lagi. Rahim Noor Utusan/Rencana/20140810

Bisik-Bisik Awang Selamat

Nasib Anwar, Khalid - Kemelut PKR Selangor hampir sampai ke kemuncaknya apabila Khalid Ibrahim dipecat daripada parti itu semalam kerana enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Perkara ini sudah dijangkakan selepas beliau dipaksa untuk berbuat demikian oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang mahu melantik isterinya sendiri, Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Ketika rakyat Malaysia masih memperkatakan isu pemilihan banyak cabang PKR yang belum selesai ekoran pergaduhan, kekecohan dan penipuan, kini parti itu berkecamuk lagi. Kali ini, kemelut jawatan MB membawa kepada krisis pakatan pembangkang apabila Pas mengambil pendirian keras mempertahankan Khalid yang dilihat menjadi mangsa kezaliman pemimpin PKR.

Tokoh-tokoh utama seperti Hadi Awang dan Nik Aziz Nik Mat serta Majlis Syura tidak lagi menunjukkan rasa gentar terhadap PKR yang bergabung dengan DAP dalam krisis yang dianggap terburuk dalam sejarah pakatan. Persoalannya, apakah Khalid akan berundur daripada jawatan MB, akan terbubarkah Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri dan bersediakah Pas mengambil langkah drastik keluar daripada pakatan?

Lebih menarik untuk diketahui nanti, siapakah yang akan kecundang dalam pertentangan antara PKR/DAP dan Pas. Setakat ini, Anwar seperti dirasuk tetap mahu melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar dipercayai terdesak dan bimbang sekiranya keputusan rayuan kes liwat tidak memihak kepada beliau. Kasihan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang statusnya sekadar budak suruhan dalam parti itu. Anwar lebih percayakan isterinya menjadi Menteri Besar berbanding Azmin.

Atas kertas , pengaruh Anwar sebagai Ketua Pembangkang merudum apatah lagi dalam kemelut ini. Rakyat Selangor dan akar umbi PKR masih mahukan Khalid dan menolak Wan Azizah kerana gagal menerajui parti dengan baik. Ramai ahli mendesak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk menentukan siapa MB. Di peringkat pakatan, para pemimpin Pas secara terbuka membandingkan keperibadian, akhlak dan integriti Khalid jauh lebih baik daripada Anwar. Dalam politik PKR, sebenarnya beliau tiada asas merit. Kedudukannya sekarang sebagai Ketua Umum dilantik oleh Wan Azizah. Isteri lantik suami, suami lantik isteri... hebatnya nepotisme dalam PKR. Perkembangan terbaharu ini terus menyaksikan PKR diwarnai dengan pelbagai kontroversi, isu moral dan masalah dalaman yang serius. Dalam isu Khalid, sama ada beliau dapat bertahan atau disingkir, yang tetap kelihatan buruk ialah Anwar. Apa sahaja penyelesaiannya yang akan rugi bukan Khalid, sebaliknya PKR dan pakatan itu sendiri. Inilah akibat keghairahan untuk mencatur politik secara songsang dari dulu lagi, terbaharu menerusi apa yang dipanggil sebagai Langkah Kajang ciptaan Anwar. Beliau yang memburukkan lagi masalah dan imej PKR. Sehebat dan sebijak-bijak manusia melakukan percaturan, ia tidak akan mampu menyaingi ketentuan-Nya.

Jenayah Obama? - Ada satu petikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berhubung keputusan negara itu mahu menyerang Iraq bagi memerangi puak pemisah, untuk kita renungkan. "Awal minggu ini, seorang rakyat Iraq meminta bantuan dunia sambil berkata tiada orang datang untuk membantu kami." Tegas Obama lagi: "Amerika Syarikat datang untuk membantu."

Maka terserlahlah dasar dan tindakan berpilih. AS proaktif menggunakan kuasa ketenteraan untuk menyelamatkan minoriti bukan Islam di Iraq. Malangnya Washington membiarkan Israel meneruskan kekejaman ke atas penduduk Gaza. Umat Islam yang ditindas sengaja tidak mahu dibantu oleh AS. Rayuan meminta pertolongan daripada rakyat Palestin yang disokong masyarakat antarabangsa, tidak dihiraukan dengan pelbagai alasan. Malah Obama terang-terangan memihak kepada Israel di samping memperhebatkan lagi bantuan senjata kepada Tel Aviv.

Pada Awang, mana-mana pemimpin dunia dan negara yang bersubahat dengan Israel dalam menindas Palestin, sama dosa dan jahatnya dengan rejim Zionis. Bayangkan hampir 2,000 terkorban kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, berpuluh masjid musnah dan rosak selain hospital dan sekolah menjadi sasaran serangan. Dalam dunia yang bertamadun ini, kezaliman luar biasa seperti itu tidak sepatutnya terjadi.

AS hanya menutup mata walaupun ada kuasa untuk menghentikannya. Maka pentadbiran Obama mesti sama bertanggungjawab. Beliau yang selalu melaung-laungkan keadilan dan kebebasan buat manusia sejagat, rupa-rupanya hipokrit kerana membenarkan diri dikuasai oleh pengaruh Yahudi. Hari ini, melihat gambar Obama pantas terpukul rasa meluat sebagaimana terhadap pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu. Muka dan tangan mereka berdua dibayangi lumuran darah orang awam Gaza yang tidak berdosa. Nasihat kecil Awang kepada Obama, janganlah lagi bercakap soal nilai-nilai murni kehidupan jika jiwa anda kotor dengan jenayah ke atas kemanusiaan. Menjijikkan.

Warsi dan Ismail - Tindakan Menteri Luar Britain, Baroness Warsi meletakkan jawatan sebagai membantah pendirian kerajaan negaranya berhubung krisis di Gaza menarik perhatian ramai.

Beliau mengambil tindakan tersebut kerana menolak kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin. Awang kagum dengan insan seperti ini yang rela hilang kedudukan dan jawatan besar atas prinsip menegakkan keadilan untuk penduduk Gaza. Ia mesej yang besar maknanya buat keamanan dan kemanusiaan dunia.

Di tanah air kita, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri juga tidak dapat berkompromi dengan tindakan bank antarabangsa HSBC menutup akaun beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Sebagai tanda protes, Ismail membatalkan kad kredit HSBC. Gambar beliau menggunting kad kredit tersebut yang berlegar dalam laman sosial, mendapat respons positif.

Awang teruja. Dalam melawan kekejaman Israel, bercakap dan beretorik sahaja tidak cukup, ia memerlukan tindakan supaya lebih memberi impak. Warsi mahupun Ismail dengan penuh yakin telah melaksanakan tanggungjawab mereka demi rakyat Palestin. Kita pula, bagaimana?

'Penyakit' Guan Eng - Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memulakan tindakan undang-undang ke atas Ahli Parlimen Temerloh (Pas), Nasruddin Hassan yang mengkritik beliau berhubung projek pembinaan terowong dasar laut.

Awang sedikit pun tidak terkejut. Guan Eng memang terkenal sebagai pemimpin yang tidak boleh menerima kritikan. Itulah 'penyakit' beliau. Beberapa editor media Cina juga kurang senang dengan sikap Setiausaha Agung DAP itu kebelakangan ini. Dalam diam, beliau dilabel angkuh. Dunia sudah lama berubah dan makin terbuka tetapi Guan Eng terbawa-bawa pemikiran lama.

Awang mahu cadangkan beliau menjalani kelas keterbukaan selain berkaitan pemahaman media dan kebebasan bersuara di mana-mana yang beliau suka. Jika beliau enggan, contohi sahaja Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang kelihatan berwibawa dalam menangani segala asakan dan kritikan.

Dalam kes kritikan Nasruddin, Guan Eng akan kelihatan lebih bijak dan disegani jika cukup sekadar memberikan penjelasan dan bukannya mengugut untuk saman atau bertindak menyaman. Kalau mahu jadi pemimpin politik kenalah lasak, jika tidak, pilih kerjaya lain atau duduk sahaja di rumah belai isteri.

Kepada Nasruddin, YB tidak bersendirian. Ramai yang bersimpati dan menyokong kenyataan berkaitan projek terowong tersebut. Awang pernah menulis dalam ruangan ini, Mac lalu mempersoalkan kewajaran pembinaannya apatah lagi dengan adanya kemudahan dua jambatan.

Untuk apa lagi perlunya projek mega bernilai RM4.63 bilion yang menghubungkan Persiaran Gurney di pulau dan Bagan di seberang? Aneh, walaupun mendapat bantahan orang ramai dan pelbagai pihak terutama persatuan pengguna atas faktor pembaziran dan dikhuatiri mengancam alam sekitar, Guan Eng tidak hiraukan. Lalu timbul tanda tanya, mengapa membelakangkan suara rakyat dan untuk keuntungan siapakah sebenarnya projek tersebut - rakyat atau pihak tertentu?

JPJ takuk lama - Ketika negara-negara lain telah jauh ke hadapan dalam soal spesifikasi nombor plat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih di takuk lama. Terbaharu, jabatan itu mengeluarkan garis panduan untuk orang ramai berhubung saiz dan ukuran nombor plat menerusi facebook, yang mengundang kritikan para pengguna.

Bukankah JPJ yang sewajarnya menguatkuasakan hal tersebut ke atas syarikat aksesori dan penjual kereta. Sebab itulah sistem nombor plat di Malaysia selalu menjadi bahan sinikal kerana dianggap rojak dan tiada identiti.

Sepatutnya JPJ sudah lama melaksanakan sistem nombor plat yang canggih, seragam, berkonsepkan keselamatan dengan bercirikan pencegahan jenayah dan tidak boleh dimanipulasi seperti dipalsukan atau dicuri.

Sehingga hari ini, isu cermin gelap, nombor plat, sistem latihan memandu yang ketinggalan, kelemahan penguatkuasaan terus membelenggu JPJ. Marilah bertanya apa pencapaian membanggakan dan inovasi besar dalam JPJ, yang kita semua dengan mudah boleh menjawab - tiada.

Utusan/Rencana/20140810

Wajarkah Internet ditapis?

Sejak beberapa tahun ini, berleluasa sungguh isu menghina Islam, bangsa Melayu, seruan azan, bulan Ramadan, hari raya dan terbaharu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong oleh individu tertentu.

Golongan anti-Islam dan anti-Melayu semakin berani melancarkan serangan secara halus dan terbuka melalui penyebaran Internet dan laman sosial seperti Facebook, Twitter. Yang menyedihkan tindakan individu yang menghina itu bukan sahaja lewat diambil tindakan, malah ada yang terus bebas tanpa apa-apa tindakan undang-undang.

Akta Hasutan 1948 yang ada seolah-olah lebih menakutkan orang Melayu, walhal umat Islam negara ini kini semakin diperlekehkan oleh golongan yang anti-Melayu dan Islam.

Pemerhati dan penganalisis politik Prof. Datuk Dr. Mohd Zainul Fithri Othman mempersoalkan kenapa perkara ini berlaku, walhal pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu tidak pernah berlaku perkara seumpama ini?

"Kenapa penghinaan sebegini tidak diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa. Sehingga Pemuda UMNO terpaksa menegur Peguam Negara supaya mengambil tindakan dan tindakan tersebut bukan tindakan terpilih?

"Kenapa Peguam Negara memberikan jawapan dengan berkata "tanyalah dengan polis?" Polis pula berkata tanyalah dengan Peguam Negara. Kalau Peguam Negara dan polis asyik menuding jari, maka siapa yang sebenarnya mempunyai kuasa?

Naib Presiden Perhubungan Industri dan Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Management & Science University (MSU) itu juga hairan, apakah negara ini seolah-olah sudah tidak ada undang-undang? Atau undang-undang sudah jadi undang-undang terpilih?

Kebanyakan isu menghina ini keluar di dalam Facebook, Twitter dan pelbagai media sosial lain. Namun, beliau hairan - apakah kita ini tidak ada badan penapis tentang maklumat yang boleh disekat?

Apakah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mempunyai kuasa 'menyekat' atau 'menggantung akaun' FB atau Twitter?

Apakah tindakan dan ke mana perginya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) yang seharusnya menjadi penangkis kepada serangan bertubi-tubi ini terhadap Islam dan bangsa Melayu, sekali gus serangan terhadap Perlembagaan Persekutuan Malaysia (law of the land)?

Baru-baru ini ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial dan Tun Dr. Mahathir menggesa akses Internet ditapis bagi menjamin kemakmuran rakyat di negara ini.

Dalam hal ini, Pengerusi SKMM, Datuk Shahril Tarmizi menjelaskan pihaknya tiada masalah untuk memperketatkan kawalan akses ke Internet termasuk mengharamkan media sosial seperti Facebook dan Twitter di Malaysia.

"Isu berkaitan Internet ini besar dan penting, kita tidak ambil ringan cuma umum perlu faham bukan Internet dan media sosial yang perlu disalahkan tetapi mereka yang di belakang medium ini telah bertindak di luar rasa tanggungjawab.

"Oleh itu, bagi mereka yang menyokong Internet ditapis, kami ingin tahu setakat mana tapisan isu perlu dibuat, adakah masyarakat umum sedia jika kita kata Facebook itu haram sama sekali di Malaysia adakah kita juga perlu terima akan pengharaman Twitter di Malaysia?" katanya.

Masyarakat tidak wajar menyalahkan SKMM sahaja. SKMM mungkin boleh mengambil tindakan untuk menyekat atau menapis akses Internet ekoran isu penyalahgunaan, tetapi ada kesalahan lain di luar bidang kuasa SKMM seperti hasutan, ugutan, jenayah dan penipuan.

Bukan mudah untuk SKMM melakukan dakwaan atau mengambil tindakan. SKMM tidak boleh terus melaksanakan apa sahaja gesaan mana-mana pihak sebaliknya tindakan harus dilakukan berdasarkan lunas undang-undang bersama pihak polis dan Jabatan Peguam Negara.

"Sikap buruk seperti menghasut, mencerca, memfitnah dan menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum bukannya baru wujud pada masa ini sebaliknya telah lama tetapi cara penyampaiannya dahulu dan kini berbeza.

"Kalau dulu kita dengar orang menghasut dan memfitnah di kedai kopi tetapi hari ini kebetulan zaman Facebook maka ia nampak meluas, kerana itu kita tidak boleh menyalahkan Internet, sebaliknya sikap individu manusia itu yang harus diperbetulkan," kata Shahril.

Dr. Mohd Zainul Fithri juga mempersoalkan, ke mana perginya pejuang Islam daripada parti Islam terutamanya untuk membuat kenyataan berani dan keras bersama-sama dengan NGO Islam yang lain untuk mengutuk perbuatan ini?

"Kenapa kalau persoalan Gaza, 50,000 orang keluar menyatakan protes atas kezaliman terhadap Palestin boleh dilakukan dan mengapa 50,000 orang ini juga tidak boleh melakukan protes terhadap kebiadapan manusia yang tidak bertanggungjawab ini di Dataran Merdeka?

"Mengapa himpunan dibuat atas isu terpilih walhal isu agama Islam di Malaysia yang saban hari dihina ini berlaku di depan mata kita? Saya juga hairan mengapa Anwar Ibrahim yang mempunyai rangkaian kawan antarabangsa yang hebat di negara Islam, berdiam diri tentang Palestin selain di dalam Dewan Rakyat?

"Mana kenyataan beliau secara umum tentang kutukan ke atas rejim zionis? Mana kenyataan YB Permatang Pauh tentang penghinaan Islam dilakukan oleh mereka yang biadab ini? Jawapannya tidak ada. Sebab? Menjaga pengundi untuk dirinya. Dari sini kita lihat kepelikan yang berlaku atas keperibadian manusia.

Anti-ISA

Barangkali inilah yang pejuang-pejuang anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ingin sangat supaya ISA dimansuhkan kerana mereka tahu, selagi ISA tidak dimansuhkan, mereka tidak boleh bercakap sewenang-wenangnya kerana akan ditangkap pihak berkuasa tanpa soal.

Bila puak-puak manusia yang tidak bertanggungjawab ini berjaya atas tuntutan mereka, dan bila kerajaan Barisan Nasional (BN) membenarkan ISA dimansuhkan kononnya 'zalim dan tidak bertamadun,' maka bermula episod baharu iaitu 'mereka mempunyai lesen besar tanpa batasan dan boleh mengutuk, menghina Islam sesuka hati tanpa rasa takut. Sebab, ISA sudah tiada lagi atas alasan freedom of speech.

Namun demikian, kata Dr. Mohd Zainul Fithri, kebebasan bersuara mesti berlandaskan dengan accountability and responsibility; ia juga harus berlandaskan dengan kedaulatan Perlembagaan.

"Jika Perlembagaan dipertikaikan dan dimomok-momokkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab ini, bermakna Perlembagaan langsung tiada nilai? Layakkah dipanggil warganegara apabila Perlembagaan sendiri dimomok-momokkan?

"Kini baharu kita faham bahawa perjuangan yang beria-ia sangat dilaungkan supaya ISA dimansuhkan adalah untuk memberikan manusia yang tidak bertanggungjawab ini platform untuk bercakap apa saja yang mereka mahukan dan pihak polis tidak boleh menangkap mereka.

"Mereka bergembira, orang Islam dan orang Melayu sakit hati; terpendam kemarahan yang membuak-buak. Tetapi bangsa Melayu tidak boleh berbuat apa-apa. Sudah lumrah sikap Melayu tidak mahu mengecohkan keadaan kerana menghormati perundangan negara.

"Persoalannya, apakah perasaan pendam di dalam hati ini dapat ditahan? Sampai bila ia dapat ditahan? Dikhuatiri, jika pihak polis tidak mengambil tindakan, maka akan ada tangan-tangan lain akan mengambil tindakannya sendiri atas nama 'fisabilillah.' Apakah ini yang dimahukan?"

Dr. Mohd Zainul Fithri menyatakan banyak sangat pihak yang telah 'menjual,' cuma belum satu pun dibeli oleh orang Islam dan orang Melayu! Apakah perlu ada insiden yang tidak diingini berlaku, baru pihak polis atau orang yang berkuasa mahu bertindak?

"Saya boleh merasakan keluhan dan kegelisahan umat Islam kian memuncak bagaikan lava gunung berapi yang sedang menunggu untuk meletup.

"Saya nasihatkan kepada SKMM dan juga pihak berkuasa supaya ambillah tindakan. Kalau tidak boleh bertindak, beritahu mengapa tidak boleh bertindak?

"SKMM perlukan 'apa' agar boleh bertindak? Setahu saya, kita tidak perlu ada lesen khas untuk buka laman blog, Facebook atau Twitter. Kalau orang Israel yang marah kepada Tun Dr. Mahathir boleh menyekat blog dan juga Facebook beliau, kenapa SKMM yang berkuasa tidak sanggup melakukannya. Bukan perlu pun 2/3 undian daripada ahli Dewan Rakyat.

"Ini adalah tanggungjawab KKM untuk memastikan keharmonian negara terjamin; tanggungjawab KKM untuk memastikan Rukun Negara dipertahankan; tanggungjawab KKM untuk memastikan perpaduan negara terpelihara; dan paling utama tanggungjawab KKM untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dihormati dan didaulatkan.

"KKM boleh melakukan sesuatu untuk ia disekat. Memang akan ada serangan yang bertalu-talu daripada golongan freedom of speech. Tetapi apabila mereka melanggar Perlembagaan negara; Rukun Negara; tatasusila sebagai rakyat Malaysia, saya rasa KKM tidak perlu berkompromi dan takut.

"Kerana jika mereka mahukan kebebasan mutlak, Malaysia bukan tempatnya. Malah negara jiran kita, Singapura pun tidak ada kebebasan mutlak," kata Dr. Mohd Zainul Fithri.

Baru-baru ini Tun Dr. Mahathir pun ada menyarankan supaya kerajaan mengkaji semula dasar Internet tanpa sekatan. Memandangkan laman sosial dilihat membawa juga kesan buruk dan mengancam perpaduan kaum, maka ada suara mencadangkan supaya ia disekat.

Sesungguhnya Kerajaan Malaysia amat berhemat dalam isu penyalahgunaan laman sosial. Pemimpin negara ini cukup berhati-hati dan tidak gopoh dalam mengambil keputusan sama ada mahu menutup atau tidak laman sosial seperti Facebook di negara ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, perkara ini perlu kajian dan mendapat pandangan orang ramai sebab pengguna Facebook di negara ini mencecah 15 juta akaun.

Bagi kebanyakan rakyat negara ini, Facebook menjadi platform menjalankan perniagaan di samping merapatkan hubungan silaturahim dalam institusi kekeluargaan.

Hanya 2,000 aduan diterima membabitkan Facebook berbanding jumlah akaun keseluruhannya iaitu kira-kira 15 juta. Jadi, apakah kerana 2,000 kita terpaksa menutup kesemuanya?

"Kita perlu lihat tahap tapisan. Kita hendak guna model mana sama ada dari China, Arab atau setakat mana yang kita boleh. Jika di China, tiada Facebook dan Twitter," kata Ahmad Shabery.

Jadi, bukan mudah untuk mengadakan sekatan Internet di Malaysia kerana negara sejak dari 1990-an mengalu-alukan perkembangan pesat dunia Internet.

Sekatan secara bijak ialah sekatan yang menghalang ancaman terhadap masyarakat tanpa menghalang hak mereka mendapatkan maklumat yang mereka inginkan.

Apa pun semua kaum di negara ini mesti menghormati Perlembagaan dan keharmonian negara. Gagal mematuhinya, bermakna kita gagal sebagai warganegara Malaysia dan ini bermakna kita sudah tiada lagi nilai sebagai warganegara Malaysia. zman Anuar azman_selasih@yahoo.com Utusan/Rencana/20140810